KUPASAN AHLIYAH AL WUJUB(اهلية الوجوب) DAN AHLIYAH AL ADA’(اهلية الاداء ): KEPENTINGAN DAN PERBEZAANNYA

 


 


TAJUK                                    : KUPASAN AHLIYAH AL WUJUB(اهلية الوجوب)  DAN AHLIYAH AL  

                                                       ADA’(اهلية الاداء ): KEPENTINGAN DAN PERBEZAANNYA

 

PENSYARAH                          : DR. MUHAMMAD IKHLAS BIN ROSELE

 

NAMA PELAJAR (NO. MATRIK):     

AMIR IMRAN ABU YAMIN

KHAIRULAZHAR SAMSUDIN 

MOHD AMIRUL HAFIZ BIN AHMAD

SOLEHUDDIN SHUIB                                   

PROGRAM                              : UFL521 DAN UFK521

 

KANDUNGAN

PENGENALAN.. 3

TAKRIF AL AHLIYAH(الاهليه) 4

KLASIFIKASI AL AHLIYAH

(1)   AHLIYAH AL WUJUB(اهلية الوجوب)

(2) AHLIYAH AL ADA’ (اهلية الاداء ) 7

PERINGKAT (ADWAR) AL AHLIYAH.. 11

KEPENTINGAN AL AHLIYYAH.. 15

KESIMPULAN.. 16

RUJUKAN.. 17

 


 

PENGENALAN

Ahliyah Al Wujub(اهلية الوجوب) dan Ahliyah Al Ada’ (اهلية الاداء ) adalah salah satu cabang ilmu dalam bidang Usul Fiqh. Sebelum mengupas lebih lanjut mengenainya, kita perlu memahami konsep asas berkaitan Al Mahkum ‘Alaih iaitu merujuk kepada perbuatan seseorang manusia atau pelaku yang terkait ke atasnya hukum sepertimana yang diarahkan oleh syara’. Ia lebih dikenali dengan sebutan mukallaf (subjek hukum) kerana ke atasnya dibebani segala hukum syara’ tersebut. Terdapat dua syarat yang perlu dimiliki oleh seorang mukallaf iaitu berkemampuan dalam memahami hukum-hukum syari’e berdasarkan nas dalil (Al Quran dan Hadis) yang ditaklifkan berasaskan akal (ilmu pengetahuan) dan baligh (mencapai tahap kematangan). Syarat kedua ialah berkelayakan dan mampu melaksanakan hukum-hukum taklif (tanggungjawab) tersebut. Oleh itu seorang yang mukallaf adalah memenuhi kriteria berdasarkan dia adalah orang yang sedar, baligh dan berakal selaras dengan hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari bermaksud:

“Diangkat pembebanan hukum dari 3 (jenis orang) iaitu orang yang tidur sehingga ia bangun, anak kecil sampai ia baligh dan orang gila sampai sembuh”.

Ahliyyah(الاهليه) merupakan salah satu unsur dan keperluan utama yang ditetapkan dalam menetapkan hukum. Antara persoalan yang timbul ialah

q  Apakah pengertian Al Ahliyah?

q  Apakah pembahagian dari Al Ahliyah?

q  Apakah adwar al Ahliyah dan kepentingan mempelajarinya?

Bertolak dari persoalan ini, kertas kerja ini akan merungkainya berdasarkan objektif sepert I berikut: i) Memberi penerangan konsep al mahkum alayh dan syarat-syaratnya, ii) Menjelaskan jenis-jenis ahliyah, dan iii) Menjelaskan adwar Al Ahliyah dan kepentingan mempelajari ahliyah.  Berikut dijelaskan akan definisi al ahliyah.

TAKRIF AL AHLIYAH(الاهليه)

Ahliyah(الاهليه) merupakan salah satu unsur dan keperluan utama yang ditetapkan dalam menetapkan hukum. Keseluruhan tindakan menuntut kepada kelayakan dan kelayakan ini diambil kira bagi setiap orang yang melaksanakan sesuatu. Oleh itu Ahliyah sangat penting dalam penetapan hukum untuk menimbangkan sesuatu perbuatan itu sah atau tidak di sisi syara’.

Dari sudut pentakrifan Al Ahliyah dibahagikan kepada dua. Pertama dari sudut bahasa adalah kelayakan atau keahlian. Asal dari perkataan ahl bermaksud orang yang berkelayakan, sesuai dan mempunyai keahlian untuk melakukan mengenai sesuatu perkara. Manakala dari segi istilah adalah kelayakan atau kesesuaian seseorang individu untuk menerima dan berhadapan dengan segala hak, kewajipan dan tanggungjawab yang disyariatkan ke atasnya (menjadi miliknya atau berhak dituntut daripadanya). Perspektif usul memberi makna kesesuaian seseorang manusia itu untuk memiliki hak dan melaksanakan urusan. Menurut pandangan beberapa tokoh dan ulama’ besar, takrifan Al Ahliyah adalah:

(1) Dr. Wahbah Az Zuhayli menakrifkan Al Ahliyah ialah satu kelayakan untuk individu bagi mensabitkan penerimaan hak-hak yang telah disyariatkan ke atasnya, kewajiban baginya serta sihat atau sah tasaruf dari individu terbabit.

(2) Menurut pandangan Dr. Abdul Razaq Hassan Al Ahliyah dari sudut istilah adalah keahlian individu untuk mendapatkan hak-hak yang membawa kepada kesungguhan serta membina secara terus tasaruf (perbelanjaan) yang daripada urusan tersebut mendapatkan hak-hak individu terbabit.

(3) Dr. Abdul Karim Zaidan pula menakrifkan Al Ahliyah merujuk kepada kelayakan bagi seseorang untuk mendapat segala hak dan tanggungjawab yang telah disyariatkan keatasnya.

Berdasarkan beberapa definisi di atas dapat disimpulkan bahawa konsep dan syarat umum Al Ahliyah merujuk kepada keahlian bagi seseorang individu menerima dan melaksanakan tanggungjawab syara’, berkemampuan dalam memahami kandungan dalil syara’ atau perintah Allah S.W.T. yang dikenakan ke atas dirinya, berkelayakan memikul beban dan tanggungjawab tersebut serta mendapat hak dalam menguruskan segala urusan bermula dari janin sehingga kepada kematiannya yang di dalamnya mempunyai tanggungjawab serta hak-hak tertentu yang perlu diketahui. Layaknya memikul tanggungjawab, baligh dan berakal bagi seseorang yang mukallaf adalah antara syarat sah taklifnya seseorang itu. Secara umumnya perbincangan Ahliyah berpandukan Usul Fiqh dibahagikan kepada dua iaitu Ahliyah Al Wujub dan Ahliyah Al Ada’. Berikut dijelaskan klasifikasi al ahliyah.

KLASIFIKASI AL AHLIYAH

(1)   AHLIYAH AL WUJUB(اهلية الوجوب)

 

Merujuk kepada kelayakan seseorang manusia atau individu yang terkait bagi mensabitkan ke atasnya berkaitan hak-hak dirinya seperti hak-hak nilai, tanggungjawab dan kewajiban yang disyariatkan padanya dari segi syara’. Dr. Hailani Mujir Tahir berpendapat Ahliyah Al-Wujub bermaksud keahlian wajib (capacity to acquire right), kelayakan seseorang bagi mendapat hak-hak yang ditentukan oleh syarak atau undang-undang. Syarat asas Ahliyah Al Wujub bagi manusia adalah bernyawa atau hidup di mana dari sisi pandang fuqaha’ terletak ke atasnya zimmah iaitu bebanan atau sifat yang menjadikan seseorang manusia itu layak bagi menerima dan melaksanakan kewajiban seperti yang dikehendaki oleh syara’. Pensabitan ke atas setiap manusia bermula sejak dari janin sehinggalah kematian yang dilalui pada setiap peringkat kehidupan mempunyai kelayakan kerana yang diperhitungkan ialah kehidupan dan bukannya akal seseorang. Kerana itu walaupun janin belum sempurna kejadiannya namun sabit ahliyah ke atasnya. Ahliyah Al Wujub terbahagi kepada dua iaitu:-

(1) Ahliyah Al Wujub Al-Naqisahاهلية الاداء ناقصة ) (tidak sempurna) adalah kesesuaian individu untuk menerima sesuatu hak dan wajib dilaksanakan sesetengah kewajipan. Kelayakan janin dalam perut ibunya sabit baginya hak tanpa kewajiban dengan syarat dilahirkan dalam keadaan hidup contohnya hak wasiat, wakaf dan pewarisan. Namun adalah tidak sah janin melaksanakan sedekah, hibah atau membeli untuknya walaupun dilakukan oleh wali. Begitu juga tidak wajib hartanya dinafkahkan kepada kaum kerabat dan sebarang belian. Ini kerana janin kurang berkelayakan berdasarkan dua sebab iaitu janin adalah sebahagian dari ibunya dan kedua kerana ia mempunyai nyawa dan hidup berasingan. Janin itu sendiri sifat kewujudannya adalah tidak pasti kerana syarat sabit hak bagi janin adalah jika dia berpisah dari ibunya dan hidup. Jika mati maka tidak layak menerima wakaf dan pewarisan wasiat.

AHLIYAH AL WUJUB AL NAQISAHاهلية الاداء ناقصة )

- kelayakan menerima hak yang belum sempurna.

- sabit ketika mana seseorang itu masih di peringkat janin dan wujud di dalam perut ibunya.

- dari sudut harta, haknya hanya berlaku pada perkara yang tidak memerlukan qabul sebagai contoh pewarisan harta, wakaf dan wasiat.

- hak ini hanya sabit ketika masih janin dan dalam kandungan ibunya. Tetapi penerimaan hak tersebut tergantung sehingga individu terbabit dilahirkan hidup barulah diserahkan haknya kepadanya. Namun jika dilahirkan mati, maka tertolak pemilikan ke atas hak-haknya.

 

(2) Ahliyah Al Wujub Al-Kamilahالاداء كاملة   اهلية) (sempurna) adalah sabit bagi manusia sejak lahirnya ke bumi dan tidak terpisah ketika masih hidup. Kelayakan ini menyebabkan ia boleh menerima hak dan melaksanakan kewajipan.Namun bagi kanak-kanak sebelum umur tujuh tahun, dia tidak mempunyai sebarang tanggungjawab kecuali Ahliyah Al Wujub yang sempurna. Maka hak dan kewajipan adalah di atas tanggungjawab wali seperti zakat (termasuk fitrah) dan nafkah. Bagi kanak-kanak, ia tidak mempunyai Ahliyah Al Ada’ yang mutlak kerana akal yang lemah (belum mumayyiz). Oleh itu akadnya tidak mendatang kesan syara’ dan merupakan akad yang batil.    

 

 

 

 

AHLIYAH AL WUJUB AL KAMILAHالاداء كاملة   اهلية)

- kelayakan individu untuk menerima tanggungjawab secara sempurna.

- sabit dari mula dilahirkan sehinggalah akhir hayat individu.

AHLIYAH AL WUJUB AL KAMILAHالاداء كاملة   اهلية)

- walaupun mendapat Ahliyyah Al Wujub Al Kamilah, kanak-kanak yang belum mumayyiz tidak mendapat kesan dari urusan-urusan akad. Ini bermakna semua tasaruf dari seorang kanak-kanak yang belum mumayyiz adalah tidak sah.

- tidak wajib bagi kanak-kanak yang belum mumayyiz untuk melaksanakan ibadah serta tidak jatuh hukum taklifiah ke atasnya.

- menurut pendapat Hanafiah, harta kanak-kanak yang belum baligh tidak diwajibkan zakat kerana tidak mencapai usia baligh dan belum mencapai usia yang boleh taklif agama ke atasnya.

 

(2) AHLIYAH AL ADA’ (اهلية الاداء )

 

Merujuk kepada kelayakan seseorang manusia atau individu untuk melaksanakan urusan syariah berdasarkan perilaku yang dituntut bertanggungjawab melakukan perbuatan atau percakapan yang selari dan diterima berdasarkan ketentuan syara’. Pengurusan ini membabitkan kesan hukum seperti sah dan batal, halal serta haram. Ini bermakna setiap perbuatan dan percakapan mempunyai kesan dan diambilkira dari sudut pandangan syara’. Menurut Dr. Hailani Mujir Tahir Ahliyah Al Ada’ ini adalah keahlian bertindak (capacity to exercise) dan kelayakan seseorang mengeluarkan tindakan percakapan yang diakui oleh syara’. Asas Ahliyah Al Ada’ adalah dari sudut berakal dan mumayyiz (mampu membezakan antara buruk dan baik). Kelayakan ini berkait secara langsung dengan tanggungjawab dan kewajiban untuk ditunaikan. Contohnya jika seseorang mendirikan solat subuh dengan sempurna, maka hukum ke atas ibadat solatnya adalah sah dan dianggap telah melaksanakan salah satu tanggungjawab agamanya yang diambilkira disisi syara’. Begitu juga kelayakan untuk berbelanja mahupun taklifan ke atas hukum syara’ ke atas individu tersebut mestilah dikira dari faktor usianya. Seseorang yang belum mumayyiz tidak akan mendapat Ahliyah Al Ada’. Oleh itu Ahliyah Al Ada’ terbahagi kepada dua iaitu:-

(1) Ahliyah Al Ada’ Al-Naqisah (tidak sempurna) merujuk kepada kelayakan yang sabit kepada manusia pada peringkat mumayyiz hingga baligh. Ibadat orang mumayyiz  contohnya haji, solat dan puasa adalah sah tetapi tidak wajib ke atasnya. Berkaitan transaksi atau urusan sama ada yang memberi manfaat, mudarat atau kedua-duanya, ia boleh dibahagikan kepada tiga:

(i) Jika transaksi memberi manfaat iaitu memberi kesan sesuatu kepada masuknya pemilikan tanpa balasan dan tanpa izin wali seperti menerima sedekah dan hibah, maka ia dibolehkan dan sah hukumnya.

(ii) Jika transaksi mendatangkan mudarat iaitu memberi kesan sesuatu kepada keluarnya pemilikan tanpa balasan seperti pembebasan hamba, talak, hibah dan wakaf, maka ia tidak sah walaupun mendapat kebenaran dari wali.

(iii) Jika transaksi berkemungkinan mendatangkan mudarat atau manfaat seperti sewa, pernikahan dan jual beli, maka bagi kanak-kanak mumayyiz yang mendapat izin walinya adalah sah. Namun di sisi Hanafi dan Maliki jika tiada keizinan wali maka transaksinya terhenti kecuali dengan izin wali kerana kurangnya kelayakan kanak-kanak mumayyiz.

 

 

 

 

 

 

 

AHLIYAH AL ADA’ AL NAQISAHاهلية الاداء ناقصة)

- kelayakan individu pada kategori ini untuk melaksanakan adalah belum sempurna.

- hanya boleh melaksanakan sebahagian sahaja pengurusan atau tindakan secara bersendirian, manakala selebihnya perlukan kepada wali.

- kelayakan ini diperuntukkan kepada mereka yang berada di peringkat mumayyiz yakni berumur tujuh tahun ke atas.

AHLIYAH AL ADA’ AL NAQISAHاهلية الاداء ناقصة)

- kelayakkan menerima mereka adalah sempurna namun kelayakan melaksanakan masih belum sempurna.

- terbahagi tasarrufnya pada tiga keadaan berasaskan kepada manfaat dan kemudaratan:

(1) Akad yang boleh dilaksanakan bersendirian tanpa wali. Akad ini hanya layak dilaksanakan sekiranya bermanfaat dan tiada risiko atas dirinya seperti menerima hibbah dan sedekah.

Akad yang boleh dilaksanakan bersendirian tanpa wali. Akad ini hanya layak dilaksanakan sekiranya bermanfaat dan tiada risiko atas dirinya seperti menerima hibbah dan sedekah.

(2) Akad yang yang tidak boleh dilaksanakan walaupun dengan keizinan wali. Akad ini mempunyai kemudaratan seperti mendermakan hartanya ataupun menceraikan isteri.

(3) Akad yang memerlukan keizinan wali. Akad ini berlaku apabila mempunyai risiko, manfaat dan kemudaratan yang sama banyak timbangannya seperti berjual beli, mudharabah serta lain-lain.

- mumayyiz juga terpecah kepada dua nisbah iaitu hak-hak Allah dan hak-hak hamba:

(1) Bagi hak-hak Allah adalah sah seorang kanak-kanak yang mumayyiz padanya seperti iman dan kufur, solat, puasa serta haji. Namun begitu, ibadah tidaklah diwajibkan atas kanak-kanak yang mumayyiz melainkan hanya dalam bentuk ta’dib dan tahzib.

(2) Hak-hak hamba di sisi mazhab Syafi’e, aqad dan tasarruf kanak-kanak yang mumayyiz adalah batal.

 

(2)   Ahliyah Al Ada’ Al-Kamilah (sempurna) merujuk kepada kelayakan yang sabit bagi orang yang berakal dan baligh. Berdasarkan jumhur petanda baligh adalah berdasarkan semulajadi seperti mimpi atau sampainya had umur tertentu (12 hingga 15 tahun ke atas). Ketika ini manusia berkelayakan kepada semua taklif syara’, wajib melaksanakannya dan berdosa jika meninggalkannya bagi semua perkara berkaitan ibadah seperti solat. Setiap perbuatannya diambil kira dan setiap transaksi serta akadnya adalah sah dan mendatangkan kesan syara’.

AHLIYAH AL ADA’ AL KAMILAH

- pada kategori ini, seseorang mempunyai kelayakan melaksanakan yang sempurna.

- berkelayakan melaksanakan pengurusan atau apa-apa tindakan mengikut keinginannya serta mempunyai kematangan.

- setiap risiko harus ditanggung oleh diri sendiri.

- hanya peringkat baligh dan rushd sahaja mendapat kelayakan ini.

- wajib bertanggungjawab atas setiap akad.

- berkelayakkan untuk berbelanja dalam bentuk berkaitan syara’ tanpa memerlukan pandangan dari orang lain.

- berkelayakkan menerima semua beban syara’.

 

 

 

 

 

 

 

Seterusnya akan dijelaskan pula peringkat-peringkat al ahliyah.

PERINGKAT (ADWAR) AHLIYAH

Ada lima fasa atau peringkat kehidupan dan peringkat kelayakan yang dilalui oleh manusia bermula dari dalam kandungan lagi (janin) sehinggalah baligh (memiliki kesempurnaan akal) dan akhirnya meninggal dunia. Kelayakan atau keahlian berbeza di setiap peringkat perkembangan sama ada sempurna atau tidak sempurna yang boleh dijelaskan dan dibahagi berdasarkan fasa atau peringkat seperti berikut:-

(1) Fasa Janin: Ini merupakan peringkat permulaan insan ketika dalam kandungan rahim ibunya sehingga ia dilahirkan. Pada peringkat ini, sabit pada janin tersebut Ahliyah Al Wujub Al-Naqisah (tidak sempurna) iaitu keahlian wajib yang tidak sempurna dan ke atasnya tiada tanggungjawab dari sisi syara’ mahupun harta. Pandangan Dr. Abdul Karim Zaidan apabila janin terpisah dari ibunya, ia dianggap sebagai manusia dan mempunyai zimmah iaitu sifat yang mempunyai nilai syara’ yang membolehkannya mempunyai kelayakan dari sudut hak dan tanggungjawab. Namun dia hanya memperolehi sebahagian daripada hak kerana pensabitan zimmah ke atasnya adalah tidak sempurna. Justeru dari sudut pandangan hukum, janin memperolehi hak tetapi tidak dipertanggungjawabkan seperti sabit hak ke atas janin yang tidak memerlukan kepada qabul seperti melibatkan soal menerima wasiat, mewarisi faraid dan mendapat hak wakaf. +

(2) Fasa Kanak-kanak (peringkat lahir hingga kanak-kanak yang belum mumayyiz): Peringkat ini diukur bermula dari lahirnya seseorang itu sehingga mencapai peringkat umur hampir mumayyiz.  Menurut pandangan oleh Dr. Abdul Karim Zaidan apabila janin dilahirkan dan hidup, maka sabitlah ia sebagai Ahliyah Al Wujub Al-Kamilah (sempurna) iaitu mempunyai zimmah yang sempurna serta mempunyai hak ke atas hak-haknya dan kewajiban. Bagi individu dalam golongan ini, mereka memperolehi sebahagian perbelanjaan dari keseluruhan harta dan juga memiliki tanggungjawab yang sempurna, namun tidak bagi dirinya untuk melaksanakannya (Ahliyah Al Ada’). Padanya diberikan tanggungjawab dan hak yang sepatutnya diterima tetapi tidak sama seperti orang dewasa. Segala akadnya tidak sah dan batal sekalipun menerima manfaat seperti wasiat dan hibah. Hukumnya tidak sah bertasaruf dengan seorang kanak-kanak yang belum mencapai tahap mumayyiz walaupun diganti dengan walinya atau mendapat izin dari walinya. Pada peringkat ini hak kanak-kanak dilihat berdasarkan perspektif:

(i) Hak Hamba iaitu hak yang berkaitan dengan kewangan dan qisas. Hak melibatkan kewangan seperti hak memberi upah kepada orang yang mengambil upah, hak membayar ganti rugi terhadap barang yang telah dirosakkan atau hak memberi nafkah kepada isteri dan kaum kerabat. Hak-hak ini dipertanggungjawabkan kepada kanak-kanak kerana dari segi pelaksanaannya ia boleh diganti oleh walinya. Manakala hak melibatkan balasan qisas tidak dipertanggungjawabkan kepada kanak-kanak kerana pelaksanaannya tidak boleh diganti oleh walinya. Cuma jika berkait dengan diyat ia agak berbeza kerana melibatkan implikasi kewangan.

(ii) Hak Allah iaitu perkara yang berkaitan secara langsung dengan ibadah dan iman. Tidak wajib kepada kanak-kanak untuk melakukannya sama ada melibatkan ibadah berbentuk fizikal seperti solat atau ibadah yang berkaitan dengan kewangan seperti zakat atau gabungan keduanya (ibadah dan harta) seperti menunaikan haji. Ini kerana tanggungjawab menunaikannya adalah dilaksanakan secara pilihan tanpa paksaan.

(3) Fasa Mumayyiz (kanak-kanak hingga baligh dan mumayyiz): Pada peringkat ini seseorang kanak-kanak telah berkeupayaan dalam memahami percakapan, menjawabnya semula serta berupaya membezakan di antara perkara yang baik dan buruk. Namun persoalan mumayyiz ini adalah perkara yang subjektif dan kebanyakkan ulama’ meletakkan aras iaitu umur tujuh tahun sebagai had umur usia seseorang kanak-kanak itu dianggap mumayyiz. Berdasarkan pandangan Dr. Abdul Karim Zaidan peringkat ini bermula ketika kanak-kanak berumur tujuh tahun sehingga mencapai umur baligh. Sabit ke atasnya Ahliyah Al Wujub Al-Kamilah (sempurna), pensabitannya lebih baik berbanding peringkat sebelum mumayyiz dan ditetapkan Ahliyah Al Ada’ untuk melaksanakannya. Namun Ahliyah Al Ada’ adalah Naqisah (tidak sempurna) dari sudut akalnya yang kurang sempurna. Maka ibadah yang dilakukan kanak-kanak ini adalah sah tetapi tidak dituntut. Contohnya berkaitan tindakan mereka yang melibatkan urusan kewangan seperti berikut:

(i) Tindakan yang mendatangkan manfaat penuh kepada kanak-kanak seperti menerima sedekah, hibah dan wasiat. Bentuk transaksi seperti ini sah bagi kanak-kanak tersebut dengan syarat mendapat kebenaran dari walinya atau pemegang wasiat. Ini kerana membenarkan transaksi ini dilakukan oleh kanak-kanak itu hukumnya harus dan membawa maslahah kepadanya.

(ii) Tindakan yang memberi mudarat kepada kanak-kanak seperti terkeluar sesuatu daripada hak miliknya tanpa sebarang pulangan seperti wakaf dan hibah. Bentuk transaksi seperti ini tidak sah malah walinya tidak berhak mengesahkan transaksi itu. Ini kerana wali tidak layak melakukannya bagi pihak kanak-kanak disebabkan asas pewalian adalah menjaga maslahah kanak-kanak dan bukannya mendatangkan keburukan kepadanya.

(iii) Tindakan yang mendatangkan kebarangkalian dan tiada kepastian akan adanya manfaat atau mudarat seperti melibatkan jual beli dan sewa. Bentuk transaksi seperti ini ada kebarangkalian melibatkan keuntungan dan kerugian. Sekiranya perbuatan itu dilaksanakan sendiri oleh kanak-kanak yang mumayyiz, maka tindakannya sah berdasarkan Ahliyah Al Ada’ yang dimilikinya. Namun begitu tindakannya masih tertakluk kepada kebenaran walinya kerana Ahliyah Al Ada’ adalah tidak sempurna (naqisah).

(4) Fasa Baligh (selepas baligh, dewasa hingga akhir hayat): Seseorang individu itu dinamakan baligh apabila sampai padanya sekurang-kurangnya salah satu dari tiga perkara berikut:

(i) Keluar mani bagi lelaki atau perempuan di antara usia 9 hingga 15 tahun.

(ii) Keluar haid bagi perempuan di antara usia 9 hingga 15 tahun.

(iii) Mencecah umurnya 15 tahun.

Orang baligh mempunyai keahlian bagi menunaikan semua kewajipan seperti yang dikehendaki oleh agama dan dituntut melaksanakan hukum syara’ lain dan ia terdiri daripada Ahliyah Al Wujub Al Kamilah (sempurna) seperti menghormati jiwa, mencegah kemungkaran, menggalakkan kebaikan dan sebagainya. Menurut Dr. Abdul Karim Zaidan apabila baligh dan berakalnya seseorang itu maka sabit ke atasnya Ahliyah Al Ada’ Al-Kamilah (sempurna), berkelayakan melaksanakan segala perintah Ilahi, dipertanggungjawabkan dengan semua bebanan syara’ serta semua akad dan tindakan yang dilakukan adalah sah tanpa perlu tertakluk kepada kebenaran sesiapa untuk melaksanakannya.

Dalam melaksanakan perkara-perkara berkaitan sivil seperti pewarisan harta dan sebagainya, para fuqaha menjelaskan bahawa individu pada usia ini mempunyai kelayakan yang sempurna untuk melaksanakan tanggungjawab. Ini adalah kerana individu ini telah mencapai usia matang maka segala urusniaga dan tindakannya harus terlaksana. Harta yang merupakan miliknya haruslah diserahkan kepadanya untuk diuruskan. Namun begitu syara’ menggariskan bahawa syarat untuk penyerahan harta kepada seseorang individu itu adalah kematangannya. Sekiranya seseorang telah mencapai usia baligh namun belum belum mencapai kematangan, maka urusniaga dan tindakannya tetap tidak terlaksana. Oleh itu syara’ menetapkan sekiranya dapat dibuktikan bahawa individu terbabit belum mencapai kematangan walaupun usianya telah baligh, maka hartanya tidak boleh diserahkan kepadanya.

(5) Rushd: Peringkat ini adalah peringkat di mana seseorang itu mencapai usia yang cerdik dan matang atau mencapai satu tahap kecerdikan akal. Maksudya di sisi syarak ialah individu terbabit mampu serta pandai dalam mentadbir harta-harta dunia walaupun individu terbabit seorang yang fasiq. Kematangan ini adalah sesuatu perkara yang tidak sama bagi setiap individu, bergantung kepada suasana persekitaran dan ilmunya. Ada individu yang mencapai kematangan ketika baligh, ada pula yang lebih lambat atau ada yang mencapainya sebelum baligh. Namun begitu, kematangan sebelum baligh tidak diambil kira di sisi syara’.

            Seseorang yang telah mencapai usia baligh dan mencapai kematangan, maka kelayakannya telah pun menjadi sempurna. Penjagaan serta pengawasan dari wali adalah terhenti dan harta-hartanya wajib diserahkan kepadanya. Segala bentuk urusan, atau tindakan dan ikrarnya terlaksana mengikut hukum. Ini berbeza jika seseorang itu mencapai usia baligh, tetapi tidak mencapai kematangan, ulama’ menetapkan pengurusan harta tidak boleh diserahkan kepadanya dan harus diawasi oleh walinya. Namun begitu, tidak semua urusan diserahkan kepada walinya apabila seseorang itu telah mencapai usia baligh tetapi belum mencapai kematangan. Urusan seperti mendisplinkan dirinya, perubatan, pendidikan serta perkahwinan haruslah diserahkan kepada dirinya sendiri. Had usia kematangan ini hanyalah tertakluk kepada bab pengurusan sahaja. Ulama’ berpendapat tidak ada had bilakah seseorang itu akan mencapai kematangan dan urusan hartanya tidak harus diserahkan kepadanya selagi belum mencapai kematangan.

            Imam Abu Hanifah tidak bersetuju dengan pendapat ini kerana menurut beliau apabila seseorang itu telah mencapai usia berakal dan baligh, maka kelayakan seseorang itu telah sempurna. Tetapi beliau juga berpendapat bahawa hartanya tidak boleh diserahkan kepadanya dan haruslah diawasi serta diuruskan oleh walinya sebagai langkah latihan kerana beliau berpendapat harta tidak boleh ditadbir oleh orang yang membazir. Namun begitu, apabila usianya telah mencapai 25 tahun, hartanya harus diserahkan kembali kepadanya samada individu terbabit telah mencapai kematangan atau belum. Seterusnya pula, diberi penerangan akan kepentingan al ahliyah.

KEPENTINGAN AHLIYYAH

(1) Salah satu cabang utama dan penting dalam bidang Usul Fiqh.

(2) Ahliyah adalah perspektif dalam mempertimbangkan sesuatu perbuatan dalam menetapkan sesuatu hukum sama ada sah atau tidak berdasarkan sudut pandang syara’.

(3) Hanya yang memenuhi keahlian dan kelayakan sahaja akan tertakluk kepada penetapan hukum hukum.

(4) Berkait rapat dengan kehidupan seharian sehingga menjadikannya salah satu syarat kepada penentu sahnya perbuatan seperti melibatkan perkahwinan, harta, jual beli dan sebagainya.

(5) Kepentingan mengetahui Ahliyyah Al Wujub dan Al Ada’ adalah dapat menetapkan sesuatu hukum sesuai dengan kelayakkan seseorang itu. Misalnya, dapatlah ditetapkan bahawa seorang kanak-kanak yang mumayyiz tidaklah wajib ke atasnya ibadah-ibadah ataupun bebanan syara’ serta tidak sah akadnya. Maka tidak jatuh hukum taklifiah ke atas kanak-kanak yang belum mumayyiz.

(6) Dapat mengetahui apakah kelayakan pengurusan harta bagi individu pada peringkat umur tertentu. Misalnya, dapatlah diketahui tidak semestinya apabila usia seseorang itu telah baligh, dia layak untuk menguruskan harta sepenuhnya tanpa wali. Sebaliknya haruslah mencapai kepada peringkat rusd, iaitu matang barulah layak baginya menguruskan hartanya.

KESIMPULAN

Setiap manusia yang hidup di atas muka bumi ini mempunyai kelayakan atau Ahliyah yang ditaklifkan ke atas masing-masing. Perbincangan mengenainya adalah berkisar tentang kedudukan Ahliyah itu sendiri berkait kelayakan seseorang untuk melakukan sesuatu perbuatan yang sah dengan mengambilkira beberapa aspek. Kelayakan ini merupakan satu tuntutan kepada manusia untuk menerima dan melaksanakan tanggungjawab selaras yang dikehendaki Al Quran dan Sunnah sama ada melibatkan aspek ibadah, muamalat, munakahat dan jinayah. Namun kelayakan yang ditaklifkan pada setiap manusia adalah bergantung kepada peringkat atau fasa tertentu berdasarkan tahap perkembangan manusia itu sendiri bermula dari janin hingga meninggal dunia. Allah S.W.T. mentaklifkan manusia sesuai dengan tahapnya dan tidak membebani makhluknya selaras dengan firmanNya dalam surah Al Baqarah ayat 286:

لَا يُكَلِّفُ اللّٰهُ نَفْسًا اِلَّا وُسْعَهَا ...

Ertinya:

Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya..”

RUJUKAN

Khallaf, A.W. (2000). Ilmu Ushul Fiqh (Kaidah-Kaidah Hukum Islam), Grafindo Persada, 211-215.

Muda, A. L., Mat Zin, R.(2021). Usul Fiqh dan Kaedah Fiqh, Pustaka Salam.

Roslee, M.I. (2021). Usul Al-Fiqh, Penerbit Universiti Malaya, 67-90.

Tahir, M.T. (1998). Isu Syariah dan Undang-undang.

Web Artikel Pendidikan. (2019,10 November) .Makalah Ahliyyah dan Pembagiannya. https://artikelpendidikanrpp.blogspot.com/2019/10/makalah-ahliyyah-dan-pembagiannya.html

Zaidan, A. K. (2009),  Al-Wajiz fi Usul al-Fiqh, Resalah Publisher.

Zaidan, A. K. (2020),  Kaedah Usul Fiqah, Pustaka Al-Ehsan, 71-129


Comments

Popular posts from this blog

Respon: Bagaimana bertaaruf berkesan 2?

Pengajaran daripada Surah Al Muzammil

KELEBIHAN DO'A RABITHAH