Baru-baru lalu 24/11 -29/11/09 syukur kepada Allah kerana dipilih oleh-Nya untuk saya berkesempatan untuk bersama-sama misi kemanusiaan padang bersama-sama dengan Haluan Malaysia. Sebelum pergi saya sudah memasang niat bahawa pemergian ini adalah kerana Allah SWT. bagi membantu saudara Muslim di Padang –Pariaman yang 100% Muslim penduduknya. Bumi Minang ini juga adalah tempat kelahiran Ulama besar nusantara iaitu Allahyarham Prof. Dr. Hamka. Sesampai di sana, tugasan relawan adalah untuk melakukan klinik bergerak di desa-desa di pedalaman, trauma healing, dan melakukan korban lembu sempena Aidil Adha di kampung angkat Haluan.
Secara umumnya, bumi minang ini sangat indah pemandangannya. Kawasannya dikelilingi bukit-bukau, sawah padi yang menghijau, terdapat sungai air deras lagi jernih yang membelah bumi.
Saya juga berkesempatan untuk pergi ke tempat gempa di Bukit Tigo di mana penduduk kampung tertimbus di situ. Sama-sama kita doakan agar Allah memberi kepada mereka ketabahan menghadapi musibah ini.
Hasil temubual dengan penduduk tempatan, gempa pada hari itu amat dahsyat. Gerakan mencancang beberapa saat, disusuli gerakan membuat. Dan seterusnya bukit meledak hampir beberapa ratus meter sehingga menyebabkan penduduk kampung dan sungai tertimbus.
Saya sempat ke gigi sungai yang tertimbus selama 4 jam selepas gempa. Sungai itu deras dan jernih. Terasa hati ini gementar melihat kuasa Allah SWT yang mampu membuat apa sahaja bagi mengingatkan hamba-hambanya yang alpa dan banyak dosa. Semuanya ini dilakukan agar hati-hati yang ada ini dapat hidup kembali dan kembali kepada Allah SWT.
Sepanjang berada di sana, setelah berinteraksi dengan penduduk desa, saya dapati mereka amat menyenangi kehadiran relawan. Ada seorang tua dengan nada bersahaja mengatakan:
`Haghi ni kami gembiro! Esok kami sodih balik!’
Maknanya pada kami berada bersama-sama mereka, duka mereka agak terubat. Anak-anak sekolah rendah yang diberi trauma healing semuanya gembira bernasyid dan bertakbir. Ada yang mengharapkan agar misi ini diteruskan selama setahun. Hakikatnya mereka amat berduka, apa tidaknya kebanyakan rumah di sana, masjid 95% yang rosak. Ada yang kehilangan anak, isteri, suami dan sanak saudara.
Bersambung... insha Allah di dalam siri berikutnya saya akan menyentuh mengenai amalan-amalan yang tidak Islamik yang diamalkan oleh mereka di sana berserta dengan dakyah kristian di sana.
No comments:
Post a Comment