Monday, October 31, 2011

Hakikat pengorbanan

Perkongsian khutbah Eidil Adha oleh Al Fadil Ust Umar Hj. Saleh beberapa tahun yang lalu.


Semoga bermanfaat.


KHUTBAH 1

الحمد لله القائل

اشهد أن لا اله الا الله وحده لا شريك له. وأشهد أن محمدا عبده ورسوله اللهم صل وسلم على رسولك وحبيبك محمد وعلى أله وأصحابه أجمعين ومن تبعهم باحسان الى يوم الدين.

اما بعد! فيا عباد الله اتقوا الله. أوصيكم ونفسى بتقوى الله واعلموا أن الله مع المتقين .
الله اكبر. الله اكبر. الله اكبر. الله اكبر. الله اكبر. الله اكبر . الله اكبر. الله اكبر. الله اكبر
( yakni 9 x takbir)
و لله الحمد

Sidang hadirin dan hadirat yang dirahmati Allah !

Saya mengajak diri saya dan sidang hadirin dan hadirat sekalian, marilah kita terus pertingkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t dengan terus التزام dan patuh kepada titah perintah Allah serta meninggalkan segala tegahan-Nya. Marilah kita bertaqwa kepada Allah dengan sesungguh-sungguh taqwa, sepertimana firman-Nya:

Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah sebenar-benar takwa kepada-Nya; dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam.

Marilah juga kita terus memuji dan bersyukur kehadrat Allah s.w.t kerana kita masih diberi kesempatan oleh Allah s.w.t untuk kita terus hidup dan bersama-sama mera’ikan hari yang penuh barakah dan bahagia ini, iaitu hari Idul Adha atau hari di mana umat Islam yang menunaikan haji berkumpul di mina untuk melontar di jamrah.

Hadirin dan hadirat yang berbahagia,

Dalam kesempatan ini, kita diingatkan dengan peristiwa pengorbanan Nabi Allah Ibrahim AS dan anaknya Nabi Allah Ismail AS demi mentaati perintah Allah SWT. Nabi Ibrahim telah menerima perintah Allah untuk menyembelih anaknya, Ismail, di dalam mimpinya. Dalam suasana taat kepada Allah Subhanahuwataala Nabi Ibrahim rela menyembelih anaknya dan anaknya, Ismail, pun rela untuk disembelih. Kesetiaan mereka, kepatuhan mereka dan pengorbanan mereka telah diabadikan oleh Allah di dalam Al-Qur'an Al-Karim dalam Surah As-Shaffat, ayat 102:

Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: "Hai anakku, sesungguhnya Aku melihat dalam mimpi bahwa Aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!", Ia menjawab: "Hai bapakku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar".

Kesabaran, kepatuhan dan pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya, Ismail, menghadapi ujian yang berat telah dipuji oleh Allah swt dan telah menjadi contoh tauladan kepada umat Islam. Allah swt yang Maha Pengasih telah menggantikan Ismail dengan seekor kambing atau kibas. Firman Allah swt dalam surah Ash shaffat: 102 hingga 106:

Sesungguhnya Ini benar-benar suatu ujian yang nyata. Dan kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar. Kami abadikan untuk Ibrahim itu (pujian yang baik) di kalangan orang-orang yang datang kemudian. (Iaitu) "Kesejahteraan dilimpahkan atas Ibrahim".

Umat Islam disunatkan menyembelihkan haiwan korban pada hari raya haji atau idul adha. Hendaklah korban itu terdiri daripada haiwan ternakan yang dipilih dengan baik. Namun segala pengorbanan hendaklah berdasarkan taqwa kepada Allah swt. Allah hanya menerima pengorbanan dan amalan yang diasaskan di atas asas taqwa kepada-Nya: Firman Allah swt dalam surah Al-Hajj ayat 37:

Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keridhaan) Allah, tetapi ketakwaan dari kamulah yang dapat mencapainya.


Hadirin dan hadirat sekelian,

Berhubung dengan hukum menyembelih haiwan korban ini, Dr. Ali Abdul Halim Mahmud, dalam kitabnya mengenai at-Tadhiyyah adalah memberikan beberapa nohtah:
1. Berkorban, yakni menyembelih haiwan korban, adalah suatu yang disyari’atkan oleh ajaran Islam.
2. Menyembelih haiwan korban hukumnya adalah sunnah, namun amalan ini paling disukai oleh Allah SWT dilakukan pada hari Nahar, yakni pada hari umat Islam yang menunaikan fardhu haji melaksanakan kewajipan melontar jamratul ‘aqabah di Mina.
3. Binatang korban akan datang pada hari Kiamat dengan keadaan sebagaimana ketika disembelih. Justeru itu umat Islam disarankan agar memilih haiwan ternakan yang terbaik untuk dikorbankan. Manakalan menyebelihnya pula perlu disembelih dengan cara yang paling ihsan.
4. Darah haiwan sembelihan yang jatuh, diterima olah Allah swt dahulu, sebelum ianya jatuh ke muka bumi.

Hadirin dan hadirat sekelian,

Daripada peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail seperti yang dinyatakan, telah memberikan kepada kita beberapa nilai, pengiktibaran dan pengajaran-pengajaran tentang pengorbanan.

Bahawa, termasuk bahagian daripada sunnah para anbiya’, seseorang muslim dikehendaki mengorbankan sebahagian daripada harta bendanya di jalan Allah SWT. Maksud jalan Allah adalah sangat luas. Ia mencakup segala jenis kebaikan, antaranya: memberikan makan kepada kaum fakir miskin, berdakwah di jalan Allah dan berjihad menentang musuh-musuh Allah.

Para ulama’ telah mencadangkan agar bahawa daging korban diagih-agihkan sebagai sadaqah, sebagai hadiah dan digunakan sendiri oleh tuannya. Ini bermakna Islam sangat mengambil berat tentang hubungan siratulrahim atau keharmonian hubungan sosial semasa manusia. Jika daging itu sampai kepada golongan fakir atau golongan miskin maka ia akan membantu untuk mencukupi keperluan hidup mereka. Jika daging itu sampai kepada golongan yang berada maka ia merupakan satu hadiah yang akan mengukuhkan hubungan kasih sayang dan ukhuwah Islamiyah. Bahkan, betapa Islam mementingkan hubungan harmoni sesama manusia, daging korban itu boleh juga diberikan kepada golongan bukan Islam, sebagaimana yang diputuskan oleh para ahli fiqh. Ini kerana golongan bukan Islam juga merupakan sasaran dakwah Islamiyah.

Hadirin dan hadirat sekelian,

Sesungguhnya di dalam Islam, erti pengorbanan mempunyai dimemsi yang luas. Pengorbanan itu dituntut dalam pelbagai aspek kehidupan orang-orang yang beriman kepada Allah. Tidak akan tertegak amal Islami untuk mengembalikan semula Islam yang telah dihina kepada kedudukannya yang tinggi dan mulia tanpa berkorban. Tidak akan tertegak dakwah Isalmiyah untuk menyeru seluruh manusia supaya kepada din Allah SWT tanpa berkorban. Tidak akan tertegak jihad untuk menentang serangan musuh-musuh Allah seperti serangan dari golongan yahudi, golongan nasrani, gerakan misionary dan serangan orang-orang munafiq tanpa berkorban.

Selain daripada mengorbankan harta benda dan wang ringgit, Islam juga menuntut orang-orang beriman berkorban dalam beberapa aspek yang lain, iaitu:

1. Mengorbankan diri di jalan Allah.

Sesungguhnya Allah SWT menghendaki orang beriman mencagarkan dirinya, di samping hartanya, untuk mendapatkan habuan syurga Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah At-Taubah, ayat 111.

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekelian,

Natijah terakhir bagi mereka yang mengorbankan dirinya di jalan Allah ialah samada mendapat syahid di jalan Allah atau mati di jalan Allah. Sesungguhnya kita semua pasti akan mati, maka kita perlulah merancang kematian kita akan mendapat kematian yang terbaik.

Hadirin dan hadirat sekelian,

Di sini saya ingin menjelaskan perbezaan di antara syahid di jalan Allah dan mati jalan Allah berdasarkan firman Allah SWT dalam surah Ali Imran, ayat 157 dan 158:

Dan sungguh jika kamu terbunuh di jalan Allah atau mati, tentulah ampunan Allah dan kasihsayang-Nya lebih baik (bagimu) dari harta yang mereka kumpulkan. Dan sungguh jika kamu mati atau terbunuh, tentulah kepada Allah-lah kamu dikumpulkan.

Menurut Dr. Ali Abdul Halim Mahmud, terbunuh atau syahid di jalan Allah bermakna terbunuh di tangan musuh Allah di medan jihad di jalan-Nya.

Manakala, mati di jalan Allah bermakna seorang muslim itu mati ketika sedang melakukan amal Islami yang diredhai Allah, seperti berdakwah di jalanNya dan melakukan pelbagai kerja-kerja Islam bertujuan untuk memperkuat atau mengukuhkan Islam.

Samada seseorang itu syahid di jalan Allah atau mati di jalan Allah, maka kedua-dua jenis kematian itu adalah kematian yang mulia. Kedua-keduannya akan mendapat kasih sayang Allah dan keampunan Allah daripada segala dosanya. Justeru itu, hadirin dan hadirat sekelian, hendaklah setiap detik dalam kehidupan kita, sentiasa berada di jalan Allah, di atas jalan dakwahNya. Jangan sekali-kali kita terkeluar daripada jalan dakwahNya kerana kita tidak tahu bilakah kematian itu akan tiba. Inilah yang saya maksudkan dengan kita merancang kematian yang terbaik di sisi Allah SWT.

2. Jenis pengorbanan yang berikutnya ialah mengorbankan waktu dan kesungguhan.

Rasulullah SAW adalah menasihatkan kita, dalam hadithnya (riwayat Al-Hakim), bahawa:



“Manfaatkanlah 5 keadaan sebelum datang 5 (keadaan) yang lain (yakni):
Hidupmu sebelum matimu
Sihatmu sebelum sakitmu
Waktu lapangmu sebelum sebokmu
Mudamu sebelum tuamu
Kayamu sebelum miskinmu”

Hasan Al-Banna pula ada menyatakan, “waktu adalah kehidupan”. Ini bermakna apabila seseorang itu mengsia-sia waktu, bermakna beliau mengsia-siakan kehidupannya. Justeru itu saya menyeru kepada hadirin dan hadirat sekelian, marilah sama-sama kita menguruskan waktu kita di jalan Allah dengan baik seperti untuk mendekatkan diri dengan Allah, berdakwah kepada masyarakat, mendidik anak-anak, menunaikan hak-hak ahli keluarga, menjayakan projek-projek Islam, mencari nafkah hidup dan sebagainya. Kita peruntukan waktu kepada tiap-tiap yang berhak itu akan haknya dengan adil dan bijaksana. Pendek kata seluruh waktu kita dipergunakan untuk perkara-perkara yang bermanfaat untuk Islam dan untuk dakwah Islamiyah.

Janganlah hendaknya kita hanya leka dengan keseronokan dunia dan menggunakan waktu untuk kepentingan peribadi dan keluarga sahaja, dan kita abaikan tugas dakwah kepada masyarakat dan kita membiarkan masyarakat dirosakkan oleh musuh-musuh Islam. Marilah kita sama-sama beringat-ingat akan pesanan Rasulullah SAW (daripada riwayat At-Termizi, yang bermaksud), antara lain:

“Barangsiapa yang menjadikan akhirat sebagai tujuannya, maka Allah akan menjadikan kekayaan di dalam hatinya, mengumpulkan segala urusannya, dan dunia datang kepadanya dengan merendahkan diri. Sedangkan sesiapa saja yang menjadikan dunia sebagai tujuannya maka Allah pasti akan menjadikan kefakiran bertahta di antara kedua matanya, mencerai-beraikan urusannya dan dunia tidak akan datang kecuali yang ditetapkan untuknya sahaja.”

Hadirin dan hadirat sekelian,

Marilah sama-sama kita berkorban sepanjang hayat. Berkorban dalam erti kata yang luas, meliputi pengorbanan harta benda, tenaga, diri sendiri, waktu dan kesungguhan untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT. Juga pengorbanan dalam pelbagai bidang dakwah dan jihad seperti berdakwah kepada masyarakat, mendidik anak dan ahli keluarga, membangunkan pelbagai institusi Islam dan sebagainya.


بارك الله لى ولكم بالقران العظيم ونفعنى واياكم بما فيه من الايات والذكر الحكيم وتقبل منى ومنكم تلاوته انه هو السميع العليم .

أقول قولى هذا وأستغفر الله لى ولكم ولسائر المسلمين والمسلمات فاستغفروا الله العظيم من كل ذنب انه هو الغفور الرحيم .

Tuesday, October 25, 2011

Islam yang syumul- siri 2

Dalam siri satu yang yang lalu, dapatlah kita fahami bahawa

a. Islam adalah agama Allah yang kekal, bersifat umum dan menyeluruh
kerana Islam diturunkan untuk semua manusia.
b.Daulah dalam Islam adalah daulah fikrah, bukan qaumiah,
bukan jenis dan bukan iklim.
c. Syarat menjadi pemimpin perlu ada kemampuan dan amanah
d. Individu dan pemerintah dalam daulah Islam masing-masing ada peranan yang perlu dimainkan.

Dalam siri kali ini pula akan dihuraikan takrifan watan dan ummah pula.

Islam adalah watan:
Islam adalah watan, sebagaimana yang diterangkan oleh IHAB
adalah bermaksud bahawa Islam telah menerangkan pengertian watan, dan
watan bagi seorang muslim ialah semua negara Islam (Darul Islam). Yang
dimaksudkan dengan negara Islam pula ialah: seluruh iklim yang dialami oleh
orang Islam, kekuasaan dalam iklim tersebut adalah di tangan orang Islam dan
mereka melaksanakan hukum-hukum Islam dalam iklim itu. Tiap-tiap individu
muslim adalah berkewajipan mempertahankan dan menghalang musuh dari
merampas Darul Islam. Kewajipan ini adalah merupakan hak sebuah Darul
Islam terhadap seoang Muslim.


Islam adalah ummat:
Ummat yang dimaksudkan oleh IHAB di sini ialah suatu jamaah
manusia yang disatukan oleh suatu ikatan. Ikatan ini menjadikan mereka suatu
jamaah yang berbeza dari jamaah-jamaah lain, bersatu dan bertaut antara sesama
mereka dan ingin hidup bersama dengan penuh harmoni.
Islam membangunkan ummat ini di atas asas aqidah Islamiah. Aqidah
adalah ikatan yang paling kuat dan abadi. Setelah manusia terjalin dalam ikatan
aqidah Islamiah, perbezaan jenis, bahasa atau iklim tidak lagi menjadi suatu hal
yang penting. Dengan aqidah Islamiah sahaja sudah cukup untuk membentuk
suatu ummat. Sesuatu yang lain dari aqidah Islamiah tidak akan mampu untuk
membina suatu ummat. Dalam Al-Quran Allah berfirman:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ

“Sesungguhnya orang-orang Mukmin itu bersaudara.” (S 49:10).

FirmanNya lagi:

إِنَّ هَذِهِ أُمَّتُكُمْ أُمَّةً وَاحِدَةً وَأَنَا رَبُّكُمْ فَاعْبُدُونِ
“Sesungguhnya inilah ummat kamu, ummat yang satu, dan Aku Tuhan kamu, maka sembahlah Aku. “
(S 21:92)

Semoga bermanfaat.

w/a

Sunday, October 23, 2011

Islam yang syumul- siri 1

Assalamu'alaikum wbth,

Saya memohon berbanyak maaf kerana hampir 2 bulan tidak aktif menulis di dalam blog ini. Ini kerana ada tugasan lain yang tidak dapat dielakkan. Doakan agar saya dapat terus istiqomah menulis dan berkongsi bahan dengan ada semua.

Tema pemulisan saya kali ini ialah ingin berkongsi bahan berkaitan huraian Islam yang syumul. Umat Islam hari ini mempunyai takrifan yang berbeza-beza terhadap hakikat Islam. Justeru itu, saya ingin memetik huraian Islam yang syumul ini yang dipetik daripada syarah usul isyrin al Iraqi, susunan Dr Abd Karim Zaidan yang ditulis puluhan tahun yang lalu. Ulasan beliau ringkas dan padat. Mudah difahami oleh semua lapisan, insha Allah.

Menurut IHAB:
اَلإِسْلاَمُ نِظَاْمٌ شَاْمِلٌ يَتَنَاْوَلُ مَظَاْهِرَ اْلحَيَاْةِ جَمِيْعًا فَهُوَ دَوْلَةٌ وَوَطَنٌ أَوْ حُكُوْمَةٌ وَأُمَّةٌ، وَهُوَ خُلُقٌ وَقُوَّةٌ أَوْ رَحْمَةٌ وَعَدَاْلَةٌ، وَهُوَ ثَقَاْفَةٌ وَقَاْنُوْنٌ أَوْ عِلْمٌ وَقَضَاْءٌ، وَهُوَ مَاْدَةٌ وَثَرْوَةٌ أَوْ كَسْبٌ وَغِنَى، وَهُوَ جِهَاْدٌ وَدَعْوَةٌ أَوْ جَيْشٌ وَفِكْرَةٌ، كَمَاْ هُوَ عَقِيْدَةٌ صَاْدِقَةٌ وَعِبَاْدَةٌ صَحِيْحَةٌ سَوَاْءً بِسَوْاءٍ.

Islam adalah menyeluruh, mencakup semua bidang hidup; Islam adalah
negara dan watan atau pemerintah dan ummat. Akhlak dan kekuatan atau
rahmat dan keadilan. Pengetahuan dan undang-undang atau ilmu dan
kehakiman. Kebendaan dan harta atau usaha dan kekayaan. Jihad dan dakwah
atau tentera dan fikrah. Akidah yang benar dan ibadat yang sah.

Dr Abd Karim Zaidan menghuraikan setiap satu istilah-istilah yang dikemukakan oleh IHAB.
Huraian Islam adalah menyeluruh:-

Islam adalah agama Allah yang kekal, bersifat umum dan menyeluruh
kerana Islam diturunkan untuk semua manusia, ini jelas dibuktikan oleh firman
Allah:
وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا آَافَّةً لِّلنَّاسِ بَشِيرًا وَنَذِيرًا وَلَكِنَّ أَآْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ
(28)
“Dan kami tidak mengutuskan kamu melainkan kepada ummat manusia seluruhnya
sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi ingat”. (S 34: 28)

Menyeluruh kerana Islam menghukum seluruh urusan hidup manusia,
menghukum segala sesuatu yang dilakukan oleh manusia dan perkara yang
bersangkut dengan apa yang mereka lakukan. Ini dibuktikan oleh firman Allah:
( مَّا فَرَّطْنَا فِي الكِتَابِ مِن شَيْءٍ ( 38
“Tiadalah kami alpakan sesuatu pun di dalam Al-Kitab” (S 6:38)
dan firman Allah:
( وَنَزَّلْنَا عَلَيْكَ الْكِتَابَ تِبْيَانًا لِّكُلِّ شَيْءٍ ( 89
“Untuk menjelaskan segala sesuatu”(S 16:89)


Huraian Islam itu adalah negara

Islam adalah negara, sebagaimana yang diterangkan oleh IHAB adalah
bermaksud bahawa Islam telah menyentuh hukum-hukum yang menitik
beratkan persoalan negara. Islam bukanlah terbatas dalam lingkungan
hubungan manusia dengan Allah, malah Islam juga menyusun hubungan antara
sesama manusia, hubungan individu dengan jamaah, hubungan jamaah dengan
jamaah yang lain. Jamaah ini pula memilih suatu sistem siasah yang didokong
oleh negara, manakala negara pula mempunyai seorang ketua yang dikenal:
dalam istilah fiqah sebagai imam atau khalifah. Islam telah menerangkan asas
bagi sebuah negara, cara memilih khalifah, menerangkan hak individu terhadap
negara, demikian juga hak negara terhadap individu. Dalam zaman moden ini
kajian dan perbincangan yang lengkap dalam persoalan negara dan
hubungannya dengan individu adalah dibincangkan dalam undang-undang
perlembagaan dan undang-undang perlembagaan adalah merupakan salah satu
dari cabang undang-undang.

Negara (daulah) menurut pandangan Islam adalah negara fikrah, fikrah
Islamiah. Oleh itu daulah dalam Islam adalah daulah fikrah, bukan qaumiah,
bukan jenis dan bukan iklim.

Ketua negara dipilih melalui orang-orang Islam sesuai dengan syaratsyarat
tertentu. Syarat-syarat ini tersimpul dalam dua sifat: kemampuan dan
amanah. Tujuan dan perlantikan ketua negara ialah untuk melaksanakan syariat
dan membimbing manusia untuk melakukannya.

Kedudukan dan peranan individu dalam negara Islam amatlah menonjol
dan berfungsi, tidak dipendap dan diabaikan. Individu adalah
bertanggungjawab terhadap perjalanan negara agar tidak menyeleweng dan
bertanggungjawab terhadap ketua negara agar beliau menunaikan
kewajipannya. Atas dasar ini, individu adalah berhak mengawasi, memberi
nasihat, memberi petunjuk dan mengkritik. Manakala pihak negara pula adalah
bertanggungjawab terhadap individu, bertanggungjawab dalam memberikan
jaminan hidup yang mulia kepada individu.


Semoga bermanfaat.

w/a

Wednesday, August 31, 2011

Ke mana kita selepas Ramadan?

Assalamu'alaikum wbth,

Tahniah kepada shbt yang sudah berjaya melalui madrasah Ramadan dengan jayanya. Eid Mubarak.


Taqabbalallahu minna wa minkum, siyamana wa siyamakum

Selamat menghabiskan puasa sunat 6 shawwal, insha Allah.

Diriyawatkan drpd Abu Ayyub Al Ansari ra, bahwasanya Nabi SAW bersabda:
`Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringi dengan enam hari bulan Shawal, maka seolah-olah ia telah berpuasa sepanjang masa(setahun)'

Menurut huraian daripada kitab Fiqh Sunnah karangan Sayyid Sabiq, pahala setahun itu diperolehi daripada formula berikut:

Setiap kebaikan akan diberikan ganjaran 10x lipat.
~ Jika 1 bulan, ianya akan menjadi 10 bulan.
~ Jika 6 hari puasa sunnat = 60 hari = 2 bulan.

Oleh itu, 10 BULAN + 2 BULAN = 12 BULAN = 1 tahun.

Sebagai penutupnya,

Mari teruskan diri kita dgn ‘amal dlm Ramadan agar berterusan

Sunday, August 28, 2011

Eid Mubarak!

Salam,

Sahabat-sahabat sekalian,

1. Selamat menyongsong fajar satu Syawal. Semoga kita benar-benar meraih darjat taqwa. Taqabbalallahu minna wa minkum, siyamana wa siyamakum

2. Anjuran menghidupkan malam hari raya.

Diriwayatkan daripada Abu Umamah ra. Daripada Ar Rasul SAW sabdanya:

Barangsiapa bangun beribadah pada malam dua hari raya dengan mengharapkan redha Allah, maka hatinya tidak akan mati pada hati matinya hati.
HR At Tobrani
3. Ulangkaji adab dan amalan pada hari raya

a. Mandi, memakai wangian dan pakaian cantik
b. Makan sebelum keluar solat
c. Pergi solat hari raya
d. Mengambil jalan pergi dan pulang yang berbeza daripada masjid
e. Berhibur syar’i dan menjamu selera
f. Sunat ucap tahniah dan Taqabbalallahu minna wa minkum
g. Bertakbir
h. Menghidupkan malam hari raya.

Maaf Zahir Batin

Thursday, August 25, 2011

Bagaimana mengelakkan futur selepas Ramadan?

Assalamu'alaikum wbth,

Tahniah kepada shbt yang sedang giat menghidupkan 10 akhir Ramadan, semoga istiqomah. Tema perbincangan pada minggu ini berkisar mengenai post mortem Ramadan, iaitu bagaimana nak mengelakkan berlakunya futur selepas Ramadan.

Dr Sayyid Nuh di dalam kitabnya afatun ‘ala toriq mentakrifkan bahawa Futur bererti berhenti setelah beramal atau diam setelah bergerak. Futur juga bererti malas berkerja dan lemah.
Fenomena inilah yang berlaku kepada kebanyakan kita selepas Ramadan. Setelah giat beramal di dalam Ramadan, berlaku kemerosotan mendadak.

Kenapa berlaku perubahan mendadak dlm ketaatan?

1. Ada kemungkinan kurang ikhlas dlm laksana ibadah dlm bulan puasa.


Ikhlas perlulah dibina dan dikawal supaya ia hadir dalam semua kerja yang kita lakukan.

Firman Allah swt. :

“ Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah Ugama yang benar.“

(Surah al Bayyinah : 5 )

2. Ada kemungkinan kerana kurang tumpuan, menyebabkan hati kurang terkesan.

a.Diri jadi semakin jauh drpd Allah SWT.
b.Ramai yang baca Quran, tetapi tiada tumpuan.


3. Kurang sikap kesederhanaan dalam melakukan amalan.
a. Jadi `overdo’, ini bagi kesan kepada jiwa dari segi ketahanan
b. Jiwa lemah, dan mudah dikuasai oleh syaithan
c. Selepas bertungkus lumus dlm bulan ramadan, jiwa exhausted, jiwa jadi nak relaks.


Bagaimana nak ubati futur jiwa?
1. Didik sentiasa ikhlas dlm ber’amal
a. Lakukan kerana Allah
b. Harap redha Allah semata-mata


2. Perlu sentiasa usaha utk pusatkan tumpuan dlm ber’amal.
-Yang penting ialah konsistensi


3. Sentiasa berada bersama-sama orang soleh


Kesimpulan

Teruskan diri kita dgn ‘amal dlm Ramadan agar berterusan melalui perancangan di dalam unit-unit halaqah anda.
i. Qiyamullail
ii. Baca Quran
iii. Sedekah
iv. Puasa sunat 6 Shawwal

Semuanya ini adalah bekal untuk kita melakukan amar makruf, nahi munkar dan jihad fi sabilillah.

Saturday, August 20, 2011

Pecutan 10 malam terakhir Ramadan

Assalamu'alaikum wbth,

Marilah kita bersyukur kepada Allah kerana kita dipanjangkan umur dan diberi kesempatan lagi oleh-Nya untuk terus berubudiyah kepada Allah khasnya di dalam bulan Ramadan al mubarak yang kini telah masuk dalam bahagian akhir bagi tahun ini.


Sememangnya dalam bulan Ramadan ini Rasul SAW banyak berdo’a di samping ibadah dan kerja-kerja makruf yang dilipatgandakan semata-mata mencari redha Ilahi.

Rasul SAW juga menggalakkan umatnya berdo’a di masa iftar serta menjelaskan yang do’a pada masa itu akan dimakbulkan oleh Allah SWT.

Sabda Rasul SAW:

Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu ketika ia berbuka terdapat do’a yang tidak ditolak.’
HR Ibnu Majah
Allah memberi jaminan bahawa Allah sentiasa depat dengan hamba-hambanya. Firman Allah SWT dalam surah Al Baqarah 186


Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.

Terdapat di dalam sunnah Rasul SAW bahawa Rasul SAW
Melipatgandakan ibadah kepada Allah khususnya di bahagian 10 hari akhir daripada Ramadan. Tumpuan khusus dalam hidupkan malam Ramadan dengan melakukan perkara-perkara berikut:
Solat
Tilawah quran
Dikrullah
Istighfar
Do’a
dan I’tikaf

Baginda Rasul SAW mengejutkan ahli-ahli keluarganya agar sama-sama bangun melaksanakan ihya malam Ramadan.

Sabda Rasul drpd Aishah r.ha:

Adalah Rasul SAW apabila menjelang 10 hari yang akhir daripada bulan Ramadan, maka baginda menghidupkan malam-malam Ramadan dengan mengejutkan ahli keluarganya bangun beribadah kepada Allah. Dan baginda tidak mendekati isteri-isteri baginda di dalam lingkungan masa tersebut.

Saudara dan saudari sekalian,

Bagi kita ummat Nabi Muhammad SAW, sewajarnya kita mencontohi kepada Rasul SAW; kerana di bahagian akhir Ramadan ini terdapat satu malam yang dikenali sebagai malam Qadr, yang kelebihannya melebihi seribu bulan.

" Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Qur'an pada " Lailatul qadr". Tahukah kalian apakah " Lailatul qadr" ?. Itulah malam yang lebih utama daripada seribu bulan" (SURAH. Al Qodr : 1-3)
Keutamaan Lailatul qadr
Ayat yang disebutkan di atas jelas menunjukkan nilai utama bagi malam " Lailatul qadr". Anas bin Malik ra menyebutkan bahawa yang dimaksud dengan keutamaan disitu adalah bahawa amal ibadah seperti solat, tilawah al-Qur'an, dzikir serta amal masyarakat (seperti sadaqah dan zakat), yang dilakukan pada malam itu lebih baik dari seribu bulan berbanding malam-malam yang lain. Dalam riwayat lain Anas bin Malik juga menyampaikan keterangan Rasulullah SAW bahawa `sesungguhnya Allah mengurniakan " Lailatul qadr" untuk umatku, dan tidak memberikannya kepada umat-umat sebelumnya.’

Sementara berkenaan dengan ayat 4 surah al-Qadr, Abdullah bin Abbas ra menyampaikan sabda Rasulullah bahawa pada saat terjadinya Lailatul qadr, para malaikat turun ke bumi menghampiri hamba-hamba Allah yang sedang qiamullail, atau melakukan dzikir, para malaikat mengucapkan salam kepada mereka. Pada malam itu pintu-pintu langit dibuka, dan Allah menerima taubat dari para hambaNya yang bertaubat.

Dalam riwayat Abu Hurairah ra, seperti dinyatakan oleh Bukhori, Muslim dan al Baihaqi, Rasulullah SAW juga pernah menyampaikan , "barang siapa melakukan qiam ( solat malam) pada Lailatul qadr, atas dasar iman serta semata-mata mencari keridhaan Allah, maka Allah akan mengampuni dosa-dosa yang pernah dilakukannya".

Hukum "Mencari" Lailatul qadr.

Umar pernah menyampaikan sabda Rasulullah SAW : " Barangsiapa mencari Lailatul qadr, hendaklah ia mencarinya pada malam kedua puluh tujuh" (HADITH RIWAYAT. Ahmad). Maka para ulama' berkesimpulan bahawa berusaha mencari Lailatul qadr hukumnya mustahabbah (disunatkan) .

Bilakah terjadinya Lailatul qadr?

Lailatul qadr terjadi pada malam-malam ganjil disepuluh hari terakhir bulan Ramadhan. Diriwayatkan oleh Aisyah dari sabda Rasululah SAW: "Carilah Lailatul qadr pada malam-malam ganjil pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan" (HADITH RIWAYAT. Bukhori, Muslim dan Baihaqi)

Tanda-tanda terjadinya Lailatul qadr
Seperti diriwayatkan Oleh Imam Muslim, Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi, bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: " Pada saat terjadinya Lailatul qadr itu, malam terasa jernih, terang, tenang, cuaca sejuk tidak terasa panas tidak juga dingin. Dan pada pagi harinya matahari terbit dengan jernih terang benderang tanpa tertutup sesuatu awan".

Apa yang perlu dilakukan pada Lailatul qadr dan agar dapat mencari Lailatul qadr?

1. Lebih bersungguh-sungguh dalam menjalankan semua bentuk ibadah pada hari-hari Ramadhan, menjauhkan diri dari semua hal yang dapat mengurangi keseriusan beribadah pada hari-hari tersebut. Di samping itu seseorang muslim itu disarankan untuk mengajak ahli keluarganya Hal inilah yang ditunjukkan Rasulullah SAW.

2. Melakukan i'tikaf dengan dengan sekuat tenaga. Itulah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.

3. Melakukan qiamullail secara berjama'ah bersama imam, sehinggalah rakaat terakhir, sebagaimana diriwayatkan oleh Abu Dzar ra.

4. Memperbanyak do'a memohon ampunan dan keselamatan kepada Allah dengan lafaz : "Allahumma innaka 'afuwun tuhibul afwa fa'fu 'anni". Hal inilah yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada Aisyah ra ketika beliau bertanya : ' wahai Rasulullah, bila aku ketahui kedatangan Lailatul qadr, apa yang mesti aku ucapkan"? (HADITH RIWAYAT. Ahmad, Ibnu Majah dan Tirmidzi)
Mencari " Lailatul qadr" bagi Muslimah
Sebagaimana tersirat dari dialog Rasulullah SAW dengan Aisyah, isteri beliau itu, maka mudah disimpulkan bahawa kaum muslimah-pun disyari'atkan dan diperbolehkan mencari Lailatul qadr dengan melakukan semaksima mungkin ibadah pada malamnya.

Demikianlah panduan ringkas ini, mudah-mudahan pada bulan Ramadhan tahun ini Allah memperkenankan kita dengan " Lailatul qadr", malam yang utama dari 1000 bulan, iaitu bersamaan 83 tahun itu.


Saudara-saudari sekalian,


Firman Allah dalam surah Al Baqarah : 197

Carilah bekalan; sebaik-baik bekalan ialah bekalan TAQWA.


Sebagai akhirannya poin yang ingin disentuh ialah berkaitan dengan kejayaan ibadah Ramadan.

Taqwa adalah hasil kejayaan puasa.
Puasa akan memantapkan keimanan kepada Allah SWT sehingga menjelma keimanan itu menjadi ketaqwaan.

Allah dalam firman-Nya yang ertinya:

Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa (SURAH 2:183).

Hasil dari ketaqwaan itu membuah tiga perkara:

Pertama, mencegah diri dari segala perbuatan keji dan dusta. Hadits riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad dinyatakan bahawa Allah SWT tidak menerima puasa seseorang yang tidak meninggalkan perkataan dusta, hadits tersebut ertinya:

Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan yang keji (dusta) dan melakukan kejahatan, Allah tidak akan menerima puasanya, sekalipun ia telah meninggalkan makan dan minum.

Kedua, mempunyai ketahanan rohani yang kuat sehingga dia menjadi orang yang mampu menjaga dan mencegah dirinya dari dosa.

Rasulullah SAW bersabda yang ertinya:
Puasa adalah perisai dari api neraka seperti perisai seseorang di antara kamu dalam perang (HADITH RIWAYAT. Ahmad, Nasa’I, Ibnu Majah, Ibnu Hibban).

Ketiga, selalu terangsang untuk berbuat baik, kerana ibadah Ramadhan akan selalu mendidik seseorang untuk melakukan kebaikan, baik terhadap Allah SWT mahupun terhadap sesama manusia. Akan timbul lima kemampuan dan kelebihan.

1. Rasa dekat kepada Al-Qur’an.Seronok membaca, memahami dan mengamalkannya dalam kehidupan sehari-hari.

2. Rasa dekat hubungan kepada Allah SWT, seorang muslim tidak berani melanggar perintah dan larangan Allah.

3. Rasa pentingnya berdo’a kepada Allah kerana kita menyedari bahawa kita adalah makhluk yang lemah dan amat mengharap pertolongan Allah.

4. Kemampuan membezakan antara yang haq dan yang batil.

5. Menyedari pentingnya kebersamaan dengan sesama muslim, kerana dengan puasa kita dapat membayangkan bahkan dapat merasakan bagaimana penderitaan mereka yang susah dan miskin sehingga kita menyadari kewajipan bersatu dan saling tolong menolong.
Penutup

Profesor Muhammad Qutb di dalam kitabnya Manhaj Tarbiah Islamiah pernah membuat bandingan dan perumpamaan bahawa ibadah khusus dalam islam seperti puasa, zakat haji dan adalah ibarat mahattat(stesyen) bagi orang yang bermuasafir mengambil bekalan(zat) bagi meneruskan perjalanan yang jauh. Tiada perjalanan yang lebih jauh daripada perjalanan utnuk balik ke alam akhirat, yang kita tidak tahu hujungnya. Ingatlah, sebaik-baik bekalan ialan bekalan at-Taqwa. Maknanya kita tidak menjadikan Ramadan sebagai matlamat, ketika bulan ini sahaja rajin beribadah. Di bulan yang lain, kita jadi lemah dan tidak bermaya dalam melakukan ibadah kepada Allah SWT.

Semua kita semua berjaya menjadi insan yang bertaqwa lagi soleh insha Allah.

Firman Allah dalam surah Al A’raf: 96


Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya.

DAKWAH MELALUI TIKTOK DAN KESANNYA KEPADA REMAJA MUSLIM DI MALAYSIA

  DAKWAH MELALUI TIKTOK DAN KESANNYA KEPADA REMAJA MUSLIM DI MALAYSIA   Mohd Amirul Hafiz Ahmad, Solehuddin Shuib, Khairulazhar Samsudin...