Sejak
penghujung tahun 2019 hingga kini (Mac 2021), dunia masih berdepan dengan
pandemik Covid-19. Pandemik Covid-19 boleh dianggap sebagai wabak penyakit yang
sangat dahsyat kerana telah menyebabkan jutaan manusia dijangkiti dan jutaan
manusia juga yang mati disebabkan wabak ini. Di Malaysia sahaja jumlah kes
keseluruhan sehingga 20 Mac 2021 seperti dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan
Malaysia iaitu sebanyak 331,713 kes, dan daripadanya sebanyak 1229 kes
kematian. Situasi pandemik ini telah menyebabkan Kerajaan Malaysia
mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan sebanyak 2 kali yang menyebabkan
hampir semua aktiviti masyarakat terpaksa ditutup dan ditangguhkan dalam usaha
bagi mengawal dan mencegah jangkitan virus Covid-19 tersebut.
Coronavirus
merujuk kepada satu kumpulan virus yang besar yang juga merangkumi virus-virus
lain yang boleh menyebabkan penyakit kepada manusia termasuk SARS-CoV (Severe
Acute Respiratory Syndrome), MERS-CoV (Middle East Respiratory Syndrome) dan
virus-virus lain. Perkataan COVID-19 itu sendiri sebenarnya bukan merujuk
kepada virus tetapi merujuk kepada nama penyakit yang disebabkan jangkitan
Coronavirus. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kemudiannya membuat keputusan
untuk menamakan virus ini secara rasmi sebagai Severe Acute Respiratory
Syndrome Coronavirus 2 (SARS-CoV). Untuk mengelakkan kekeliruan dengan wabak
SARS yang melanda Asia pada awal tahun 2003, WHO telah menamakan penyakit yang
disebabkan SARS-CoV ini sebagai Coronavirus Disease 2019 (COVID-19).
Seperti
yang diketahui, penyebaran COVID-19 adalah melalui titisan daripada saluran
pernafasan (batuk dan bersin) pada jarak 1 meter dan juga kontak secara dekat.
Oleh yang demikian, langkah pencegahan adalah amat penting untuk mengekang
virus daripada terus tersebar. Satu kajian secara ‘systematic review dan
meta-analysis’ telah dilakukan untuk mengkaji jarak optimum untuk mengelakkan
daripada jangkitan dan melihat keberkesanan penggunaan penutup muka dan
pelindung mata. Hasil daripada kajian tersebut mendapati jarak fizikal 1 meter
dan lebih adalah lebih selamat dan mengurangkan kadar penyebaran virus. Selain
itu, penggunaan penutup muka berjaya mengurangkan kadar penyebaran dengan
penggunaan penutup muka N95 adalah yang terbaik berbanding penutup muka yang
lain. Akhir sekali, pelindung mata juga dapat mengurangkan kadar infeksi. Oleh
itu, masyarakat perlulah mengamalkan penjarakan sosial, penggunaan penutup muka
dan pelindung mata ketika berada di luar.
Di
dalam kertas kerja ini akan dijelaskan tiga(3) objektif kajian, antaranya:
1.
Mengumpulkan
hadith-hadith berkaitan penyakit berjangkit dan hadith tentang wabak taun serta
mengemukakan perbincangan ulama terhadap hadith-hadith berkenaan
2.
Menjelaskan
bentuk-bentuk salah faham yang berkaitan dengan pencegahan dan kawalan penyakit
berjangkit semasa Covid-19 berlangsung yang timbul dalam masyarakat Islam di
Malaysia.
3.
Mencadangkan
kaedah dan pendekatan sewajarnya dalam kawalan dan pencegahan penyakit
berjangkit khususnya dalam realiti masyarakat semasa pandemik Covid-19 ini.
Wabak atau penyakit berjangkit
seperti ta’un umpamanya, telah berlaku pada zaman Rasulullah SAW.
Terdapat beberapa hadis yang yang
menyebut tentang wabak penyakit berjangkit ini antaranya sabda
Baginda SAW yang bermaksud “
Apabila kamu bertemu dengan orang yang terkena penyakit kusta,
maka hendaklah kamu lari (jauhi)
seperti kamu berjumpa singa” (HR Bukhari). Hasil pengekstrakan hadis
dalam Sahih Bukhari yang memiliki perkataan wabak, ‘adwa dan ta’un: Sebanyak 7
hadis yang memiliki perkataan waba’. Manakala perkataan ‘adwa terdapat pada 10
hadis dan 13 hadis memiliki perkataan ta’un.
Tema 13 hadis dalam sahih bukhari yang menganduni perkataan ta’un adalah
seperti berikut: i) Kaitan antara wabak dan ta’un , ii) larangan masuk ke tempat yang dilanda penyakit ta’un atau
keluar dari tempat tesebut, iii) pahala mati syahid bagi mereka yang meninggal
kerana ta’un.
Berikut dikumpulkan lima(5) hadis ke
atas hadith-hadith berkaitan penyakit berjangkit dan hadith tentang wabak taun
serta mengemukakan perbincangan ulama terhadap hadith-hadith berkenaan dengan
perincian yang jelas dan sesuai.
عَنْ
عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ، قَالَ: أَقْبَلَ عَلَيْنَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه
وسلم فَقَالَ: يَا مَعْشَرَ الْمُهَاجِرِينَ خَمْسٌ إِذَا ابْتُلِيتُمْ بِهِنَّ، وَأَعُوذُ
بِاللَّهِ أَنْ تُدْرِكُوهُنَّ : لَمْ تَظْهَرِ الْفَاحِشَةُ فِي قَوْمٍ قَطُّ، حَتَّى
يُعْلِنُوا بِهَا، إِلَّا فَشَا فِيهِمُ الطَّاعُونُ، وَالْأَوْجَاعُ الَّتِي لَمْ
تَكُنْ مَضَتْ فِي أَسْلَافِهِمُ الَّذِينَ مَضَوْا ...
Ertinya: Daripada Abdullah bin
Umar RA, berkata bahawa Rasulullah SAW menghadap kepada kami dan bersabda:
Wahai sekalian Muhajirin, ada lima perkara yang sekiranya kamu diuji dengannya
dan aku memohon perlindungan dengan Allah agar kamu tidak berjumpa dengan ujian
ini iaitu: Tidak akan terzahir sesuatu
kejahatan sesuatu kaum sehinggalah mereka menzahirkannya (melakukan kejahatan
maksiat secara terang-terangan) melainkan akan tersebar kepada mereka wabak
penyakit Ta’un, dan penyakit-penyakit yang tidak pernah datang kepada umat
terdahulu…
(Sunan Ibn Majah – Hadis Hasan)
Hadis ini menjelaskan kepada kita
bahawa Rasulullah SAW telah memberi
peringatan kepada para sahabat bahawa umat ini akan diuji. Rasulullah SAW lalu
memohon kepada Allah agar para sahabat RA tidak ditimpa dengan ujian ini. Salah
satu ujian yang akan diberikan kepada umat ini adalah kemunculan wabak-wabak
serta penyakit-penyakit baharu yang tidak pernah berlaku kepada umat terdahulu.
أُسَامَةَ
بْنَ زَيْدٍ يُحَدِّثُ سَعْدًا، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
أَنَّهُ قَالَ:
«إِذَا
سَمِعْتُمْ بِالطَّاعُونِ بِأَرْضِ فَلَا تَدْخُلُوهَا، وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضِ وَأَنْتُمْ
بِمَا فَلَا تَخْرُجُوا مِنْهَا»
Ertinya: Saidina Usamah bin Zaid
RA pernah menceritakan kepada Sa’d, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sekiranya
kamu mendengar tentang (penyebaran) wabak di sesuatu tempat, maka janganlah
kamu masuk. Dan sekiranya kamu sudah berada dalam kawasan (penularan wabak)
tersebut, maka janganlah kamu keluar darinya.” (Sahih al-Bukhari)
Ketika menghuraikan hadis ini,
al-Imam Ibn al-Qayyim menjelaskan bahawa terdapat beberapa hikmah mengapa
Rasulullah SAW menyarankan agar kawalan pergerakan ini dilaksanakan iaitu:
1. Menjauhi sebab-sebab yang boleh
membinasakan manusia.
2. Mengutamakan kesihatan
(kesejahteraan) yang mana ia adalah asas dalam kehidupan manusia.
3. Larangan menjauhi udara yang
telah dicemari kerana dibimbangi akan menyebabkan lebih ramai yang sakit.
4. Menjarakkan diri dari orang yang
telah terkena penyakit sekaligus menjadi langkah pencegahan dari penyebaran
wabak.
5. Menyelamatkan diri dari
kebergantungan kepada kepercayaan yang salah.
قال
أَبَا هُرَيْرَةَ، يَقُولُ : قَالَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم : «لَا عَدْوَى
وَلَا طِيَرَةَ، وَلَا هَامَةَ وَلَا صَفَرَ، وَفِرَّ مِنَ الْمَجْذُومِ كَمَا تَفِرُّ
مِنَ الْأَسَدِ»
Ertinya: Kata Abu Hurairah RA
berkata, sesungguhnya Rasulullah SAW
bersabda: Tidak ada jangkitan penyakit, tiada ramalan buruk, tiada sial burung
hantu dan tiada sial bulan Safar, dan larilah daripada pesakit kusta
sebagaimana kamu lari daripada singa.” (Sahih al-Bukhari)
Pada bahagian awal hadis ini
Rasulullah SAW menjelaskan bahawa tiada
jangkitan penyakit boleh berlaku melainkan atas kehendak Allah SWT. Manakala di penghujung hadis
tersebut pula, Rasulullah SAW memberikan nasihat agar muslim mesti menjauhi
mereka yang dijangkiti pesakit kusta sepertimana mereka melarikan diri dari
singa. Ini sebagai langkah pencegahan bagi mengelakkan manusia daripada ditimpa
penyakit. Namun sekiranya seorang muslim ditimpa penyakit, dia hendaklah
meyakini bahawa hanya Allahlah yang memberikan penyakit dan penawarnya
عَنْ
أَبِي سَلَمَةَ: سَمِعَ أَبَا هُرَيْرَةَ، بَعْدُ يَقُولُ: قَالَ النَّبِيُّ صلى الله
عليه وسلم: «لا
يُورِدَنَّ
مُمْرِضٌ عَلَى مُصِحٍ»
Ertinya: Daripada Abi Salamah, bahawa dia mendengar
Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: Janganlah didatangkan yang
sakit kepada yang sihat (Sahih al-Bukhari)
Hadis ini menjadi asas kepada
pengasingan atau kuarantin orang yang sakit daripada orang yang sihat. Pada
asasnya hadis ini merujuk kepada arahan mengasingkan binatang yang sakit
daripada mendekati binatang yang sihat.
عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ
اللَّهُ عَنْهُمَا ، قَالَ: كَانَ أَهْلُ الْيَمَنِ يَحُجُّونَ وَلَا يَتَزَوَّدُونَ،
وَيَقُولُونَ: نَحْنُ المُتَوَكَّلُونَ، فَإِذَا قَدِمُوا مَكَّةَ سَأَلُوا النَّاسَ،
فَأَنْزَلَ اللَّهُ تَعَالَى: {وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى}
[البقرة: 197]
Ertinya: Daripada Ibn Abbas RA
berkata: sesungguhnya ahli Yaman datang menunaikan haji dan mereka tidak
membawa sebarang bekalan. Lalu mereka berkata: Kami adalah orang-orang yang
bertawakkal. Kemudian apabila mereka tiba di Mekah, mereka meminta-minta
daripada manusia di sana. Lalu Allah menurunkan ayat: “Dan sediakanlah bekalan
maka sebaik-baik bekalan adalah taqwa.
(Sahih al-Bukhari)
Ada di kalangan manusia yang tidak
berusaha untuk mengelakkan diri dari ditimpa wabak penyakit, bahkan ada di
antara mereka yang melanggar perintah kerajaan. Mereka kemudiannya mendakwa,
“kami adalah orang yang bertawakal.” Mereka sebenarnya telah melakukan
kesalahan dalam bertawakal kerana seseorang itu seharusnya berusaha dahulu
sebelum mengakui dirinya telah bertawakal kepada Allah.
Bentuk salah faham
pertama: Ada
yang berkata begini, “Kenapa perlu takut, virus itu juga makhluk Tuhan?”
Maksud takut yang sama sudah tentu
tidak tepat jika diletak kepada takut Allah SWT. Ini kerana, takut Allah SWT
dalam bahasa syarak bermaksud bertaqwa kepada Allah SWT. Dari sudut istilah, para ulama' memberikan
pelbagai takrif berkenaan defnisi taqwa.
Syeikh 'Ali al-Sobuni menyimpulkan bahawa kesemua takrifan tersebut berlegar
pada maksud, “Mentaati segala perintah Allah SWT dan meninggalkan segala yang
diharamkannya.”
Dengan kata lain, seseorang yang
takut kepada Allah dengan maksud bertaqwa kepada Allah SWT sudah tentu semakin
berusaha mendekatkan diri kepada Allah SWT dan bukan sebaliknya. Sedangkan
takut kepada penyakit membawa erti yang amat kontradik dengan takut kepada
Allah SWT kerana ia akan membuatkan seseorang itu menjauhkan diri daripadanya. Ada juga mereka yang tidak mahu mengambil vaksin dan menganggap ianya
adalah satu konspirasi yahudi.
Bentuk salah faham kedua:
Isu Berkaitan Penangguhan Pelaksanaan Solat
Fardu Secara Berjemaah Di Masjid
Dalam Fasa PKP Dan PKPB
Arahan penangguhan ini sedikit
sebanyak mendapat tentangan daripada sebilangan kecil masyarakat yang tidak
bersetuju dengan penutupan masjid.
Terdapat segelintir mereka yang degil dan bersikap keras kepala untuk
terus menghadirkan diri ke masjid bagi melaksanakan solat fardu secara
berjemaah.
Persoalannya ialah mengapa masih
ada kumpulan yang degil untuk melaksanakan solat berjemaah dan solat Jumaat di
masjid, sedangkan arahan telah dikeluarkan oleh pihak berwajib? Situasi ini
berlaku adalah disebabkan salah fahaman masyarakat berkaitan hukum-hakam.
Bentuk salah faham ketiga:
Isu Berkaitan
Penangguhan Pelaksanaan
Solat Jumaat di
Masjid Dalam Fasa PKP Dan PKPB
Hukum melaksanakan solat Jumaat
adalah fardu ain. Solat jumaat wajib dilaksanakan secara berjemaah di masjid
atau tempat yang diberi kebenaran oleh pemerintah. Menurut mazhab Shafi‘iyy,
solat jumaat hanya boleh didirikan di satu-satu tempat jika mendapat kebenaran
mendirikannya daripada pemerintah.
Dalam konteks pandemik ini,
terdapat sebilangan masyarakat yang degil untuk terus melaksanakan solat Jumaat
meskipun arahan penangguhan telah dibuat.
Ada antara mereka yang beranggapan jika tidak menghadiri solat Jumaat
lebih 3 kali berturut-turut akan menjadikan mereka munafik.
Bentuk salah faham
keempat: Pemakaian Pelitup
Separuh Muka Ketika Solat Berjemaah di Masjid Dalam Fasa PKPP dan
penjarakan saf 1 meter ketika solat berjemaah
Antara SOP yang wajib dipatuhi bagi
mereka yang ingin menghadiri solat berjemaah dan solat di masjid atau surau
ialah memakai pelitup separuh muka atau face mask dan menjarakkan saf
antara jemaah dengan jarak
sekurang-kurangnya 1 meter. Antara SOP lain yang diwajibkan iaitu menghadirkan
diri awal ke masjid, berwuduk di rumah dan membawa sejadah. Namun SOP yang
menjadi pertikaian sebahagian kecil masyarakat adalah berkenaan pemakaian
pelitup separuh muka ketika solat dan
penjarakan saf antara jemaah.
Berkaitan dengan penjarakan saf
semasa solat berjemaah sebanyak 1 meter antara satu sama lain pula, hukum asal
merapatkan saf adalah sunat dan sangat dituntut oleh Nabi Muhammad SAW.
{وَسَطُوا
الإِمَامَ وَسُدُّوا الْخَلَلَ}
Ertinya, “Jadikanlah kedudukan
imam berada di tengah dan tutuplah
ruang-ruang kosong” (Hadis. Abu Dawud. Kitab al-Salah. No. 291).
Ketidakfahaman ini menyebabkan
sebahagian Jemaah membantah kerana tidak memahami hukum asal.
Pemeliharaan lima prinsip yang
terkandung dalam maslahah daruriyah mengikut Imam al-Ghazali perlu
dilaksanakan mengikut keutamaan
seperti berikut: memelihara agama, memelihara nyawa, memelihara akal,
memelihara keturunan, dan memelihara harta.
Aplikasi maqasid syariah salam menangani pandemic Covid-19 adalah pada
hakikatnya merupakan epngaplikasian pronsip maqasid syariah iaitu memelihara
nyawa. Berikut akan dihuraikan empat kaedah dan
penyelesaian dalam kawalan dan pencegahan penhyait berjangkit khususnya dalam
masyarakat semasa pandemic Covid-19 ini.
Penyelesaian salah faham
pertama:
Jika benar takutkan Allah, jauhkan diri daripada
Covid-19. Jawapan kepada takutkan Allah
sWT dan bukan kepada yang lain termasuk
Covid-19. Apabila dikaji sirah Nabi
Muhammad SAW, di sana akan dijumpa banyka jawapan, dan yang menariknya ada
dialog di antara Saidina Umar al Khattab dengan Abu Ubaidah Al Jarrah ra. di
kala wabak ta’un pada zaman itu.
Apabila ditanya kepada Saidina Umar
R.A, adakah kamu lari daripada qadha’ Allah? Maka Saidina Umar menjawab:
“Alangkah baik jika selain kamu yang mengungkapkan kenyataan ini wahai Abu
‘Ubaidah.” Kemudian beliau berkata:
“Ya betul, kita lari daripada
takdir Allah menuju kepada takdir Allah yang lain. Tidakkah kamu melihat
sekiranya kamu memiliki seekor unta, kemudian kamu turun kepada satu lembah
yang mempunyai dua sudut. Salah satunya merupakan kawasan yang subur dan satu
yang lagi merupakan kawasan yang
tandus. Bukankah jika kamu memelihara
unta tersebut di kawasan yang subur maka kamu menjaganya dengan takdir Allah.
Dan jika kamu memelihara unta tersebut di kawasan yang tandus maka kamu juga
menjaganya dengan takdir Allah?”. HR Muslim: (2219)
Justeru itu antara pengajaran yang
boleh diambil di sini ialah:
·
Saidina
Umar R.A memperbetul fahaman Abu Ubaidah berkenaan isu qadha dan qadar dan
terus memberi contoh di mana usaha dan ikhtiar termasuk dalam qadha dan qadar
Allah
·
Kenyataan
Saidina Umar, ‘Kita lari daripada qadar-Nya kepada qadar-Nya,’ memberi makna
bahawa beriman dengan qadha dan qadar sebenarnya hendaklah disertai dengan
usaha, ikhtiar, azam, tawakal dan doa.
Penyelesaian salah faham
kedua:
Isu
Berkaitan Penangguhan Pelaksanaan
Solat Fardu Secara Berjemaah Di Masjid Dalam Fasa PKP Dan
PKP
Punca yang mendorong kesalahfahaman
masyarakat terhadap hukum-hakam turut berfaktorkan kekurangan pendedahan
berkaitan konsep thabat dan murunah. Banyak dalil-dalil yang membicarakan
berkenaan keutamaan berjemaah di Masjid dan kewajipan melaksanakan solat
Jumaat.
Antaranya berdasarkan kepada hadis
Nabi SAW:
Ertinya: “Dan jikalau kamu
mendirikan (solat fardu) itu di rumah kamu sebagaimana golongan yang
mengingkari sunnah, maka sesungguhnya kamu telah meninggalkan sunnah Nabi kamu.
Dan jikalau kamu meninggalkan sunnah Nabi kamu, nescaya kamu akan tersesat”
(Hadis. Muslim. Kitab al-Masajid wa Mawadi‘ al-Salah. No. 324).
hadis di atas secara jelas
menunjukkan kewajipan seseorang Muslim agar melaksanakan solat fardu berjemaah
di masjid bagi golongan lelaki. Hukum
asal solat berjemaah menurut padangan muktamad dalam mazhab Shafi‘iyy adalah
fardu kifayah kepada mereka yang bermukim bagi tujuan memelihara syiar agama di
seluruh tempat samada negeri yang kecil atau besar. Dalam situasi pandemik COVID-19,
beberapa penelitian telah dilakukan oleh pihak berkuasa agama. Ini kerana, jika
masyarakat terus dibiarkan melaksanakan solat secara berjemaah di masjid, maka
kadar jangkitan penularan pasti akan terus meningkat. Menurut Dr. Muhammad Zulkifli al-Bakri
sebagaimana juga direkodkan dalam berita Bernama bertarikh 6 April 2020,
COVID-19 adalah satu wabak penyakit berjangkit dan bersifat maslahah ‘ammah
(kemaslahatan umum). Oleh sebab itu, kerajaan menyarankan agar rakyat terus
berada dalam rumah dan kuarantinkan diri.
Bagi meraikan fardu kifayah dan
juga syiar agama, setiap negeri mewajibkan hanya 3 individu sahaja yang
dibenarkan untuk melaksanakan solat berjemaah di masjid atau surau sepanjang
PKP. Tindakan ini bukan sahaja tepat, bahkan telah menyelamatkan seluruh umat
Islam di Malaysia apabila fardu kifayah itu telah dilaksanakan oleh sebahagian
yang lain. 3 individu tersebut terdiri daripada pegawai-pegawai masjid seperti
imam, bilal dan siak.
Penyelesaian salah faham
ketiga: Isu Berkaitan
Penangguhan Pelaksanaan
Solat Jumaat di
Masjid Dalam Fasa PKP Dan PKPB
Kewajipan melaksanakan solat jumaat
adalah satu tuntutan syarak. Sebagaimana yang diklasifikasikan oleh
al-Zuhayliyy (1985), ia termasuk dalam kategori hukum qat‘iyy. Namun di sana
terdapat kelonggaran syarak terhadap mereka yang mempunyai keuzuran dalam
melaksanakannya. Konteks keuzuran yang dibenarkan merangkumi kesihatan,
keselamatan dan kekangan waktu. Maka,
dalam tempoh pandemik ini sewajarnya kesihatan menjadi alasan kukuh dalam mengambil
rukhsah Syarak. Oleh sebab demikian, kerajaan telah menyarankan agar solat
Jumaat digantikan dengan solat Zohor di rumah masing-masing. Sewaktu tempoh PKP tamat dan digantikan
dengan PKPB, sebahagian masjid-masjid utama diseluruh negara telah dibenarkan
beroperasi dengan kadar minima. Kebanyakan negeri hanya membenarkan kehadiran
solat Jumaat dengan kapasiti 12 jemaah sahaja. Manakala Wilayah Persekutuan
pula menetapkan kapisiti tidak melebihi 30 jemaah. Hanya individu-individu
terpilih sahaja yang akan dijemput untuk menghadiri solat Jumaat.
Penyelesaian salah faham
keempat:
Pemakaian Pelitup
Separuh Muka Ketika Solat Berjemaah di Masjid Dalam Fasa PKPP dan
penjarakan saf 1 meter ketika solat berjemaah
Hukum menutup mulut ketika solat
adalah makruh bersandarkan hadis
tersebut. Namun ia bukanlah perbuatan
yang boleh membatalkan solat.
Namun terdapat beberapa keadaan disunatkan menutup mulut walaupun ketika
solat. Sebagai contoh apabila seseorang tersebut menguap atau bersin ketika dalam
solat, disunatkan ia menutup mulut sebagai mana hadis nabi SAW
{فَإِذَا
تَثَاءَبَ أَحَدُكُمْ فَلْيَضَعْ يَدَهُ عَلَى فِيهِ}
Ertinya: “Apabila salah seorang
kamu menguap maka hendaklah dia meletakkan tangannya ke mulutnya (menutup
mulutnya)” (Hadis al-Tirmidhiyy. Kitab al Adab: (2746)
Oleh demikian, boleh dirumuskan
bahawa menutup mulut dalam solat adalah suatu larangan pada asalnya. Namun ia
tertakluk kepada faktor yang memerlukan ia ditutup. Jika menguap dalam solat
pon dibolehkan seseorang itu menutup mulut, maka apatah lagi jika mempunyai
alasan yang lebih kukuh. Sebagai contoh, dalam situasi pandemik COVID-19,
tindakan menutup mulut dapat mengurangkan risiko jangkitan dan penularan. Oleh
kerana ia boleh dianggap alasan yang kukuh, maka adalah diharuskan menutup
mulut ketika solat dalam situasi pandemik ini.
Berkaitan dengan penjarakan 1 meter
ketika solat semasa PKPP
Dalam isu ini, perkara yang
berbangkit adalah mengenai risiko penularan pandemik jika tiada penjarakan
antara saf dilakukan. Ia amat berbeza dengan situasi pada hukum asal dalam
masalah merapatkan saf. Tindakan tidak merapatkan saf secara sengaja serta
tiada alasan yang kukuh adalah makruh sebagaimana yang dinyatakan di atas.
Namun, jika ada alasan yang kukuh untuk tidak merapatkan saf, maka tindakan
merenggangkan saf adalah suatu kelonggaran yang dibenarkan syarak tanpa
mengurangkan atau mencacatkan pahala jemaah.
Oleh itu, selagi mana ‘illah hukum (pandemik) masih wujud, maka selagi
itulah boleh diranggangkan saf. Sekiranya ‘illah hukum sudah tidak wujud, maka
suatu hukum itu akan kembali kepada hukum asalnya. Dalam masalah pandemik ini,
hukum tidak merapatkan saf akan kembali kepada hukum asalnya (makruh)
Berdasarkan penulisan ini dapatlah
disimpulkan bahawa Sesungguhnya tiada satu penyakit pun yang akan terkena pada
seseorang melainkan ia telah ditakdirkan oleh Allah SWT. Setiap manusia yang diuji dengan penyakit
berjangkit yang mungkin membawa maut perlu berusaha mencari penawar dan tidak
boleh berputus asa. Larangan keluar dari
kawasan atau tempat yang sedang dilanda wabak atau masuk ke kawasan tersebut
menunjukkan Islam amat menitikberatkan keselamatan dan nyawa manusia. Oleh itu,
jelas apa yang diwahyukan oleh Allah SWT dan apa yang diucapkan Rasul SAW itu
benar, tepat dan praktikal sepanjang zaman. Hal ini kerana segala yang
dianjurkan itu berkait rapat dengan kesejahteraan manusia dan turut memelihara
keutuhan jasmani, emosi, dan dan ruhani masyarakat.
Dr.
Ahmad Sanusi Azmi, 40 hadis tentang wabak penyakit, ulum hadith research
center, 2020.
User, S. (2020) 9 Fakta Mengenai
Covid-19, Pusat Informasi Perubatan COVID-19 USM-KPJ (PIPC USM-KPJ).
Available at:
http://covid19.kk.usm.my/artikel/bacaan-umum/79-9-fakta-mengenai-covid-19
(Accessed: February 28, 2023).
User, S. (2020) 9 Fakta Mengenai Covid-19, Pusat
Informasi Perubatan COVID-19 USM-KPJ (PIPC USM-KPJ). Available at:
http://covid19.kk.usm.my/artikel/bacaan-umum/79-9-fakta-mengenai-covid-19
(Accessed: February 28, 2023).