Wednesday, August 19, 2009

TUJUH MARHALAH DA'WAH FARDIYYAH: Siri 5

Salam wbth,

Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Ramadan kareem kepada sahabat-sahabat sekalian. Semoga Ramadan kali ini lebih dari yang sebelum ini.

Mari menjadikan madrasah ramadan bakal tiba ini menjadi medan latihan untuk mendidik dan menguatkan stamina iman dan mengawal hawa nafsu agar tunduk dan patuh kepada Allah SWT, insha Allah.


MARHALAH KEENAM: MEMAHAMI KEPERLUAN BERJAMA’AH

Di tahap ini, kita menjelaskan kepada mad’u bahawa semua kewajipan yang dinyatakan di atas tidak mungkin dapat dilaksanakan secara individu. Bahkan, sebuah jama’ah diperlukan untuk menggabungkan semua potensi dan kekuatan bagi memikul tanggungjawab tersebut. Oleh itu mad’u dibimbing agar:

1) Memahami hahawa kewajipan membangunkan Islam tidak dapat dilaksanakan secara fardhi (secara individu).

2) Memahami bahawa jama’ah adalah satu kemestian demi untuk menyatupadukan segala usaha fardhi. Mad’u perlu memahami usaha secara jama’i adalah (berorganisasi) berdasarkan kaedah Islam yang terkenal:

ما لا يتم الواجب الا به فهو واجب
Bermaksud: Bahawa sesuatu yang wajib tidak akan terlaksana melainkan terlebih dahulu melalui suatu jalan tertentu, maka suatu jalan yang tertentu itu juga menjadi wajib.

Membangunkan daulah Islam adalah wajib. Daulah Islam tidak dapat dibangunkan melainkan terlebih dahulu diwujudkan jama’ah Islam yang kuat, maka mewujudkan jama’ah Islam yang kuat itu adalah wajib.

Bagaimana mungkin kerja Islam yang besar dapat dilakukan secara individu?. Bagaimana mungkin syari’at Allah Subhanahuwata’ala akan terlaksana kalau tidak dibangunkan satu ummah yang bersedia untuk melaksanakannya?. Ini adalah persoalan-persoalan pokok.

Banyak di kalangan orang Islam sudah tidak menyedari keperluan untuk menggabungkan diri di dalam jama’ah Islam dalam rangka untuk menegakkan syari’at Allah Subhanahuwata’ala. Mereka telah ditipu oleh berbagai helah musuh dan digoda dengan berbagai tarikan musuh. Mereka takut untuk bergabung dengan jama’ah Islam kerana mereka berpendapat itu adalah satu bebanan hidup.

Bagi jiwa yang sedar, penggabungan ke dalam jama’ah Islam adalah untuk menyahut panggilan Allah Subhanahuwata’ala, sebagai wasilah untuk memikul amanah Allah Subhanahuwata’ala, sebagai tanda kesyukuran kepada Allah Subhanahuwata’ala dan sebagai usaha untuk mendapatkan ganjaran yang hakiki daripada Allah Subhanahuwata’ala.

3) Sedar bahawa kebanyakan orang-orang Islam kini lebih mengutamakan kesenangan, kerehatan dan keselesaan. Hati mereka tidak mahu bertembung dengan musuh Allah Subhanahuwata’ala atau musuh Islam. Kebanyakan mereka tidak sannggup berhadapan dengan gangguan-gangguan musuh.

4) Sedar bahawa kebanyakan orang Islam takut digugat oleh musuh Islam jika mereka berada di dalam jama’ah Islam.

5) Sedar betapa besarnya tugas dan tanggungjawab yang mesti dipikul oleh setiap muslim terhadap Islam.

6) Sedar bahawa tugas dan tanggungjawab Islam adalah terlalu besar dan tidak akan dapat dilaksanakan tanpa jama’ah.

7) Faham, sedar dan yakin betapa besar pula pahala dan faedah yang akan diperolehi daripada usaha-usaha melaksanakan tugas dan tanggungjawab Islam bersama-sama jama’ah.

Monday, August 3, 2009

TUJUH MARHALAH DA'WAH FARDIYYAH: Siri 4

Salam,
rakan-rakan yang dirahmati Allah SWT,

Selamat menyambut persiapan menghadapi Ramadan yang bakal menjelang tidak lama lagi. Semoga Ramadan kali ini akan lebih bermakna untuk membakar semangat dakwah, tarbiah dan jihad kita.


Sebagai sambungan sesi lalu mengenai Dakwah fardiah, marhalah kelima yang seterusnya ialah: MENGHAYATI HIDUP DAN MEMAHAMI PENGERTIAN UMMAH

Di tahap ini diperjelaskan kepada mad’u bahawa din Islam adalah din jama’i. Islam adalah sistem kehidupan, hukum, perundangan, kenegaraan, jihad dan kesatuan ummat. Pemahaman terhadap perkara ini akan mendorong beliau bersedia memikul segala kewajipan dan tanggungjawab semata-mata kerana Allah Subhanahuwata’ala agar masyarakat berdiri di atas prinsip-prinsip Islam dalam segala aspek kehidupan. Maka:

1) Beliau dijelaskan bahawa tidak mencukupi dengan hanya menjadi muslim untuk diri sendiri sahaja.

2) Beliau perlu sedar bahawa Islam adalah merangkumi urusan-urusan jama’ah dan masyarakat. Islam merupakan sistem hidup yang lengkap dan sempurna serta penuh dengan ni’mat dan keredhaan Allah Subhanahuwata’ala. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

Bermaksud: Pada hari ini telah Ku sempurnakan untuk kamu dinmu, dan telah Ku cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku ridha Islam itu menjadi din bagimu. (Surah Al-Maidah : 3)

3) Beliau mestilah dapat merasai kesempurnaan dan segala ni’mat Allah Subhanahuwata’ala ini. Rasa hatinya ditingkatkan dengan kefahaman, kesedaran dan keyakinan.

4) Di atas dasar rasa hati sebegini, maka dia mula faham bahawa dia hendaklah terlibat dengan berusaha, berjuang dan menyampaikan berita gembira dan peringatan-peringatan Allah Subhanahuwata’ala kepada manusia lain.

5) Dia merasai bahawa dia tidak boleh hidup sebagai seorang muslim dengan keIslaman yang sahih dan sempurna jika dia mengasingkan dirinya dari saudara-saudara muslimnya yang lain dan tidak memperdulikan segala apa yang terjadi terhadap mereka - segala gangguan, fitnah dan serangan musuh terhadap mereka. Musuh-musuh Allah Subhanahuwata’ala datang dari berbagai sudut dan ceruk rantau bumi ini untuk menyerang umat Islam. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

Dan perangilah mereka itu, sehingga tidak ada fitnah lagi dan (sehingga) ketaatan itu hanya semata-mata untuk Allah, jika mereka berhenti (dari memusuhi kamu), maka tidak ada permusuhan (lagi), kecuali terhadap orang-orang yang zalim. (Surah al-Baqarah : 193)

Sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam:

من لم يهتم للمسلمين فليس منهم

Barangsiapa yang tidak memperdulikan urusan muslimin, maka dia bukanlah dari golongan mereka

6) Dia mula merasai bahawa kita adalah sahabat dia. Tugas dan tanggungjawab kita adalah tugas dan tanggungjawab dia.

7) Dia mula merasai tanggungjawab ‘am terhadap Islam dan kaum muslimin.

8) Dia mula beransur-ansur keluar daripada pengasingan sekularnya, memecahkan tempurungnya dan menghapuskan kongkongannya.

9) Seterusnya dia dapat hidup di dalam Islam secara jama’i.

10) Di tahap ini dia perlu diperjelaskan tentang tuntutan da’wah Islamiyyah pada masakini, iaitu:

a) Wajib berusaha bersungguh-sungguh untuk membangunkan daulah Islamiyyah.

b) Wajib mengetahui tipu helah musuh Islam yang sentiasa ingin menghancurkan umat Islam.

c) Wajib mengetahui tentang bencana yang menimpa umat Islam hari ini.

d) Wajib mengetahui tentang perpecahan di kalangan umat Islam.

e) Wajib sedar bahawa anak-anak orang Islam telah lama dibentuk mengikut cara yang bukan Islam yang bertujuan untuk mengukuhkan sistem hidup bukan Islam.

f) Wajib sedar bahawa musuh-musuh Islam telah lama merosakkan kehormatan orang Islam dan wanitanya.

g) Wajib sedar bahawa hanya Daulah Islamiyyah sahaja yang mampu menyerang balas sepenuhnya anasir-anasir jahat dan musuh-musuh Islam. Hanya daulah yang mampu menyatupadukan umat dan melaksanakan ajaran Islam yang lengkap. (Konsep Daulah Islamiyah ialah bercontohkan Daulah Islamiyah yang dibina oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam).

h) Tanggungjawab ini tidak boleh diserahkan kepada umara’ (pemerintah) dan ulama’ sahaja, bahkan ia menjadi tanggungjawab bagi setiap lelaki dan wanita Islam di zaman kebangkitan da’wah ini.

i) Seluruh muslimin, di mana jua, akan menanggung dosa besar, sekiranya mereka tidak berusaha dan bekerja untuk membangunkan Daulah Islamiyah.

j) Semoga dia mula berfikir dengan bersungguh-sungguh dan mencari jalan untuk menunaikan amanah dan masuliyyah ini serta melaksanakan segala tuntutannya.


Bersambung insha Allah

`Jika Allah SWT memberi hidayah kepada seorang lelaki lantaran anda, itu lebih baik bagimu daripada apa yang disinari matahari' HR At Tobrani