Saturday, November 4, 2023

DAKWAH MELALUI TIKTOK DAN KESANNYA KEPADA REMAJA MUSLIM DI MALAYSIA

 

DAKWAH MELALUI TIKTOK DAN KESANNYA KEPADA REMAJA MUSLIM DI MALAYSIA

 

Mohd Amirul Hafiz Ahmad, Solehuddin Shuib, Khairulazhar Samsudin, Muhammed bin Yusoff[1]

1Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademik Pengajian Islam, Universiti Malaya, 50603 Kuala Lumpur, Malaysia

Emel: my77@um.edu.my

 

KHULASAH

Islam dan dakwah adalah seiring malah berkait secara langsung dengan kehidupan umat Islam yang merupakan tugas penting dan tanggungjawab setiap individu Muslim. Pelaksanaannya tidak boleh dipisahkan sama ada berdakwah kepada kelompok yang kecil seperti ahli keluarga terdekat atau melibatkan kumpulan yang besar dalam masyarakat sesebuah negara. Seluruh para nabi, rasul, sahabat, mereka yang selepasnya hingga ke hari ini meneruskan kesinambungan risalah dakwah berdasarkan metod yang sesuai. Sekarang ini, medium atau wasilah dakwah telah berubah selaras dengan peredaran masa.  Kertas kerja ini akan memberikan tumpuan kepada media dakwah terbaru yang digunakan oleh pendakwah khususnya kepada golongan remaja menggunakan aplikasi TikTok,  mengupas perbezaan dakwah tradisional dan dakwah melalui TikTok, memperincikan sasaran dakwah atau mad’u, implikasi penggunaan dakwah melalui TikTok kepada remaja, tema kandungan dan mencadangkan beberapa garis panduan yang perlu diikuti apabila menggunakan TikTok sebagai medium berdakwah kepada golongan remaja.

 

Kata kunci: Islam, Dakwah, Remaja, TikTok

 PENGENALAN

            Dakwah penting dalam kehidupan umat Islam sepertimana di zaman Rasulullah   sendiri di mana baginda bersama para sahabat menyampaikan dakwah Islam khususnya kepada kaum Musyrikin dan golongan yang bukan beragama Islam agar kembali kepada akidah yang sebenar. Mekanisma dan medium yang digunakan sebagai media ketika itu antaranya melalui penceritaan dan kisah-kisah terdahulu yang ditunjukkan di dalam al-Quran. Malah baginda sendiri menugaskan beberapa orang sahabat untuk menyebarkan dakwah dengan berseni di pentas-pentas syair dan di waktu yang sama membalas tohmahan dari para Musyrikin terutamanya di Mekah. Inilah juga sebenarnya tugas umat Islam yang bertindak sebagai pendakwah bertanggungjawab menyampaikan dakwah dengan pelbagai cara. Bagi menarik golongan remaja khususnya untuk mendengar, mengikuti dan menonton dakwah berunsur Islam, maka penyampaian pendakwah perlulah mempunyai etika, akhlak yang baik serta isi yang bermanfaat. Ini selaras dengan firman Allah S.W.T. dalam surah al-Imran ayat 104:

وَلْتَكُنْ مِّنْكُمْ اُمَّةٌ يَّدْعُوْنَ اِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُوْنَ بِالْمَعْرُوْفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ ۗ وَاُولٰۤىِٕكَ هُمُ الْمُفْلِحُوْنَ

“Dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.”

            Perjalanan waktu dan masa telah merubah kaedah dakwah pada masa kini di mana kemajuan teknologi dilihat mendominasi penyampaian maklumat kepada masyarakat khususnya golongan remaja. Ia merupakan dimensi baru yang telah merubah corak dakwah melalui pelbagai platform media sosial dan tidak hanya tertumpu kepada media cetak dan elektronik semata-mata.  Terkini, TikTok yang merupakan salah satu aplikasi di media sosial telah mencatatkan pengguna terbesar dan berada dalam kedudukan tertinggi berbanding aplikasi media sosial yang lain seperti Facebook, Twitter, Instagram, dan Whatapps. Media dakwah melalui medium ini dengan penyampaian yang bersahaja, kreatif dan unik mampu digunakan oleh pendakwah khususnya kepada golongan sasar di kalangan remaja dalam menyampaikan dakwah seterusnya sentiasa berada terkehadapan dalam penggunaan teknologi masa kini.

OBJEKTIF KAJIAN

Kertas kajian ini memfokuskan kepada 3 objektif yang utama:-

       i.          Menghuraikan perubahan dalam pendekatan dakwah dari kaedah berdasarkan tradisional kepada media sosial menggunakan aplikasi TikTok.

     ii.          Menjelaskan peri pentingnya sasaran dakwah atau mad’u khususnya kepada para remaja melalui medium TikTok dan menerangkan implikasi positif dan negatif.

   iii.          Mengemukakan cadangan beberapa tema kandungan dakwah yang sesuai digunakan di media TikTok ini dan seterusnya memberikan garis panduan dakwah di TikTok kepada para remaja.

DEFINISI

Bagi mengupas secara terperinci topik ini, dikemukakan beberapa istilah dan definisi yang terkait dengannya meliputi:-

Wasilah Dakwah - merujuk kepada perantara, medium atau media dakwah yang digunakan bagi menyampaikan apa jua bahan dakwah. Penyampaian dakwah Islam sama ada kepada kelompok yang kecil atau besar, perlu menggunakan pelbagai medium di antaranya melalui aplikasi TikTok.

Mad’u - adalah orang atau mereka yang menjadi sasaran dakwah atau manusia penerima dakwah sama ada secara individu ataupun berkelompok, baik yang beragama Islam mahupun yang bukan beragama Islam atau tidak beragama. Konteks mad’u ini luas mencakupi semua manusia berpandukan  topik dan kesesuaian dakwah yang hendak disampaikan.

Remaja - golongan ini disebut Generasi-Z iaitu mereka yang lahir pada tahun 1997 dan ke atas dalam lingkungan umur di antara 21 hingga 35 tahun. Ketika ini kemajuan teknologi sedang berkembang pesat dan kebanyakkan remaja dalam Generasi-Z adalah mereka yang celik teknologi maklumat. Kajian menunjukkan golongan remaja memiliki handphone sendiri seawal umur 10 tahun dengan purata menghabiskan 3 jam sehari masa penggunaannya. Mereka menggunakan medium media sosial sebagai elemen terpenting dalam hubungan sosial dan sangat bergantung kepada digital atau secara maya. Pada masa kini, inilah sasaran dakwah yang perlu diberi keutamaan.

TikTok - merupakan aplikasi perkhidmatan rangkaian media sosial berbentuk perkongsian video yang berdurasi pendek (sesingkat 3 saat hingga 10 minit), menyediakan ruang muat turun yang terhad dan isi kandungannya menyeronokkan. Ia dicipta oleh Zhang Yiming dari negara China pada tahun 2016 dan berada dalam kedudukan lima tangga teratas aplikasi media sosial terkini selain Instagram, Facebook, Whatapps dan Twitter. Berdasarkan penyelidikan tahun 2022, statistik penggunaan TikTok ini telah mencecah 1 bilion pengguna yang majoritinya adalah golongan remaja. Mereka tertarik dengan aplikasi ini kerana mempunyai pelbagai fungsi dan ciri seperti merakam, menyunting, mengolah, memuat turun, kesan istimewa (special effects) yang terdiri dari effect shaking dan shavering serta kemasukan lagu yang sesuai dengan video yang ingin dikongsi kepada orang lain.     

OBJEKTIF 1 : KAEDAH PENDEKATAN MEDIA DAKWAH SECARA TRADISIONAL BERBANDING MEDIA BARU MENGGUNAKAN APLIKASI TIKTOK

               Tidak dapat dinafikan perubahan zaman, masa dan keadaan terutamanya perkembangan teknologi telah merubah kehidupan manusia termasuk dalam aspek berdakwah. Jika dahulu dakwah secara tradisional dan masih juga ada sehingga kini, ia dilakukan secara bersemuka dan bertemu secara fizikal. Namun melalui dakwah media baru seperti TikTok, penyampaian dakwah adalah secara maya sahaja dan tidak secara fizikal. Biasanya hanya wajah sahaja yang terpapar pada video yang dimuat turun berbanding dakwah tradisional yang memerlukan kehadiran pendakwah itu sendiri terlihat di hadapan orang ramai.

            Dari segi masa penyampaian dan kupasan, dakwah secara tradisional adalah lebih terperinci, jelas dan memerlukan masa yang agak panjang berbanding dengan media TikTok yang lebih ringkas, santai, bersahaja, masa yang pendek dan terhad. Ini kerana sesetengah dakwah tradisional adalah menggunakan kitab atau rujukan tertentu yang memerlukan huraian tetapi TikTok hanya menumpukan penyampaian dakwah kepada persoalan dan isu yang ringkas untuk dijawab. Seperti contoh pendakwah Ustaz Azhar Idrus yang mempunyai bilangan pengikut (followers) seramai 1.5 bilion, hanya menjawab persoalan-persoalan asas agama yang ditanyakan kepada beliau. Sebahagian besar dari pengikut di TikTok beliau adalah terdiri daripada golongan remaja.

            Selain itu, dakwah secara tradisional ini juga lebih menumpukan kepada lokaliti atau setempat menyebabkan sasaran dakwah adalah terhad dan terbatas. Biasanya ia tertumpu di kawasan yang tertentu seperti masjid, surau, madrasah dan pusat pengajian di mana mereka yang hadir kebiasaannya adalah masyarakat setempat yang selalu menghadiri majlis-majlis ilmu. Berbeza dengan medium dakwah melalui aplikasi TikTok di mana sasaran dakwah adalah tanpa had dan batasan malah melangkau hingga ke negara lain. Liputan yang luas ini membolehkan dakwah disebarkan lebih meluas seperti Ustaz Wadi Anuar yang mempunyai bilangan pengikut (followers) seramai 2.1 bilion. Pastinya penyampaian dakwah oleh beliau ini lebih besar ruang sebarannya bukan sahaja di Malaysia, malah mungkin sehingga ke negara jiran seperti Indonesia, Brunei dan Singapura.

               Pendekatan dakwah tradisional juga terkadang menimbulkan rasa kebosanan kerana cara penyampaian adalah statik dan kandungan yang tidak pelbagai. Jika pengajian kitab, pasti wujud rasa kurang selesa kerana tiadanya medium penyampaian dengan cara yang menarik. Namun bagi dakwah media baru melalui TikTok, ia dapat mengurang dan menghilangkan kebosanan dalam mempelajari ilmu agama. Ini kerana kaedah penyampaian lebih secara santai dengan menggunakan elemen-elemen kreatif dan unik seperti ada imej, unsur bunyi, lagu dan sebagainya sesuai dengan konteks dakwah yang ingin disampaikan.

OBJEKTIF 2 : KEPENTINGAN SASARAN DAKWAH MELALUI APLIKASI TIKTOK KEPADA PARA REMAJA

Usia remaja merupakan detik yang tersangat penting kepada seseorang individu kerana pada ketika ini ialah saat seseorang individu mencari jati dirinya sendiri. Seiring dengan perkembangan semasa pada era digitalisasi, media sosial telah memainkan peranan yang sangat penting dalam mempengaruhi pembentukan jati diri para remaja.

Demam aplikasi Tiktok yang melanda para remaja masa kini telah menyebabkan kesan yang besar dari sudut positif dan negatif. Peningkatan pengguna aplikasi Tiktok adalah kerana aplikasi ini telah dipopularkan oleh para artis serta figura publik dari dalam serta luar negara, dan ini mempengaruhi penggunaan Tiktok oleh para remaja masa kini.

Remaja yang didedahkan dengan perkara-perkara positif melalui Tiktok, akan mempengaruhi pembentukan jati dirinya menjadi seorang yang baik, dan mempunyai nilai-nilai yang positif. Sebaliknya, bagi seseorang remaja yang dipengaruhi oleh unsur-unsur negatif melalui Tiktok, akan membentuk jati diri menjadi seorang yang nakal, serta mempunyai nilai-nilai negatif.

Justeru itu, adalah menjadi sesuatu yang relevan, sekiranya para pendakwah mula menerapkan unsur-unsur dakwah melalui Tiktok, kerana perkara ini dapat meningkatkan penerapan nilai-nilai positif kepada para remaja, serta dapat mengajak remaja kembali berpegang kepada hukum agama.

POSITIFNYA PENGGUNAAN TIKTOK SEBAGAI MEDIUM DAKWAH

               Yang pertama, aplikasi Tiktok telah mula mendapat tempat di hati remaja, dengan figurasi-figurasi menarik yang disediakan melalui aplikasi tersebut. Menerusi figurasi-figurasi yang disediakan oleh penyedia perkhidmatan aplikasi tersebut, para remaja bebas dalam mengekspresi diri mereka melalui aplikasi tersebut. Ini adalah bersesuaian dengan jiwa yang inginkan kebebasan dalam mengekspresi diri. Mereka juga gemar melihat video-video pendek yang disediakan oleh ramai orang melalui aplikasi tersebut.

            Menerusi figurasi-figurasi yang disediakan dalam Tiktok juga, para pendakwah dapat menggunakan aplikasi ini untuk menambat hati para remaja bagi meminati elemen agama, kerana aplikasi ini bersesuaian dengan jiwa para remaja masa kini yang gemar menononton keratan-keratan video yang disulami dengan efek menarik.

            Yang kedua ialah, aplikasi Tiktok merupakan aplikasi yang trending pada masa kini. Menurut kajian oleh Tuty Mutiah (2002), aplikasi Tiktok merupakan aplikasi kedua terbesar selepas Whatsapp yang digunakan oleh manusia pada zaman sekarang. Kemunculan figura-figura publik yang banyak menyebabkan para remaja gemar menghabiskan masa melalui aplikasi ini. Ini menjadi satu peluang bagi para pendakwah mendekati para remaja, kerana aplikasi ini telah menjadi ‘kolam’ bagi para remaja.

            Yang ketiga, remaja sangat tertarik dengan figurasi-figurasi menarik yang disediakan melalui Tiktok, seperti Tiktok challenge dan sebagainya. Para pendakwah juga dapat menarik para remaja melalui figurasi-figurasi ini. Efek-efek menarik untuk pembuatan video seperti special effect, sound effect serta pemilihan lagu-lagu yang unik dalam editing video merupakan perkara yang mengikut arus semasa serta diminati oleh para remaja. Para pendakwah dapat menggunakan semua efek melalui aplikasi Tiktok ini untuk membuat keratan video-video dakwah yang menarik para remaja.

            Yang keempat, seperti yang sedia maklum, aplikasi Tiktok menjadi kegilaan para remaja dan menjadi tempat berkumpulnya para remaja. Ini menjadikan Tiktok sebagai sebuah tempat yang sesuai bagi menyampaikan dakwah mengikut sasaran. Para pendakwah boleh memanfaatkan perkara ini untuk menyasarkan para remaja bagi menyampaikan ilmu agama agar para remaja boleh diterapkan dengan perkara yang positif.

            Kesan positif kelima ialah, penyampaian dakwah melalui medium media sosial Tiktok dapat menerapkan hukum hakam agama kepada para remaja. Media sosial banyak melaporkan isu-isu mengenai masalah sosial yang dihadapi oleh para remaja masa kini. Ini adalah kerana kurangnya penerapan hukum hakam agama kepada para remaja. Dakwah melalui aplikasi Tiktok dapat diyakini mampu menerapkan kefahaman hukum hakam agama kepada para remaja masa kini.


 

NEGATIFNYA PENYAMPAIAN DAKWAH MELALUI TIKTOK

               Penyampaian dakwah melalui media sosial, selain mempunyai sudut yang positif, turut mengandungi sisi negatifnya. Yang pertama, tiada tapisan terhadap isi kandungan dakwah. Terdapat segelintir pendakwah yang menyampaikan perkara-perkara yang bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah, serta menyampaikan perkara-perkara yang tiada nas sahih dalam dakwah mereka. Ini menyebabkan remaja terpengaruh dengan pegangan yang bertentangan dengan Ahli Sunnah wal Jamaah.

            Yang kedua, untuk menyampaikan dakwah melalui Tiktok tidak memerlukan tauliah mengajar dari negeri masing-masing. Ini menyebabkan sesiapa sahaja bebas untuk menyampaikan dakwah melalui Tiktok, walaupun tidak mempunyai kelulusan dalam bidang agama. Perkara ini membahayakan kerana mampu membawa kesesatan pegangan para remaja.

            Yang ketiga, Tiktok hanya menawarkan figurasi keratan video sahaja. Ini menyebabkan orang awam, khususnya para remaja tidak dapat mempelajari sesuatu ilmu itu secara penuh atau sempurna seperti pengajian di institusi agama. Mereka hanya mampu mempelajari sesuatu ilmu itu secara separuh-separuh sahaja dan bukannya mengkhatamkan satu kitab.

            Yang keempat, hasil dari penerapan pembelajaran agama melalui keratan-keratan video pendek Tiktok, para remaja kini lebih tertarik untuk mengutip ilmu agama hanya melalui aplikasi tersebut. Para remaja semakin kurang minat untuk mempelajari ilmu agama secara formal melalui institusi kegamaan, kerana bagi mereka cukup sekadar mengutip ilmu melalui keratan video dalam aplikasi tersebut.

            Yang kelima, dakwah melalui Tiktok juga menghadapi kekangan, kerana kurangnya sokongan melalui pihak kerajaan. Pihak kerajaan belum lagi menyediakan garis panduan dakwah melalui Tiktok. Latihan untuk penggunaan aplikasi ini kepada para pendakwah juga tidak disediakan, termasuk perkakas untuk memperkemaskan rakaman video dakwah, seperti lighting, microphone dan sebagainya.

OBJEKTIF 3 : TEMA KANDUNGAN DAKWAH YANG SESUAI DIGUNAKAN DAN GARIS PANDUAN DAKWAH DI TIKTOK KEPADA REMAJA

Di dalam objektif tiga ini, kami akan jelaskan tema kandungan dakwah yang sesuai digunakan dan garis panduan dakwah di tiktok kepada remaja.  Berkaitan tema kandungan dakwah ianya dapat difokuskan kepada aspek i)akidah, ii) syari’ah, iii) mua’malah dan iv) akhlaq.    

TEMA DAKWAH (I)  ASPEK AKIDAH

Di dalam aspek akidah, bahan yang sesuai perlu berfokuskan kepada tema-tema berikut.  Antaranya bermula dengan pembentukan akidah.  Menurut Fathi yakan di dalam kitabnya Bagaimana mana kita menyeru kepada Islam, dijelaskan membentuk akidah membawa maksud menciptakan cara berfikir yang benar terhadap maya pada ini, serta manusia dalam kehidupan ini.  Paling minimum, mestilah diyakinkan terhadap rukun iman, terutamanya iman kepada Allah SWT.  Ini merupakan asas dalam pembentukan keperibadian sebagai seorang Muslim.

Pembinaan akidah ini kemudiannya akan bersambung dengan pembinaan amal.   Remaja perlu diyakinkan bahawa Islam merupakan pedoman hidup yang akan menuntun manusia dalam memenuhi tuntutannya dalam kehidupan.  Peraturan yang lain adalah kurang lengkap kerana berasal dari manusia.

Di dalam aspek akidah ini juga, bahan yang boleh dikemukakan ialah memberi pandangan terhadap waqi’(realiti) semasa.  Bencana pertama yang menimpa ummah dewasa ini ialah kerana rosaknya akidah mereka.  Telah masuk faham maddiyah dan atheisme dalam jiwa masyarakat.  Akibatnya jiwa agama menjadi goncang.    


 

 

TEMA DAKWAH (II)  ASPEK SYARI’AH

Bahan mengenai ajaran syari’ah amat luas dan ianya mengikat seluruh umat Islam.  Syari;ah adalah ibarat jantung dalam kehidupan umat Islam.    Bahan dakwah yang menjelaskan syari’ah akan memberi gambaran yang jelas berkaitan status hukum yang bersifat wajib, sunat, makruh, mubah, dan haram.

TEMA DAKWAH (III)  ASPEK MU’AMALAH

Di dalam Islam, urusan muamalah mempunyai skop yang besar bahagiannya daripada ibadah khusus.  Islam lebih banyak menekankan aspek kehidupan sosial dari aspek kehidupan ritual.  Islam ajarannya bersifat syumul yang menjadikan bumi yang terhampar luas sebagai mihrab untuk beribadah kepada Allah SWT.  Ibadah dalam mu’amalah bolehlah diertikan sebagai ibadah yang mencakupi hubungan kita dengan Allah SWT.

TEMA DAKWAH (IV)  ASPEK AKHLAQ

Dari segi bahasa akhlaq membawa maksud budi pekerti, perangai, tingkah laku atau tabiat.  Menurut Dr Abul Karim Zaidan, di dalam kitabnya Usul Dakwah, akhlak itu adalah nilai-nilai dan sifat-sifat yang tertanam dalam jiwa dengan sorotannya seseorang dapat menilai baik atau buruknya perbuatan untuk kemudian memilih untuk melakukannya atau tidak.  Menurut Fatin Farzana, di dalam penulisannya yang bertajuk, Keberkesanan Aktiviti Dakwah Dalam Aplikasi Tiktok Terhadap Akhlak Mahasiswa, beliau telah berkongsi dapatan kajiannya bahawa  dakwah melalui telah berjaya memberi kefahaman yang lebih jelas kepada remaja universiti.  Pendekatan dakwah tiktik ini juga berjaya membuatkan mahasiswa insaf daripada melakukan perkara yang bertentangan dengan syari’at Islam.  Selain itu, sebahagian mahasiswa sentiasa berkongsi ilmu yang diperolehi dari dakwah media tiktok dengan rakan-rakan yang lain.  Dan akhir sekali, sebahagian mahasiswa terinspirasi untuk lebih mendalami ilmu agama dan menjadi da’i pada hadapan.

Ringkasnya, mesej dakwah di dalam tiktok ini akan memuatkan ajaran Islam secara umum meliputi aspek akidah, syari’ah, mu’amalah dan akhlaq.

Bahagian kedua objektif 3 penulisan ini, kami akan menjelaskan berkaitan garis panduan ataupun etika posting di dalam tiktok.  Di sana ada lima(5) perkara yang perlu dijaga antaranya memberikan maklumat yang sah dan terpercaya, menghindari prasangka, menghnidari sukhriyah, mendapakan fakta, dan menjauhi mengadu domba(namimah).  Kelima-lima perkara ini akan dihuraikan satu persatu di bawah.

ETIKA PERTAMA IALAH MEMBERIKAN MAKLUMAT YANG SAH DAN TERPERCAYA.

Sebagai seorang muslim, kita mestilah mengelakkan memberikan kesaksian palsu kepada orang lain.  Di dalam Al Quran surah Al Haj ayat 30, Allah SWT menghindari perbuatan buruk ini.

ذَٰلِكَ وَمَنْ يُعَظِّمْ حُرُمَاتِ اللَّهِ فَهُوَ خَيْرٌ لَهُ عِنْدَ رَبِّهِ ۗ وَأُحِلَّتْ لَكُمُ الْأَنْعَامُ إِلَّا مَا يُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ ۖ فَاجْتَنِبُوا الرِّجْسَ مِنَ الْأَوْثَانِ وَاجْتَنِبُوا قَوْلَ الزُّورِ

Ertinya:

Demikianlah (perintah Allah). Dan barang siapa mengagungkan apa yang terhormat di sisi Allah (hurumat) maka itu lebih baik baginya di sisi Tuhannya. Dan dihalalkan bagi kamu semua hewan ternak, kecuali yang diterangkan kepadamu (keharamannya), maka jauhilah olehmu (penyembahan) berhala-berhala yang najis itu dan jauhilah perkataan dusta.

ETIKA KEDUA IALAH MENGHINDARI PRASANGKA(DZHON)

Prasangka dalam Islam disebut dzhon.  Suuz dzhon yang haram ialah suuzhan kepada Allah SWT dan kepada sesama mukmin tanpa bukti atau pertanda yang nyata.  Islam mengecam keras kepada mereka yang bertindak berdasarkan prasangka.  Kecaman ini dijelaskan oleh Allah SWT di dalam surah Al Hujurat, ayat 12.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَبْ بَعْضُكُمْ بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَنْ يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَحِيمٌ

Ertinya:

Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan purba-sangka (kecurigaan), karena sebagian dari purba-sangka itu dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah menggunjingkan satu sama lain. Adakah seorang diantara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.

 

 

ETIKA KETIGA IALAH MENJAUHI SUKHRIYAH

Sukhriyah adalah suatu perilaku yang merendahkan orang lain dengan mencaci-maki, menghina, mengolok-olok seseorang sehingga menimbulkan kebencian dalam diri seseorang. Sukhriyah sama dengan perilaku bullying.  Perkara ini amat dilarang oleh Islam kerana mempengaruhi kesihatan mental seseorang.  Larangan ini dijelaskan di dalam Al Quran di dalam surah Al Hujurat ayat 11.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَسْخَرْ قَوْمٌ مِنْ قَوْمٍ عَسَىٰ أَنْ يَكُونُوا خَيْرًا مِنْهُمْ وَلَا نِسَاءٌ مِنْ نِسَاءٍ عَسَىٰ أَنْ يَكُنَّ خَيْرًا مِنْهُنَّ ۖ وَلَا تَلْمِزُوا أَنْفُسَكُمْ وَلَا تَنَابَزُوا بِالْأَلْقَابِ ۖ بِئْسَ الِاسْمُ الْفُسُوقُ بَعْدَ الْإِيمَانِ ۚ وَمَنْ لَمْ يَتُبْ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ

Ertinya:

Hai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. Dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan barangsiapa yang tidak bertobat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

ETIKA KEEMPAT IALAH MENEMUKAN FAKTA(TABAYYUN)

Allah SWT telah memerintahkan orang Islam untuk mencari kebenaran suatu berita atau informasi dan tidak mencari kesalahan orang lain sehingga cenderung kepada sikap tajassus. Firman Allah SWT di dalam surah Al Hujurat ayat 6,

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

Ertinya:

Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.

ETIKA KELIMA IALAH MENJAUHI MENGADU DOMBA(NAMIMAH)

Menurut bahasa kata namimah itu berasal dari bahasa Arab yang berarti "Adu Domba". Sedangkan menurut istilah bahwa namimah adalah mengadukan suatu perkataan atau menyampaikan sesuatu kepada orang lain yang tidak disenangi. Perkataan tersebut yang diadukan, adakalanya dengan bentuk cerita, tulisan, isyarat atau dengan sindiran.

Dari definisi tersebut, maka dapatlah diketahui bahwa namimah adalah suatu perilaku mengadu domba atau menyebarkan fitnah kepada  ornag lain dengan tujuan agar di antara mereka saling bermusuhan.[2]

Dari Hudzaifah radhiyallahu ‘anhu berkata : Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda:

 

لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ نَمَّامٌ. (متفق عليه)

Ertinya:

 

Tidak masuk Surga orang yang suka mengadu domba.                                  (Muttafaq ‘alaihi).

 

Daripada penjelasan di atas, dapatlah kita fahami akan kepentingan menjaga komunikasi yang baik di dalam penggunaan tiktok.  Kita mestilah mempastikan penjagaan etika ini akan tidak berlaku penyimpangan dari ajaran Islam.

KESIMPULAN

Sebagai kesimpulannya, dapatlah dirumuskan bahawa TikTok ini banyak memberi manfaat kepada remaja serta dapat juga memberi kesan yang buruk. Kesan yang baik apabila digunakan bagi mendapatkan informasi atau maklumat yang berguna dan buruk apabila digunakan bagi tujuan yang negatif.   Dakwah melalui TikTok ini adalah sangat memberi kesan yang efektif terutamanya dalam kalangan remaja kerana penyebaran maklumat tanpa sempadan dan tidak terbatas dengan ruang dan waktu telah membuka satu ruang besar kepada peningkatan ilmu dakwah dalam kalangan remaja kini.

 


 

RUJUKAN

Analisis Konten Dakwah Dalam Aplikasi TikTok di Kalangan Remaja, Shafa Tasya Kamilah, Putri Adiniyah Shoheh, Mufti Khairul Zain, & Meity Suryandari, Jurnal Politik, Sosial, Hukum & Humaniora, Vol. 1, No.1, Institut Agama Islam Az Zaytun, Indonesia, 2023.

Bukan Sekadar Hiburan, TikTok Kini Jadi Medan Dakwah. Astro Awani. [Online]: https://www.astroawani.com/berita-malaysia/bukan-sekadarhiburan-TikTok-kini-jadi-medan-dakwah, Bernama, 2021.

Kepentingan dan Peranan Aplikasi TikTok Dalam Menyebarkan  Dakwah di Kalangan Remaja, Nurul Jannah binti Abdul Manan, Nuru Iflah binti Muhamad Lutfi, Nurul Izzah binti Sa’hari Anuar, & Syed Najihuddin bin Syed Hassan, E-Prosiding Konvensyen Kearifan Nusantara Ke-IV (ARIF), 2023.

Keberkesanan Aktiviti Dakwah Dalam Aplikasi Tiktok Terhadap Akhlak Mahasiswa, Fatin Farzana binti Dass Meral & Safinah binti Ismail, Jabatan Dakwah dan Usuluddin, Universiti Islam Selangor (UIS), Bangi, 2022.

Media Sosial Sebagai Platform Penyampaian Dakwah: Implikasinya Terhadap Remaja, Anis Nur Athirah Anuar, Raudhatul Jannah Azhar, Nurdamia Khalida Kasim, & Prof. Madya Dr. Syed Najihuddin Syed Hassan, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Platform TikTok Sebagai Media Dakwah di Kalangan Remaja Milenial, Tsalits Maratun Nafiah, Hazmi Ihkamuddin, luluk Fikri Zuhriyah, Studi Analisis Konten Dakwah, Universitas Islam Negeri (UIN), Surabaya.

Platform TikTok Sebagai Representasi Media Dakwah di Era Digital, Clara Sinta Pratiwi, The Journal of Islamic Communication and Broadcasting, Vol. 2, No. 1, Universitas Islam Nasional (UIN), 2022.

Pemanfaatan Aplikasi TikTok Sebagai Media Dakwah Terhadap Generasi Z, Roby Aditya Putra, Jurnal Dakwah dan Komunikasi, Institut Agama Islam Negeri (IAIN), Bengkulu, 2023.

Pemanfaatan Media TikTok Sebagai Media Dakwah, Ikhwan Mukhlis, Program Studi Komunikasi dan Penyiaran Islam, Fakultas Dakwah, Universitas Islam Negeri (UIN), 2022.

Pengaruh Dakwah di Media Sosial TikTok Terhadap Tingkat Religiusitas Remaja di Demak, Lutfiana Allisa & Agus Triyono, Jurnal Ilmu Komunikasi, Universitas Muhammadiyah Surakarta, Jawa Tengah, Indonesia, 2023.

TikTok Sebagai Platform Dakwah: Implikasi Kepada Remaja, Tuan Nur Auni Qasrina binti Tuan Mohd Mawardi, Nur Hidayatul Adawiyah binti Zulkefli, Rai Izni Fatin binti Zahran, & Prof. Madya Dr. Syed Najihuddin bin Syed Hassan, Persidangan Antarabangsa Sains Sosial dan Kemanusiaan ke-7 (PASAK 7), Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), 2022.         

 



[1] Pensyarah Dakwah Islamiyah (UFK 2009)

[2] https://www.ilmusaudara.com/2017/03/pengertian-namimah-dalilnya-sebab.html#SnippetTab

No comments:

DAKWAH MELALUI TIKTOK DAN KESANNYA KEPADA REMAJA MUSLIM DI MALAYSIA

  DAKWAH MELALUI TIKTOK DAN KESANNYA KEPADA REMAJA MUSLIM DI MALAYSIA   Mohd Amirul Hafiz Ahmad, Solehuddin Shuib, Khairulazhar Samsudin...