HADIS DHO’IF & PALSU: IMPAKNYA KEPADA MASYARAKAT AWAM

 

HADIS DHO’IF & PALSU: IMPAKNYA KEPADA MASYARAKAT AWAM

Solehuddin Shuib, Amir Imran Abu Yamin, Khairulazhar Samsudin, Mohd Amirul Hafiz Ahmad, Dr. Mohd Farhan bin Md Ariffin1

Jabatan Fiqh dan Usul, Akademik Pengajian Islam, Universiti Malaya, 50603 Kuala Lumpur, Malaysia

Pusat Kajian Al-Quran & Al-Sunnah, Universiti Kebangsaan, 50603 Kuala Lumpur, Malaysia

1Emel: farhan@umcced.edu.my, farhan.ariffin@ukm.edu.my

ABSTRAK

Hadith merupakan sumber perundangan hukum Islam kedua selepas al-Quran, maka ia perlu dipelihara dengan sebaiknya agar terhindar dari hadith yang dho’if dan palsu.  Hari ini penggunaan salah satu hadith yang ditolak iaitu hadith dho’if dan palsu dalam kalangan masyarakat Islam agak berleluasa tanpa diketahui sumber asalnya hadith tersebut.  Justeru itu kajian ini membincangkan pengenalan awal definisi hadith dho’if dan hadith palsu, Menyelusuri sejarah dan mendalami pengkelasan hadith dho’if dan hadith palsu, dan Impak hadith dho’if dan hadith palsu serta mengemukakan solusinya. Kesimpulannya, hadith mawdhu’ (palsu) adalah merupakan peringkat hadith dho’if yang paling buruk sebagaimana yang telah kami jelaskan di atas. Tambahan pula, hukum meriwayatkan hadith palsu adalah haram melainkan bagi menyatakan akan kepalsuannya dan akibatnya akan dicampakkan ke dalam neraka di akhirat kelak.

 

Kata kunci: Hadis; Dho’if; Palsu

 

 

 

PENGENALAN

Selepas kewafatan baginda Nabi Muhammad S.A.W., para sahabat mengambil berat terhadap hadith-hadith dan sunnah-sunnah dari baginda sama ada ia berbentuk perkataan atau percakapan (qawliy), perbuatan (fi’liy), perakuan Nabi Muhammad S.A.W. terhadap kata-kata atau perbuatan para sahabat (taqririy), sifat fizikal dan akhlak. Mereka bersungguh-sungguh dalam memahami, memelihara, mengamal, mengumpul dan menyampaikan dari satu generasi ke generasi sahabat yang lain secara teliti, terperinci dan cermat agar hadith itu bersifat sahih dan terpelihara dari penyelewengan. Maka dengan itu, wujudnya ilmu yang berkait rapat secara langsung dengannya disebut Ulum al-Hadith. Memandangkan tingkat hadith merupakan sumber perundangan hukum Islam kedua selepas al-Quran, maka ia perlu dipelihara dengan sebaiknya agar terhindar dari hadith yang dho’if dan palsu. Ini juga adalah kerana kepatuhan kepada Nabi Muhammad S.A.W itu adalah kepatuhan kepada Allah S.W.T. sebagaimana firman-Nya di dalam surah al-Nisa’, ayat 80

مَنْ يُطِعِ الرَّسُولَ فَقَدْ أَطَاعَ اللَّهَ ۖ 

 Ertinya:

“Sesiapa mematuhi Rasul maka dia telah mematuhi Allah.”

Pembahagian hadith ada yang diterima atau ditolak. Hari ini penggunaan salah satu hadith yang ditolak iaitu hadith dho’if dan palsu dalam kalangan masyarakat Islam agak berleluasa tanpa diketahui sumber asalnya hadith tersebut. Ia perlu kepada pengawalan, pemantauan dan diatasi secara tuntas agar tidak berlaku sebarang penyelewengan fakta khususnya dalam menyandarkan ianya kepada baginda Nabi Muhammad S.A.W. Masyarakat Islam perlu didedahkan dengan ilmu hadith agar boleh mengetahui dan menilai status hadith yang boleh dan tidak boleh digunakan, diamal serta disebarkan. 

OBJEKTIF KAJIAN

 Kertas kerja ini memfokuskan kepada tiga(3) objektif utama iaitu:-

(1) Memahami pengenalan awal definisi hadith dho’if dan hadith palsu.

(2) Menyelusuri sejarah dan mendalami pengkelasan hadith dho’if dan hadith palsu

(3) Impak hadith dho’if dan hadith palsu serta mengemukakan solusinya.

DEFINISI HADITH DHO’IF DAN HADITH PALSU

         Secara umum hadith terbahagi kepada 2 iaitu hadith yang diterima (maqbul) dan hadith yang ditolak (mardud). Fokus kertas ini adalah tertumpu kepada hadith mardud berdasarkan 2 pembahagian lagi iaitu hadith dho’if dan hadith mawdu’. Secara umum hadith dho’if ini adalah hadith yang lemah kerana di dalamnya terdapat pelbagai unsur keraguan. Menurut pandangan Ibn Hajar dan Ibn Salah, hadith dho’if adalah hadith yang sifat-sifat penerimaan atau syarat-syaratnya tidak memenuhi kriteria mencukupi sepertimana yang ada pada hadith sahih dan/atau pun hadith hasan. Ini bermakna periwayatnya tidak diketahui ataupun sifat periwayat tidak seperti periwayat hadis sahih dan hasan, sanadnya tidak bersambung dan kedapatan sanad yang cacat dari aspek belum akil baligh, tidak dikenali orangnya, pelupa, fasik, pendusta, bukan beragama Islam dan sering melakukan dosa. Hadith Dh’oif mempunyai beberapa tingkatan atau peringkat tertentu bermula dengan[1]:-

(1) Hadith dho’if berat iaitu hadith palsu atau disebut juga hadith mawdu’. Ia mempunyai ciri antaranya ia adalah hadith yang dicipta, direka dan diada-adakan semata-mata serta disandarkan kepada Nabi Muhammad S.A.W. sedangkan hakikatnya ia bukanlah hadith. Sifat dan peribadi perawi adalah fasiq, ahli yang bid’ah mukaffirah iaitu membawa kepada kekufuran dan jalur atau rantaian perawinya adalah pendusta. Ini adalah salah satu daripada jenis hadith dho’if di mana tingkatannya adalah yang paling terkebawah, paling buruk dan teruk seperti pandangan yang dikemukakan oleh al-Khattabi dan Ibn al-Salah berbanding hadith dho’if yang lain. Namun dinamakan hadith sebagai suatu tempelak dan sindiran terhadap penciptanya. Ulama’ sepakat periwayatan hadith palsu adalah haram.

(2) Hadith dho’if ringan merujuk kepada hadith di mana perawinya bersifat lemah (dh’oif) yang berkemungkinan ringan dan perawi yang meriwayatkan hadith pula tidak dikenali (majhul).

(3) Hadith mudha’af iaitu hadith yang mempunyai kedudukan agak tinggi berbanding yang lain dalam kategori hadith dho’if. Statusnya menjadi perselisihan di kalangan ulama’ sama ada kategori dho’if atau hasan. Hadis dho’if masih dibolehkan tanpa meyakini ianya dari Nabi Muhammad S.A.W. melainkan terdapat sokongan daripada hadis lain yang lebih kuat kualitinya.

 

SEJARAH HADIS DHO’IF (LEMAH) HADIS MAWDU (PALSU)[2]

Dari sudut bahasa, hadis bermaksud ucapan, pembicaraan, atau cerita. Menurut para pakar hadis, hadis berarti segala ucapan, perbuatan, dan keadaan Nabi Muhammad SAW atau segala berita yang bersumberkan dari Nabi Muhammad SAW berupa ucapan, perbuatan, takrir (peneguhan kebenaran dengan alasan), serta sifat-sifat Nabi Muhammad SAW. Segala perkataan, perbuatan, dan takrir Nabi Muhammad SAW yang bersangkut paut dengan hukum, demikianlah para ahli usul fikh mendefinisikan sebagai hadis. Dari segi sanad (jalan yang menyampaikan kita kepada matan hadis atau rentetan para rawi yang menyampaikan matan hadis), hadis dikategorikan kepada tiga bahagian, iaitu hadis sahih, hasan, dan dho’if.  Yang dimaksud dengan hadis lemah adalah hadis dho’if.  Selain dari tiga bahagian tersebut terdapat pula hadis palsu, yakni dikenal dengan hadis maudu. Hadis maudu adalah sesuatu yang dinisbahkan kepada Nabi Muhammad SAW, tetapi sesungguhnya itu bukanlah perkataan, perbuatan, atau takrir Nabi Muhammad SAW.  Mengenai titik permulaan munculnya hadis palsu, terdapat beberapa pendapat di kalangan para ahli hadis. Ada yang berpendapat bahwa hadis palsu yang terdapat pada masa lalu sudah muncul sejak zaman Rasulullah SAW. Salah seorang ahli hadis yang berpendapat seperti itu adalah Ahmad Amin dalam Fajrul Islam. Namun, mejoriti ahli hadis berpendapat bahawa hadis palsu muncul pada era kepemimpinan zaman Khalifah Ali bin Abi Thalib. Selain dari itu terdapat para hadis seperti Dr Mustafa Siba’i, Dr Umar Fallatah, dan Dr Abdul Shomad meyakini bahwa pemalsuan hadits bermula dari terjadinya fitnah pembunuhan Kalifah Usman, fitnah terhadap Ali dan Muawiyah, yang berlaku sekitar tahun 35 hingga 60 Hijriah. Timbulnya persoalan tersebarnya hadis-hadis palsu adalah satu perkara yang amat membimbangkan dan perlu sama-sama ditangani oleh kita semua terutamanya golongan yang diberikan ilmu agama. Jika kita membaca buku-buku hadis, kita akan bertemu dengan beberapa amaran daripada Rasulullah SAW tentang dosa mencipta hadis palsu dan bahaya menyebarkan kata-kata yang bukan daripada diri Baginda SAW. Ini  adalah merupakan satu tanda jelas bahawa pemalsuan hadis akan berlaku selepas Baginda SAW wafat. Di antara hadis yang jelas menyebutkan bahawa akan berlaku penipuan terhadap hadis-hadis Baginda SAW ialah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim di dalam Sahih Muslim[3]:

Maksudnya:

Akan ada pada akhir zaman umatku sekumpulan manusia bersifat seperti dajjal dan pembohong yang memberitahu kamu tentang hadis yang kamu tidak pernah mendengarnya dan juga tidak pernah didengari oleh bapa-bapa kamu. Janganlah mereka mendekati kamu dan janganlah kamu mendekati mereka. Janganlah mereka menyesatkan kamu dan menjatuhkan kamu ke dalam fitnah.

 

Adapun dinyatakan permulaan pemalsuan hadis berlaku sekitar tahun 40 Hijrah. Antara sebab utama penyebaran pemalsuan hadis adalah disebabkan berlaku perteklingkahan serta perselisihan yang bermula sejak dari zaman khalifah Uthman Bin Affan yang gugur syahid dibunuh oleh golongan pemberontak. Antara punca -punca utama pemalsuan hadis adalah:

- Golongan yang terlalu zuhud  dengan ilmu tanpa ilmu sehingga daya ingatan mereka menjadi kurang dan tidak dapat membezakan diantara hadis atau kata-kata orang lain. Mereka tersilap lalu menyebut sesuatu sebagai hadis sedangkan ia sebenarnya bukanlah hadis.

- Golongan ahli periwayat hadis yang tidak menghafaz hadis-hadis. Maka apabila sesuatu berlaku berkaitan hadis yang mereka nyatakan maka golongan tersebut mereka tidak dapat mengingati dengan tepat apakah hadis yang telah mereka catatkan.

- Terdapat juga golongan yang tersalah meriwayatkan hadis-hadis palsu, tetapi setelah ditegur mereka sombong dan enggan menarik balik kata-kata mereka.

- Golongan yang taksub dengan mazhab masing-masing dan mencipta hadis-hadis palsu untuk menguatkan dan memenangkan mazhab mereka.

Golongan ini adalah mereka yang dinyatakan oleh Ali AlQari sebagai golongan yang menjadi sumber datangnya hadis-hadis palsu. Dapat kita lihat dengan jelas bahawa ada diantara golongan yang disebutkan oleh Ali AlQari yang sememangnya jahat dan ada juga yang jahil atau tersilap.

PENGKELASAN HADIS DHO’IF

         Terdapat 2 kategori di dalam hadith dhaif yang telah dibahagikan oleh para ulama’iaitu dho’if pada sanad dan juga dho’if pada matan. Hadith yang dikategorikan sebagai hadith yang dho’if pada sanad ialah terputus sanadnya samada banyak ataupun sedikit, sengaja mahupun tidak, terputus pada awal, pertengahan atau akhir sanad ataupun wujudnya ‘ilah yang menjejaskan sesuatu hadith. Hadith yang dikategorikan sebagai dhaif pada matan pula ialah hadith yang mempunyai keraguan atau kelemahan dari sudut matannya.

DHO’IF PADA SANAD

         Hadith dho’if pada kategori dho’if pada sanad terbahagi pula kepada dua iaitu terputus dengan jelas dan terputus dengan sembunyi. Untuk hadith dho’if yang terputus dengan jelas pula, pembahagiannya adalah seperti berikut :

1. HADITH MU’ALLAQ

Hadith ini terputus ataupun hilang sanadnya pada permulaan ataupun awal sanadnya, samada seorang atau lebih. Sebagai contoh, sebuah hadith yang terus disandarkan kepada Rasulullah, ataupun Cuma disandarkan kepada sahabat dan seterusnya kepada Rasulullah, ataupun disandarkan kepada tabi’in dan selanjutnya sahabat terus kepada Rasulullah.

2. HADITH AL MUGHDAL

Hadith al Mughdal ialah hadith dho’if yang terputus padanya sanad perawi secara dua tingkatan berturutan. Sebagai contoh, Imam Malik berkata, Rasulullah bersabda, ataupun Imam Syafi’I berkata, Ibnu Umar berkata.

3. HADITH AL MURSAL

Hadith ini sanadnya terputus pada akhir sanad, samada seorang perawi ataupun lebih. Sanad hadith ini terus disandarkan kepada Rasulullah selepas tabi’in, tanpa menyandarkan kepada seorang sahabat.

4. HADITH AL MUNQATI’

Definisi hadith ini yang sering digunapakai ialah hadith yang putus atau hilang sanad perawinya pada pertengahan, iaitu sebagai contoh hadith yang diriwayatkan terus sanadnya kepada seorang sahabat dan Rasulullah  tanpa ada sanad perawi seorang tabi’in. Mengikut sebahagian pendapat yang lain, definisi hadith al Munqati’ ialah hadith yang terputus sanadnya dengan apa bentuk sekalipun.

         Manakala, untuk hadith dho’if yang terputus sanadnya secara tidak jelas pula terbahagi kepada dua lagi kategori, iaitu :

1. HADITH AL MURSAL AL KHAFI

Hadith yang diriwayatkan menggunakan perkataan “’an” atau “qala”, seolah-olah hadith tersebut diambil secara langsung dari perawi yang terdapat di dalam sanadnya, namun sebenarnya hadith tersebut di ambil dari perawi yang lain.

2. HADITH AL MUDALLAS

Hadith al Mudallas ialah hadith yang terdapat di dalamnya sesuatu ‘aib yang disembunyikan secara sengaja oleh perawinya. Hadith ini mencakupi beberapa elemen di dalamnya seperti :

1.   Tadlis al Isnad – kemungkinan seorang perawi itu pernah bertemu dengan perawi yang meriwayatkan hadith, namun begitu hadith tersebut tidak di dengar secara langsung darinya, ataupun perawi itu sezaman dengan perawi yang meriwayat hadith tersebut, namun begitu tidak pernah bertemu atau mengambil hadith tersebut darinya.

2.   Tadlis al Taswiyah – perawi tersebut meriwayatkan hadith dari perawi yang dho’if, yang kedudukannya berada di antara dua perawi yang tsiqah, yang mana kedua-dua perawi tsiqah tersebut pernah bertemu.

3.   Tadlis al Qatha’ – perawi tersebut mengucapkan perkataan “haddathana” ataupun “sami’tu” dan selanjutnya diam. Kemudian setelah itu barulah perawi tersebut menyebut nama perawi yang meriwayatkan hadith tersebut seolah-olah beliau mengambil langsung darinya.

4.   Tadlis al-‘Athaf – perawi tersebut mengaku mendengarkan hadith yang diriwayatkannya itu dari dua perawi, namun sebenarnya hanya mengambil dari seorang perawi sahaja.

5.   Tadlis al Syuyukh – terdapat di dalam sanad nama perawi yang sengaja disembunyikan identitinya, tidak dinisbahkan kepada nama dirinya atau bapanya supaya tidak dapat dikenali dengan tujuan penyamaran.

Selain dari kedua-dua pembahagian tersebut, terdapat juga hadith di dalam

kategori dho’if pada sanad yang berlaku disebabkan oleh sesuatu ‘ilah, iaitu :

1. HADITH MANKLUB

Hadith ini telah terjadi pertukaran ayat ataupun sesuatu perkataan samada pada matan mahupun pada sanad.

2. HADITH MUTHORIB

Satu hadith yang diriwayatkan melalui pelbagai periwayatan yang sama kuatnya, namun begitu setiap periwayatan tersebut telah berlaku percanggahan di antara satu sama lain.

3. HADITH MUDRAJ

Hadith ini telah berlaku penambahan pada matan ataupun sanadnya

4. HADITH MUSAHAF

Hadith ini telah berlakunya pertukaran ayat ataupun kalimah dari periwayatan yang asal akibat dari kesilapan dalam mendengar, mencatat, membaca dan pelbagai lagi sebab-sebab yang lain.

DHO’IF PADA MATAN

Hadith yang dikategorikan sebagai dho’if pada matan boleh dibahagikan kepada beberapa kategori :

1. HADITH MAQLUB

Hadith pada kategori ini ialah hadith yang telah terjadi suatu pertukaran pada ayat ataupun pada perkataan yang melibatkan pada sanad mahupun pada matan.

2. HADITH MUDHTARIB

Kategori hadith yang dirawayatkan melalui periwayatan yang lebih dari satu, dan sama kuat. Namun begitu, berlaku percanggahan di dalam setiap periwayatan tersebut.

3. HADITH AL MUSHHAF

Hadith ini pada matannya telah berlaku pertukaran pada kalimah akibat dari kesilapan dalam mencatit, mendengar, membaca dan pelbagai lagi faktor-faktor yang lain.

4. HADITH MUDRAJ

Hadith yang telah berlaku penambahan pada matan daripada ucapan perawi yang telah di salah anggap sebagai sebahagian dari matan. Penambahan ini boleh berlaku pada awal, pertengahan atau akhir sesebuah matan.

5. HADITH MU’ALLAL

Hadith yang terkandung di dalamnya kecacatan yang tersembunyi ( ‘illat qaadihah ), yang hanya dapat dikesan oleh ahli-ahli hadith.

         Selain dari kedua-dua kategori hadith dho’if tersebut, iaitu hadith dho’if yang lemah pada sanad dan matan, terdapat lagi dua kategori hadith yang dikira sebagai dho’if juga, iaitu :

HADITH MUNKAR

Terdapat dua tafsiran pada kategori hadith dho’if Munkar, iaitu :

1.   Di dalam sanad hadith tersebut, terdapatnya perawi yang memang dengan jelas adalah fasiq ataupun perawi tersebut sangat lemah pada hafalan, ataupun perawi tersebut memang dikenal sebagai orang yang selalu salah dalam meriwayatkan hadith. Sanad hadith tersebut adalah munfarid.

2.   Hadith yang di dalamnya terdapat perawi-perawi yang dikategorikan sebagai dho’if, dan periwayatan hadith tersebut bertentangan dengan hadith-hadith lain yang periwayatannya mengandungi perawi-perawi terpecaya (tsiqah).

HADITH SYAADZ

Hadith pada kategori ini ialah hadith yang diriwayatkan oleh perawi-perawi yang dikenali sebagai tsiqah, namun begitu, hadith ini bertentangan dengan hadith yang diriwayatkan oleh perawi-perawi yang periwayatannya lebih kuat dari sudut samada pada sanadnya, ataupun pada matannya.

 

HUKUM BERAMAL DENGAN HADIS DAIF[4]

Sememangnya terdapat beberapa syarat bagi kita untuk beramal dengan hadis daif  ini menurut imam Nawawi. Dan di antara syarat-syaratnya adalah seperti :

- Hendaklah dho’if itu bukan dho’if yang bersangatan.

- Hendaklah hadis dho’if itu bukan berkaitan dengan hukum hakam, tetapi hanya berkaitan dengan kelebihan-kelebihan beramal. Jadi sekiranya hadis dho’if itu membentuk satu hukum, ia tertolak.

- Tidak boleh meyakini bahawa hadis daif itu datang daripada Nabi Muhammad SAW.

- Tidak boleh menyeru manusia beramal dengannya. Haram hukumnya menyebarkan hadis dho’if dan kemudian menyeru manusia beramal dengannya.

- Hendaklah hadis itu terhasil daripada hukum yang asal yang telah sedia ada.

Contohnya, hukum mentaati ibu bapa adalah wajib berdasarkan dalil dari al-Quran dan hadis sahih. Maka kelebihan mentaati ibu bapa termasuk dalam kelebihan beramal, at-Targhib wat Tarhib. Ia mestilah terhasil daripada hukum asal yang sabit daripada al-Quran atau hadis sahih. Sekiranya kelebihan beramal itu membentuk suatu hukum baru maka ia tidak boleh diterima. Untuk membentuk hukum solat dengan kelebihan tertentu tidak dibolehkan, sebab itulah Imam al-Nawawi sendiri menolak solat Raghaib sempena awal bulan Rejab kerana tiada hadis Nabi s.a.w tentang solat Raghaib.

 

KESAN/IMPLIKASI DAN PENYELESAIAN

 

Hadis Maudhu’ adalah sesuatu yang disandarkan kepada Nabi Muhammad s.a.w samaada perbuatannya, perkataannya, taqrirnya, sifat akhlaqnya atau sifat semulajadinya, secara rekaan atau dusta semata-mata. Di dalam penggunaan masyarakat Islam di negara kita, hadis maudhu’ disebut juga dengan nama hadis palsu.  Kesan hadis maudhu’ merosakkan akidah umat Islam, merosakkan amalan syariah umat Islam, merosakkan akhlak umat Islam, merosakkan pendirian umat Islam dan mengabaikan hadith sahih.

KESAN HADIS MAUDHU’ BAGI UMAT ISLAM ADALAH SEPERTI BERIKUT[5]. 

a.    Merosakkan aqidah umat Islam

Unsur-unsur yang terdapat di dalam Hadith Palsu mencemarkan kemurniaan agama, seperti hal akidah.

 

Contohnya :

 

“Jika seseorang kamu berbaik sangka dengan batu nescaya ia akan memberi manfaat kepadanya.”

 

Berdasarkan hadith palsu ini, masyarakat akan terikut-ikut menyimpan benda-benda khurafat sebagai pembawa manfaat buat dirinya dan ahli keluarganya. Tidak hairanlah jika masih ada orang-orang tua yang masih menyimpan benda-benda yang karut.[6]

b.   Merosakkan amalan syariah umat Islam

Kebanyakan hadith palsu menceritakan fadhilat-fadhilat yang melampau kepada orang ramai. Sehinggakan sekiranya kita beramal dengan sesuatu amalan, maka kita akan mendapat fadhilat ini dan itu.  Contohnya, berkenaan dengan hadith ‘Fadhilat Solat Tarawih’. Diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda apabila ditanya akan kelebihan solat tarawih dalam bulan Ramadhan. Antara fadhilatnya adalah akan diampunkan dosa orang yang beriman sebagaimana keadaannya yang baru dilahirkan, akan dikurniakan oleh Allah SWT pahala empat puluh tahun ibadat pada malam kedua puluh enam, diangkat kedudukannya seribu darjat di syurga dan lain-lain. Sekiranya, kita berfikir dengan akal yang waras. Bagaimana mungkin dengan solat pada satu malam di bulan Ramadhan, akan menyebabkan kita diampunkan dosa sehingga seperti baru dilahirkan? Hal ini seolah-olah ingin menunjukkan bahawa ada jalan ‘Shortcut’ di dalam agama ini.[7]

c.   Merosakkan akhlak umat Islam

Di dalam akhlak pula, hadith-hadith maudhu’ berkenaan bangsa, bahasa dan negara pastinya meniggalkan impak besar dalam pendengar yang mempercayai hadith-hadith maudhu’ berkenaan. Dengan ini timbullah rasa tinggi diri yang dicela oleh agama. Ukhuwwah Islamiyyah dipinggirkan akibat dari gejala hadith maudhu’ itu.[8]

d.   Merosakkan pendirian umat Islam[9]

Berhadapan dengan janji pahala yang lumayan di samping amalan yang ringkas boleh menimbulkan perasaan berpada-pada di kalangan umat Islam. Akibatnya pendirian dan pegangan umat Islam akan menjadi lemah. Amalan yang murni mungkin ditinggalkan kerana terdapat amalan lain yang lebih berbaloi dan menguntungkan. Di penghujung jalan wujudlah umat yang tidak tegas dan tidak bersemangat mengamalkan ajaran Islam.

e.   Mengabaikan hadis sohih[10]

Satu perkara lain yang pasti muncul akibat penyebaran hadith maudhu’ ialah pengabaian hadith maqbul / sahih. Secara otomatik sekiranya ditekankan hadith maudhu’ dalam sesuatu majlis, hadith sahih akan tersisih dan tidak mendapat tempat yang sepatutnya. Akhirnya orang ramai akan senang apabila mendengar hadith maudhu’ dan merasa janggal apabila mendengar hadith sahih.

JALAN PENYELESAIAN[11]

 

1.    Pemantapan ilmu-ilmu hadis

a.   Ilmu mustalah hadis[12] - lmu mustalah hadits adalah ilmu yang dipakai untuk mengetahui keadaan rawi (periwayat hadits) dan hadits yang diriwayatkan (marwi) dari segi diterima atau ditolak

b.   Ilmu takhrij hadis

                               i.   takhrij turath - menggunakan sumber-sumber hadith muktabar yang telahpun dicetak

                             ii.   takhrij muasir - menggunakan sumber-sumber elektonik berasaskan teknologi moden

takhrij berarti : “Mengembalikan (menelusuri kembali ke asalnya) hadis-hadis yang terdapat di dalam berbagai kitab yang tidak memakai sanad kepada kitab-kitab musnad, baik disertai dengan pembicaraan tentang status hadis-hadis tersebut dari segi sahih atau daif, ditolak atau diterima, dan penjelasan tentang kemungkinan illat yang ada padanya, atau hanya sekadar mengembalikannya kepada kitab-kitab asal (sumbernya)nya.”[13]

c.   Mewujudkan maktabah Hadithiyyah Asasiyyah

                               i.   Maktabah Turathiyyah

                             ii.   Maktabah Mu’shirah

Maktabah Hadithiyyah ‘Asasiyyah ialah koleksi perpustakaan hadith pada tahap minima. Secara umumnya, dapatlah dibahagikan kemudahan ini kepada dua bahagian iaitu:  bahan bercetak dan bahan elektronik.[14]

2.   Tugasan kepada orang awam

a.   Bertanya Kepada Ilmuan dalam Bidang Hadith Tentang Hadith Yang Dijumpai

b.   Bertanya Kepada Penceramah Tentang Hadith Yang Disampaikan

3.   Tugasan kepada pelajar dan ilmuan

a.     Merujuk Kepada Ilmuan Dalam Bidang Hadith Tentang Hadith Yang Dijumpai

b.   Memberi penekanan kepada Takhrij Hadith secara minimum dalam setiap kertas kerja

 

TANGGUNGJAWAB DAN PERANAN KITA[15]

 

Sebagai seorang mukmin yang cinta kepada Rasulullah SAW seharusnya bagi kita menjaga nama dan batang tubuh Rasulullah SAW daripada dicemari dengan pendustaan dan pemalsuan golongan yang tidak bertanggungjawab.

Di samping itu juga, menjadi kewajipan kita semua sebelum membaca, menulis, mengajar, menyampai atau menyebarkan sesebuah hadith Nabi Muhammad SAW perlulah dikenalpasti terlebih dahulu akan sumber dan status (hukum) hadith tersebut kerana bimbang dengan tidak menyatakan sumber dan hukum hadith akan terjerumus ke dalam ancaman Nabi Muhammad SAW tersebut.

PENUTUP

 

Kesimpulannya, hadith mawdhu’ (palsu) adalah merupakan peringkat hadith dho’if yang paling buruk sebagaimana yang telah kami jelaskan di atas. Tambahan pula, hukum meriwayatkan hadith palsu adalah haram melainkan bagi menyatakan akan kepalsuannya dan akibatnya akan dicampakkan ke dalam neraka di akhirat kelak.[16]


 

RUJUKAN

“Hadith Dhaif - [PDF Document].” Vdocuments.mx, http://vdocuments.mx//hadith-dhaif.

“Pengertian Takhrij Al-Hadis, Tujuan Dan Manfaat Takhrij Hadis.” PENDIDIKAN WAJIB, 25 May 2018, https://esajo.blogspot.com/2018/05/pengertian-takhrij-al-hadis-tujuan-dan.html.

“Perkongsian Tentang Hadith Palsu.” Perkongsian Tentang Hadith Palsu, https://fadlan-mohd-othman.blogspot.com/2013/06/perkongsian-tentan-hadith-palsu.html.

Abdur Rosyid, Jenis-jenis Hadits Dhaif, Menara Islam, 2022

Athirah, Aina. “Bahaya Hadith Palsu.” Jejak Tarbiah, 10 July 2020, https://www.jejaktarbiah.com/bahaya-hadith-palsu/.

Drs. Abdul Ghani Azmi bin Haji Idris, Himpunan Hadis Dha’if dan Maudhu’, Jilid 1, Penerbit Al-Hidayah, 2009

Hafil, Muhammad. “Sejarah Munculnya Hadits Palsu (1).” Republika Online, Republika Online, 23 June 2020, https://www.republika.co.id/berita/qccstc430/sejarah-munculnya-hadits-palsu-1.

Hafizfirdaus.com ~ Islam Untuk Semua - Hafizfirdaus.com~Agama Dan Kehidupan, https://hafizfirdaus.com/ebook/20asashadis/isu16.htm#_ftn1.

Ismail, Amerudin. “Hadith Maudhu': Punca, Kesan Dan Penyelesaian.” Academia.edu, 13 Sept. 2014, https://www.academia.edu/8312393/Hadith_Maudhu_Punca_Kesan_dan_Penyelesaian.

Muhadi, Muhammad Shahrulnizam. “Al-Afkar #109 : Dajjal Seorang Atau Ramai?” Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, 19 May 2020, https://muftiwp.gov.my/artikel/al-afkar/4521-al-afkar-109-dajjal-seorang-atau-ramai.

Muhadi, Muhammad Shahrulnizam. “Al-Afkar #109 : Dajjal Seorang Atau Ramai?” Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, 19 May 2020, https://muftiwp.gov.my/artikel/al-afkar/4521-al-afkar-109-dajjal-seorang-atau-ramai.

Muhammad Mushfique Bin Ahmad Ayoup @ Ayub. “Irsyad Al-Hadith Siri Ke-249: Hadith Mawdhu' (Palsu).” Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, 20 Feb. 2018, https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-al-hadith/2307-irsyad-al-hadith-siri-ke-249-hadith-mawdhu-palsu.

Prof. Madya Dr. Abdul Hayei bin Abdul Sukor, Hadith Mawdu’, Sejarah dan Cara-cara Mengenalinya, Penerbit Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), 2015

Samirah Mustafha, Hadis Dh’oif Sebagai Rujukan Hukum dan Amalan, Universiti Sains Malaysia (USM), 2013.

Siti Marpuah, Jurnal Perada: Jurnal Studi Islam Kawasan Melayu, P-ISSN 2656-7202 E-ISSN 2655-6626 Volume 2 Nomor 1, Januari-Juni 2019 DOI: 10.35961/perada.v2i1.27, http://ejournal.stainkepri.ac.id/index.php/perada, m.s. 24- 32.

Syariah, Konsultasi. “Ilmu Mustalah Hadits.” Konsultasi Syariah Islam, Konsultasi Syariah Islam Al-Khoirot, 13 Mar. 2016, https://www.alkhoirot.net/2013/02/ilmu-mustalah-hadits.html.

Takhrij Dalam Penulisan Ilmiah, https://fadlan-mohd-othman.blogspot.com/2013/06/takhrij-dalam-penulisan-ilmiah.html.

 



[1] Samirah Mustafha, Hadis Nabi Muhammad SAW Sebagai Rujukan Hukum dan Amalan, Universiti Sains Malaysia (USM), 2013

 

[2] Hafizfirdaus.com ~ Islam Untuk Semua - Hafizfirdaus.com~Agama Dan Kehidupan, https://hafizfirdaus.com/ebook/20asashadis/isu16.htm#_ftn1.

 

[3] Hadis Riwayat Muslim -16

[4] Hafil, Muhammad. “Sejarah Munculnya Hadits Palsu (1).” Republika Online, Republika Online, 23 June 2020, https://www.republika.co.id/berita/qccstc430/sejarah-munculnya-hadits-palsu-1.

 

[5] Siti Marpuah, Jurnal Perada: Jurnal Studi Islam Kawasan Melayu, P-ISSN 2656-7202 E-ISSN 2655-6626 Volume 2 Nomor 1, Januari-Juni 2019 DOI: 10.35961/perada.v2i1.27, http://ejournal.stainkepri.ac.id/index.php/perada, m.a. 24- 32

[6] Athirah, Aina. “Bahaya Hadith Palsu.” Jejak Tarbiah, 10 July 2020, https://www.jejaktarbiah.com/bahaya-hadith-palsu/.

[7] ibid

[8] “Perkongsian Tentang Hadith Palsu.” Perkongsian Tentang Hadith Palsu, https://fadlan-mohd-othman.blogspot.com/2013/06/perkongsian-tentan-hadith-palsu.html.

[9] “Perkongsian Tentang Hadith Palsu.” Perkongsian Tentang Hadith Palsu, https://fadlan-mohd-othman.blogspot.com/2013/06/perkongsian-tentan-hadith-palsu.html.

 

[10]Ibid

[11]Ismail, Amerudin. “Hadith Maudhu': Punca, Kesan Dan Penyelesaian.” Academia.edu, 13 Sept. 2014, https://www.academia.edu/8312393/Hadith_Maudhu_Punca_Kesan_dan_Penyelesaian.

 

[12] Syariah, Konsultasi. “Ilmu Mustalah Hadits.” Konsultasi Syariah Islam, Konsultasi Syariah Islam Al-Khoirot, 13 Mar. 2016, https://www.alkhoirot.net/2013/02/ilmu-mustalah-hadits.html.

 

[13]Pengertian Takhrij Al-Hadis, Tujuan Dan Manfaat Takhrij Hadis.” PENDIDIKAN WAJIB, 25 May 2018, https://esajo.blogspot.com/2018/05/pengertian-takhrij-al-hadis-tujuan-dan.html.

 

[14] Takhrij Dalam Penulisan Ilmiah, https://fadlan-mohd-othman.blogspot.com/2013/06/takhrij-dalam-penulisan-ilmiah.html.

[15]Muhammad Mushfique Bin Ahmad Ayoup @ Ayub. “Irsyad Al-Hadith Siri Ke-249: Hadith Mawdhu' (Palsu).” Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, 20 Feb. 2018, https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-al-hadith/2307-irsyad-al-hadith-siri-ke-249-hadith-mawdhu-palsu.

 

[16]Ibid

Comments

Popular posts from this blog

Respon: Bagaimana bertaaruf berkesan 2?

Pengajaran daripada Surah Al Muzammil

KELEBIHAN DO'A RABITHAH