DAKWAH MELALUI TIKTOK
DAN KESANNYA KEPADA REMAJA MUSLIM DI MALAYSIA
Mohd
Amirul Hafiz Ahmad, Solehuddin Shuib, Khairulazhar Samsudin, Muhammed bin
Yusoff[1]
1Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan,
Akademik Pengajian Islam, Universiti Malaya, 50603 Kuala Lumpur, Malaysia
Emel:
my77@um.edu.my
KHULASAH
Islam dan dakwah adalah seiring
malah berkait secara langsung dengan kehidupan umat Islam yang merupakan tugas penting
dan tanggungjawab setiap individu Muslim. Pelaksanaannya tidak boleh dipisahkan
sama ada berdakwah kepada kelompok yang kecil seperti ahli keluarga terdekat
atau melibatkan kumpulan yang besar dalam masyarakat sesebuah negara. Seluruh
para nabi, rasul, sahabat, mereka yang selepasnya hingga ke hari ini meneruskan
kesinambungan risalah dakwah berdasarkan metod yang sesuai. Sekarang ini,
medium atau wasilah dakwah telah berubah selaras dengan peredaran masa. Kertas kerja ini akan memberikan tumpuan
kepada media dakwah terbaru yang digunakan oleh pendakwah khususnya kepada
golongan remaja menggunakan aplikasi TikTok,
mengupas perbezaan dakwah tradisional dan dakwah melalui TikTok,
memperincikan sasaran dakwah atau mad’u, implikasi penggunaan dakwah melalui
TikTok kepada remaja, tema kandungan dan mencadangkan beberapa garis panduan
yang perlu diikuti apabila menggunakan TikTok sebagai medium berdakwah kepada
golongan remaja.
Kata kunci: Islam, Dakwah, Remaja, TikTok
PENGENALAN
Dakwah
penting dalam kehidupan umat Islam sepertimana di zaman Rasulullah ﷺ sendiri di mana baginda bersama para sahabat
menyampaikan dakwah Islam khususnya kepada kaum Musyrikin dan golongan yang
bukan beragama Islam agar kembali kepada akidah yang sebenar. Mekanisma dan
medium yang digunakan sebagai media ketika itu antaranya melalui penceritaan
dan kisah-kisah terdahulu yang ditunjukkan di dalam al-Quran. Malah baginda
sendiri menugaskan beberapa orang sahabat untuk menyebarkan dakwah dengan
berseni di pentas-pentas syair dan di waktu yang sama membalas tohmahan dari
para Musyrikin terutamanya di Mekah. Inilah juga sebenarnya tugas umat Islam
yang bertindak sebagai pendakwah bertanggungjawab menyampaikan dakwah dengan
pelbagai cara. Bagi menarik golongan remaja khususnya untuk mendengar,
mengikuti dan menonton dakwah berunsur Islam, maka penyampaian pendakwah
perlulah mempunyai etika, akhlak yang baik serta isi yang bermanfaat. Ini selaras
dengan firman Allah S.W.T. dalam surah al-Imran ayat 104:
وَلْتَكُنْ مِّنْكُمْ اُمَّةٌ يَّدْعُوْنَ اِلَى
الْخَيْرِ وَيَأْمُرُوْنَ بِالْمَعْرُوْفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ ۗ
وَاُولٰۤىِٕكَ هُمُ الْمُفْلِحُوْنَ
“Dan hendaklah di
antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh
(berbuat) yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah
orang-orang yang beruntung.”
Perjalanan waktu dan masa telah
merubah kaedah dakwah pada masa kini di mana kemajuan teknologi dilihat
mendominasi penyampaian maklumat kepada masyarakat khususnya golongan remaja.
Ia merupakan dimensi baru yang telah merubah corak dakwah melalui pelbagai
platform media sosial dan tidak hanya tertumpu kepada media cetak dan
elektronik semata-mata. Terkini, TikTok
yang merupakan salah satu aplikasi di media sosial telah mencatatkan pengguna
terbesar dan berada dalam kedudukan tertinggi berbanding aplikasi media sosial
yang lain seperti Facebook, Twitter, Instagram, dan Whatapps. Media dakwah
melalui medium ini dengan penyampaian yang bersahaja, kreatif dan unik mampu
digunakan oleh pendakwah khususnya kepada golongan sasar di kalangan remaja
dalam menyampaikan dakwah seterusnya sentiasa berada terkehadapan dalam
penggunaan teknologi masa kini.
OBJEKTIF KAJIAN
Kertas kajian ini
memfokuskan kepada 3 objektif yang utama:-
i.
Menghuraikan
perubahan dalam pendekatan dakwah dari kaedah berdasarkan tradisional kepada
media sosial menggunakan aplikasi TikTok.
ii.
Menjelaskan
peri pentingnya sasaran dakwah atau mad’u khususnya kepada para remaja melalui
medium TikTok dan menerangkan implikasi positif dan negatif.
iii.
Mengemukakan
cadangan beberapa tema kandungan dakwah yang sesuai digunakan di media TikTok
ini dan seterusnya memberikan garis panduan dakwah di TikTok kepada para
remaja.
DEFINISI
Bagi mengupas secara terperinci topik ini, dikemukakan
beberapa istilah dan definisi yang terkait dengannya meliputi:-
Wasilah Dakwah - merujuk kepada perantara, medium atau media dakwah yang digunakan bagi
menyampaikan apa jua bahan dakwah. Penyampaian dakwah Islam sama ada kepada
kelompok yang kecil atau besar, perlu menggunakan pelbagai medium di antaranya
melalui aplikasi TikTok.
Mad’u -
adalah orang atau mereka yang menjadi sasaran dakwah atau manusia penerima
dakwah sama ada secara individu ataupun berkelompok, baik yang beragama Islam
mahupun yang bukan beragama Islam atau tidak beragama. Konteks mad’u ini luas
mencakupi semua manusia berpandukan
topik dan kesesuaian dakwah yang hendak disampaikan.
Remaja -
golongan ini disebut Generasi-Z iaitu mereka yang lahir pada tahun 1997 dan ke
atas dalam lingkungan umur di antara 21 hingga 35 tahun. Ketika ini kemajuan
teknologi sedang berkembang pesat dan kebanyakkan remaja dalam Generasi-Z
adalah mereka yang celik teknologi maklumat. Kajian menunjukkan golongan remaja
memiliki handphone sendiri seawal umur 10 tahun dengan purata
menghabiskan 3 jam sehari masa penggunaannya. Mereka menggunakan medium media
sosial sebagai elemen terpenting dalam hubungan sosial dan sangat bergantung
kepada digital atau secara maya. Pada masa kini, inilah sasaran dakwah yang
perlu diberi keutamaan.
TikTok -
merupakan aplikasi perkhidmatan rangkaian media sosial berbentuk perkongsian
video yang berdurasi pendek (sesingkat 3 saat hingga 10 minit), menyediakan
ruang muat turun yang terhad dan isi kandungannya menyeronokkan. Ia dicipta
oleh Zhang Yiming dari negara China pada tahun 2016 dan berada dalam kedudukan
lima tangga teratas aplikasi media sosial terkini selain Instagram, Facebook,
Whatapps dan Twitter. Berdasarkan penyelidikan tahun 2022, statistik penggunaan
TikTok ini telah mencecah 1 bilion pengguna yang majoritinya adalah golongan
remaja. Mereka tertarik dengan aplikasi ini kerana mempunyai pelbagai fungsi
dan ciri seperti merakam, menyunting, mengolah, memuat turun, kesan istimewa (special
effects) yang terdiri dari effect shaking dan shavering serta kemasukan lagu yang sesuai dengan video yang ingin
dikongsi kepada orang lain.
OBJEKTIF 1 : KAEDAH
PENDEKATAN MEDIA DAKWAH SECARA TRADISIONAL BERBANDING MEDIA BARU MENGGUNAKAN
APLIKASI TIKTOK
Tidak dapat dinafikan perubahan zaman, masa dan keadaan
terutamanya perkembangan teknologi telah merubah kehidupan manusia termasuk
dalam aspek berdakwah. Jika dahulu dakwah secara tradisional dan masih juga ada
sehingga kini, ia dilakukan secara bersemuka dan bertemu secara fizikal. Namun
melalui dakwah media baru seperti TikTok, penyampaian dakwah adalah secara maya
sahaja dan tidak secara fizikal. Biasanya hanya wajah sahaja yang terpapar pada
video yang dimuat turun berbanding dakwah tradisional yang memerlukan kehadiran
pendakwah itu sendiri terlihat di hadapan orang ramai.
Dari
segi masa penyampaian dan kupasan, dakwah secara tradisional adalah lebih
terperinci, jelas dan memerlukan masa yang agak panjang berbanding dengan media
TikTok yang lebih ringkas, santai, bersahaja, masa yang pendek dan terhad. Ini
kerana sesetengah dakwah tradisional adalah menggunakan kitab atau rujukan
tertentu yang memerlukan huraian tetapi TikTok hanya menumpukan penyampaian
dakwah kepada persoalan dan isu yang ringkas untuk dijawab. Seperti contoh
pendakwah Ustaz Azhar Idrus yang mempunyai bilangan pengikut (followers)
seramai 1.5 bilion, hanya menjawab persoalan-persoalan asas agama yang
ditanyakan kepada beliau. Sebahagian besar dari pengikut di TikTok beliau
adalah terdiri daripada golongan remaja.
Selain
itu, dakwah secara tradisional ini juga lebih menumpukan kepada lokaliti atau
setempat menyebabkan sasaran dakwah adalah terhad dan terbatas. Biasanya ia
tertumpu di kawasan yang tertentu seperti masjid, surau, madrasah dan pusat
pengajian di mana mereka yang hadir kebiasaannya adalah masyarakat setempat yang
selalu menghadiri majlis-majlis ilmu. Berbeza dengan medium dakwah melalui
aplikasi TikTok di mana sasaran dakwah adalah tanpa had dan batasan malah
melangkau hingga ke negara lain. Liputan yang luas ini membolehkan dakwah
disebarkan lebih meluas seperti Ustaz Wadi Anuar yang mempunyai bilangan
pengikut (followers) seramai 2.1 bilion. Pastinya penyampaian dakwah
oleh beliau ini lebih besar ruang sebarannya bukan sahaja di Malaysia, malah
mungkin sehingga ke negara jiran seperti Indonesia, Brunei dan Singapura.
Pendekatan dakwah tradisional juga terkadang menimbulkan
rasa kebosanan kerana cara penyampaian adalah statik dan kandungan yang tidak
pelbagai. Jika pengajian kitab, pasti wujud rasa kurang selesa kerana tiadanya
medium penyampaian dengan cara yang menarik. Namun bagi dakwah media baru
melalui TikTok, ia dapat mengurang dan menghilangkan kebosanan dalam
mempelajari ilmu agama. Ini kerana kaedah penyampaian lebih secara santai
dengan menggunakan elemen-elemen kreatif dan unik seperti ada imej, unsur
bunyi, lagu dan sebagainya sesuai dengan konteks dakwah yang ingin disampaikan.
OBJEKTIF 2 : KEPENTINGAN
SASARAN DAKWAH MELALUI APLIKASI TIKTOK KEPADA PARA REMAJA
Usia remaja merupakan detik yang tersangat penting kepada
seseorang individu kerana pada ketika ini ialah saat seseorang individu mencari
jati dirinya sendiri. Seiring dengan perkembangan semasa pada era digitalisasi,
media sosial telah memainkan peranan yang sangat penting dalam mempengaruhi
pembentukan jati diri para remaja.
Demam aplikasi Tiktok yang melanda para remaja masa kini
telah menyebabkan kesan yang besar dari sudut positif dan negatif. Peningkatan
pengguna aplikasi Tiktok adalah kerana aplikasi ini telah dipopularkan oleh
para artis serta figura publik dari dalam serta luar negara, dan ini
mempengaruhi penggunaan Tiktok oleh para remaja masa kini.
Remaja
yang didedahkan dengan perkara-perkara positif melalui Tiktok, akan
mempengaruhi pembentukan jati dirinya menjadi seorang yang baik, dan mempunyai
nilai-nilai yang positif. Sebaliknya, bagi seseorang remaja yang dipengaruhi oleh
unsur-unsur negatif melalui Tiktok, akan membentuk jati diri menjadi seorang
yang nakal, serta mempunyai nilai-nilai negatif.
Justeru itu, adalah
menjadi sesuatu yang relevan, sekiranya para pendakwah mula menerapkan
unsur-unsur dakwah melalui Tiktok, kerana perkara ini dapat meningkatkan
penerapan nilai-nilai positif kepada para remaja, serta dapat mengajak remaja
kembali berpegang kepada hukum agama.
POSITIFNYA PENGGUNAAN
TIKTOK SEBAGAI MEDIUM DAKWAH
Yang pertama, aplikasi Tiktok telah mula mendapat tempat di hati remaja, dengan
figurasi-figurasi menarik yang disediakan melalui aplikasi tersebut. Menerusi
figurasi-figurasi yang disediakan oleh penyedia perkhidmatan aplikasi tersebut,
para remaja bebas dalam mengekspresi diri mereka melalui aplikasi tersebut. Ini
adalah bersesuaian dengan jiwa yang inginkan kebebasan dalam mengekspresi diri.
Mereka juga gemar melihat video-video pendek yang disediakan oleh ramai orang
melalui aplikasi tersebut.
Menerusi
figurasi-figurasi yang disediakan dalam Tiktok juga, para pendakwah dapat
menggunakan aplikasi ini untuk menambat hati para remaja bagi meminati elemen
agama, kerana aplikasi ini bersesuaian dengan jiwa para remaja masa kini yang
gemar menononton keratan-keratan video yang disulami dengan efek menarik.
Yang
kedua ialah, aplikasi Tiktok merupakan aplikasi yang trending pada
masa kini. Menurut kajian oleh Tuty Mutiah (2002), aplikasi Tiktok merupakan
aplikasi kedua terbesar selepas Whatsapp yang digunakan oleh manusia pada zaman
sekarang. Kemunculan figura-figura publik yang banyak menyebabkan para remaja
gemar menghabiskan masa melalui aplikasi ini. Ini menjadi satu peluang bagi
para pendakwah mendekati para remaja, kerana aplikasi ini telah menjadi ‘kolam’
bagi para remaja.
Yang
ketiga, remaja sangat tertarik dengan figurasi-figurasi menarik yang
disediakan melalui Tiktok, seperti Tiktok challenge dan sebagainya. Para
pendakwah juga dapat menarik para remaja melalui figurasi-figurasi ini.
Efek-efek menarik untuk pembuatan video seperti special effect, sound effect
serta pemilihan lagu-lagu yang unik dalam editing video merupakan
perkara yang mengikut arus semasa serta diminati oleh para remaja. Para
pendakwah dapat menggunakan semua efek melalui aplikasi Tiktok ini untuk membuat
keratan video-video dakwah yang menarik para remaja.
Yang
keempat, seperti yang sedia maklum, aplikasi Tiktok menjadi kegilaan para
remaja dan menjadi tempat berkumpulnya para remaja. Ini menjadikan Tiktok
sebagai sebuah tempat yang sesuai bagi menyampaikan dakwah mengikut sasaran.
Para pendakwah boleh memanfaatkan perkara ini untuk menyasarkan para remaja
bagi menyampaikan ilmu agama agar para remaja boleh diterapkan dengan perkara
yang positif.
Kesan
positif kelima ialah, penyampaian dakwah melalui medium media sosial
Tiktok dapat menerapkan hukum hakam agama kepada para remaja. Media sosial
banyak melaporkan isu-isu mengenai masalah sosial yang dihadapi oleh para
remaja masa kini. Ini adalah kerana kurangnya penerapan hukum hakam agama
kepada para remaja. Dakwah melalui aplikasi Tiktok dapat diyakini mampu
menerapkan kefahaman hukum hakam agama kepada para remaja masa kini.
NEGATIFNYA PENYAMPAIAN
DAKWAH MELALUI TIKTOK
Penyampaian dakwah melalui media sosial, selain mempunyai
sudut yang positif, turut mengandungi sisi negatifnya. Yang pertama,
tiada tapisan terhadap isi kandungan dakwah. Terdapat segelintir pendakwah yang
menyampaikan perkara-perkara yang bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah wal
Jamaah, serta menyampaikan perkara-perkara yang tiada nas sahih dalam dakwah
mereka. Ini menyebabkan remaja terpengaruh dengan pegangan yang bertentangan
dengan Ahli Sunnah wal Jamaah.
Yang kedua,
untuk menyampaikan dakwah melalui Tiktok tidak memerlukan tauliah mengajar dari
negeri masing-masing. Ini menyebabkan sesiapa sahaja bebas untuk menyampaikan
dakwah melalui Tiktok, walaupun tidak mempunyai kelulusan dalam bidang agama.
Perkara ini membahayakan kerana mampu membawa kesesatan pegangan para remaja.
Yang ketiga,
Tiktok hanya menawarkan figurasi keratan video sahaja. Ini menyebabkan orang
awam, khususnya para remaja tidak dapat mempelajari sesuatu ilmu itu secara
penuh atau sempurna seperti pengajian di institusi agama. Mereka hanya mampu
mempelajari sesuatu ilmu itu secara separuh-separuh sahaja dan bukannya
mengkhatamkan satu kitab.
Yang keempat,
hasil dari penerapan pembelajaran agama melalui keratan-keratan video pendek
Tiktok, para remaja kini lebih tertarik untuk mengutip ilmu agama hanya melalui
aplikasi tersebut. Para remaja semakin kurang minat untuk mempelajari ilmu
agama secara formal melalui institusi kegamaan, kerana bagi mereka cukup
sekadar mengutip ilmu melalui keratan video dalam aplikasi tersebut.
Yang kelima,
dakwah melalui Tiktok juga menghadapi kekangan, kerana kurangnya sokongan
melalui pihak kerajaan. Pihak kerajaan belum lagi menyediakan garis panduan
dakwah melalui Tiktok. Latihan untuk penggunaan aplikasi ini kepada para
pendakwah juga tidak disediakan, termasuk perkakas untuk memperkemaskan rakaman
video dakwah, seperti lighting, microphone dan sebagainya.
OBJEKTIF 3 : TEMA
KANDUNGAN DAKWAH YANG SESUAI DIGUNAKAN DAN GARIS PANDUAN DAKWAH DI TIKTOK
KEPADA REMAJA
Di dalam objektif tiga ini, kami akan jelaskan tema kandungan dakwah yang
sesuai digunakan dan garis panduan dakwah di tiktok kepada remaja. Berkaitan tema kandungan dakwah ianya dapat
difokuskan kepada aspek i)akidah, ii) syari’ah, iii) mua’malah dan iv) akhlaq.
TEMA DAKWAH (I)
ASPEK AKIDAH
Di dalam aspek akidah, bahan yang sesuai perlu
berfokuskan kepada tema-tema berikut.
Antaranya bermula dengan pembentukan akidah. Menurut Fathi yakan di dalam kitabnya
Bagaimana mana kita menyeru kepada Islam, dijelaskan membentuk akidah membawa
maksud menciptakan cara berfikir yang benar terhadap maya pada ini, serta
manusia dalam kehidupan ini. Paling
minimum, mestilah diyakinkan terhadap rukun iman, terutamanya iman kepada Allah
SWT. Ini merupakan asas dalam
pembentukan keperibadian sebagai seorang Muslim.
Pembinaan akidah ini kemudiannya akan bersambung dengan
pembinaan amal. Remaja perlu diyakinkan
bahawa Islam merupakan pedoman hidup yang akan menuntun manusia dalam memenuhi
tuntutannya dalam kehidupan. Peraturan
yang lain adalah kurang lengkap kerana berasal dari manusia.
Di dalam aspek akidah ini juga, bahan yang boleh
dikemukakan ialah memberi pandangan terhadap waqi’(realiti) semasa. Bencana pertama yang menimpa ummah dewasa ini
ialah kerana rosaknya akidah mereka.
Telah masuk faham maddiyah dan atheisme dalam jiwa masyarakat. Akibatnya jiwa agama menjadi goncang.
TEMA DAKWAH (II)
ASPEK SYARI’AH
Bahan mengenai ajaran syari’ah amat luas dan ianya
mengikat seluruh umat Islam. Syari;ah
adalah ibarat jantung dalam kehidupan umat Islam. Bahan dakwah yang menjelaskan syari’ah akan
memberi gambaran yang jelas berkaitan status hukum yang bersifat wajib, sunat,
makruh, mubah, dan haram.
TEMA DAKWAH (III)
ASPEK MU’AMALAH
Di dalam Islam, urusan muamalah mempunyai skop yang besar
bahagiannya daripada ibadah khusus.
Islam lebih banyak menekankan aspek kehidupan sosial dari aspek
kehidupan ritual. Islam ajarannya
bersifat syumul yang menjadikan bumi yang terhampar luas sebagai mihrab untuk
beribadah kepada Allah SWT. Ibadah dalam
mu’amalah bolehlah diertikan sebagai ibadah yang mencakupi hubungan kita dengan
Allah SWT.
TEMA DAKWAH (IV)
ASPEK AKHLAQ
Dari segi bahasa akhlaq membawa maksud budi pekerti,
perangai, tingkah laku atau tabiat.
Menurut Dr Abul Karim Zaidan, di dalam kitabnya Usul Dakwah, akhlak itu
adalah nilai-nilai dan sifat-sifat yang tertanam dalam jiwa dengan sorotannya
seseorang dapat menilai baik atau buruknya perbuatan untuk kemudian memilih
untuk melakukannya atau tidak. Menurut
Fatin Farzana, di dalam penulisannya yang bertajuk, Keberkesanan Aktiviti
Dakwah Dalam Aplikasi Tiktok Terhadap Akhlak Mahasiswa, beliau telah berkongsi
dapatan kajiannya bahawa dakwah melalui
telah berjaya memberi kefahaman yang lebih jelas kepada remaja universiti. Pendekatan dakwah tiktik ini juga berjaya
membuatkan mahasiswa insaf daripada melakukan perkara yang bertentangan dengan
syari’at Islam. Selain itu, sebahagian
mahasiswa sentiasa berkongsi ilmu yang diperolehi dari dakwah media tiktok
dengan rakan-rakan yang lain. Dan akhir
sekali, sebahagian mahasiswa terinspirasi untuk lebih mendalami ilmu agama dan
menjadi da’i pada hadapan.
Ringkasnya, mesej dakwah di dalam tiktok ini akan
memuatkan ajaran Islam secara umum meliputi aspek akidah, syari’ah, mu’amalah
dan akhlaq.
Bahagian kedua objektif 3 penulisan ini, kami akan
menjelaskan berkaitan garis panduan ataupun etika posting di dalam tiktok. Di sana ada lima(5) perkara yang perlu dijaga
antaranya memberikan maklumat yang sah dan terpercaya, menghindari prasangka,
menghnidari sukhriyah, mendapakan fakta, dan menjauhi mengadu
domba(namimah). Kelima-lima perkara ini
akan dihuraikan satu persatu di bawah.
ETIKA PERTAMA IALAH MEMBERIKAN MAKLUMAT YANG SAH DAN
TERPERCAYA.
Sebagai seorang muslim, kita mestilah mengelakkan
memberikan kesaksian palsu kepada orang lain.
Di dalam Al Quran surah Al Haj ayat 30, Allah SWT menghindari perbuatan
buruk ini.
ذَٰلِكَ وَمَنْ يُعَظِّمْ حُرُمَاتِ
اللَّهِ فَهُوَ خَيْرٌ لَهُ عِنْدَ رَبِّهِ ۗ وَأُحِلَّتْ لَكُمُ الْأَنْعَامُ إِلَّا
مَا يُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ ۖ فَاجْتَنِبُوا الرِّجْسَ مِنَ الْأَوْثَانِ وَاجْتَنِبُوا
قَوْلَ الزُّورِ
Ertinya:
Demikianlah (perintah Allah). Dan barang siapa
mengagungkan apa yang terhormat di sisi Allah (hurumat) maka itu lebih baik
baginya di sisi Tuhannya. Dan dihalalkan bagi kamu semua hewan ternak, kecuali
yang diterangkan kepadamu (keharamannya), maka jauhilah olehmu (penyembahan)
berhala-berhala yang najis itu dan jauhilah perkataan dusta.
ETIKA KEDUA IALAH MENGHINDARI PRASANGKA(DZHON)
Prasangka dalam Islam disebut dzhon. Suuz dzhon yang haram ialah suuzhan kepada
Allah SWT dan kepada sesama mukmin tanpa bukti atau pertanda yang nyata. Islam mengecam keras kepada mereka yang
bertindak berdasarkan prasangka. Kecaman
ini dijelaskan oleh Allah SWT di dalam surah Al Hujurat, ayat 12.
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا
اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا
وَلَا يَغْتَبْ بَعْضُكُمْ بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَنْ يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ
مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَحِيمٌ
Ertinya:
Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan
purba-sangka (kecurigaan), karena sebagian dari purba-sangka itu dosa. Dan
janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah menggunjingkan satu sama
lain. Adakah seorang diantara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang
sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada
Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.
ETIKA KETIGA IALAH MENJAUHI SUKHRIYAH
Sukhriyah adalah suatu perilaku yang merendahkan orang
lain dengan mencaci-maki, menghina, mengolok-olok seseorang sehingga
menimbulkan kebencian dalam diri seseorang. Sukhriyah sama dengan perilaku bullying. Perkara ini amat dilarang oleh Islam kerana
mempengaruhi kesihatan mental seseorang.
Larangan ini dijelaskan di dalam Al Quran di dalam surah Al Hujurat ayat
11.
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا
لَا يَسْخَرْ قَوْمٌ مِنْ قَوْمٍ عَسَىٰ أَنْ يَكُونُوا خَيْرًا مِنْهُمْ وَلَا نِسَاءٌ
مِنْ نِسَاءٍ عَسَىٰ أَنْ يَكُنَّ خَيْرًا مِنْهُنَّ ۖ وَلَا تَلْمِزُوا أَنْفُسَكُمْ
وَلَا تَنَابَزُوا بِالْأَلْقَابِ ۖ بِئْسَ الِاسْمُ الْفُسُوقُ بَعْدَ الْإِيمَانِ
ۚ وَمَنْ لَمْ يَتُبْ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ
Ertinya:
Hai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang
laki-laki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu
lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan
kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. Dan janganlah
suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung
ejekan. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan
barangsiapa yang tidak bertobat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.
ETIKA KEEMPAT IALAH MENEMUKAN FAKTA(TABAYYUN)
Allah SWT telah memerintahkan orang Islam untuk mencari
kebenaran suatu berita atau informasi dan tidak mencari kesalahan orang lain
sehingga cenderung kepada sikap tajassus. Firman Allah SWT di dalam surah Al
Hujurat ayat 6,
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا
إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ
فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ
Ertinya:
Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang
fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak
menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang
menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.
ETIKA KELIMA IALAH MENJAUHI MENGADU DOMBA(NAMIMAH)
Menurut bahasa kata namimah itu berasal dari bahasa Arab
yang berarti "Adu Domba". Sedangkan menurut istilah bahwa namimah
adalah mengadukan suatu perkataan atau menyampaikan sesuatu kepada orang lain
yang tidak disenangi. Perkataan tersebut yang diadukan, adakalanya dengan
bentuk cerita, tulisan, isyarat atau dengan sindiran.
Dari definisi tersebut, maka dapatlah diketahui bahwa
namimah adalah suatu perilaku mengadu domba atau menyebarkan fitnah kepada ornag lain dengan tujuan agar di antara
mereka saling bermusuhan.[2]
Dari Hudzaifah radhiyallahu ‘anhu berkata :
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda:
لاَ يَدْخُلُ
الْجَنَّةَ نَمَّامٌ. (متفق عليه)
Ertinya:
Tidak masuk Surga orang yang suka mengadu domba. (Muttafaq ‘alaihi).
Daripada
penjelasan di atas, dapatlah kita fahami akan kepentingan menjaga komunikasi
yang baik di dalam penggunaan tiktok.
Kita mestilah mempastikan penjagaan etika ini akan tidak berlaku
penyimpangan dari ajaran Islam.
KESIMPULAN
Sebagai kesimpulannya, dapatlah dirumuskan bahawa TikTok
ini banyak memberi manfaat kepada remaja serta dapat juga memberi kesan yang
buruk. Kesan yang baik apabila digunakan bagi mendapatkan informasi atau
maklumat yang berguna dan buruk apabila digunakan bagi tujuan yang negatif. Dakwah melalui TikTok ini adalah sangat
memberi kesan yang efektif terutamanya dalam kalangan remaja kerana penyebaran
maklumat tanpa sempadan dan tidak terbatas dengan ruang dan waktu telah membuka
satu ruang besar kepada peningkatan ilmu dakwah dalam kalangan remaja kini.
RUJUKAN
Analisis Konten
Dakwah Dalam Aplikasi TikTok di Kalangan Remaja, Shafa Tasya Kamilah, Putri
Adiniyah Shoheh, Mufti Khairul Zain, & Meity Suryandari, Jurnal Politik,
Sosial, Hukum & Humaniora, Vol. 1, No.1, Institut Agama Islam Az Zaytun,
Indonesia, 2023.
Bukan Sekadar
Hiburan, TikTok Kini Jadi Medan Dakwah. Astro Awani. [Online]:
https://www.astroawani.com/berita-malaysia/bukan-sekadarhiburan-TikTok-kini-jadi-medan-dakwah,
Bernama, 2021.
Kepentingan dan
Peranan Aplikasi TikTok Dalam Menyebarkan
Dakwah di Kalangan Remaja, Nurul Jannah binti Abdul Manan, Nuru Iflah
binti Muhamad Lutfi, Nurul Izzah binti Sa’hari Anuar, & Syed Najihuddin bin
Syed Hassan, E-Prosiding Konvensyen Kearifan Nusantara Ke-IV (ARIF), 2023.
Keberkesanan Aktiviti
Dakwah Dalam Aplikasi Tiktok Terhadap Akhlak Mahasiswa, Fatin Farzana binti
Dass Meral & Safinah binti Ismail, Jabatan Dakwah dan Usuluddin, Universiti
Islam Selangor (UIS), Bangi, 2022.
Media Sosial Sebagai
Platform Penyampaian Dakwah: Implikasinya Terhadap Remaja, Anis Nur Athirah
Anuar, Raudhatul Jannah Azhar, Nurdamia Khalida Kasim, & Prof. Madya Dr.
Syed Najihuddin Syed Hassan, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti
Sains Islam Malaysia (USIM).
Platform TikTok
Sebagai Media Dakwah di Kalangan Remaja Milenial, Tsalits Maratun Nafiah, Hazmi
Ihkamuddin, luluk Fikri Zuhriyah, Studi Analisis Konten Dakwah, Universitas
Islam Negeri (UIN), Surabaya.
Platform TikTok
Sebagai Representasi Media Dakwah di Era Digital, Clara Sinta Pratiwi, The
Journal of Islamic Communication and Broadcasting, Vol. 2, No. 1, Universitas
Islam Nasional (UIN), 2022.
Pemanfaatan Aplikasi
TikTok Sebagai Media Dakwah Terhadap Generasi Z, Roby Aditya Putra, Jurnal
Dakwah dan Komunikasi, Institut Agama Islam Negeri (IAIN), Bengkulu, 2023.
Pemanfaatan Media
TikTok Sebagai Media Dakwah, Ikhwan Mukhlis, Program Studi Komunikasi dan
Penyiaran Islam, Fakultas Dakwah, Universitas Islam Negeri (UIN), 2022.
Pengaruh Dakwah di
Media Sosial TikTok Terhadap Tingkat Religiusitas Remaja di Demak, Lutfiana
Allisa & Agus Triyono, Jurnal Ilmu Komunikasi, Universitas Muhammadiyah
Surakarta, Jawa Tengah, Indonesia, 2023.
TikTok Sebagai
Platform Dakwah: Implikasi Kepada Remaja, Tuan Nur Auni Qasrina binti Tuan Mohd
Mawardi, Nur Hidayatul Adawiyah binti Zulkefli, Rai Izni Fatin binti Zahran,
& Prof. Madya Dr. Syed Najihuddin bin Syed Hassan, Persidangan Antarabangsa
Sains Sosial dan Kemanusiaan ke-7 (PASAK 7), Fakulti Pengajian Quran dan
Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), 2022.