Sunday, May 30, 2010

Faktor-faktor jiddiyah dalam kehidupan pendakwah siri 2

Assalamu'alaikum wbth,

Kita sedia maklum bahawa sekarang ini ada 9 orang relawan daripada Malaysia yang mewakili pelbagai badan NGO menyertai konvoi Life Line 4 Gaza, membawa bekalan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di sana. Bersama mereka ada 2 orang dari media Astro Awani.

Mohon anda semua dapat bantu war2kan hal ini dan teruskan berdoa, membuat kutipan insha Allah. Kita sedia maklum bahawa misi ini adalah satu misi yang sukar dan merbahaya. Mereka berdepan dengan pengganas zionis yang angkuh dan tidak berperi kemanusiaan secara berdepan tanpa membawa apa-apa senjata; melainkan senjata do'a dan tawakkal kepada Allah SWT.

Untuk makluman lanjut bolehlah melayari http://www.lifeline4gaza.org/

Dalam sesi kali ini ingin saya sambung faktor jiddiyah yang kedua iaitu:Perancangan program oleh individu dan organisasi (Al Barnamij al fardiyyah wal jama'iyyah)


Yang dimaksudkan ialah setiap ahli itu merancang aktiviti-aktiviti hariannya, 'arif bagaimana masanya dihabiskan. Adakah terdapat masa yang dibazirkan? Berapa banyak masa untuk tidur, belajar, bekerja (mencari nafkah) dan ber'amal Islam? Dengan cara ini dia memastikan bahawa tiada masa yang dibazirkan. Kita lihat sama ada kerja kita terlaksana dengan baik atau tidak. Jika tidak, maka mungkin kita terlebih tidur, membuat sesuatu yang tidak berfaedah atau sebagainya.

Begitu juga, kita perlu merancang program bulanan. Kita mestilah sangat teratur. Imam al Banna ada berwasiat:

"Tugas-tugas melebihi waktu yang ada. Oleh itu, tolonglah orang lain untuk memanfa'atkan waktunya. Kalau saudara berurusan, singkatkanlah masa penunaiannya."


bersambung....

Thursday, May 13, 2010

Faktor-faktor jiddiyah dalam kehidupan pendakwah

Assalamu'laikum wbth,

Apa khabar semua sahabat-sahabatku? Mohon maaf banyak-banyak kerana sudah lama tidak aktif menulis blog. Sejak diperkenalkan media sosial facebook, saya lebih cenderung menulis dan berkomentar di dalamnya.

Dalam siri kali ini dan mendatang saya akan berkongsi bahan daripada kitab Al Masar karangan Sh Muhammad Ahmad Ar-Rasyid, bab faktor-faktor jiddiyah dalam kehidupan seorang pendakwah.


Musuh-musuh Islam sama ada yang kita nampak atau tidak sentiasa aktif bekerja. Mereka hanya tidur sedikit. Kita juga mesti bersungguh-sungguh. Jika tidak sedemikian, kita akan kalah. Jika diimbas kembali sirah sahabat Rasulullah SAW, kita dapati mereka sangat serius bekerja.

Apabila sahaja ayat al Quran turun, setiap dari mereka bergegas-gegas untuk melaksanakan tujuan ayat itu. Mereka tidak sanggup menunggu-nunggu. Apabila Rasulullah SAW bersabda tentang sesuatu yang akan membawa kepada al jannah, mereka berlumba-lumba untuk mendapatkan sesuatu itu.

Contohnya 'Umair ibnu Hamam, dalam Ghazwah al Badar; apabila Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Sesiapa sahaja yang berperang dengan kuffar dan terbunuh dalam memerangi mereka akan ke syurga."
Kata 'Umair:
"Demi Allah, hanyalah benteng penghalang di antaraku dan syurga ialah kematian (ku)"
Jawab Baginda:
"Benar."
Ketika itu mereka sedang berbuka puasa. Kata 'Umair lagi:
"Jika aku tunggu untuk menghabiskan tamar itu, aku hanya akan melambat-lambatkan lagi masa."

Dengan segera dia melontar tamar, berperang dan mati syahid. Ini menggambarkan tahap kesungguhan mereka. Mereka tidak menunggu-nunggu sampai habis memakan tamar itu. Kesungguhan semacam itulah kita kehendaki.

Terdapat sepuluh faktor yang boleh menyebabkan organisasi dan ahlinya serius.

Pertama:
Fikrah Islam sangat jelas pada setiap ahli(Wuduuh al fikrah al Islamiyy)

Kita mahu sahabat/ah yang benar-benar tahu apa yang dimaksudkan dengan Islam itu sendiri dan yang bukan Islam. Tahu tentang daulah Islam, strukturnya, tugas-tugas seorang muslim dan situasi sekarang (Islam atau tidak dan mengapa). Apa yang mesti ditunaikan untuk menjadikannya Islamik, matlamat dan langkah-langkahnya dsb. Jika perkara-perkara seumpama di atas tidak jelas, maka ahli-ahli itu sebenarnya masih belum bersungguh-sungguh. Jika seseorang itu tidak tahu mengapa mereka berjumpa, bermukhayyam, berusrah, beraktiviti dsb, iaitu dalam rangka untuk mencapai matlamat akhir dan dekat, maka dia belum lagi serius.

Pada kebiasaannya, kita mulakan dengan menerangkan pada seseorang itu apa itu sistem Islam, kemudiannya, apa itu sistem kufur. Apakah kecacatan ideologi dan falsafah yang bukan Islam. Di sini, peranan tarbiyyah sangat penting, untuk tujuan-tujuan di atas.

bersambung....

`Jika Allah SWT memberi hidayah kepada seorang lelaki lantaran anda, itu lebih baik bagimu daripada apa yang disinari matahari' HR At Tobrani