Monday, November 29, 2010

Bagaimana mengelakkan fitnah dalam organisasi? Siri 4

Assalamu'laikum wbth,

Sahabat/akhowat yang dirahmati Allah sekalian,

Di dalam realiti masyarakat kita hari ini, kita biasa mendengar kata-kata: ada ubi ada batas, ada hari boleh balas.

Sifat ini adalah sifat yang sudah sebati dengan insan yang bergelar manusia yang suka hidup berdendam dan berdengki. `Biar padan muka', getus hati yang sedang marah. Namun, bagi kita yang melalui proses tarbiah Islamiah, hati kita perlu diproses sentiasa agar dapat memiliki sifat Nabi SAW yang mulia iaitu suka memaafkan.

Dalam siri kali ini izinkan saya menyambung siri lalu berkaitan kaedah untuk mengelakkan fitnah dan ketidakharmonian di dalam organisasi. Penekanan kali ini ialah memiliki sifat suka memaafkan dan bukan membalas

4.Memaafkan bukan membalas

Apabila seseorang melakukan kesalahan atas kita, adalah lebih baik untuk memaafkan dari melakukan balasan. Ini dapat dilihat dengan jelas pada kisah Ibnn Sammak. Beliau adalah guru anak-anak Khalifah Harun ar Rasyid dan juga menjadi salah seorang penasihat baginda. Satu ketika beliau telah berkata sesuatu yang menimbulkan kemarahan temannya. Lalu temannya berkata:

“Aku akan bertemu kamu esok dan aku memberitahu semua kesalahan yang telah kamu lakukan padaku.”

Jawab beliau: “Sebenarnya kita akan bertemu semula esok untuk bermaaf-maafan.”

Sikap ini sangat penting dalam bekerja secara organisasi. Jika semua kesalahan yang berlaku perlu dibalas, tiada organisasi yang boleh bekerja dan bergerak dengan baik. Orang akan berpecah kepada berbagai-bagai kumpulan dan pecahan. Sentiasalah memaafkan kesalahan yang dilakukan secara peribadi ke atas anda.

Di dalam Al Quran dinyatakan:

Dan (bagi) orang-orang yang apabila mereka diperlakukan dengan zalim mereka membela diri. Dan balasan suatu kejahatan adalah kejahatan yang serupa, Maka barang siapa memaafkan dan berbuat baik Maka pahalanya atas (tanggungan) Allah. Sesungguhnya dia tidak menyukai orang-orang yang zalim. Dan Sesungguhnya orang-orang yang membela diri sesudah teraniaya, tidak ada satu dosapun terhadap mereka. (Asy-Syuura:39-41)

Kesimpulan
Sifat memaafkan ini adalah satu sifat yang sangat mulia dan tinggi. Marilah sama-sama kita memilikinya, insha Allah.

DAKWAH MELALUI TIKTOK DAN KESANNYA KEPADA REMAJA MUSLIM DI MALAYSIA

  DAKWAH MELALUI TIKTOK DAN KESANNYA KEPADA REMAJA MUSLIM DI MALAYSIA   Mohd Amirul Hafiz Ahmad, Solehuddin Shuib, Khairulazhar Samsudin...