Friday, March 20, 2015

FUTUR



FUTUR

Futur adalah kemerosotan atau kemalapan yang berlaku pada keima¬nan atau keIslaman seseorang. Futur adalah satu penyakit. Seseo¬rang yang dihinggapi penyakit ini akan lemah dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah Subhanahuwata’ala.

Bentuk-bentuk futur yang dialami oleh seseorang

1) Malas ber’ibadat.

2) Fenomena mati tidak memberi kesan kepada hati. Justeru itu kita digalakkan menziarahi kubur sebagai ‘ubat’ agar hati kita dapat mengambil pengajaran daripada peristiwa kematian.

3) Melakukan ma’siat samada kecil atau besar. Lebih teruk kefuturan seseorang jika kema’siatan menjadi kebiasaan. Dan lebih teruk lagi kefuturannya jika dia bergembira dengan ma’siat.

4) Suka melihat atau menyaksikan ma’siat. Orang beriman akan melihat dosa ma’siat umpama sebuah gunung yang akan menimpa dirinya, sedangkan orang munafik akan melihat dosa umpama lalat yang hinggap di hidungnya sahaja.

5) Ukhuwwah menjadi longgar.

6) Ghairah kepada dunia. Sebok dengan dunia hingga membuang masa dengan kerja-kerja yang tidak berfaedah. Dalam sistem yang ada, gagasan kecemerlangan yang disogokkan kerap menjerumuskan seseorang kepada sikap ghairah dengan dunia.

7) Berbangga dengan kemajuan duniawi. Atau merasakan lemah dengan kemunduran duniawi.

8) Lemah atau tidak bersedia untuk iltizam (patuh)

9) Menangguh-nangguhkan kerja.

Semua perkara di atas melemahkan kerja-kerja Islam dan da’wah. Kadangkala seseorang itu futur hingga tidak bermaya melaksanakan kerja-kerja Islam.



Sebab-sebab berlaku futur pada seseorang

1) Tidak ikhlas dalam berkerja.

Ikhlas perlulah dibina dan dikawal supaya ia hadir dalam semua kerja yang kita lakukan. Ikhlas kepada Allah Subhanahuwata’ala dalam setiap kerja sangatlah berat, lebih-lebih lagi dalam suasana yang tidak Islamik.

Firman Allah Subhanahuwata’ala:


“Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama yang lurus.”
(Al Bayyinah (95):5)

Hadis Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam:

( إنما الأعمال بالنيات ) رواه البخاري ومسلم
“Sesungguhnya setiap amalan itu tergantung kepada niatnya.”

Sekiranya keikhlasan kita terganggu, maka adakah perlu kita meneruskan sesuatu amalan atau pun berhenti beramal? Sebenarnya kita perlu terus beramal, sekaligus kita islahkan niat kita supaya ikhlas.

Mendidik hati agar ikhlas adalah satu proses berterusan kerana Allah Subhanahuwata’ala tidak redha dengan amalan yang menyekutui-Nya.

Sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dalam hadith qudsi yang bermaksud:

“Aku yang paling kaya daripada sekutu. Sesiapa yang melak¬ukan amalan dengan menyekutukan Aku, maka Aku akan biarkan dia bersama-sama dengan sekutunya di Akhirat nanti.”

2) Lemah dalam ilmu syara’ (iaitu ilmu dari masdar yang betul) dan penghayatannya.

Ilmu syara’ itu luas, merangkumi tafsir al-Qur’an, ilmu hadis, fiqh, tarikh, bahasa arab dan lain-lain. Antara yang penting ialah ilmu mengenai hukum-hukum taklifi (wajib, sunnat, haram, makruh, dan mubah)

Dengan ilmu seseorang itu akan mengetahui samada sesuatu perkara itu syar’i atau tidak syar’i.

3) Berkawan dengan orang yang tidak berhimmah atau bercita-cita tinggi (yakni yang berhimmah rendah).

4) Melihat atau memperbaiki perkara-perkara berkaitan Islam dan da’wah dalam bentuk yang juz-i. Dengan kata lain, menyelesaikan permasalahan manusia dengan cara yang tidak syamil/kamil. Misalnya, menyelesaikan masalah ekono¬mi sahaja.

5) Matlamat atau hadaf amal Islami tidak jelas. Juga wasilah amal Islami tidak jelas. Tidak ada wawasan yang sebenar. Wawasan manusia kini hanyalah wawasan mengikut umur manusia sahaja. Wawasan kita adalah mengikut umur Islam. Bermula dari dunia hingga ke akhirat.

6) Tidak waqi’i dalam tindakan. Tidak melakukan kerja di atas kenyataan yang betul. Begitu juga, tidak waqi’i apabila memulakan sesuatu kerja. Tidak mengambil contoh daripada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, sebaliknya bertindak hanya berasaskan fikiran sendiri.

7) Tidak memahami amalan atau kerja yang sepatutnya dilakukan. Dan tidak memahami rintangan-rintangan bagi sesuatu amalan.

8) Bersifat fardhiyah. Yakni bersifat individu atau lebih me¬mentingkan diri sendiri. Kita perlu mendidik diri sendiri supaya memperseimbangkan antara kepentingan individu dan kepentingan jamaah. Bila seimbang barulah elok segala kerja kita.

9) Jumud atau beku dalam uslub dan marhalah-marhalah amal. Kadang-kadang kerja-kerja yang dilakukan hanya dengan satu ‘pattern’ sahaja. Kita perlu mempelbagaikan bentuk kerja. Begitu juga uslub dan marhalah kerja. Misalannya di dalam usrah, kita perlu pelbagai aktiviti - yang rasmi dan yang tidak rasmi.

10) Lemah tarbiyyah. Ini adalah faktor yang besar. Faktor ini amat luas pengertian dan huraiannya.

11) Tidak tahu dan tidak merasai cabaran-cabaran dalam amal Islami. Tidak tahu bagaimana kedudukan jama’ah atau apakah musuh bagi jama’ah.

Kita sebenarnya melaksanakan kegiatan-kegiatan berdasarkan sistem Islam. Musuh kita pula menjalankan pelbagai kegiatan berdasarkan sistem yang lain. Kita tidak boleh berdiri atau bertindak sebagai satu individu untuk berde¬pan dengan sistem yang bukan Islam. Kita perlu bertindak sebagai satu jama’ah. Kita perlu faham tipu helah sistem yang ada.

Kita berhudnah dengan sistem yang ada. Kita tidak boleh bergabung dengan mereka dan merasa seronok pula. Kita bermu’amalah dengan mereka berdasarkan ‘hudnah’. Manakala dengan jama’ah-jama’ah Islam yang lain, kita bermuamalah berdasarkan tahalluf.

Sistem yang ada sentiasa memerhatikan perkembangan Islam. Apabila mereka nampak Islam kuat dan berlembang, maka mereka akan sekat.

Oleh itu seseorang yang tidak memahami hakikat waqi’ atau realiti sebenar, tidak akan merasai sistem yang ada kini sebagai satu cabaran.

12) Tidak tahu menyelaras atau memperseimbangkan antara kemampuan dan kerja.

13) Berbeza bi-ah dan tabi’at. Bila seseorang itu biasa dengan sesuatu bi-ah dan tabi’at, maka dia tidak dapat menyesuaikan diri dengan bi-ah dan tabi’at yang lain. Justeru itu boleh berlaku futur.

Dahulu, penjajah British terlebih dahulu mengkaji biah dan tabi’at manusia di sini. Selepas itu barulah mereka masuk dan menjajah Malaysia.

14) Tidak sedar dan tidak memahami sunnah Allah Subhanahuwata’ala yang berlaku pada ummah dan individu. Tidak mengerti akan ujian Allah Subhanahuwata’ala terhadap jama’ah dan individu. Contohnya di Mesir, ujian terhadap sahabat-sahabt Ikhwan sangat jelas. Ini sunnah Allah Subhanahuwata’ala untuk penda’wah Islam. Mungkin seseorang menerima sunnah itu dengan keluhan dan putus asa. Kita perlu menerima sunnah itu dengan penuh persediaan. Kita perlu memainkan peranan yang sepatutnya berhada¬pan dengan sunnah ini. Kita perlu tanya diri kita, apakah persediaan kita untuk berhadapan dengan sunnah Allah Subhanahuwata’ala?

15) Futur dalam mengubati futur. Lemah dalam mengubati kelemahan. Seseorang yang futur itu tahu bahawa dirinya lemah. Dia terus lemah untuk mengubati dirinya. Bagi kita, kalau kita rasa lemah, maka cepat-cepatlah kita mencari sahabat yang boleh menguatkan diri kita atau berusaha dengan cara yang sunnah untuk mengubati futur.


16) Berpenyakit dalam hati atau jiwa. Banyak terdapat penyakit hati seperti hasad, dengki, cemburu buta dan lain-lain.


Penutup

Setiap aktiviti kita mestilah berindukkan tarbiyah. Seandainya tidak berindukkan tarbiyah, maka akan mudahlah lahir keghairahan kepada sistem yang bukan Islam. Kadang-kadang keghairahan itu mengaki¬batkan kita tidak bermaya untuk mempertahankan Islam.

Apabila kita melakukan kerja-kerja dengan berindukkan tarbiyah Islamiyah, maka InsyaAllah, Allah Subhanahuwata’ala akan memberikan keberkatan dan petunjuk.

Sekiranya kita bekerja di bawah sistem sedia ada, maka kita mestilah pastikan pekerjaan kita itu adalah untuk maslahah da’wah. Kita tetap bekerja untuk menarik orang lain kepada Islam. Kita mengambil manfa’at demi kepentingan Islam, di samping kita mendokong syakhsiyyah Islamiyah.


Minda pembangunan



Aqliyah bina' ini adalah pelan pembangunan fard.

[1] Perlu mampu melahirkan ahli yang mengetahui bagaimana nak memajukan yang ada, dan mengadakan yang tidak ada.

Jangan pula yang ada dirobohkan, dan tidak mampu mengadakan yang tidak ada.

[2] Perlu melahirkan ahli yang mampu dapat faedah daripada orang yang ada di sekelilingnya.

Kualiti ini perlu ada ada dan dicari jika masih belum ada

Jika tidak harapan hanya tinggal harapan.

Kerja-kerja kita bukan reaksi apa yang berlaku. kita perlu miliki apa yang disebutkan tadi

aqliyah bina'(agenda pembangunan binaan), bagi lahir jurutera pembangunan yang berkualiti.

[a]pembangunan yg pertama, ialah aqidah, iman
[b]pembangunan ilmu pengetahuan
[c]pembangunan ibadah
[d]pembangunan akhlak
[e]pembangunan ukhuwwah taawuniyyah -persaudaraan tolong menolong
[f]pembangunan haraki- (siyasah). siyasah lebih luas dari politik. siyasah syariyyah - diperintah oleh syarak.

DAKWAH MELALUI TIKTOK DAN KESANNYA KEPADA REMAJA MUSLIM DI MALAYSIA

  DAKWAH MELALUI TIKTOK DAN KESANNYA KEPADA REMAJA MUSLIM DI MALAYSIA   Mohd Amirul Hafiz Ahmad, Solehuddin Shuib, Khairulazhar Samsudin...