Monday, September 19, 2022

Pembahagian falsafah menurut Ibn Khaldun dan al- Ghazali

 Berikut dijelaskan pembahagian falsafah menurut Ibn Khaldun dan al- Ghazali.

Pembahagian falsafah menurut Ibn Khaldun

Karya Muqaddimah oleh Ibnu Khaldun menjelaskan pelbagai ilmu yang menuntut daya berfikir.Ilmu-ilmu intelek adalah sesuatu yang semulajadi bagi manusia.  Perbagai ilmu telah wujud dalam kehidupan manusia sejak adanya peradaban.  Ilmu-ilmu tersbut disebut sebagai ilmu-ilmu falsafah.  Ianya dapat dipecahkan kepada empat bahagian iaitu ilmu mantiq, ilmu fizik, metafizik, dan ilmu matematik.

Ilmu yang pertama ialah mantiq(logika).  Ia adalah ilmu yang dapat menghindarkan fikiran dari kesalahan melakukan sengketa proses penyusunan fakta-fakta yang tidak diketahui yang diusahakan dari fakta yang tersedia dan diketahui.  Melaluinya memungkinkan seseorang penuntut ilmu untuk dapat membezakan antara yang benar dan salah.

Ilmu yang kedua ialah disiplin ilmu fizik.  Para ahli falsafah boleh mempelajari unsur-unsur galian yang dapat ditanggapi melalui indera seperti galian, tumbuh-tumbuhan, dan binatang-binatang yang diciptakan daripada unsur-unsur bahan, benda-benda di angkasa, pergerakan semula jadi, dan jiwa daripadanya adalah asal pergerakan dan lain-lain.

Ilmu yang ketiga ialah ilmu yang disebut metafizik.  Mereka boleh mempelajari hal-hal spiritual.

Ilmu yang keempat pula ialah ilmu matematik.  Iaitu pembelajaran tentang sukat dan ukur.  Ilmu matematik yang pertama ialah geomertri, ilmu ukur.  Ilmu matematik kedua ialah ilmu kira-kira.  Ilmu matematik yang ketiga ialah muzik dan akhir sekali ilmu matematik keempat ialah astronomi.

Berikut dijelaskan pula pembahagian falsafah menurut Al- Ghazali.

Pembahagian falsafah menurut Al Ghazali

Al-Ghazali adalah orang pertama yang mengklasifikasikan semula ilmu falsafah kepada enam(6) bahagian iaitu Riyadiyyat(matematik), mantiq(logic), Tabiiyyat(fizik), Ilahiyyat(ketuhanan), siasah dan Khuluqiyyat(akhlak).

Matematik menurut Al-Ghazali ialah berkaitan dengan ilmu kira-kira, geometri, dan kosmografi. Ia tidak berkaitan dengan perbahasan dari sudut agama, menolak tidak dan menafikan pun tidak.  Ia berdasarkan ilmu yang berkaitan pembuktian(Burhan) dalil dan bukti.  Bila sudah difahami, tidak ada jalan bagi menolaknya.

Mantiq(logik) pula ialah ilmu yang berkaitan dengan logik akal dan bagaimana akal sebagai agen penyusun hujah-hujah yang dikemukakan. Ilmu ini tidak ada hubungan dengan agama.  Ia tidak menentang dan tidak menyokong.  Malah ilmu ini membincangkan cara pendalilan dan qiyas serta syarat-syarat muqaddimah bagi satu-satu burhan, cara-cara atau teknik-teknik penyusunannya dan syarat-syarat takrif yang betul serta teknik penyusunannya.

Tabi’iyyat(Ilmu fizik) pula berkaitan dengan alam langit serta segala planet dan bintang-bintangnya, mengkaji alam di bawah langit termasuk di dalamnya jisim-jisim tunggal seperti air, udara, tanah dan api, dan jisim sebatian seperti haiwan, tumbuhan dan logam.    Ia mengkaji juga sebab-sebabnya berubah berpisah dan bertangkup.  Asas bagi semua hujah bantahan itu ialah pengakuan kita bahawa alam natur ini adalah semuanya di bawah kekuasaan Allah SWT, tidak bergerak dengan sendirinya.

Selain itu, ilmu ketuhanan(ilahiyyat/metafizik) dalam falsafah mengkaji aspek ketuhanan dari perspektif akal. Ilmu ketuhanan ini didasari oleh perbincangan mantiq dan logik. Ilmu ini menurut Al-Ghazali tersimpang daripada falsafah ketuhanan yang sebenar.   Dalam masalah ini banyak ahli falsafah banyak tersalah.  Di sini mereka tidak berdaya membuktikan kemampuan burhan-burhan sebagaimana yang hendak mereka syaratkan dalam ilmu mantiq.  Dengan sebab itulah terdapat banyak perselisihan timbul dalam kalangan mereka sendiri.  Masalah metafizik aliran Aristotles hampir mendekati aliran Islam sebagaimana yang disampaikan oleh Al Farabi dan Ibnu Sina.  Di sana terdapat 20 kesalahan kesemuanya.  Tiga(3) dikafirkan, dan tujuh belas(17) dibid’ahkan. Dua puluh perkara ini didedahkan di dalam kitab Tahafur al Falasifah.

Siasah menurut Al-Ghazali adalah perkara yang berkaitan dengan unsur-unsur keduniaan yang membantu manusia menjalani kehidupan seharian dengan lebih baik. Idea-idea itu mereka cedok daripada kitab-kitab yang diturunkan Allah SWT dan dari kata-kata hikmat para Nabi-nabi terdahulu.

Ilmu yang terakhir dalam ilmu falsafah menurut Al-Ghazali ialah akhlak(khuluqiyyah) iaitu ilmu yang berkaitan bagaimana seseorang menjalani kehidupan seharian dengan sikap dan peribadi yang mulia.  Semua perbincangan tentang etika bertumpu pada menentukan sifat-sifat yang patut menghiasi jiwa dan perlakuan seseorang yang memang banyak ragamnya serta cara mengubati jiwa dan melawan hawa nafsu.  Semua ini mereka ambil dari ajaran tasawuf, kerana sufi sahajalah orang yang mendampingi Allah SWT yang tekun berzikir mengingati-Nya, melawan hawa nafsu dan menempuh jalan kepada Allah SWT dengan cara membelakangkan keseronokan dunia.  Dalam bermujahadah ini, terbukalah kepada mereka sifat-sifat terpuji yang patut menghiasi seseorang dan sifat-sifat keji yang wajib dijauhi.  Apa yang dipelajari semuanya mereka amalkan.  Maka datang Falasifah mengambil kesemuanya ini, lantas dicampurkan dengan buah fikiran.  Dalam diam-diam dapatlah mereka menggunakan hiasan suci ini bagi menutup kepalsuan mereka.

Perbandingan antara falsafah menurut Ibn Khaldun dan menurut Al Ghazali

Apabila dilihat daripada pembahagian falsafah Ibn Khaldun dan Al-Ghazali, didapati terdapat kesamaan keduanya di dalam falsafah teori yang meliputi aspek Matematik, logik, fizik dan metafizikPerbezaan yang besarnya ialah falsafah Ibnu Khaldun tidak ada membincangkan berkenaan falsafah praktikal iaitu berkaitan siyasah dan etika.

Kesimpulan

Pecahan falsafah oleh Ibnu Khaldun dan Al-Ghazali telah dihuraikan dan seterusnya dibuat perbandingan persamaan dan berbezaannya.  Perbezaan yang ketaranya, Ibnu Khaldun tidak membincangkan soal falsafah praktikal.

No comments:

DAKWAH MELALUI TIKTOK DAN KESANNYA KEPADA REMAJA MUSLIM DI MALAYSIA

  DAKWAH MELALUI TIKTOK DAN KESANNYA KEPADA REMAJA MUSLIM DI MALAYSIA   Mohd Amirul Hafiz Ahmad, Solehuddin Shuib, Khairulazhar Samsudin...