Monday, September 19, 2022

KEPIMPINAN DALAM ISLAM MENURUT PANDANGAN IBNU KHALDUN

Falsafah kepimpinan menurut Ibn Khaldun yang mensyaratkan pemimpin mesti daripada kalangan bangsa utama dalam wilayah yang dipimpin.

Di dalam kitab mukaddimah sarjana Ibn Khaldun telah menulis pelbagai tajuk yang penting.  Antaranya berkaitan dengan kepimpinan.  Kepimpinan di dalam Islam adalah suatu perkara yang penting agar sesuatu negara itu teratur dan diurus dengan baik.

Ibn Khaldun telah meletakkan empat syarat wajib bagi pemimpin iaitu ilmu, keadilan, kesanggupan atau kemampuan, pancaindera yang elok.  Ditambahi satu syarat yang dieprdebatkan iaitu mestilah dari golongan Quraisy.  Prasyarat ini didasarkan kepada Hadits kepemimpinan dari kaum Quraisy secara tekstual memang jelas berbunyi demikian ( الأئمة من  قريش) Quraisy merupakan anak keturunan Nadhar bin Kinanah.

Setelah mengambil kelas ini, bagi saya maklumat ini adalah sesuatu yang baru bagi saya.  Apabila diperjelaskan pula yang makna Quraisy ini dikaitkan pula dengan asobiyah. Maka saya menjadi semakin keliru.  Adakah terdapat aspek yang baik disebalik kaitan tersebut.  Seoanjang pengalaman saya, istilah ‘asobiyah telah diberi satu konotasi yang amat negatif sejak saya di bangku sekolah menengah lagi. Asobiyah juga telah disamaertikan pula dengan nasionalisme.  Di mana nasionalisme yang diceritakan di dalam silibus sejarah tidak memaparkan secara jelas seperti mana yang diterangkan oleh Ibn Khaldun.  Saya yakin, ramai lagi warga Muslim di dunia Islam yang keliru dengan perkara ini.

Hal ini juga diburukkan oleh suasana politik di negara ini.  Politik Islam dan politik sekular.  Suatu masa dulu,  parti politik Islam menyerang habis-habisan ‘asobiyah, nasionalisme, sekularisme dan pelbagai isme yang lain.  Parti pemerintah pada masa itu, dilabelkan sebagai mewarisi legasi penjajah British dan meneruskan kelangsungan fahaman kebangsaan Melayu dan sekular. 

Jadilah timbullah di dalam minda saya adakah definisi ‘asobiyah yang sebenar? mengapa Ibn Khaldun menganjurkan keperluan wujudnya ‘asobiyah bagi sesebuah negara?  Apakah ‘asobiyah yang dibolehkan dan yang tidak dibolehkan?   Apa kaitan cintakan watan dengan iman?  Kesemua ini akan saya rungkaikan saya persatu berdasarkan pemahaman saya.

Definisi ‘asobiyyah berasal dari kata dasar ‘asab yang membawa erti menambat, mengikat, dan memintal sesuatu.  Ia juga membawa erti berkumpul.  Di dalam kamus Bahasa Arab, ianya mempunyai tidak lebih lapan makna.  Dari segi Bahasa dapat disimpulkan bahawa ‘asobiyah merujuk kepada kumpulan manusia, sifat atau perasaan, dan perasaan kepuakkan yang tidak berbelah bagi sama ada baik atau buruk.

Di dalam al Quran ianya menggunakan istilah al-‘usbah.  Semuanya menggambarkan makna puak atau kumpulan .  Kumpulan atau puak itu mempunyai ikatan keturunan.  Di dalam beberapa buah hadis ada disebutkan berkaitan dengan ‘asobiyyah.  Misalnya,

Bukan dari golongan kami, orang yang menyeru kepada ‘asobiyah, dan bukan dari golongan kami, orang berperang di atas dasar ‘asobiyah, dan bukan dari golongan kami orang yang mati di atas dasar ‘asobiyah.

HR Ibnu Majah,2:1 302, No hadis 3948

Seperti yang saya sebutkan dari awal tadi, umum banyak terdedah kepada dalil dan hadis yang menjelaskan sisi negative tanpa diberi huraian yang secara menyeluruh.  Justeru itu berlakulah salah faham terhadap istilah ini dan aplikasinya dalam negara kita.  Daripada hadis yang disebutkan tadi, jelas bahawa yang dimaksudkan di sini ialah mencintai kaum sendiri tidak dilarang.  Yang dilarang ialah menolong kaum sendiri melakukan kezaliman.

Pada sisi yang lain pula, konotasi negatif berkaitan bangsaku ini menyebabkan kita tidak berani bersuara demi kepentingan bangsa Melayu misalnya kononnnya takut dilabelkan sebagai perkauman atau ultra-Malay.  Pihak musuh telah mengambil ini sebagai satu peluang untuk melemahkan kita di atas laungan keadilan, kesaksamaan dan kesamarataan. 

Berbalik kepada ‘asobiyah menurut pandangan Ibn Khaldun, asal usul pengertian ‘asobiyah adalah daripada perhubungan yang dihasilkan oleh pertalian darah daging.  Hubungan itu itu ialah perasaan silaturrahim yang ada pada diri manusia secara tabi’i.  Perasaan ini penting kepada kit ajika disalurkan kepada amalan tolong menolong dan berkasih sayang antara satu sama lain.   Asobiyah telah dijadikan oleh Allah dalam diri manusia untuk mempertahankan diri, bangsa dan puak daripada serangan musuh.  Menurut Ibnu Khaldun lagi, perasaan ini amat penting untuk sesuatu bangs aitu kompetitif dan berkembang maju. 

Namun begitu, ‘asobiyah boleh disalurkan kepada berkaitan dan boleh juga kepada kejahatan.

Justeru itu apakah sisi kebaikan ‘asobiyah menurut Ibn Khaldun?   Menurut beliau, ‘asobiyah penting dalam konteks hendak membangunkan sesebuah bangsa dan negara.

Kepimpinan sangat diperlukan dan diberikan kepada golongan yang berwibawa. Apabila ketua itu dilantik menjadi ketua, maka beliau wajib dipatuhi.  Dia mesti ada kuasa untuk mengarah kerana ia dari kelompok golongan yang berwibawa.  Kewibawaan inilah yang diperlukan dalam menjaga sesebuah masyarakat.  Jika ingin dikaitkan dengan politik semasa, masing-masing telah melalui fasa apabila kuasa majoriti Melayu Islam sudah diambil oleh kelompok yang bukan Islam yang bukan majoriti.  Setiap hari yng dilalui amat mencemaskan dan mendukacitakan terutamanya yang berkaitan dengan kepentingan Islam dan Melayu.

Justeru itu, parti politik melayu muslim mestilah strategik dalam berpolitik dan bukannya bercakaran sesama sendiri untuk memenuhi ambisi peribadi.

Menurut Ibn Khaldun lagi, Tujuan asobiyah ialah memberikan pertahanan dan kawalan yang baik, menuntut hak dan dan menjauhkan diri dari dizalimi.

Justeru itu kepimpinan mestilah diberikan kepada golongan yang kuat ‘asobiyyahnya antara golongan yang ada dalam masyarakat. Jika yang dilantik itu tidak berwibawa atau tidak kuat ‘asobiyahnya, maka ia akan tunduk kepada kepada golongan yang kuat ‘asobiyahnya.  Contoh mudahnya ialah pengalaman kita dalam politik semasa di negara kita.

Setelah dijelaskan sisi positif ‘asobiyah, apakah sisi negative ‘asobiyah?  Apakah yang dimaksudkan pula dengan ‘asobiyah yang ditolak?  Sebenarnya ‘asobiyah yang ditolak ialah asobiyah yang melakukan kezaliman, jahiliyah rasisme, tidak tahu mana yang benar dan salah dan takbur.

Zalim dari segi bahasanya membawa maksud gelap, hitam dan pada istilahnya tidak ada keinsafan, meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya.  Zalim itu dapat dibahagikan kepada kezaliman antara manusia dengan Allah, iaitu kufur, syirik dan nifaq.  Seterusnya kezaliman sesama manusia, dan akhirnya kezaliman pada diri sendiri.  Semua ini merujuk kepada membelakangi ajaran Allah SWT.

Ciri ‘asobiyah yang ditolak yang keduanya ialah bersifat jahiliyah.  Jahiliyah ini bukan merujuk kepada masa arab jahiliyah sahaja, tetapi ia boleh muncul pada setiap zaman.  Jahiliyah yang dirujuk sebagai menolak hukum Allah SWT.  Ciri yang seterusnya ialah tidak mengetahui mana yang benar dan mana yang salah.  Perjuangan atas dasar ‘asobiyah kebendaan dan hawa nafsu adalah satu kesesatan.  Al Hak itu adalah dari Allah dan bukan ciptaan manusia.  Akhir sekali ciri ‘asobiyah yang dicela ialah sifat takbur.  Penindasan, dan ketidakadilan merupakan perkara yang digolongkan dalam kesombongan bangsa.

Justeru itu, ‘asobiyah jahiliyah ini boleh berlaku pada individu, kumpulan, bangsa dan seterusnya negara.

Setelah memahami konsep yang diutarakan oleh Ibn Khaldun, saya mengambil sikap menerima konsep yang dipelopori oleh beliau.  Jika ingin dikaitkan dengan ‘asobiyah Melayu, kita tidak merujuk kepada ‘asobiyah jahiliyah yang sempit.  Perjuangan kebangssan ini luas dan sangat bersesuaian dengan huraian oleh Ibn Khaldun.

Gagasan ‘asobiyah Melayu kita mestilah berasaskan semangat cinta akan tanah air.  Berdasarkan konsep hubbul watan minal iman.  Iaitu kasihkan watan adalah dari keimanan.

Kesimpulan

Sebagai penutupnya telah dijelaskan definisi ‘asobiyah, kepentingan ‘asobiyah, sisi baik dan buruknya ‘asobiyah, dan kaitan cinta watan dengan iman.  Ibnu Khaldun telah meletakkan satu konsep yang hebat dan jika difahami oleh umat manusia pada masa kini akan harmoni dan aman damai.

No comments:

DAKWAH MELALUI TIKTOK DAN KESANNYA KEPADA REMAJA MUSLIM DI MALAYSIA

  DAKWAH MELALUI TIKTOK DAN KESANNYA KEPADA REMAJA MUSLIM DI MALAYSIA   Mohd Amirul Hafiz Ahmad, Solehuddin Shuib, Khairulazhar Samsudin...