Friday, June 24, 2011

Kualiti da'i Siri 8 bahagian iv

Assalamu'alaikum wbth,

Sahabat/akhowat yang dirahmati Allah sekalian,

Sebagai sambungan dalam siri lalu, hal yang telah diperkatakan ialah kesan-kesan iman yang mendalam dalam diri seorang pendakwah.

Antara kesan-kesan iman yang mendalam dalam diri seorang da'i ialah lahir dalam dirinya rasa pengharapan pada Allah SWT.

Izinkan saya untuk menjelaskan dengan panjang lebar berkaitan pengharapan(Ar Raja) kita kepada Allah SWT.


1.Seorang yang kuat pengharapannya kepada Allah, tidak pernah merasa putus asa dari rahmat Allah. Ia sentiasa yakin dengan kebenaran janji Allah.

2.Sifat inilah yang mendorongnya memiliki sifat jiddiah bagi mencapai apa yang dicita-citakannya.

3.Apakah cita-cita kita?
Cita-cita kita ialah menjadi orang yang bertaqwa dan bergerak dan berusaha mendakwahkan ajaran Islam kepada masyarakat.

4.Sekadar mengharap sahaja kepada Allah tanpa disertakan usaha sahaja adalah kekeliruan.
Analogi mudah ialah:

`Seorang yang menabur benih di tanah yang subur, kemudian disiram air, diberi baja secukupnya sehingga masa tuainya. Di samping itu mereka mengharap kepada Allah SWT agar memelihara tanaman kita agar terhindar dari pelbagai perkara yang dapat merosakkannya’

Ringkasnya

Seorang da’i perlu selalu mengharap kepada Allah dan tidak pernah bersifat putus kerana mereka yakin terhadap segala janji Allah SWT yang akan memberi kemenangan, pahala yang besar dan tetap berada di bawah lingungan Allah SWT,


Rujukan:
Usul dakwah, Dr Abd Karim Zaidan.

Tuesday, June 14, 2011

Kualiti da'i Siri 8 bahagian iii

Assalamu'alaikum wbth,

Sahabat/akhowat yang dirahmati Allah sekalian,

Sebagai sambungan dalam siri lalu, hal yang telah diperkatakan ialah kesan-kesan iman yang mendalam dalam diri seorang pendakwah.

Antara kesan-kesan iman yang mendalam dalam diri seorang da'i ialah lahir dalam dirinya rasa takut pada Allah SWT.

Izinkan saya untuk menjelaskan dengan panjang lebar berkaitan kualiti takut(khauf) kepada Allah SWT.


Bahtera takut kepada Allah SWT. Bahtera ini dapat menyelamatkan manusia daripada mengabdikan diri selain daripada Allah SWT. Bahtera ini juga dapat menyelamatkan manusia dari takutkan selain daripada Allah SWT. Ia juga menyelamatkan manusia daripada melakukan sesuatu yang bukan kerana Allah s.w.t. Seseorang da'ie amat perlu kepada bahtera Khaufu Minallah ini.

Sesiapa yang takutkan Allah SWT, maka ia akan ditakuti oleh makhluq lain. Orang yang takutkan Allah SWT juga akan digeruni oleh musuh-musuh Allah SWT. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : "
Demi Allah, sesungguhnya aku adalah orang yang paling takut kepada Allah dan paling bertaqwa kepada Allah. "
Oleh kerana itu kita dapati Rasulullah s.a.w sangat ditakuti dan digeruni oleh musuh-musuh Allah SWT. Rasulullah s.a.w tidak pernah takut kepada sebarang makhluq dan tidak pernah tunduk kepada manusia terutama kepada musuh-musuh baginda. Sebaliknya makhluqlah yang akan tunduk dan patuh kepadanya.

Begitu juga dengan sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w, mereka tidak pernah takut dan gentar sedikitpun terhadap manusia. Oleh itu mereka ditakuti dan digeruni oleh musuh-musuh Allah SWT. Mereka memiliki bahtera Khaufu Minallah. Mereka takut kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takut.

Dengan mempunyai bahtera ini juga dapat menghindarkan manusia dari menderhaka kepada Allah SWT. Ia akan menghindarkan seseorng itu daripada melakukan perkara-perkara yang dimurkai oleh Allah SWT Sekiranya tidak terdapat sifat-sifat Khaufu Minallah ini maka tidak akan lahirlah ketakutan kepada Allah SWT Akan lahir manusia-manusia yang menyeleweng di dalam 'Ibadahnya kepada Allah SWT. Hari ini memang banyak berlaku di dalam manusia biasa, masyarakat kita. Malah kadangkala berlaku di kalangan ulama' sendiripun terdapat yang takut dan malu kepada manusia lebih daripada takut dan malu kepada Allah SWT. Walaupun seorang ulama', jika tidak memiliki bahtera Khaufu Minallah, maka ia akan takut kepada manusia, takut kepada sultan, takut kepada kerajaan, takut kepada pemerintah dan sebagainya, lebur dari takut kepada Allah SWT.

Suatu ketika diceritakan kepada kita mengenai ketegasan seorang 'Alim Tasawwuf di zaman Asy Syahid al Imam Hasan al Banna yang bernama Hasanain, yang merupakan seorang pengasas Tariqat Al Hasafiyyah. Ramai orang yang berceritakan tentang kekeramatan beliau, tetapi Asy Syahid al Iman tidak tertarik kepada kekeramatan yang diceritakan tersebut. Masyarakat hanya nampak perkara-perkara yang pelik. Asy Syahid al Imam berkata : " Yang saya lihat karamah pada beliau itu ialah ketegasan beliau dalam melaksanakan dan keberanian serta kesungguhan beliau dalam menegakkan Ma'ruf ". Ketika di dalam suatu majlis, ketika orang ramai berkunjung ke rumah pembesar negeri, atau jemputan pembesar tersebut, maka termasuklah yang dijemput itu para ulama' dan pengasas Tarikat al Hasafiyyah. Dalam suatu suasana di rumah pembesar tersebut kelihatan seorang 'Alim mendekati pembesar tersebut dan tunduk hingga ke peringkat seolah-olah dalam keadaan Ruku'. Hal itu telah dilihat oleh pengasas Tarikat al Hasafiyyah, lalu dengan rasa marah ia mendekati 'alim tersebut. Lantas ia berkata: Bangunlah kamu wahai saudara. Kamu tidak boleh tunduk kepada manusia. Kamu hanya boleh tunduk kepada Allah SWT. "

Daripada cerita tersebut, walaupun seorang 'alim daripada para ulama', perkara seperti tersebut boleh berlaku jika tidak terdapat bahtera Khaufu Minallah. Seseorang itu dengan mudah akan tunduk, malu , takut dan sebagainya kepada Allah SWT, jika tidak memiliki bahtera Khaufu Minallah.

bersambung...

Rujukan:
Bahtera penyelamat dalam kehidupan pendakwah, Dr. Fathi Yakan

Sunday, June 5, 2011

Kualiti da'i Siri 8 bahagian ii

Assalamu'alaikum wbth,

Sahabat/akhowat yang dirahmati Allah sekalian,

Sama-samalah para mahasiswa yang bercuti panjang kali ini dapat memanfaatkan masa cuti ini untuk melakukan pelbagai amal yang boleh mendidik jiwa, minda dan fizikal.

Seorang pendidik saya ada mengingatkan kami sentiasa setiap kali bila cuti semester dengan pesanan berikut:

`Proses tarbiyah ini tiada cuti, walaupun kamu balik rumah untuk cuti semester'

Sebagai sambungan dalam siri lalu, hal yang ingin diperkatakan kali ini ialah kesan-kesan iman yang mendalam dalam diri seorang pendakwah.
Antara kesan-kesan iman yang mendalam dalam diri seorang da'i ialah seperti berikut:-
a. Lahir dalam dirinya rasa cinta pada Allah SWT
b. Lahir dalam dirinya rasa takut pada Allah SWT
c. Lahir dalam dirinya rasa harap pada Allah sWT
d. Lahir dalam dirinya rasa cinta pada Ar Rasul SAW
e. Lahir dalam dirinya kenikmatan dalam melakukan ibadah pada Allah SWT
f. Lahir dalam dirinya cemburu dan benci kerana Allah SWT terhadap ketidak ketaatan pada Allah SWT.

Izinkan saya untuk menjelaskan dengan panjang lebar berkaitan tanda-tanda orang yang cintakan Allah SWT.

Cintakan Allah Subhanahuwata’ala mempunyai tanda-tanda yang dapat dilihat dalam keperibadian hamba-hamba yang cintakan-Nya. Antaranya ialah:

1.Selalu menyebut-Nya (Az-Zikr)

Apabila seseorang mencintai sesuatu maka ia akan sering menyebutnya. Oleh kerana Allah Subhanahuwata’ala yang paling berhak dicintai, maka Dia-lah yang paling layak diingati dan disebut-sebut. Firman-Nya:

Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya bertambahlah iman mereka (kerananya), dan hanya kepada Rab-lah mereka bertawakkal.
(Al-Anfal, 8:2)

2.Mengkagumi-Nya (Al-I’jab)

Seseorang itu biasanya mengkagumi keindahan, kehebatan dan kelebihan yang ada pada sesuatu yang dikasihinya. Oleh kerana Allah Subhanahuwata’ala yang memiliki segala sifat kesempurnaan, maka Dia-lah yang paling berhak dikagumi dan dipuji. Firman-Nya:

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, Rab alam semesta.
(Al-Fatihah, 1:1-2)

3.Redha terhadap-Nya (Ar-Ridha)

Cinta menyebabkan seseorang itu redha terhadap apa saja yang dilakukan oleh kekasihnya. Apa saja yang dilakukan oleh kekasihnya, maka menurut pandangannya adalah baik belaka, meski pun mendatangkan kerugian pada harta bendanya. Baginya, yang paling mengembirakan ialah apabila kekasihnya redha kepadanya. Begitulah juga apabila seseorang cintakan Allah Subhanahuwata’ala, maka ia akan sentiasa mengejar redha-Nya.

Firman-Nya:
Mereka (orang-orang munafik) bersumpah kepada kamu dengan (nama) Allah untuk mencari keredhaanmu, padahal Allah dan rasul-Nya itulah yang lebih patut mereka cari keredhaannya jika mereka orang-orang yang mukmin.
(A-Taubah, 9:62)

Orang yang cintakan Allah Subhanahuwata’ala akan membuktikan keredhaannya kepada Allah Subhanahuwata’ala dalam doanya yang tulus (sepertimana doa yang diajarkan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam):
(Riwayat Abu Daud, Termizi, An-Nasai dan Hakim)

`Aku redha dengan Allah sebagai Rab, Islam sebagai din (agama) dan Muhammad sebagai Nabi dan Rasul'

Orang yang redha terhadap Allah Subhanahuwata’ala akan bertawakkal kepada-Nya (yakni berserah kepada-Nya), kerana segala ketentuan dan hasil bagi segala usahanya berada di tangan-Nya. Dia akan berpuashati hati di atas segala hasil yang diperolehinya setelah dia berusaha dan berikhtiar dengan sebaik-baiknya. Firman-Nya:

4.Sanggup berkorban untuk-Nya (At-Tadh-hiyah)

Cinta menyebabkan seseorang sanggup berkorban demi memenuhi kehendak kekasihnya. Semakin besar cintanya, maka semakin besar pengorbanan yang sanggup dilakukan. Begitulah kesanggupan seseorang yang cintakan Allah Subhanahuwata’ala, akan bersedia berkorban demi memenuhi kehendak-Nya. Firman-Nya:

Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang selalu bersegera dalam (mengerjakan) perbuatan-perbuatan yang baik dan mereka berdoa kepada kami dengan harap dan cemas, dan mereka adalah orang-orang yang khusyu' kepada Kami.
(Al-Anbiya’, 21:90)

bersambung...

Rujukan:
1. Usul dakwah, Dr Abd Karim Zaidan.
2. Jasiman, Lc., Syarah Rasmul Bayan Tarbiyah, Auliya Press Solo, Surakata, Indonesia, Cetakan pertama Julai 2005.

`Jika Allah SWT memberi hidayah kepada seorang lelaki lantaran anda, itu lebih baik bagimu daripada apa yang disinari matahari' HR At Tobrani