Thursday, December 31, 2009

Tausiyah SH. Yusuf Al Qardhawi



Assalamu’alaikum wbth,

Alhamdulillah beberapa minggu lalu bumi Malaysia amat bertuah kerana dikunjungi oleh Ulamak tersohor di dunia, Syeikh Yusuf Al Qardhawi. Beliau merupakan hasil produk tarbiah Imam Hasan Al Banna. Antara produk awal yang telah kembali ke rahmatullah ialah Al-Marhum Ustaz Sayyid Sabiq, pengarang kitab fiqah yang mashyur iaitu kitab fiqh sunnah.

Pemberitahuan mengenai kedatangan Sheikh Yusuf Al Qardhawi, hanya diketahui oleh saya melalui sms sahabat-sahabat saya. Setelah mendapat sms, saya terfikir ini peluang baik untuk berjumpa dengan beliau secara live. Rugi jika tidak dapat hadir dan mendengar nasihat-nasihat berguna daripada beliau. Sepanjang pengalaman saya, penting untuk setiap kita sentisa mendengar nasihat dari mulut para ulamak. Iman dan amal kita akan meningkat, insha Allah. Justeru itu dalam borang mutaba’ah kita, antara senarai semaknya kita ialah agenda menziyarahi ulamak. Kali pertama saya berjumpa dengan beliau ialah semasa menghadiri konvensyen MAYA(Muslim Arab Youth Association of America) di Detroit, USA pada 1994 lalu. Pada masa itu usianya sekitar akhir 60an.

Ada dua pertemuan dengan masyarakat umum yang disusun. Satunya ialah hari Sabtu pagi, 19.12.2009 di PICC, Putrajaya. Program ini dianjurkan oleh JAKIM, Malaysia. Dewan mula dipenuhi oleh orang ramai yang dari pelbagai umur. Ada yang tua, ada yang muda dan ada yang remaja. Ada juga yang membawa anak-anak kecil .
Di dalam majlis ini SYQ telah diminta untuk mengulas kitabnya yang terbaru iaitu Fiqhul jihad. Beliau menjelaskan di dalam muqaddimahnya bahawa dunia islam sekarang ini dapat dipecahkan kepada golongan(fi ah):

a. Golongan yang terlalu bermudah-mudah dan longgar dengan Islam
b. Golongan yang ekstrim
c. Golongan yang wasotiyyah.

Kita perlu menjadi golongan yang ketiga ini kerana inilah yang menjadi inti kepada ajaran Islam.

SYQ telah menghuraikan isi-si penting yang ada dalam kitabnya. Beliau menjelaskan bahawa jihad mempunyai 13 maratib(tahapan). SYQ menyatakan bahawa Imam Ibn Qayyim rhm telah menjelaskan Maratib al-Jihad (peringkat-peringkat Jihad). Peringkat-peringkatnya ialah:

i. Jihad melawan nafsu, yang terdiri daripada
• Jihad mencari hidayah dan kebenaran,
• Jihad beramal dengan hidayah,
• Jihad menda’wahkan hidayah,
• Jihad bersabar dalam mencari hidayah, beramal dengan hidayah dan menda’wahkan hidayah.

ii. Jihad melawan syaitan.
iii. Jihad melawan kafirin.
iv. Jihad melawan munafiqin.

Saya merasakan satu kepuasan mendengar segala nasihat yang disampaikan oleh SYQ. Ianya merupakan juga sebagai ulangan daripada bahan-bahan yang pernah dipelajari dalam unit halaqah sebelum. Sungguh menyegarkan dan menghidupkan jiwa. Bahan-bahan yang disampaikan beliau walaupun memakan masa hampir 2 jam tidak terasa masa berlalu.
Satu hal yang saya notice dalam penyampaian beliau, dalam setiap kuliahnya beliau tidak lekang mengingatkan hadirin mengenai qadiyyah palestin. Permasalahan palestin adalah masalah aqidah bagi ummat Islam.

Seusai kuliahnya dan cenderahati disampaikan oleh Dato’ Dr. Mashitah Ibrahim, menteri di jabatan perdana menteri, SYQ pun turun dari pentas. Berpusu-pusu anak-anak muda berebut-rebut untuk bersalaman dan mencium tangan SYQ. Sebelum ini suasana orang muda berebut nak dapat autograf dan jabat tangan dengan artis sahaja. Tapi kali ini, suasananya agak beda; orang-orang muda kasih pada golongan ‘alim.

Bersambung sessi 2 bersama SYQ di Masjid SSAAS, Shah Alam…..

Tuesday, December 15, 2009

Apa yang aku pelajari dalam MKP 7 baru-baru ini? Siri 2

Assalamu'alaikum wbth,

Pada hari kedua saya di Padang-Pariaman, saya dan berkesempatan untuk masuk satu kampung di pedalaman untuk melakukan khidmat klinik bergerak dan trauma healing. Perjalanan ke sana terpaksa melalui jalan yang mendaki gunung yang begitu berliku-liku. Pemandangannya sekeliling amat indah sekali, masya Allah.





Perjalanan ke sana mengambil masa hampir 1 jam dari base. Sesampai di desa tersebut, didapati sudah ada beberapa orang yang menunggu kami bersama-sama dengan ketua desa. Kelihatan banyak anjing peliharaan penduduk berkeliaran di keliling van yang kami naiki.



Ketua desa mencadangkan agar kami memulakan operasi klinik di bangsal sementara yang ada berdekatan dengan jambatan putus. Selang beberapa ketika, kelihatan penduduk mula datang berpusu-pusu untuk mendapatkan rawatan kesihatan. Agak sukar untuk melihat wanita muslimah di sini yang menutup aurat. Ketua delegasi membisikkan kepada ketua desa yang team kami ada juga pasukan untuk melakukan trauma healing kepada pelajar sekolah rendah dan menengah. Pasukan kami terlepas pandang untuk memaklumkan kepada pihak sekolah lebih awal. Setelah dimaklumkan kepada guru besar melalui penduduk tempatan, Alhamdulillah guru besar di situ sudi menerima kehadiran pihak kami untuk memberi motivasi kepada para pelajar sekolah rendah dan menengahnya.
Sejurus mendapat lampu hijau daripada pihak sekolah, team kami yang terdiri daripada 3 orang relawan Haluan dan 2 relawan Haluanita tanpa berlengah terus ke lokasi yang ditetapkan. Untuk ke sekolah tersebut kami perlu melalui sebuah lurah yang dalam. Jambatannya putus akibat gempa.



Perjalanan ke sekolah mengambil masa hampir 40 minit, berjalan kaki. Kami terus menapak dengan penuh semangat walaupun cuaca amat panas terik pada masa itu. Sepanjang berjalan kaki ke sana, kami melalui kawasan rumah penduduk desa. Yang mendukacitakan saya ialah kesemua penduduk di sini membela anjing. Alasan yang mereka berikan ialah untuk menjadi anjing pemburu. Anjing peliharaan ini berperanan untuk menghalau babi hutan di pinggir desa.



Sesampai kami di sekolah, saya disambut oleh guru besar sekolah. Dia boleh berbahasa Inggeris dengan baik. Dengan mimik muka yang serius dia bertanyakan kepada saya:

Guru besar: Apa yang mendorong kamu datang ke sini?
Saya: Kami datang untuk membantu ummat Islam di sini kerana Allah SWT
Guru besar: Apa kepentingan duniawi yang dapat kamu perolehi datang ke tempat kami?
Saya: Tidak ada apa-apa keuntungan duniawi yang ingin kami raih. Kedatangan kami hanya untuk memberi apa-apa pertolongan yang diperlukan oleh orang-orang Islam di desa ini.
Guru besar: Siapa ketua delegasi kamu?
Saya: Beliau sedang memberi rawatan percuma di klinik bergerak berdekatan dengan jambatan putus.
Gurubesar: Saya bertanyakan soalan demikian kerana sebelum ini ada NGO-NGO luar dari negara barat yang datang dengan niat yang tersembunyi. Agenda nak merosakkan aqidah ummah melalui trauma healing.

Sejurus selepas itu saya beredar untuk membantu petugas Haluan yang lain memberi trauma healing kepada anak-anak sekolah rendah dan menengah.
Ust A: Mari sama-sama kita bernasyid. Jangan lupa Solat, Jalan lupa zikir, jangan ponteng sekolah....



Itulah nasihat Ust Ad, seorang aktivis muda Haluan yang begitu gigih menasihatkan anak-anak di sana. Sebenarnya, dari segi pengamatan kami; penduduk di sisi dari segi ilmu Islamnya ada. Masalahnya dari segi penghayatan.
Setelah hampir dua jam di sana, kami pun meminta izin untuk beredar dari sekolah tersebut. Masing-masing merasai suatu kepuasan walaupun agak keletihan bernasyid, memberi motivasi dan melaksanakan aktiviti bersama anak-anak di sana.
bersambung

Sunday, December 6, 2009

Apa yang aku pelajari dalam MKP 7 baru-baru ini?~ siri 1

Assalamu’laikum wbth

Baru-baru lalu 24/11 -29/11/09 syukur kepada Allah kerana dipilih oleh-Nya untuk saya berkesempatan untuk bersama-sama misi kemanusiaan padang bersama-sama dengan Haluan Malaysia. Sebelum pergi saya sudah memasang niat bahawa pemergian ini adalah kerana Allah SWT. bagi membantu saudara Muslim di Padang –Pariaman yang 100% Muslim penduduknya. Bumi Minang ini juga adalah tempat kelahiran Ulama besar nusantara iaitu Allahyarham Prof. Dr. Hamka. Sesampai di sana, tugasan relawan adalah untuk melakukan klinik bergerak di desa-desa di pedalaman, trauma healing, dan melakukan korban lembu sempena Aidil Adha di kampung angkat Haluan.



Secara umumnya, bumi minang ini sangat indah pemandangannya. Kawasannya dikelilingi bukit-bukau, sawah padi yang menghijau, terdapat sungai air deras lagi jernih yang membelah bumi.



Saya juga berkesempatan untuk pergi ke tempat gempa di Bukit Tigo di mana penduduk kampung tertimbus di situ. Sama-sama kita doakan agar Allah memberi kepada mereka ketabahan menghadapi musibah ini.


Hasil temubual dengan penduduk tempatan, gempa pada hari itu amat dahsyat. Gerakan mencancang beberapa saat, disusuli gerakan membuat. Dan seterusnya bukit meledak hampir beberapa ratus meter sehingga menyebabkan penduduk kampung dan sungai tertimbus.


Saya sempat ke gigi sungai yang tertimbus selama 4 jam selepas gempa. Sungai itu deras dan jernih. Terasa hati ini gementar melihat kuasa Allah SWT yang mampu membuat apa sahaja bagi mengingatkan hamba-hambanya yang alpa dan banyak dosa. Semuanya ini dilakukan agar hati-hati yang ada ini dapat hidup kembali dan kembali kepada Allah SWT.



Sepanjang berada di sana, setelah berinteraksi dengan penduduk desa, saya dapati mereka amat menyenangi kehadiran relawan. Ada seorang tua dengan nada bersahaja mengatakan:

`Haghi ni kami gembiro! Esok kami sodih balik!’



Maknanya pada kami berada bersama-sama mereka, duka mereka agak terubat. Anak-anak sekolah rendah yang diberi trauma healing semuanya gembira bernasyid dan bertakbir. Ada yang mengharapkan agar misi ini diteruskan selama setahun. Hakikatnya mereka amat berduka, apa tidaknya kebanyakan rumah di sana, masjid 95% yang rosak. Ada yang kehilangan anak, isteri, suami dan sanak saudara.

Bersambung... insha Allah di dalam siri berikutnya saya akan menyentuh mengenai amalan-amalan yang tidak Islamik yang diamalkan oleh mereka di sana berserta dengan dakyah kristian di sana.

Sunday, November 8, 2009

Paksalah diri ini melaksanakan kebaikan

Assalamu'alaikum wbth,




Rasul SAW pernah mengingatkan kita tentang cabaran-cabaran yang bakal dihadapi oleh orang-orang yang beriman terutamanya di akhir zaman. Sabda Rasul SAW:



`Wahai orang-orang Islam!
1. Bersiap sedialah, kerana urusan ini adalah serius
2. Bersiap sedialah, kerana saat berpindah sudah hampir
3. Carilah bekalan, kerana perjalanan ini jauh
4. Kamu kena ringankan muatan kamu, kerana di hadapan kamu terdapat halangan yang berat
5. Tidak akan berjaya merentasi perjalanan ini, melainkan orang yang ringan muatannya
Wahai manusia!
1. Sesungguhnya menjelang hari Qiyamat akan berlaku keadaan-keadaan yang gawat, ketakutan yang amat sangat, masa yang amat genting
2. Di waktu itu golongan yang zalim berkuasa, golongan fasiq mempunyai kedudukan penting, golongan yang mengajak makruf ditindas manakala golongan yang melarang munkar ditekan
3. Jadi perlu sedia dan kuatkan IMAN, berpautlah kepada keimanan ini sekuat-kuatnya(gigit dengan gigi geraham), perbanyakkan ‘amal soleh, dan paksalah jiwa untuk melakukan amal soleh
4. Bersikap sabarlah kamu menghadapi bencana dan kesusahan ini setelah buat persiapan iman dan lain-lain, nescaya kamu akan mendapat nikmat yang berkekalan yakni syurga Allah SWT. '
Al Hadith

Pengajaran

1. Marilah sama-sama kita sebarkan hadith ini kepada sahabat-sahabat kita agar kita dapat memahami sunnah perjuangan

2. Untuk lakukan amal soleh, kita perlu latih dan memaksa jiwa kita. Mungkin pada peringkat awal kita buat kurang ikhlas dan motivasinya kerana yang lain-lain. Akan tetapi lama-kelamaan ianya akan menjadi darah daging kita. Dan akhirnya kita kita akan merasa nikmat melakukannya.

Wednesday, October 21, 2009

Merasa bahagia dalam memberi

Assalamu'alaikum wbth,

Dalam siri kali ini, saya ingin berkongsi sedikit bahan berkaitan keperluan merasai bahagia dalam memberi. Inilah sifat yang perlu ada pada kita semua dalam mengajak manusia kembali kepada Allah SWT. Justeru itu saya ingin berkongsi satu hadith berkaitan dengan tema penulisan kali ini.
Sabda Rasul SAW:
خير الناس أنفعهم للناس
Maksudnya:
`Sebaik-baik manusia ialah yang paling bermanfaat bagi manusia lain.'

HR At-Tabrani

Manusia secara umumnya memiliki kecenderungan untuk memberikan manfaat kepada orang lain. Berdasarkan hadith di atas, Ar Rasul SAW menjelaskan bahawa kita boleh menjadi orang yang terbaik di sisi Allah SWT dengan kita memberi sumbangan dan manfaat kepada orang lain. Semakin banyak manfaat yang kita berikan kepada manusia, bererti semakin baik pula kedudukan kita di sini Allah maupun di sisi manusia.
Sekarang timbullah pula soalan, mengapakah orang paling bermanfaat adalah yang terbaik?
Menurut Kitab Arbain Tarbawiyah karangan Ust Fakhruddin Nursyam, beliau menjelaskan ada empat alasan mengapa golongan ini adalah yang TERBAIK.

Pertamanya: ia menjadi orang yang dicintai Allah SWT.
Allah mencintai kebaikan dan orang-orang yang berbuat baik.
Sabda Rasul SAW:
`Hamba yang paling dicintai Allah SWT adalah orang yang paling bermanfaat bari orang lain’
HR Tabrani
Keduanya: ia melakukan amalan yang terbaik
Berasaskan kepada kaedah fiqh, kebaikan yang dilakukan untuk beri masalah kepada manusia lain adalah lebih utama daripada kebaikan yang dilakukan semata-maa untuk dirinya sahaja.
Ketiganya: Ia melakukan kebaikan yang sangat besar pahalanya
Ar-Rasul SAW lebih mengutamakan memberi manfaat kepada orang lain yang berhajatkan bantuan daripada iktikaf sebulan penuh di masjid Nabawi. Sabda Rasul SAW:
`Seandainya aku berjalan bersama saudaraku untuk memenuhi suatu hajat, maka hal itu lebih aku cintai dari ‘iktikaf sebulan dalam masjidku ini.’
HR At Tabrani
Keempat: Kerana kebajikan yang dilakukan akan mengundang kesaksian dan pujian orang-orang yang beriman.
Sebagai penutupnya, marilah kita mencari modal dan persiapan bagaimana dapat kita dapat memiliki sifat ini dengan siapkan diri kita dengan bekalan harta, masa, tenaga, fikiran dan waktu agar dapat menghadapi kehidupan kita seefisien mungkin.

Monday, October 12, 2009

Menjadi Mukmin soleh dan Muslih

Assalamu’laikum wbth,

Kekuatan kita yang sebenar adalah bergantung kepada sejauh kita berhubung(ta’alluq) dengan Allah SWT. Semakin kuat kita dengan Allah SWT, semakin kuat pula bantuan dan keberkatan yang akan diberikan Allah SWT kepada kita. Abul A’la Al Maududi telah menggariskan asas ta’alluq dengan Allah SWT di dalam bukunya yang bertajuk, ‘Guidelines for Islamic Workers’. Beliau menggariskan antara faktor-faktor yang menyuburkan hubungan kita dengan Allah SWT ialah dengan melakukan solat, siyam, zikrullah dan infaq.

Aspek yang ingin ditekan dalam bicara kali ini ialah, saya ingin mengajak sahabat-sahabat sekalian agar karib dengan rumah Allah SWT. Amalan rajin berjemaah semasa dalam bulan Ramadan lalu perlu diteruskan. Biarlah kita dikenali oleh kawan-kawan kita yang kita adalah orang yang rajin memakmurkan surau dan masjid. Jiwa kita rasa resah jika tidak dapat solat berjemaah di rumah Allah SWT. Jika tidak mampu solat berjemaah lima kali sehari di rumah Allah SWT, sebaik mungkin kita usahakan untuk dapat solat Subuh dan Isha berjemaah. Semua amalan soleh ini perlu menjadi darah daging kita dan dapat dikembangkan untuk mencari mereka yang ada khuluq hasan dan hanif di rumah Allah SWT. Nabi Muhammad SAW ada bersabda:

'Seseorang yang hadir solat Isha berjemaah, seolah-olah dia beribadah separuh daripada malam; dan seseorang yang solat isha dan subuh berjemaah, seolah-olah dia beribadah seluruh malam’
HR At Termizi
Kehangatan peperiksaan akhir semakin terasa. Bagi yang melakukan persiapan secara konsisten, insha Allah mereka tidak menghadapi masalah tekanan seperti orang lain.
Kita sebenarnya jauh lebih bernasib baik berbanding dengan rakan-rakan kita yang belajar di Universiti di Padang. Masa depan mereka untuk menyambungkan pengajian masih kabur. Kita mendoakan agar dimudahkan urusan mereka.
Saya ingin menyeru sahabat-sahabat agar dapat menumpukan perhatian yang serius juga terhadap jihad akademik ini. Kita ingin menjadi ‘Alim Mujahid. Mereka yang memiliki sifat Alim Mujahid ini mempunyai kekuatan berikut:
· Teguh dalam aqidah
· Jernih dalam fikrah
· Cemerlang dalam akademik
· Aktif dalam da’wah
· Kerjaya adalah wasilah jihad

Pada zaman saya belajar dulu, ramai pelajar-pelajar yang terlibat dalam dakwah dan tarbiah adalah pelajar cemerlang dalam kelasnya. Mereka menjadikan Qudwah kepada rakan-rakan yang lain.Jika kita corot dalam pelajaran, mengakibatkan orang lain negatif terhadap Islam. Hal ini perlu dielakkan. Jangan sampai dengan kesilapan dan kealpaan kita, menyebabkan orang lain menjauhi Islam.
Ustaz Ali Hashimi di dalam kitabnya Syakhsiyah Muslim menekankan agar para pelajar menguasai ilmu yang dipelajari sampai ke peringkat pakar.

Marilah kita menghayati 5 ciri ‘Alim mujahid seperti yang dinyatakan di atas. Saya sudahi perkongsian yang tidak seberapa ini dengan sepotong hadith:

'Barangsiapa yang keluar untuk mencari ilmu, ia berada di dalam jihad pada jalan Allah hingga saat kembali ke rumah'
HR Ibnu Majah

Saya ingin menyeru mahasiswa di dalam dan di luar negara agar dapat sama-sama membantu usaha bantuan ini. Inilah keprihatinan kita terhadap musibah yang telah menimpa saudara/i Muslim kita di Padang.
Barang siapa yang tidak mengambil ehwal hal kaum muslimin, maka tiadalah dia dari kalangan mereka
Al Hadith

Banyak usaha bantuan yang boleh dilakukan. Bagi sahabat-sahabat pelajar yang sedang bercuti. Masa cuti ini boleh digunakan untuk membantu NGO Muslim berkaitan Palestin atau Misi Kemanusiaan Padang. Bagi sahabat-sahabat yang sedang bergelut dengan jihad akademik, diharapkan dapat membantu mewar-warkan tabung kutipan misi Kemanusiaan Padang ini kepada lokaliti masing-masing selain daripada bantuan do’a. Itulah minimum yang dapat kita lakukan insha Allah.

Akhir kata, selamat berjuang dan menghadapi peperiksan akhir. Semoga Allah SWT bersama-sama kita semua.

Monday, September 21, 2009

Post mortem Ramadan

Assalamu'alaikum wbth,

Tahniah kepada shbt yang sudah berjaya melalui madrasah Ramadan dengan jayanya. Eid Mubarak.


Taqabbalallahu minna wa minkum, siyamana wa siyamakum

Selamat menghabiskan puasa sunat 6 shawwal, insha Allah.

Diriyawatkan drpd Abu Ayyub Al Ansari ra, bahwasanya Nabi SAW bersabda:
`Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringi dengan enam hari bulan Shawal, maka seolah-olah ia telah berpuasa sepanjang masa(setahun)'

Menurut huraian daripada kitab Fiqh Sunnah karangan Sayyid Sabiq, pahala setahun itu diperolehi daripada formula berikut:

Setiap kebaikan akan diberikan ganjaran 10x lipat.
~ Jika 1 bulan, ianya akan menjadi 10 bulan.
~ Jika 6 hari puasa sunnat = 60 hari = 2 bulan.

Oleh itu, 10 BULAN + 2 BULAN = 12 BULAN = 1 tahun.

Tema perbincangan pada kali ini masih berkisar mengenai post mortem Ramadan, iaitu bagaimana nak mengelakkan berlakunya futur selepas Ramadan?.

Semasa membuat persediaan ceramah Ramadan untuk staf-staf di Kilang Denso, Bangi baru-baru ini saya sempat membelek-belek kitab kecil yang dikarang oleh Sheikh Wajdi Ghunaim yang bertajuk, ‘Maza ba’da Ramadan?’ Antara isi kandungan yang dikongsi beliau ialah: Janganlah kita menjadi hamba Ramadan. Kita semua perlu menjadi hamba Allah SWT. Usahlah kita hanya giat melakukan pelbagai ibadah di dalam bulan Ramadan sahaja. Tetapi di bulan-bulan yang lain, kita terus menjadi lemah dna futur. Ujar beliau lagi, tuhan kita bukan di bulan ramadan sahaja. Tuhan kita juga adalah dalam bulan Shawwal dan 11 bulan yang lainnya. Justeru itu, marilah kita berusaha agar fenonema futur ini tidak berulang seperti tahun-tahun yang sebelum ini.

Saya tertarik dengan penulisan oleh Solikhin Abu Izzuddin di dalam kitabnya berjudul, Management Ramadan. Beliau menjelaskan ada 10 indikasi sesoerang itu gagal meraih keutamaan Ramadan. Antaranya ialah seperti berikut:-
1. Kurang optimal melakukan warming up dgn lakukan ibadah sunat di bulan Rejab dan Sya'ban.
2. Ketika sasaran pembacaan Al Quran disasarkan, minimumnya 1 kali khatam tidak terpenuhi selama satu bulan Ramadzan.
3. Ketika puasa tak menghalangi seseorang dari penyimpangan mulut spt membicarakan keburukan org, mengeluarkan kata-kata kasar, membuka rahsia, mengadu domba, menebar fitnah, berdusta dan sebagainya.
4. Ketika puasa tidak biasa menjadikan pelakunya berupaya memelihara mata dari melihat yang haram.
5. Ketika malam-malam Ramadan menjadi tak ada bezanya dengan malam selainnya.
6. Jika saat berbuka puasa menjadi saat melahap semua keinginan nafsunya yang tertahan sejak pagi hingga petang.
7. Ketika bulan Ramadan tidk dioptimalkan utk banyak mengeluarkan infaq dan sedekah.
8. Ketika Eidul Fitri lebih sibuk dgn persiapan lahir dan tidk memasukkan perbekalan ruhani sebanyak-banyaknya pada 10 hari terakhir utk memperbanyak ibadah.
9. Ketika Edul fitri tiba, dirayakan laksana hari merdeka, seperti orang yang keluar dari penjara; dan kembali melakukan perbagai penyimpangan
10. Setelah Ramadan, nyaris tak ada ibadah yang tidk diteruskan di bulan selanjutnya

Sebagai penutupnya,

Mari teruskan diri kita dgn ‘amal dlm Ramadan agar berterusan melalui perancangan di dalam unit-unit halaqah anda.
i. Qiyam
ii. Baca quran
iii. Sadaqah
iv. Puasa sunat 6

Semuanya ini adalah bekal untuk kita melakukan amar makruf, nahi munkar dan jihad fi sabilillah.

DAKWAH MELALUI TIKTOK DAN KESANNYA KEPADA REMAJA MUSLIM DI MALAYSIA

  DAKWAH MELALUI TIKTOK DAN KESANNYA KEPADA REMAJA MUSLIM DI MALAYSIA   Mohd Amirul Hafiz Ahmad, Solehuddin Shuib, Khairulazhar Samsudin...