PENGENALAN
Di
dalam Islam, Al-Quran merupakan sumber rujukan tertinggi yang menjadi mercu
kepada keagungan syiar Islam. Segala permasalahan berkaitan Islam, termasuklah
pengistinbatan hukum hakam semuanya dirujuk kepada Al-Quran dahulu sebagai
sumber utama. Al-Quran bukan sahaja menjadi sumber hukum, malahan ianya menjadi
sumber sebagai pedoman kehidupan manusia sejagat.
Sebagai
seorang yang beriman, kita hendaklah meyakini bahawa Al-Quran adalah sumber
yang tidak ada kekurangan dan relevan sepanjang masa. Cogan kata yang di petik dari
para ulama’ terhadap Al-Quran iaitu salih li kulli zaman wa makan (
kitab suci yang merentasi zaman dan keadaan) menunjukan bahawa Al-Quran adalah
satu sumber yang sangat relevan sepanjang zaman.
Untuk
menjaga kemuliaan dan kesucian ayat-ayat Al-Quran, para ulama’ tafsir telah
menyusun kaedah penafsiran yang sangat jitu dan mempunyai disiplin yang ketat,
agar penafsiran itu selari dengan apa yang cuba disampaikan oleh Allah dan
RasulNya kepada umat manusia keseluruhannya.
Namun
begitu, seiring dengan peredaran zaman telah munculnya sebuah gerakan liberal
yang berselindung di sebalik nama Islam mewujudkan keraguan di kalangan umat
Islam mengenai kaedah penafsiran Al-Quran yang sedia ada dan menyatakan bahawa
kaedah tafsiran yang sedia ada adalah kaedah yang salah dan menyempitkan
pemodenan manusia.
PERMASALAHAN
Gerakan Islam Liberal
telah wujud di akhir zaman ini dan telah menyebabkan perpecahan di kalangan
umat Islam. Keraguan demi keraguan telah diwujudkan oleh golongan ini terhadap
umat Islam yang semakin rapuh ilmun pengetahuan dan keimanan mereka. Ini
sekaligus telah menyebabkan ramai umat Islam terjebak dan terpengaruh dengan
gerakan liberalisme ini.
Pemikiran
golongan ini adalah berasaskan kepada pegangan falsafah kaum Barat iaitu
berkaitan Humaniterisme iaitu satu pegangan yang menekankan mengenai hak
kemanusiaan setiap individu. Mereka ini berpegang kepada prinsip barat iaitu
hak kebebasan individu dan mereka berpandangan ini adalah pegangan yang paling
relevan mengikut peredaran zaman. Namun begitu, mereka tidak melihat bahawa
kaum Barat sendiri gagal memakmurkan kehidupan penduduk mereka walaupun
berpegang dengan prinsip ini.
Demi
untuk merelisasikan pegangan mereka, mereka cuba untuk mengubah tafsuiran
sumber utama rujukan umat Islam dahulu, iaitu Al-Quran. Mereka mengatakan
bahawa kaedah penafsiran Al-Quran yang telah ditetapkan oleh ulama’ adalah
salah dan menyekat perkembangan kemodenan manusia.
Mereka
juga dengan lantang menolak sebahagian ayat-ayat Al-Quran yang dirasakan tidak
relevan pada zaman ini dan mengatakan bahawa sebahagian ayat Al-Quran hanya
relevan pada zaman Nabi Muhammad sahaja. Mereka juga mengatakan bahawa Al-Quran
hanya menceritakan sesuatu yang relevan untuk masyarakat arab pada zaman Nabi
Muhammad sahaja.
Walaupun
secara dasarnya mereka tidak menolak keseluruhan ayat Al-Quran, tetapi mereka
hanya berpegang kepada ayat-ayat yang dirasakan relevan pada zaman sekarang
sahaja seperti ayat yang berkaitan hak asasi manusia dan yang seumpamanya.
Selebihnya, mereka akan mengubah tafsiran mengikut cita rasa mereka dan nafsu
mereka agar impian mereka terlaksana. Bagi sebahagian ayat yang mereka tidak
dapat mencari tafsiran yang sesuai mengikut akal mereka maka mereka akan
menolak ayat tersebut dan menyatakan bahawa ayat tersebut tidak sesuai dengan
peredaran zaman.
Golongan
ini juga giat menekankan supaya kaedah penafsiran Al-Quran di kaji semula.
Mereka berpendapat bahawa semua orang berhak untuk mendatangkan ijtihad sendiri
dalam menafsirkan Al-Quran dan tidak hanya ekslusif untuk golongan agamawan
semata-mata. Malahan mereka menekankan bahawa Al-Quran yang tidak boleh di
canggahi hanyalah Al-Quran yang asal iaitu di Luh Mahfudz, sebaliknya Al-Quran
yang telah tertulis adalah hasil dari kecerdasan pemikiran Nabi Muhammad dan
boleh di ubah sesuai dengan peredaran zaman.
OBJEKTIF KERTAS KERJA KAJIAN
Di dalam kertas kerja ini
akan dijelaskan perbincangan berkaitan TIGA(3) perkara utama, iaitu:
a.
Memberi takrifan berkaitan tafsir liberal
di dalam Al Quran
b.
Menerangkan contoh-contohnya dan kesannya
kepada masyarakat Islam
c.
Memberi kaedah untuk mengelakkan dari
terpengaruh
OBJEKTIF YANG PERTAMA - TAKRIFAN BERKAITAN
TAFSIR LIBERAL DI DALAM AL QURAN
DEFINISI TAFSIR AL
QURAN
Pengertian
tafsir Al Quran secara umum menurut bahasa ialah penerangan ataupun penjelasan.
Dari sudut syara’ pula ianya membawa makna suatu cabang ilmu untuk memahami
kitab Allah yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad, serta dapat mengetahui
makna-maknanya, dapat mengeluarkan hukum hakam dan hikmahnya.
Seorang penafsir Al-Quran perlu
menguasai ilmu bahasa Arab, nahu, sorof, qira’at, bayan, asbab al-nuzul, usul
al-fiqh serta al-nasikh wa al-mansukh. Imam Suyuti pula menambah bahawa seorang
penafsir itu juga perlu mengetahui mengenai ayat-ayat Makki serta Madani, ayat
Muhkam dan mutasyabih, ayat-ayat khas serta ‘am dan juga ayat yang Mutlaq serta
muqayyad.
DEFINISI LIBERAL
Pengertian
liberal secara umum yang ditafsirkan oleh pihak Jakim ialah, suatu kaedah
pemikiran bebas, terbuka dan dikawal oleh hawa nafsu dalam pelbagai cabang
bidang, dan bukan hanya khusus di dalam bidang agama sahaja. Namun begitu,
definisi hawa nafsu itu menjadi pertikaian beberapa cendiakawan dalam
menafsirkannya dan kaitannya dengan pemikiran bebas. Kesimpulan yang terdekat
kaitan di antara pemikiran bebas dan hawa nafsu tersebut ialah satu kaedah
pemikiran bebas serta tidak terikat yang tidak berpandukan kepada garis panduan
sepatutnya di dalam sesuatu bidang.
Mantan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli
Mohamad Al-Bakri ada menyatakan definisi Gerakan liberalisme agama ialah satu
bentuk Gerakan untuk membebaskan umat Islam dari belenggu kesempitan dan
ketinggalan akibat bentuk fahaman konservatisme serta fundamentalisme agama
dengan kaedah menghargai kepelbagaian pandangan, membuka pintu ijtihad kepada
semua orang, memperjuangkan hak asasi manusia serta mempertahankan kebebasan
untuk semua.
Sekiranya
di nilai, tidak ada kesalahan di dalam Gerakan tersebut, namun begitu
sebenarnya Gerakan tersebut bergerak dengan kaedah meruntuhkan dan melemahkan
kaedah tradisi ilmuan Islam serta tidak mengikut garis panduan yang telah
ditetapkan agar tidak tergelincir kepada kesalahan. Malahan pula, pintu ijtihad
di buka tanpa ada sekatan kepada semua orang, sama ada mereka menguasai
keilmuan agama ataupun tidak.
Sekiranya
dilihat kepada kedua-dua tafsiran tersebut, dapatlah kita nilaikan bahawa untuk
menafsirakan Al-Quran, seorang penafsir tersebut perlulah menguasai pelbagai
cabang ilmu, agar bentuk penafsiran tersebut tidak lari dari landasan sebenar
maksud yang ingin disampaikan oleh Allah Taala kepada para hamba-Nya.
Namun
begitu, bagi seorang yang berideologi liberal, mereka bebas untuk menafsirkan
Al-Quran tanpa melalui landasan keilmuan sepatutnya. Bagi mereka sesiapa sahaja
yang berakal boleh menafsirkan Al-Quran mengikut acuan yang dikehendaki oleh
diri masing-masing. Teori relativisme digunakan oleh golongan ini untuk
menafsirkan nas-nas di dalam Al-Quran dengan menyatakan bahawa tidak ada suatu
pun kebenaran yang mutlak.
Golongan liberal
menafsirkan Al-Quran secara konseptual dan Scriptularist iaitu memahami
Al-Quran secara kesatuan yang menyeluruh dan tidak terikat dengan mana-mana
kaedah tradisi di dalam agama. Golongan liberal ini terpengaruh dengan budaya
skeptik, iaitu berasa curiga dengan kebenaran di dalam agama. Atas dasar ini,
maka para liberalist ini mengkritik kaedah para ulama’ dalam menafsirkan
Al-Quran dan beranggapan bahawa kaedah mereka adalah jumud.
OBJEKTIF YANG KEDUA: MENERANGKAN CONTOH-CONTOHNYA DAN KESANNYA
KEPADA MASYARAKAT ISLAM
Di dalam Surah Al Baqarah
ayat 256, Allah SWT berfirman:
لَآ إِكْرَاهَ فِى ٱلدِّينِ ۖ قَد تَّبَيَّنَ
ٱلرُّشْدُ مِنَ ٱلْغَىِّ ۚ فَمَن يَكْفُرْ بِٱلطَّـٰغُوتِ وَيُؤْمِنۢ بِٱللَّهِ فَقَدِ
ٱسْتَمْسَكَ بِٱلْعُرْوَةِ ٱلْوُثْقَىٰ لَا ٱنفِصَامَ لَهَا ۗ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
٢٥٦
Ertinya:
Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam),
kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh
itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah,
maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh
yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha
Mengetahui.
Berdasarkan
kepada surah al-Baqarah ayat 256, para ulama’ menafsirkan makna sebenar ayat
tersebut ialah larangan bagi kaum muslimin untuk memaksa orang bukan Islam
untuk memeluk Islam. Sebaliknya keputusan seseorang untuk memeluk Islam
mestilah atas dasar redha serta ikhlas tanpa paksaan mana-mana pihak. Namun
begitu, umat Islam tetap digalakan untuk menyampaikan dakwah secara hikmah
kepada golongan tersebut.
Berbeza
dengan tafsiran yang dilakukan oleh golongan liberal, mereka menafsirkan bahawa
ayat tersebut menjelaskan bahawa setiap manusia layak untuk menjadi mujtahid
dan bebas berfikir secara rasional untuk memenuhi kehendak nafsu dalam mencari
sesuatu kebenaran. Malahan tidak ada sesiapa pun boleh menghukum seseorang itu
kafir, murtad ataupun ahli bida’ah.
Melihat
kepada perbezaan tafsiran tersebut jelas menunjukan bahawa golongan liberal
hanya menggunakan akal serta rasional semata-mata untuk menafsirkan ayat
Al-Quran demi tujuan untuk menghalalkan ideologi mereka untuk mencapai
kebebasan. Mereka secara terang-terangan mengkritik dan menolak autoriti agama kerana
bagi pandangan mereka tradisi keilmuan ini menyebabkan manusia terkongkong dari
mencapai kebebasan dalam beragama dan sekaligus menafikan kebebasan hak asasi
manusia.
وَجَاۤءَهٗ قَوْمُهٗ
يُهْرَعُوْنَ اِلَيْهِۗ وَمِنْ قَبْلُ كَانُوْا يَعْمَلُوْنَ السَّيِّاٰتِۗ قَالَ يٰقَوْمِ
هٰٓؤُلَاۤءِ بَنَاتِيْ هُنَّ اَطْهَرُ لَكُمْ فَاتَّقُوا اللّٰهَ وَلَا تُخْزُوْنِ
فِيْ ضَيْفِيْۗ اَلَيْسَ مِنْكُمْ رَجُلٌ رَّشِيْدٌ
Ertinya:
Dan kaumnya segera datang
kepadanya. Dan sejak dahulu mereka selalu melakukan perbuatan keji. Lut
berkata, “Wahai kaumku! Inilah putri-putri (negeri)ku mereka lebih suci bagimu,
maka bertakwalah kepada Allah dan janganlah kamu mencemarkan (nama)ku terhadap
tamuku ini. Tidak adakah di antaramu orang yang pandai?”
Surah Al-Hud Ayat 78
Berdasarkan
ayat di atas, ulama’ mufassirin menafsirkan bahawa kaum Nabi Luth datang dalam
keadaan yang bersemangat dan penuh dengan nafsu, kerana mereka mendapat
perkhabaran bahawa ada tetamu lelaki yang datang menziarahi Nabi Luth dan
keadaan rupanya yang sangat kacak. Kaum nabi Luth terkenal mempunyai nafsu
sesama jenis dan ingin Nabi Luth menyerahkan tetamu tersebut kepada mereka,
padahal mereka tidak mengetahui bahawa tetamu tersebut adalah malaikat yang
menyerupai lelaki.
Melihat
kepada keadaan nafsu kaum Nabi Luth yang songsang iaitu lelaki menyukai lelaki,
manakala wanita menyukai wanita, maka malaikat tersebut datang untuk
memberitahu kepada Nabi Luth bahawa kaumnya akan ditimpa bala oleh Allah Taala
atas sebab perbuatan mereka. Perkabaran itu disampaikan kepada Nabi Luth agar
baginda sempat menyelamatkan diri bersama para pengikut beliau yang taat.
Menurut
pandangan akal rasional golongan liberal dalam menafsirkan ayat ini pula,
mereka menyatakan bahawa Allah Taala menurunkan bala kepada kaum Nabi Luth di
sebabkan perbuatan mereka yang biadap terhadap tetamu yang datang menziarahi
Nabi Luth, bukan disebabkan oleh perbuatan mereka yang melayani nafsu songsang
mereka.
Hasil
daripada tafsiran golongan liberal ini, maka mereka dengan jelas dan
terang-terangan menghalalkan aktiviti LGBT iaitu suatu jenis aktiviti hubungan
songsang yang berlaku kepada umat Nabi Luth. Mereka mengatakan bahawa Allah
Taala tidak akan menimpakan bala kepada mereka yang bernafsu songsang dan tidak
ada kesalahan di dalam berhubungan sesama jenis.
OBJEKTIF YANG KETIGA - MEMBERI
KAEDAH UNTUK MENGELAKKAN DARI TERPENGARUH
MENGHADKAN KEBEBASAN BERSUARA
Pada tahun 2018, telah berlaku
peralihan kuasa kerajaan kepada satu parti yang telah memberikan kelonggaran
serta kebebasan yang berlebihan dalam bersuara. Ini menyebabkan golongan
liberal ini telah semakin berani menyuarakan ideologi hak kebebasan dan
menuntut agar kerajaan meneliti semula undang-undang sedia ada agar selari
dengan hak kebebasan manusia menurut acuan Barat.
Golongan liberal ini juga dilihat
semakin berani untuk berjumpa dengan Menteri Hal Ehwal Agama pada ketika itu
iaitu Dr Mujahid Rawa untuk membincangkan agar satu kajian dilakukan semula
keatas penafsiran ayat-ayat Al-Quran agar selari dengan hak kebebasan manusia
termasuklah menghalalkan aktiviti LGBT.
Tindakan pihak kerajaan dalam
melonggarkan hak kebebasan bersuara ini telah menyebabkan pelbagai masalah yang
timbul, terutamanya penyebaran ideologi liberalisme ini serta tuntutan-tuntutan
yang dilakukan oleh mereka kepada pihak kerajaan. Melihat kepada permasalahan
ini, adalah wajar agar pihak kerajaan menghadkan kebebesan bersuara untuk
perkara-perkara yang tertentu sahaja dan menyekat penularan ideologi
liberalisme ini.
MEMPELAJARI
ILMU TAFSIR
Melihat kepada permasalahan tersebarnya
fahaman ideologi liberalisme ini dalam penafsiran Al-Quran, maka seharusnya
umat Islam keseluruhannya mengambil inisiatif untuk mempelajari ilmu tafsir
Al-Quran mengikut tradisi yang keilmuan yang benar agar tidak terpengaruh
dengan dakyah kaum liberal ini. Ini adalah kerana dengan kerapuhan menguasai
ilmu tafsir ini, umat Islam tidak mempunyai benteng dalam mempertahankan
keimanan berteraskan Al-Quran kerana tidak mengetahui tafsiran sebenar dari
ayat-ayat tersebut.
Keengganan umat Islam dalam
mempelajari ilmu tafsir juga menyebabkan umat Islam lebih condong memandang
kepada barat dan terikut kepada ideologi mereka. Ini menyebabkan akan lahir
lebih ramai mujtahid-mujtahid yang menafsirkan ayat Al-Quran berdasarkan kepada
rasional akal semata-mata demi memenuhi tuntutan nafsu semata-mata.
KESIMPULAN
Ideologi
liberalisme yang terhasil dari pemikiran barat semakin menerjah masuk di
kalangan umat Islam masa kini. Iedeologi yang melaungkan kebebasan manusia ini menyebabkan
ramai orang tergelincir dari landasan ilmu yang sebenar dalam membuat
penafsiran ayat-ayat Al-Quran, sehinggakan Al-Quran yang sepatutnya menjadi
pedoman umat Islam dalam kehidupan seharian ditafsirkan menurut akal logik yang
bersesuaian dengan nafsu.
Fatwa
yang telah dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan juga Majlis Fatwa
Negeri Selangor, jelas menunjukan ancaman oleh golongan liberal ini. Ancaman
ini menjadi lebih parah apabila umat Islam sekarang semakin kurang mendalami
ilmu agama mengikut acuan tradisi serta lebih terikut kepada acuan Barat. Hak
kebebasan bersuara juga menyebabkan pengikut ideologi ini semakin lantang dalam
menyuarakan ideologi mereka.
Justeru
itu, kita sebagai umat Islam seharusnya lebih cakna mengenai isu liberalisme
ini dan mempertahankan tradisi keilmuan Islam khususnya dalam ilmu tafsir
Al-Quran, kerana ia menjadi rujukan utama umat Islam. Sekiranya Al-Quran
ditafsirkan secara logik akal dan berpandukan nafsu, maka akan pincanglah umat
Islam itu sendiri dan akhirnya akan terjerumus seperti kaum Kristian yang
menafsirkan Bible mengikut logik dan kesesuaian zaman.
RUJUKAN
“Tafsir Liar Islam
Liberal.” Www.qureta.com, www.qureta.com/post/tafsir-liar-islam-liberal.
Accessed 20 Nov. 2022.
Ahmad, Abu Dzar, and Nik Din, Nik Ahmad Mumtaz.
"Kritikan Islam Liberal Terhadap Pentafsiran Al-Quran: Tumpuan Isu
Terhadap Ayat 256, Surah Al-Baqarah." Jurnal Al-Haady, 2021.
Azmi, Ahmad Sanusi. "Ancaman Pemikiran Liberal Terhadap
Pembangunan Peradaban Islam Di Malaysia: Analisis Isu-Isu Berkaitan Penafsiran
al-Quran." Jurnal Peradaban Islam, 2020.
CelikTafsir,
Author. “Tafsir Surah Hud Ayat 78 – 81 (Kaum Nabi Luth Homoseksual).” Celik
Tafsir, 31 Aug. 2016, celiktafsir.net/2016/08/31/hud-ayat-78-81/. Accessed 20
Nov. 2022.
Eni, Zulaini, et
al. "Selayang Pandang Tafsir Liberal di Indonesia." Jurnal Iman dan
Spiritualitas, 2021, https://doi.org/http://dx.doi.org/10.15575/jis.v1i2.11700.
Maofur, Edward ,
and Mohd. Yusoff, Mohd Yakub@Zulkifli. "Pengaruh Liberalisme Terhadap
Kajian Al-Quran di Indonesia." Jurnal Usuluddin, 2014.
MUHAMAD, FAISAL.
“Islam Liberal: Satu Definisi.” Sinar Harian, 19 Sept. 2020,
www.google.com/amp/s/www.sinarharian.com.my/ampArticle/101665. Accessed 20 Nov.
2022.
Tarmizi, Luqman. “AL-KAFI #1226 : Perbezaan
Antara Tafsir Dan Tadabbur Al-Qur’an.” Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, 18
Apr. 2019,
muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3322-al-kafi-1226-perbezaan-antara-tafsir-dan-tadabbur-al-qur-an.
No comments:
Post a Comment