Monday, November 22, 2021

BOIKOT PRODUK SUMBANG KEPADA ISRAEL

 

BOIKOT PRODUK SUMBANG KEPADA ISRAEL

Solehuddin Shuib, Amir Imran Abu Yamin, Khairulazhar Samsudin, Mohd Anuar Ramli1

1Jabatan Fiqh dan Usul, Akademik Pengajian Islam, Universiti Malaya, 50603 Kuala Lumpur, Malaysia


Khulasah

Kegilaan dan kezaliman rejim Zionis ke atas rakyat Palestin di Masjid Aqsa dan Gaza tiada penghujungnya.  Mereka tanpa segan silu membunuh, mencederakan dan menghalau warga Palestin yang merupakan penduduk asal di negara tersebut. Atas asas itu, maka kita sebagai saudara seagama dengan pegangan akidah yang sama adalah disarankan untuk bertindak dan berbuat sesuatu bagi membalas kekejaman rejim ini.  Oleh itu, objektif kajian adalah untuk memberi kefahaman tentang pentingnya memboikot produk Israel, menjelaskan pandangan sisi syarak berkaitannya dan seterusnya mengemukakan langkah-langkah yang praktikal agar boikot yang dilaksanakan akan lebih berkesan. Natijah melalui penulisan ini diharap dapat menjadikan usaha boikot akan lebih berjaya dan berkesan setelah dibuat beberapa penilaian serta kajian tentang cara yang betul dalam usaha memboikot produk-produk yang menyumbang kepada Israel.

Kata kunci: Palestin; Boikot; Israel

PENDAHULUAN

Konflik yang berlaku di Palestin di antara Arab dna Israel telah berlarutan sejak sekian lama.  Jika dikira dari tarikh rasmi penubuhan negara Israel pada 15 Mei 1948, kita akan dapati bahawa konflik tersebut sudah berlangsung selama lebih 7 dekad[1].

Tanggal awal Ramadan 1442H/2021M, penduduk Palestin sekali lagi terus dizalimi oleh rejim Zionis termasuk merosakkan Masjid Al-Aqsa, masjid yang ketiga terpenting bagi seluruh umat Islam. Kegilaan dan kezaliman rejim Yahudi Israel ini termasuk membunuh dan mencederakan wanita, warga emas dan kanak-kanak amat menjengkelkan. Atas asas itu, maka kita sebagai saudara seagama dengan pegangan akidah yang sama adalah disarankan untuk bertindak dan berbuat sesuatu bagi membalas kekejaman rejim ini. Selain sumbangan tenaga dan kewangan, salah satu yang boleh dilaksanakan adalah dengan memboikot produk sama ada barang atau perkhidmatan yang berkait secara langsung dengan Yahudi Israel. Kita jangan sesekali mempercayai mereka kerana Allah SWT. telah menukilkan di dalam Al-Quran surah Al-Baqarah, ayat 120:[2]

وَلَنْ تَرْضَىٰ عَنْكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ ۗ

قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّهِ هُوَ الْهُدَىٰ ۗ وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُمْ

بَعْدَ الَّذِي جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ ۙ مَا لَكَ مِنَ اللَّهِ مِنْ وَلِيٍّ وَلَا نَصِيرٍ

 

“Dan orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan rela kepadamu (Muhammad) sehingga engkau mengikuti agama mereka,”…

                                        

Pentingnya isu boikot ini adalah kerana tiada kuasa dunia yang bertindak dalam mengekang kegilaan serta kerakusan rejim Zionis dalam pembantaian ke atas bumi Palestin. Melalui cara memboikot akan dapat membuka mata seluruh dunia yang mana tindakan ini adalah tanda soladiriti terhadap negara dan rakyat Palestin serta membantah tindakan kekejaman tentera Israel ke atas umat Islam di Gaza[3]. Terdapat hampir 31 Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO’s) di Malaysia yang terlibat secara langsung menyokong dan menyertai kempen memboikot barang buatan Israel antaranya Boycott Divestment and Sanctions (BDS) Malaysia[4]; Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM); Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM); Persatuan Pelajar Islam Asia Tenggara (PEPIAT); PPIM Persatuan Pengguna Islam Malaysia[5], HALUAN[6],  MyCARE Malaysia[7] dan beberapa dewan serta badan usahawan peniagaan.

Skop kertas kerja ini adalah meliputi  pengenalan senario semasa berkaitan boikot produk Israel, definisi, kepentingan boikot, sasaran syarikat yang perlu diboikot, pandangan syarak berkaitan boikot, dan cadangan boikot berkesan yang boleh dilakukan.  Ada tiga(3) objektif utama kajian ini iaitu:

  1. Memberi kefahaman dan kesedaran peri pentingnya boikot produk Israel.
  2. Menjelaskan pandangan syarak berkaitan produk yang menyumbang kepada Israel.
  3. Mengemukakan langkah-langkah praktikal untuk boikot yang berkesan.

 DEFINISI BOIKOT, PRODUK DAN ISRAEL

Tindakan pencegahan suatu perniagaan dengan memaksa orang untuk tidak membeli produk perusahaan tersebut atau memaksa orang untuk tidak melakukan perniagaan dengan pihak tertentu. Boikot diambil dari perkataan asal Bahasa Inggeris ‘boycott’ iaitu dari nama Captain Charles Cunnigham Boycott (1832-1897), seorang ejen ladang berbangsa Inggeris di Ireland[8]. Mengikut Kamus Dewan[9], boikot merujuk kepada pemulauan. Secara luasnya adalah keengganan untuk berurusan dengan individu, organisasi atau negara bagi menyatakan rasa tidak bersetuju dan memprotes kerana sesuatu isu. Ia ditunjukkan antaranya melalui tindakan untuk tidak menggunakan, membeli, atau berurusan sehingga tercapainya matlamat sesuatu tuntutan itu. Tindakan boikot berkaitan produk akan disusuli dengan senarai barangan (termasuk syarikat) yang disenaraihitamkan.[10]

Dalam bahasa Arab, istilah yang diguna pakai ialah al-muqatacah al-iqtisadiyyah. Berasal daripada kalimah qataca[11], yang merujuk kepada larangan sebarang hubungan ekonomi atau sosial selaras dengan sistem sosial yang tertulis.[12]

Terdapat beberapa kategori dan tindakan boikot antaranya boikot pengguna di mana orang awam dinasihatkan untuk tidak membeli produk dari syarikat yang menjadi sasaran boikot. Pemulauan pengguna biasanya diatur oleh kumpulan aktivis sosial atau NGO. Tujuan boikot pengguna ini adalah sebagai tindakan memprotes amalan tidak adil atau tidak beretika. Walt Disney, penerbit buku kanak-kanak terbesar di dunia, pernah melakukan boikot menggunakan kertas dari Indonesia. Seterusnya adalah boikot melibatkan perniagaan ke perniagaan yang boleh merosakkan secara material. Tindakan ini sering disebut sebagai balas dendam. Contohnya, boikot produk Apple di China semasa perang perdagangan antara Amerika dan China. Beberapa syarikat China memberikan sokongan mereka kepada Huawei dengan memboikot produk Apple di persekitaran pejabat. Terdapat juga Boikot "Pekerja Berjalan" atau dikenali sebagai mogok kerja di mana pekerja mogok untuk memprotes sesebuah syarikat atas ketidakpuashatian sesuatu isu seperti berkaitan gaji, kemudahan dan tempoh waktu bekerja.

Produk pula adalah merujuk kepada sesuatu (barang, perkhidmatan dan sebagainya) yang dikeluarkan oleh kilang atau ditawarkan oleh institusi dan sebagainya. Manakala Israel berasal dari Bahasa Ibrani yang merujuk kepada nama asli kepada Nabi Yaakub a.s. Kaum Bani Israel adalah merujuk kepada kaum dan keturunan Nabi Yaakub a.s. Namun bagi kertas kerja ini, Israel dirujuk kepada rejim Zionis Israel.

MENGAPA PERLU BOIKOT?

 

Isu ini penting kerana sehingga kini tiada mana-mana negara atau kuasa dunia membantu rakyat Palestin yang berterusan ditindas dan dizalimi. Kesedaran dan kefahaman melihat saudara seagama terus teraniaya mesti dibela sewajarnya agar lahirnya semangat soladiriti dan kesatuan khususnya di kalangan seluruh umat Islam. Rasa kasih sayang dan merasai kesakitan rakyat Palestin mesti turut dirasai oleh mana-mana yang bergelar insan di dunia ini. Boikot ini dilihat sebagai satu pemindahan kuasa yang diserahkan kepada individu untuk melaksanakannya. Namun ia perlu dijalankan secara yang lebih praktikal serta bersifat jangka panjang berbanding boikot yang tidak praktikal.[13]Selain itu, boikot ini perlu dalam usaha menyokong produk-produk keluaran Muslim di mana umat Islam masih mempunyai pilihan dari sudut penggunaannya. Perkara yang sering kali terlupa adalah hak kuasa beli yang dimiliki. Kuasa beli ini mencerminkan tanda protes secara baik melalui saluran dan kuasa yang sedia ada pada setiap umat Islam di samping dapat memberikan tekanan ekonomi kepada rejim Zionis Israel dan sekutunya. Ini sekaligus akan dapat mengumpulkan sokongan dari negara-negara yang lain untuk turut sama melaksanakan boikot secara aman dan adil. Kejayaan dan catatan sejarah telah membuktikan tumbangnya rejim apartheid di Afrika Selatan setelah sekian lamanya boikot dan tekanan dibuat sehingga melibatkan masyarakat seluruh dunia dan di peringkat antarabangsa.[14] Sekutu terkuat Israel iaitu Amerika Syarikat termasuk Kanada telah menggunakan tindakan perundangan dalam memberi tekanan semula kepada mana-mana negara yang melaksanakan boikot ke atas Israel. Contohnya penarikan insentif cukai telah digunakan bagi menekan semula negara-negara yang terlibat memboikot Israel. Kesannya negara-negara ini sendiri yang menghadapi tekanan ekonomi kerana kebergantungannya kepada Amerika Syarikat dalam hal ehwal melibatkan perdagangan antarabangsa.[15]

SYARIKAT DAN BARANGAN YANG TERLIBAT?

 

Fokus utama apabila melaksanakan pemulauan adalah melihat kepada produk (sama ada barang atau perkhidmatan) yang dikeluarkan oleh sesebuah syarikat tertentu di mana secara jelas terlibat secara langsung dalam membantu khususnya bantuan dana kewangan serta kepakaran kepada Yahudi Israel termasuk sekutunya. Produk yang diboikot adalah tertumpu kepada produk yang mempunyai pilihan dari sudut penggunaannya terutama produk harian dan  bukan barang keperluan serta tiada pilihan penggunaannya. Pada 18 Mei 2021, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) telah mengadakan kempen memboikot produk Israel selama 6 bulan secara bersasar melibatkan 4 produk utama iaitu Coca-Cola, Puma, Starbucks dan Hewlett-Packard (HP). Coca-Cola melalui The Central Bottling Company-CBC memiliki kilang di atas tanah yang dirampas dari rakyat Palestin. Produk jenama sukan terkenal, Puma adalah penaja tunggal kepada Persatuan Bolasepak Israel (IFA). Jenama Starbucks adalah dimiliki oleh Howard Schultz, pengasas, Pengerusi dan Presiden Starbucks Corporation, merupakan seorang penyokong Zionis Isreal yang aktif. Beliau merupakan penerima anugerah “The Israel 50th Anniversary Friend of Zion Tribute Award” atas sumbangannya terhadap pergerakan Israel. Produk HP pula adalah syarikat yang merupakan pembekal utama dari sudut kepakaran sistem dan database kepada tentera rejim Zionis Israel sejak tahun 2009 lagi.

Selain itu, usaha dan gerakan bagi memutuskan rantaian sokongan ekonomi Israel di peringkat antarabangsa adalah dipelopori oleh badan BDS Global (Boycott, Divestmen, Sanction). Manakala cawangannya di Malaysia terdapat Gerakan BDS[16] Malaysia dalam memperjuangkan ke arah kebebasan, keadilan dan kesaksamaan bagi rakyat Palestin. Ia merupakan gabungan pelbagai badan-badan bukan kerajaan (NGOs), kumpulan dan individu di Malaysia yang berkongsi misi yang sama. Matlamatnya adalah menggesa bagi memboikot syarikat Israel dan sekutunya yang terlibat dalam perlanggaran hak asasi warga Palestin. Sasaran produk utama BDS adalah Caterpillar (CAT), PUMA, G4S (syarikat keselamatan), Hyundai, AirBnb, Hewlett-Packard (HP), AHAVA (kosmetik) dan AXA (insuran). Berdasarkan kajian dan penyelidikan, semua produk yang dikeluarkan melalui syarikat ini telah dikenalpasti menjadi penyumbang kepada Israel.

 

APAKAH PANDANGAN SYARAK TERHADAP ISU BOIKOT INI? 

 

Hukum asal jihad fi sabilillah adalah fardu kifayah ke atas setiap orang Islam yang mukallaf. Ini berlaku apabila orang-orang kafir berada dalam negeri mereka sendiri. Kefarduan ini akan bertukar menjadi fardu ain dengan beberapa sebab antaranya apabila orang-orang kafir yang telah memasuki sebuah negeri orang Islam dan berbuat kezaliman, maka jihad menjadi fardu ain bagi seluruh penduduk negeri tersebut mempertahankannya sedaya upaya yang mampu.[17] Boikot yang dilaksanakan menjadi wajib apakala hanya inilah antara cara yang dapat melemah musuh seperti Israel. Pendekatan ini berdasarkan kaedah[18]:

ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب

Ertinya:

 

Apa yang tidak sempurna hukum wajib melainkan dengannya maka ia juga menjadi wajib”.

 

Sebelum sesuatu boikot dilaksanakan terdapat beberapa asas penting berkaitannya dari sudut pandangan syarak yang perlu dijadikan penilaian. Asas yang utama ini ialah hukum syarak membenarkan kita bermua’malah dan berurusan dengan orang kafir dalam semua kategori dalam jual beli. Imam al-Bukhari (R.H.) menjelaskan berkaitan ‘Bab Jual Beli dengan Orang Musyrikin dan Golongan Kafir Harbi’ bahawa Ibnu Abbas (R.A.) meriwayatkan bahawa[19]:

‘‘Rasulullah S.A.W. telah wafat sedang baju perisainya tergadai dengan seorang Yahudi dengan sebanyak 30 gantang barli untuk keluarganya’’

 (Sahih Riwayat Al-Nasaa’i)

Saidatina Aisyah (R.A.) pula telah meriwayatkan bahawa[20]:

‘’Nabi Muhammad S.A.W. telah membeli makanan daripada seorang Yahudi secara  hutang’’

  (HR. Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan daripada kedua-dua hadis di atas, ianya jelas  menunjukkan kepada kita bahawa Nabi S.A.W.  juga berurusan jual beli dengan orang Yahudi di Madinah. Ini adalah prinsip asasi dalam berurusniga dengan orang kafir. Walau bagaimanapun, di sana terdapat pengecualian dalam hal ini.  Orang Islam tidak boleh menjual apa jua barangan kepada orang kafir sekiranya barangan itu digunakan untuk memerangi saudara-saudara Islam kita tida kira di mana sahaja. Firman Allah S.W.T:[21]

...وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ

وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ...

Ertinya:

‘’…Dan tolong-menolonglah dalam perkara-perkara kebaikan dan ketakwaan dan jangan tolong- menolong dalam hal-hal dosa dan permusuhan. ‘’

                                        (Al-Maa’idah, 5:2)

 

Asas kedua ialah  cara jual-beli sesuatu barangan di mana membeli secara terus daripada orang  kafir atau berjual beli melalui wakilnya Muslim yang merupakan perantara antara penjual dan pembeli. Dari sudut ini, sekiranya boikot melibatkan barangan orang kafir, maka kita perlu berjual beli melalui wakil yang Muslim sahaja. Ini pun berpandukan kepada apakah jenis barangan yang diperlukan dan kita tiada pilihan.  Membeli melalui wakil Muslim adalah lebih bermanfaat kepada dirinya berbanding  terus membeli daripada orang kafir. Begitu juga dalam konteks jual beli melalui francais di mana pada asalnya ia dikeluarkan oleh orang kafir tetapi pemiliknya adalah Muslim yang diberi hak dan kebenaran istimewa menjual barangannya. Syarikat yang dimiliki oleh Muslim ini akan mendapat manfaat daripada jualannya dan jika ia diboikot, maka secara langsung mendatangkan mudarat kepada syarikatnya.

            Prinsip Ketiga ialah melihat kepada jenis barangan yang dijual oleh orang kafir. Tiga(3) jenis barangan adalah terdiri dari barangan keperluan asas, keperluan sampingan dan barangan mewah. Syariat Islam membezakan kepentingan keperluan bagi setiap barangan ini. Malah dalam keadaan darurat dan mendesak sehingga boleh mengancam nyawa, sesuatu pengharaman itu boleh diharuskan (berdasarkan keperluan). Firman Allah S.W.T.[22]:

... وَقَدْ فَصَّلَ لَكُمْ مَا حَرَّمَ عَلَيْكُمْ إِلَّا مَا اضْطُرِرْتُمْ إِلَيْهِ

    Ertinya:

‘'Dia telah menjelaskan apa yang haram buat kamu kecuali apa yang kamu terdesak kepadanya”…                                 

                                              ( Al-An’am, 6:119)

 

Antara pandangan ulama’ dalam aspek ini telah menetapkan kaedah-kaedah, antaranya:[23]

الضَرُورَةُ تُبِيحُ المحضُورَة

‘’Apabila berlaku  keadaan terdesak (darurat), ianya akan  mengharuskan apa yang terlarang (Haram)’’

 

Oleh itu, kita perlulah dapat membezakan di antara barangan asas kehidupan seperti beras, gandum berbanding barangan keperluan sampingan seperti kenderaan dan barangan mewah. Perbuatan memboikot barangan keperluan asas boleh mengancam nyawa orang Islam (tiada pilihan) berbanding memboikot barangan sampingan dan mewah.

Seterusnya prinsip keempat ialah  menutup pintu kerosakan (سَدُّ الذَّرِيعَة) . Ia adalah antara kaedah yang digunapakai oleh para ulama’ di mana  perkara-perkara yang pada asalnya harus boleh menjadi haram sekiranya ia membawa kepada mudarat.

Prinsip yang kelima tentang merosakkan dan memutuskan rantaian ekonomi musuh Islam adalah antara cara jihad yang benar. Kita bukan menjadi penyumbang kepada berterusannya rakyat Palestin dianiayai. Malah Nabi S.A.W. sendiri pernah menggunakan cara tekanan ekonomi melalui pasukan-pasukan tentera yang diutus untuk menyerang kafilah-kafilah perniagaan orang kafir Quraisy.  

Adalah sesuatu yang penting untuk kita kenal berusaha mengenalpasti bidang-bidang perniagaan atau produk-produk yang boleh dijadikan sebagai fokus dalam boikot agar ia benar-benar memberi kesan untuk melemahkan orang kafir yang menindas umat Islam. Dr. Yusuf Al Qardhawi jelas menyatakan haram membeli produk yang digunakan untuk membiayai perang di Palestin[24]. Mata wang dolar juga sewajarnya diboikot. Jadikan penggunaan mata wang emas dan perak sebagai pilihan dalam transaksi perniagaan dan seharian.

Seterusnya prinsip keenam adalah berkait dengan peranan dan izin pemerintah dalam isu boikot. Ini antara prinsip yang menjadi tonggak kepercayaan Ahli Sunnah Wal Jama’ah ialah wajib kita taat dan patut kepada ulil amri dalam perkara-pekara yang makruf.[25]

حَدَّثَنَا أَبُو الْيَمَانِ، أَخْبَرَنَا شُعَيْبٌ، حَدَّثَنَا أَبُو الزِّنَادِ، أَنَّ الأَعْرَجَ، حَدَّثَهُ أَنَّهُ، سَمِعَ أَبَا هُرَيْرَةَ ـ رضى الله عنه ـ أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ ‏"‏ نَحْنُ الآخِرُونَ السَّابِقُونَ ‏"‏‏.‏ وَبِهَذَا الإِسْنَادِ ‏"‏ مَنْ أَطَاعَنِي فَقَدْ أَطَاعَ اللَّهَ، وَمَنْ عَصَانِي فَقَدْ عَصَى اللَّهَ، وَمَنْ يُطِعِ الأَمِيرَ فَقَدْ أَطَاعَنِي، وَمَنْ يَعْصِ الأَمِيرَ فَقَدْ عَصَانِي، وَإِنَّمَا الإِمَامُ جُنَّةٌ يُقَاتَلُ مِنْ وَرَائِهِ وَيُتَّقَى بِهِ، فَإِنْ أَمَرَ بِتَقْوَى اللَّهِ وَعَدَلَ، فَإِنَّ لَهُ بِذَلِكَ أَجْرًا، وَإِنْ قَالَ بِغَيْرِهِ، فَإِنَّ عَلَيْهِ مِنْهُ ‏"‏‏

 

Ertinya:

"...sesiapa yang patuh kepada kepimpinan ('amir), maka sesungguhnya dia telah menta'atiku dan sesiapa yang mendurhakai kepimpinan ('amir) maka sesungguhnya dia telah mendurhakaiku ".

(Muslim, al Jamai' al Sahih)

 

 

Dapat kita simpulkan bahawa hukum boikot berbeza antara satu situasi dengan situasi yang lain iaitu keadaan pertama jika diarahkan oleh pemerintah. Jika pemerintah sebuah negara Islam memerintahkan supaya barangan tertentu atau barangan negara-negara tertentu diboikot, maka rakyat negara tersebut wajib mentaati arahan tersebut.
Firman Allah SWT[26]:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ

Ertinya:

‘’Wahai orang yang beriman, taatilah Allah, taatilah Rasul dan para pemerintah daripada kalangan kamu”…                                        

                                                   (An-Nisa’ 4:59)

 

Boikot perlu berasaskan kepada keyakinan tanpa syak dan ragu. Ini kerana keyakinan tidak boleh menghilangkan keraguan sebagaimana maksud hadis Nabi S.A.W.:[27]

عن أبي محمد الحسنِ بْنِ علِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ سِبْطِ رَسُوْلِ االلهِ صلى االله عليه وَسَلَّم وَرَیْحَانَتِهِ رَضِيَ االله عَنْهُمَا قَالَ: حَفِظْتُ مِنْ رَسُوْلِ االلهِ صَلَّى االله عَلَيْهِ وَسَلَّم : (( دَعْ مَا یَرِیْبُكَ إِلَى مَا لاَ یَرِیْبُكَ)) رواه الترمذي والنسائي، وقال الترمذي: حدیث حسن صحيح

                  Ertinya:

                   ‘’Tinggalkan yang meragukanmu lal ambillah yang tidak  

                   Meragukanmu’’

  

     

BAGAIMANA CARANYA BAGI MENJAYAKAN USAHA BOIKOT INI AGAR BERKESAN?

 

Malaysia adalah antara negara yang turut serta dalam memboikot barangan Israel. Rakyat negara Malaysia ini  amat dikenali dengan sifat pemurah dan caknyanya atas isu Palestin.  Namun dalam keghairahan kita memboikot barang-barangan Israel, kita harus mengetahui objektif utama dalam misi memboikot ini kerana tanpa mengetahui asas tujuannya, dikhuatiri akan terpesong dari landasan dan matlamat tidak tercapai dengan jayanya. Umat Islam merupakan golongan pengguna yang terbesar di dalam dunia. Oleh itu marilah kita gunakan kelebihan ini untuk  menundukkan Israel  dan sekutunya supaya mereka lebih menghormati masyarakat Islam.

Usaha boikot ini sebenarnya telah lamapun dilaksanakan sebelum berdirinya negara haram Israel pada tahun 1948. Dr Yusuf Al Qardhawi (Pengerusi Persatuan Ulama Sedunia) dan sekumpulan ulama’  senada dengan menyatakan bahawa usaha boikot adalah senjata yang ampuh sepanjang masa, dulu, kini dan selamanya. Ini kerana objektif besar boikot ialah sebagai menggugat ekonomi Israel. Merujuk kepada surah Al Baqarah ayat 190[28];

وَقَاتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا ۚ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

Ertinya:

‘’Dan perangilah kerana agama Allah dan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh,, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang menceroboh’’

 

Tidak dinafikan bahawa boikot dibenarkan dalam agama Islam, namun kita kena pastikan perbuatan itu sejajar dengan ilmu, adab dan akhlak Islam. Ia sangat perlu supaya agama Islam tidak dipandang hina oleh golongan bukan Islam. Antara cara bagi menjayakan usaha boikot dengan berkesan adalah dengan menjayakan Kempen BMF (Buy Muslim First)[29] di mana kempen ini dalam masa yang sama akan dapat membantu ekonomi umat Islam[30] itu sendiri.  Jangan sesekali mencaci atau menghina dengan menggunakan perkataan kesat dan keji kepada pemilik produk dan memburuk atau mencederakan mereka yang tidak turut memboikot. Jangan menghukum orang lain yang tidak memboikot kerana situasi mereka berkemungkinan berbeza dengan situasi kita yang memboikot. Melalui kempen yang dijalankan, mudah-mudahan semangat persaudaraan Islam dalam kalangan umat Islam dapat dicapai dengan prinsip ta’awun(bertoolong menolong)[31].

Selain memberikan sumbangan secara terus melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diiktiraf dan memanjatkan doa, kita masih boleh melakukan beberapa perkara yang memberikan impak besar  terhadap perjuangan membebaskan Palestin seperti boikot strategik yang membina dan bukan dengan cara terburu-buru tanpa berfikir panjang kerana ia akan merugikan umat Islam dalam banyak perkara. Boikot bersasar dan strategik ialah usaha global terhadap syarikat besar yang secara terang dan jelas menyumbang kepada Israel. Boikot strategik ini bukan sahaja dilakukan melalui kempen boikot akar umbi sahaja, bahkan melalui tindakan berimpak besar seperti menandatangani petisyen bantahan dan menghubungi serta menghantar memorandum rasmi kepada ibu pejabat syarikat terbabit untuk menjelaskan dan menyampaikan mesej keadilan.

Seterusnya usaha lain ialah memilih produk berulang iaitu yang kerap digunakan (barang makanan, produk kecantikan wanita, produk kesihatan(wellness) dan barangan kegunaan harian). Produk yang acapkali  digunakan  akan lebih berimpak demi menjayakan pemboikotan.

Boikot Israel dalam sukan merujuk kepada pelbagai pembatalan dan penolakan atlet Israel di mana atlet dan pasukan Israel telah dilarang dari menyertai beberapa pertandingan dan kejohanan di peringkat antarabangsa. Beberapa kejohanan sukan terbesar seperti Sukan Olimpik, beberapa buah negara Arab antaranya Iran, melarang atletnya untuk bersaing dengan atlet Israel[32]. Malaysia sendiri pernah menyatakan bantahan melarang atlet Israel menyertai kejohanan sukan di negara ini ketika Kejohanan Renang Para Dunia yang diadakan di Sarawak pada Julai 2019.

Seterusnya, usaha boikot ini perlu berdasarkan ilmu pengetahuan yang jelas dan yakin. Melalui cara ini, ianya menjadi lebih efektif untuk memberi tekanan kepada produk berkaitan Israel. Walaupun jarak negara kita dengan Palestin dipisahkan hamper 7000 kilometer, kita masih boleh memberi sokongan  dengan cara menderma, mendoa’kan mereka dan melancarkan kempen boikot kepada pihak yang ditentang. Usaha boikot yang dijalanakan ini juga mestilah bertumpu dan berterusan untuk tempoh tertentu. Sememangnya inisiatif ini memberi kesan langsung jika dilaksanakan secara terancang..

Cara lain ialah jangan menghukum di mana boikot dianggap sebagai salah satu daripada wasilah  jihad umat Islam pada zaman kini bagi menentang Israel dan mereka yang membantu negara haram tersebut. Ia dianggap jihad ekonomi dan bertepatan dengan sabda Nabi S.A.W.[33]:-

عن أنس -رضي الله عنه- أن النبي -صلى الله عليه وسلم- قال: «جَاهِدُوا المشركين بأموالكم وأنفسكم وألسنتكم»

Ertinya:

‘Berjihadlah melawan orang-orang musyrik dengan harta, jiwa, dan lisan kalian.

 ‘’ 

(HR Abu Daud, Ad Darimi, An Nasai, dan Ahmad

Hakikatnya, jihad dalam agama Islam bermatlamat menegak kalimah Allah, mempertahan keadilan, mencegah kezaliman, mengembalikan hak dan melindungi maruah. Maka, segala jalan yang membawa kepada matlamat ini dianggap sebagai jihad termasuklah boikot yang dianggap sebagai salah satu cara melemahkan ekonomi musuh yang sedang mengganas.

Inilah yang membezakan boikot kita dengan boikot mereka yang tidak beriman yang mungkin terlaksana atas dasar kemanusiaan dan simpati. Hasilnya mungkin akan mendapat kemuliaan di dunia. Namun bagi orang beriman yang melakukan boikot atas dasar memenuhi perintah Allah (jihad ) pasti mendapat kemuliaan di dunia dan ganjaran di akhirat.

KESIMPULAN

 

                Dalam agama Islam kita diajar untuk berpegang dengan sesuatu yang jelas nyata dan meninggalkan perkara yang samar dan tidak jelas. Dinyatakan dari Abu Abdillah Nu’man bin Basyir (R.A.) dia berkata, saya mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda[34]:

عَنْ أَبِي عَبْدِ اللهِ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيْرٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا قَالَ: سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُوْلُ : إِنَّ الْحَلاَلَ بَيِّنٌ وَإِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ وَبَيْنَهُمَا أُمُوْرٌ مُشْتَبِهَاتٌ لاَ يَعْلَمُهُنَّ كَثِيْرٌ مِنَ النَّاسِ، فَمَنِ اتَّقَى  الشُّبُهَاتِ فَقَدْ اسْتَبْرَأَ لِدِيْنِهِ وَعِرْضِهِ، وَمَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِي الْحَرَامِ، كَالرَّاعِي يَرْعىَ حَوْلَ الْحِمَى يُوْشِكُ أَنْ يَرْتَعَ فِيْهِ، أَلاَ وَإِنَّ  لِكُلِّ مَلِكٍ حِمًى أَلاَ وَإِنَّ حِمَى اللهِ مَحَارِمُهُ أَلاَ وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ   مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ  أَلاَ وَهِيَ الْقَلْبُ [رواه البخاري ومسلم]

Ertinya:

"Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhat (samar-samar) yang tidak diketahui oleh orang banyak. Maka siapa yang takut terhadap syubhat berarti dia telah menyelamatkan agamanya dan kehormatannya. Dan siapa yang terjerumus dalam perkara syubhat, maka akan terjerumus dalam perkara yang diharamkan. Sebagaimana penggembala yang menggembalakan hewan gembalaannya di sekitar (ladang) yang dilarang untuk memasukinya, maka lambat laun dia akan memasukinya. Ketahuilah bahwa setiap raja memiliki larangan dan larangan Allah adalah apa yang  Dia haramkan. Ketahuilah bahwa dalam diri ini terdapat segumpal daging, jika dia baik maka baiklah seluruh tubuh ini dan jika dia buruk, maka buruklah seluruh tubuh; ketahuilah bahwa dia adalah hati “. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Perlu diketahui objektif utama memboikot barangan Israel adalah kerana kita tidak mahu hasil pembelian kita sebagai konsumer disalurkan kepada Israel yang digunakan dalam misi membunuh saudara-saudara kita di Palestin.

Kesimpulannya membaca, menilai, mentaksir serta membuat kajian dan belajar tentang cara yang betul dalam usaha boikot yang dilaksanakan agar hasilnya lebih berkesan dan berjaya. Usaha ini tidak menjadi sia-sia atau mendatangkan keburukan kepada kita sendiri serta masyarakat seluruhnya. Semoga kajian ini ia akan dapat memberi garis panduan buat umat Islam tatacara memboikot barangan zionis Israel termasuk produk yang memberi sokongan kepada Israel. Kita sebagai umat Islam yang diberi akal dan ilmu oleh Allah SWT, perlulah  bijak bertindak dalam apa jua situasi. Neraca syarak perlu didahulukan dan bukan berdasarkan perasaan dan andaian. Bertindak melulu, buruk padahnya dan ianya akan membawa kesan yang buruk dalam jangka masa pendek maupun jangka panjang.


 

RUJUKAN

 

Abu Abdurrahman Salman Zainal Abizin, Zionis Menjerut, Majlis Agama Islam Selangor

    (MAIS) , Perpustakaan Negara Malaysia, Cetakan pertama    

     2015,http://www.mais.gov.my/wp-content/uploads/2019/07/ZIONIS-MENJERUT.pdf

 

Al-Asybaah Wa Al-Nadhaa’ir oleh Imam Sayuti, Daar Al-Kutub Al-Ilmiyyah, Beirut Libanon,

    1983.

 

Al-Ma‘any, entri: “boycott” dicapai 18 Jun, 2021,  https://www.almaany.com/en/dict/ar-

    en/boycott/

    BDS Malaysia, Ke arah kebebasan, keadilan dan kesaksamaan di Palestin, dicapai 18 Jun,    

    2021, https://bdsmalaysia.com/

 

BH Online, Boikot dengan ilmu, dan adab, dicapai 18 Jun, 2021,

    https://www.bharian.com.my/bhplus-old/2015/06/63469/boikot-dengan-ilmu-jaga-adab

 

BH Online, Boikot strategik mampu lumpuhkan Zionis, dicapai 18 Jun, 2021,

    https://www.bharian.com.my/rencana/minda-pembaca/2021/05/817958/boikot-strategik-     mampu-lumpuhkan-zionis

 

BH Online, Malaysia kekal pendirian tak benar atlet Israel bertanding, dicapai 19 Jun, 2021,  

    https://www.bharian.com.my/sukan/lain-lain/2019/01/518291/malaysia-kekal-pendirian-tak-benar-atlet-israel-bertanding

 

Claudia Baumgart-Ochse (2017) Claiming Justice for Israel/Palestine: The Boycott, Divestment,   

    Sanctions (BDS) Campaign and Christian Organizations, Globalizations, 14:7, 1172-1187,  

     DOI: 10.1080/14747731.2017.1310463

 

Dewan Bahasa dan Pustaka, entri: “boycott” dicapai 18 Jun, 2021,

    https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=boycott

 

Gerakan BDS Malaysia, Kenali Kami, dicapai 18 Jun, 2021,

    https://bdsmalaysia.com/kenali- bds/

 

Haluan Malaysia, Kenapa perlu boikot Israel dan sekutunya?, dicapai 18 Jun, 2021,

    https://www.haluan.org.my/kenapa-perlu-boikot-israel-sekutunya/

 

Hasbunallah, Fathul Bari Sharah Sahih Al-Bukhari, Fathul Bari,

    https://www.hasbunallah.com.au/fathul-bari-sharah-sahih-bukhari-arabic/

 

Hamas dan Briged Al-Qassam, Maszlee Malik dan Syarafuddin Sulaiman, PTS Millennia

     Sdn. Bhd. (2014), Bab 25 : Boikot itu berkesan, Bab 26 : Kenapa perlu boikot dan Bab

     27 : Isu-isu boikot.

 

Ibrahim Mustafa et.al, Al-mu'jam al-wasit.t.th

Injass, R.A., Sarmidi, T., Injass, M..M.,(2017). The Effectiveness Of The Popular Boycott To The

    Israeli Goods. South East Asian Journal Of Contemporary Business, Economics And Law

    (SEAJBEL), 12(3), 40-43.

 

Institut Kefahaman Islam Malaysia, Buy Muslim First(#BMF), dicapai 18 Jun, 2021,  

    https://www.ikim.gov.my/index.php/2019/09/20/buy-muslim-first-bmf/

 

Iqtidha’ Al-Siratal Mustaqim, al-Qāhirah : Maṭbaʻat al-Sunnah al-Muḥammadīyah, 1950.

Mohd Nor, M. R. (2010). Konflik Israel- Palestin Dari Aspek Sejarah Moden Dan Langkah

    Pembebasan Dari Cengkaman Zionis. Journal of Al-Tamaddun, 5(1), 73–92. Retrieved from

    https://ejournal.um.edu.my/index.php/JAT/article/view/8538

 

Mohd Yunus, A., Abd Wahid, N., & Wan Hassan, W. S. (2018). Hukum Boikot Barangan Israel

    Berdasarkan kepada Fiqh Al-Jihad. Journal of Fatwa Management and Research, 4(1), 135-

    160. https://doi.org/10.33102/jfatwa.vol4no1.98

 

MyCARE, Kempen Boikot Israel, dicapai 18 Jun, 2021, https://www.mycare.org.my/kempen-

    boikot-israel/

 

PN BBC Portal, PPIM Seru Rakya Malaysia Boikot Empat Produk Israel, dicapai 10 Julai, 2021,

    http://www.pnbbcportal.com/2021/05/18/ppim-seru-rakyat-malaysia-boikot-empat-produk-

    israel/

 

Rizki Ridyasmara, Boikot produk pro-Israel: melawan Zionis dari rumah kita, Pustaka al-

    Kautsar, 2009.

 

Syathibi al-, al-Muwafaqat fi Ushul al-Syari’ah, Dar al-Kutub al-‘Ilmiyah, 2003.

 

 



[1] Mohd Nor, M. R. (2010). Konflik Israel- Palestin Dari Aspek Sejarah Moden Dan Langkah Pembebasan Dari Cengkaman Zionis. Journal of Al-Tamaddun, 5(1), 73–92. Retrieved from https://ejournal.um.edu.my/index.php/JAT/article/view/8538

[2] Al-Quran al-Karim, al-Baqarah (2): 120

[3] Abu Abdurrahman Salman Zainal Abizin, Zionis Menjerut, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Perpustakaan Negara Malaysia, Cetakan pertama 2015, http://www.mais.gov.my/wp-content/uploads/2019/07/ZIONIS-MENJERUT.pdf

[4] Gerakan BDS Malaysia, Kenali Kami, dicapai 18 Jun, 2021, https://bdsmalaysia.com/kenali-bds/

[5] PN BBC Portal, PPIM Seru Rakyat Malaysia Boikot Empat Produk Israel, dicapai 10 Julai, 2021, http://www.pnbbcportal.com/2021/05/18/ppim-seru-rakyat-malaysia-boikot-empat-produk-israel/

[6] Haluan Malaysia, Kenapa perlu boikot Israel dan sekutunya?, dicapai 18 Jun, 2021, https://www.haluan.org.my/kenapa-perlu-boikot-israel-sekutunya/

[7] MyCARE, Kempen Boikot Israel, , dicapai 18 Jun, 2021, https://www.mycare.org.my/kempen-boikot-israel/

[8] Yunus, A. M., Chik, W. M. Y. W., Abd Wahid, N., Daud, K. A., Abd Hamid, M. N. (2020). The

Concept of Boycott: A General Introduction. International Journal of Academic Research in Business and

Social Sciences. 10(9), 962-971

[9] Dewan Bahasa dan Pustaka, entri: “boycott” dicapai 18 Jun, 2021, https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=boycott

[10] Claudia Baumgart-Ochse (2017) Claiming Justice for Israel/Palestine: The Boycott, Divestment, Sanctions (BDS) Campaign and Christian Organizations, Globalizations, 14:7, 1172-1187, DOI: 10.1080/14747731.2017.1310463

[11] Al-Ma‘any, entri: “boycott” dicapai 18 Jun, 2021,  https://www.almaany.com/en/dict/ar-en/boycott/

[12]  Ibrahim Mustafa et.al, Al-mu'jam al-wasit.t.th

[13] Hamas dan Briged Al-Qassam, Maszlee Malik dan Syarafuddin Sulaiman, PTS Millennia Sdn. Bhd. (2014), Bab 25 : Boikot itu berkesan, Bab 26 : Kenapa perlu boikot dan Bab 27 : Isu-isu boikot

[14] Injass, R.A., Sarmidi, T., Injass, M..M.,(2017). The Effectiveness Of The Popular Boycott To The Israeli Goods. South East Asian Journal Of Contemporary Business, Economics And Law (SEAJBEL), 12(3), 40-43

[15] Mohd Yunus, A., Abd Wahid, N., & Wan Hassan, W. S. (2018). Hukum Boikot Barangan Israel

    Berdasarkan kepada Fiqh Al-Jihad. Journal of Fatwa Management and Research, 4(1), 135-

    160. https://doi.org/10.33102/jfatwa.vol4no1.98

[16] BDS Malaysia, Ke arah kebebasan, keadilan dan kesaksamaan di Palestin, dicapai 18 Jun, 2021, https://bdsmalaysia.com/

[17] Wahbah al-Zuhayli, Tafsir Al-Munir @ al-Fiqh al-Islami Wa adillatuh

[18] Maktabah As Syamilah Al hadisah, dicapai 17 Julai, 2021,https://al-maktaba.org/book/8379/383#p2

[19] Sahih Riwayat Al-Nasaai

[20] Sahih Bukhari dan Muslim

[21] Al-Qur‟an al-Karim, al-Maa’idah (5): 2

[22] Al-Quran al-Karim, al An’aam(6):119

[23] Al-Asybaah Wa Al-Nadhaa’ir oleh Imam Sayuti, 93

[24] Fatawa al Mua’shirah oleh  Dr. Yusuf Al Qardhawi

[25] Muslim, al Jamai' al Sahih

[26] Al-Qur’an al-Karim, al-Nisa’(4): 59

[27] Hadis riwayat al-Tirmizi dan al-Nasaai. Al-Tarmizi berkata ia adalah hadis hasan sohih.

[28] Al-Qur’an al-Karim, al-Baqarah (2): 190

[29] Institut Kefahaman Islam Malaysia, Buy Muslim First(#BMF), dicapai 18 Jun, 2021, https://www.ikim.gov.my/index.php/2019/09/20/buy-muslim-first-bmf/

[30] BH Online, Boikot strategik mampu lumpuhkan Zionis, dicapai 18 Jun, 2021, https://www.bharian.com.my/rencana/minda-pembaca/2021/05/817958/boikot-strategik-mampu-lumpuhkan-zionis

[31] BH Online, Boikot dengan ilmu, jaga adab, dicapai 18 Jun, 2021, https://www.bharian.com.my/bhplus-old/2015/06/63469/boikot-dengan-ilmu-jaga-adab

[32] BH Online, Malaysia kekal pendirian tak benar atlet Israel bertanding, dicapai 19 Jun, 2021, https://www.bharian.com.my/sukan/lain-lain/2019/01/518291/malaysia-kekal-pendirian-tak-benar-atlet-israel-bertanding

[33] Riwayat Abu Daud, disahihkan oleh Albani

[34] Riwayat Bukhari dan Muslim


PEMAHAMAN AQIDAH DAN TUNTUTANNYA DI KALANGAN PELAJAR IPTS: PROGRAM PEMBANGUNAN SAHSIAH TERPUJI (PESAT)

PEMAHAMAN AQIDAH DAN TUNTUTANNYA DI KALANGAN PELAJAR IPTS: PROGRAM PEMBANGUNAN SAHSIAH TERPUJI (PESAT) 
Solehuddin Shuib, Amir Imran Abu Yamin, Khairulazhar Samsudin, Mohd Fauzi Hamat1 Jabatan Aqidah dan Pemikiran Islam, Akademik Pengajian Islam, Universiti Malaya, 50603 Kuala Lumpur, Malaysia 

 Khulasah
Maju mundurnya sesuatu bangsa berkait rapat dengan maju mundurnya Pendidikan mereka. Pendidikan yang utama mestilah berteraskan aqidah. Dewasa ini kerap timbul masalah keruntuhan moral yang tiada hujungnya di IPTA/IPTS. Puncanya utamanya ialah kerana rapuhnya aqidah dalam diri mereka. Di dalam kertas kerja akan mengemukakan suatu program pemantapan sahsiah terpuji(PESAT) bagi mengukuhkan pemahaman akidah dan tuntutannya dalam kalangan pelajar di IPTS. Fokus pengisian meliputi aspek penerapan konsep Rabbani, pembangunan kurikulum pengajian dan pengukuran keberkesanannya kepada pelajar. Hasilan kajian mengemukakan model yang berjaya dan dicadangkan agar program ini dapat dilaksanakan kepada IPTS yang lain demi menjaga akidah pelajar-pelajar. 

 Kata kunci: Akidah; Rabbani; PESAT; IPTS 

  PENGENALAN 

 Manusia diciptakan oleh Allah S.W.T. dengan sebaik-baik kejadian. Tergalas di bahu setiap manusia amanah dan tanggungjawab bagi mentadbir alam ini berbekalkan ilmu, kepakaran bidang tertentu, kesempurnaan jasad dan akal fikiran. Ini pastinya membezakan manusia dengan haiwan serta seluruh yang ada di bumi dan langit sehinggakan hanya manusia sahaja yang sanggup melaksanakan amanah selaras dengan firman Allah S.W.T. dalam surah Al-Ahzab, ayat 72 :

 إِنَّا عَرَضْنَا الْأَمَانَةَ عَلَى السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَنْ يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الْإِنْسَانُ ۖ إِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا جَهُولًا 
 Ertinya: 

“Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanat kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khawatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh” (Al-Ahzab, 33:72) 

Lantaran manusia yang memikul amanah ini, maka akal yang dimiliki perlu didasari dengan kemantapan ilmu agar menjadi pembimbing dalam mengemudi kehidupan seharian. Penguasaan ilmu tidak hanya dalam aspek keduniaan sahaja malah perlu diterapkan ilmu yang bersifat ukhrawi. Gabungan keduanya akan melahirkan manusia yang sempurna dan baik, memiliki jati diri yang tinggi, keperibadian akhlak dan sifat-sifat mahmudah. Sejak kebelakangan isu, masalah sosial dalam kalangan mahasiswa amat membimbangkan. Berlaku pelbagai masalah yang ada seperti gejala murtad, neo-atheisme, zina, minum arak, bunuh diri dan bermacam macam lagi .Bertitik tolak dari situ, penyelesaian kepada permasalahan ini mestilah dimulai dengan titik tolak yang betul. Titik tolak yang betul inilah yang akan menjamin kejayaan kita berdepan dengan permasalahan yang ada. Merujuk kepada seerah, didapati, Nabi SAW memberi penekananan kepada aspek aqidah dan membangunkan jiwa yang Rabbani . Mengapa kajian ini difokuskan kepada IPTS? Jawapannya ialah sistem pengajian di IPTS adalah lebih terbuka , pelajarnya lebih bebas dan kurikulumnya lebih fleksibel. Atas maksud itu, dalam kertas kerja ini disediakan untuk menerangkan konsep jiwa Rabbani bagi pelajar IPTS; kurikulum modal insan Rabbani(Program Pembangunan Sahsiah Terpuji atau singkatannya PESAT) di IPTS dan pengukuran keberkesanan program PESAT di IPTS dan dikongsikan sample sukses story IPTS yang menerapkan pendekatan PESAT ini. Berikut dijelaskan mngenai objektif kajian ini. 

 Objektif penulisan ini akan dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu :
 i. Menerapkan konsep jiwa Rabbani dalam kehidupan seharian pelajar IPTS.
 ii. Membangunkan modal insan dalam kurikulum pengajian di IPTS. 
iii. Mengukur keberkesanan kurikulum PESAT di IPTS. 

 Berikut dihuraikan satu persatu mengenai objektif yang dinyatakan di atas, bermula dengan penerapan konsep jiwa Rabbani dalam kehidupan pelajar di IPTS. Berdasarkan kamus Dewan Bahasa dan Pustaka , “Rabbani” adalah yang berkaitan dengan Tuhan atau Ketuhanan. Imam al-Qurtubi menakrifkan “Rabbani” adalah penisbatan atau menisbahkan sesuatu kepada ar-Rabb. Tafsir Pimpinan ar-Rahman menerangkan perkataan “Rabbani” adalah bermaksud orang yang menyembah Allah S.W.T. berlandaskan ilmu dan amal yang sempurna. Syed Qutb berkata “Rabbani” membawa maksud orang menghubungkan dirinya kepada Allah S.W.T. dengan amalan ibadat. Menurut Dr Yusuf al-Qardhawi , “Rabbani” adalah nilai-nilai ketauhidan atau “Rabbaniyyah” yang berhubungan kepada Tuhan iaitu Allah apabila adanya hubungan manusia berlandaskan kepercayaan kepada Allah, mengetahui agamanya, kitabnya dan mengajarkannya sepertimana yang dijelaskan dalam surah Al-Imran, ayat 79 

: َا كَانَ لِبَشَرٍ أَنْ يُؤْتِيَهُ اللَّهُ الْكِتَابَ وَالْحُكْمَ وَالنُّبُوَّةَ ثُمَّ يَقُولَ لِلنَّاسِ كُونُوا عِبَادًا لِي مِنْ دُونِ اللَّهِ وَلَٰكِنْ كُونُوا رَبَّانِيِّينَ بِمَا كُنْتُمْ تُعَلِّمُونَ الْكِتَابَ وَبِمَا كُنْتُمْ تَدْرُسُونَ 

 Ertinya: “Tidak wajar bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Al Kitab, hikmah dan kenabian, lalu dia berkata kepada manusia: "Hendaklah kamu menjadi penyembah-penyembahku bukan penyembah Allah". Akan tetapi (dia berkata): "Hendaklah kamu menjadi orang-orang rabbani, karena kamu selalu mengajarkan Al Kitab dan disebabkan kamu tetap mempelajarinya.” 

Menurutnya rabbaniyyah itu terbahagi kepada dua. Pertama adalah Allah S.W.T. itu merupakan puncak dan tujuan segalanya. Kedua Allah merupakan sumber pokok segala sesuatu dan manhaj segala sesuatu.Berdasarkan kepada beberapa penakrifan dan penjelasan di atas, istilah “Rabbani” adalah lebih merujuk kepada individu yang mentaati segala perintah Allah S.W.T. dengan bermatlamatkan kehidupan di dunia ini adalah untuk menuju kepada Ilahi, beribadah serta mencari ridhaNya serta memenuhi tanggungjawab memikul amanah sebagai khalifah dengan dipandu melalui utusan para nabi dan rasul. Bagi merealisasikan penerapan jiwa “Rabbani” di kalangan pelajar IPTS agar dapat dijadikan panduan dalam kehidupan adalah melalui cara menghayati, memahami dan mengamalkan konsep asas yang ada pada nama-nama Allah yang indah, iaitu Asma’ Al-Husna. Konsep ini mesti disinergikan dengan akidah melalui 20 sifat wajib Allah S.W.T selaras dengan pegangan akidah menurut Ahli Sunnah Wal Jama’ah (ASWJ). Allah berfirman :

 … وَلِلَّهِ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَىٰ فَادْعُوهُ بِهَا ۖ وَذَرُوا الَّذِينَ يُلْحِدُونَ فِي أَسْمَائِهِ ۚ 

 Ertinya : 

“Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu, dan pulaukanlah orang-orang yang berpaling dari kebenaran dalam masa menggunakan nama-namaNya”... (Surah al-A’raf, ayat 180) 

 Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, 
Rasulullah SAW bersabda : إِنَّ لِلَّهِ تِسْعَةً وَتِسْعِينَ اسْمًا مِائَةً إِلا وَاحِدًا مَنْ أَحْصَاهَا دَخَلَ الْجَنَّةَ 

 Ertinya: “Sesungguhnya Allah memiliki 99 nama, seratus kurang satu. Sesiapa yang menghitungnya, dia masuk syurga.”

Asma’ Al-Husna melalui sifat-sifat Allah Ar-Rahman, Ar-Rahim, Al-Malik dan seterusnya serta memahami sifat Allah S.W.T. yang tunggal serta tiada sifat lain yang berlawanan denganNya, menghayati sifat Allah S.W.T. pada zat tertentu seperti sifat Basar (Allah Maha Melihat) akan tiap-tiap sesuatu sama ada yang terang atau tersembunyi, akan memupuk dalaman rohani dan spiritual pelajar untuk takut melakukan sebarang kemungkaran dan kemaksiatan. Ini sekaligus dapat memupuk jiwa pelajar dengan konsep “Rabbani” dalam menzahirkan pengabdian diri dan ketauhidan kepada Ilahi. Natijahnya pelajar akan cerdas tidak hanya dari sudut intelektual, tetapi juga cerdas dari sudut emosi dan spiritualnya. Malah pelajar akan sentiasa merasai Allah berada di mana-mana dalam setiap tindak-tanduknya yang akan menjadikan hatinya sentiasa hidup dengan jiwa yang murni. Konsep kedua dalam menerapkan rohani dan jiwa bersifat “Rabbani” di kalangan pelajar dalam mendepani cabaran kehidupan semasa adalah melalui pendekatan menghayati dan mengamalkan intipati al-Quran dan al-Sunnah. Kedua-dua ini adalah merupakan sumber akidah utama dan mesti berpegang kukuh kepadanya pada setiap masa, tempat, keadaan dan zaman. Jika kedua-dua sumber ini difahami konteksnya dari sudut teori dan praktikal, maka gejala sosial yang berlaku di kalangan pelajar akan dapat dikurangkan. Al-Quran merupakan dustur dan kalam Ilahi yang menjadi panduan utama manakala sunnah menjadi rujukan kedua yang bersifat sederhana dan sesuai diamalkan oleh pelajar sebagai manhaj dalam kehidupan seharian kerana paksi akhirnya adalah kembali kepada Yang Maha Pencipta. Masyarakat yang hidup di zaman jahiliyyah pun berjaya ditransformasikan melalui jalan dakwah oleh Nabi S.A.W. dengan berlandaskan kitab suci al-Quran. Menurut pandangan Said Hawa bahawa mendalami disiplin ilmu berkaitan al-Quran dan al-sunnah adalah lebih utama dipelajari dan didalami ilmunya berbanding ilmu-ilmu yang lain. Ini kerana ilmu yang bertunjang wahyu adalah maqam ilmu tertinggi yang pastinya boleh membentuk insan menjadi lebih sempurna. Namun begitu, dalam menerapkan kedua-dua sumber utama ini dalam kehidupan seharian pelajar, ia tidak boleh lari dari perancangan musuh yang cuba menggagalkannya. Pemahaman seperti sekular, liberal dan “free thinker”, penyebaran budaya songsang dan bercanggah dengan agama kadang-kala menyeludup masuk ke dalam jiwa pelajar hingga boleh mengganggu-gugat kerohanian dan spiritual pelajar. Maka di sini perlunya pemantapan ilmu yang kukuh serta proses belajar yang berterusan dengan berpegang kukuh kepada Al-Quran dan al-Sunnah. Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud : 

  “Gigitlah sunnah itu dengan gigi geraham, dan jangan sampai kalian mengikuti perkara-perkara (bid’ah) yang dibuat-buat, kerana sesungguhnya semua bid’ah itu adalah sesat.” 

Konsep ketiga dalam penerapan jiwa “Rabbani” di kalangan pelajar adalah berkaitan persoalan akidah itu sendiri yang mana pelajar mesti memahami hakikat manusia diciptakan sebagai khalifah yang akan memimpin dan mengurus dunia. Akidah berasal daripada kalimah `aqada yang bermaksud dari sudut bahasa adalah simpulan atau ikatan yang kukuh yang tidak dapat dirungkai. Manakala sudut istilah adalah pegangan yang diyakini, bertepatan dengan realiti kenyataan dan berasaskan dalil. Pegangan akidah yang mantap dengan mempunyai dalil dan hujah berwibawa akan menjadikan seseorang pelajar itu mempertahankan dirinya dari serangan musuh. Akidah tauhid tetap tidak akan berubah sampai bila-bila sehingga hari kiamat. Kerana itu, jiwa pelajar yang diterapkan dengan asas “Rabbani” akan mengetahui hakikat kenapa dirinya berada di dunia, apa peranannya dan di manakah pengakhiran kepada kehidupan. Tugas sebagai khalifah diri dan menyeru kepada berbuat baik serta menghindari diri dari melakukan kemaksiatan. Firman Allah S.W.T. dalam surah Al-Baqarah, ayat 30 :

 وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً ۖ قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ ۖ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ 
  Ertinya: 
“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi". Mereka berkata: "Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui". 

Konsep keempat adalah melalui sistem dan falsafah dalam pendidikan di Malaysia. Kita sedia maklum, Agama Islam adalah agama rasmi Persekutuan. Selaras itu, maka wujudnya kerangka dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menyatakan bahawa potensi individu perlu dibangunkan secara bersepadu dan menyeluruh tidak hanya dari sudut intelek, emosi dan jasmani malah merangkumi aspek rohani. Pendidikan dan pembelajaran yang berteraskan Tauhid adalah antara elemen terpenting kerana melaluinya pelajar akan membina, membentuk, melahir dan membangunkan karakter insan “Rabbani” yang beriman, berilmu dan dan berakhlak serta mampu membentuk kehidupan diri, keluarga, masyarakat dan seterusnya negara sepertimana yang dituntut oleh Al-Quran dan As-Sunnah. Kehidupan akan menjadi lebih terarah, tersusun dan bermatlamat kerana kerangka pendidikan ini sudah diterapkan dalam kehidupan seharian dan bukanlah teori semata-mata. Sebagai contoh pelajar merasa bersalah dalam dirinya apabila melakukan dosa dan maksiat kerana mengetahui adanya balasan atas perbuatannya itu. Ini menjadi dirinya lebih bersifat “Rabbani” dalam setiap tindak-tanduk dan perlakuan kerana memahami adanya timbangan amal walau sekecil zarah sekali pun selaras dengan firman Allah S.W.T. dalam surah Al-Zalzalah, ayat 7-8 :

 فَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَه… وَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَه 

 Ertinya: “…Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya pula”. 

Konsep seterusnya adalah melalui pendekatan mengambil ibrah dan pengajaran melalui kisah-kisah para sahabat terdahulu yang tercatat dalam sejarah keagungan Islam. Penceritaan liku-liku kehidupan para sahabat dalam menegak dan mempertahankan Islam akan mampu menerapkan konsep jiwa “Rabbani” di kalangan para pelajar. Syaratnya adalah perlu diambil ibrah dari kisah mereka dan jadikannya sebagai asas dalam mendepani kehidupan seharian. Sebagai contoh bagaimana kisah kekentalan akidah yang ditunjukkan oleh sahabat Nabi S.A.W. bernama Bilal bin Rabah (R.A.) . Walau bagaimana penyeksaan dikenakan ke atas dirinya, beliau tetap utuh dengan keyakinan tauhid yang ada dalam dirinya melalui lafaz yang mulia, Ahaad, Ahaad. Begitu juga kisah Ammar bin Yasir dan keluarganya yang disiksa tanpa belas kasihan sehingga bapanya meninggal dunia oleh kaum Quraisy dari Bani Makhzum apabila mereka mengetahui Ammar dan keluarganya memeluk Islam. Namun penyiksaan ini tidak sedikit melunturkan keimanan dan keyakinannya kepada Islam sehingga Nabi S.A.W. bersabda ketika melihat beliau yang sedang disiksa “Sabarlah wahai keluarga Yasir, tempat yang dijanjikan untuk kalian adalah syurga…”. 

Allah S.W.T. merakamkan kisah Ammar ini di dalam surah An-Nahl, ayat 106 :

 مَنْ كَفَرَ بِاللَّهِ مِنْ بَعْدِ إِيمَانِهِ إِلَّا مَنْ أُكْرِهَ وَقَلْبُهُ مُطْمَئِنٌّ بِالْإِيمَانِ وَلَٰكِنْ مَنْ شَرَحَ بِالْكُفْرِ صَدْرًا فَعَلَيْهِمْ غَضَبٌ مِنَ اللَّهِ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ 
Ertinya: 
“Barangsiapa yang kafir kepada Allah sesudah dia beriman (dia mendapat kemurkaan Allah), kecuali orang yang dipaksa kafir padahal hatinya tetap tenang dalam beriman (dia tidak berdosa), akan tetapi orang yang melapangkan dadanya untuk kekafiran, maka kemurkaan Allah menimpanya dan baginya azab yang besar” 

Jelas bahawa apabila manusia memasakkan di dalam jiwa dan dirinya akidah tauhid dengan beriman kepada Khaliq, maka akan lahirlah kekentalan akidah yang jitu serta tidak boleh digugat. Inilah antara penerapan konsep “Rabbani” yang boleh diaplikasi oleh pelajar dalam mendepani kehidupan yang serba mencabar sekarang ini. Hakikatnya penerapan konsep jiwa “Rabbani” mesti diadun dan disinergikan bermula dengan menghayati, memahami dan mengamalkan Asma’ Al-Husna, akidah yang jelas melalui sifat-sifat wajib Allah S.W.T., menjadikan al-Quran dan al-Sunnah sebagai teras atau jalan yang memandu kehidupan, menyedari bahawa diri diciptakan sebagai khalifah, kerangka Falsafah Pendidikan Kebangsaan serta mengambil pengajaran melalui kisah-kisah para sahabat akan mampu membentuk dan membangunkan modal insan pelajar itu sendiri agar ia selaras dengan kecemerlangan dunia apatah lagi kecemerlangan di akhirat. Akhirnya lahir pelajar yang seimbang kedua-duanya secara holistik dan menyeluruh. InShaa’Allah. Setelah dijelaskan objektif yang berkaitan dengan pembinaan jiwa Rabbani dalam kalangan pelajar IPTS, berikut dijelaskan objektif kedua kajian iaitu model konsep perlaksanaan program pembangunan Sahsiah terpuji(PESAT) bagi merealisasikan gagasan berkaitan. 

 MODEL KONSEP PERLAKSANAAN PROGRAM PESAT 
 Program Pembangunan Sahsiah Terpuji (PESAT) dirangka dengan tujuan untuk membina semangat keprihatinan di kalangan pelajar terhadap tugas dan tanggungjawab sebagai seorang Muslim serta mewujudkan kebersamaan di kalangan pelajar dan masyarakat umumnya. Ia juga bagi mendedahkan kepada para pelajar akan cabaran-cabaran yang bakal dihadapi dalam kehidupan pembelajaran di kampus dan kehidupan selepas tamat pengajian. Modul PESAT diolah untuk menjadi medan kepada para pelajar melengkapkan diri dengan pelbagai persiapan dan kemahiran agar dapat bersaing dalam dunia serba mencabar. Ia dibangunkan berteraskan kerangka konsep berikut:

 KANDUNGAN MODUL PESAT 
 Program PESAT adalah dengan menyediakan modul khas untuk para pelajar bagi enam semester sepanjang pengajian mereka ,
 Semester 1: Menjelaskan matlamat seorang pelajar secara menyeluruh dan memberi kesedaran akan permasalahan sebenar yang menimpa masyarakat sekarang serta jalan penyelesaiannya. 
Semester 2: Menjelaskan peranan pelajar dalam membantu masyarakat di samping menekankan akan pentingnya pendidikan yang menyeluruh dalam pembangunan pelajar dengan menjadikan Islam sebagai panduan dan Rasulullah s.a.w. sebagai ikutan.
 Semester 3: Memberi kesedaran kepada pelajar dan menerangkan konsep pendidikan serta keperluan kepada pembentukan pelajar Islam cemerlang dari pelbagai sudut iaitu akademik, sahsiah dan kemahiran insaniah serta menjadi pelajar yang seimbang. 
Semester 4: Mempersiapkan pelajar (menjadi fasilitator pelajar) hingga mampu memperbaiki dan meningkatkan potensi dan mampu membantu pelajar lain dengan modul yang berkesan dan sesuai. Semester 5: Mempersiapkan pelajar agar mampu menjadi pelajar yang mempunyai pertahanan bagi melawan unsur-unsur negatif yang melemahkan jiwa untuk menjadi seorang pelajar yang cemerlang seiring dengan kesungguhan dan keazaman yang kuat kepada prinsip Islam dalam setiap perancangan dan tindakan.
 Semester 6: Melahirkan pelajar yang mengetahui peranan dan tanggungjawabnya, cemerlang akademik, sahsiah dan berkemahiran serta mempunyi sepuluh sifat terpuji (Muhammad Abdullah Al Khatib, 1993) agar menjadi momentum kepada kejayaan lain iaitu:- 
1. Akidah Yang Sejahtera 2. Ibadah Yang Benar 3. Akal Yang Terdidik 4. Akhlak Yang Mantap 5. Jasad / Fizikal Yang Sihat 6. Kerja Yang Tersusun 7. Masa Yang Terurus 8. Mampu Melawan Hawa Nafsu 9. Mampu Berdikari 10. Mampu Bermanfaat Kepada Manusia / Masyarakat 

  Kandungan modul dan aktiviti disusun secara berperingkat merangkumi :
a. Aktiviti Teras yang merupakan aktiviti berkala dan wajib bagi setiap pelajar yang merupakan medium utama pembentukan individu Muslim, pusat ikatan ukhuwah, pusat latihan kepimpinan dalam skala kecil dan mendapat kefahaman Islam yang sebenar seperti PESAT Umum, Liqa PESAT, Kelas Tahsin Al-Quran. 
b. Aktiviti Pemantapan yang dirangka untuk memantapkan ilmu-ilmu asas Islam dan membina persepsi yang positif kepada aktiviti teras seperti Aktiviti Pemantapan Ilmu Fardhu Ain, Islamic Leisure Weekend (I-Like), Jambatan Hati. 
c. Aktiviti Sokongan yang dirangka bagi meraikan keadaan jiwa manusia yang mudah jemu serta bertujuan untuk meningkatkan keberkesanan PESAT dimasa yang sama memupuk para pelajar agar merasai kenikmatan melalui proses PESAT dengan menyertai beberapa aktiviti pengukuhan seperti Aktiviti Kelab dan Persatuan, Aktiviti meraikan hari-hari kebesaran Islam, Aktiviti Khidmat Kemasyarakatan. 
d. Aktiviti Pembangunan Fasilitator PESAT dirangka bagi melatih para fasilitator serta pembantu fasilitator mengendalikan kumpulan masing-masing di dalam program rasmi juga di luar program rasmi mengikut semester pengajian. 

Antara program yang telah disusun adalah Kursus fasilitator PESAT, Kem Kepimpinan Mahasiswa 1 dan 2 (PIMPIN 1 & PIMPIN 2), Qiamullail PESAT, Liqa Fasilitator PESAT, Kajian Tarbawi, Rekreasi 1 dan 2. Penilaian sahsiah atau prestasi pencapaian pelajar dilaksanakan secara berkala oleh unit pengendalian PESAT dibantu oleh fasilitator kumpulan sepanjang setiap semester pengajian bagi memastikan PESAT berjalan dengan lancar. Penilaian dibuat dari beberapa aspek iaitu kehadiran, sahsiah, tahap bacaan alquran, solat, kefahaman dan tugasan. Para pelajar yang didapati berpotensi dari sudut kepimpinan akan diberi peluang untuk dilatih sebagai penolong fasilitator dan seterusnya fasilitator mengikut pencapaian individu pelajar tersebut. 

  PERLAKSANAAN PROGRAM PESAT Perlaksanaan PESAT dipertanggungjawabkan kepada unit khas dibawah Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) . Langkah perlaksanaan adalah:
 a. Pemilihan Fasilitator. Fasilitator dipilih dari kalangan pensyarah dan staf bukan akademik berdasarkan kepada kriteria tertentu termasuk penguaaan fikrah Islam dan ibadah khusus. Fasilitator akan dibantu oleh seorang Pembantu Fasilitator dari kalangan staf dan seorang Penolong Fasilitator dari kalangan pelajar.
 b. Latihan fasilitator. Semua fasilitator wajib menjalani latihan yang dikendalikan oleh secara berkala bagi mempastikan mereka boleh menguasai modul PESAT. 
c. Pembahagian kumpulan. Setiap pelajar akan dimasukkan kedalam kumpulan yang terdiri daripada 5 – 7 orang ahli daripada semester yang sama tetapi program pengajian yang berbeza. Setiap kumpulan akan dibimbing oleh seorang Fasilitator, Pembantu Fasilitator dan Penolong Fasilitator. 
d. Pengendalian modul PESAT. Modul teras biasanya diadakan pada hari tertentu secara serentak dalam kampus dari jam 12 tengah hari sehingga 2 petang dan wajib solat zohor berjamaah. Tempat perlaksanaan terserah kepada budibicara fasilitator. Modul lain dijalankan secara berkala oleh setiap kumpulan secara berasingan atau digerakkan oleh HEP secara Bersama. 
e. Penilaian. Penilaian dibuat oleh setiap fasilitator setiap akhir semester dan laporannya dihantar kepada HEP. 

BUKU-BUKU RUJUKAN YANG DIGUNAPAKAI SETIAP SEMESTER DI DALAM PROGRAM PESAT
 Buku-buku rujukan yang digunakan bagi program PESAT ini selama enam semester adalah meliputi bab akidah, ibadah dan akhlak. Berikut adalah senarai kitab-kitab yang digunakan : 
1. Abdullah bin Abdul Aziz Al-Aidan, Alih Bahasa Fadhli Bahri (2008), Tarbiyah Dzatiyah, Jakarta, Penerbit An-Nadwah. 
 2. Abdullah Nasih Ulwan, Alih Bahasa Mohd Kamal Mahyudin Harun(1988), Menuju Ketakwaan, Kuala Lumpur, Pustaka Salam.
 3. Abul A’laa Maududi,(1980), Asas-asas Islam. The Holy Koran Publishing House. 
4. Cahyadi Takariawan, Ghazali Mukri (2002), Kitab Tazkiyah, Solo, Era Intermedia. 
5. Dr Abdul Karim Zaidan, Alih Bahasa H.M Asiwadi Syukur (1980), Dasar – Dasar Ilmu Dakwah (2), Jakarta, Media Dakwah. 
 6. Dr Muhammad Na’im Yasin,(2007), Iman: Rukun, Hakikatnya dan Pembatalnya. Kedah, Pustaka Salam. 
7. Dr Umar Sulaiman Al-Asyqar, Alih Bahasa Shalahuddin Abdul Rahman. (2008). Iman Kepada Allah. Riyadh. Internasional Islamic Publishing House.
 8. Dr Yusuf Qaradhawi (2001), Ibadah Dalam Islam, Surabaya, PT. Bina Ilmu. 
 9. Fakhruddin Nursyam(2007), Syarah Lengkap Arba’in Ruhiyah,Solo, Bina Insani Press Solo. 
10. Fathi Yakan,Alih Bahasa Alias Othman(1983) Apa Erti Saya Menganut Islam. Kuala Lumpur.Pustaka Salam. 
11. Hasnan Kasan(2011), Mari Memahami dan Menghayati Bacaan Solat, Selangor, Bina Ummah Publication 
 12. Irwan Prayitno (2003), Keperibadian Muslim. Bekasi: Pustaka Tarbiatuna. 
 13. Jamal al-Din M Zarabozo (2002), Purification of the soul, USA, Al Basheer Publications & Translations. 
14. Jum’ah Amin Abdul Aziz(2005), Alih Bahasa Abdul Salam, Fiqh Dakwah, Pajang, Era Intermedia. 15. Mohd Ali Hashimi, Keperibadian Muslim, Sarjana Media. 
16. Sayid Sabiq(1991), Aqidah Dalam Islam, Kuala Lumpur, Pustaka Salam. 
17. Syeikh Musthafa Masyhur Alih Bahasa Hamim Thohari (2008), 7 Tahapan Dakwah Fardiyah,Jakarta Timur, Al-I’tishom Cahaya Umat. 

 Setelah dijelaskan mengenai model konsep perlaksanaan program pembangunan Sahsiah terpuji(PESAT), berikut diperincikan objektif ketiga kajian iaiatu cara pengukuran keberkesanan program PESAT yang dijalankankan secara umum dan dikongsikan sampel kejayaan perlaksanaannya. Ianya dalam huraian seperti di bawah. 

  UKURAN KEBERKESANAN SECARA UMUM 

 Keberkesanan secara umum program yang ingin dicapai dalam program PESAT ini ialah melahirkan insan yang beriman dan bertaqwa, berilmu dan ikhlas dalam segala gerak kerja, dan menjadikan al Quran dan As Sunnah, Ijma dan seerah Nabi SAW Kesemua ini dihuraikan di dalam huraiandi bawah. Bagi mengukur keberkesanan dalam sesebuah kurikulum, sebagai manusia yang diciptakan oleh Allah SWT, sejak dari kecil lagi kita telah ditarbiah dengan menyebut kalimah “ALLAH”.
 Kita juga mengetahui Allah SWT merupakan pencipta sekalian alam semesta serta isinya dangan Qudrat dan Iradat-Nya. Segala kejadian dan ciptaan adalah kehendak-Nya sendiri. Penyemaian dan pembinaan elemen ketuhanan dalam proses Pendidikan kurikulum dapat dilihat dari setiap pelajar di mana mengenal Allah SWT adalah dengan menunjukkan kita sebagai hamba-Nya dengan melakukan perkara- perkara yang wajib ke atas umat Islam seperti mengucap dua kalimah syahadah, menunaikan solat 5 waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, menunaikan zakat serta mengerjakan haji. Atas dasar ini sebagai seorang muslim kita dituntut dengan melakukan perbuatan baik sesama manusia dengan melakukan amal soleh seperti membuat kebaikkan sesama manusia yang ditimpa musibah seperti kemalangan, kelaparan, kebakaran, kematian atau kesusahan. 
Sebaliknya bagi perbuatan yang melanggari hukum dan batas agama seperti melakukan perbuatan zina, rasuah, mengamalkan riba, makan harta anak yatim serta penindasan adalah satu perbuatan yang telah melanggari hukum serta fitrah dan sudah pasti perbuatan tersebut adalah berdosa dan haram. Sebagai manusia yang beriman dan bertaqwa kepada Allah hendaklah meninggalkan perbuatan tersebut dengan ikhlas serta merujuk kepada sumber hukum di dalam al Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW. Orang yang bertaqwa adalah yang paling mulia di sisi Allah SWT dengan erti kata menginsafi dengan apa yang telah dilakukan serta takut dengan azab dan balasan daripada Allah SWT. Faktor sunnah merupakan peranan penting di mana ianya merupakan khazanah peninggalan Nabi Muhammad SAW yang dapati kita contohi dan teladani sehingga ke hari ini. Antara contoh sunnah yang diambil melalui pada cara makan dan pemakanan yang diamalkan oleh Rasulullah SAW adalah Baginda akan makan bila terasa lapar dan akan berhenti apabila hampir kenyang. 

Yang pasti, setiap teori dan idealisme yang disampaikan sudah tentu diaplikasikan dalam realiti kehidupannya. Inilah asas-asas kekuatan dan kejayaan yang ditempa oleh baginda ketika membentuk watak-watak manusia yang pada mulanya ingkar terhadap faktor rabbani tetapi akhirnya menjadi hamba yang patuh, tunduk dan taat. Inilah juga sumber kekuatan 'risalah khilafah' yang menyebabkan pertautan manusia dengan Pencipta. 

Akhirnya, lahirlah rasa takwa yang tinggi dan keimanan yang kental pada diri manusia. Kekuatan inilah yang menyebabkan jihad berkembang, dakwah berjalan, tarbiyah berlaku. Natijahnya, manusia terbentuk dengan jalur perjuangan yang mulia semata-mata mendapatkan keredhaan Allah bukannya 'keredhaan' manusia. Inilah asas ihsan yang berkembang dalam hati, amalan dan pemikiran yang menyebabkan umat Islam mampu menghasilkan tamadun. Tamadun ini jugalah yang mampu mempengaruhi orang lain.Terdapat ihsan Allah yang amat bermakna kepada manusia, iaitu manusia dikurniakan dengan rahmat dan nikmat yang melimpah ruah. Rahmat adalah anugerah Allah dalam pelbagai bentuk sama ada pada diri seperti akal, hati, jasad dan jiwa bagi membolehkan manusia berfungsi mengikut fitrahnya. Fungsi itu berkait rapat dengan konsep nikmat. Selain pada diri, masih banyak nikmat di sekeliling manusia yang tidak terhitung seperti sumber makanan, sumber galian, sumber udara, air dan sebagainya. Aplikasi nilai berkait rapat dengan amalan. Menurut perspektif Islam, sesuatu perbuatan itu dikatakan bernilai dan dianggap sebagai ibadah selepas memenuhi empat syarat. Pertama niat, kedua objektif, ketiga proses yang selari dengan niat dan keempat natijah dari niat, objektif dan proses. Contohnya, nilai ibadah dalam Islam dihubungkan dengan keikhlasan atau dalam bahasa mudah beribadah kerana Allah dan berhikmah untuk manusia.

 Konsep kerana Allah itu bukan bermakna Allah memerlukan sesuatu dari hambanya. Hakikatnya, Allah tidak memerlukan sesuatu pun daripada makhluk kerana DIA Maha Sempurna dan Maha Kaya. Sebaliknya, makhluk amat memerlukan rahmat dan nikmat Allah. Oleh itu, apabila wujud keikhlasan bekerja, ia pasti dilaksanakan dengan penuh hikmah dan memberi manfaat kepada manusia atau organisasi. Ikhlas dalam solat pula menjadikan manusia tunduk dan taat bukan sahaja kepada ALLAH tetapi diterapkan dalam amalan pengurusan. Rukuk dan sujud itu mengajar manusia agar tunduk dan patuh kepada pemimpin. Dahi yang berada di ataş, akhirnya jatuh ke bumi membayangkan betapa kerdilnya manusia di sisi ALLAH. Bayangkan apabila dahi sujud mencecah bumi, ia meletakkan seluruh fakulti akal yang membolehkan manusia berfikir dalam tahap merendah diri kepadanya. Ia membayangkan setinggi mana fikiran manusia, ilmu yang dihasilkan, keterampilan yang dibina semuanya akur dan tunduk terhadap ALLAH. Asas ini apabila dijadikan amalan ia meletakkan manusia dalam keadaan tidak kufur dan sombong kepada ALLAH. Hasil kajian yang dibuat akhirnya kembali kepada ALLAH. DlAlah punca segala-galanya. Inilah asas yang penting dalam proses mendidik manusia mengukuhkan lagi jiwa hamba untuk melakukan amal dan ibadah yang lebih mencabar terhadap manusia dan sistem. 

Tanpa asas kekuatan seperti ini manusia akan cenderung kepada takbur, sombong dan tidak bersyukur kepada rahmat dan nikmat yang dilimpahkan oleh ALLAH kepadanya. Selain dari itu, nilai-nilai kepimpinan juga terdapat pada imam. Nilai pekerja pula terletak pada kualiti makmum. Bekerja secara berpasukan dan istiqamah digambarkan dengan saf-saf yang lurus serta tersusun rapi. Nilai tumpuan kepada kerja dapat digambarkan ketika khusyuk solat. Dengan menunjukkan nilai-nilai murni ini dapat menerangkan kepada umum perbuatan kebaikan dapat diterap atau dipupuk semasa peringkat awal persekolahan. Setelah dijelaskan kaedah pengukuran jiwa Rabbani secara umum, berikut diterangkan pula contoh IPTS yang berkesan dalam melaksanakan program PESAT ini. Program ini telah dilaksanakan dengannya jayanya di Kolej Teknologi Darul Naim(KTD), Pengkalan Chepa, Kelantan. 

  UKURAN KEBERKESANAN SECARA KHUSUS-KAJIAN KES: KTD 
Kolej Teknologi Darulnaim (KTD) ditubuhkan dengan inisiatif Perbadanan Kemajuan & Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) pada tahun 1997 dan bertukar pengurusan secara management buy-out pada tahun 2004. Buat masa ini KTD menawarkan 7 program Diploma dalam bidang sains sosial, teknikal dan juga deeniah. Ia termasuk program kerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), disamping program dalaman KTD sendiri. Rangkaian universiti luar negara yang bekerjasama dengan KTD termasuklah Southhampton Solent University, Griffith College Dublin, The University of Winchester, dan Fatih Sultan Mehmet Waqf University di Turki. Tumpuan utama, atau boleh dikatakan inti kepada matlamat penubuhan KTD itu sendiri, ialah untuk melahirkan graduan yang memiliki sifat Profesional, Berketrampilan, dan Beretika – atau lebih popular dalam dialek tempatan Kelantan “Ngaji biar pandai, Perangai biar juruh, dan Hidup biar boleh tumpang”.

 Bagi merealisasikan matlamat ini, pihak pengurusan telah membina satu model pendidikan bersepadu dan mewajibkan semua pelajar, tanpa mengira bidang, mengikutinya bermula dari kemasukan sehingga tamat pengajian. Program ini berbentuk modul sokongan (bukan akademik) yang dikendalikan secara sistematik oleh gabungan kakitangan dan pelajar yang telah dilatih. Hasil daripada keputusan kajian menunjukkan bahawa majoriti pelajar menyetujui bahawa program PESAT yang dijalankan mampu memberi kesan kepada pembangunan akademik, komitmen terhadap Islam, kepimpinan, kemahiran insaniah dan keterampilan pelajar. 

 Dari sudut keberkesanan program PESAT terhadap akademik, hal ini dibuktikan dengan peningkatan prestasi pelajar dalam keputusan peperiksaan di beberapa tahun dan bilangan peratusan pelajar mendapat sijil dekan mulai meningkat. Selain itu program peningkatan al- Quran juga dijalankan agar bukan hanya dapat melahirkan suasana pembudayaan al-Quran, bahkan dapat membaca dengan baik, memahami, mengkaji dan mengamalkannya dalam segenap kehidupan khususnya di waktu kerja. 
Aktiviti di dalam kumpulan kecil juga dirancang dan dijalankan bagi memberi peluang berlakunya perbincangan dan perkongsian ilmu secara khusus yang meliputi pelbagai aspek kehidupan berlandaskan syariat Islam. Selain itu peningkatan prestasi pelajar juga dapat dibuktikan apabila Kolej Teknologi Darulnaim berjaya melahirkan graduan-graduan yang cemerlang sehingga mampu melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian yang lebih tinggi di pelbagai Institusi Pengajian Tinggi iaitu dalam pengajian Ijazah dan Sarjana. 

  RUMUSAN DAN PENUTUP Dapatlah disimpulkan di sini, pemahaman aqidah dan tuntutannya dapat diterapkan kepada pelajar IPTS melalui program pembangunan sahsiah terpuji. (PESAT). Di dalam program ini pelajar diterapkan dengan konsep jiwa Rabbani melalui kurikulum yang dirangka. Dalam masa yang sama, instrumen pengukuran juga diguna pakai bagi mengukur keberkesanan program ini. Jika dalam seerah, Nabi SAW Berjaya mengubah para sahabatnya melalui penanaman aqidah yang kental, di KTD pula, institusi ini berjaya mengubah destini pelajar B40 yang datang dari pedalaman Sabah dan di pelajar miskin di Semenanjung, Malaysia menjadi insan berguna. Mereka Berjaya kerana jatidiri mereka telah dibangunkan semula melalui program PESAT ini. Untuk mempastikan program ini dapat berfungsi dengan baik, ianya mestilah dimasukkan dalam kurikulum kolej/universiti berkenaan. Dari dikira jam jumlah jam kredit untuk tamat pengajian. Adalah diharapkan program PESAT ini dapat dikembangkan di IPTA/S yang lain bagi menjamin keselamatan akidah pelajar terjaga. Akhir sekali, kita menyakini bahawa kunci kejayaan bagi meningkatkan pembangunan pelajar dari pelbagai sudut adalah usaha yang bersungguh-sungguh dari pelbagai pihak bermula dari orang yang mendidik dan yang dididik, semangat yang tinggi serta doa yang tidak putus-putus kepada Allah SWT. 

  RUJUKAN 
 Buku Laporan dan Penilaian Program Pembangunan Sahsiah Terpuji (2010), 
Kolej Teknologi Darulnaim – tidak dicetak. 
 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Edisi Keempat, 2017
 Hamzah, M.S., Laki, A.F., Embong, R., & Din, N. (2015). 
Penerapan Akidah Dalam Dasar Pendidikan Malaysia: Analisis Terhadap Falsafah Pendidikan Negara Dan Islam Hadhari. Hasbullah Mat Daud, and Ahmad Yussuf, and Fakhrul Adabi Abdul Kadir, (2020) Pembentukan akhlak dan sahsiah pelajar melalui pembelajaran sosial menurut perspektif Islam. e-BANGI: Jurnal Sains Sosial dan Kemanusiaan, 17 (9). pp. 75-89. 
 Laman Sesawang Kolej Teknologi Darulnaim. Falsafah, Misi dan Visi Kolej Teknologi Darulnaim. dicapai Julai 17, 2021, from https://ktd.edu.my/v3/misi-visi/ Modal Manusia dan Perolehan Buruh, Kuala Lumpur: 
Dewan Bahasa dan Pustaka, ms. 1 Modul Program Pembangunan Sahsiah Terpuji (2020), Kolej Teknologi Darulnaim – tidak dicetak. 
 Mohd Fauzi Hamat & Mohd Khairul Naim Che Nordin. 2012. Tinjauan kepentingan pembangunan modal insan di Malaysia. Jurnal al-Tamaddun 7(1): 75-89 Mohd Noor, A. F., Jasmi, K. A. and Shukor, A. K. (2016). 
Masalah sosial dalam kalangan pelajar dan peranan pensyarah Pendidikan Islam dalam pengajaran dan pembelajaran. Journal of Social Sciences and Humanities, 11(2): 50-61. 
 Muhamad Alihanafiah Norasid. “Manhaj Rabbani oleh Sa‘īd Ḥawwā dalam Pembangunan Modal Insan: Tumpuan kepada Karya al-Asās fī al-Tafsīr.” Jurnal Usuluddin 33 (Januari-Jun2011), 89- 112. Muhammad Abdullah Al Khatib, (1993). 
Pandangan semula kepada Risalah Ta’alim, Pustaka Media Budi, Shah Alam, Selangor. Muhammad Idris al-Marbawi (1998), Kamus Idris al-Marbawi Arab-Melayu. Kuala Lumpur: Dar al-Nu’man, h. 225. Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Teuku Iskandar (2005), 
Kamus Dewan, Edisi Keempat. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, h. 350.
 Zahir Zainudin, (2006) 04 November, Belia Dan Pembangunan Modal Insan: MerealisasikanMasyarakat Sejahtera. http://zahirzainudin.blogspot.com/2 006/11/ belia- dan-pembangunan- modal-insan.html

DAKWAH MELALUI TIKTOK DAN KESANNYA KEPADA REMAJA MUSLIM DI MALAYSIA

  DAKWAH MELALUI TIKTOK DAN KESANNYA KEPADA REMAJA MUSLIM DI MALAYSIA   Mohd Amirul Hafiz Ahmad, Solehuddin Shuib, Khairulazhar Samsudin...