Monday, October 31, 2011

Hakikat pengorbanan

Perkongsian khutbah Eidil Adha oleh Al Fadil Ust Umar Hj. Saleh beberapa tahun yang lalu.


Semoga bermanfaat.


KHUTBAH 1

الحمد لله القائل

اشهد أن لا اله الا الله وحده لا شريك له. وأشهد أن محمدا عبده ورسوله اللهم صل وسلم على رسولك وحبيبك محمد وعلى أله وأصحابه أجمعين ومن تبعهم باحسان الى يوم الدين.

اما بعد! فيا عباد الله اتقوا الله. أوصيكم ونفسى بتقوى الله واعلموا أن الله مع المتقين .
الله اكبر. الله اكبر. الله اكبر. الله اكبر. الله اكبر. الله اكبر . الله اكبر. الله اكبر. الله اكبر
( yakni 9 x takbir)
و لله الحمد

Sidang hadirin dan hadirat yang dirahmati Allah !

Saya mengajak diri saya dan sidang hadirin dan hadirat sekalian, marilah kita terus pertingkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t dengan terus التزام dan patuh kepada titah perintah Allah serta meninggalkan segala tegahan-Nya. Marilah kita bertaqwa kepada Allah dengan sesungguh-sungguh taqwa, sepertimana firman-Nya:

Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah sebenar-benar takwa kepada-Nya; dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam.

Marilah juga kita terus memuji dan bersyukur kehadrat Allah s.w.t kerana kita masih diberi kesempatan oleh Allah s.w.t untuk kita terus hidup dan bersama-sama mera’ikan hari yang penuh barakah dan bahagia ini, iaitu hari Idul Adha atau hari di mana umat Islam yang menunaikan haji berkumpul di mina untuk melontar di jamrah.

Hadirin dan hadirat yang berbahagia,

Dalam kesempatan ini, kita diingatkan dengan peristiwa pengorbanan Nabi Allah Ibrahim AS dan anaknya Nabi Allah Ismail AS demi mentaati perintah Allah SWT. Nabi Ibrahim telah menerima perintah Allah untuk menyembelih anaknya, Ismail, di dalam mimpinya. Dalam suasana taat kepada Allah Subhanahuwataala Nabi Ibrahim rela menyembelih anaknya dan anaknya, Ismail, pun rela untuk disembelih. Kesetiaan mereka, kepatuhan mereka dan pengorbanan mereka telah diabadikan oleh Allah di dalam Al-Qur'an Al-Karim dalam Surah As-Shaffat, ayat 102:

Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: "Hai anakku, sesungguhnya Aku melihat dalam mimpi bahwa Aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!", Ia menjawab: "Hai bapakku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar".

Kesabaran, kepatuhan dan pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya, Ismail, menghadapi ujian yang berat telah dipuji oleh Allah swt dan telah menjadi contoh tauladan kepada umat Islam. Allah swt yang Maha Pengasih telah menggantikan Ismail dengan seekor kambing atau kibas. Firman Allah swt dalam surah Ash shaffat: 102 hingga 106:

Sesungguhnya Ini benar-benar suatu ujian yang nyata. Dan kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar. Kami abadikan untuk Ibrahim itu (pujian yang baik) di kalangan orang-orang yang datang kemudian. (Iaitu) "Kesejahteraan dilimpahkan atas Ibrahim".

Umat Islam disunatkan menyembelihkan haiwan korban pada hari raya haji atau idul adha. Hendaklah korban itu terdiri daripada haiwan ternakan yang dipilih dengan baik. Namun segala pengorbanan hendaklah berdasarkan taqwa kepada Allah swt. Allah hanya menerima pengorbanan dan amalan yang diasaskan di atas asas taqwa kepada-Nya: Firman Allah swt dalam surah Al-Hajj ayat 37:

Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keridhaan) Allah, tetapi ketakwaan dari kamulah yang dapat mencapainya.


Hadirin dan hadirat sekelian,

Berhubung dengan hukum menyembelih haiwan korban ini, Dr. Ali Abdul Halim Mahmud, dalam kitabnya mengenai at-Tadhiyyah adalah memberikan beberapa nohtah:
1. Berkorban, yakni menyembelih haiwan korban, adalah suatu yang disyari’atkan oleh ajaran Islam.
2. Menyembelih haiwan korban hukumnya adalah sunnah, namun amalan ini paling disukai oleh Allah SWT dilakukan pada hari Nahar, yakni pada hari umat Islam yang menunaikan fardhu haji melaksanakan kewajipan melontar jamratul ‘aqabah di Mina.
3. Binatang korban akan datang pada hari Kiamat dengan keadaan sebagaimana ketika disembelih. Justeru itu umat Islam disarankan agar memilih haiwan ternakan yang terbaik untuk dikorbankan. Manakalan menyebelihnya pula perlu disembelih dengan cara yang paling ihsan.
4. Darah haiwan sembelihan yang jatuh, diterima olah Allah swt dahulu, sebelum ianya jatuh ke muka bumi.

Hadirin dan hadirat sekelian,

Daripada peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail seperti yang dinyatakan, telah memberikan kepada kita beberapa nilai, pengiktibaran dan pengajaran-pengajaran tentang pengorbanan.

Bahawa, termasuk bahagian daripada sunnah para anbiya’, seseorang muslim dikehendaki mengorbankan sebahagian daripada harta bendanya di jalan Allah SWT. Maksud jalan Allah adalah sangat luas. Ia mencakup segala jenis kebaikan, antaranya: memberikan makan kepada kaum fakir miskin, berdakwah di jalan Allah dan berjihad menentang musuh-musuh Allah.

Para ulama’ telah mencadangkan agar bahawa daging korban diagih-agihkan sebagai sadaqah, sebagai hadiah dan digunakan sendiri oleh tuannya. Ini bermakna Islam sangat mengambil berat tentang hubungan siratulrahim atau keharmonian hubungan sosial semasa manusia. Jika daging itu sampai kepada golongan fakir atau golongan miskin maka ia akan membantu untuk mencukupi keperluan hidup mereka. Jika daging itu sampai kepada golongan yang berada maka ia merupakan satu hadiah yang akan mengukuhkan hubungan kasih sayang dan ukhuwah Islamiyah. Bahkan, betapa Islam mementingkan hubungan harmoni sesama manusia, daging korban itu boleh juga diberikan kepada golongan bukan Islam, sebagaimana yang diputuskan oleh para ahli fiqh. Ini kerana golongan bukan Islam juga merupakan sasaran dakwah Islamiyah.

Hadirin dan hadirat sekelian,

Sesungguhnya di dalam Islam, erti pengorbanan mempunyai dimemsi yang luas. Pengorbanan itu dituntut dalam pelbagai aspek kehidupan orang-orang yang beriman kepada Allah. Tidak akan tertegak amal Islami untuk mengembalikan semula Islam yang telah dihina kepada kedudukannya yang tinggi dan mulia tanpa berkorban. Tidak akan tertegak dakwah Isalmiyah untuk menyeru seluruh manusia supaya kepada din Allah SWT tanpa berkorban. Tidak akan tertegak jihad untuk menentang serangan musuh-musuh Allah seperti serangan dari golongan yahudi, golongan nasrani, gerakan misionary dan serangan orang-orang munafiq tanpa berkorban.

Selain daripada mengorbankan harta benda dan wang ringgit, Islam juga menuntut orang-orang beriman berkorban dalam beberapa aspek yang lain, iaitu:

1. Mengorbankan diri di jalan Allah.

Sesungguhnya Allah SWT menghendaki orang beriman mencagarkan dirinya, di samping hartanya, untuk mendapatkan habuan syurga Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah At-Taubah, ayat 111.

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekelian,

Natijah terakhir bagi mereka yang mengorbankan dirinya di jalan Allah ialah samada mendapat syahid di jalan Allah atau mati di jalan Allah. Sesungguhnya kita semua pasti akan mati, maka kita perlulah merancang kematian kita akan mendapat kematian yang terbaik.

Hadirin dan hadirat sekelian,

Di sini saya ingin menjelaskan perbezaan di antara syahid di jalan Allah dan mati jalan Allah berdasarkan firman Allah SWT dalam surah Ali Imran, ayat 157 dan 158:

Dan sungguh jika kamu terbunuh di jalan Allah atau mati, tentulah ampunan Allah dan kasihsayang-Nya lebih baik (bagimu) dari harta yang mereka kumpulkan. Dan sungguh jika kamu mati atau terbunuh, tentulah kepada Allah-lah kamu dikumpulkan.

Menurut Dr. Ali Abdul Halim Mahmud, terbunuh atau syahid di jalan Allah bermakna terbunuh di tangan musuh Allah di medan jihad di jalan-Nya.

Manakala, mati di jalan Allah bermakna seorang muslim itu mati ketika sedang melakukan amal Islami yang diredhai Allah, seperti berdakwah di jalanNya dan melakukan pelbagai kerja-kerja Islam bertujuan untuk memperkuat atau mengukuhkan Islam.

Samada seseorang itu syahid di jalan Allah atau mati di jalan Allah, maka kedua-dua jenis kematian itu adalah kematian yang mulia. Kedua-keduannya akan mendapat kasih sayang Allah dan keampunan Allah daripada segala dosanya. Justeru itu, hadirin dan hadirat sekelian, hendaklah setiap detik dalam kehidupan kita, sentiasa berada di jalan Allah, di atas jalan dakwahNya. Jangan sekali-kali kita terkeluar daripada jalan dakwahNya kerana kita tidak tahu bilakah kematian itu akan tiba. Inilah yang saya maksudkan dengan kita merancang kematian yang terbaik di sisi Allah SWT.

2. Jenis pengorbanan yang berikutnya ialah mengorbankan waktu dan kesungguhan.

Rasulullah SAW adalah menasihatkan kita, dalam hadithnya (riwayat Al-Hakim), bahawa:



“Manfaatkanlah 5 keadaan sebelum datang 5 (keadaan) yang lain (yakni):
Hidupmu sebelum matimu
Sihatmu sebelum sakitmu
Waktu lapangmu sebelum sebokmu
Mudamu sebelum tuamu
Kayamu sebelum miskinmu”

Hasan Al-Banna pula ada menyatakan, “waktu adalah kehidupan”. Ini bermakna apabila seseorang itu mengsia-sia waktu, bermakna beliau mengsia-siakan kehidupannya. Justeru itu saya menyeru kepada hadirin dan hadirat sekelian, marilah sama-sama kita menguruskan waktu kita di jalan Allah dengan baik seperti untuk mendekatkan diri dengan Allah, berdakwah kepada masyarakat, mendidik anak-anak, menunaikan hak-hak ahli keluarga, menjayakan projek-projek Islam, mencari nafkah hidup dan sebagainya. Kita peruntukan waktu kepada tiap-tiap yang berhak itu akan haknya dengan adil dan bijaksana. Pendek kata seluruh waktu kita dipergunakan untuk perkara-perkara yang bermanfaat untuk Islam dan untuk dakwah Islamiyah.

Janganlah hendaknya kita hanya leka dengan keseronokan dunia dan menggunakan waktu untuk kepentingan peribadi dan keluarga sahaja, dan kita abaikan tugas dakwah kepada masyarakat dan kita membiarkan masyarakat dirosakkan oleh musuh-musuh Islam. Marilah kita sama-sama beringat-ingat akan pesanan Rasulullah SAW (daripada riwayat At-Termizi, yang bermaksud), antara lain:

“Barangsiapa yang menjadikan akhirat sebagai tujuannya, maka Allah akan menjadikan kekayaan di dalam hatinya, mengumpulkan segala urusannya, dan dunia datang kepadanya dengan merendahkan diri. Sedangkan sesiapa saja yang menjadikan dunia sebagai tujuannya maka Allah pasti akan menjadikan kefakiran bertahta di antara kedua matanya, mencerai-beraikan urusannya dan dunia tidak akan datang kecuali yang ditetapkan untuknya sahaja.”

Hadirin dan hadirat sekelian,

Marilah sama-sama kita berkorban sepanjang hayat. Berkorban dalam erti kata yang luas, meliputi pengorbanan harta benda, tenaga, diri sendiri, waktu dan kesungguhan untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT. Juga pengorbanan dalam pelbagai bidang dakwah dan jihad seperti berdakwah kepada masyarakat, mendidik anak dan ahli keluarga, membangunkan pelbagai institusi Islam dan sebagainya.


بارك الله لى ولكم بالقران العظيم ونفعنى واياكم بما فيه من الايات والذكر الحكيم وتقبل منى ومنكم تلاوته انه هو السميع العليم .

أقول قولى هذا وأستغفر الله لى ولكم ولسائر المسلمين والمسلمات فاستغفروا الله العظيم من كل ذنب انه هو الغفور الرحيم .

No comments:

DAKWAH MELALUI TIKTOK DAN KESANNYA KEPADA REMAJA MUSLIM DI MALAYSIA

  DAKWAH MELALUI TIKTOK DAN KESANNYA KEPADA REMAJA MUSLIM DI MALAYSIA   Mohd Amirul Hafiz Ahmad, Solehuddin Shuib, Khairulazhar Samsudin...