Friday, February 13, 2015

Kematian pemimpin merupakan ujian bagi sesuatu organisasi Islam



Menurut Dr. Abdul Karim Zaidan dalam kitabnya bertajuk Sunan Ilahiyah di dalam bab Sunnatullah fil fitnah wal ibtila’, beliau menjelaskan bahawa ada kalanya organisasi Islam diuji dengan kematian pemimpin mereka sama ada dengan kematian biasa atau terbunuh. Hal ini merupakan cubaan yang berat. Justeru itu organisasi Islam wajar mempunyai sikap yang benar dalam menghadapi ujian yang sulit ini dengan menghadapinya dengan:
a.Kesabaran
b.Tetap berpegang kepada prinsip yang diperjuangkan oleh beliau dan organisasi
yang diasaskan.

Prinsip yang dimaksudkan ialah kerja dakwah illalah dan usaha meninggikan kalimah Allah di atas muka bumi .

Prinsip asas ini akan tetap diteruskan dan tidak berakhir walaupun pemimpinnya meninggal dunia. Organisasi Islam berkenaan tidak boleh berhenti dan menjadi lemah dari perjuangan jihadnya akibat musibah kematian pemimpin mereka.

Analogi mudah yang boleh dikaitkan di sini ialah: tidakkah anda melihat bahawa solat jemaah di masjid akan diteruskan solatnya meskipun imam masjidnya meninggal dunia. Samalah juga dengan organisasi Islam, usaha mulia ini perlu diteruskan walaupun pemimpinnya meninggal dunia.
Syariat Islam mencela para sahabat r.hm yang berhenti berjuang hanya kerana Ar Rasul SAW wafat. Allah SWT berfirman di dalam surah Ali Imran ayat 144:

`Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul. Apakah Jika dia wafat atau dibunuh kamu berbalik ke belakang (murtad)? Barangsiapa yang berbalik ke belakang, maka ia tidak dapat mendatangkan mudharat kepada Allah sedikitpun, dan Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.’


Tafsiran ayat ini adalah, Allah SWT menjelaskan bahawa Rasulullah SAW tidak bersama kaumnya untuk selama-lamanya. Justeru itu amat penting bagi ummat Islam untuk sentiasa berpegang teguh dengan apa yang dibawa oleh baginda SAW. Deen Allah SWT tidak akan pupus dengan wafat atau terbunuhnya para Nabi.

Allah SWT berfirman: Apakah jika ia wafat atau dibunuh kamu akan berpatah balik ke belakang? Yakni kamu mundur dan berhenti dari berjihad. Barangsiapa yang berbuat demikian, maka ia tidak akan memudaratkan Allah SWT sedikitpun. Allah SWT akan memberi pahala kepada orang-orang yang bersyukur, yakni orang-orang yang taat kepada Allah dan membela agama-Nya serta mengikuti Rasul-Nya semasa hidup dan sesudah wafatnya.

Ringkasnya:

Apabila berdepan dengan musibah sebegini bagi sesuatu organisasi Islam, kita perlu bersabar dan Tsabat (tetap berpegang) kepada prinsip yang diperjuangkan oleh beliau dan organisasi Islam yang diasaskan.

`Jika Allah SWT memberi hidayah kepada seorang lelaki lantaran anda, itu lebih baik bagimu daripada apa yang disinari matahari' HR At Tobrani