Monday, November 22, 2021

PENILAIAN ISU-ISU DAN CADANGAN PENYELESAIAN BERKAIT SOLAT JAMA’ DAN QASAR

 

PENILAIAN ISU-ISU

DAN CADANGAN  ENYELESAIAN BERKAIT SOLAT JAMA’ DAN QASAR

Solehuddin Shuib, Mohd Amirul Hafiz Ahmad, Khairulazhar Samsudin, Syed Mohd Jeffri bin Syed Jaafar 1

1Jabatan Fiqh dan Usul, Akademik Pengajian Islam, Universiti Malaya, 50603 Kuala Lumpur, Malaysia


KHULASAH

Solat adalah ibadah badaniyah yang telah disyariatkan kepada umat Islam. Ini bermaksud dalam apa jua keadaan dan situasi solat mesti ditunaikan. Namun begitu dalam beberapa keadaan dan syarat tertentu, Islam memberi kelonggaran sebagai satu kemudahan atau rukhsah antaranya ketika bermusafir.  Kertas kerja ini memberi penerangan empat (4) imam mazhab berkaitan solat qasar dan solat jama’, menjelaskan isu-isu berkaitan solat qasar dan jama’ pada masa lalu danpada masa kini pada era COVID 19. Gabungan pandangan ulamak masa lalu dan semasa adalah penting bagi memudahkan umat Islam menjadikan ianya sebagai panduan dalam beribadat.

 

Kata kunci: Fiqh; Solat Qasar; Solat Jama’, Covid 19


PENDAHULUAN

Solat adalah ibadah badaniyah yang telah disyariatkan kepada umat Islam pada tahun pertama hijrah lagi. Pensyariatannya menunjukkan betapa tingginya kedudukan solat yang merupakan tiang utama dalam Rukun Islam. Berdosa besar jika mereka yang mukallaf meninggalkannya dengan sengaja malah ia merupakan kunci utama yang akan dihisab berbanding kunci-kunci amalan yang lain. Islam telah menggariskan peri pentingnya solat sebagai tiang seri seperti mana hadis daripada Mu’az bin Jabal (RA), bahawa Nabi bersabda:

رَأْسُ الأَمْرِ الإِسْلَامُ، وَعَمُودُهُ الصَّلَاةُ

“Pokok segala urusan adalah Islam, dan tiang serinya adalah solat”                                                            (Riwayat An-Nasa’ie dan Ibnu Majah, Hadis sanad Hasan)

Ini bermaksud dalam apa jua keadaan dan situasi solat mesti ditunaikan. Namun begitu dalam beberapa keadaan dan syarat tertentu, Islam memberi kelonggaran sebagai satu kemudahan atau rukhsah antaranya ketika bermusafir. Memandangkan musafir itu sendiri adalah satu perjalanan dari satu destinasi ke destinasi yang lain, maka sudah pasti akan mengambil masa dan tenaga sehingga memerlukan rehat yang cukup. Oleh itu, solat qasar dan jama’ diharuskan bertujuan bagi memudahkan sepanjang urusan perjalanan serta mendapat keberkatan dan keredhaan Ilahi. Sekalipun dalam keadaan sukar, solat wajib ditunaikan dengan diberikan sedikit keringanan mendirikannya selaras dengan firman Allah S.W.T. dalam surah Al-Hajj, ayat 78[1]

...وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِى الدِّيْنِ مِنْ حَرَجٍۗ  ...

Ertinya:...“dan Dia tidak menjadikan kesukaran (keberatan) untukmu dalam perkara agama...”

 

DEFINISI

Solat dari segi bahasa bermaksud doa’ manakala segi istilah adalah setiap perkataan dan perbuatan yang dimulai dengan takbiratul ihram dan diakhiri dengan salam.

Musafir berasal dari perkataan Arab pada kata dasar ‘safar’. Sudut bahasa bermaksud melakukan perjalanan manakala dari segi istilah adalah seseorang yang keluar dari daerah atau tempat bertujuan untuk ke tempat lain yang telah ditentukan mengikut jarak dan tempoh yang ditetapkan oleh syara’.

Rukhsah dari sudut bahasa bermaksud mudah. Perspektif istilah pula adalah hukum-hukum yang telah disyariatkan tetapi disebabkan oleh sesuatu keuzuran tertentu, maka diberi pengecualian dari hukum asalnya dan ia terbatas kepada kadar yang tertentu sahaja. Contohnya diharuskan berbuka (tidak berpuasa) bagi orang yang sakit atau musafir.

KERINGANAN IBADAH SOLAT KETIKA MUSAFIR

Solat musafir adalah merujuk kepada solat fardu yang didirikan berdasarkan cara dan kaedah yang khusus dengan mengikut syarat-syarat yang telah ditentu serta ditetapkan oleh syara’. Rukhsah dalam solat ialah kemudahan atau keringanan yang diberikan kepada orang yang bermusafir. Harus dan diberi rukhsah serta pilihan sama ada solat secara qasar atau sempurna (tamam) berdasarkan pendapat jumhur ulama’ dari kalangan Malikiyyah, Syafi’iyyah dan Hanabilah. Pendapat Al-Imam Al-Syafie (R.H.) bahawa solat qasar bukanlah kewajipan berbentuk fardu ain tetapi ia adalah satu rukhsah (kelonggaran dan keringanan) yang sunat dilakukan dan dikurniakan oleh Allah S.W.T. khusus dalam perkara solat. Orang yang bermusafir diberi pilihan sama ada hendak menunaikan solat secara ’azimah, iaitu beramal dengan hukum asal dengan solat empat rakaat tanpa mengqasarkannya atau mengamalkan rukhsah (qasar iaitu solat dua rakaat). Manakala menurut Imam al-Suyuti di dalam tafsirnya:

أَنَّهُ رُخْصَة لَا وَاجِب

Ertinya: “Qasar itu adalah rukhsah (keringanan) bukan kewajiban”

Oleh itu, melaksanakan solat musafir dibahagikan kepada 2 cara:-

(1) Qasar merujuk kepada memendekkan atau mengurangkan bilangan rakaat dalam solat fardu.

(2) Jama’ merujuk kepada menghimpun, menggabung atau mengumpulkan dua solat fardu dalam satu waktu.

OBJEKTIF KAJIAN:

 

Ada 3 objektif utama kajian ini iaitu memberi penerangan empat (4) imam mazhab berkaitan solat qasar dan solat jama’, menjelaskan isu-isu berkaitan solat qasar dan jama’ pada masa lalu, dan menjelaskan isu-isu berkaitan solat qasar dan jama’ dan perlaksanaannnya pada masa kini pada era COVID 19.

OBJEKTIF PERTAMA: MEMBERI PENERANGAN EMPAT (4) IMAM MAZHAB BERKAITAN SOLAT QASAR DAN SOLAT JAMA’.

Berikut dijelaskan objektif pertama kajian iaitu Memberi penerangan empat (4) imam mazhab berkaitan solat qasar dan solat jama’.  Ianya meliputi syarat-syarat perjalanan musafir, solat qasar, perbezaan pendapat ulama’, solat jama’, dan syarat asas sahnya.

 SYARAT-SYARAT PERJALANAN MUSAFIR

Tiga syarat sah utama dan asas diperlukan bagi mengharuskan solat musafir (qasar dan jama’):-

(1) Perjalanan tidak kurang dari dua marhalah atau melebihi 81 kilometer. Menurut pandangan Dr. Wahbah Az-Zuhaili[2] jarak yang tepat ialah 89 kilometer manakala Prof. Dr. Sheikh Yusuf Al-Qardhawi[3] dalam kitabnya Fiqh As-Siyam, jarak musafir mengikut pendapat yang masyhur ialah 80 atau 90 kilometer. Jika tidak melebihi jarak ini solat qasar dan jama’ tidak boleh ditunaikan.

Hadis Nabi  bermaksud:

“Ibnu ‘Umar dan Ibnu Abbas (R.A.) mengqasarkan solat dan tidak berpuasa dalam perjalanan sejauh 4 Barid iaitu 16 Farsakh (menyamai kira-kira 81 kilometer).” (Riwayat Al-Bukhari)

Dua orang sahabat ini melakukannya dengan pengetahuan Baginda Nabi .

(2) Perjalanan mesti mempunyai tujuan dan matlamat yang tertentu serta perjalanan destinasi tempat yang ingin dituju telah ditentu dan dipastikan dengan jelas. Merayau-rayau tanpa tujuan adalah tidak dibolehkan untuk solat qasar dan jama’. Begitu juga bagi orang yang mengikuti ketuanya tanpa mengetahui ke mana hendak dibawa kecuali setelah melepasi jarak yang dibenarkan untuk qasar dan jama’.

(3) Perjalanan musafir tidak bertujuan atau bercampur urusan maksiat. Tiada keharusan jika musafir bertujuan kerana sesuatu maksiat seperti berniaga arak, pergi ke majlis pesta yang dilarang oleh syara’, merompak dan sebagainya. Ini kerana keringanan berkait dengan solat yang disyariatkan untuk memenuhi tanggungjawab dalam agama tanpa terkait dengan sebarang maksiat yang mengundang kemurkaan Allah. Tidak boleh qasar malah jika diqasarkan juga solat tidak sah sekiranya perjalanan itu adanya maksiat dan terlarang berdasarkan sepakat pandangan mazhab Imam Syafi’i dan Hanbali.

SOLAT QASAR[4]

Qasar berasal dari perkataan dasar bahasa Arab ‘qasara’ bermakna memendekkan atau tidak memanjangkan. Solat fardu yang boleh diqasarkan hanya yang 4 rakaat sahaja iaitu zuhur, asar dan isya’. Namun ketika musafir, solat-solat ini boleh ditunaikan dua rakaat sahaja. Menurut ijmak ulama, solat subuh dan maghrib tidak boleh diqasarkan. Subuh yang mempunyai dua rakaat (seolah-olah telah diqasarkan) kerana bilangan rakaatnya tidak menjadi genap setelah diqasarkan, iaitu hanya tinggal satu rakaat sahaja dan ia terkeluar dari qasar. Begitu juga halnya dengan solat maghrib.                    

Dalil Pensyariatan

(1) Al-Quran. Firman Allah S.W.T. dalam surah an-Nisa’, ayat 101[5]:-

وَاِذَا ضَرَبْتُمْ فِى الْاَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ اَنْ تَقْصُرُوْا مِنَ الصَّلٰوةِ ۖ اِنْ خِفْتُمْ اَنْ يَّفْتِنَكُمُ الَّذِيْنَ كَفَرُوْاۗ اِنَّ الْكٰفِرِيْنَ كَانُوْا لَكُمْ عَدُوًّا مُّبِيْنًا

Ertinya: “Dan apabila kamu bermusafir di muka bumi, maka tidaklah berdosa (mengapa) untuk kamu mengqasarkan (memendekkan) solat-mu, jika kamu takut diserang orang kafir. Sesungguhnya orang kafir itu adalah musuh yang nyata bagimu.”

(2) Hadis. Diriwayatkan Sahih Muslim, Hadis ke 1350, daripada Ya`la bin Umaiyah, dia berkata:

Aku bertanya kepada Saidina Umar bin Al-Khattab (R.A.): Beliau membaca ayat 101 surah An-Nisa’, adakah ianya (qasar solat) hanya boleh dilakukan pada waktu aman? Saidina Umar menjawab: Aku juga pernah rasa terkejut sepertimana engkau terkejut, lantas aku bertanya kepada Rasulullah tentang hal tersebut, lalu Baginda berkata: “ianya adalah pemberian (sedekah) Allah kepada kamu, maka terimalah pemberian itu”.

Hadis di atas menunjuk bahawa solat qasar tidak hanya khusus pada waktu ketakutan peperangan sahaja, ianya juga boleh dilakukan ketika aman.

Perbezaan Pendapat Ulama’

 

Mazhab Imam Abu Hanifah (Hanafi) berpendapat hukum qasar solat bagi mereka yang dalam perjalanan (safar) adalah wajib. Mazhab Imam Malik (Maliki) berhukum solat qasar ini adalah sunnah dan sunat muakkad (sangat dituntut). Manakala bagi Mazhab Imam Syafi’i dan Hanbali, solat qasar bagi mereka yang musafir hukumnya adalah pilihan dan ‘Jaiz’. Ini bermakna orang yang bermusafir boleh memilih antara qasar atau itmam (sempurna) solat namun lebih utama diqasarkan kerana ia adalah pemberian sedekah serta rukhsah (keringanan) dari Ilahi.

Syarat Asas Sah

Bagi membolehkan solat diqasarkan, beberapa syarat mesti dipenuhi seperti berikut:-

1. Berlaku di waktu sedang atau ketika dalam musafir (perjalanan).

Pra-syarat - seseorang itu perlu berada atau berkekalan dalam perjalanan selama solat ini dilakukan sehingga selesai, tidak berada atau tiba di kediaman sendiri atau telah sampai ke destinasi. Solat qasar tidak boleh dilakukan sekiranya:-

(a) Seseorang belum memulakan perjalanan dan azan berkumandang lalu dia memulakan perjalanan tanpa menunaikan solat fardu tersebut, maka solat tidak boleh diqasarkan kerana pada asasnya solat telah diwajibkan ke atasnya sebelum bermulanya musafir.

(b) Seseorang ketika dalam musafir dan di waktu itu mendengar azan lalu dia tidak menunaikan solat malah menangguhkannya sehingga sampai ke rumah, maka solat tidak boleh diqasarkan kerana asasnya waktu atau perjalanan musafirnya telah tamat.

2. Jarak perjalanan sekurang-kurangnya sejauh dua marhalah atau lebih 81 kilometer.

Pra-syarat - mesti melepasi sempadan pekan atau bandar tempat tinggal. Seseorang yang ingin mengqasar solat, perlu melepasi sempadan jarak yang ditetapkan. Sekiranya tidak melebihi had perjalanan yang ditentukan, seseorang itu belum diiktiraf sebagai musafir. Contoh jika masih berada di dalam rumahnya, maka solat tidak boleh diqasarkan. Tetapi jika rumahnya tidak berhampiran dengan lapangan terbang, solat boleh diqasarkan.

Anas bin Malik berkata:

“Aku solat zuhur bersama Rasulullah di Madinah sebanyak empat rakaat , dan solat asar di Zul Halifah sebanyak dua rakaat. Zul Halifah terletak di luar sempadan dua bangunan dari Madinah.” (Sahih Muslim, 1357)

3. Tidak berniat musafir atau menetap selama empat hari atau lebih di tempat yang dituju (tidak termasuk hari pergi atau mula sampai dan hari balik)

Pra-syarat - tidak berniat untuk tinggal atau menetap di tempat yang dituju melebihi tempoh tertentu. Mengikut hukum Fiqh, jika seseorang berniat untuk bermusafir selama empat hari, maka jadilah tempat yang ingin ditujui seolah-olah tempatnya yang tetap (dikira bermukim) dan wajib mendirikan solat secara sempurna tanpa dipendekkan. Hak untuk mengqasarkan solat hanya apabila pulang ke tempatnya sahaja atau memulakan perjalanan yang baru. Berkata Imam Abu Ishak al-Syairazi :

“Jika seorang musafir berniat mukim (menetap) empat hari selain hari masuk dan hari keluar, maka jadilah sebagai seorang mukim (semata-mata dengan niat itu), dan terpotonglah (iaitu terhentilah) rukhsah musafirnya kerana berniat menetap tiga hari tidak menjadikan musafir itu seorang mukim.” 

Sekiranya seseorang berniat untuk bermusafir kurang dari empat hari atau dalam satu tempoh yang tidak diketahui dan pasti tempoh menetap di sesuatu tempat musafir kerana adanya urusan yang tidak diketahui bila akan selesai, maka solat harus diqasarkan dalam tempoh itu sehingga 18 hari (tidak termasuk waktu pergi dan balik).

Diriwayatkan oleh Imam Abu Daud (1229) daripada Imran bin Hushain (R.A.) dia berkata:

 “Aku telah menyertai peperangan bersama Rasulullah dan aku juga telah bersamanya ketika Al-Fath (pembukaan Kota Makkah) berlaku. Baginda berada di Makkah selama lapan belas malam, baginda hanya bersolat dua rakaat (qasar).

Baginda Nabi memendekkan solat empat rakaat pada ketika itu kerana baginda tidak dapat mengetahui bilakah masa berakhirnya urusan baginda.

4. Tidak ditunaikan bersama orang yang bermukim

 

Pra-syarat - tidak menjadi makmum kepada mereka yang bersolat penuh atau sempurna (tamam) empat rakaat dan juga tidak boleh menjadi makmum kepada imam yang tidak diketahui niatnya sama ada qasar atau solat penuh. Keadaan di mana jika dia solat bersama-sama imam yang:-

(a)  Solat sempurna, maka wajib baginya untuk tidak memendekkan solat.

(b) Memendekkan solat sepertinya, maka dibolehkan memendekkan solat bersama imam

Sekiranya dia bersolat bersama-sama dengan orang yang bermukim, dia menjadi imam dan memendekkan solat, maka setelah selesai, dia memalingkan mukanya ke belakang dan berkata: “sempurnakanlah solat kamu, saya sedang bermusafir.” Ibnu Abbas pernah ditanya seperti yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud (1229), Nabi bersabda:

“Apakah keadaan seorang yang bermusafir, apabila dia mengerjakan solat fardu empat rakaat dengan dua rakaat sekiranya berseorangan, dan mengerjakan empat rakaat sekiranya dia menjadi makmum kepada imam yang bermukim? : Ibnu Abbas menjawab : Keadaan solat tersebut adalah sunnah.” (Hadis Sahih riwayat Imam Ahmad)

SOLAT JAMA’[6]

Jama’ adalah perkataan bahasa Arab yang ditakrifkan dari sudut bahasa menghimpun atau mengumpulkan sesuatu yang berselerak atau mengarang kitab atau menyusun huruf. Manakala dari segi istilah bermaksud menghimpunkan dua waktu solat fardu dengan melakukannya dalam satu waktu. Solat-solat yang boleh dijama’kan ialah antara zuhur dan asar, antara maghrib dan isya’ dan solat Jumaat dengan asar. Harus melaksanakan solat jama’ ketika musafir (taqdim atau ta’khir) berdasarkan pendapat jumhur fuqaha’ dari kalangan Malikiyyah, Syafi’iyyah dan Hanabilah. Pandangan muktamad di dalam mazhab Al-Syafi’i, menjama’kan di antara dua solat adalah diharuskan atas tiga sebab iaitu musafir, hujan dan ketika hari ‘Arafah. Namun ada sebahagian daripada ulama bermazhab al-Syafi’i dan sebahagian fuqaha mengharuskan solat jama’ kerana sebab-sebab yang lain berdasarkan hajat dan keperluan. Muaz bin Jabal telah berkata:

“Kami keluar bersama Rasulullah dalam Perang Tabuk dan Baginda bersolat zuhur dan asar bersama (jama’) dan maghrib dan isya’ bersama (jama’).” (Hadis Riwayat Muslim)

Jenis

Solat secara jama’ (tanpa qasar) ketika musafir terbahagi kepada dua bahagian:-

1. Jama’ Taqdim bermaksud menunaikan solat yang kedua dalam waktu yang pertama iaitu asar didirikan dalam waktu zuhur manakala isya’ dilaksanakan dalam waktu maghrib.

Bagi yang bermusafir pada hari Jumaat, solat Jumaat boleh dijama’kan dengan asar dengan syarat ia untuk jama’ taqdim sahaja berdasarkan pandangan mazhab Syafi’i. Jika perjalanan sebelum terbit fajar subuh, maka solat Jumaat tidak diwajibkan keatasnya. Namun begitu jika hemdak melakukan solat Jumaat dan asar secara jama’, hukumnya adalah sah dan dibolehkan. Ini kerana solat Jumaat tidak harus dilewatkan dari waktunya. Imam al-Khatib asy-Syarbini dalam al-Iqna berkata:

Jumaat adalah seumpama zuhur dalam jama’ takdim. Ditegah jama’ takhir kerana solat Jumaat tidak mungkin dilewatkan dari waktunya”.

2. Jama’ Ta’khir bermaksud menunaikan atau melewatkan solat yang pertama untuk ditunaikan dalam waktu yang kedua iaitu zuhur didirikan dalam waktu asar manakala maghrib dilaksanakan dalam waktu isya’.

Solat ditunaikan dengan sempurna (tamam) mengikut rakaatnya iaitu zuhur empat rakaat dan asar empat rakaat atau maghrib tiga rakaat dan isyak empat rakaat.

Anas bin Malik berkata:

“Apabila Rasulullah berangkat sebelum matahari condong, Baginda akan melewatkan solat zuhur ke dalam waktu solat asar, kemudian Baginda berhenti (dalam perjalanan) lalu menjama’kan kedua-duanya. Jika condong matahari sebelum Baginda berangkat, Baginda akan menunaikan solat zuhur terlebih dahulu kemudian baru bertolak.” (Hadis Riwayat Muslim)

Syarat Asas Sah

Jama’ taqdim harus ditunaikan apabila memenuhi kriteria berikut:-

(1) Tertib

Pra-syarat - mendahulukan yang perlu didahulukan atau melakukan berdasarkan urutan didahului solat pertama dan kemudian diikuti solat kedua.

(2) Niat

Pra-syarat - menghimpunkan solat kedua ke dalam waktu solat yang pertama sebelum selesai solat yang pertama.

(3) Segera

Pra-syarat - berturutan menunaikan solat yang kedua sebaik sahaja selesai solat yang pertama tanpa memisahkannya bagi satu tempoh yang panjang seperti berzikir, solat sunat dan sebagainya atau memakan masa selama dua rakaat solat. Selepas salam, teruskan solat yang kedua dengan hanya diselangi oleh iqamat sahaja (atau kerana mengambil wudu’). Jika dipisahkan dalam masa yang lama atau melengah-lengahkan solat kedua tanpa sebab, maka batallah solat jama’ tersebut. Solat kedua wajib ditangguhkan sehingga waktunya tiba.

(4) Masih berada dalam perjalanan ketika melakukan solat yang kedua.

Pra-syarat - tidak menjadi masalah sekiranya sampai semula ke tempat asalnya ketika solat yang kedua masih belum selesai

Manakala Jama’ ta’khir harus ditunaikan apabila memenuhi kriteria berikut:-

(1) Niat

Pra-syarat - menjama’kan atau melewatkan solat yang pertama kepada waktu solat yang kedua. Sekiranya tamat waktu zuhur tanpa niat untuk menjama’kannya kepada asar, maka solat zuhur wajib diqadha serta melengah-lengahkannya adalah berdosa.

(2) Masih dalam perjalanan (musafir) ketika melakukan kedua-dua solat hingga selesai.

Pra-syarat - sekiranya telah sampai sebelum kedua-dua solat selesai, maka solat yang terkemudian akan menjadi solat qadha.  Berikut dijelaskan pula objektif kajian yang kedua berkaitan permasalahan terdahulu.

OBJEKTIF KEDUA: PERMASALAHAN TERDAHULU BERKAITAN SOLAT QASAR DAN JAMA’ YANG TELAH DIPUTUSKAN OLEH ULAMA’[7]

Objektif kajian yang kedua meliputi solat yang luput ketika musafir, permasalahan kiraan jarak darat, laut, dan udara, musafir yang tidak menetapkan tempoh persinggahannya, musafr berpatah balik ke kediaman setelah memulakan musafir, musafir yang singgah di pertengahan jalan, dan qasar solat untuk orang yang sentiasa bermusafir.

 

SOLAT YANG LUPUT KETIKA MUSAFIR

 

            Solat yang luput semasa seseorang itu bermukim, wajiblah di qada’ dengan empat rakaat juga yakni secara tamam (sempurna) tidak kira sama ada luput solatnya semasa musafir atau ketika bermukim[8]. Tidak boleh diqasarkan kerana telah luput keringanan (rukhsah) musafir. Maka sekiranya seseorang itu luput solatnya ketika musafir dan sampai ke destinasi yang hendak dituju, hendaklah mengqada’kan solatnya secara tamam.

 

Yang dimaknakan dengan bermukim itu ialah seseorang yang berniat ketika permulaan musafirnya untuk tinggal melebihi dari tiga (3) hari di destinasi yang hendak ditujunya tidak dihitung hari sampai ke destinasi dan hari bertolak dari destinasi[9]. Menurut pendapat ulama’, luput musafirnya apabila tiba ke destinasinya kerana niat awalnya itu untuk menetap di tempat tersebut melebihi tiga (3) hari.

 

Namun begitu, bagi mereka yang masih dalam musafir, maka sekiranya luput solatnya ketika dalam musafir, dibolehkan baginya untuk mengqada’kan solatnya secara qasar[10]. Ini juga berlaku bagi mereka yang tidak berniat untuk menetap di sesuatu tempat melebihi tiga (3) hari, maka sekiranya tiba ke destinasi yang hendak dituju, seseorang itu masih dikira sebagai dalam musafir dan boleh mengqada’kan solat secara qasar.

 

PERMASALAHAN KIRAAN JARAK DARAT, LAUT DAN UDARA

 

            Permasalahan berkaitan jarak di antara darat, laut dan udara sering dipersoalkan oleh masyarakat awam. Pelbagai persoalan yang timbul sekiranya seseorang itu bermusafir menggunakan jalan laut seperti menaiki kapal, ataupun melalui jalan udara seperti kapal terbang, adakah jaraknya dikira sama dengan menggunakan jalan darat seperti menaiki kereta dan sebagainya.

 

            Ulama’ di dalam mazhab Syafi’i menjelaskan bahawa sekiranya kita menggunakan sebarang kenderaan dan melalui sebarang jalan, seperti jalan darat, laut dan udara, jaraknya adalah sama, dan sekiranya seseorang itu sudah tahqiq (yakin tanpa syak) mengenai jarak perjalanan tersebut adalah jarak yang dibenarkan musafir, maka dibolehkan qasar solat[11].

 

MUSAFIR YANG TIDAK MENETAPKAN TEMPOH PERSINGGAHANNYA

 

            Persoalan ini adalah merujuk kepada mereka yang keluar dengan sesuatu niat untuk musafir, tetapi tidak menyatakan berapa lamakah tempoh seseorang itu hendak menyinggah di destinasinya. Ini menyebabkan niatnya tidak lengkap dalam menyatakan berapa lamakah tempoh seseorang itu singgah di destinasinya, sama ada melebihi tiga (3) hari, yang bersamaan seseorang itu bermukim ataupun kurang dari tempoh tersebut.

 

            Ulama’ menyatakan bahawa sekiranya seseorang itu tidak menyatakan tempoh seseorang itu hendak tinggal di situ seperti berapa lama atau berapa hari, maka hukumnya adalah putus safar[12] seseorang itu sebaik sahaja seseorang itu tiba ke destinasinya dan tidak boleh lagi mengqasarkan solatnya sama seperti orang yang berniat untuk bermukim.

 

MUSAFIR BERPATAH BALIK KE KEDIAMAN SETELAH MEMULAKAN SAFAR

 

            Apabila seseorang itu berniat untuk berpatah balik dari meneruskan safarnya, dan pulang semula ke kediamannya, safarnya tidak terbatal dan seseorang itu masih boleh mengqasarkan solatnya selagi mana seseorang itu masih dalam perjalan pulang ke kediamannya, sehinggalah sampai ke daerah, atau kampung tempat tinggalnya barulah terputus safarnya[13].

 

MUSAFIR YANG SINGGAH DI PERTENGAHAN JALAN

           

            Sekiranya seseorang itu singgah dalam jangkamasa yang singkat, iaitu tidak melebihi tiga (3) hari, maka dia tidak dikira sebagai bermukim di situ dan dibolehkan baginya mengqasarkan solatnya walaupun jarak persinggahannya tidak melebihi dua (2) marhalah[14]. Sebagai contoh, seseorang yang bermusafir dan singgah di pertengahan jalan untuk bermalam sebelum meneruskan perjalanannya kemudian.

 

            Namun begitu, sekiranya seseorang itu mengetahui bahawa urusannya dalam persinggahan itu tidak akan selesai dalam masa tiga (3) hari, maka terputuslah safarnya, dan dia tidak boleh lagi mengqasarkan solatnya[15]. Tetapi sekiranya seseorang itu merasakan bahawa urusannya boleh selesai dalam satu hari, sebaliknya urusannya berlanjutan ke hari-hari seterusnya di luar jangkaannya, maka dibolehkan dia untuk mengqasarkan solatnya dalam tempoh lapan belas (18) hari dia di persinggahannya barulah dikira putus safarnya[16].

 

            Ada sesetengah orang, mereka berniat untuk berhenti dari bermusafir di pertengahan jalan, namun setelah beberapa ketika berniat untuk meneruskan safarnya ke destinasi yang hendak di tuju. Hukumnya adalah seseornag itu mestilah berniat memulakan safar yang baru di tempat perhentiannya, dan hendaklah destinasi yang ditujunya melebihi dua (2) marhalah, barulah boleh dia mengqasarkan solatnya[17].

 

QASAR SOLAT UNTUK ORANG YANG SENTIASA MUSAFIR

 

            Terdapat sebilangan orang yang hidupnya sentiasa dalam musafir disebabkan oleh faktor pekerjaan dan sebagainya. Sebagai contohnya seseorang yang bekerja sebagai pelayar kapal dan seumpamanya. Hukumnya adalah harus bagi golongan ini untuk mengerjakan solat secara qasar, tetapi adalah lebih afdhal melakukan solat secara tamam untuk keluar daripada khilaf[18].

 

Berikut dijelaskan huraian objektif kajian yang ketiga iaitu Menjelaskan isu-isu berkaitan solat qasar dan jama’ dan perlaksanaannnua pada masa kini pada era COVID 19. Perbincangannya meliputi hukim berkait jama’ dan qasar (selain musafir), dan solat bagi petugas frontliner covid 19 termasuk orang yang sakit.

OBJEKTIF  KETIGA : HUKUM BERKAIT SOLAT JAMA’ DAN QASAR (SELAIN MUSAFIR)

Terdapat beberapa isu dan kes tertentu yang membolehkan solat dilaksanakan secara jama’, qasar atau keduanya (selain dari sebab musafir). Alasan antaranya terdapat halangan atau keuzuran yang tak dapat dielakkan seperti kesibukan yang terlampau, sakit, uzur, banjir dan sebagainya. Berikut adalah golongan atau mereka yang diharuskan solat sama ada jama’, qasar atau keduanya:-

(1) Doktor, perawat, jururawat dan mereka yang terlibat secara langsung atau sedang dalam urusan pembedahan pesakit hingga mengakibatkan soal nyawa, maka dibenarkan solat jama’. Ini kerana urusan bertugas ini tidak dapat ditinggalkan dan mengambil masa yang lama. Pandangan fatwa ini dikemukakan oleh Prof. Dr. Sheikh Yusuf Al-Qardhawi.

(2) Polis trafik yang menjaga lalu lintas termasuk mereka yang bertugas di sekatan jalan raya kerana operasi tertentu diharuskan melaksanakan solat secara jama’. Ini adalah kerana tugasan di lapangan tidak boleh ditinggalkan dan biasanya mengambil masa yang agak lama. Pandangan ini juga dikemukakan oleh Prof. Dr. Sheikh Yusuf Al-Qardhawi.

(3) Boleh jama’ bagi pesakit kronik yang sedang dirawat atau sakit yang menimbulkan kesulitan dan kepayahan baginya menunaikan solat pada setiap waktu seperti sakit lumpuh, pesakit buah pinggang yang menjalani rawatan hemodialisis dan sebagainya. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali Ke-49 memutuskan harus solat jama’.

(4) Tidak boleh jama’ dan qasar jika berada di kampung sendiri dan telah menjadi tempat bermustautin (bermukim) kerana tidak dianggap sebagai seorang musafir. Sama juga keadaannya jika berada di rumah atau kampung mentua (isteri atau suami). Tetapi jika bermustautin di tempat lain dan pulang bagi tujuan bercuti atau ziarah walaupun tempat dikunjungi adalah kampung asalnya, maka harus qasar dan jama’ solat selama tempoh permukiman yang dibenarkan  (3 hari) sebagai seorang musafir. Jika lebih 4 hari, maka gugurlah status musafirnya.[19]

(5) Berdasarkan mazhab Syafi’i dibolehkan solat secara jama’ berdasarkan keadaan dan situasi hujan yang terlalu lebat sehingga mungkin mengakibatkan banjir, kilat yang merbahaya, tanah runtuh, musibah kebakaran yang besar, keadaan salji dan cuaca terlalu sejuk sehingga menyukarkan untuk solat pada waktunya. Keharusan ini khusus bagi yang bermukim, tidak bermusafir dan praktikal jika berada di luar atau negara yang sejuk. Selain itu, berdasarkan hadis Yahya menceritakan kepada saya dari Malik dari Abu'z Zubayr al-Makki dari Said ibn Jubayr bahawa Abdullah ibn Abbas berkata, Rasulullah bersabda: “solat zuhur dan asar bersama dan maghrib dan isyak bersama, dan tidak kerana ketakutan atau juga kerana melakukan perjalanan." Malik berkata, "Saya percaya itu semasa hujan."

(6) Harus solat jama’ disebabkan takut kepada musuh seperti dalam medan perang menurut satu pendapat dalam mazhab Maliki, pandangan mazhab Hanbali dan sebahagian pandangan ulama’ Syafi’i. Begitu juga sekiranya takut berlaku sesuatu yang buruk kepada nyawa, harta, maruah dan kehidupannya, maka mengikut pandangan mazhab Hanbali diharuskan melaksanakan solat jama’.

(7) Wanita yang dalam istihadah (masih menyusukan anak) hingga menyukarkannya untuk bersolat diharuskan menjama’kan solat. Ini berdasarkan pandangan mazhab Hanbali dalam perkara jama’ kerana sakit.

(8) Pelayar atau pekerja yang musafir dan berlayar dari satu negara ke satu negara yang lain, nelayan, pekerja di atas kapal laut diharuskan mengerjakan solat secara jama’ dan qasar di atas kenderaannya (kapal). Ini kerana telah memenuhi syarat musafir dari sudut perjalanannya yang jauh.[20]

(9) Solat dalam keadaan kesesakan lalu lintas kerana berlaku kemalangan atau sesuatu yang tidak dijangka. Jika terluput waktu solat pertama (zuhur dan maghrib), maka masih ada pilihan bagi melaksanakan solat secara jama’ ta’khir. Namun jika dibimbangi berterusan sehingga luput solat kedua (asar atau isya’), maka hendaklah solat di dalam kenderaan mengikut kadar kemampuan (sama ada jama’ taqdim atau ta’khir). Bersuci boleh dilakukan dengan wudu’ air yang sedikit atau bertayamum (jika ada). Sekiranya tiada, maka solatlah menghormati waktu berdasarkan pandangan sebahagian ulama’ Syafi’iyyah dan perlu diulangi solatnya. Namun berdasarkan pendapatan Imam al-Muzani dengan disokong oleh Imam Nawawi, solat tidak perlu diulang kerana dikira dalam golongan faqidut thohurain (orang yang tidak mampu mendapatkan air untuk berwudu’ dan debu untuk bertayamum).

SOLAT BAGI PETUGAS, ‘FRONTLINER’ COVID-19 TERMASUK ORANG YANG SAKIT

Hukum asal telah menetapkan wajib mendirikan solat secara sempurna (tamam), berdosa besar meninggalkannya dan tidak boleh menjama’kan solat tanpa sebab yang diharuskan oleh syara’. Namun dalam tempoh kebelakangan ini,seluruh dunia termasuk Malaysia telah dilanda pandemik Covid-19 yang telah memberi kesan tidak hanya ekonomi dan kehidupan masyarakat, malah melibatkan kesihatan serta nyawa manusia. Atas asas itu, maka petugas dan ‘frontliner’ yang terlibat secara langsung dalam hal ehwal kesihatan ini memerlukan garis panduan dalam melaksanakan ibadah solat agar tidak tertinggal walau satu waktu pun. Pendekatan kaedah fiqh bermaksud: Kepayahan dan kesukaran mendatangkan kemudahan pada hukum.” Maka di sini dikemukakan beberapa kaedah dan cara pelaksanaan solat yang boleh dilaksanakan oleh mereka.

(1) Sekiranya dibebani dengan kekangan waktu dan hanya mampu melaksanakan solat di akhir waktu, maka harus solat dilewatkan perlaksanaannya. Contohnya melewatkan solat zuhur sehingga akhir waktu dan selepas itu terus solat asar sebaik sahaja masuk waktunya. Begitu juga solat maghrib dan isya’. Melaksanakan dua solat pada waktu yang berdekatan dinamakan solat secara jama’ suri (jama’ gambaran) dalam mazhab Syafi’i.  iaitu mengakhirkan waktu solat yang pertama (zuhur dan maghrib) serta menyegerakan atau mengawalkan waktu solat yang kedua (asar dan isya’). Solat ini bukan dijama’kan tetapi didirikan pada waktu masing-masing dan dilaksanakan secara solat yang sempurna.

(2) Jika berlaku keadaan mendesak, sulit atau sukar (masyaqqah) bagi mendirikan solat secara tamam (sempurna) walaupun di akhir waktu, maka diberikan keringanan (rukhsah) iaitu:

(a) Harus melaksanakan solat jama’ tamam (tanpa qasar) sama ada taqdim atau ta’khir berdasarkan kesesuaian, situasi dan keadaan ketika itu. Contohnya waktu syif bertugas,

(b) Sekiranya tidak mampu juga melaksanakan solat jama’ (taqdim atau ta’khir) kerana darurat seperti menyelamat nyawa atau kesukaran dan tidak dibenarkan menanggalkan pakaian khas (PPE - Personal Protective Equipment) untuk berwudu’ atau bertayammum, maka dianjurkan mendirikan solat menghormati waktu secara jama’ ta’khir dan hendaklah diulang (wajib qada’) secara sempurna di masa yang lain.

Walau apapun, hukum keharusan solat jama’ bagi perkara ini adalah berasaskan kemaslahatan  menghindari kemudharatan dan menjaga nyawa. Ini juga adalah memenuhi tuntutan dan prinsip dalam maqasid syariah khususnya dalam menjaga ibadah solat agar ia tetap terlaksana walau dalam apa jua keadaan sekali pun.

INTAHA

Sebagai kesimpulannya penerangan berkaitan solat qasar dan jama’ menurut pandangan empat imam mazhab, penjelasan isu-isu berkaitan qasar dan jama’ berdasarkan pandangan ulama’ silam, dan penjelasan dalam realiti masa kini telah selesaikan dibincangan.  Sekalipun dalam keadaan sukar, solat wajib ditunaikan dengan diberikan sedikit keringanan mendirikannya selaras dengan firman Allah S.W.T. dalam surah Al-Hajj, ayat 78[21]

...وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِى الدِّيْنِ مِنْ حَرَجٍۗ  ...

Erti: ...“dan Dia tidak menjadikan kesukaran (keberatan) untukmu dalam perkara agama...”


 

RUJUKAN

111 Soal Jawab Berkaitan Solat Jama’ dan Qasar, Ustaz Zulkarnain bin Hj. Abdullah dan Ustaz Hj. Azhar bin Hj. Yahya Al-Batawi, terbitan KUIZM, 2015.

Al Muhali dan Al Suyuthi, Tafsir Al-Jalalain, Jilid 1, Dar al Hadis, Kaherah.

Al-Muwatta of Imam Malik ibn Anas, The First Formulation of Islamic Law, Revised in whole Translated by Aisha Abdurrahman Bewley, Madinah Press Inverness, Scotland, 1991.

Asas-Asas Fardhu Ain, Ustaz Sulaiman Endut, Penerbit Pustaka Haji Abdul Majid, 1993.

Ensiklopedia Solat, Datuk Haji Md. Hashim Yahaya (mantan Mufti Wilayah Persekutuan), terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd., 2011.

Fiqh Islam Wa Adillatuhu, Prof. Dr. Wahbah Az-Zuhaili, Jilid 2, 2010 .

Formula Solat Sempurna, Dr. Zaharuddin Abd. Rahman, terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd., Oktober 2012.

Furu’ Al-Masa’il Wa Usul Al-Wasa’il, Maulana Al-Sheikh Daud bin Abdullah Al-Fathani, terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd., 2010.

Jabatan Mufti Negeri Perak, Kenyataan Rasmi Bil. 4/2020.

Kitab Al-Fiqhu Al-Manhaji ‘Ala Mazhab Al-Imam Asy-Syafie, terbitan Darul Syakir.

Mufti Pulau Pinang, Hukum Solat Bagi Petugas KKM Yang Terlibat Dengan Covid-19, Keputusan Irsyadul Hukmi, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang, 24 Mac 2020  .

Panduan Berkaitan Solat Musafir, Ustaz Salehuddin bin Abu Samah, Penerbit JomSolah DotCom, 2016.

Panduan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis, Hukum Bagi Petugas-petugas Kesihatan dan Staf-staf Hospital Yang Merawat Kes-kes Covid-19, 2020

Passport Musafir, Panduan Lengkap Ibadah Dalam Perjalanan, Mohd Zuhdi Ahmad Khasasi, terbitan PTS Publications & Distributors, 2011.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Irsyad Al-Fatwa Siri ke 455: Hukum Solat Jama’ Bagi Petugas Covid-19, 2020.

Risalah Hukum Covid-19, Ini Ialah Bagaimana ‘Frontliner’ Solat Sepanjang Merawat Pandemik Covid-19, Terbitan Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), 2020.



[1] Al-Quran al-Karim, al-Hajj (22): 78

 [2] Fiqh Islam Wa Adillatuhu, Prof. Dr. Wahbah Az-Zuhaili, Jilid 2, 2010

 [3] Prof. Dr. Sheikh Yusuf Al-Qardhawi dalam kitabnya Fiqh As-Siyam

[4] Al-Fiqhu Al-Manhaji ‘Ala Mazhab Al-Imam Asy-Syafie, terbitan Darul Syakir

 [5] Al-Quran al-Karim, an-Nisa (4): 101

 [6] Al-Fiqhu Al-Manhaji ‘Ala Mazhab Al-Imam Asy-Syafie, terbitan Darul Syakir

 [7] Furu’ Al-Masa’il Wa Usul Al-Wasa’il, Maulana Al-Sheikh Daud bin Abdullah Al-Fathani, terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd., 2010

[9] Umar Mukhtar Mohd Noor (22.04.2016), Al-Kafi#225: Maksud Musafir, Mukim, dan Bermaustatin Serta Berapa Hari Boleh Jama’ Qasar, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

[10] Luqman Tarmizi (08.02.2019), Al-Kafi#1093: Cara Qadha Solat Yang Tertinggal Sewaktu Musafir, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

[12] Sheikh Daud Bin Abdullah al-Fathani, Furu’ al-Masa’il wa Usul al-Wasa’il, ( Telaga Biru Sdn Bhd ) 2010, m.s. 399

[13] Ibid 6

[14] Ibid 6

[16] Ibid 9

[17] Ibid 9

[18] Sheikh Daud Bin Abdullah al-Fathani, Furu’ al-Masa’il wa Usul al-Wasa’il, ( Telaga Biru Sdn Bhd ) 2010, m.s. 403

 [19] Prof. Dr. Wahbah Az-Zuhaili dalam Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuh, jilid 2, halaman 1364.

[20] Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Irsyad Al-Fatwa Siri ke 455: Hukum Solat Jama’ Bagi Petugas Covid-19, 2020

 [21] Al-Quran al-Karim, al-Hajj (22): 78

 



DAKWAH MELALUI TIKTOK DAN KESANNYA KEPADA REMAJA MUSLIM DI MALAYSIA

  DAKWAH MELALUI TIKTOK DAN KESANNYA KEPADA REMAJA MUSLIM DI MALAYSIA   Mohd Amirul Hafiz Ahmad, Solehuddin Shuib, Khairulazhar Samsudin...