Monday, September 19, 2022

Sekularisme berdasarkan buku oleh al-Attas bertajuk Risalah untuk Kaum Muslimin.

 Berikut dijelaskan berkaitan dengan definisi secular dan tiga ciri utama sekularisme berdasarkan buku oleh al-Attas bertajuk Risalah untuk Kaum Muslimin.

Sekular berasal dari perkataan latin saeculum, yang membawa makna masa dan keadaan dunia di mana masa itu berlaku.  Ini memberi maksud masakini di sini, masakini bermaksud kepada kenyataan masa sekarang, dan di sini bermaksud kepada dunia ini.  Justeru itu faham sekular itu merujuk kepada masa kedisinikinian.

Perubahan yang sentiasa berlaku pada dunia dan dalam dunia.  Ini membayangkan kepada satu kesimpulan bahawa perubahan yang dimaksudkan di sini merujuk kepada perubahan dalam pemikiran manusia menurut perubahan yang berlaku di alam sekeliling.  Iaitu perubahan nilai serta kepercayaan dan ilmu, yang terus menerus akan berlaku sebagai satu evolusi.

Pensekularisme pula membawa maksud keadaan sekular, atau gerak daya yang sedang berlaku yang mengisbatkan yang sekular.

Di sana ada tiga(3) ciri utama pensekularan iaitu pengosongan ala tabii dari semua makna ruhani, penafian semua kekudusan politik dan kepimpinan, dan penafian kesucian serta kekekalan semua nilai hidup.  Berikut dijelaskan huraian tiga(3) ciri utama berikut:

Pertama:  Pengosongan alam tabii(disenchantment of nature) dan akal insani dari semua makna ruhani; sehingga mengakibatkan pemisahan alam materi itu dari Tuhan, dan memperbezakannya dari insan, agar dapat kononnya insan meniliknya bukan lagi sebagai alam yang yang mempunyai hubungan maknawi dengan Tuhan. Tujuannya supaya manusia dapat bebas mempergunakan alam itu menurut kehendak dan keperluannya sendiri. Dengan itu, dapat pula dia mewujudkan perubahan sejarah yang membawa kepada konsep perkembangan dan pembangunan.

Kedua:  Penafian segala pengesahan terhadap kekuasaan dan kewibawaan politik(desacralization of politics) yang berdasarkan sumber-sumber ruhani dan agama; sehingga penafian ini dapat merupakan suatu prasyarat bagi menimbulkan perubahan politik , dan seterusnya perubahan masyarakat, yang membolehkan timbulnya gerak-daya perubahan sejarah.

Ketiga: Pengenalan kepada nilai nisbi(deconsecration of values) yang sentiasa akan berubah terhadap segala ciptaan kebudayaan dan tiap tiap rencana penilaian , termasuk rencana-bentuk penilaian agama dan pandangan alam yang mempunyai tujuan akhir yang tetap dan makna hidup yang muktamad, sehingga demikian kononnya dapat sejarah dan masa hadapan itu terbuka kepada perubahan, dan dapat insan itu bebas untuk membuat perubahan sekehendak hasratnya, serta dapat dia memesrakan dirnya dirinya dengan perubahan itu sebagai gerak daya evolusi.

Kesan sekularisme dan kepada kehidupan

Berikut dihuraikan pula mengenai kesan sekularisme dan kepada kehidupan kita. Kesan sekularisme ke atas umat Islam dapat dilihat melalui pelbagai cara iaitu bidang pendidikan, media massa serta media sosial, dan undang-undang.

Kesan melalui pendidikan[1]

Dalam aspek pendidikan, pelajar pengajian agama Islam disempitkan peluang secara material dan moden.  Secara moral pula penuntut bidang agama diperlekehkan dan dianggap tidak ada masa depan dalam konteks kerjaya.

Kesan dalam media dan media sosial

Di dalam konteks media media massa dan media sosial pula meliputi capaian bilangan yang lebih ramai.  Di era ledakan IR 4.0 kini, akan ada jutaan orang yang menonton, mendengar dan membacanya melalui pelbagai program yang dihidangkan.  Terlalu banyak program dan bahan yang tidak membantu perkembangan minda dan pengamalan akhlak Islam.  Program yang mempromosikan kebaikan dan akhlak mulia masih terlalu sedikit dan kurang memberi impak berkesan.

Kesan melalui undang-undang

Di dalam aspek ini, golongan sekularis amat giat menjauhkan Islam dari pemerintahan.  Mereka mempastikan  agar perundangan Islam tidak dijadikan panduan dalam semua perkara.  Undang-undang Islam diberi ruang yang amat kecil dalam soal nikah kahwin dan adat istiadat dan adat resam sahaja.  Perancangan golongan sekular ini berusaha memesongkan umat Islam dari beramal dengan agamanya mengikut jalan yang betul.  Muslim yang hatinya kosong dari iman pasti akan berkiblatkan barat atau sekular itulah yang membawa kemajuan, progresif dan moden.  Secara tidak  sedar, ia mencabut ikatan Islam dari tengkuknya dengan Islam.

Pendekatan menangani sekularisme

Dalam konteks Pendidikan, ialah melalui kembali menghayati Islam yang syumul.  Firman Allah di dalam surah Al Baqarah: 208

                    يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ

Ertinya:

Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.

 

Sebenarnya tidak ada istilah ilmu bukan Islam seperti bidang perubatan, kejuruteraan, senibina dan sebagainya.  Semua ilmu itu datangnya dari Allah SWT. Kita memerlukan para teknokrat yang menghayati Islam.  Konsep Islam yang syumul ini perlu diterapkan dari awal lagi.  Jika dalam konteks negara kita, dari masa TADIKA lagi sehinggalah ke menara gading.  Bermula dari pendidikan akidah, ibadah dan akhlak.  Dalam konteks negara, falsafahnya sudah ada dan Islamik.  Cuma pengisiannya sahaja perlu diperkemaskan lagi secara praktik.

Dalam konteks media massa dan media sosial pula, sepatutnya ia menjadi mimbar dakwahyang menyeru kepada kebaikan dan menyampaikan kebenaran.  Setiap perkataan, tulisan, video, filem yang baik akan menghasilkan hasil yang baik dan begitulah sebaliknya.  Oleh kerana itu, media massa dan media sosial berperanan mengangkat martabat, peribadi, maruah, minda seseorang.  TV hijrah, radio IKIM, facebook yang berunsurkan Islam yang mempromosikan produk islam patut diperbanyakkan dan digalakkan dan diberi insentif oleh kerajaan.

Dalam konteks undang undang pula, di negara kita umat Islam masih mempunyai kelebihan kerana ada diperuntukkan Perkara 3(1) dalam perlembagaan persekutuan berkaitan hal ehwal berkaitan islam.  Namun, ianya bergantung kepada intepretasi pemgamal undang undang dan orang ramai.  Kefahaman kepada islam yang syumul perlu dijelaskan agar majoriti rakyat negara ini dapat memahaminya.  Dengan itu, apabila kefahaman ini merata, mudah untuk ahli parlimen dengan 2/3 majoriti untuk mengubah sesuatu dasar terutamanya berkaitan Rang undang-undang(RUU) 355  berkaitan Islam.  Proses ini perlulah berjalan, walaupun ianya mengambil masa yang lama.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulannya, istilah sekularisma telah definisikan, ciri-cirinya juga telah dijelaskan. Kesan terhadap umat Islam juga telah dijelaskan dan kemudiannya diikuti dengan cara menanganinya secara praktik.  Ringkasnya, kesemua peringkat mempunyai peranan bagi  berdepan dengan cabaran sekularisme ini. Ianya berubah ke bentuk baru.  Justeru itu, pendekatan kita dalam menangnainya mestilah dinamik juga.  Jika tidak, kita akan ketinggalan dah kalah kepada usaha batil mereka. 



[1] Mohd Yusri Ibrahim, Secularism: The Propagated Factors and Steps to Overcome from the Islamic Perspective, International Journal of Humanities, Philosophy and Language, ms. 202-216

No comments:

DAKWAH MELALUI TIKTOK DAN KESANNYA KEPADA REMAJA MUSLIM DI MALAYSIA

  DAKWAH MELALUI TIKTOK DAN KESANNYA KEPADA REMAJA MUSLIM DI MALAYSIA   Mohd Amirul Hafiz Ahmad, Solehuddin Shuib, Khairulazhar Samsudin...