PENGHAYATAN ETIKA DAN PERADABAN

 PENGHAYATAN ETIKA DAN PERADABAN

 Solehuddin Shuib, Amir Imran Abu Yamin, Khairulazhar Samsudin, Mohd Amirul Hafiz Ahmad, Mohd Amirul Akhbar1

Jabatan Fiqh dan Usul, Akademik Pengajian Islam, Universiti Malaya, 50603 Kuala Lumpur, Malaysia

1Emel: amirul@umcced.edu.my

Pengenalan

Di dalam penulisan ini, kami akan menjelaskan mengenai galur perkembangan latar masyarakat pelbagai etnik di Malaysia bermula sejak kewujudan Kesultanan Melayu Melaka, galur perkembangan yang dikenali sebagai “Social Complexity”, Teori Pilihan Rasional Tentang Hubungan Etnik dan kaitannya dengan masyarakat di Malaysia, cara rasisme dapat dikurangkan dalam masyarakat yang berbilang bangsa dan ras, perbincangan dan kesimpulan.

1.     Galurkan perkembangan latar masyarakat pelbagai etnik di Malaysia bermula sejak kewujudan Kesultanan Melayu Melaka

Zaman Kesultanan Melayu Melaka

Zaman ini merupakan sebuah zaman kegemilangan empayar Melayu di Nusantara. Empayar Melaka yang terbina luas merangkumi semenanjung Tanah Melayu, sehinggakan merangkumi sebahagian besar bumi Indonesia kini, juga digelar sebagai The Venice of the East oleh tamadun barat. Ini adalah kerana kehebatan serta kemakmuran empayar Melaka itu sendiri pada zamannya, disusuli dengan kecekapan-kecekapan pemerintahannya, perdagangannya, penduduk dan kebudayaannya.

 

Pada zaman ini, Islam merupakan tonggak dalam pemerintahan kerajaan Kesultanan Melayu Melaka. Undang-undang yang tertubuh pada ketika itu, iaitu Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka, yang berlandaskan kepada hukum Islam telah menjamin kemakmuran dan kesejahteraan di dalam kerajaan tersebut. Pada ketika ini, semua penduduk dalam kerajaan Melaka tertakluk kepada undang-undang ini.

 

Perkahwinan campur yang berlaku pada zaman ini juga telah mewujudkan pelbagai etnik dalam kerjaan Kesultanan Melayu Melaka. Sebagai contohnya, perkahwinan di antara Sultan Melaka dan puteri negeri China, Puteri Hang Li Po, menunjukkan kewujudan dan perkembangan etnik-etnik lain dalam kerajaan Melaka berlaku dalam keadaan makmur. Pegawai-pegawai kerajaan Melaka juga terdiri bukan sahaja dari bangsa Melayu, tetapi juga turut merangkumi bangsa-bangsa lain seperti India. Ini menunjukkan nilai kesefahaman dan perpaduan di antara pelbagai etnik dalam kerajaan Kesultanan Melayu Melaka.

 

Undang-undang laut Melaka yang digubal ketika mana zaman pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka telah meningkatkan keamanan di selat Melaka. Kecekapan Laksamana Melaka dalam melaksanakan kawalan ke atas selat Melaka, menyebabkan tahap keselamatan di selat Melaka menjadi terjamin. Keselamatan yang terjamin ini telah membuka ruang yang luas untuk perdagangan dengan negara-negara luar. Hasil dari perdagangan ini, pelbagai etnik telah pun masuk ke negara ini. Hukum Kanun Melaka juga menjamin keselamatan penduduk-penduduk pelbagai etnik di negara ini.

 

Ketika zaman pemerintahan Kesultan Melayu Melaka, zaman ini juga digelar sebagai zaman pluraliti etnik. Ini adalah kerana penghijrahan pada waktu ini berlaku secara semulajadi dan tanpa paksaan. Pasport ataupun visa tidak diperlukan untuk berhijrah, jadi ramai pedagang dari negara luar bebas untuk datang ke negara ini dan bergaul dengan penduduk tempatan. Proses asimilasi dan amalgamasi denagn penduduk tempatan mewujudkan pelbagai lagi etnik yang lain dalam negara seperti Melayu berketurunan Arab, Melayu berketurunan India serta masyarakat Baba Nyonya.

 

Hasil keterbukaan pemerintahan kerajaan Kesultanan Melayu Melaka pada ketika itu telah menyebabkan kemasukan kaum serta kepelbagaian etnik dalam negara menjadi semakin meningkat dan semakin makmur. Dasar kerajaan pada ketika itu yang mengalu-alukan kedatangan pedagang dan tidak mengenakan syarat yang ketat, selain daripada kepatuhan kepada undang-undang yang ditubuhkan dalam kerajaan Melaka pada ketika itu menyebabkan kemasukkan pelbagai etnik menjadi berkembang pesat.

 

Kepelbagaian budaya yang masuk ke dalam negara pada zaman ini mempunyai tempat masing-masing dalam negara. Kepelbagaian ini telah mewujudkan satu fenomena yang unik, iaitu fenomena pluraliti budaya. Malahan pada ketika ini juga wujud pluraliti dari segi agama serta adat resam. Kepelbagaian ini tidak menjadi satu perkara yang negatif pada ketika itu, sebaliknya menunjukkan kemakmuran yang berlaku dalam negara pada zaman ini.

Zaman Kolonial British

 

Seiring masa berlalu, riwayat zaman Kesultanan Melayu Melaka juga berakhir dengan beberapa siri penaklukkan, dan penjajahan, sehingga menjadikan Tanah Melayu sebagai sebahagian dari koloni British. Pihak Eropah yang datang ke Tanah Melayu mempunyai tujuan serta agenda tertentu untuk kepentingan dan keuntungan mereka iaitu keagamaan, kekayaan dan kemegahan. Namun begitu, sebellum kedatangan British ke Tanah Melayu, disebabkan oleh berkembang pesatnya ilmu pengetahuan dalam bidang sosial, kemanusiaan dan sains tulen di Eropah, pada abad ke 15, agama telah dipisahkan dari sains di Eropah yang akhirnya membawa kepada pemisahan agama dari pemerintahan, dan agama hanyalah menjadi anutan individu sahaja.

 

Setelah Tanah Melayu dijajah oleh pihak kolonial British, dasar sekularisme, iaitu pemisahan di antara agama dengan pentadbiran turut dilaksanakan. British menguasai keseluruhan pentadbiran negara, manakala Sultan di beri kuasa untuk mengawasi hal ehwal agama serta adat istiadat sahaja. British juga memperkenalkan sistem pengagihan kuasa dalam pentadbiran, iaitu Kehakiman, Eksekutif dan Perundangan, yang terus di amalkan oleh negara kita sehingga ke hari ini.

 

Kehadiran penjajah British ke Tanah Melayu, serta pengamalan dasar pecah dan perintah oleh pihak Britisg telah mengakibatkan kewujudan masyarakat pluralistik. Menurut sejarah, sebelum tahun 1848, hampir keseluruhan penduduk di Tanah Melayu ialah orang Melayu. Namun begitu, setelah perusahaan biji timah dan getah berkembang dalam negara, pihak kolonial British telah membawa masuk kaum Cina dan India secara besar-besaran ke dalam negara. Ini telah mengakibatkan, pada tahun 1931, jumlah kaum bukan Melayu melebihi jumlah kaum Melayu dalam negara.

 

Hasil dari wujudnya kepelbagaian kaum dalam negara, dan masing-masing mempertahankan kebudayaan masing-masing, maka wujudlah masyarakat majmuk di Tanah Melayu. Setiap kaum membawa kebudayaan, bahasa, agama dan cara hidup yang berlainan, namun pada asasnya keharmonian telah dapat dicapai akibat wujudnya persefahaman dan hubungan yang baik di antara semua kaum. Ini terbukti apabila kemerdekaan negara dapat dicapai secara penyertaan perjuangan bersama di antara setiap kaum di Tanah Melayu.

 

Walaupun pada asasnya dapat dilihat bahawa British telah menyumbang terhadap penambahbaikkan dan kemajuan masyarakat, tetapi tidak juga dapat dinafikan bahawa pihak kolonial British adalah punca penyisihan agama Islam dalam masyarakat Malaysia. Ini dapat dilihat dari kelicikkan pihak kolonial British dalam menguasai negeri-negeri di Tanah Melayu, dan seterusnya memisahkan pentadbiran dan agama, dengan pihak British menguasai pentadbiran serta menyerahkan kuasa mengawasi hal ehwal agama kepada Sultan.

 

Di Sabah pula, kaum majoriti di sana ialah Kadazan, Bajau, Murut dan Suluk.Apabila perusahaan getah di Sabah semakin berkembang, pihak Syarikat Borneo Utara British telah membawa masuk kaum Cina untuk bekerja. Pada tahun 1911, jumlah kaum Cina di Sabah hanya 27,801 orang. Tetapi akibat dari tindakan pihak Syarikat Boneo Utara British, jumlah kaum Cina di Sabah meningkat kepada 50,056 orang.

 

Kaum bumiputera yang utama di Sarawak pula ialah kaum Iban, Bidayuh, Melayu dan Melanau. Akibat peningkatan aktiviti perdagangan, pertanian dan perlombongan di Sarawak, Dinasti Brooke yang memerintah negeri Sarawak telah menggalakkan kaum Cina untuk masuk ke negeri tersebut. Pada tahun 1871, bilangan penduduk Cina di Sarawak hanya 5000 orang, namun pada tahun 1939, jumlah mereka meningkat kepada 123,626 orang pada tahun 1939.

 

Ironinya, pembentukkan komuniti masyarakat majmuk di negara Malaysia adalah akibat kesan penjajahan British yang berjaya memperluaskan jajahan mereka di Malaysia secara berperingkat iaitu:

 

a)     Pulau Pinang (1786), Singapura (1819) dan Melaka (1824) – terbentuknya Negeri-negeri Selat

b)     Perak (1874), Selangor (1874), Negeri Sembilan (1874-1895), dan Pahang (1888) – terbentuknya Negeri-negeri Melayu Bersekutu

c)     Kedah (1909), Perlis (1909), Kelantan (1909), Terengganu (1909), dan Johor (1914) – terbentuknya Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu)

d)     Sarawak (1841/1842) – diperintah oleh keluarga Brooke

e)     Sabah (1881/1882) – ditadbir oleh Syarikat Borneo Utara British

 

Di Malaysia, pluraliti yang berlaku dalam masyarakat membawa kesan yang besar kepada negara. Namun begitu, atas dasar perpaduan dan persefahaman, terutamanya di antara 3 etnik utama di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India telah menyebabkan negara berjaya mengorak langkah yang lebih postif dan maju. Hasil perpaduan dan persefahaman ini juga yang membawa Malaysia kea rah kemerdekaan, dan kemasukan Sabah serta Sarawak dalam gagasan Malaysia.

Zaman Pasca Merdeka

 

Setelah melalui sejarah yang panjang, selepas dari kemerdekaan Malaysia pada tahun 1957, dapat disaksikan masyarakat plural di Malaysia berkembang dari sudut politik, perlembagaan, pendidikkan dan juga ekonomi. Dasar kerajaan adalah untuk mewujudkan komuniti masyarakat yang bertolak ansur dan mempunyai nilai kesefahaman yang tinggi agar keharmonian yang terbina dapat dipelihara. Sistem demokrasi yang dilaksanakan di negara Malaysia juga menunjukkan negara berjaya dalam memupuk perpaduan. Kontrak sosial dalam perlembagaan Malaysia juga dicapai dengan rundingan dan kesepakatan di antara semua kaum di Malaysia.

 

Dari segi politik, kita dapat di lihat perpaduan di antara tiga etnik utama iaitu Melayu (UMNO), Cina (MCA) dan India (MIC), telah membentuk parti Perikatan dalam pilhan raya umum pertama negara pada tahun 1955. Walaupun telah berlaku sedikit pertelingkahan pada tahun 1957-1959, di mana pihak MCA menuntut penambahan bilangan kerusi dalam pilihan raya umum 1959, namun ianya dapat diselesaikan menerusi rundingan. Parti Perikatan mengubah namanya kepada Barisan Nasional pada tahun 1974, dan terus kekal wujud sampai ke hari ini. Sehingga kini, politik Malaysia terus berkembang seiring peredaran masa.

 

Dari sudut ekonomi pula, dasar pecah dan perintah telah menyebabkan etnik-etnik di Malaysia bepecah mengikut ekonomi tertentu. British yang memperkenalkan ekonomi (laissez faire) dan menyebabkan tercetusnya ekonomi dualisme telah mengakibatkan kesannya dirasai sehingga sekarang. Ini dapat dilihat daripada agihan tenaga kerja berasaskan 3 etnik utama Malaysia :

 

a)     Sektor pertanian (pekebun kecil, pesawah dan nelayan) – dikuasai oleh kaum Melayu dengan kadar kemiskinan yang tinggi

b)     Sektor ekonomi moden (perlombongan, perkilangan dan perkhidmatan) – dikuasai etnik Cina

c)     Sektor ketiga adalah sektor paling ketara berlaku ketidak seimbangan iaitu :

i)               Sektor kerajaan – dikuasai etnik Melayu

ii)             Sektor swasta (pengangkutan, perniagaan) – dikuasai etnik Cina

iii)            Sektor pengangkutan awam, perkhidmatan awam dan kewangan – dikuasai oleh etnik India

Atas dasar ini, pihak kerajaan telah merangka serta melaksanakan rancangan pembangunan ekonomi negara pasca kemerdekaan negara. Namun begitu, jurang tersebut tetap kekal wujud sehingga kini dan telah mengakibatkan tercetusnya peristiwa 13 Mei 1969. Walaupun demikian, pihak kerajaan masih terus berusaha untuk merapatkan jurang ini demi mencapai keharmonian di antara semua etnik di dalam negara Malaysia.Dari segi pendidikan, ketika zaman penjajah, mereka telah mewujudkan empat jenis sekolah iaitu :

a)     Sekolah Inggeris

b)     Sekolah vernakular Melayu

c)     Sekolah vernakular Cina

d)     Sekolah vernakular India

 

Pada waktu ini, setiap sekolah mengamalkan kurikulum sekolah tersendiri mengikut acuan budaya masing-masing. Ini menyebabkan tercetusnya jurang di antara kaum dan sukarnya mencapai perpaduan. Namun kini, pihak kerajaan telah melaksanakan dasar-dasar pendidikan dalam menyeragamkan kurikulum dan ko-kurikulum persekolahan agar dapat membina sebuah negara bangsa yang harmoni dan mencapai perpaduan kaum.

Rumusan

Malaysia mempunyai sejarah peradaban dan susur galur sejarah etnik yang tersendiri. Keharmonian yang dipupuk sejak dari zaman dahulu hendaklah terus dipelihara oleh generasi yang datang. Kerajaan juga harus menggandakan usaha untuk memupuk keharmonian dan mempertingkatkan hubungan antara kaum agar kemakmuran terus dapat dikecapi oleh negara. Setiap etnik yang berada di dalam negara hendaklah berusaha untuk mencapai keharmonian dan bertoleransi sesame kaum dalam negara. Ini adalah asas kepada sebuah negara dengan masyarakat majmuk yang harmoni dan makmur.

2.     Galurkan perkembangan yang dikenali sebagai “Social Complexity” –(rujukan kepada Muka Surat 327 Early Civilizations Of The Old World

 

V. Gordon Childe(1892-1957) merupakan salah seorang ahli arkeologi tersohor di abad ke 20 lalu.  Beliau telah mengkaji sepanjang kariernya dalam mengkaji perkaitan antara urbanisasi dan perubahan social di Mesopotamia. Menurut Childes ada 4 eras iaitu paleolitik, neolitik, urban dan industri.

 

Paleolitik merujuk kepada zaman prasejarah di mana batu adalah bahan mentah utama yang digunakan dalam pembuatan alat. Neolitik merujuk kepada peringkat akhir Zaman Batu apabila manusia mula tinggal menetap, bercucuk tanam, berternak, dan mengasah batu utk dijadikan alat kegunaan seharian. Urban merujuk kepada jumlah penumpuan penduduk yang membolehkan penghasilan pertanian yang memberi keuntungan. Industri pula merujuk kepada bermulanya pada akhir abad ke 18, melibatkan mobilisasi sumber tenaga yang banyak seperti kuasa hidro, arang, dan bahan bakar fosil, pembuatan mesin skala besar dan pengangkutan.

 

Menurut pandangan Childe lagi, urbanisasi tidak hanya berkaitan kepadatan bilangan penduduk. Akan tetapi ianya adalah simbol revolusi fasa ekonomi baru yang membawa evolusi dalam masyarakat. Childes telah menggariskan 10 kriteria ketamadunan .  Antaranya ialah

·       Pusat bandar besar

·       Pekerjaan pakar sepenuh masa

·       Pengeluar utama makanan yang membayar lebihan kepada penguasa

·       Seni bina monumen

·       Kelas pemerintah dikecualikan daripada menjadi buruh

·       Sistem untuk merakam maklumat

·       Pembangunan sains dan  praktikal yang tepat

·       Seni monumental

·       Pengimportan bahan mentah secara berkala

·       Kebergantungan kelas (petani, tukang, penguasa)

·       Agama/ideologi negara

·       Struktur negara yang kekal

 

Childes juga telah membuat perbandingan ciri-ciri revolusi urban yang terdapat di Mesir, Mesopotamia, India dan China.  Dapatan beliau mendapati kesemua 10 ciri di atas ada pada tamadun-tamadun besar di atas. Menurut Childes lagi, politik memainkan peranan penting dalam ekonomi, ideologi dan kuasa fizikal. Melalui politik juga negara mengawal orang ramai dan wilayah melalui mekanisme kuasa berikut

i.               Ketenteraan

ii.              Percukaian

iii.            Kehakiman ,

iv.             Ideologi

Akhir sekali, ialah berkaitan dengan evolusi sosial. Senarai semak Childes mempunyai dua asas utama iaitu mengatur data yang berbeza, dan penjanaan konsep-konsep yang boleh digelar sebagai teori. Dengan menerapkan senarai semak Childes yang berasal dari tamadun awal dunia, ianya dapat diterapkan dalam masyarakat moden yang ada pada hari ini.   Pendekatan ini boleh diterapkan dalam masyarakat yang berada di jurang ketidakstabilan akibat persekitaran, organisasi sosial dan juga antara sesama insan, ideologi mereka dan juga inovasi teknologi. Reproduksi sosial ini mempunyai syarat yang penting terutamanya dalam perkara berikut

a.      masyarakat yang agak berjaya adalah satu yang berkembang, menuntut input yang lebih besar dari persekitarannya.

b.     pembahagian kawalan dan buruh dalam masyarakat menjana kepentingan dan tuntutan yang tidak dapat dipenuhi dengan berkesan.

c.      masyarakat wujud berhubung dengan orang lain, dan, dikaitkan kerana mereka bekerjasama, persaingan dan konflik, perubahan dalam satu mempengaruhi yang lain.

Rumusan

Sejarah kita boleh dilihat berdasarkan sebelum dan selepas merdeka, susurgalur ini boleh dilihat dalam konteks social complexity dan diterjemahkan dalam bentuk yang sesuai berdasarkan politik, ekonomi dan sosial dalam negara.


 

3.     Bincangkan Teori Pilihan Rasional Tentang Hubungan Etnik dan kaitannya dengan masyarakat di Malaysia

Definisi etnik pada bahasa bermaksud kaum atau bangsa. Secara jelas merujuk kepada kelompok manusia dan hubungan antara kaum yang ditentukan melalui perbezaan amalan ciri-ciri  budaya seperti adat resam, pakaian, bahasa, kegiatan ekonomi dan sebagainya. Masyarakat pula adalah sekelompok orang yang tinggal di suatu tempat dengan peraturan dan kaedah tertentu terdiri dari individu, keluarga dan kumpulan kecil yang dinamakan anggota masyarakat.

Penduduk Malaysia terdiri daripada lebih 200 kumpulan etnik di mana Melayu, Cina, India, Kadazan-Dusun, Iban (negeri Sabah dan Sarawak) adalah antara etnik yang terbesar. Kepelbagaian etnik secara langsung mewujudkan kepelbagaian antaranya dari segi budaya yang memerlukan pemerintah menguruskan dengan bijak dan saksama dalam mencapai perpaduan yang jitu.

Teori Pilihan Rasional Hubungan Etnik

Pendekatan teori dipopularkan oleh Sowell (1975), Schelling (1978), Banton (1997) dan Mansor (2000). Teori ini adalah satu mekanisme bagi mengupas dan menganalisis hubungan etnik dengan lebih mendalam dan terperinci. Masyarakat dominan di Malaysia yang terdiri dari etnik Melayu, Cina dan India pasti mempunyai sejarah hubungan sejak sebelum merdeka lagi. Dasar British yang mengamalkan perintah dan pecah telah menjarakkan hubungan antara tiga etnik utama ini dari sudut politik, ekonomi, sosial, budaya, adat resam, agama dan kepercayaan. Contohnya orang Melayu dari segi ekonomi banyak tinggal di kawasan pendalaman dan kampung yang majoritinya bekerja sebagai petani, manakala orang Cina tinggal di bandar yang lebih maju dan terlibat dalam perniagaan. Manakala orang India bekerja di ladang-ladang atau estet yang mundur dan kurang maju. Maka teori ini meneliti realiti sosial dengan cara melihat pilihan tingkah laku manusia sama ada individu atau kumpulan. Terdapat 2 unsur utama yang menjadi rujukan kepada teori ini:

(1) Manusia: mempunyai tujuan dan tindakan atau usaha untuk mencapai tujuan tersebut adalah ditentukan oleh nilai dan pilihan di mana aktor memainkan peranan yang utama.

(2) Sumber daya: mempunyai tarikan untuk menarik manusia tersebut dan mewujudkan satu interaksi yang mana kedua-dua unsur ini mempunyai tujuan untuk memaksimumkan kepentingan.

Jika dilihat etnik di Malaysia, sudut politik adalah antara yang menjadi kepentingan dalam memenuhi pencapaian manusia dan memenuhi kepentingan antara kaum. Parti politik yang terdiri daripada ahli pelbagai kaum adalah dilihat dominan seperti Barisan Nasional dan Pakatan Harapan di mana kedua-dua parti ini mempunyai tujuan dan peranan masing-masing dalam pemerintahan negara. Selain itu ia mempunyai daya tarikan dalam mewujudkan interaksi pelbagai kaum bermatlamatkan kepentingan mengikut agenda parti masing-masing.

Wujud beberapa andaian berkaitan dasar dalam teori ini yang bertindak secara sengaja ke arah suatu tujuan dan tujuan itu dibentuk oleh nilai-nilai atau pilihan-pilihan bahawa:

(1) Individu mempunyai matlamat dan kecenderungan yang berbeza dan bertindak untuk memaksimakan ganjaran material dan kedudukan sosial.

 (2) Tingkah laku individu merupakan fungsi sentimen peribadi dan kepercayaan terhadap kelompok sebayanya.

(3) Tindakan pilihan yang telah dibuat oleh individu akan menutup tindakan pilihan yang lain.

(4) Ketika individu bertindak ke atas pilihan tingkah laku yang dibuat, individu berkenaan akan mewujudkan hubungan dan ikatan sosial yang lebih erat dengan individu lain yang terlibat sehingga terbina ikatan sosial di antara individu.

(5) Namun apabila individu gagal memaksimumkan kepuasan melalui pelbagai dimensi kumpulan sosial yang wujud dalam masyarakat, maka dia akan berpaling kepada soal-soal keagamaan dan ketuhanan.

(6) Begitu juga apabila ganjaran gagal dimaksimumkan, maka individu akan menggemblengkan kekuatan kolektif dan dimensi yang dipilih akan menggambarkan konteks sejarah budaya masyarakat tersebut. Setiap etnik di Malaysia mempunyai sejarah masing-masing.

(7) Individu akan menggemblengkan kekuatan kolektif berdasarkan warisan kebudayaan di mana batas kumpulan adalah bersifat lebih terbuka. Begitu juga individu akan memilih untuk mengemblengkan kekuatan kolektif berdasarkan warisan fizikal di mana batas kumpulan adalah bersifat akan tertutup.

Rumusan

Oleh itu teori ini melihat dari sudut individu dan diterjemahkan dalam kumpulan berdasarkan kepelbagaian etnik selaras dengan kedudukan masyarakat majmuk yang ada di Malaysia.


 

4.     Bincangkan bagaimanakah rasisme dapat dikurangkan dalam masyarakat yang berbilang bangsa dan ras. Kaitkan dengan Malaysia

Tercetusnya peristiwa 13 Mei 1969 di Kuala Lumpur apabila wujudnya satu kaum yang menyinggung kaum yang lain. Pergaduhan dan pertelingkahan yang melibatkan dua kumpulan etnik terbesar di Malaysia iaitu Melayu dan Cina berlaku selepas Pilihanraya Umum pada bulan 10 Mei 1969. Api perkauman dan rasis memuncak pada tahap yang tertinggi sehingga kerajaan ketika itu mengisytiharkan darurat. Punca utama wujudnya rasis ini antaranya adalah dari sudut ketidaksamarataan ekonomi dalam etnik atau kaum yang pelbagai. Fahaman rasisme membawa banyak kebinasaan kepada manusia sehingga melibatkan permusuhan terhadap kaum-kaum yang tertentu. Ia akan menghasilkan amalan diskriminasi, pengasingan dan pembasmian kaum.

Rasisme adalah satu bentuk kepercayaan, sikap dan amalan yang mendiskriminasikan segolongan manusia berdasarkan ciri-ciri perkaumannya. Mengandaikan bahawa manusia boleh dibahagikan kepada kaum yang berbeza sehingga nilai dan darjat seseorang boleh ditentukan berdasarkan kaum yang diwakilinya. Konsep rasisme sangat berkait dengan fahaman perkauman, semangat assobiyah, ketidaksamarataan, pandangan negatif yang wujud melalui kelompok sosial terhadap kelompok sosial yang lain melalui pelbagai perbezaan etnik atau kaum sehingga wujudnya rasa benci antara satu kumpulan yang berbeza dengan kumpulan sendiri. Asas rasisme bukan berdasarkan warna kulit semata-mata.  Pembentukan ideologi rasisme mengikut pandangan Banton (1970) adalah berdasarkan kepada tiga fahaman:

(1) Berdasarkan ciri-ciri fizikal, manusia boleh dibahagikan secara semula jadi.

(2) Ciri-ciri ini berkait rapat dengan budaya, personaliti dan kebijaksanaan seseorang.

(3) Wujud kelompok yang lebih tinggi taraf kedudukan sosialnya berbanding dengan

      kedudukan sosial kelompok yang lain berpunca dari keturunan genetik.

Tiga jenis rasisme iaitu individu, institusi atau struktur dan ideologi.  Rasisme individu wujud berdasarkan amalan kepercayaan dan sikap yang dilakukan oleh orang perseorangan atau individu bahawa ada ras tertentu yang berstatus lebih tinggi dan ada ras yang berstatus lebih rendah. Rasisme institusi atau struktur adalah amalan rasisme yang dijalankan melalui institusi sosial seperti perundangan dan pendidikan melibatkan dasar dan pelaksanaan yang bersifat diskriminasi sehingga membentuk ketidaksamaan dalam masyarakat pelbagai etnik dan ras yang berbeza. Ia dapat dilihat secara tersirat di dalam struktur sosial. Manakala rasisme ideologi merujuk kepada amalan yang disokong oleh justifikasi bersistem seperti kaum A menganggap dirinya lebih mulia kerana datang dari keturunan dewa dan agama yang terbaik.

Malaysia yang memiliki masyarakat yang berbilang etnik sedikit sebanyak wujudnya rasisme antara satu sama lain. Namun ia boleh diatasi dan ditangani melalui langkah-langkah berikut:

(1) Semua etnik di Malaysia perlu menjadikan Perlembagaan Persekutuan sebagai tiang seri utama, rujukan dan undang-undang tertinggi dalam merapatkan hubungan antara kaum. Dasar umum yang terkandung dalam perlembagaan mesti dihormati khususnya melibatkan Perkara 3 berkaitan agama Islam, Perkara 152 berkaitan bahasa Melayu dan Perkara 153 berkaitan kedudukan istimewa orang Melayu. Selain itu prinsip-prinsip Rukun Negara yang terkandung di dalamnya 5 prinsip utama perlu dihayati dan diamalkan oleh semua kaum.

(2) Prinsip kesamarataan dari sudut ekonomi dan perundangan sesama etnik pelbagai kaum perlu dilaksanakan. Perbezaan dan jurang ekonomi antara kaum yang melebar mesti dikurangkan agar tidak wujud rasa terpinggir dan disisihkan dalam menikmati khazanah kekayaan negara. Strategi keseimbangan ekonomi antaranya melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilancarkan pada 1971 adalah bertujuan antaranya mengurangkan kemiskinan, meningkatkan pendapatan dan membuka peluang pekerjaan kepada seluruh rakyat di Malaysia tanpa mengira etnik.  Selain itu, dari sudut perundangan semua orang sama di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama. Tidak dibezakan antara kaum.

(3) Strategi penyusunan dan struktur pembelajaran dalam sistem pendidikan perlu meliputi kehendak dan aspirasi semua etnik di Malaysia. Sistem yang terasing akan menyekat interaksi sesama kaum malah lebih parah dari itu akan melebarkan lagi jurang ketidaksefahaman dan kesepaduan antara kaum seperti sekolah vernakular. Laporan Razak 1956 dapat dijadikan sebagai batu asas dalam Dasar Pendidikan Negara yang pertama di Malaysia dengan meletakkan strategi penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan perantara utama tanpa menidakkan penggunaan bahasa ibunda kaum masing-masing untuk digunakan di sekolah-sekolah.

(4) Propoganda perkauman di media sosial termasuk media cetak dan elektronik mesti dibendung dan disekat. Ini kerana pengaruh media amat besar sehingga boleh mempengaruhi perpaduan nasional. Terbitan dan informasi yang dihidangkan perlu menjaga sensitiviti antara kaum agar tiada yang terasa dengan apa yang ditulis di media. Kewujudan akhbar dalam pelbagai bahasa perlu dikurangkan dan menumpukan kepada bahasa Melayu sebagai medium utama penyampaian maklumat.

(5) Mempertingkatkan interaksi antara kaum melalui strategi menghormati kepercayaan dan agama masing-masing, melestari dan meraikan kepelbagaian kebudayaan dan adat resam sehingga wujudnya Dasar Kebudayaan Kebangsaan, memahami nilai-nilai murni seperti bertolak ansur, bertoleransi dan bekerjasama dapat mengurangkan rasisme di kalangan masyarakat pelbagai etnik di Malaysia. Apabila kurangnya berinteraksi dan sukarnya menerima tingkah laku kaum lain maka akan mewujudkan rasisme dan rasa tidak puas hati antara kaum. Raikan perbezaan dan cari persamaan yang terbaik dalam berinteraksi.

(6) Politik adalah antara strategi terbaik dalam mengurangkan rasis di kalangan etnik yang pelbagai kaum. Memupuk hubungan etnik secara formal dalam politik (termasuk Sabah dan Sarawak) akan mencipta persefahaman yang positif melalui perbincangan dan permuafakatan. Elakkan politik bersifat perkauman yang hanya tertumpu kepada parti atau bangsa sahaja. Bergabung dengan parti yang lain walaupun mempunyai bangsa dan ras yang berbeza seperti yang diamalkan oleh Barisan Nasional dan Pakatan Harapan adalah model politik terbaik dalam mengurangkan jurang rasis sesama kaum.

(7) Perspektif sosial sesama kaum dengan memahami budaya, adat resam, hormat menghormati, bertolak ansur dan bekerjasama adalah antara contoh mengurangkan jurang rasis yang wujud. Jika ini tiada dan masing-masing dengan hal sendiri, maka sudah pasti jika berlaku sesuatu antara kaum, elemen-elemen negatif akan mudah berlaku seperti pertengkaran dan pergaduhan walaupun atas isu-isu yang kecil sahaja. Program dan aktiviti sosial seperti Rukun Tetangga, majlis rumah terbuka dan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) adalah antara  contoh yang terbaik mewujudkan masyarakat dan etnik pelbagai kaum yang harmoni serta sejahtera. Setiap etnik perlu menyesuaikan diri dalam keadaan pelbagai budaya serta menerima budaya etnik yang minoriti berbanding budaya etnik dominan dan begitulah sebaliknya. Selain itu kewujudan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), kawalan keselamatan seperti akta hasutan (OSA dan ISA) serta strategi melalui kesukanan dapat mengurangkan rasisme di Malaysia.

Rumusan

Oleh yang demikian, rasisme etnik di Malaysia dapat dikurangkan melibatkan tanggungjawab dan peranan semua pihak bermula dengan ibu bapa, masyarakat,  media dan kerajaan  atau pemerintah khususnya dalam merangka dasar serta hala tuju negara berkaitan integrasi nasional. Semua usaha dan peranan ini akan dapat memupuk persefahaman antara kaum, membuang perasaan negatif dan saling membenci, mempraktikkan semangat kejiranan dan kekitaan serta menerapkan nilai-nilai perpaduan di kalangan masyarakat Malaysia sehingga menatijahkan masyarakat pelbagai kaum yang damai, harmoni dan sejahtera.

5.     Kesimpulan

Malaysia mempunyai sejarah peradaban dan susur galur sejarah etnik yang tersendiri. Sejarah boleh dilihat berdasarkan sebelum dan selepas merdeka, susurgalur ini boleh dilihat dalam konteks social complexity dan diterjemahkan dalam bentuk yang sesuai berdasarkan politik, ekonomi dan sosial dalam negara. Salah satu daripada teori yang sesuai bagi masyarakat majmuk di Malaysia ialah menggunakan teori pilihan rasional hubungan etnik. Oleh yang demikian, beberapa langkah dan kaedah digunakan oleh pemerintah bagi mengurangkan jurang rasisme di kalangan pelbagai etnik di Malaysia.

6.     Rujukan

Alias, B., Ismail, H., & Sa’ari, C. Z. (2014, November 1). Perpaduan Kaum di Malaysia : Suatu Penilaian / Baterah alias...[et al..]. UiTM Institutional Repository. Retrieved December 2, 2021, from https://ir.uitm.edu.my/id/eprint/35444/.

Baharuddin, S.A. (2012). Modul Hubungan Etnik, (Edisi Kedua). Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Childe on civilisation. The Secret of Civilization. (n.d.). Retrieved December 2, 2021, from http://www.civilization.org.uk/conclusion/childe-and-civilisation/.

IAC Publishing. (n.d.). What are the 10 criteria of a civilization? Reference. Retrieved December 2, 2021, from https://www.reference.com/world-view/10-criteria-civilization-93c494107b173a2b.

IAC Publishing. (n.d.). What are the 10 criteria of a civilization? Reference. Retrieved December 2, 2021, from https://www.reference.com/world-view/10-criteria-civilization-93c494107b173a2b.

Maisels, C. K. (2005). Early civilizations of the Old World: The formative histories of egypt, the Levant, Mesopotamia, India, and China. Routledge.

Muslim, N., Jalil, F., Bari, A. A., Mohd Noor, M., & Mastor, K. A. (2017). Tahap penerimaan pelajar terhadap peruntukan orang Melayu dalam perlembagaan dari perspektif hubungan etnik di Malaysia. Jurnal Kemanusiaan9(2). Retrieved from https://jurnalkemanusiaan.utm.my/index.php/kemanusiaan/article/view/107

Scribd. (n.d.). Sejarah Masyarakat Malaysia :Kepelbagaian Etnik di Malaysia. Scribd. Retrieved December 2, 2021, from https://www.scribd.com/presentation/422229945/Sejarah-Masyarakat-Malaysia-Kepelbagaian-Etnik-Di-Malaysia.

Shamsul Amri Baharuddin. 2008. Modul Hubungan Etnik (Edisi Kedua). Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia

Thukiman, K., Abdul Rahman, H., & Abu Bakar, T. (1970, January 1). Perlembagaan Malaysia Dalam Perspektif hubungan etnik. Universiti Teknologi Malaysia Institutional Repository. Retrieved December 2, 2021, from http://eprints.utm.my/id/eprint/14767/.

V. Gordon Childe, “The urban revolution.” (n.d.). Retrieved December 2, 2021, from https://ibis.geog.ubc.ca/~ewyly/u200/childe.pdf.

Wikimedia Foundation. (2020, October 16). Rasisme. Wikipedia. Retrieved December 2, 2021, from https://ms.wikipedia.org/wiki/Rasisme.

Comments

Popular posts from this blog

Respon: Bagaimana bertaaruf berkesan 2?

Pengajaran daripada Surah Al Muzammil

KELEBIHAN DO'A RABITHAH