Kualiti da'i Siri 8 bahagian iii

Assalamu'alaikum wbth,

Sahabat/akhowat yang dirahmati Allah sekalian,

Sebagai sambungan dalam siri lalu, hal yang telah diperkatakan ialah kesan-kesan iman yang mendalam dalam diri seorang pendakwah.

Antara kesan-kesan iman yang mendalam dalam diri seorang da'i ialah lahir dalam dirinya rasa takut pada Allah SWT.

Izinkan saya untuk menjelaskan dengan panjang lebar berkaitan kualiti takut(khauf) kepada Allah SWT.


Bahtera takut kepada Allah SWT. Bahtera ini dapat menyelamatkan manusia daripada mengabdikan diri selain daripada Allah SWT. Bahtera ini juga dapat menyelamatkan manusia dari takutkan selain daripada Allah SWT. Ia juga menyelamatkan manusia daripada melakukan sesuatu yang bukan kerana Allah s.w.t. Seseorang da'ie amat perlu kepada bahtera Khaufu Minallah ini.

Sesiapa yang takutkan Allah SWT, maka ia akan ditakuti oleh makhluq lain. Orang yang takutkan Allah SWT juga akan digeruni oleh musuh-musuh Allah SWT. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : "
Demi Allah, sesungguhnya aku adalah orang yang paling takut kepada Allah dan paling bertaqwa kepada Allah. "
Oleh kerana itu kita dapati Rasulullah s.a.w sangat ditakuti dan digeruni oleh musuh-musuh Allah SWT. Rasulullah s.a.w tidak pernah takut kepada sebarang makhluq dan tidak pernah tunduk kepada manusia terutama kepada musuh-musuh baginda. Sebaliknya makhluqlah yang akan tunduk dan patuh kepadanya.

Begitu juga dengan sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w, mereka tidak pernah takut dan gentar sedikitpun terhadap manusia. Oleh itu mereka ditakuti dan digeruni oleh musuh-musuh Allah SWT. Mereka memiliki bahtera Khaufu Minallah. Mereka takut kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takut.

Dengan mempunyai bahtera ini juga dapat menghindarkan manusia dari menderhaka kepada Allah SWT. Ia akan menghindarkan seseorng itu daripada melakukan perkara-perkara yang dimurkai oleh Allah SWT Sekiranya tidak terdapat sifat-sifat Khaufu Minallah ini maka tidak akan lahirlah ketakutan kepada Allah SWT Akan lahir manusia-manusia yang menyeleweng di dalam 'Ibadahnya kepada Allah SWT. Hari ini memang banyak berlaku di dalam manusia biasa, masyarakat kita. Malah kadangkala berlaku di kalangan ulama' sendiripun terdapat yang takut dan malu kepada manusia lebih daripada takut dan malu kepada Allah SWT. Walaupun seorang ulama', jika tidak memiliki bahtera Khaufu Minallah, maka ia akan takut kepada manusia, takut kepada sultan, takut kepada kerajaan, takut kepada pemerintah dan sebagainya, lebur dari takut kepada Allah SWT.

Suatu ketika diceritakan kepada kita mengenai ketegasan seorang 'Alim Tasawwuf di zaman Asy Syahid al Imam Hasan al Banna yang bernama Hasanain, yang merupakan seorang pengasas Tariqat Al Hasafiyyah. Ramai orang yang berceritakan tentang kekeramatan beliau, tetapi Asy Syahid al Iman tidak tertarik kepada kekeramatan yang diceritakan tersebut. Masyarakat hanya nampak perkara-perkara yang pelik. Asy Syahid al Imam berkata : " Yang saya lihat karamah pada beliau itu ialah ketegasan beliau dalam melaksanakan dan keberanian serta kesungguhan beliau dalam menegakkan Ma'ruf ". Ketika di dalam suatu majlis, ketika orang ramai berkunjung ke rumah pembesar negeri, atau jemputan pembesar tersebut, maka termasuklah yang dijemput itu para ulama' dan pengasas Tarikat al Hasafiyyah. Dalam suatu suasana di rumah pembesar tersebut kelihatan seorang 'Alim mendekati pembesar tersebut dan tunduk hingga ke peringkat seolah-olah dalam keadaan Ruku'. Hal itu telah dilihat oleh pengasas Tarikat al Hasafiyyah, lalu dengan rasa marah ia mendekati 'alim tersebut. Lantas ia berkata: Bangunlah kamu wahai saudara. Kamu tidak boleh tunduk kepada manusia. Kamu hanya boleh tunduk kepada Allah SWT. "

Daripada cerita tersebut, walaupun seorang 'alim daripada para ulama', perkara seperti tersebut boleh berlaku jika tidak terdapat bahtera Khaufu Minallah. Seseorang itu dengan mudah akan tunduk, malu , takut dan sebagainya kepada Allah SWT, jika tidak memiliki bahtera Khaufu Minallah.

bersambung...

Rujukan:
Bahtera penyelamat dalam kehidupan pendakwah, Dr. Fathi Yakan

Comments

Popular posts from this blog

Respon: Bagaimana bertaaruf berkesan 2?

Pengajaran daripada Surah Al Muzammil

KELEBIHAN DO'A RABITHAH