Tuesday, June 30, 2009

TUJUH MARHALAH DA'WAH FARDIYYAH: Siri 3

Salam,

Selamat bertemu lagi di alam siber. Semoga kita semua sentiasa tertingkat dari hari ke hari. Semoga hari ini lebih baik daripada semalam, hari esok lebih baik daripada hari ini.

Hal inilah yang dimiliki oleh pada Sahabat rhm. Mereka bermotivasikan sabdaan junjungan besar Muhammad SAW:
`Barangsiapa yang dua harinya sama, maka ia tergolong dalam kalangan orang yang rugi'

Al-hadith
Sebagai pembukan bicara saya ingin memperkatakan tentang sifat yang perlu ada pada penyeru manusia kepada Allah SWT. Antara sifatnya ialah: sentiasa memperhatikan keaipan diri llebih daripada menilai orang lain.

Ke’aiban dalam jiwa sendiri sudah cukup menyibukkan untuk diperbaiki daripada melihat ke’aiban orang lain. Maksudnya, berikanlah keutamaan untuk memperbaiki diri. Dalam thora-iq tarbiyyah yang telah kita pelajari menjelaskan tentang perimustahaknya proses mu’alajah al-‘uyub.
Kata ‘ulamak Sari Sikti Al Baghdadi (seorang ahli sufi):

“Saya tidak nampak satu (yang ganas), yang merosakkan amal, dan hati pula lebih dekat kepada kemurkaan Allah, lebih dekat kepada riya’, ‘ujub serta riaasah (inginkan pengaruh/kuasa), selain daripada kurangnya mengenali ke’aiban diri dan mengintip ke’aiban orang lain.”
Kita perlu mengambil kebaikan-kebaikan yang ada pada orang lain. Bahkan kita perlu mewujudkan suasana lengkap melengkapi.

Sebagai sambungan sesi lalu mengenai Dakwah fardiah, marhalah keempat yang seterusnya ialah: MENGHAYATI HIDUP BERIBADAH YANG SYUMUL

Diperjelaskan kepada mad’u bahawa ibadah tidak terbatas kepada solah, puasa, zakat dan haji sahaja. Ibadah merangkumi seluruh aspek kehidupan seperti makan, minum, pakaian, ilmu, amal, perkahwinan, riadah, pendidikan anak-anak dan sebagainya. Ibadah mestilah memenuhi dua syarat utama iaitu:

1) Niat yang benar.
2) Menepati kehendak syara’.

Di tahap ini kita lihat dia akan merasa terikat dalam seluruh kegiatan hidupnya, gerak-gerinya dan diamnya dengan syari’at Allah Subhanahuwata’ala. Dunia menjadi mihrab dan tempat ibadah yang besar. Di atas dunia kita melaksanakan amal dengan niat yang mulia dan cara yang betul. Langkah-langkah di marhalah ini ialah:

1) Mad’u perlu mendapat penjelasan tentang pengertian ibadah yang syumul (bukan juz-i) dengan cara:

a) Menjelaskan makna ibadah bersumberkan al-Quran dan al-hadith.
b) Menjelaskan pengertian-pengertian yang terdapat di dalam tafsiran-tafsiran ulama’ muktabar.
c) Menjelaskan fungsi ibadah dalam kehidupan dengan mempraktikkan Islam sepenuhnya.

2) Memperbetulkan ibadah dengan mengawasi:

a) Niat yang semata-mata kerana Allah Subhanahuwata’ala.
b) Cara melaksanakannya yang sesuai dengan syari’at Islam.

3) Mad’u difaham dan disedarkan bahawa selagimana niat ditentukan kerana Allah Subhanahuwata’ala, maka setiap amalan akan dikira sebagai ibadah, selagimana amalan itu tidak haram menurut Islam.

4) Amalan-amalan kita adalah sebagai alat untuk menyempurnakan ketaatan kepada Allah Subhanahuwata’ala yang menjadikan kita khalifah di muka bumi ini.


5) Ma’du dibawa untuk berfikir tentang kesan niat yang betul terhadap amalan-amalan harian, seperti:

a) Makan minum adalah bertujuan untuk mendapat tenaga agar dapat menta’ati Allah Subhanahuwata’ala atau beribadah kepadaNya. Dengan ini seseorang itu akan mendapat pahala di sisi Allah Subhanahuwata’ala.
b) Mencari rezeki dengan niat yang betul akan menjadi ibadah kepada Allah Subhanahuwata’ala.
c) Kita akan mendapat pahala dari segala usaha dan harta yang digunakan untuk membangunkan Islam.
d) Kita akan mendapat pahala dari masa yang diberikan untuk kemajuan Islam.
e) Kita akan mendapat pahala jika berkorban untuk mencapai kemahiran ilmu iktisas demi untuk kepentingan Islam dan umat Islam.
f) Seterusnya dalam semua aktiviti hidup diniatkan untuk Islam dan demi mencari keredhaan Allah Subhanahuwata’ala, seperti:

i) Mencari rezeki agar boleh mengeluarkan zakat, sadaqah dan hadiah.
ii) Berkahwin untuk mendirikan rumahtangga muslim. Rumahtangga muslim adalah tiang yang kuat untuk membangunkan Daulah Islamiyah.
iii) Bersenam, riadah dan memelihara kesihatan agar mampu dan kuat memikul tugas Islam dan tanggungjawabnya menggerakkan da’wah Islam.

g) Membawa mad’u berfikir bahawa semua kerja hendaklah sesuai dengan syari’at Allah Subhanahuwata’ala . Adalah tidak menasabah bagi seseorang yang makan dan mendapat rezeki dengan cara yang diharamkan oleh Allah Subhanahuwata’ala, bertujuan untuk menguatkan taqwa dan mentaati Allah Subhanahuwata’ala.

wallahua'lam

Wednesday, June 24, 2009

TEORI PENDIDIKAN

Salam wbth,

Pendidikan sama ada ianya berbentuk pendidikan Islam atau yang bukan Islam adalah didasarkan di atas satu hakikat iaitu memungkinkan keberkesanannya kepada jiwa manusia hasil dari rangsangan-rangsangan atau persekitaran yang dirancang atau yang tidak dirancang dalam berbagai aspek kehidupan manusia.
Tujuan Pendidikan (Tarbiyyah) Kita
Matlamat pendidikan kita yang menjadi sekarang ini ialah untuk melahirkan individu yang melengkapi syarat-syarat kekuatan keislaman yang dikehendaki pada seseorang individu dan masyarakat yang dibentuk selaras dengan keperibadian Islam.
Pertambahan Ahli Selaras Dengan Kemampuan Pendidikan
Suatu hal yang akan mengecewakan tujuan da’wah kita ialah da’wah tanpa iringan dengan pembentukan. Da’wah yang berkembang secara meluas sebelum ada barisan penda’wah yang benar-benar mampu mengendalikan urusan Tarbiyah terhadap mereka yang dida’wahkan.
Oleh itu sepanjang perjalanan da’wah Islamiyyah perlu terdapat perseimbangan di antara keluasan penyebaran da’wah dengan kemampuan tenaga pendidik yang kita miliki.
Terdapat beberapa insiden ketika zaman pemerintahan khalidah Maamun. Oleh sebab-sebab yang tertentu, ia dikelilingi oleh orang-orang Mu'tazilah dan dia menjadi terpengaruh dengan ideologi tersebut. Dia mula menyeksa 'ulama yang tidak mengatakan Al Quran dicipta. Ia adalah suatu ideologi yang ganjil. Malah ramai orang tidak memahami apa yang dimaksudkannya; Al Quran itu makhluk. Tetapi ia tekankan hal tersebut dan ia menyeksa 'ulama oleh sebab-sebab itu.

Imam Ahmad ibnu Hanbal tinggal beberapa tahun di dalam penjara dan diseksa disebabkan hal ini, semasa pemerintahan empat khalifah iaitu Mu'tasim, Maamun dan khalifah selepas mereka. Kebanyakan 'ulama berfikir untuk membentuk satu kumpulan untuk melawan Al Maamun dan menamatkannya. Khalifah mendengar berita ini dan ia dengar bahawa mereka telah ada kumpulan yang ramainya lima puluh orang. Ia memanggil perdana menterinya. Ia adalah seorang yang cerdik. Dia adalah Al Fadhil Nababiyah, seorang menteri yang bijak.

Al Maamun berkata kepadanya: "Saya dengar orang ini telah membentuk satu kumpulan untuk melawan kita. Dia sekarang mempunyai lima puluh orang ahli."
Katanya: "Ini membimbangkan tapi kita lihat dulu perkembangan seterusnya."

Minggu kedua khalifah memanggil kembali al fadhil dan berkata kepadanya: "Sekarang, saya dengar pengikutnya sudah mencapai angka lima ratus."
Katanya: "Ini satu yang perlu kita bimbangkan api kita tunggu dan lihat."

Minggu ketiga dia datang dan berkata: "Sekarang pengikutnya sudah menjadi lima ribu." Katanya lagi: "Jangan bimbang."
Dia bertanya: "Kenapa? Bila mereka hanya lima puluh kamu kata kita perlu bimbang. Bila lima ratus jua bimbang, tetapi bila lima ribu kamu kata jangan bimbang."
Katanya: "Satu kumpulan yang berkembang dalam dua minggu dari lima puluh kepada lima ribu tida ada apa-apa."
Perlunya Pengasasan Dari Bawah
Seorang penda’wah Islam yang terkenal, al-Amir Syakib Arsalan, telah cuba membetulkan jalan ini dengan mengeluarkan kata-kata yang sangat berharga dan disebut kembali oleh Muhammad Ahmad ar-Rasyid dalam bukunya al-Muntalaq sebagai berkata:

“Banyak sekali surat-surat yang dihantar kepada saya dari negara Maghrib (Maghribi), Jawa (Indonesia), Mesir, Syria, Iraq dan dari Palestin sendiri mencadang agar diadakan mu’tamar Islami atau melantik khalifah dan sebagainya. Sebagai jawapan saya berkata bahawa perlu kita asaskan dari bawah dan perlu kita mendidik individu. Apakah faedahnya kita bermu’tamar, sedangkan peserta-pesertanya adalah terdiri dari mereka yang tidak berkeupayaan, tiada persediaan dan kesanggupan bagi melaksanakan keputusan-keputusan mu’tamar tersebut. Mahukah kita mengumpul bilangan-bilangan angka-angka kosong?
Ringkasnya
Kita perlu membina asas dari bawah. Bermula dari halaqah-halaqah dan bukannya dewan-dewan mu’tamar;melalui jalan-jalan Tarbiyyah yang panjang, lambat dan sukar. Perjuangan ini ialah perjuangan Tarbiyyah Islamiyyah.

Saturday, May 23, 2009

TUJUH MARHALAH DA'WAH FARDIYYAH: Siri 2

Assalamu'alaikum wbth,


PETAKA MENINGGALKAN DA’WAH

Melalui da’wah, Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah berjaya mengangkat mertabat manusia menjadi makhluk yang mulia. Da’wah telah berjaya menyebarkan kebahagiaan, kedamaian dan ketenteraman yang hakiki. Jejak langkah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah diikuti oleh para sahabatnya dan diwariskan dari satu generasi ke generasi seterusnya. Walaupun Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah wafat, namun tanggungjawab da’wah tidak berhenti. Tanggungjawab da’wah adalah tanggungjawab kita yang berterusan.

Meninggalkan da’wah mengundang bahaya yang banyak. Yakni, bahaya kepada individu, keluarga, masyarakat dan manusia seluruhnya. Antara bahaya-bahaya meninggalkan da’wah ialah:

1) Mendapat Dosa

Meninggalkan da’wah bererti meninggalkan kewajipan. Al-Quran telah menggariskan betapa tugas da’wah adalah wajib, antaranya:

Bermaksud: Serulah (manusia) kepada jalan Rab-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Rabmu dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.
(Surah an Nahl : 125)

Sambungan Dakwah Fardiah:

MARHALAH KETIGA: MENGISLAHKAN AKHLAK

Pada tahap ini kita membantu mad’u memperbaiki akhlaknya dengan memperkenal atau mendedahkan mereka kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan keta’atan kepada Allah Subhanahuwata’ala dan ibadah-ibadah yang diwajibkan.

Juga, membantu mad’u melatih dan membiasakan diri mereka dalam ketaatan dan disiplin melaksanakan ibadah, menjauhkan diri daripada segala kema’siatan dan menghiasi diri dengan akhlak Islamiyah. Langkah-langkahnya ialah:

1) Menolongnya dan memperkenalkannya akan urusan dinnya.

2) Menolongnya menyelesaikan permasalahan menta’ati Allah Subhanahuwata’ala dalam menjalankan ibadah-ibadah yang ditentukan.

3) Dia dibekalkan dengan buku-buku yang mudah baginya, yang menyentuh permasalahan:
a) Aqidah
b) Ibadah
c) Akhlak
d) Sejarah Islam (sirah)
e) Lain-lain yang bersesuaian.

4) Dia dibawa ke majlis ilmu:
a) Ceramah Islam
b) Nasihat ulama’ yang salih.

5) Mengajak dia berkenalan dengan orang-orang yang salih dan ikhlas, menjauhkannya daripada orang-orang jahat.

6) Sentiasa memimpin dia kepada suasana yang baik.

7) Kita terus memperhatikan tindak-tanduknya (keperibadian Islamnya).

8) Jangan kita biarkan dia tanpa bimbingan dan pertolongan, kerana ditakuti dia lemah dan futur.

9) Di tahap ini, mad’u dibimbing agar:

a) Dia beramal dengan segala perkara yang baru dikenalinya dari hukum-hukum syari’at Islam.
b) Dia menggabungkan dirinya didalam perlaksanaan ibadat dan menjauhkan dirinya dari segala ma’siat.
c) Dia menghiasi dirinya dengan akhlak Islam.
d) Kita nampak peribadi Islamnya mula tegap, kukuh, mantap dan tidak mudah goyang
bersambung...insha Allah

Wednesday, May 20, 2009

TUJUH MARHALAH DA’WAH FARDIYAH siri 1

Assalamu'alaikum wbth,

Melalui da’wah, Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah berjaya mengangkat mertabat manusia menjadi makhluk yang mulia. Da’wah telah berjaya menyebarkan kebahagiaan, kedamaian dan ketenteraman yang hakiki. Jejak langkah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah diikuti oleh para sahabatnya dan diwariskan dari satu generasi ke generasi seterusnya. Walaupun Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah wafat, namun tanggungjawab da’wah tidak berhenti. Tanggungjawab da’wah adalah tanggungjawab kita yang berterusan.

MARHALAH PERTAMA: MENGENALI MAD’U DAN MEMBINA HUBUNGAN

Pada tahap ini kita harus berusaha agar mad’u merasakan bahawa kita mengambil berat tentang mereka. Bertanya khabar di kala mereka tidak ada. Kita belum lagi berbicara secara langsung tentang da’wah, agar hati mereka lebih terbuka dan bersedia untuk menerima apa yang diperkatakan. Pada tahap ini, lagi banyak perhatian yang diberikan kepada mad’u maka akan lebih banyak penerimaan yang akan diperolehi daripada mad’u (InsyaAllah). Langkah-langkah kita ialah:

1) Mengadakan hubungan silaturrahim.
2) Berta’aruf dengan mad’u.
3) Menunjukkan kepadanya bahawa kita kenalnya.
4) Menunjukkan kepadanya bahawa kita mementingkannya.
5) Kita menziarahinya di rumahnya dan selalu membawa hadiah.
6) Memberikan perhatian dan kemesraan kepadanya.
7) Menghormati dan memuliakannya.
8) Dan berbagai usaha perlu dibuat untuk menariknya.
MARHALAH KEDUA: MEMBERSIHKAN AQIDAH DAN MEMBANGKITKAN IMAN

Pada tahap ini perbicaraan terhadap masalah iman dilakukan secara tidak langsung, secara tabi’i dan seolah-olah tidak sengaja. Masa-masa tertentu dimanfa’atkan dengan sebaik-baiknya seperti ketika melihat seekor burung terbang, melihat serangga dan apa sahaja ciptaan Allah Subhanahuwata’ala. Di kesempatan ini ajaklah mad’u untuk berbicara tentang kekuasaan, keindahan dan keagungan ciptaan Allah Subhanahuwata’ala.

Pada tahap ini diutarakan juga bahawa walau bagaimana hebat manusia namun ia tidak mampu menandingi Allah Subhanahuwata’ala, contohnya saintis yang paling bijak pun tidak mampu untuk menciptakan walau sebiji benih, apatah lagi untuk menumbuhkannya. Mereka mungkin membuat penemuan-penemuan baru tetapi bukan ciptaan baru. Perkara-perkara yang perlu diberi perhatian pada tahap ini ialah:

1) Menjaga segala pembicaraan dengan baik.
2) Berbicara tentang iman secara tidak langsung.
3) Menggunakan segala peluang dan kesempatan untuk dikaitkan dengan betapa Kudrat Kuasa Allah Subhanahuwata’ala seperti:

a) Ketika melihat seekor burung sedang terbang.
b) Ketika melihat seekor serangga sedang melintas lalu.
c) Ketika melihat pokok kayu atau rumput.
d) Ketika melihat bagaimana tumbuh-tumbuhan berbeza pada batang, akar, daun, bunga dan baunya.
e) Kemukakan soalan-soalan seperti: Mampukah para saintis dari semua jurusan mencipta sebiji padi?. Kemudian kita jelaskan bahawa rahsia hidup adalah hak Allah Subhanahuwata’ala.

4) Menjelaskan bahawa mencipta dan menghidupkan itu adalah hak Allah Subhanahuwata’ala semata-mata. Firman-Nya:


Bermaksud: Dan kamu lihat gunung-gunung itu, kamu sangka dia tetap di tempatnya, padahal ia berjalan sebagai jalannya awan. (Begitulah) perbuatan Allah yang membuat dengan kokoh tiap-tiap sesuatu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.
(Surah An-Naml : 88)

5) Memberi misalan-misalan yang menarik dan menawan hati. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

Bermaksud: Inilah ciptaan Allah, maka perlihatkanlah olehmu kepadaku apa yang telah diciptakan oleh sembahan-sembahan(mu) selain Allah. Sebenarnya orang-orang yang zalim itu berada di dalam kesesatan yang nyata.
(Surah Luqman : 11)

6) Mengadakan perbincangan lanjut dan berulang-ulang mengenai penciptaan Allah Subhanahuwata’ala.
7) Mengajak dia memikirkan tentang makhluk Allah Subhanahuwata’ala di mana-mana sahaja .
8) Membawa dia memikirkan bahawa penciptaan Allah Subhanahuwata’ala bukanlah sia-sia.
9) Membawa dia mengingati kurniaan Allah Subhanahuwata’ala untuk orang-orang yang beriman.
10) Membawa dia mengingati akhirat.
11) Mendorong dia berdo’a kepada Allah Subhanahuwata’ala supaya menjauhkan diri daripada neraka (‘Azab Allah Subhanahuwata’ala).
12) Kita kenangkan kepadanya kemuliaan yang telah dikurniakan Allah Subhanahuwata’ala terhadap manusia. Malangnya banyak manusia mensia-siakannya.
13) Manusia banyak melayan tuntutan jasmani. Mereka tidak melayan dan tidak memberi perhatian kepada rohani dan aqidah.
14) Dengan kita membawa dan menyentuh sedikit tentang iman dan aqidah Islam, semoga dia mula sedar dan iman mula bertapak.

15) Di tahap ini, mad’u dibimbing agar:

a) Bertambah kagum dan memuji Allah Subhanahuwata’ala:

Bermaksud: (Iaitu) Orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Rab kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharakanlah kami daripada siksa neraka.
(3 : 191)

b) Bermulalah hatinya itu hidup dengan mengenali Allah Subhanahuwata’ala.
c) Dia bersedia untuk beriman dengan Allah Subhanahuwata’ala dan hari akhirat.
d) Dia mulai ingin memahami tugas, tanggungjawab dan tujuan hidup.
e) Dia ingin tahu dengan jelas akan tujuan dia diciptakan (bahawa manusia tidaklah dijadikan dengan sia-sia, bahkan adalah untuk memperhambakan diri kepada Allah Subhanahuwata’ala).
f) Dia inginkan aqidah salimah (aqidah yang sejahtera) dan benar. Kebahagiaan di akhirat bergantung kepada aqidah yang salim.
g) Dia rasa hanya dengan bertaubat dan beriman kepada Allah Subhanahuwata’ala sahaja akan dapat menyelamatkannya.
h) Dia mula tertarik dan mudah mengikut ajaran-ajaran Islam dengan penuh iltizam.
bersambung...

Monday, May 4, 2009

Sedikit tazkirah buat para da'i

Assalamualaikum,

Sekadar berkongsi bahan tazkirah yang saya perolehi daripada sahabat baik saya, Abu Zahid.

Semoga bermanfaat.

Semuga kalian semua di dalam suasana iman, taqwa dan jhd yang berterusan. Sesungguhnya... Islam, Da'wah, trbyh dan jhd adalah suatu yang perlu dilaksanakan secara benar...
Medan berfikir/berfikrah tak sama dgn medan bercakap,
Medan Bercakap tak sama dgn medan beraktiviti,
Medan beraktiviti tak sama dgn medan beraktiviti yang benar (mengikut keaslian manhaj [asolah da'wah], tuntutan semasa dan berjamaie),
Medan aktiviti yang benar tak sama dgn medan aktiviti yang berterusan (sabar & ada pengorbanan)
KESIMPULANNYA KITA WAJIB TERJUN KE SEMUA MEDAN...
KEKUATAN kita terbentuk hanya bila kita BERADA di DALAM MEDAN (bukan di tepi-tepi medan) Tertingkatnya... Tarbiyah - apabila kita berada di dalam medan tarbiyah - WUJUD PENINGKATAN TASSAWUR, SYU'UR, & MASULIYAH.

Da'wah - apabila kita berada di dalam medan dakwah - MENINGKAT PRODUKTIVITI DA'WAH (INTAJ FID DA'WAH) Jhd - apabila kita berada di dalam medan jhd - TERSERLAH PENGORBANAN DAN PERKEMBANGAN KEKUATAN UMMAH Tapi KESEMPURNAAN kepada KEKUATAN pula bila kita boleh MENYUMBANG di medan yang ada. Sempurnanya tarbiyah hanya apabila kita boleh menjadi murabbi - mendidik dan membentuk manusia kepada Allah. Sempurnanya dakwah hanya apabila kita boleh menjadi da'i - mempunyai mad'u dan melaksanakan akitiviti menyeru manusia kepada Allah (da'wah menjadi malakah kehidupan). Sempurnanya jhd hanya apabila kita boleh menjadi mujhd - yang tidak kenal erti penat dan jemu berjuang sebagai dai dan murabbi dengan penuh sabar dan pengorbanan. Hinggalah maut menjemput pergi.
Syabas bagi sahabat yang dah Terjun dan Menyumbang ke dalam MEDAN Perjuangan...Sebagai bekalan ampuh untuk mengadap ALLAH.Moga Allah menerima semua amal mu...Moga Allah meningkatkan kesempurnaan kekuatan mu. Syabas kepada sahabat yang masih melihat dari jauh...Sekurangnya doa antum akan mengiringi perjuangan sahabat yang beramal.Moga Allah menerima semua doa dan amal kamu...Moga Allah jadikan sahabatmu sebgai contoh praktik dihadapanmu. Marilah kita menjadikan hari ini lebih baik daripada semalam...di dalam aktiviti Da'wah, Tarbiyah dan jhd fi sabilillah.Moga DUNIA tidak menipu kita... Semua kita beramal...cuma adakah amal kita sesuai dengan marhalah da'wah hari ini... Adakah kita telah manfa'atkan semua ni'mat yang diberikan untuk tujuan Akhirah... ATAU Kita masih selesa tinggal di dunia dan berpada dgn sistem jhlyh yang mencengkam aqidah, ibadah dan seluruh tubuh Islam dan muslim. Maaf tiada yang sempurna di dalam amal melainkan Rasulullah saw.Tazkirah ini hanya untuk diri ini yang masih terlalu banyak kelemahan Afwan...
sahabatmu, abuzahid

Wednesday, April 29, 2009

KELEBIHAN DO'A RABITHAH

Salam wbth,

Do’a rabitah merupakan sebahagian dari risalah Al –Mathurat , iaitu wirid yang dibaca oleh aktivis dakwah pada pagi dan petang, baik sebagai rangkaian wazhifah kubra atau sughra. Biasanya dilakukan secara sendirian atau berjemaah.

Do’a rabitah ini istimewa berbanding dengan doa’-doa’ yang lain. Antaranya:-

PERTAMA: Do’a ini disusun untuk para aktivis dakwah, agar mereka selalu mengingat prinsip-prinsip perjuangan dengan membaca do’a ini.

KEDUA: Doa’ ini bertujuan mengkonsolidasikan dan menyatukan hati pada aktivis dakwah

KETIGA: Dengan do’a rabithah ini kita memahami bahawa gerakan dakwah adalah jamaah, bukan jam’iyyah, dan syirkah.

Jamaah adalah wadah yang mengumpulkan hati-hati dan fizikal anggota dalam waktu yang sama, bahkan pertemuan hati perlu lebih intensif dan tidak boleh terputus dibandingkan denganpertemuan secara fizikal dalam pertemuan tanzim maupun yang lain.

Jami’yyah ertinya organisasi massa, yayasan, NGO, partai politik dan sebagainya. Pertemuan ini umumnya lebih mementingkan pertemuan secara fizikal yang bersifat struktur dan formal, yang kurang memerhatikan pertemuan hati dan batin. Oleh itu, biasannya boleh terjadi konflik dan pergeseran di sesama anggota organisasi itu.
Sementara syirkah pula merujuk kepada usaha perniagaan atau bisnes.

KEEMPAT: Dengan do’a rabitah ini kita memahami bahawa dakwah telah menyatukan para aktivis dari pelbagai generasi semenjak ada kegiatan dakwah di mukabumi ini sehinggalah ke hari kiamat.

Ringkasnya:

Para da’I ilallah dituntut untuk menyatukan soff, beramal dan paling tidak saling mendo’akan agar istiqomah pada jalan Allah serta mendapat taufiq dan rahmat dari Allah SWT demi kejayaan Islam.

Rujukan:
Syarah do’a rabithah, karangan Muhammad Lili Nur Aulia

Thursday, April 23, 2009

Jumlah banyak , tapi aktiviti sedikit

Salam,
sahabat dan sohibah yang dikasihi sekalian,

Dalam kesempatan kali ini izinkan saya mengulas satu penulisan yang ditulis oleh Dr Najih Ibrahim daripada kitab beliau yang berjudul risalatun ila kulli man ya'malu lil islam. Di dalam kitab ini beliau menyentuh satu bab yang amat penting untuk mereka yang berada dalam arena dakwah dan tarbiah.
Menurut beliau, jumlah mereka yang berada jemaah Islam hari ini boleh dikatakan ramai. Biasa ada dalam satu-satu kawasan hampir ratusan ahli. Walupun jumlah ahli ramai, jika dihitung orang yang beramal untuk Islam secara serius , maka jumlah mereka tidak lebih daripada puluhan sahaja. Bahkan, kita dapat menghitung jumlah mereka dengan jari dan hafal nama-nama mereka. Mari pergi yang lainnya?
Adakah mereka sekadar berpuas hati dengan tahap sekarang ini dan tidak ingin berganjak menuju tahap yang lebih tinggi?Adakah memadai menjadi pendengar sahaja, menghadiri halaqah, pertemuan-pertemuan dakwah, seminar , membaca buletin dakwah. Itu sahaj yang dilakukan.
Realiti hari ini tidak mengizinkan kita berkelakuan demikian. Potensi kita perlu digunakan banyak di medan amal islami, dengan melakukan amar makruf, nahi munkar dan jihad fi sabilillah. Janganlah kita menjadi manusia yang hanya memberikan waktu sisa untuk Islam. Walhal kita tahu bahawa allah SWT hanya menerima yang baik-baik. Allah SWT tidak menerima benda yang tersisa yang kita sedekahkan. Allah SWT juga tidak menerima perbuatan buruk dan tidka berkualiti yang kita pilih untuk diberikan kepada Islam.
Firman Allah SWT dalam surah Al Baqarah ayat 267:
'Dan janganlah kamu memilih yang buruk lalu kamu infakkan darinya'
Sahabat sohibah sekalian,
Islam meminta sebahagian besar waktu, harta, dan usia emasa remaja kita. Itulah yang dinginkan oleh Islam. Islam meminta waktu kita cergas dan bukan masa malas. Islam meminta waktu muda, kuat kita dan bukannya waktu tua. Ringkasnya, Islam meminta sesuatu yang paling baik, mulia dan agung dari kita.
Renungilah serah Abu Bakar ra dan Ustman ra. Abu Bakr ra bersedekah seluruh hartanya pada jalan Allah dan dakwah Islam. Bila ditanya: Wahai Abu Bakar, apa yang engkau tinggal untuk keluargamu? Abu Bakar menajwab: Yang aku tinggalkan kepada mereka ialah Allah dan Rasul.
Begitu pula halnya dengan Uthman ra. Beliau telah mendanai pasukan tentera Islam ke medan Tabuk. Jumlah tentera yang didanai ialah hampir 10 ribu orang. Lengkap dengan senjata, bekalan dan kenderaan.
Sila bandingkan dengan realiti kini. Umat Islam hari ini kaya dan berada termasuklah para aktivis Islam, malangnya perjuangan Islam miskin. Sehinggakan tidak ramai ikhwah aktivis yang bersedia menanggung beban finansial dakwah.
Sahabat sahibah sekalian,
Menyedari perkara ini, marilah kita kembali kepada hakikat asas yang sebenarnya. kita telah menjual nyawa kita kepada Allah SWT.
Firman Allah:
`Sesungguhnya Allah SWT telah membeli dar iorang-orang Mukmin, diri , dan harta mereka dengan balasan syurga'.
At Taubah: 111
w/a

Sehingga bertemu lagi di lain lembaran.

DAKWAH MELALUI TIKTOK DAN KESANNYA KEPADA REMAJA MUSLIM DI MALAYSIA

  DAKWAH MELALUI TIKTOK DAN KESANNYA KEPADA REMAJA MUSLIM DI MALAYSIA   Mohd Amirul Hafiz Ahmad, Solehuddin Shuib, Khairulazhar Samsudin...