PENILAIAN ISU-ISU
DAN CADANGAN ENYELESAIAN BERKAIT SOLAT JAMA’ DAN QASAR
Solehuddin
Shuib, Mohd Amirul Hafiz Ahmad, Khairulazhar Samsudin, Syed Mohd Jeffri bin
Syed Jaafar 1
1Jabatan
Fiqh dan Usul, Akademik Pengajian Islam, Universiti Malaya, 50603 Kuala Lumpur,
Malaysia
KHULASAH
Solat adalah ibadah badaniyah yang telah
disyariatkan kepada umat Islam. Ini bermaksud dalam apa jua keadaan dan situasi
solat mesti ditunaikan. Namun begitu dalam beberapa keadaan dan syarat
tertentu, Islam memberi kelonggaran sebagai satu kemudahan atau rukhsah
antaranya ketika bermusafir. Kertas
kerja ini memberi penerangan empat (4) imam mazhab berkaitan solat qasar dan
solat jama’, menjelaskan isu-isu berkaitan solat qasar dan jama’ pada masa lalu
danpada masa kini pada era COVID 19. Gabungan pandangan ulamak masa lalu dan
semasa adalah penting bagi memudahkan umat Islam menjadikan ianya sebagai panduan
dalam beribadat.
Kata kunci: Fiqh; Solat Qasar; Solat Jama’, Covid 19
PENDAHULUAN
Solat adalah ibadah
badaniyah yang telah disyariatkan kepada umat Islam pada tahun pertama hijrah
lagi. Pensyariatannya menunjukkan betapa tingginya kedudukan solat yang
merupakan tiang utama dalam Rukun Islam. Berdosa besar jika mereka yang
mukallaf meninggalkannya dengan sengaja malah ia merupakan kunci utama yang
akan dihisab berbanding kunci-kunci amalan yang lain. Islam telah menggariskan peri
pentingnya solat sebagai tiang seri seperti mana hadis daripada Mu’az bin Jabal
(RA), bahawa Nabi ﷺ bersabda:
رَأْسُ الأَمْرِ الإِسْلَامُ، وَعَمُودُهُ الصَّلَاةُ
“Pokok
segala urusan adalah Islam, dan tiang serinya adalah solat”
(Riwayat An-Nasa’ie dan
Ibnu Majah, Hadis sanad Hasan)
Ini bermaksud dalam apa jua keadaan dan situasi solat
mesti ditunaikan. Namun begitu dalam beberapa keadaan dan syarat tertentu,
Islam memberi kelonggaran sebagai satu kemudahan atau rukhsah antaranya ketika
bermusafir. Memandangkan musafir itu sendiri adalah satu perjalanan dari satu
destinasi ke destinasi yang lain, maka sudah pasti akan mengambil masa dan
tenaga sehingga memerlukan rehat yang cukup. Oleh itu, solat qasar dan jama’
diharuskan bertujuan bagi memudahkan sepanjang urusan perjalanan serta mendapat
keberkatan dan keredhaan Ilahi. Sekalipun dalam keadaan sukar, solat wajib
ditunaikan dengan diberikan sedikit keringanan mendirikannya selaras dengan firman
Allah S.W.T. dalam surah Al-Hajj, ayat 78[1]:
...وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ
فِى الدِّيْنِ مِنْ حَرَجٍۗ ...
Ertinya:...“dan Dia tidak menjadikan
kesukaran (keberatan) untukmu dalam perkara agama...”
DEFINISI
Solat dari
segi bahasa bermaksud doa’ manakala segi istilah adalah setiap perkataan dan
perbuatan yang dimulai dengan takbiratul ihram dan diakhiri dengan salam.
Musafir berasal dari perkataan Arab pada kata dasar ‘safar’.
Sudut bahasa bermaksud melakukan perjalanan manakala dari segi istilah adalah
seseorang yang keluar dari daerah atau tempat bertujuan untuk ke tempat lain
yang telah ditentukan mengikut jarak dan tempoh yang ditetapkan oleh syara’.
Rukhsah dari sudut bahasa
bermaksud mudah. Perspektif istilah pula adalah hukum-hukum yang telah
disyariatkan tetapi disebabkan oleh sesuatu keuzuran tertentu, maka diberi
pengecualian dari hukum asalnya dan ia terbatas kepada kadar yang tertentu
sahaja. Contohnya diharuskan berbuka (tidak berpuasa) bagi orang yang sakit
atau musafir.
KERINGANAN IBADAH SOLAT KETIKA MUSAFIR
Solat musafir adalah
merujuk kepada solat fardu yang didirikan berdasarkan cara dan kaedah yang
khusus dengan mengikut syarat-syarat yang telah ditentu serta ditetapkan oleh
syara’. Rukhsah dalam solat ialah kemudahan atau keringanan yang diberikan
kepada orang yang bermusafir. Harus dan diberi rukhsah serta pilihan sama ada solat
secara qasar atau sempurna (tamam) berdasarkan pendapat jumhur ulama’ dari
kalangan Malikiyyah, Syafi’iyyah dan Hanabilah. Pendapat Al-Imam Al-Syafie (R.H.)
bahawa solat qasar bukanlah kewajipan berbentuk fardu ain tetapi ia adalah satu
rukhsah (kelonggaran dan keringanan) yang sunat dilakukan dan dikurniakan oleh
Allah S.W.T. khusus dalam perkara solat. Orang yang bermusafir diberi pilihan
sama ada hendak menunaikan solat secara ’azimah, iaitu beramal dengan hukum
asal dengan solat empat rakaat tanpa mengqasarkannya atau mengamalkan rukhsah
(qasar iaitu solat dua rakaat). Manakala
menurut Imam al-Suyuti di dalam tafsirnya:
أَنَّهُ رُخْصَة لَا وَاجِب
Ertinya: “Qasar itu
adalah rukhsah (keringanan) bukan kewajiban”
Oleh itu, melaksanakan solat musafir dibahagikan kepada 2
cara:-
(1) Qasar merujuk kepada
memendekkan atau mengurangkan bilangan rakaat dalam solat fardu.
(2) Jama’ merujuk kepada menghimpun,
menggabung atau mengumpulkan dua solat fardu dalam satu waktu.
OBJEKTIF KAJIAN:
Ada 3 objektif utama kajian ini iaitu memberi
penerangan empat (4) imam mazhab berkaitan solat qasar dan solat jama’, menjelaskan
isu-isu berkaitan solat qasar dan jama’ pada masa lalu, dan menjelaskan isu-isu
berkaitan solat qasar dan jama’ dan perlaksanaannnya pada masa kini pada era
COVID 19.
OBJEKTIF
PERTAMA: MEMBERI PENERANGAN EMPAT (4) IMAM MAZHAB BERKAITAN SOLAT QASAR DAN
SOLAT JAMA’.
Berikut dijelaskan objektif
pertama kajian iaitu Memberi penerangan empat (4) imam mazhab berkaitan solat
qasar dan solat jama’. Ianya meliputi
syarat-syarat perjalanan musafir, solat qasar, perbezaan pendapat ulama’, solat
jama’, dan syarat asas sahnya.
SYARAT-SYARAT
PERJALANAN MUSAFIR
Tiga syarat sah utama dan
asas diperlukan bagi mengharuskan solat musafir (qasar dan jama’):-
(1) Perjalanan tidak kurang dari dua marhalah
atau melebihi 81 kilometer. Menurut pandangan Dr. Wahbah Az-Zuhaili[2]
jarak yang tepat ialah 89 kilometer manakala Prof. Dr. Sheikh Yusuf Al-Qardhawi[3]
dalam kitabnya Fiqh As-Siyam, jarak musafir mengikut pendapat yang masyhur
ialah 80 atau 90 kilometer. Jika tidak melebihi jarak ini solat qasar dan jama’
tidak boleh ditunaikan.
Hadis Nabi ﷺ bermaksud:
“Ibnu
‘Umar dan Ibnu Abbas (R.A.) mengqasarkan solat dan tidak berpuasa dalam
perjalanan sejauh 4 Barid iaitu 16 Farsakh (menyamai kira-kira 81 kilometer).”
(Riwayat Al-Bukhari)
Dua orang sahabat ini melakukannya dengan
pengetahuan Baginda Nabi ﷺ.
(2) Perjalanan mesti mempunyai tujuan dan
matlamat yang tertentu serta perjalanan destinasi tempat yang ingin dituju
telah ditentu dan dipastikan dengan jelas. Merayau-rayau tanpa tujuan adalah
tidak dibolehkan untuk solat qasar dan jama’. Begitu juga bagi orang yang
mengikuti ketuanya tanpa mengetahui ke mana hendak dibawa kecuali setelah
melepasi jarak yang dibenarkan untuk qasar dan jama’.
(3) Perjalanan musafir tidak bertujuan atau
bercampur urusan maksiat. Tiada keharusan jika musafir bertujuan kerana sesuatu maksiat
seperti berniaga arak, pergi ke majlis pesta yang dilarang oleh syara’, merompak
dan sebagainya. Ini kerana keringanan berkait dengan solat yang disyariatkan
untuk memenuhi tanggungjawab dalam agama tanpa terkait dengan sebarang maksiat
yang mengundang kemurkaan Allah. Tidak boleh qasar malah jika diqasarkan juga
solat tidak sah sekiranya perjalanan itu adanya maksiat dan terlarang
berdasarkan sepakat pandangan mazhab Imam Syafi’i dan Hanbali.
SOLAT
QASAR[4]
Qasar berasal dari
perkataan dasar bahasa Arab ‘qasara’ bermakna memendekkan atau tidak
memanjangkan. Solat fardu yang boleh diqasarkan hanya yang 4 rakaat sahaja
iaitu zuhur, asar dan isya’. Namun ketika musafir, solat-solat ini boleh
ditunaikan dua rakaat sahaja. Menurut ijmak ulama, solat subuh dan maghrib
tidak boleh diqasarkan. Subuh yang mempunyai dua rakaat (seolah-olah telah
diqasarkan) kerana bilangan rakaatnya tidak menjadi genap setelah diqasarkan,
iaitu hanya tinggal satu rakaat sahaja dan ia terkeluar dari qasar. Begitu juga
halnya dengan solat maghrib.
Dalil
Pensyariatan
(1) Al-Quran. Firman Allah S.W.T. dalam surah
an-Nisa’, ayat 101[5]:-
وَاِذَا ضَرَبْتُمْ فِى
الْاَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ اَنْ تَقْصُرُوْا مِنَ الصَّلٰوةِ ۖ اِنْ
خِفْتُمْ اَنْ يَّفْتِنَكُمُ الَّذِيْنَ كَفَرُوْاۗ اِنَّ الْكٰفِرِيْنَ كَانُوْا
لَكُمْ عَدُوًّا مُّبِيْنًا
Ertinya:
“Dan apabila kamu bermusafir di muka bumi, maka tidaklah berdosa (mengapa)
untuk kamu mengqasarkan (memendekkan) solat-mu, jika kamu takut diserang orang
kafir. Sesungguhnya orang kafir itu adalah musuh yang nyata bagimu.”
(2) Hadis. Diriwayatkan Sahih Muslim, Hadis
ke 1350, daripada Ya`la bin Umaiyah, dia berkata:
Aku
bertanya kepada Saidina Umar bin Al-Khattab (R.A.): Beliau membaca ayat 101
surah An-Nisa’, adakah ianya (qasar solat) hanya boleh dilakukan pada waktu
aman? Saidina Umar menjawab: Aku juga pernah rasa terkejut sepertimana engkau
terkejut, lantas aku bertanya kepada Rasulullah ﷺ tentang hal tersebut, lalu Baginda
berkata: “ianya adalah pemberian (sedekah) Allah kepada kamu, maka terimalah
pemberian itu”.
Hadis di atas menunjuk bahawa solat qasar
tidak hanya khusus pada waktu ketakutan peperangan sahaja, ianya juga boleh
dilakukan ketika aman.
Perbezaan
Pendapat Ulama’
Mazhab Imam Abu Hanifah
(Hanafi) berpendapat hukum qasar solat bagi mereka yang dalam perjalanan
(safar) adalah wajib. Mazhab Imam Malik (Maliki) berhukum solat qasar ini
adalah sunnah dan sunat muakkad (sangat dituntut). Manakala bagi Mazhab Imam
Syafi’i dan Hanbali, solat qasar bagi mereka yang musafir hukumnya adalah
pilihan dan ‘Jaiz’. Ini bermakna orang yang bermusafir boleh memilih antara
qasar atau itmam (sempurna) solat namun lebih utama diqasarkan kerana ia adalah
pemberian sedekah serta rukhsah (keringanan) dari Ilahi.
Syarat Asas Sah
Bagi membolehkan solat diqasarkan,
beberapa syarat mesti dipenuhi seperti berikut:-
1. Berlaku di waktu sedang atau ketika dalam musafir (perjalanan).
Pra-syarat - seseorang itu perlu berada atau
berkekalan dalam perjalanan selama solat ini dilakukan sehingga selesai, tidak
berada atau tiba di kediaman sendiri atau telah sampai ke destinasi. Solat
qasar tidak boleh dilakukan sekiranya:-
(a) Seseorang belum memulakan perjalanan dan
azan berkumandang lalu dia memulakan perjalanan tanpa menunaikan solat fardu
tersebut, maka solat tidak boleh diqasarkan kerana pada asasnya solat telah
diwajibkan ke atasnya sebelum bermulanya musafir.
(b) Seseorang ketika dalam musafir dan di
waktu itu mendengar azan lalu dia tidak menunaikan solat malah menangguhkannya
sehingga sampai ke rumah, maka solat tidak boleh diqasarkan kerana asasnya
waktu atau perjalanan musafirnya telah tamat.
2. Jarak perjalanan
sekurang-kurangnya sejauh dua marhalah atau lebih 81 kilometer.
Pra-syarat - mesti melepasi
sempadan pekan atau bandar tempat tinggal. Seseorang yang ingin mengqasar
solat, perlu melepasi sempadan jarak yang ditetapkan. Sekiranya tidak melebihi
had perjalanan yang ditentukan, seseorang itu belum diiktiraf sebagai musafir.
Contoh jika masih berada di dalam rumahnya, maka solat tidak boleh diqasarkan.
Tetapi jika rumahnya tidak berhampiran dengan lapangan terbang, solat boleh
diqasarkan.
Anas
bin Malik berkata:
“Aku
solat zuhur bersama Rasulullah ﷺ di Madinah sebanyak empat rakaat , dan solat asar di Zul
Halifah sebanyak dua rakaat. Zul Halifah terletak di luar sempadan dua bangunan
dari Madinah.” (Sahih Muslim, 1357)
3. Tidak berniat musafir atau menetap selama
empat hari atau lebih di tempat yang dituju (tidak
termasuk hari pergi atau mula sampai dan hari balik)
Pra-syarat - tidak berniat
untuk tinggal atau menetap di tempat yang dituju melebihi tempoh tertentu. Mengikut
hukum Fiqh, jika seseorang berniat untuk bermusafir selama empat hari, maka
jadilah tempat yang ingin ditujui seolah-olah tempatnya yang tetap (dikira
bermukim) dan wajib mendirikan solat secara sempurna tanpa dipendekkan. Hak
untuk mengqasarkan solat hanya apabila pulang ke tempatnya sahaja atau
memulakan perjalanan yang baru. Berkata Imam Abu Ishak al-Syairazi :
“Jika seorang musafir berniat mukim
(menetap) empat hari selain hari masuk dan hari keluar, maka jadilah sebagai
seorang mukim (semata-mata dengan niat itu), dan terpotonglah (iaitu
terhentilah) rukhsah musafirnya kerana berniat menetap tiga hari tidak menjadikan
musafir itu seorang mukim.”
Sekiranya seseorang berniat
untuk bermusafir kurang dari empat hari atau dalam satu tempoh yang tidak
diketahui dan pasti tempoh menetap di sesuatu tempat musafir kerana adanya
urusan yang tidak diketahui bila akan selesai, maka solat harus diqasarkan
dalam tempoh itu sehingga 18 hari (tidak termasuk waktu pergi dan balik).
Diriwayatkan oleh Imam Abu Daud (1229)
daripada Imran bin Hushain (R.A.) dia berkata:
“Aku telah menyertai peperangan bersama
Rasulullah ﷺ
dan aku juga telah bersamanya ketika Al-Fath (pembukaan Kota Makkah) berlaku.
Baginda berada di Makkah selama lapan belas malam, baginda hanya bersolat dua
rakaat (qasar).
Baginda Nabi ﷺ memendekkan solat empat rakaat pada ketika
itu kerana baginda tidak dapat mengetahui bilakah masa berakhirnya urusan
baginda.
4.
Tidak ditunaikan bersama orang yang bermukim
Pra-syarat - tidak menjadi makmum kepada
mereka yang bersolat penuh atau sempurna (tamam) empat rakaat dan juga tidak
boleh menjadi makmum kepada imam yang tidak diketahui niatnya sama ada qasar
atau solat penuh. Keadaan di mana jika dia solat bersama-sama imam yang:-
(a)
Solat sempurna, maka wajib baginya untuk tidak memendekkan solat.
(b) Memendekkan solat sepertinya, maka
dibolehkan memendekkan solat bersama imam
Sekiranya dia bersolat bersama-sama dengan
orang yang bermukim, dia menjadi imam dan memendekkan solat, maka setelah
selesai, dia memalingkan mukanya ke belakang dan berkata: “sempurnakanlah solat
kamu, saya sedang bermusafir.” Ibnu Abbas pernah ditanya seperti yang
diriwayatkan oleh Imam Abu Daud (1229), Nabi ﷺ bersabda:
“Apakah
keadaan seorang yang bermusafir, apabila dia mengerjakan solat fardu empat
rakaat dengan dua rakaat sekiranya berseorangan, dan mengerjakan empat rakaat sekiranya
dia menjadi makmum kepada imam yang bermukim? : Ibnu Abbas menjawab : Keadaan
solat tersebut adalah sunnah.” (Hadis
Sahih riwayat Imam Ahmad)
SOLAT JAMA’[6]
Jama’ adalah perkataan bahasa Arab
yang ditakrifkan dari sudut bahasa menghimpun atau mengumpulkan sesuatu yang
berselerak atau mengarang kitab atau menyusun huruf. Manakala dari segi istilah
bermaksud menghimpunkan dua waktu solat fardu dengan melakukannya
dalam satu waktu. Solat-solat yang boleh dijama’kan ialah antara zuhur dan asar, antara
maghrib dan isya’ dan solat Jumaat dengan asar. Harus melaksanakan solat jama’
ketika musafir (taqdim atau ta’khir) berdasarkan pendapat jumhur fuqaha’ dari
kalangan Malikiyyah, Syafi’iyyah dan Hanabilah. Pandangan muktamad
di dalam mazhab Al-Syafi’i, menjama’kan di antara dua solat adalah diharuskan
atas tiga sebab iaitu musafir, hujan dan ketika hari ‘Arafah. Namun ada
sebahagian daripada ulama bermazhab al-Syafi’i dan sebahagian fuqaha
mengharuskan solat jama’ kerana sebab-sebab yang lain berdasarkan hajat dan
keperluan. Muaz
bin Jabal telah berkata:
“Kami keluar bersama Rasulullah ﷺ dalam Perang Tabuk dan Baginda
bersolat zuhur dan asar bersama (jama’) dan maghrib dan isya’ bersama (jama’).”
(Hadis Riwayat Muslim)
Jenis
Solat secara jama’ (tanpa qasar) ketika musafir terbahagi
kepada dua bahagian:-
1. Jama’ Taqdim bermaksud
menunaikan solat yang kedua dalam waktu yang pertama iaitu asar didirikan dalam
waktu zuhur manakala isya’ dilaksanakan dalam waktu maghrib.
Bagi yang bermusafir
pada hari Jumaat, solat Jumaat boleh dijama’kan dengan asar dengan syarat ia
untuk jama’ taqdim sahaja berdasarkan pandangan mazhab Syafi’i. Jika perjalanan
sebelum terbit fajar subuh, maka solat Jumaat tidak diwajibkan keatasnya. Namun
begitu jika hemdak melakukan solat Jumaat dan asar secara jama’, hukumnya
adalah sah dan dibolehkan. Ini kerana solat Jumaat tidak harus dilewatkan dari
waktunya. Imam al-Khatib asy-Syarbini dalam al-Iqna berkata:
“Jumaat adalah seumpama zuhur dalam jama’ takdim. Ditegah jama’
takhir kerana solat Jumaat tidak mungkin dilewatkan dari waktunya”.
2. Jama’ Ta’khir bermaksud menunaikan
atau melewatkan solat yang pertama untuk ditunaikan dalam waktu yang kedua
iaitu zuhur didirikan dalam waktu asar manakala maghrib dilaksanakan dalam
waktu isya’.
Solat ditunaikan dengan sempurna (tamam) mengikut
rakaatnya iaitu zuhur empat rakaat dan asar empat rakaat atau maghrib tiga
rakaat dan isyak empat rakaat.
Anas bin Malik berkata:
“Apabila Rasulullah ﷺ berangkat sebelum matahari condong, Baginda akan melewatkan
solat zuhur ke dalam waktu solat asar, kemudian Baginda berhenti (dalam
perjalanan) lalu menjama’kan kedua-duanya. Jika condong matahari sebelum
Baginda berangkat, Baginda akan menunaikan solat zuhur terlebih dahulu kemudian
baru bertolak.” (Hadis Riwayat Muslim)
Syarat Asas Sah
Jama’ taqdim harus
ditunaikan apabila memenuhi kriteria berikut:-
(1) Tertib
Pra-syarat - mendahulukan yang
perlu didahulukan atau melakukan berdasarkan urutan didahului solat pertama dan
kemudian diikuti solat kedua.
(2) Niat
Pra-syarat - menghimpunkan
solat kedua ke dalam waktu solat yang pertama sebelum selesai solat yang
pertama.
(3) Segera
Pra-syarat - berturutan
menunaikan solat yang kedua sebaik sahaja selesai solat yang pertama tanpa
memisahkannya bagi satu tempoh yang panjang seperti berzikir, solat sunat dan
sebagainya atau memakan masa selama dua rakaat solat. Selepas salam, teruskan
solat yang kedua dengan hanya diselangi oleh iqamat sahaja (atau kerana
mengambil wudu’). Jika dipisahkan dalam masa yang lama atau melengah-lengahkan
solat kedua tanpa sebab, maka batallah solat jama’ tersebut. Solat kedua wajib
ditangguhkan sehingga waktunya tiba.
(4) Masih berada dalam
perjalanan ketika melakukan solat yang kedua.
Pra-syarat - tidak menjadi masalah
sekiranya sampai semula ke tempat asalnya ketika solat yang kedua masih belum
selesai
Manakala Jama’ ta’khir harus
ditunaikan apabila memenuhi kriteria berikut:-
(1) Niat
Pra-syarat - menjama’kan atau melewatkan
solat yang pertama kepada waktu solat yang kedua. Sekiranya tamat waktu zuhur
tanpa niat untuk menjama’kannya kepada asar, maka solat zuhur wajib diqadha
serta melengah-lengahkannya adalah berdosa.
(2) Masih dalam perjalanan
(musafir) ketika melakukan kedua-dua solat hingga selesai.
Pra-syarat - sekiranya telah sampai
sebelum kedua-dua solat selesai, maka solat yang terkemudian akan menjadi solat
qadha. Berikut dijelaskan pula objektif
kajian yang kedua berkaitan permasalahan terdahulu.
OBJEKTIF
KEDUA: PERMASALAHAN TERDAHULU BERKAITAN SOLAT QASAR DAN JAMA’ YANG TELAH
DIPUTUSKAN OLEH ULAMA’[7]
Objektif kajian
yang kedua meliputi solat yang luput ketika musafir, permasalahan kiraan jarak
darat, laut, dan udara, musafir yang tidak menetapkan tempoh persinggahannya,
musafr berpatah balik ke kediaman setelah memulakan musafir, musafir yang
singgah di pertengahan jalan, dan qasar solat untuk orang yang sentiasa
bermusafir.
SOLAT YANG LUPUT KETIKA MUSAFIR
Solat
yang luput semasa seseorang itu bermukim, wajiblah di qada’ dengan empat rakaat
juga yakni secara tamam (sempurna) tidak kira sama ada luput solatnya semasa
musafir atau ketika bermukim[8].
Tidak boleh diqasarkan kerana telah luput keringanan (rukhsah) musafir. Maka sekiranya
seseorang itu luput solatnya ketika musafir dan sampai ke destinasi yang hendak
dituju, hendaklah mengqada’kan solatnya secara tamam.
Yang dimaknakan dengan bermukim itu ialah
seseorang yang berniat ketika permulaan musafirnya untuk tinggal melebihi dari
tiga (3) hari di destinasi yang hendak ditujunya tidak dihitung hari sampai ke
destinasi dan hari bertolak dari destinasi[9].
Menurut pendapat ulama’, luput musafirnya apabila tiba ke destinasinya kerana
niat awalnya itu untuk menetap di tempat tersebut melebihi tiga (3) hari.
Namun begitu, bagi mereka yang masih dalam
musafir, maka sekiranya luput solatnya ketika dalam musafir, dibolehkan baginya
untuk mengqada’kan solatnya secara qasar[10].
Ini juga berlaku bagi mereka yang tidak berniat untuk menetap di sesuatu tempat
melebihi tiga (3) hari, maka sekiranya tiba ke destinasi yang hendak dituju,
seseorang itu masih dikira sebagai dalam musafir dan boleh mengqada’kan solat
secara qasar.
PERMASALAHAN KIRAAN JARAK DARAT, LAUT DAN UDARA
Permasalahan berkaitan jarak di antara darat, laut dan
udara sering dipersoalkan oleh masyarakat awam. Pelbagai persoalan yang timbul
sekiranya seseorang itu bermusafir menggunakan jalan laut seperti menaiki
kapal, ataupun melalui jalan udara seperti kapal terbang, adakah jaraknya
dikira sama dengan menggunakan jalan darat seperti menaiki kereta dan
sebagainya.
Ulama’
di dalam mazhab Syafi’i menjelaskan bahawa sekiranya kita menggunakan sebarang
kenderaan dan melalui sebarang jalan, seperti jalan darat, laut dan udara,
jaraknya adalah sama, dan sekiranya seseorang itu sudah tahqiq (yakin tanpa
syak) mengenai jarak perjalanan tersebut adalah jarak yang dibenarkan musafir,
maka dibolehkan qasar solat[11].
MUSAFIR YANG TIDAK MENETAPKAN TEMPOH PERSINGGAHANNYA
Persoalan ini adalah merujuk kepada mereka yang keluar
dengan sesuatu niat untuk musafir, tetapi tidak menyatakan berapa lamakah
tempoh seseorang itu hendak menyinggah di destinasinya. Ini menyebabkan niatnya
tidak lengkap dalam menyatakan berapa lamakah tempoh seseorang itu singgah di
destinasinya, sama ada melebihi tiga (3) hari, yang bersamaan seseorang itu
bermukim ataupun kurang dari tempoh tersebut.
Ulama’
menyatakan bahawa sekiranya seseorang itu tidak menyatakan tempoh seseorang itu
hendak tinggal di situ seperti berapa lama atau berapa hari, maka hukumnya
adalah putus safar[12]
seseorang itu sebaik sahaja seseorang itu tiba ke destinasinya dan tidak boleh
lagi mengqasarkan solatnya sama seperti orang yang berniat untuk bermukim.
MUSAFIR BERPATAH BALIK KE KEDIAMAN SETELAH MEMULAKAN SAFAR
Apabila
seseorang itu berniat untuk berpatah balik dari meneruskan safarnya, dan pulang
semula ke kediamannya, safarnya tidak terbatal dan seseorang itu masih boleh
mengqasarkan solatnya selagi mana seseorang itu masih dalam perjalan pulang ke
kediamannya, sehinggalah sampai ke daerah, atau kampung tempat tinggalnya
barulah terputus safarnya[13].
MUSAFIR YANG SINGGAH DI PERTENGAHAN JALAN
Sekiranya
seseorang itu singgah dalam jangkamasa yang singkat, iaitu tidak melebihi tiga
(3) hari, maka dia tidak dikira sebagai bermukim di situ dan dibolehkan baginya
mengqasarkan solatnya walaupun jarak persinggahannya tidak melebihi dua (2)
marhalah[14].
Sebagai contoh, seseorang yang bermusafir dan singgah di pertengahan jalan
untuk bermalam sebelum meneruskan perjalanannya kemudian.
Namun
begitu, sekiranya seseorang itu mengetahui bahawa urusannya dalam persinggahan
itu tidak akan selesai dalam masa tiga (3) hari, maka terputuslah safarnya, dan
dia tidak boleh lagi mengqasarkan solatnya[15].
Tetapi sekiranya seseorang itu merasakan bahawa urusannya boleh selesai dalam
satu hari, sebaliknya urusannya berlanjutan ke hari-hari seterusnya di luar
jangkaannya, maka dibolehkan dia untuk mengqasarkan solatnya dalam tempoh lapan
belas (18) hari dia di persinggahannya barulah dikira putus safarnya[16].
Ada
sesetengah orang, mereka berniat untuk berhenti dari bermusafir di pertengahan
jalan, namun setelah beberapa ketika berniat untuk meneruskan safarnya ke
destinasi yang hendak di tuju. Hukumnya adalah seseornag itu mestilah berniat
memulakan safar yang baru di tempat perhentiannya, dan hendaklah destinasi yang
ditujunya melebihi dua (2) marhalah, barulah boleh dia mengqasarkan solatnya[17].
QASAR SOLAT UNTUK ORANG YANG SENTIASA MUSAFIR
Terdapat
sebilangan orang yang hidupnya sentiasa dalam musafir disebabkan oleh faktor
pekerjaan dan sebagainya. Sebagai contohnya seseorang yang bekerja sebagai
pelayar kapal dan seumpamanya. Hukumnya adalah harus bagi golongan ini untuk
mengerjakan solat secara qasar, tetapi adalah lebih afdhal melakukan solat
secara tamam untuk keluar daripada khilaf[18].
Berikut dijelaskan huraian objektif kajian yang ketiga iaitu Menjelaskan
isu-isu berkaitan solat qasar dan jama’ dan perlaksanaannnua pada masa kini
pada era COVID 19. Perbincangannya meliputi hukim berkait jama’ dan qasar
(selain musafir), dan solat bagi petugas frontliner covid 19 termasuk orang
yang sakit.
OBJEKTIF KETIGA :
HUKUM BERKAIT SOLAT JAMA’ DAN QASAR (SELAIN MUSAFIR)
Terdapat beberapa isu
dan kes tertentu yang membolehkan solat dilaksanakan secara jama’, qasar atau
keduanya (selain dari sebab musafir). Alasan antaranya terdapat halangan atau
keuzuran yang tak dapat dielakkan seperti kesibukan yang terlampau, sakit, uzur,
banjir dan sebagainya. Berikut adalah golongan atau mereka yang diharuskan
solat sama ada jama’, qasar atau keduanya:-
(1) Doktor, perawat,
jururawat dan mereka yang terlibat secara langsung atau sedang dalam urusan
pembedahan pesakit hingga mengakibatkan soal nyawa, maka dibenarkan solat
jama’. Ini kerana urusan bertugas ini tidak dapat ditinggalkan dan
mengambil masa yang lama. Pandangan fatwa ini dikemukakan oleh Prof. Dr. Sheikh
Yusuf Al-Qardhawi.
(2) Polis trafik yang
menjaga lalu lintas termasuk mereka yang bertugas di sekatan jalan raya kerana
operasi tertentu diharuskan melaksanakan solat secara jama’. Ini adalah
kerana tugasan di lapangan tidak boleh ditinggalkan dan biasanya mengambil masa
yang agak lama. Pandangan ini juga dikemukakan oleh Prof. Dr. Sheikh Yusuf
Al-Qardhawi.
(3) Boleh jama’ bagi
pesakit kronik yang sedang dirawat atau sakit yang menimbulkan kesulitan dan
kepayahan baginya menunaikan solat pada setiap waktu seperti sakit lumpuh,
pesakit buah pinggang yang menjalani rawatan hemodialisis dan sebagainya.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali Ke-49 memutuskan harus solat
jama’.
(4) Tidak boleh jama’
dan qasar jika berada di kampung sendiri dan telah menjadi tempat bermustautin
(bermukim) kerana tidak dianggap sebagai seorang musafir. Sama juga keadaannya
jika berada di rumah atau kampung mentua (isteri atau suami). Tetapi jika
bermustautin di tempat lain dan pulang bagi tujuan bercuti atau ziarah walaupun
tempat dikunjungi adalah kampung asalnya, maka harus qasar dan jama’ solat
selama tempoh permukiman yang dibenarkan
(3 hari) sebagai seorang musafir. Jika lebih 4 hari, maka gugurlah
status musafirnya.[19]
(5) Berdasarkan mazhab Syafi’i dibolehkan
solat secara jama’ berdasarkan keadaan dan situasi hujan yang terlalu lebat
sehingga mungkin mengakibatkan banjir, kilat yang merbahaya, tanah runtuh,
musibah kebakaran yang besar, keadaan salji dan cuaca terlalu sejuk sehingga
menyukarkan untuk solat pada waktunya. Keharusan ini khusus bagi yang bermukim,
tidak bermusafir dan praktikal jika berada di luar atau negara yang sejuk.
Selain itu, berdasarkan hadis Yahya menceritakan kepada saya dari
Malik dari Abu'z Zubayr al-Makki dari Said ibn Jubayr bahawa Abdullah ibn Abbas
berkata, Rasulullah ﷺ bersabda:
“solat zuhur dan asar bersama dan maghrib dan isyak bersama, dan tidak kerana
ketakutan atau juga kerana melakukan perjalanan." Malik berkata,
"Saya percaya itu semasa hujan."
(6) Harus solat jama’ disebabkan
takut kepada musuh seperti dalam medan perang menurut satu pendapat dalam
mazhab Maliki, pandangan mazhab Hanbali dan sebahagian pandangan ulama’
Syafi’i. Begitu juga sekiranya takut berlaku sesuatu yang buruk kepada nyawa,
harta, maruah dan kehidupannya, maka mengikut pandangan mazhab Hanbali diharuskan
melaksanakan solat jama’.
(7) Wanita yang dalam istihadah
(masih menyusukan anak) hingga menyukarkannya untuk bersolat diharuskan
menjama’kan solat. Ini berdasarkan pandangan mazhab Hanbali dalam perkara
jama’ kerana sakit.
(8) Pelayar atau pekerja yang
musafir dan berlayar dari satu negara ke satu negara yang lain, nelayan,
pekerja di atas kapal laut diharuskan mengerjakan solat secara jama’ dan
qasar di atas kenderaannya (kapal). Ini kerana telah memenuhi syarat
musafir dari sudut perjalanannya yang jauh.[20]
(9) Solat dalam keadaan kesesakan
lalu lintas kerana berlaku kemalangan atau sesuatu yang tidak dijangka. Jika
terluput waktu solat pertama (zuhur dan maghrib), maka masih ada pilihan
bagi melaksanakan solat secara jama’ ta’khir. Namun jika dibimbangi
berterusan sehingga luput solat kedua (asar atau isya’), maka hendaklah solat
di dalam kenderaan mengikut kadar kemampuan (sama ada jama’ taqdim atau
ta’khir). Bersuci boleh dilakukan dengan wudu’ air yang sedikit atau bertayamum
(jika ada). Sekiranya tiada, maka solatlah menghormati waktu berdasarkan
pandangan sebahagian ulama’ Syafi’iyyah dan perlu diulangi solatnya. Namun
berdasarkan pendapatan Imam al-Muzani dengan disokong oleh Imam Nawawi, solat
tidak perlu diulang kerana dikira dalam golongan faqidut thohurain
(orang yang tidak mampu mendapatkan air untuk berwudu’ dan debu untuk
bertayamum).
SOLAT BAGI PETUGAS, ‘FRONTLINER’ COVID-19 TERMASUK
ORANG YANG SAKIT
Hukum asal telah menetapkan
wajib mendirikan solat secara sempurna (tamam), berdosa besar meninggalkannya dan
tidak boleh menjama’kan solat tanpa sebab yang diharuskan oleh syara’. Namun
dalam tempoh kebelakangan ini,seluruh dunia termasuk Malaysia telah dilanda
pandemik Covid-19 yang telah memberi kesan tidak hanya ekonomi dan kehidupan
masyarakat, malah melibatkan kesihatan serta nyawa manusia. Atas asas itu, maka
petugas dan ‘frontliner’ yang terlibat secara langsung dalam hal ehwal
kesihatan ini memerlukan garis panduan dalam melaksanakan ibadah solat agar
tidak tertinggal walau satu waktu pun. Pendekatan kaedah fiqh bermaksud: “Kepayahan dan kesukaran mendatangkan kemudahan pada
hukum.” Maka di sini dikemukakan beberapa kaedah dan cara
pelaksanaan solat yang boleh dilaksanakan oleh mereka.
(1) Sekiranya dibebani
dengan kekangan waktu dan hanya mampu melaksanakan solat di akhir waktu, maka harus
solat dilewatkan perlaksanaannya. Contohnya melewatkan solat zuhur sehingga
akhir waktu dan selepas itu terus solat asar sebaik sahaja masuk waktunya.
Begitu juga solat maghrib dan isya’. Melaksanakan dua solat pada waktu yang
berdekatan dinamakan solat secara jama’ suri (jama’ gambaran) dalam
mazhab Syafi’i. iaitu mengakhirkan waktu
solat yang pertama (zuhur dan maghrib) serta menyegerakan atau mengawalkan
waktu solat yang kedua (asar dan isya’). Solat ini bukan dijama’kan
tetapi didirikan pada waktu masing-masing dan dilaksanakan secara solat yang
sempurna.
(2) Jika berlaku keadaan
mendesak, sulit atau sukar (masyaqqah) bagi mendirikan solat secara tamam
(sempurna) walaupun di akhir waktu, maka diberikan keringanan (rukhsah) iaitu:
(a) Harus melaksanakan solat
jama’ tamam (tanpa qasar) sama ada taqdim atau ta’khir berdasarkan
kesesuaian, situasi dan keadaan ketika itu. Contohnya waktu syif bertugas,
(b) Sekiranya tidak
mampu juga melaksanakan solat jama’ (taqdim atau ta’khir) kerana darurat
seperti menyelamat nyawa atau kesukaran dan tidak dibenarkan menanggalkan
pakaian khas (PPE - Personal Protective Equipment) untuk berwudu’ atau bertayammum,
maka dianjurkan mendirikan solat menghormati waktu secara jama’
ta’khir dan hendaklah diulang (wajib qada’) secara sempurna di masa yang
lain.
Walau apapun, hukum
keharusan solat jama’ bagi perkara ini adalah berasaskan kemaslahatan menghindari kemudharatan dan menjaga nyawa.
Ini juga adalah memenuhi tuntutan dan prinsip dalam maqasid syariah khususnya
dalam menjaga ibadah solat agar ia tetap terlaksana walau dalam apa jua keadaan
sekali pun.
INTAHA
Sebagai kesimpulannya penerangan berkaitan solat qasar
dan jama’ menurut pandangan empat imam mazhab, penjelasan isu-isu berkaitan
qasar dan jama’ berdasarkan pandangan ulama’ silam, dan penjelasan dalam
realiti masa kini telah selesaikan dibincangan.
Sekalipun dalam keadaan sukar, solat wajib ditunaikan
dengan diberikan sedikit keringanan mendirikannya selaras dengan firman Allah
S.W.T. dalam surah Al-Hajj, ayat 78[21]:
...وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِى
الدِّيْنِ مِنْ حَرَجٍۗ ...
Erti: ...“dan Dia tidak menjadikan
kesukaran (keberatan) untukmu dalam perkara agama...”
RUJUKAN
111 Soal Jawab Berkaitan Solat Jama’ dan Qasar, Ustaz Zulkarnain bin Hj.
Abdullah dan Ustaz Hj. Azhar bin Hj. Yahya Al-Batawi, terbitan KUIZM, 2015.
Al Muhali dan Al Suyuthi, Tafsir
Al-Jalalain, Jilid 1, Dar al Hadis, Kaherah.
Al-Muwatta of Imam
Malik ibn Anas, The First Formulation of Islamic Law, Revised in whole
Translated by Aisha Abdurrahman Bewley, Madinah Press Inverness, Scotland, 1991.
Asas-Asas Fardhu Ain,
Ustaz Sulaiman Endut, Penerbit Pustaka Haji Abdul Majid, 1993.
Ensiklopedia Solat, Datuk Haji Md. Hashim Yahaya (mantan Mufti Wilayah
Persekutuan), terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd., 2011.
Fiqh Islam Wa Adillatuhu, Prof. Dr. Wahbah Az-Zuhaili,
Jilid 2, 2010 .
Formula Solat Sempurna, Dr.
Zaharuddin Abd. Rahman, terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd., Oktober 2012.
Furu’ Al-Masa’il Wa Usul Al-Wasa’il, Maulana Al-Sheikh Daud bin Abdullah
Al-Fathani, terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd., 2010.
Jabatan Mufti Negeri Perak,
Kenyataan Rasmi Bil. 4/2020.
Kitab Al-Fiqhu Al-Manhaji ‘Ala Mazhab
Al-Imam Asy-Syafie, terbitan Darul Syakir.
Mufti Pulau Pinang, Hukum Solat Bagi
Petugas KKM Yang Terlibat Dengan Covid-19, Keputusan Irsyadul Hukmi, Mesyuarat
Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang, 24 Mac 2020 .
Panduan Berkaitan Solat Musafir,
Ustaz Salehuddin bin Abu Samah, Penerbit JomSolah DotCom, 2016.
Panduan
Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis, Hukum Bagi Petugas-petugas Kesihatan dan
Staf-staf Hospital Yang Merawat Kes-kes Covid-19, 2020
Passport Musafir, Panduan Lengkap
Ibadah Dalam Perjalanan, Mohd Zuhdi Ahmad Khasasi, terbitan PTS Publications & Distributors, 2011.
Pejabat
Mufti Wilayah Persekutuan, Irsyad Al-Fatwa Siri ke 455: Hukum Solat Jama’ Bagi
Petugas Covid-19, 2020.
Risalah Hukum Covid-19, Ini Ialah
Bagaimana ‘Frontliner’ Solat Sepanjang Merawat Pandemik Covid-19, Terbitan Fakulti
Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal
Abidin (UniSZA), 2020.
[1] Al-Quran al-Karim, al-Hajj (22): 78
[2] Fiqh Islam Wa Adillatuhu, Prof. Dr. Wahbah Az-Zuhaili, Jilid 2, 2010
[3] Prof. Dr. Sheikh Yusuf Al-Qardhawi dalam kitabnya Fiqh As-Siyam
[4] Al-Fiqhu Al-Manhaji ‘Ala Mazhab
Al-Imam Asy-Syafie, terbitan Darul Syakir
[5] Al-Quran al-Karim, an-Nisa (4): 101
[6] Al-Fiqhu Al-Manhaji ‘Ala Mazhab Al-Imam Asy-Syafie, terbitan Darul Syakir
[7] Furu’ Al-Masa’il Wa Usul Al-Wasa’il, Maulana Al-Sheikh Daud bin Abdullah Al-Fathani, terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd., 2010
[8] Dr Zulkifli Mohamad al Bakri, Fiqh Musafir Solat Jama’ dan Qasar, ( Pustaka Cahaya Kasturi Sdn Bhd ) 2017, m.s. 39
[9] Umar
Mukhtar Mohd Noor (22.04.2016), Al-Kafi#225: Maksud Musafir, Mukim, dan
Bermaustatin Serta Berapa Hari Boleh Jama’ Qasar, Pejabat Mufti Wilayah
Persekutuan
[10] Luqman
Tarmizi (08.02.2019), Al-Kafi#1093: Cara Qadha Solat Yang Tertinggal Sewaktu
Musafir, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
[11] Dr
Zulkifli Mohamad al Bakri, Fiqh Musafir Solat Jama’ dan Qasar, ( Pustaka Cahaya
Kasturi Sdn Bhd ) 2017, m.s 45
[12] Sheikh Daud Bin Abdullah al-Fathani,
Furu’ al-Masa’il wa Usul al-Wasa’il, ( Telaga Biru Sdn Bhd ) 2010, m.s. 399
[13] Ibid 6
[14] Ibid 6
[15] Sheikh Daud
Bin Abdullah al-Fathani, Furu’ al-Masa’il wa Usul al-Wasa’il, ( Telaga Biru Sdn
Bhd ) 2010, m.s. 400
[16] Ibid 9
[17] Ibid 9
[18] Sheikh Daud Bin Abdullah
al-Fathani, Furu’ al-Masa’il wa Usul al-Wasa’il, ( Telaga Biru Sdn Bhd ) 2010,
m.s. 403
[19] Prof. Dr. Wahbah Az-Zuhaili dalam Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuh, jilid 2, halaman 1364.
[20] Pejabat Mufti Wilayah
Persekutuan, Irsyad Al-Fatwa Siri ke 455: Hukum Solat Jama’ Bagi Petugas
Covid-19, 2020
[21] Al-Quran al-Karim, al-Hajj (22): 78
No comments:
Post a Comment