Monday, September 28, 2015

PENGORBANAN SUCI - Khutbah oleh Al Fadil Ustaz Omar Hj Saleh



Assalamualaikum wbth,


Saya mengajak diri saya dan sidang hadirin dan hadirat sekalian, marilah kita terus pertingkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t dengan terus التزام dan patuh kepada titah perintah Allah serta meninggalkan segala tegahan-Nya. Marilah kita bertaqwa kepada Allah dengan sesungguh-sungguh taqwa, sepertimana firman-Nya:

Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah sebenar-benar takwa kepada-Nya; dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam.

Marilah juga kita terus memuji dan bersyukur kehadrat Allah s.w.t kerana kita masih diberi kesempatan oleh Allah s.w.t untuk kita terus hidup dan bersama-sama mera’ikan hari yang penuh barakah dan bahagia ini, iaitu hari Idul Adha atau hari di mana umat Islam yang menunaikan haji berkumpul di mina untuk melontar di jamrah.

Sidang hadirin dan hadirat yang dirahmati Allah !

Dalam kesempatan ini, kita diingatkan dengan peristiwa pengorbanan Nabi Allah Ibrahim AS dan anaknya Nabi Allah Ismail AS demi mentaati perintah Allah SWT. Nabi Ibrahim telah menerima perintah Allah untuk menyembelih anaknya, Ismail, di dalam mimpinya. Dalam suasana taat kepada Allah Subhanahuwataala Nabi Ibrahim rela menyembelih anaknya dan anaknya, Ismail, pun rela untuk disembelih. Kesetiaan mereka, kepatuhan mereka dan pengorbanan mereka telah diabadikan oleh Allah di dalam Al-Qur'an Al-Karim dalam Surah As-Shaffat, ayat 102:

Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: "Hai anakku, sesungguhnya Aku melihat dalam mimpi bahwa Aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!", Ia menjawab: "Hai bapakku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar".

Kesabaran, kepatuhan dan pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya, Ismail, menghadapi ujian yang berat telah dipuji oleh Allah swt dan telah menjadi contoh tauladan kepada umat Islam. Allah swt yang Maha Pengasih telah menggantikan Ismail dengan seekor kambing atau kibas. Firman Allah swt dalam surah Ash shaffat: 106 hingga 109:

Sesungguhnya Ini benar-benar suatu ujian yang nyata. Dan kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar. Kami abadikan untuk Ibrahim itu (pujian yang baik) di kalangan orang-orang yang datang kemudian. (Iaitu) "Kesejahteraan dilimpahkan atas Ibrahim".

Umat Islam disunatkan menyembelihkan haiwan korban pada hari raya haji atau idul adha. Hendaklah korban itu terdiri daripada haiwan ternakan yang dipilih dengan baik. Namun segala pengorbanan hendaklah berdasarkan taqwa kepada Allah swt. Allah hanya menerima pengorbanan dan amalan yang diasaskan di atas asas taqwa kepada-Nya: Firman Allah swt dalam surah Al-Hajj ayat 37:


Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keridhaan) Allah, tetapi ketakwaan dari kamulah yang dapat mencapainya.


Hadirin dan hadirat sekelian,

Berhubung dengan hukum menyembelih haiwan korban ini, Dr. Ali Abdul Halim Mahmud, dalam kitabnya mengenai at-Tadhiyyah adalah memberikan beberapa nohtah:
1.Berkorban, yakni menyembelih haiwan korban, adalah suatu yang disyari’atkan oleh ajaran Islam.
2.Menyembelih haiwan korban hukumnya adalah sunnah, namun amalan ini paling disukai oleh Allah SWT dilakukan pada hari Nahar, yakni pada hari umat Islam yang menunaikan fardhu haji melaksanakan kewajipan melontar jamratul ‘aqabah di Mina.
3.Binatang korban akan datang pada hari Kiamat dengan keadaan sebagaimana ketika disembelih. Justeru itu umat Islam disarankan agar memilih haiwan ternakan yang terbaik untuk dikorbankan. Manakalan menyembelihnya pula perlu disembelih dengan cara yang paling ihsan.
4.Darah haiwan sembelihan yang jatuh, diterima olah Allah swt dahulu, sebelum ianya jatuh ke muka bumi.


Hadirin dan hadirat sekelian,

Daripada peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail seperti yang dinyatakan, telah memberikan kepada kita beberapa nilai, pengiktibaran dan pengajaran-pengajaran tentang pengorbanan.

Bahawa, termasuk bahagian daripada sunnah para anbiya’, seseorang muslim dikehendaki mengorbankan sebahagian daripada harta bendanya di jalan Allah SWT. Maksud jalan Allah adalah sangat luas. Ia mencakup segala jenis kebaikan, antaranya: memberikan makan kepada kaum fakir miskin, berdakwah di jalan Allah dan berjihad menentang musuh-musuh Allah.

Para ulama’ telah mencadangkan agar bahawa daging korban diagih-agihkan sebagai sadaqah, sebagai hadiah dan digunakan sendiri oleh tuannya. Ini bermakna Islam sangat mengambil berat tentang hubungan siratulrahim atau keharmonian hubungan sosial semasa manusia. Jika daging itu sampai kepada golongan fakir atau golongan miskin maka ia akan membantu untuk mencukupi keperluan hidup mereka. Jika daging itu sampai kepada golongan yang berada maka ia merupakan satu hadiah yang akan mengukuhkan hubungan kasih sayang dan ukhuwah Islamiyah. Bahkan, betapa Islam mementingkan hubungan harmoni sesama manusia, daging korban itu boleh juga diberikan kepada golongan bukan Islam, sebagaimana yang diputuskan oleh para ahli fiqh. Ini kerana golongan bukan Islam juga merupakan sasaran dakwah Islamiyah.

Hadirin dan hadirat sekelian,

Sesungguhnya di dalam Islam, erti pengorbanan mempunyai dimensi yang luas. Pengorbanan itu dituntut dalam pelbagai aspek kehidupan orang-orang yang beriman kepada Allah. Tidak akan tertegak amal Islami untuk mengembalikan semula Islam yang telah dihina kepada kedudukannya yang tinggi dan mulia tanpa berkorban. Tidak akan tertegak dakwah Islamiyah untuk menyeru seluruh manusia supaya kepada din Allah SWT tanpa berkorban. Tidak akan tertegak jihad untuk menentang serangan musuh-musuh Allah seperti serangan dari golongan yahudi, golongan nasrani, gerakan misionary dan serangan orang-orang munafiq tanpa berkorban.

Selain daripada mengorbankan harta benda dan wang ringgit, Islam juga menuntut orang-orang beriman berkorban dalam beberapa aspek yang lain, iaitu:

1.Mengorbankan diri di jalan Allah.

Sesungguhnya Allah SWT menghendaki orang beriman mencagarkan dirinya, di samping hartanya, untuk mendapatkan habuan syurga Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah At-Taubah, ayat 111.

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekelian,

Natijah terakhir bagi mereka yang mengorbankan dirinya di jalan Allah ialah sama ada mendapat syahid di jalan Allah atau mati di jalan Allah. Sesungguhnya kita semua pasti akan mati, maka kita perlulah merancang kematian kita akan mendapat kematian yang terbaik.

Hadirin dan hadirat sekelian,

Di sini saya ingin menjelaskan perbezaan di antara syahid di jalan Allah dan mati jalan Allah berdasarkan firman Allah SWT dalam surah Ali Imran, ayat 157 dan 158:

Dan sungguh jika kamu terbunuh di jalan Allah atau mati, tentulah ampunan Allah dan kasih sayang-Nya lebih baik (bagimu) dari harta yang mereka kumpulkan. Dan sungguh jika kamu mati atau terbunuh, tentulah kepada Allah-lah kamu dikumpulkan.

Menurut Dr. Ali Abdul Halim Mahmud, terbunuh atau syahid di jalan Allah bermakna terbunuh di tangan musuh Allah di medan jihad di jalan-Nya.

Manakala, mati di jalan Allah bermakna seorang muslim itu mati ketika sedang melakukan amal Islami yang diredhai Allah, seperti berdakwah di jalanNya dan melakukan pelbagai kerja-kerja Islam bertujuan untuk memperkuat atau mengukuhkan Islam.

Sama ada seseorang itu syahid di jalan Allah atau mati di jalan Allah, maka kedua-dua jenis kematian itu adalah kematian yang mulia. Kedua-keduannya akan mendapat kasih sayang Allah dan keampunan Allah daripada segala dosanya. Justeru itu, hadirin dan hadirat sekelian, hendaklah setiap detik dalam kehidupan kita, sentiasa berada di jalan Allah, di atas jalan dakwahNya. Jangan sekali-kali kita terkeluar daripada jalan dakwahNya kerana kita tidak tahu bilakah kematian itu akan tiba. Inilah yang saya maksudkan dengan kita merancang kematian yang terbaik di sisi Allah SWT.

2.Jenis pengorbanan yang berikutnya ialah mengorbankan waktu dan kesungguhan.

Rasulullah SAW adalah menasihatkan kita, dalam hadithnya (riwayat Al-Hakim), bahawa:
“Manfaatkanlah 5 keadaan sebelum datang 5 (keadaan) yang lain (yakni):
Hidupmu sebelum matimu
Sihatmu sebelum sakitmu
Waktu lapangmu sebelum sebokmu
Mudamu sebelum tuamu
Kayamu sebelum miskinmu”

Hasan Al-Banna pula ada menyatakan, “waktu adalah kehidupan”. Ini bermakna apabila seseorang itu mensia-siakan waktu, bermakna beliau mensia-siakan kehidupannya. Justeru itu saya menyeru kepada hadirin dan hadirat sekelian, marilah sama-sama kita menguruskan waktu kita di jalan Allah dengan baik seperti untuk mendekatkan diri dengan Allah, berdakwah kepada masyarakat, mendidik anak-anak, menunaikan hak-hak ahli keluarga, menjayakan projek-projek Islam, mencari nafkah hidup dan sebagainya. Kita peruntukan waktu kepada tiap-tiap yang berhak itu akan haknya dengan adil dan bijaksana. Pendek kata seluruh waktu kita dipergunakan untuk perkara-perkara yang bermanfaat untuk Islam dan untuk dakwah Islamiyah.

Janganlah hendaknya kita hanya leka dengan keseronokan dunia dan menggunakan waktu untuk kepentingan peribadi dan keluarga sahaja, dan kita abaikan tugas dakwah kepada masyarakat dan kita membiarkan masyarakat dirosakkan oleh musuh-musuh Islam. Marilah kita sama-sama beringat-ingat akan pesanan Rasulullah SAW (daripada riwayat At-Termizi, yang bermaksud), antara lain:

“Barangsiapa yang menjadikan akhirat sebagai tujuannya, maka Allah akan menjadikan kekayaan di dalam hatinya, mengumpulkan segala urusannya, dan dunia datang kepadanya dengan merendahkan diri. Sedangkan sesiapa saja yang menjadikan dunia sebagai tujuannya maka Allah pasti akan menjadikan kefakiran bertakhta di antara kedua matanya, mencerai-beraikan urusannya dan dunia tidak akan datang kecuali yang ditetapkan untuknya sahaja.”


Hadirin dan hadirat sekelian,

Marilah sama-sama kita berkorban sepanjang hayat. Berkorban dalam erti kata yang luas, meliputi pengorbanan harta benda, tenaga, diri sendiri, waktu dan kesungguhan untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT. Juga pengorbanan dalam pelbagai bidang dakwah dan jihad seperti berdakwah kepada masyarakat, mendidik anak dan ahli keluarga, membangunkan pelbagai institusi Islam dan sebagainya.


Hadirin dan hadirat yang dirahmati Allah sekelian,

Sempena hari idul adha yang mulia ini, kita juga tidak lupa untuk memikir dan membela nasib din Islam dan umatnya yang ditindas, dihina, dizalimi dan dijajah dalam pelbagai bidang hidup dan di pelbagai tempat pelosok dunia.

Umat Islam di Palestin sedang dijajah dan dizalimi. Bumi Palestin tempat terletaknya masjid ketiga suci bagi kita umat Islam, setelah masjidil haram dan masjid nabawi, dan bumi di mana Rasulullah SAW di mi’raj ke langit, perlu dibela dan dipertahankan oleh umat Islam seluruh dunia.

Apa yang boleh kita lakukan untuk membantu mereka ialah:

1.Kita banyak berdoa untuk mendapatkan pertolongan Allah bagi memenangkan para mujahidin yang sedang mempertahankan bumi dan maruah umat Islam di bumi Palestin.
2.Kita memberikan sumbangan harta benda dan pelbagai bantuan yang diperlukan untuk membantu mereka dari masa ke semasa.
3.Kita memperkuatkan diri-diri kita dengan kekuatan iman, kekuatan ilmu, kekuatan syakhsiyah, kekuatan wehdah, kekuatan dakwah, kekuatan tarbiyah dan seumpamanya, untuk membina ummah yang kuat dan mampu menghadapi serangan musuh dalam pelbagai aspek kehidupan.
4.Kita memperkuatkan dakwah di tempat kita dan menyedarkan umat di sekitar kita supaya bangkit daripada tidur mereka yang nyenyak, untuk kembali menghayati ajaran Allah, menghayati sunnah Rasulullah SAW, tidak tergoda dengan godaan-godaan musuh-musuh Allah dan berjuang untuk meninggikan kalimah-Nya yang hak.


Do’a:

Dari Abdullah bin Umar radhiyallahu 'anhuma, ia berkata: "Jarang sekali Rasulullah shallallahu 'alaihi wa salam bangun untuk bubar dari sebuah majlis, sampai beliau membaca doa berikut ini untuk orang-orang yang duduk bersama beliau:


"Ya Allah, karuniakanlah kepada kami sebagian rasa takut kepada-Mu yang bisa mencegah kami dari berbuat maksiat kepada-Mu.

Ya Allah, karuniakanlah kepada kami sebagian ketaatan kepada-Mu yang bisa mengantarkan kami kepada surga-Mu.

Ya Allah, karuniakanlah kepada kami keyakinan yang bisa meringankan bagi kami musibah-musibah dunia yang kami alami.

Ya Allah, karuniakanlah kenikmatan kepada kami dengan pendengaran, penglihatan dan kekuatan kami selama kami masih hidup, dan akhirilah kehidupan kami dengan kenikmatan pula.

Timpakanlah pembalasan kami kepada orang-orang yang menzalimi kami
Menangkanlah kami atas orang-orang yang memusuhi kami
Janganlah Engkau menimpakan musibah kami terjadi pada urusan agama (iman) kami
Janganlah Engkau menjadikan dunia sebagai cita-cita terbesar kami dan puncak ilmu kami
Dan janganlah Engkau menjadikan orang-orang yang tidak menyayangi kami sebagai pemimpin yang berkuasa atas kami."

Friday, March 20, 2015

FUTUR



FUTUR

Futur adalah kemerosotan atau kemalapan yang berlaku pada keima¬nan atau keIslaman seseorang. Futur adalah satu penyakit. Seseo¬rang yang dihinggapi penyakit ini akan lemah dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah Subhanahuwata’ala.

Bentuk-bentuk futur yang dialami oleh seseorang

1) Malas ber’ibadat.

2) Fenomena mati tidak memberi kesan kepada hati. Justeru itu kita digalakkan menziarahi kubur sebagai ‘ubat’ agar hati kita dapat mengambil pengajaran daripada peristiwa kematian.

3) Melakukan ma’siat samada kecil atau besar. Lebih teruk kefuturan seseorang jika kema’siatan menjadi kebiasaan. Dan lebih teruk lagi kefuturannya jika dia bergembira dengan ma’siat.

4) Suka melihat atau menyaksikan ma’siat. Orang beriman akan melihat dosa ma’siat umpama sebuah gunung yang akan menimpa dirinya, sedangkan orang munafik akan melihat dosa umpama lalat yang hinggap di hidungnya sahaja.

5) Ukhuwwah menjadi longgar.

6) Ghairah kepada dunia. Sebok dengan dunia hingga membuang masa dengan kerja-kerja yang tidak berfaedah. Dalam sistem yang ada, gagasan kecemerlangan yang disogokkan kerap menjerumuskan seseorang kepada sikap ghairah dengan dunia.

7) Berbangga dengan kemajuan duniawi. Atau merasakan lemah dengan kemunduran duniawi.

8) Lemah atau tidak bersedia untuk iltizam (patuh)

9) Menangguh-nangguhkan kerja.

Semua perkara di atas melemahkan kerja-kerja Islam dan da’wah. Kadangkala seseorang itu futur hingga tidak bermaya melaksanakan kerja-kerja Islam.



Sebab-sebab berlaku futur pada seseorang

1) Tidak ikhlas dalam berkerja.

Ikhlas perlulah dibina dan dikawal supaya ia hadir dalam semua kerja yang kita lakukan. Ikhlas kepada Allah Subhanahuwata’ala dalam setiap kerja sangatlah berat, lebih-lebih lagi dalam suasana yang tidak Islamik.

Firman Allah Subhanahuwata’ala:


“Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama yang lurus.”
(Al Bayyinah (95):5)

Hadis Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam:

( إنما الأعمال بالنيات ) رواه البخاري ومسلم
“Sesungguhnya setiap amalan itu tergantung kepada niatnya.”

Sekiranya keikhlasan kita terganggu, maka adakah perlu kita meneruskan sesuatu amalan atau pun berhenti beramal? Sebenarnya kita perlu terus beramal, sekaligus kita islahkan niat kita supaya ikhlas.

Mendidik hati agar ikhlas adalah satu proses berterusan kerana Allah Subhanahuwata’ala tidak redha dengan amalan yang menyekutui-Nya.

Sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dalam hadith qudsi yang bermaksud:

“Aku yang paling kaya daripada sekutu. Sesiapa yang melak¬ukan amalan dengan menyekutukan Aku, maka Aku akan biarkan dia bersama-sama dengan sekutunya di Akhirat nanti.”

2) Lemah dalam ilmu syara’ (iaitu ilmu dari masdar yang betul) dan penghayatannya.

Ilmu syara’ itu luas, merangkumi tafsir al-Qur’an, ilmu hadis, fiqh, tarikh, bahasa arab dan lain-lain. Antara yang penting ialah ilmu mengenai hukum-hukum taklifi (wajib, sunnat, haram, makruh, dan mubah)

Dengan ilmu seseorang itu akan mengetahui samada sesuatu perkara itu syar’i atau tidak syar’i.

3) Berkawan dengan orang yang tidak berhimmah atau bercita-cita tinggi (yakni yang berhimmah rendah).

4) Melihat atau memperbaiki perkara-perkara berkaitan Islam dan da’wah dalam bentuk yang juz-i. Dengan kata lain, menyelesaikan permasalahan manusia dengan cara yang tidak syamil/kamil. Misalnya, menyelesaikan masalah ekono¬mi sahaja.

5) Matlamat atau hadaf amal Islami tidak jelas. Juga wasilah amal Islami tidak jelas. Tidak ada wawasan yang sebenar. Wawasan manusia kini hanyalah wawasan mengikut umur manusia sahaja. Wawasan kita adalah mengikut umur Islam. Bermula dari dunia hingga ke akhirat.

6) Tidak waqi’i dalam tindakan. Tidak melakukan kerja di atas kenyataan yang betul. Begitu juga, tidak waqi’i apabila memulakan sesuatu kerja. Tidak mengambil contoh daripada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, sebaliknya bertindak hanya berasaskan fikiran sendiri.

7) Tidak memahami amalan atau kerja yang sepatutnya dilakukan. Dan tidak memahami rintangan-rintangan bagi sesuatu amalan.

8) Bersifat fardhiyah. Yakni bersifat individu atau lebih me¬mentingkan diri sendiri. Kita perlu mendidik diri sendiri supaya memperseimbangkan antara kepentingan individu dan kepentingan jamaah. Bila seimbang barulah elok segala kerja kita.

9) Jumud atau beku dalam uslub dan marhalah-marhalah amal. Kadang-kadang kerja-kerja yang dilakukan hanya dengan satu ‘pattern’ sahaja. Kita perlu mempelbagaikan bentuk kerja. Begitu juga uslub dan marhalah kerja. Misalannya di dalam usrah, kita perlu pelbagai aktiviti - yang rasmi dan yang tidak rasmi.

10) Lemah tarbiyyah. Ini adalah faktor yang besar. Faktor ini amat luas pengertian dan huraiannya.

11) Tidak tahu dan tidak merasai cabaran-cabaran dalam amal Islami. Tidak tahu bagaimana kedudukan jama’ah atau apakah musuh bagi jama’ah.

Kita sebenarnya melaksanakan kegiatan-kegiatan berdasarkan sistem Islam. Musuh kita pula menjalankan pelbagai kegiatan berdasarkan sistem yang lain. Kita tidak boleh berdiri atau bertindak sebagai satu individu untuk berde¬pan dengan sistem yang bukan Islam. Kita perlu bertindak sebagai satu jama’ah. Kita perlu faham tipu helah sistem yang ada.

Kita berhudnah dengan sistem yang ada. Kita tidak boleh bergabung dengan mereka dan merasa seronok pula. Kita bermu’amalah dengan mereka berdasarkan ‘hudnah’. Manakala dengan jama’ah-jama’ah Islam yang lain, kita bermuamalah berdasarkan tahalluf.

Sistem yang ada sentiasa memerhatikan perkembangan Islam. Apabila mereka nampak Islam kuat dan berlembang, maka mereka akan sekat.

Oleh itu seseorang yang tidak memahami hakikat waqi’ atau realiti sebenar, tidak akan merasai sistem yang ada kini sebagai satu cabaran.

12) Tidak tahu menyelaras atau memperseimbangkan antara kemampuan dan kerja.

13) Berbeza bi-ah dan tabi’at. Bila seseorang itu biasa dengan sesuatu bi-ah dan tabi’at, maka dia tidak dapat menyesuaikan diri dengan bi-ah dan tabi’at yang lain. Justeru itu boleh berlaku futur.

Dahulu, penjajah British terlebih dahulu mengkaji biah dan tabi’at manusia di sini. Selepas itu barulah mereka masuk dan menjajah Malaysia.

14) Tidak sedar dan tidak memahami sunnah Allah Subhanahuwata’ala yang berlaku pada ummah dan individu. Tidak mengerti akan ujian Allah Subhanahuwata’ala terhadap jama’ah dan individu. Contohnya di Mesir, ujian terhadap sahabat-sahabt Ikhwan sangat jelas. Ini sunnah Allah Subhanahuwata’ala untuk penda’wah Islam. Mungkin seseorang menerima sunnah itu dengan keluhan dan putus asa. Kita perlu menerima sunnah itu dengan penuh persediaan. Kita perlu memainkan peranan yang sepatutnya berhada¬pan dengan sunnah ini. Kita perlu tanya diri kita, apakah persediaan kita untuk berhadapan dengan sunnah Allah Subhanahuwata’ala?

15) Futur dalam mengubati futur. Lemah dalam mengubati kelemahan. Seseorang yang futur itu tahu bahawa dirinya lemah. Dia terus lemah untuk mengubati dirinya. Bagi kita, kalau kita rasa lemah, maka cepat-cepatlah kita mencari sahabat yang boleh menguatkan diri kita atau berusaha dengan cara yang sunnah untuk mengubati futur.


16) Berpenyakit dalam hati atau jiwa. Banyak terdapat penyakit hati seperti hasad, dengki, cemburu buta dan lain-lain.


Penutup

Setiap aktiviti kita mestilah berindukkan tarbiyah. Seandainya tidak berindukkan tarbiyah, maka akan mudahlah lahir keghairahan kepada sistem yang bukan Islam. Kadang-kadang keghairahan itu mengaki¬batkan kita tidak bermaya untuk mempertahankan Islam.

Apabila kita melakukan kerja-kerja dengan berindukkan tarbiyah Islamiyah, maka InsyaAllah, Allah Subhanahuwata’ala akan memberikan keberkatan dan petunjuk.

Sekiranya kita bekerja di bawah sistem sedia ada, maka kita mestilah pastikan pekerjaan kita itu adalah untuk maslahah da’wah. Kita tetap bekerja untuk menarik orang lain kepada Islam. Kita mengambil manfa’at demi kepentingan Islam, di samping kita mendokong syakhsiyyah Islamiyah.


Minda pembangunan



Aqliyah bina' ini adalah pelan pembangunan fard.

[1] Perlu mampu melahirkan ahli yang mengetahui bagaimana nak memajukan yang ada, dan mengadakan yang tidak ada.

Jangan pula yang ada dirobohkan, dan tidak mampu mengadakan yang tidak ada.

[2] Perlu melahirkan ahli yang mampu dapat faedah daripada orang yang ada di sekelilingnya.

Kualiti ini perlu ada ada dan dicari jika masih belum ada

Jika tidak harapan hanya tinggal harapan.

Kerja-kerja kita bukan reaksi apa yang berlaku. kita perlu miliki apa yang disebutkan tadi

aqliyah bina'(agenda pembangunan binaan), bagi lahir jurutera pembangunan yang berkualiti.

[a]pembangunan yg pertama, ialah aqidah, iman
[b]pembangunan ilmu pengetahuan
[c]pembangunan ibadah
[d]pembangunan akhlak
[e]pembangunan ukhuwwah taawuniyyah -persaudaraan tolong menolong
[f]pembangunan haraki- (siyasah). siyasah lebih luas dari politik. siyasah syariyyah - diperintah oleh syarak.

Friday, February 13, 2015

Kematian pemimpin merupakan ujian bagi sesuatu organisasi Islam



Menurut Dr. Abdul Karim Zaidan dalam kitabnya bertajuk Sunan Ilahiyah di dalam bab Sunnatullah fil fitnah wal ibtila’, beliau menjelaskan bahawa ada kalanya organisasi Islam diuji dengan kematian pemimpin mereka sama ada dengan kematian biasa atau terbunuh. Hal ini merupakan cubaan yang berat. Justeru itu organisasi Islam wajar mempunyai sikap yang benar dalam menghadapi ujian yang sulit ini dengan menghadapinya dengan:
a.Kesabaran
b.Tetap berpegang kepada prinsip yang diperjuangkan oleh beliau dan organisasi
yang diasaskan.

Prinsip yang dimaksudkan ialah kerja dakwah illalah dan usaha meninggikan kalimah Allah di atas muka bumi .

Prinsip asas ini akan tetap diteruskan dan tidak berakhir walaupun pemimpinnya meninggal dunia. Organisasi Islam berkenaan tidak boleh berhenti dan menjadi lemah dari perjuangan jihadnya akibat musibah kematian pemimpin mereka.

Analogi mudah yang boleh dikaitkan di sini ialah: tidakkah anda melihat bahawa solat jemaah di masjid akan diteruskan solatnya meskipun imam masjidnya meninggal dunia. Samalah juga dengan organisasi Islam, usaha mulia ini perlu diteruskan walaupun pemimpinnya meninggal dunia.
Syariat Islam mencela para sahabat r.hm yang berhenti berjuang hanya kerana Ar Rasul SAW wafat. Allah SWT berfirman di dalam surah Ali Imran ayat 144:

`Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul. Apakah Jika dia wafat atau dibunuh kamu berbalik ke belakang (murtad)? Barangsiapa yang berbalik ke belakang, maka ia tidak dapat mendatangkan mudharat kepada Allah sedikitpun, dan Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.’


Tafsiran ayat ini adalah, Allah SWT menjelaskan bahawa Rasulullah SAW tidak bersama kaumnya untuk selama-lamanya. Justeru itu amat penting bagi ummat Islam untuk sentiasa berpegang teguh dengan apa yang dibawa oleh baginda SAW. Deen Allah SWT tidak akan pupus dengan wafat atau terbunuhnya para Nabi.

Allah SWT berfirman: Apakah jika ia wafat atau dibunuh kamu akan berpatah balik ke belakang? Yakni kamu mundur dan berhenti dari berjihad. Barangsiapa yang berbuat demikian, maka ia tidak akan memudaratkan Allah SWT sedikitpun. Allah SWT akan memberi pahala kepada orang-orang yang bersyukur, yakni orang-orang yang taat kepada Allah dan membela agama-Nya serta mengikuti Rasul-Nya semasa hidup dan sesudah wafatnya.

Ringkasnya:

Apabila berdepan dengan musibah sebegini bagi sesuatu organisasi Islam, kita perlu bersabar dan Tsabat (tetap berpegang) kepada prinsip yang diperjuangkan oleh beliau dan organisasi Islam yang diasaskan.

Saturday, January 31, 2015

Mukaddimah Buku: Petunjuk Sepanjang Jalan



Umat manusia sekarang ini berada di tepi jurang kehancuran. Keadaan ini bukanlah berpunca dari ancaman maut yang sedang tergantung di atas ubun-ubunnya. Ancaman maut itu adalah satu gejala penyakit sahaja dan bukanlah ia penyakit itu sendiri. Sebenarnya punca utama dari keadaan.ini ialah: bengkrap dan melesetnya umat manusia itu di bidang “nilai” yang menjadi pelindung hidupnya. Hal ini terlalu menonjol di negara-negara blok Barat yang sememangnya sudah tidak punya apa pun “Nilai” yang dapat diberinya kepada umat manusia; malah tidak punya satu apa pun yang dapat memberi ketenangan hatinya sendiri, untuk merasa perlu hidup lebih lama lagi; setelah sistem “demokrasi” nampaknya berakhir dengan kegagalan dan kebengkrapan, sebab ternyata ia sudah mulai meniru - dengan secara beransur-ansur - dari sistem negara-negara blok Timur, khususnya di bidang ekonomi, dengan memakai nama sosialisme!

Demikian juga halnya di negara-negara blok Timur itu sendiri. Teori-teori yang bercorak kolektif, terutamanya Marxisme yang telah berhasil menarik perhatian sebahagian besar umat manusia di negara-negara blok Timur itu - dan malah di negara-negara blok Barat juga - dengan sifatnya sebagai suatu isme yang memakai cap akidah juga telah mulai mundur teratur sekali dari segi ‘teori’ hingga hampirlah sekarang ini lingkungannya terbatas di dalam soal-soal ‘sistem kenegaraan’ sahaja dan sudah menyeleweng begitu jauh dari dasar isme yang asal dasar-dasar pokok yang pada umumnya bertentangan dengan fitrah umat manusia dan tidak mungkin berkembang kecuali di dalam masyarakat yang mundur, atau pun masyarakat yang begitu lama menderita di bawah tekanan sistem pemerintahan diktator. Hatta di dalam masyarakat seperti itu sendiri pun - telah mulai nampak kegagalan di bidang benda dan ekonomi; iaitu bidang yang paling dibanggakan oleh sistem itu sendiri. Lihat sahaja Russia, negara model dari sistem kolektif itu, telah mulai diancam bahaya kebuluran yang hampir sama dengan keadaan di zaman Tzar dahulu; hingga negara itu telah terpaksa mengimpot gandum dan bahan-bahan makanan serta menjual emas simpanannya untuk membeli bahan makanan itu. Ini berpunca daripada kegagalan sistem pertanian kolektif dan sistem ekonomi yang bertentangan dengan fitrah umat manusia.

Oleh itu, maka umat manusia mestilah diberikan pimpinan baru!

Sesungguhnya peranan pimpinan manusia barat ke atas umat manusia ini telah hampir tamat. Ini bukanlah kerana tamaddun Barat itu telah bengkerap dan dari segi benda atau telah lemah dari segi ekonomi dan kekuatan tentera tetapi sebenarnya kerana sistem Barat itu telah tamat tempohnya sebab ia tidak lagi mempunyai stock “nilai” yang melayakkan dia memegang pimpinan.


Umat manusia perlukan suatu pimpinan yang mampu menyambung terus tamadun kebendaan seperti yang telah dapat dicapai sekarang melalui tamadun cara Eropah itu, juga yang mampu memberikan nilai baru yang lengkap, setanding dengan yang telah sedia ada dan telah popular di dalam masyarakat manusia, juga yang mempunyai program yang kemas kini, positif dan praktikal.

Hanya Islam sahajalah yang mempunyai nilai-nilai dan program yang sargat diperlukan itu.Kemajuan ilmu pengetahuan telah pun menunaikan tugasnya. Sejak dari zaman kebangkitan di dalam abad keenam belas Masihi dan telah mencapai puncak kemajuannya di dalam abad kedelapan betas dan abad kesembilan belas. Sesudah itu tamadun Eropah sudah kehabisan bahan simpanan, untuk disumbangkan kepada umat manusia.

Demikian juga faham-faham “kebangsaan” dan “perkauman” yang telah muncul pada ketika itu, dan beberapa buah negara gabungan telah lahir dan telah memberikan sumbangannya masing-masing kepada umat manusia tapi faham-faham “kebangsaan” dan “perkauman” itu sudah tidak mampu memberikan apa-apa pun kepada umat manusia, kerana sudah kehabisan bahan simpanan…

Pada akhirnya sistem-sistem yang berdasarkan kebebasan individu dengan disusuli pula oleh sistem kolektif telah selesai peranannya dan berakhir dengan kegagalan juga.

Sekarang tibalah pula giliran ISLAM dan peranan “umat” di saat yang paling genting ini memang sudah tiba giliran Islam pula. Islam yang tidak memandang remeh dan rendah kepada hasil ciptaan sains yang dilakukan oleh umat manusia sebelum ini dan akan terus dilakukan oleh umat manusia di sepanjang zaman kerana Islam memandang kemajuan di bidang ciptaan sains itu sebagai salah satu tugas utama manusia sejak Allah melantik umat manusia ini menjadi “khalifah” dan pemerintah di bumi ini, dan di bawah syarat-syarat tertentu pula, Islam memandangnya sebagai sejenis ibadat kepada Allah, dan sebagai sejenis pelaksanaan tujuan hidup manusia:

Firman Allah Maksudnya: Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak jadikan seorang khalifah di muka bumi. "(Al-Baqarah: 30)


Maksudnya: Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku. (Adz-Dzariat: 56)

Maka tibalah giliran bagi “UMAT ISLAM” melaksanakan tujuan Allah yang telah melahirkan umat ini ke tengah-tengah masyarakat umat manusia:

Maksudnya: Kamu [umat Islam] adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, iaitu kamu menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan kamu beriman kepada Allah.

(Aali Imraan: 110)

Dan firman Allah

Maksudnya: Dan demikianlah kami jadikan kamu [umat Islam] umat yang adil dan pilihan, agar kamu menjadi saksi atas perbuatan manusia dan agar Rasul [Muhammad] menjadi saksi atas perbuatan kamu ...(Al-Baqarah: 143)

Tetapi Islam tidak akan mampu menunaikan tugasnya kecuali bila ia menjelma di dalam sebuah masyarakat, iaitu ia menjadi panduan hidup suatu umat kerana umat manusia tidak mahu mendengar - terutama sekali di zaman mutaakhir ini - kepada suatu akidah yang kosong, yang tidak dapat dilihat buktinya melalui suatu bentuk hidup yang nyata dan dapat disaksikan sedangkan “wujud” umat Islam itu sendiri boleh dianggap telah terputus -sejak beberapa abad yang lalu kerana UMAT ISLAM itu bukanlah bererti sekeping tanah di mana Islam hidup di situ, bukan juga suatu kaum atau golongan orang yang nenek moyang mereka dahulu pernah menghayati Islam sebagai panduan hidup mereka kerana sesungguhnya “umat Islam” itu ialah suatu golongan manusia yang menimba hidup, konsep realiti, nilai hidup mereka dari sumber Islam dan umat ini, dengan ciri-ciri yang disebut di atas, telah terputus wujudnya sejak terhentinya pelaksanaan undang-undang dan syariat Islam dari seluruh muka bumi ini.

Oleh sebab itu maka perlulah dipulihkan semula wujudnya umat itu; supaya Islam dapat menunaikan peranan yang sangat diharapkan itu, dalam memimpin umat manusia sekali lagi.

Memanglah umat Islam itu mesti “bangkit” semula umat yang telah ditimbus zaman, ditimbus oleh konsep hidup yang sesat dan ditimbus pula oleh realiti hidup yang menyeleweng, ditimbus oleh sistem hidup yang pincang dan tiada kena mengena dengan Islam sama sekali, tiada kena mengena dengan program Islam walaupun umat itu masih menganggap dirinya sebagai umat Islam dan masih memanggil negeri tempat tinggal mereka sebagai “dunia Islam.”

Sebenarnya saya arif benar bahawa jarak di antara usaha “bangkit” semula dan “memegang pimpinan” itu masih jauh dan susah dilalui sebab sesungguhnya umat Islam sudah hilang dari “wujud” dan “realiti” begitu lama sekali dan peranan memimpin umat manusia itu telah diambil oleh fikiran yang lain, oleh umat yang lain dan oleh konsep yang lain, juga oleh realiti yang lain berabad-abad lamanya dan tamadun Eropah telah pun menciptakan dalam tempoh yang begitu lama beberapa banyak perbendaharaan yang berbentuk “Ilmu Pengetahuan” “kebudayaan” “sistem hidup” dan “penghasilan benda”, iaitu suatu perbendaharaan yang agung dan telah membawa umat manusia naik ke kemuncak kemajuan perbendaharaan yang tidak dapat dibuang begitu sahaja tanpa gantinya; lebih-lebih lagi negara-negara yang bernama “dunia Islam” sekarang hampir tidak mempunyai bahan simpanan dari hasil perbendaharaan itu.

Walau bagaimanapun tanpa mengenepikan pertimbangan ini walau bagaimana jauhnya pun jarak di antara “bangkit semula” dengan “memegang pimpinan” langkah-langkah ke arah bangkit semula itu mesti dijalankan serta merta dan jangan dilengahkan lagi!

Supaya kita selalu dapat menguasai persoalannya, maka perlu benar kita memahami secara terperinci, apakah dia syarat-syarat kelayakan yang akan membolehkan umat ini (umat Islam) memegang peranan memimpin umat manusia, supaya kita tidak meraba-raba dalam mencari unsur-unsur yang dapat mencetuskan kebangkitan semula umat ini, di peringkat pertama.

Umat ini sekarang tidak punya kemampuan dan tidak perlu ia mempunyai kemampuan untuk mengemukakan kepada umat manusia keunggulan dan kejaguhannya di dalam lapangan “ciptaan benda” yang membikin orang tunduk dan takut kepadanya dan memaksa umat manusia menerima pimpinannya berdasarkan faktor ini; kerana kemajuan ala Eropah di lapangan ini telah terlalu jauh mendahuluinya dan memanglah tidak boleh diharapkan, dalam tempoh beberapa abad di hadapan, untuk mengatasi mereka di lapangan ini!


Yang demikian maka mestilah dicari suatu syarat kelayakan yang lain, iaitu syarat kelayakan yang tidak terdapat di dalam tamaddun sekarang.

Ini tidaklah bererti bahawa kita mesti melupakan dan mesti memandang enteng kepada soal “penghasilan benda” dan “rekaan sains”, sebab menjadi kewajipan kita juga untuk berusaha mendapatkannya, tapi bukanlah dengan anggapan bahawa ia merupakan “syarat kelayakan” asasi yang mesti kita gunakan di dalam memegang pimpinan umat manusia dalam tempoh sekarang ini. Cuma ia diperlukan sekadar untuk menjaga hidup kita dari ancaman dan penindasan dan juga kerana konsep Islam sendiri yang mengajarkan bahawa ciptaan sains adalah mustahak sebagai syarat menjadi khalifah Allah di muka bumi ini.

Oleh kerana itulah maka mustahaklah ada suatu syarat kelayakan lain, bukan ciptaan sains dan penghasilan benda, dan sudah pastilah syarat kelayakan itu tidak lain daripada “akidah” dan “Program” yang membolehkan manusia itu memelihara dan mengawal hasil ciptaan sains, di bawah pengawrasan suatu konsep lain yang dapat memenuhi hajat fitrah seperti yang telah diperolehi oleh kemajuan sains itu, dan supaya akidah dan program itu menjelma di dalam sebuah perkumpulan manusia, iaitu sebuah masyarakat Islam.

Sesungguhnya dunia sekarang ini berada di dalam “Jahiliyyah” dari segi dasar yang menjadi sumber bagi tegaknya kehidupan dan peraturan-peraturannya. Jahiliyah yang tidak dapat menyelesaikan bebanan hidup hasil dari rekaan baru yang sedang memuncak sekarang.

Jahiliyah ini tegak di atas dasar mencabul kekuasaan-kekuasaan Allah di muka bumi dan merampas hak istimewa Allah iaitu pemerintahan dan kekuasaan. Jahiliyah itu menyandarkan pemerintahan kepada umat manusia yang menyebabkan setengah golongan menjadi hamba abdi kepada setengah golorgan yang lain bukan sahaja di dalam bentuk primitif seperti yang berlaku di zaman jahiliyah purbakala tetapi lebih dahsyat lagi di dalam bentuk mengakui dan memberi hak membuat konsep-konsep, nilai-nilai, undang-undang, peraturan-peraturan dan ketetapan-ketetapan yang jauh terpesong daripada panduan dan program Allah untuk hidup ini; dalam perkara-perkara yang tidak pernah diizin oleh Allah, maka hasil daripada penyalahgunaan kuasa Allah itu secara otomatisnya timbullah pelanggaran atas hak-hak Allah, dan pelanggaran atas hak-hak manusia. Sebenamya kehinaan yang menimpa umat manusia di dalam sistem kolektif dan juga kekejaman yang menimpa individu dan bangsa terjajah di bawah sistem kapitalis adalah salah satu kesan dari pencabulan manusia ke atas hak istimewa Allah SWT juga kerana manusia tidak menghargai kehormatan yang dianugerah oleh Allah kepadanya sejak azali.

Di dalam aspek ini, maka konsep Islam tetap berlainan langsung dengan konsep-konsep bikinan manusia; kerana di bawah sistem yang lain dari Islam, umat manusia itu saling mengabdikan diri di antara satu sama lain, dalam bermacam-macam bentuknya sedangkan di bawah sistem Islam umat manusia bebas sepenuhnya daripada sebarang belenggu pengabdian kepada sesama manusia

wallahu a'lam








dengan cara mengabdikan diri kepada Allah SWT sahaja dan menerima arahan daripada Allah sahaja; juga tunduk dan patuh kepada Allah sahaja.

Inilah garis pemisah dan inilah persimpangan jalan. Inilah juga konsep baru yang kita mampu kemukakan kepada umat manusia konsep ini dan yang rangkaiannya adalah perbendaharaan yang masih belum dimiliki oleh umat manusia; kerana ia bukanlah hasil “pengeluaran” atau “produksi” kilang tamaddun Barat dan bukan hasil rekaan sains Eropah, baik Eropah Barat mahu pun Eropah Timur.

Sesungguhnya kita- tanpa ragu sedikit pun - memang ada memiliki suatu potensi baru, lengkap dan sempurna; potensi yang masih belum dikenal dan belum mampu dibikin oleh seluruh umat manusia.

Tetapi potensi baru ini, seperti telah kita tegaskan, mestilah menjelma di dalam bentuk realiti yang praktis, mesti menjadi panduan dan darah daging suatu umat bagi membolehkan berjalannya operasi “kebangkitan” umat mengikut bentuk Islam kebangkitan yang akan disusuli pula, lambat-launnya, oleh peranan memegang pimpinan seluruh umat manusia.


Tetapi bagaimanakah caranya memulakan operasi kebangkitan Islam itu?
Jawabnya : Mesti ada satu golongan pelopor atau “kader” yang menghayati cita-cita ini, dan meneruskan kegiatannya dengan cara menerobos ke dalam alam jahiliyah yang sedang berpengaruh di seluruh permukaan bumi ini dengan memakai dua kaedah: iaitu kaedah memisahkan diri dan kaedah membuat hubungan di bidang lain pula dengan pihak jahiliyah itu.


Para pelopor dan kader itu tentulah perlu kepada panduan-panduan di sepanjang perjalanan mereka; panduan yang memberikan tentang tabiat peranan mereka, hakikat tugas mereka dan inti sari tujuan akhir perjalanan mereka dan juga mengenai garis permulaan di dalam perjalanan jauh itu seperti juga para pelopor dan kader itu perlu mendapat panduan secukupnya mengenai - jahiliyah yang sedang berpengaruh di dunia sekarang di dalam suasana yang bagaimanakah mereka boleh berjalan seiring dengan jahiliyah dan di dalam suasana yang bagaimanakah pula mereka harus memisahkan diri; bagaimana caranya melayani pihak jahiliyah itu dengan menggunakan kaedah Islam dan dalam topik apakah yang perlu dibicarakan? Juga dari mana dan bagaimanakah pula menimba bahan-bahan panduan itu?

Panduan-panduan itu hendaklah diambil dan ditimba daripada sumber asal akidah ini iaitu Al-Quran dan juga dari arahan-arahan Al-Quran yang asasi juga dari konsep yang telah dipancarkan oleh Al-Quran ke dalam jiwa para pelopor dan kader terbilang dahulu, yang telah diberi penghormatan besar oleh Allah SWT untuk mengubah bentuk sejarah umat manusia mengikut kehendak Allah.



Untuk para pelopor dan kader yang diharapkan dan ditunggu-tunggu kelahirannya itu saya tuliskan PETUNJUK SEPANJANG JALAN ini. Empat fasal dari buku ini disedut dari buku DI BAWAH BAYANGAN AL-QURAN dengan beberapa pindaan dan tambahan di mana perlu, sesuai dengan judul PETUNJUK. Di antara kandungannya juga ialah delapan fasal, selain daripada muqaddimah ini, yang ditulis dalam waktu tertentu saya beroleh kesempatan dan ilham dari sumber Al-Quran Yang Mulia… dan dirangkai menjadi satu, sebagai “Petunjuk” dan panduan di dalam perjalanan, seperti juga buku panduan jalan raya yang lain. Pada keseluruhanrrya inilah petunjuk dan panduan peringkat pertama. Semoga Allah melimpahkan kurnia-Nya dan petunjuk ini akan disusul lagi oleh petunjuk-petunjuk lain bila sahaja Allah memberi hidayah kepadaku mengenai petunjuk di sepanjang jalan ini.

DAKWAH MELALUI TIKTOK DAN KESANNYA KEPADA REMAJA MUSLIM DI MALAYSIA

  DAKWAH MELALUI TIKTOK DAN KESANNYA KEPADA REMAJA MUSLIM DI MALAYSIA   Mohd Amirul Hafiz Ahmad, Solehuddin Shuib, Khairulazhar Samsudin...