Monday, November 22, 2021

BOIKOT PRODUK SUMBANG KEPADA ISRAEL

 

BOIKOT PRODUK SUMBANG KEPADA ISRAEL

Solehuddin Shuib, Amir Imran Abu Yamin, Khairulazhar Samsudin, Mohd Anuar Ramli1

1Jabatan Fiqh dan Usul, Akademik Pengajian Islam, Universiti Malaya, 50603 Kuala Lumpur, Malaysia


Khulasah

Kegilaan dan kezaliman rejim Zionis ke atas rakyat Palestin di Masjid Aqsa dan Gaza tiada penghujungnya.  Mereka tanpa segan silu membunuh, mencederakan dan menghalau warga Palestin yang merupakan penduduk asal di negara tersebut. Atas asas itu, maka kita sebagai saudara seagama dengan pegangan akidah yang sama adalah disarankan untuk bertindak dan berbuat sesuatu bagi membalas kekejaman rejim ini.  Oleh itu, objektif kajian adalah untuk memberi kefahaman tentang pentingnya memboikot produk Israel, menjelaskan pandangan sisi syarak berkaitannya dan seterusnya mengemukakan langkah-langkah yang praktikal agar boikot yang dilaksanakan akan lebih berkesan. Natijah melalui penulisan ini diharap dapat menjadikan usaha boikot akan lebih berjaya dan berkesan setelah dibuat beberapa penilaian serta kajian tentang cara yang betul dalam usaha memboikot produk-produk yang menyumbang kepada Israel.

Kata kunci: Palestin; Boikot; Israel

PENDAHULUAN

Konflik yang berlaku di Palestin di antara Arab dna Israel telah berlarutan sejak sekian lama.  Jika dikira dari tarikh rasmi penubuhan negara Israel pada 15 Mei 1948, kita akan dapati bahawa konflik tersebut sudah berlangsung selama lebih 7 dekad[1].

Tanggal awal Ramadan 1442H/2021M, penduduk Palestin sekali lagi terus dizalimi oleh rejim Zionis termasuk merosakkan Masjid Al-Aqsa, masjid yang ketiga terpenting bagi seluruh umat Islam. Kegilaan dan kezaliman rejim Yahudi Israel ini termasuk membunuh dan mencederakan wanita, warga emas dan kanak-kanak amat menjengkelkan. Atas asas itu, maka kita sebagai saudara seagama dengan pegangan akidah yang sama adalah disarankan untuk bertindak dan berbuat sesuatu bagi membalas kekejaman rejim ini. Selain sumbangan tenaga dan kewangan, salah satu yang boleh dilaksanakan adalah dengan memboikot produk sama ada barang atau perkhidmatan yang berkait secara langsung dengan Yahudi Israel. Kita jangan sesekali mempercayai mereka kerana Allah SWT. telah menukilkan di dalam Al-Quran surah Al-Baqarah, ayat 120:[2]

وَلَنْ تَرْضَىٰ عَنْكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ ۗ

قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّهِ هُوَ الْهُدَىٰ ۗ وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُمْ

بَعْدَ الَّذِي جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ ۙ مَا لَكَ مِنَ اللَّهِ مِنْ وَلِيٍّ وَلَا نَصِيرٍ

 

“Dan orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan rela kepadamu (Muhammad) sehingga engkau mengikuti agama mereka,”…

                                        

Pentingnya isu boikot ini adalah kerana tiada kuasa dunia yang bertindak dalam mengekang kegilaan serta kerakusan rejim Zionis dalam pembantaian ke atas bumi Palestin. Melalui cara memboikot akan dapat membuka mata seluruh dunia yang mana tindakan ini adalah tanda soladiriti terhadap negara dan rakyat Palestin serta membantah tindakan kekejaman tentera Israel ke atas umat Islam di Gaza[3]. Terdapat hampir 31 Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO’s) di Malaysia yang terlibat secara langsung menyokong dan menyertai kempen memboikot barang buatan Israel antaranya Boycott Divestment and Sanctions (BDS) Malaysia[4]; Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM); Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM); Persatuan Pelajar Islam Asia Tenggara (PEPIAT); PPIM Persatuan Pengguna Islam Malaysia[5], HALUAN[6],  MyCARE Malaysia[7] dan beberapa dewan serta badan usahawan peniagaan.

Skop kertas kerja ini adalah meliputi  pengenalan senario semasa berkaitan boikot produk Israel, definisi, kepentingan boikot, sasaran syarikat yang perlu diboikot, pandangan syarak berkaitan boikot, dan cadangan boikot berkesan yang boleh dilakukan.  Ada tiga(3) objektif utama kajian ini iaitu:

  1. Memberi kefahaman dan kesedaran peri pentingnya boikot produk Israel.
  2. Menjelaskan pandangan syarak berkaitan produk yang menyumbang kepada Israel.
  3. Mengemukakan langkah-langkah praktikal untuk boikot yang berkesan.

 DEFINISI BOIKOT, PRODUK DAN ISRAEL

Tindakan pencegahan suatu perniagaan dengan memaksa orang untuk tidak membeli produk perusahaan tersebut atau memaksa orang untuk tidak melakukan perniagaan dengan pihak tertentu. Boikot diambil dari perkataan asal Bahasa Inggeris ‘boycott’ iaitu dari nama Captain Charles Cunnigham Boycott (1832-1897), seorang ejen ladang berbangsa Inggeris di Ireland[8]. Mengikut Kamus Dewan[9], boikot merujuk kepada pemulauan. Secara luasnya adalah keengganan untuk berurusan dengan individu, organisasi atau negara bagi menyatakan rasa tidak bersetuju dan memprotes kerana sesuatu isu. Ia ditunjukkan antaranya melalui tindakan untuk tidak menggunakan, membeli, atau berurusan sehingga tercapainya matlamat sesuatu tuntutan itu. Tindakan boikot berkaitan produk akan disusuli dengan senarai barangan (termasuk syarikat) yang disenaraihitamkan.[10]

Dalam bahasa Arab, istilah yang diguna pakai ialah al-muqatacah al-iqtisadiyyah. Berasal daripada kalimah qataca[11], yang merujuk kepada larangan sebarang hubungan ekonomi atau sosial selaras dengan sistem sosial yang tertulis.[12]

Terdapat beberapa kategori dan tindakan boikot antaranya boikot pengguna di mana orang awam dinasihatkan untuk tidak membeli produk dari syarikat yang menjadi sasaran boikot. Pemulauan pengguna biasanya diatur oleh kumpulan aktivis sosial atau NGO. Tujuan boikot pengguna ini adalah sebagai tindakan memprotes amalan tidak adil atau tidak beretika. Walt Disney, penerbit buku kanak-kanak terbesar di dunia, pernah melakukan boikot menggunakan kertas dari Indonesia. Seterusnya adalah boikot melibatkan perniagaan ke perniagaan yang boleh merosakkan secara material. Tindakan ini sering disebut sebagai balas dendam. Contohnya, boikot produk Apple di China semasa perang perdagangan antara Amerika dan China. Beberapa syarikat China memberikan sokongan mereka kepada Huawei dengan memboikot produk Apple di persekitaran pejabat. Terdapat juga Boikot "Pekerja Berjalan" atau dikenali sebagai mogok kerja di mana pekerja mogok untuk memprotes sesebuah syarikat atas ketidakpuashatian sesuatu isu seperti berkaitan gaji, kemudahan dan tempoh waktu bekerja.

Produk pula adalah merujuk kepada sesuatu (barang, perkhidmatan dan sebagainya) yang dikeluarkan oleh kilang atau ditawarkan oleh institusi dan sebagainya. Manakala Israel berasal dari Bahasa Ibrani yang merujuk kepada nama asli kepada Nabi Yaakub a.s. Kaum Bani Israel adalah merujuk kepada kaum dan keturunan Nabi Yaakub a.s. Namun bagi kertas kerja ini, Israel dirujuk kepada rejim Zionis Israel.

MENGAPA PERLU BOIKOT?

 

Isu ini penting kerana sehingga kini tiada mana-mana negara atau kuasa dunia membantu rakyat Palestin yang berterusan ditindas dan dizalimi. Kesedaran dan kefahaman melihat saudara seagama terus teraniaya mesti dibela sewajarnya agar lahirnya semangat soladiriti dan kesatuan khususnya di kalangan seluruh umat Islam. Rasa kasih sayang dan merasai kesakitan rakyat Palestin mesti turut dirasai oleh mana-mana yang bergelar insan di dunia ini. Boikot ini dilihat sebagai satu pemindahan kuasa yang diserahkan kepada individu untuk melaksanakannya. Namun ia perlu dijalankan secara yang lebih praktikal serta bersifat jangka panjang berbanding boikot yang tidak praktikal.[13]Selain itu, boikot ini perlu dalam usaha menyokong produk-produk keluaran Muslim di mana umat Islam masih mempunyai pilihan dari sudut penggunaannya. Perkara yang sering kali terlupa adalah hak kuasa beli yang dimiliki. Kuasa beli ini mencerminkan tanda protes secara baik melalui saluran dan kuasa yang sedia ada pada setiap umat Islam di samping dapat memberikan tekanan ekonomi kepada rejim Zionis Israel dan sekutunya. Ini sekaligus akan dapat mengumpulkan sokongan dari negara-negara yang lain untuk turut sama melaksanakan boikot secara aman dan adil. Kejayaan dan catatan sejarah telah membuktikan tumbangnya rejim apartheid di Afrika Selatan setelah sekian lamanya boikot dan tekanan dibuat sehingga melibatkan masyarakat seluruh dunia dan di peringkat antarabangsa.[14] Sekutu terkuat Israel iaitu Amerika Syarikat termasuk Kanada telah menggunakan tindakan perundangan dalam memberi tekanan semula kepada mana-mana negara yang melaksanakan boikot ke atas Israel. Contohnya penarikan insentif cukai telah digunakan bagi menekan semula negara-negara yang terlibat memboikot Israel. Kesannya negara-negara ini sendiri yang menghadapi tekanan ekonomi kerana kebergantungannya kepada Amerika Syarikat dalam hal ehwal melibatkan perdagangan antarabangsa.[15]

SYARIKAT DAN BARANGAN YANG TERLIBAT?

 

Fokus utama apabila melaksanakan pemulauan adalah melihat kepada produk (sama ada barang atau perkhidmatan) yang dikeluarkan oleh sesebuah syarikat tertentu di mana secara jelas terlibat secara langsung dalam membantu khususnya bantuan dana kewangan serta kepakaran kepada Yahudi Israel termasuk sekutunya. Produk yang diboikot adalah tertumpu kepada produk yang mempunyai pilihan dari sudut penggunaannya terutama produk harian dan  bukan barang keperluan serta tiada pilihan penggunaannya. Pada 18 Mei 2021, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) telah mengadakan kempen memboikot produk Israel selama 6 bulan secara bersasar melibatkan 4 produk utama iaitu Coca-Cola, Puma, Starbucks dan Hewlett-Packard (HP). Coca-Cola melalui The Central Bottling Company-CBC memiliki kilang di atas tanah yang dirampas dari rakyat Palestin. Produk jenama sukan terkenal, Puma adalah penaja tunggal kepada Persatuan Bolasepak Israel (IFA). Jenama Starbucks adalah dimiliki oleh Howard Schultz, pengasas, Pengerusi dan Presiden Starbucks Corporation, merupakan seorang penyokong Zionis Isreal yang aktif. Beliau merupakan penerima anugerah “The Israel 50th Anniversary Friend of Zion Tribute Award” atas sumbangannya terhadap pergerakan Israel. Produk HP pula adalah syarikat yang merupakan pembekal utama dari sudut kepakaran sistem dan database kepada tentera rejim Zionis Israel sejak tahun 2009 lagi.

Selain itu, usaha dan gerakan bagi memutuskan rantaian sokongan ekonomi Israel di peringkat antarabangsa adalah dipelopori oleh badan BDS Global (Boycott, Divestmen, Sanction). Manakala cawangannya di Malaysia terdapat Gerakan BDS[16] Malaysia dalam memperjuangkan ke arah kebebasan, keadilan dan kesaksamaan bagi rakyat Palestin. Ia merupakan gabungan pelbagai badan-badan bukan kerajaan (NGOs), kumpulan dan individu di Malaysia yang berkongsi misi yang sama. Matlamatnya adalah menggesa bagi memboikot syarikat Israel dan sekutunya yang terlibat dalam perlanggaran hak asasi warga Palestin. Sasaran produk utama BDS adalah Caterpillar (CAT), PUMA, G4S (syarikat keselamatan), Hyundai, AirBnb, Hewlett-Packard (HP), AHAVA (kosmetik) dan AXA (insuran). Berdasarkan kajian dan penyelidikan, semua produk yang dikeluarkan melalui syarikat ini telah dikenalpasti menjadi penyumbang kepada Israel.

 

APAKAH PANDANGAN SYARAK TERHADAP ISU BOIKOT INI? 

 

Hukum asal jihad fi sabilillah adalah fardu kifayah ke atas setiap orang Islam yang mukallaf. Ini berlaku apabila orang-orang kafir berada dalam negeri mereka sendiri. Kefarduan ini akan bertukar menjadi fardu ain dengan beberapa sebab antaranya apabila orang-orang kafir yang telah memasuki sebuah negeri orang Islam dan berbuat kezaliman, maka jihad menjadi fardu ain bagi seluruh penduduk negeri tersebut mempertahankannya sedaya upaya yang mampu.[17] Boikot yang dilaksanakan menjadi wajib apakala hanya inilah antara cara yang dapat melemah musuh seperti Israel. Pendekatan ini berdasarkan kaedah[18]:

ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب

Ertinya:

 

Apa yang tidak sempurna hukum wajib melainkan dengannya maka ia juga menjadi wajib”.

 

Sebelum sesuatu boikot dilaksanakan terdapat beberapa asas penting berkaitannya dari sudut pandangan syarak yang perlu dijadikan penilaian. Asas yang utama ini ialah hukum syarak membenarkan kita bermua’malah dan berurusan dengan orang kafir dalam semua kategori dalam jual beli. Imam al-Bukhari (R.H.) menjelaskan berkaitan ‘Bab Jual Beli dengan Orang Musyrikin dan Golongan Kafir Harbi’ bahawa Ibnu Abbas (R.A.) meriwayatkan bahawa[19]:

‘‘Rasulullah S.A.W. telah wafat sedang baju perisainya tergadai dengan seorang Yahudi dengan sebanyak 30 gantang barli untuk keluarganya’’

 (Sahih Riwayat Al-Nasaa’i)

Saidatina Aisyah (R.A.) pula telah meriwayatkan bahawa[20]:

‘’Nabi Muhammad S.A.W. telah membeli makanan daripada seorang Yahudi secara  hutang’’

  (HR. Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan daripada kedua-dua hadis di atas, ianya jelas  menunjukkan kepada kita bahawa Nabi S.A.W.  juga berurusan jual beli dengan orang Yahudi di Madinah. Ini adalah prinsip asasi dalam berurusniga dengan orang kafir. Walau bagaimanapun, di sana terdapat pengecualian dalam hal ini.  Orang Islam tidak boleh menjual apa jua barangan kepada orang kafir sekiranya barangan itu digunakan untuk memerangi saudara-saudara Islam kita tida kira di mana sahaja. Firman Allah S.W.T:[21]

...وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ

وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ...

Ertinya:

‘’…Dan tolong-menolonglah dalam perkara-perkara kebaikan dan ketakwaan dan jangan tolong- menolong dalam hal-hal dosa dan permusuhan. ‘’

                                        (Al-Maa’idah, 5:2)

 

Asas kedua ialah  cara jual-beli sesuatu barangan di mana membeli secara terus daripada orang  kafir atau berjual beli melalui wakilnya Muslim yang merupakan perantara antara penjual dan pembeli. Dari sudut ini, sekiranya boikot melibatkan barangan orang kafir, maka kita perlu berjual beli melalui wakil yang Muslim sahaja. Ini pun berpandukan kepada apakah jenis barangan yang diperlukan dan kita tiada pilihan.  Membeli melalui wakil Muslim adalah lebih bermanfaat kepada dirinya berbanding  terus membeli daripada orang kafir. Begitu juga dalam konteks jual beli melalui francais di mana pada asalnya ia dikeluarkan oleh orang kafir tetapi pemiliknya adalah Muslim yang diberi hak dan kebenaran istimewa menjual barangannya. Syarikat yang dimiliki oleh Muslim ini akan mendapat manfaat daripada jualannya dan jika ia diboikot, maka secara langsung mendatangkan mudarat kepada syarikatnya.

            Prinsip Ketiga ialah melihat kepada jenis barangan yang dijual oleh orang kafir. Tiga(3) jenis barangan adalah terdiri dari barangan keperluan asas, keperluan sampingan dan barangan mewah. Syariat Islam membezakan kepentingan keperluan bagi setiap barangan ini. Malah dalam keadaan darurat dan mendesak sehingga boleh mengancam nyawa, sesuatu pengharaman itu boleh diharuskan (berdasarkan keperluan). Firman Allah S.W.T.[22]:

... وَقَدْ فَصَّلَ لَكُمْ مَا حَرَّمَ عَلَيْكُمْ إِلَّا مَا اضْطُرِرْتُمْ إِلَيْهِ

    Ertinya:

‘'Dia telah menjelaskan apa yang haram buat kamu kecuali apa yang kamu terdesak kepadanya”…                                 

                                              ( Al-An’am, 6:119)

 

Antara pandangan ulama’ dalam aspek ini telah menetapkan kaedah-kaedah, antaranya:[23]

الضَرُورَةُ تُبِيحُ المحضُورَة

‘’Apabila berlaku  keadaan terdesak (darurat), ianya akan  mengharuskan apa yang terlarang (Haram)’’

 

Oleh itu, kita perlulah dapat membezakan di antara barangan asas kehidupan seperti beras, gandum berbanding barangan keperluan sampingan seperti kenderaan dan barangan mewah. Perbuatan memboikot barangan keperluan asas boleh mengancam nyawa orang Islam (tiada pilihan) berbanding memboikot barangan sampingan dan mewah.

Seterusnya prinsip keempat ialah  menutup pintu kerosakan (سَدُّ الذَّرِيعَة) . Ia adalah antara kaedah yang digunapakai oleh para ulama’ di mana  perkara-perkara yang pada asalnya harus boleh menjadi haram sekiranya ia membawa kepada mudarat.

Prinsip yang kelima tentang merosakkan dan memutuskan rantaian ekonomi musuh Islam adalah antara cara jihad yang benar. Kita bukan menjadi penyumbang kepada berterusannya rakyat Palestin dianiayai. Malah Nabi S.A.W. sendiri pernah menggunakan cara tekanan ekonomi melalui pasukan-pasukan tentera yang diutus untuk menyerang kafilah-kafilah perniagaan orang kafir Quraisy.  

Adalah sesuatu yang penting untuk kita kenal berusaha mengenalpasti bidang-bidang perniagaan atau produk-produk yang boleh dijadikan sebagai fokus dalam boikot agar ia benar-benar memberi kesan untuk melemahkan orang kafir yang menindas umat Islam. Dr. Yusuf Al Qardhawi jelas menyatakan haram membeli produk yang digunakan untuk membiayai perang di Palestin[24]. Mata wang dolar juga sewajarnya diboikot. Jadikan penggunaan mata wang emas dan perak sebagai pilihan dalam transaksi perniagaan dan seharian.

Seterusnya prinsip keenam adalah berkait dengan peranan dan izin pemerintah dalam isu boikot. Ini antara prinsip yang menjadi tonggak kepercayaan Ahli Sunnah Wal Jama’ah ialah wajib kita taat dan patut kepada ulil amri dalam perkara-pekara yang makruf.[25]

حَدَّثَنَا أَبُو الْيَمَانِ، أَخْبَرَنَا شُعَيْبٌ، حَدَّثَنَا أَبُو الزِّنَادِ، أَنَّ الأَعْرَجَ، حَدَّثَهُ أَنَّهُ، سَمِعَ أَبَا هُرَيْرَةَ ـ رضى الله عنه ـ أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ ‏"‏ نَحْنُ الآخِرُونَ السَّابِقُونَ ‏"‏‏.‏ وَبِهَذَا الإِسْنَادِ ‏"‏ مَنْ أَطَاعَنِي فَقَدْ أَطَاعَ اللَّهَ، وَمَنْ عَصَانِي فَقَدْ عَصَى اللَّهَ، وَمَنْ يُطِعِ الأَمِيرَ فَقَدْ أَطَاعَنِي، وَمَنْ يَعْصِ الأَمِيرَ فَقَدْ عَصَانِي، وَإِنَّمَا الإِمَامُ جُنَّةٌ يُقَاتَلُ مِنْ وَرَائِهِ وَيُتَّقَى بِهِ، فَإِنْ أَمَرَ بِتَقْوَى اللَّهِ وَعَدَلَ، فَإِنَّ لَهُ بِذَلِكَ أَجْرًا، وَإِنْ قَالَ بِغَيْرِهِ، فَإِنَّ عَلَيْهِ مِنْهُ ‏"‏‏

 

Ertinya:

"...sesiapa yang patuh kepada kepimpinan ('amir), maka sesungguhnya dia telah menta'atiku dan sesiapa yang mendurhakai kepimpinan ('amir) maka sesungguhnya dia telah mendurhakaiku ".

(Muslim, al Jamai' al Sahih)

 

 

Dapat kita simpulkan bahawa hukum boikot berbeza antara satu situasi dengan situasi yang lain iaitu keadaan pertama jika diarahkan oleh pemerintah. Jika pemerintah sebuah negara Islam memerintahkan supaya barangan tertentu atau barangan negara-negara tertentu diboikot, maka rakyat negara tersebut wajib mentaati arahan tersebut.
Firman Allah SWT[26]:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ

Ertinya:

‘’Wahai orang yang beriman, taatilah Allah, taatilah Rasul dan para pemerintah daripada kalangan kamu”…                                        

                                                   (An-Nisa’ 4:59)

 

Boikot perlu berasaskan kepada keyakinan tanpa syak dan ragu. Ini kerana keyakinan tidak boleh menghilangkan keraguan sebagaimana maksud hadis Nabi S.A.W.:[27]

عن أبي محمد الحسنِ بْنِ علِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ سِبْطِ رَسُوْلِ االلهِ صلى االله عليه وَسَلَّم وَرَیْحَانَتِهِ رَضِيَ االله عَنْهُمَا قَالَ: حَفِظْتُ مِنْ رَسُوْلِ االلهِ صَلَّى االله عَلَيْهِ وَسَلَّم : (( دَعْ مَا یَرِیْبُكَ إِلَى مَا لاَ یَرِیْبُكَ)) رواه الترمذي والنسائي، وقال الترمذي: حدیث حسن صحيح

                  Ertinya:

                   ‘’Tinggalkan yang meragukanmu lal ambillah yang tidak  

                   Meragukanmu’’

  

     

BAGAIMANA CARANYA BAGI MENJAYAKAN USAHA BOIKOT INI AGAR BERKESAN?

 

Malaysia adalah antara negara yang turut serta dalam memboikot barangan Israel. Rakyat negara Malaysia ini  amat dikenali dengan sifat pemurah dan caknyanya atas isu Palestin.  Namun dalam keghairahan kita memboikot barang-barangan Israel, kita harus mengetahui objektif utama dalam misi memboikot ini kerana tanpa mengetahui asas tujuannya, dikhuatiri akan terpesong dari landasan dan matlamat tidak tercapai dengan jayanya. Umat Islam merupakan golongan pengguna yang terbesar di dalam dunia. Oleh itu marilah kita gunakan kelebihan ini untuk  menundukkan Israel  dan sekutunya supaya mereka lebih menghormati masyarakat Islam.

Usaha boikot ini sebenarnya telah lamapun dilaksanakan sebelum berdirinya negara haram Israel pada tahun 1948. Dr Yusuf Al Qardhawi (Pengerusi Persatuan Ulama Sedunia) dan sekumpulan ulama’  senada dengan menyatakan bahawa usaha boikot adalah senjata yang ampuh sepanjang masa, dulu, kini dan selamanya. Ini kerana objektif besar boikot ialah sebagai menggugat ekonomi Israel. Merujuk kepada surah Al Baqarah ayat 190[28];

وَقَاتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا ۚ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

Ertinya:

‘’Dan perangilah kerana agama Allah dan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh,, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang menceroboh’’

 

Tidak dinafikan bahawa boikot dibenarkan dalam agama Islam, namun kita kena pastikan perbuatan itu sejajar dengan ilmu, adab dan akhlak Islam. Ia sangat perlu supaya agama Islam tidak dipandang hina oleh golongan bukan Islam. Antara cara bagi menjayakan usaha boikot dengan berkesan adalah dengan menjayakan Kempen BMF (Buy Muslim First)[29] di mana kempen ini dalam masa yang sama akan dapat membantu ekonomi umat Islam[30] itu sendiri.  Jangan sesekali mencaci atau menghina dengan menggunakan perkataan kesat dan keji kepada pemilik produk dan memburuk atau mencederakan mereka yang tidak turut memboikot. Jangan menghukum orang lain yang tidak memboikot kerana situasi mereka berkemungkinan berbeza dengan situasi kita yang memboikot. Melalui kempen yang dijalankan, mudah-mudahan semangat persaudaraan Islam dalam kalangan umat Islam dapat dicapai dengan prinsip ta’awun(bertoolong menolong)[31].

Selain memberikan sumbangan secara terus melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diiktiraf dan memanjatkan doa, kita masih boleh melakukan beberapa perkara yang memberikan impak besar  terhadap perjuangan membebaskan Palestin seperti boikot strategik yang membina dan bukan dengan cara terburu-buru tanpa berfikir panjang kerana ia akan merugikan umat Islam dalam banyak perkara. Boikot bersasar dan strategik ialah usaha global terhadap syarikat besar yang secara terang dan jelas menyumbang kepada Israel. Boikot strategik ini bukan sahaja dilakukan melalui kempen boikot akar umbi sahaja, bahkan melalui tindakan berimpak besar seperti menandatangani petisyen bantahan dan menghubungi serta menghantar memorandum rasmi kepada ibu pejabat syarikat terbabit untuk menjelaskan dan menyampaikan mesej keadilan.

Seterusnya usaha lain ialah memilih produk berulang iaitu yang kerap digunakan (barang makanan, produk kecantikan wanita, produk kesihatan(wellness) dan barangan kegunaan harian). Produk yang acapkali  digunakan  akan lebih berimpak demi menjayakan pemboikotan.

Boikot Israel dalam sukan merujuk kepada pelbagai pembatalan dan penolakan atlet Israel di mana atlet dan pasukan Israel telah dilarang dari menyertai beberapa pertandingan dan kejohanan di peringkat antarabangsa. Beberapa kejohanan sukan terbesar seperti Sukan Olimpik, beberapa buah negara Arab antaranya Iran, melarang atletnya untuk bersaing dengan atlet Israel[32]. Malaysia sendiri pernah menyatakan bantahan melarang atlet Israel menyertai kejohanan sukan di negara ini ketika Kejohanan Renang Para Dunia yang diadakan di Sarawak pada Julai 2019.

Seterusnya, usaha boikot ini perlu berdasarkan ilmu pengetahuan yang jelas dan yakin. Melalui cara ini, ianya menjadi lebih efektif untuk memberi tekanan kepada produk berkaitan Israel. Walaupun jarak negara kita dengan Palestin dipisahkan hamper 7000 kilometer, kita masih boleh memberi sokongan  dengan cara menderma, mendoa’kan mereka dan melancarkan kempen boikot kepada pihak yang ditentang. Usaha boikot yang dijalanakan ini juga mestilah bertumpu dan berterusan untuk tempoh tertentu. Sememangnya inisiatif ini memberi kesan langsung jika dilaksanakan secara terancang..

Cara lain ialah jangan menghukum di mana boikot dianggap sebagai salah satu daripada wasilah  jihad umat Islam pada zaman kini bagi menentang Israel dan mereka yang membantu negara haram tersebut. Ia dianggap jihad ekonomi dan bertepatan dengan sabda Nabi S.A.W.[33]:-

عن أنس -رضي الله عنه- أن النبي -صلى الله عليه وسلم- قال: «جَاهِدُوا المشركين بأموالكم وأنفسكم وألسنتكم»

Ertinya:

‘Berjihadlah melawan orang-orang musyrik dengan harta, jiwa, dan lisan kalian.

 ‘’ 

(HR Abu Daud, Ad Darimi, An Nasai, dan Ahmad

Hakikatnya, jihad dalam agama Islam bermatlamat menegak kalimah Allah, mempertahan keadilan, mencegah kezaliman, mengembalikan hak dan melindungi maruah. Maka, segala jalan yang membawa kepada matlamat ini dianggap sebagai jihad termasuklah boikot yang dianggap sebagai salah satu cara melemahkan ekonomi musuh yang sedang mengganas.

Inilah yang membezakan boikot kita dengan boikot mereka yang tidak beriman yang mungkin terlaksana atas dasar kemanusiaan dan simpati. Hasilnya mungkin akan mendapat kemuliaan di dunia. Namun bagi orang beriman yang melakukan boikot atas dasar memenuhi perintah Allah (jihad ) pasti mendapat kemuliaan di dunia dan ganjaran di akhirat.

KESIMPULAN

 

                Dalam agama Islam kita diajar untuk berpegang dengan sesuatu yang jelas nyata dan meninggalkan perkara yang samar dan tidak jelas. Dinyatakan dari Abu Abdillah Nu’man bin Basyir (R.A.) dia berkata, saya mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda[34]:

عَنْ أَبِي عَبْدِ اللهِ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيْرٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا قَالَ: سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُوْلُ : إِنَّ الْحَلاَلَ بَيِّنٌ وَإِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ وَبَيْنَهُمَا أُمُوْرٌ مُشْتَبِهَاتٌ لاَ يَعْلَمُهُنَّ كَثِيْرٌ مِنَ النَّاسِ، فَمَنِ اتَّقَى  الشُّبُهَاتِ فَقَدْ اسْتَبْرَأَ لِدِيْنِهِ وَعِرْضِهِ، وَمَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِي الْحَرَامِ، كَالرَّاعِي يَرْعىَ حَوْلَ الْحِمَى يُوْشِكُ أَنْ يَرْتَعَ فِيْهِ، أَلاَ وَإِنَّ  لِكُلِّ مَلِكٍ حِمًى أَلاَ وَإِنَّ حِمَى اللهِ مَحَارِمُهُ أَلاَ وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ   مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ  أَلاَ وَهِيَ الْقَلْبُ [رواه البخاري ومسلم]

Ertinya:

"Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhat (samar-samar) yang tidak diketahui oleh orang banyak. Maka siapa yang takut terhadap syubhat berarti dia telah menyelamatkan agamanya dan kehormatannya. Dan siapa yang terjerumus dalam perkara syubhat, maka akan terjerumus dalam perkara yang diharamkan. Sebagaimana penggembala yang menggembalakan hewan gembalaannya di sekitar (ladang) yang dilarang untuk memasukinya, maka lambat laun dia akan memasukinya. Ketahuilah bahwa setiap raja memiliki larangan dan larangan Allah adalah apa yang  Dia haramkan. Ketahuilah bahwa dalam diri ini terdapat segumpal daging, jika dia baik maka baiklah seluruh tubuh ini dan jika dia buruk, maka buruklah seluruh tubuh; ketahuilah bahwa dia adalah hati “. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Perlu diketahui objektif utama memboikot barangan Israel adalah kerana kita tidak mahu hasil pembelian kita sebagai konsumer disalurkan kepada Israel yang digunakan dalam misi membunuh saudara-saudara kita di Palestin.

Kesimpulannya membaca, menilai, mentaksir serta membuat kajian dan belajar tentang cara yang betul dalam usaha boikot yang dilaksanakan agar hasilnya lebih berkesan dan berjaya. Usaha ini tidak menjadi sia-sia atau mendatangkan keburukan kepada kita sendiri serta masyarakat seluruhnya. Semoga kajian ini ia akan dapat memberi garis panduan buat umat Islam tatacara memboikot barangan zionis Israel termasuk produk yang memberi sokongan kepada Israel. Kita sebagai umat Islam yang diberi akal dan ilmu oleh Allah SWT, perlulah  bijak bertindak dalam apa jua situasi. Neraca syarak perlu didahulukan dan bukan berdasarkan perasaan dan andaian. Bertindak melulu, buruk padahnya dan ianya akan membawa kesan yang buruk dalam jangka masa pendek maupun jangka panjang.


 

RUJUKAN

 

Abu Abdurrahman Salman Zainal Abizin, Zionis Menjerut, Majlis Agama Islam Selangor

    (MAIS) , Perpustakaan Negara Malaysia, Cetakan pertama    

     2015,http://www.mais.gov.my/wp-content/uploads/2019/07/ZIONIS-MENJERUT.pdf

 

Al-Asybaah Wa Al-Nadhaa’ir oleh Imam Sayuti, Daar Al-Kutub Al-Ilmiyyah, Beirut Libanon,

    1983.

 

Al-Ma‘any, entri: “boycott” dicapai 18 Jun, 2021,  https://www.almaany.com/en/dict/ar-

    en/boycott/

    BDS Malaysia, Ke arah kebebasan, keadilan dan kesaksamaan di Palestin, dicapai 18 Jun,    

    2021, https://bdsmalaysia.com/

 

BH Online, Boikot dengan ilmu, dan adab, dicapai 18 Jun, 2021,

    https://www.bharian.com.my/bhplus-old/2015/06/63469/boikot-dengan-ilmu-jaga-adab

 

BH Online, Boikot strategik mampu lumpuhkan Zionis, dicapai 18 Jun, 2021,

    https://www.bharian.com.my/rencana/minda-pembaca/2021/05/817958/boikot-strategik-     mampu-lumpuhkan-zionis

 

BH Online, Malaysia kekal pendirian tak benar atlet Israel bertanding, dicapai 19 Jun, 2021,  

    https://www.bharian.com.my/sukan/lain-lain/2019/01/518291/malaysia-kekal-pendirian-tak-benar-atlet-israel-bertanding

 

Claudia Baumgart-Ochse (2017) Claiming Justice for Israel/Palestine: The Boycott, Divestment,   

    Sanctions (BDS) Campaign and Christian Organizations, Globalizations, 14:7, 1172-1187,  

     DOI: 10.1080/14747731.2017.1310463

 

Dewan Bahasa dan Pustaka, entri: “boycott” dicapai 18 Jun, 2021,

    https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=boycott

 

Gerakan BDS Malaysia, Kenali Kami, dicapai 18 Jun, 2021,

    https://bdsmalaysia.com/kenali- bds/

 

Haluan Malaysia, Kenapa perlu boikot Israel dan sekutunya?, dicapai 18 Jun, 2021,

    https://www.haluan.org.my/kenapa-perlu-boikot-israel-sekutunya/

 

Hasbunallah, Fathul Bari Sharah Sahih Al-Bukhari, Fathul Bari,

    https://www.hasbunallah.com.au/fathul-bari-sharah-sahih-bukhari-arabic/

 

Hamas dan Briged Al-Qassam, Maszlee Malik dan Syarafuddin Sulaiman, PTS Millennia

     Sdn. Bhd. (2014), Bab 25 : Boikot itu berkesan, Bab 26 : Kenapa perlu boikot dan Bab

     27 : Isu-isu boikot.

 

Ibrahim Mustafa et.al, Al-mu'jam al-wasit.t.th

Injass, R.A., Sarmidi, T., Injass, M..M.,(2017). The Effectiveness Of The Popular Boycott To The

    Israeli Goods. South East Asian Journal Of Contemporary Business, Economics And Law

    (SEAJBEL), 12(3), 40-43.

 

Institut Kefahaman Islam Malaysia, Buy Muslim First(#BMF), dicapai 18 Jun, 2021,  

    https://www.ikim.gov.my/index.php/2019/09/20/buy-muslim-first-bmf/

 

Iqtidha’ Al-Siratal Mustaqim, al-Qāhirah : Maṭbaʻat al-Sunnah al-Muḥammadīyah, 1950.

Mohd Nor, M. R. (2010). Konflik Israel- Palestin Dari Aspek Sejarah Moden Dan Langkah

    Pembebasan Dari Cengkaman Zionis. Journal of Al-Tamaddun, 5(1), 73–92. Retrieved from

    https://ejournal.um.edu.my/index.php/JAT/article/view/8538

 

Mohd Yunus, A., Abd Wahid, N., & Wan Hassan, W. S. (2018). Hukum Boikot Barangan Israel

    Berdasarkan kepada Fiqh Al-Jihad. Journal of Fatwa Management and Research, 4(1), 135-

    160. https://doi.org/10.33102/jfatwa.vol4no1.98

 

MyCARE, Kempen Boikot Israel, dicapai 18 Jun, 2021, https://www.mycare.org.my/kempen-

    boikot-israel/

 

PN BBC Portal, PPIM Seru Rakya Malaysia Boikot Empat Produk Israel, dicapai 10 Julai, 2021,

    http://www.pnbbcportal.com/2021/05/18/ppim-seru-rakyat-malaysia-boikot-empat-produk-

    israel/

 

Rizki Ridyasmara, Boikot produk pro-Israel: melawan Zionis dari rumah kita, Pustaka al-

    Kautsar, 2009.

 

Syathibi al-, al-Muwafaqat fi Ushul al-Syari’ah, Dar al-Kutub al-‘Ilmiyah, 2003.

 

 



[1] Mohd Nor, M. R. (2010). Konflik Israel- Palestin Dari Aspek Sejarah Moden Dan Langkah Pembebasan Dari Cengkaman Zionis. Journal of Al-Tamaddun, 5(1), 73–92. Retrieved from https://ejournal.um.edu.my/index.php/JAT/article/view/8538

[2] Al-Quran al-Karim, al-Baqarah (2): 120

[3] Abu Abdurrahman Salman Zainal Abizin, Zionis Menjerut, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Perpustakaan Negara Malaysia, Cetakan pertama 2015, http://www.mais.gov.my/wp-content/uploads/2019/07/ZIONIS-MENJERUT.pdf

[4] Gerakan BDS Malaysia, Kenali Kami, dicapai 18 Jun, 2021, https://bdsmalaysia.com/kenali-bds/

[5] PN BBC Portal, PPIM Seru Rakyat Malaysia Boikot Empat Produk Israel, dicapai 10 Julai, 2021, http://www.pnbbcportal.com/2021/05/18/ppim-seru-rakyat-malaysia-boikot-empat-produk-israel/

[6] Haluan Malaysia, Kenapa perlu boikot Israel dan sekutunya?, dicapai 18 Jun, 2021, https://www.haluan.org.my/kenapa-perlu-boikot-israel-sekutunya/

[7] MyCARE, Kempen Boikot Israel, , dicapai 18 Jun, 2021, https://www.mycare.org.my/kempen-boikot-israel/

[8] Yunus, A. M., Chik, W. M. Y. W., Abd Wahid, N., Daud, K. A., Abd Hamid, M. N. (2020). The

Concept of Boycott: A General Introduction. International Journal of Academic Research in Business and

Social Sciences. 10(9), 962-971

[9] Dewan Bahasa dan Pustaka, entri: “boycott” dicapai 18 Jun, 2021, https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=boycott

[10] Claudia Baumgart-Ochse (2017) Claiming Justice for Israel/Palestine: The Boycott, Divestment, Sanctions (BDS) Campaign and Christian Organizations, Globalizations, 14:7, 1172-1187, DOI: 10.1080/14747731.2017.1310463

[11] Al-Ma‘any, entri: “boycott” dicapai 18 Jun, 2021,  https://www.almaany.com/en/dict/ar-en/boycott/

[12]  Ibrahim Mustafa et.al, Al-mu'jam al-wasit.t.th

[13] Hamas dan Briged Al-Qassam, Maszlee Malik dan Syarafuddin Sulaiman, PTS Millennia Sdn. Bhd. (2014), Bab 25 : Boikot itu berkesan, Bab 26 : Kenapa perlu boikot dan Bab 27 : Isu-isu boikot

[14] Injass, R.A., Sarmidi, T., Injass, M..M.,(2017). The Effectiveness Of The Popular Boycott To The Israeli Goods. South East Asian Journal Of Contemporary Business, Economics And Law (SEAJBEL), 12(3), 40-43

[15] Mohd Yunus, A., Abd Wahid, N., & Wan Hassan, W. S. (2018). Hukum Boikot Barangan Israel

    Berdasarkan kepada Fiqh Al-Jihad. Journal of Fatwa Management and Research, 4(1), 135-

    160. https://doi.org/10.33102/jfatwa.vol4no1.98

[16] BDS Malaysia, Ke arah kebebasan, keadilan dan kesaksamaan di Palestin, dicapai 18 Jun, 2021, https://bdsmalaysia.com/

[17] Wahbah al-Zuhayli, Tafsir Al-Munir @ al-Fiqh al-Islami Wa adillatuh

[18] Maktabah As Syamilah Al hadisah, dicapai 17 Julai, 2021,https://al-maktaba.org/book/8379/383#p2

[19] Sahih Riwayat Al-Nasaai

[20] Sahih Bukhari dan Muslim

[21] Al-Qur‟an al-Karim, al-Maa’idah (5): 2

[22] Al-Quran al-Karim, al An’aam(6):119

[23] Al-Asybaah Wa Al-Nadhaa’ir oleh Imam Sayuti, 93

[24] Fatawa al Mua’shirah oleh  Dr. Yusuf Al Qardhawi

[25] Muslim, al Jamai' al Sahih

[26] Al-Qur’an al-Karim, al-Nisa’(4): 59

[27] Hadis riwayat al-Tirmizi dan al-Nasaai. Al-Tarmizi berkata ia adalah hadis hasan sohih.

[28] Al-Qur’an al-Karim, al-Baqarah (2): 190

[29] Institut Kefahaman Islam Malaysia, Buy Muslim First(#BMF), dicapai 18 Jun, 2021, https://www.ikim.gov.my/index.php/2019/09/20/buy-muslim-first-bmf/

[30] BH Online, Boikot strategik mampu lumpuhkan Zionis, dicapai 18 Jun, 2021, https://www.bharian.com.my/rencana/minda-pembaca/2021/05/817958/boikot-strategik-mampu-lumpuhkan-zionis

[31] BH Online, Boikot dengan ilmu, jaga adab, dicapai 18 Jun, 2021, https://www.bharian.com.my/bhplus-old/2015/06/63469/boikot-dengan-ilmu-jaga-adab

[32] BH Online, Malaysia kekal pendirian tak benar atlet Israel bertanding, dicapai 19 Jun, 2021, https://www.bharian.com.my/sukan/lain-lain/2019/01/518291/malaysia-kekal-pendirian-tak-benar-atlet-israel-bertanding

[33] Riwayat Abu Daud, disahihkan oleh Albani

[34] Riwayat Bukhari dan Muslim


No comments:

DAKWAH MELALUI TIKTOK DAN KESANNYA KEPADA REMAJA MUSLIM DI MALAYSIA

  DAKWAH MELALUI TIKTOK DAN KESANNYA KEPADA REMAJA MUSLIM DI MALAYSIA   Mohd Amirul Hafiz Ahmad, Solehuddin Shuib, Khairulazhar Samsudin...