Wednesday, February 25, 2009

Jangan remehkan dosa-dosa kecil

Assalamu'alaikum wbth,

Rasul SAW bersabda:

Jauhilah olehmu dosa-dosa kecil. Sesungguhnya perumpamaan dosa-dosa kecil adalah seperti suatu kaum yang singgah di sebuah lembah, lalu seorang daripada mereka membawa sebatang ranting pokok, seorang yang lain pun membawa sebatang ranting pokok; sehingga dengan itu mereka dapat masak roti dan makanan mereka. Sesungguhnya pelaku dosa-dosa kecil , apabila datang hari pembalasan, maka dosa-dosa kecil itu akan membinasakannya.
HR Ahmad

Penjelasan:
1.Dalam hadith ini Ar Rasul SAW menyeru kepada kita agar waspada terhadap dosa-dosa kecil dan berusaha meninggalkannya.

2. Dosa-dosa kecil apabila sekali dilakukan, pasti akan mendorong kita untuk melakukannya lagi hingga menjadi kebiasaan yang kita lakukan berulang-ulang dan sukar untuk kita tinggalkan.

3. Akibatnya di hari akhirat nanti hukuman Allah akan membinasakan kita disebabkan dosa-dosa yang telah kita lakukan di dunia tanpa kita menyedarinya.

4. Dosa yang kecil apabila dilakukan berkali-kali, atau dilakukan bersama-sama dosa kecil lain, maka ia akan menjadi dosa besar yang mampu menjerumuskan pelakunya ke neraka. Na'u dzubillahi minzalik.


Rujukan:
Syarah lengkap Arba'in Ruhiyah, Fakhrudin Nusyam, Bina Insani Press Solo, m.s. 231-232

Sunday, February 22, 2009

Hakikat Cinta Siri 2

Darjat-Darjat Percintaan

Allah Subhanahuwata’ala menjadikan manusia dan mengetahui selok belok hati manusia. Islam yang diturunkan-Nya mengiktiraf perasaan cinta sebagai sebahagian daripada fitrah kejadian manusia. Islam telah menggariskan beberapa tingkat atau darjat percintaan, iaitu:

1. Cinta yang agung

Bagi mu’min yang bertaqwa tidak ada suatu pun yang mungkin menyamai kelebihan, kedudukan dan ketinggian cintanya kepada Allah Subhanahuwata’ala, Rasul-Nya dan berjihad di jalan-Nya, sebagaimana firman Allah Subhanahuwata’ala:
Katakanlah: “Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan daripada berjihad di jalan- Nya, Maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan Nya", dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.
(At-Taubah : 24)

Seorang mu’min meyakini bahawa Allah-lah Pencipta dan Pemilik alam semesta. Maka dirinya juga adalah milik Allah Subhanahuwata’ala dan wajarlah seluruh kecintaannya hanya untuk Allah Rabbul’alamin. Inilah cinta teragung.

Sepatutnya manusia meletakkan kecintaan yang tertinggi kepada Allah Subhanahuwata’ala kerana Dia telah memilih manusia sebagai makhluk pilihan-Nya. Firman Allah Subhanahuwata’ala:
Dan Rabmu menciptakan apa yang dirancangkan berlakunya, dan Dialah juga yang memilih (daripada makhluk-Nya untuk sutau tugas, keutamaan atau kemuliaan), tidaklah layak dan tidaklah berhak bagi sesiapapun memilih (selain daripada pilihan Allah). Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah keadaaan-Nya daripada apa yang mereka sekutukan dengan-Nya.
(Al-Qasas : 68)

Natijah asas daripada kecintaan yang agung ini ialah redha dengan Allah Subhanahuwata’ala. Firman-Nya:
Dan tidaklah patut bagi lelaki yang mu’min dan tidak (pula) bagi perempuan yang mu’min, apabila Allah dan rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka, dan barangsiapa menderhakai Allah dan Rasul-Nya, maka sungguhlah dia telah sesat, sesat yang nyata.
(Al Ahzab : 36)

Seorang mu’min meyakini bahawa apa sahaja yang diputus dan disusun oleh Allah Subhanahuwata’ala adalah yang sebaik-baiknya. Segala penentuan Allah Subhanahuwata’ala benar-benar akan mendatangkan hikmah dan keni’matan kepadanya dan menjauhkannya daripada kerosakan dan kebinasaan. Firman-Nya lagi:
Maka barangsiapa yang mengikut petunjuk-Ku, ia tidak akan sesat dan tidak akan celaka. Dan barangsiapa berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta.
(Taha : 123-124)

Tidak syak lagi bahawa seseorang yang telah mengecapi kelazatan iman di dalam dadanya akan tertarik dengan sepenuh hati untuk mencintai Allah Subhanahuwata’ala dan Rasul-Nya yang telah menyampaikan Risalah-Nya kepada umat manusia.

Lantaran keimanan dan keyakinannya kepada Allah Subhanahuwata’ala dan keyakinannya kepada janji-janji-Nya, maka seorang mu’min akan mencintai jihad untuk menegakkan din-Nya dan meninggikan kalimah tauhid-Nya di muka bumi ini agar seluruh manusia turut merasai ni’mat Islam dan keindahan hidup di bawah naungannya.

Cinta kepada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam adalah natijah daripada cintakan Allah Subhanahuwata’ala. Inilah tabi’at cintakan Allah yang bertahta di hati para mu’minin.

Marilah kita sama-sama merenung beberapa kisah yang menggambarkan cinta para sahabat Radhiallahu’anhum terhadap Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam.

Kisah 1:

Imam Baghawi meriwayatkan daripada Thauban maula Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam di mana beliau amat kasihkan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dan tidak sabar-sabar lagi untuk menatap wajah baginda.

Pada suatu hari Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam datang kepadanya. Ketika itu air mukanya berubah, lalu baginda bersabda: Kenapakah air muka mu berubah wahai Thauban?.

Lalu jawabnya: Wahai Rasulullah, aku tidak sakit tetapi sesungguhnya apabila aku tidak dapat melihat wajahmu maka aku akan keluh kesah sehinggalah aku dapat bertemu denganmu. Kemudian aku teingatkan Hari Qiyamat dan aku bimbang tidak akan dapat melihat kamu kerana kamu akan diangkat bersama-sama para nabi. Sekalipun aku dapat masuk syurga maka aku langsung tidak akan dapat melihat kamu.

Maka turunlah ayat Al-Qur’an berikut (sebagai menjawab persoalan Thauban):

Monday, February 16, 2009

Hakikat Cinta siri 1

Salam,
Akhir-akhir saya mendapat maklum balas yang ada da'i syabab yang terkena fitnah wanita. Semoga Allah pelihara kita semua drpd fitnah ini. Penyakit-penyakit ini akan menghilangkan barakah dan pertolongan Allah kepada kita.
Read on....
Pengertian Cinta

Cinta adalah perasaan jiwa seperti kegembiraan, kebahagiaan, ketenangan dan pengharapan kepada sesuatu. Cinta juga bermakna keinginan, tarikan dan keterikatan dengan sesuatu. Cinta merupakan perasaan semula jadi (fitrah) yang menjadi satu sifat daripada sifat-sifat manusia.

Sifat Cinta

Sebagaimana sifat hati yang sering berubah-ubah, maka begitu jugalah sifat cinta yang menjadikan hati sebagai tahktanya. Cinta boleh berubah sejajar dengan perubahan hati.

Tanda Hadirnya Perasaan Cinta

Antara tanda hadirnya perasaan cinta ialah:

1. Apabila suka mendengar nama sesuatu yang dicintai itu disebut-sebut.
2. Apabila suka melihat sesuatu yang dincintai.
3. Apabila suka duduk berdekatan atau bersama-sama dengan sesuatu yang dicintai.
4. Apabila suka dengan segala sesuatu yang berkaitan dengan perkara yang dicintai.

Hikmah Percintaan

Hikmah percintaan adalah sebagai ujian dan dugaan bagi manusia. Manusia akan melakukan pelbagai cara dan taktik untuk mendapatkan apa yang dicintai. Namun di sana, ada cinta yang mulia dan ada cinta yang keji. Untuk mendapatkan sesuatu yang dicintai, ada cara-cara yang mulia dan ada pula cara-cara yang keji.

Cinta adalah faktor pemakmuran ‘alam ciptaan Allah Subhanahuwata’ala. Cinta juga adalah faktor penyambungan zuriat dan penerusan kehidupan manusia. Cinta adalah ikatan yang kukuh yang menyatukan umat manusia.

Hakikat percintaan dan kasih sayang yang sebenar adalah percintaan dan kasih sayang yang berdasarkan keimanan kepada Allah Subhanahuwata’ala.

DAKWAH MELALUI TIKTOK DAN KESANNYA KEPADA REMAJA MUSLIM DI MALAYSIA

  DAKWAH MELALUI TIKTOK DAN KESANNYA KEPADA REMAJA MUSLIM DI MALAYSIA   Mohd Amirul Hafiz Ahmad, Solehuddin Shuib, Khairulazhar Samsudin...