Wednesday, October 21, 2009

Merasa bahagia dalam memberi

Assalamu'alaikum wbth,

Dalam siri kali ini, saya ingin berkongsi sedikit bahan berkaitan keperluan merasai bahagia dalam memberi. Inilah sifat yang perlu ada pada kita semua dalam mengajak manusia kembali kepada Allah SWT. Justeru itu saya ingin berkongsi satu hadith berkaitan dengan tema penulisan kali ini.
Sabda Rasul SAW:
خير الناس أنفعهم للناس
Maksudnya:
`Sebaik-baik manusia ialah yang paling bermanfaat bagi manusia lain.'

HR At-Tabrani

Manusia secara umumnya memiliki kecenderungan untuk memberikan manfaat kepada orang lain. Berdasarkan hadith di atas, Ar Rasul SAW menjelaskan bahawa kita boleh menjadi orang yang terbaik di sisi Allah SWT dengan kita memberi sumbangan dan manfaat kepada orang lain. Semakin banyak manfaat yang kita berikan kepada manusia, bererti semakin baik pula kedudukan kita di sini Allah maupun di sisi manusia.
Sekarang timbullah pula soalan, mengapakah orang paling bermanfaat adalah yang terbaik?
Menurut Kitab Arbain Tarbawiyah karangan Ust Fakhruddin Nursyam, beliau menjelaskan ada empat alasan mengapa golongan ini adalah yang TERBAIK.

Pertamanya: ia menjadi orang yang dicintai Allah SWT.
Allah mencintai kebaikan dan orang-orang yang berbuat baik.
Sabda Rasul SAW:
`Hamba yang paling dicintai Allah SWT adalah orang yang paling bermanfaat bari orang lain’
HR Tabrani
Keduanya: ia melakukan amalan yang terbaik
Berasaskan kepada kaedah fiqh, kebaikan yang dilakukan untuk beri masalah kepada manusia lain adalah lebih utama daripada kebaikan yang dilakukan semata-maa untuk dirinya sahaja.
Ketiganya: Ia melakukan kebaikan yang sangat besar pahalanya
Ar-Rasul SAW lebih mengutamakan memberi manfaat kepada orang lain yang berhajatkan bantuan daripada iktikaf sebulan penuh di masjid Nabawi. Sabda Rasul SAW:
`Seandainya aku berjalan bersama saudaraku untuk memenuhi suatu hajat, maka hal itu lebih aku cintai dari ‘iktikaf sebulan dalam masjidku ini.’
HR At Tabrani
Keempat: Kerana kebajikan yang dilakukan akan mengundang kesaksian dan pujian orang-orang yang beriman.
Sebagai penutupnya, marilah kita mencari modal dan persiapan bagaimana dapat kita dapat memiliki sifat ini dengan siapkan diri kita dengan bekalan harta, masa, tenaga, fikiran dan waktu agar dapat menghadapi kehidupan kita seefisien mungkin.

Monday, October 12, 2009

Menjadi Mukmin soleh dan Muslih

Assalamu’laikum wbth,

Kekuatan kita yang sebenar adalah bergantung kepada sejauh kita berhubung(ta’alluq) dengan Allah SWT. Semakin kuat kita dengan Allah SWT, semakin kuat pula bantuan dan keberkatan yang akan diberikan Allah SWT kepada kita. Abul A’la Al Maududi telah menggariskan asas ta’alluq dengan Allah SWT di dalam bukunya yang bertajuk, ‘Guidelines for Islamic Workers’. Beliau menggariskan antara faktor-faktor yang menyuburkan hubungan kita dengan Allah SWT ialah dengan melakukan solat, siyam, zikrullah dan infaq.

Aspek yang ingin ditekan dalam bicara kali ini ialah, saya ingin mengajak sahabat-sahabat sekalian agar karib dengan rumah Allah SWT. Amalan rajin berjemaah semasa dalam bulan Ramadan lalu perlu diteruskan. Biarlah kita dikenali oleh kawan-kawan kita yang kita adalah orang yang rajin memakmurkan surau dan masjid. Jiwa kita rasa resah jika tidak dapat solat berjemaah di rumah Allah SWT. Jika tidak mampu solat berjemaah lima kali sehari di rumah Allah SWT, sebaik mungkin kita usahakan untuk dapat solat Subuh dan Isha berjemaah. Semua amalan soleh ini perlu menjadi darah daging kita dan dapat dikembangkan untuk mencari mereka yang ada khuluq hasan dan hanif di rumah Allah SWT. Nabi Muhammad SAW ada bersabda:

'Seseorang yang hadir solat Isha berjemaah, seolah-olah dia beribadah separuh daripada malam; dan seseorang yang solat isha dan subuh berjemaah, seolah-olah dia beribadah seluruh malam’
HR At Termizi
Kehangatan peperiksaan akhir semakin terasa. Bagi yang melakukan persiapan secara konsisten, insha Allah mereka tidak menghadapi masalah tekanan seperti orang lain.
Kita sebenarnya jauh lebih bernasib baik berbanding dengan rakan-rakan kita yang belajar di Universiti di Padang. Masa depan mereka untuk menyambungkan pengajian masih kabur. Kita mendoakan agar dimudahkan urusan mereka.
Saya ingin menyeru sahabat-sahabat agar dapat menumpukan perhatian yang serius juga terhadap jihad akademik ini. Kita ingin menjadi ‘Alim Mujahid. Mereka yang memiliki sifat Alim Mujahid ini mempunyai kekuatan berikut:
· Teguh dalam aqidah
· Jernih dalam fikrah
· Cemerlang dalam akademik
· Aktif dalam da’wah
· Kerjaya adalah wasilah jihad

Pada zaman saya belajar dulu, ramai pelajar-pelajar yang terlibat dalam dakwah dan tarbiah adalah pelajar cemerlang dalam kelasnya. Mereka menjadikan Qudwah kepada rakan-rakan yang lain.Jika kita corot dalam pelajaran, mengakibatkan orang lain negatif terhadap Islam. Hal ini perlu dielakkan. Jangan sampai dengan kesilapan dan kealpaan kita, menyebabkan orang lain menjauhi Islam.
Ustaz Ali Hashimi di dalam kitabnya Syakhsiyah Muslim menekankan agar para pelajar menguasai ilmu yang dipelajari sampai ke peringkat pakar.

Marilah kita menghayati 5 ciri ‘Alim mujahid seperti yang dinyatakan di atas. Saya sudahi perkongsian yang tidak seberapa ini dengan sepotong hadith:

'Barangsiapa yang keluar untuk mencari ilmu, ia berada di dalam jihad pada jalan Allah hingga saat kembali ke rumah'
HR Ibnu Majah

Saya ingin menyeru mahasiswa di dalam dan di luar negara agar dapat sama-sama membantu usaha bantuan ini. Inilah keprihatinan kita terhadap musibah yang telah menimpa saudara/i Muslim kita di Padang.
Barang siapa yang tidak mengambil ehwal hal kaum muslimin, maka tiadalah dia dari kalangan mereka
Al Hadith

Banyak usaha bantuan yang boleh dilakukan. Bagi sahabat-sahabat pelajar yang sedang bercuti. Masa cuti ini boleh digunakan untuk membantu NGO Muslim berkaitan Palestin atau Misi Kemanusiaan Padang. Bagi sahabat-sahabat yang sedang bergelut dengan jihad akademik, diharapkan dapat membantu mewar-warkan tabung kutipan misi Kemanusiaan Padang ini kepada lokaliti masing-masing selain daripada bantuan do’a. Itulah minimum yang dapat kita lakukan insha Allah.

Akhir kata, selamat berjuang dan menghadapi peperiksan akhir. Semoga Allah SWT bersama-sama kita semua.

`Jika Allah SWT memberi hidayah kepada seorang lelaki lantaran anda, itu lebih baik bagimu daripada apa yang disinari matahari' HR At Tobrani