Sunday, August 3, 2014

TAZKIRAH RAMADAN - 22.7.2014M

TAZKIRAH RAMADAN
MASJID BANDAR SUNWAY
22.7.2014M BERSAMAAN 25 RAMADAN 1435H

FIRMAN ALLAH SWT DI DALAM SURAH AL MUZZAMMIL:


الحمد لله الذى جَعَلَ صِياَم رَمضان عُرْوةً مِن عُرى الاسلام
اشهد أن لااله الاالله وحده لاشريك له وأشهد أن محمدا عبده ورسوله اللهم صل وسلم على رسولك محمد وعلى آله وأصحبه اجمعين ومن تبعهم باحسان إلى يوم الدين.

1. Saya mengajak diri saya dan tuan-puan hadirin sekalian, marilah kita terus meningkatkan dan memperteguhkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT dengan terus iltizam dan patuh kepada titah perintah Allah, suruhan dan laranganNya.

2. Marilah kita terus bersyukur ke hadrat Allah kerana kita masih dipanjangkan umur dan diberi kesempatan lagi kepada kita (oleh Allah) untuk kita terus berubudiyyah kepada Allah, khasnya di dalam bulan Ramadan al mubarak yang kini telah masuk dalam bahagian akhir bagi tahun ini.

3. Marilah kita terus berdo’a, mudah-mudahan kita mendapat rahmat Allah, keampunan Allah dan semoga kita dibebaskan dari azab di hari akhirat nanti. Sememangnya di bulan Ramadan ini, Ar Rasul SAW banyak berdo’a di samping ibadah dan kerja-kerja makruf yang dilipatgandakan semata-mata mencari keredhaaan Allah SWT. Rasul SAW menggalakkan umatnya berdoa di masa berbuka puasa (ifthar) serta menjelaskan bahawa doa di masa tersebut tidak ditolak(dimakbulkan oleh Allah SWT).

4. Abdullah bin Amru Al As berkata:


Aku telah mendengar Ar Rasul SAW bersabda bahawa sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu ketika ia berbuka terdapat doa yang tidak ditolak. (HR Ibnu Majah)

5. Allah SWT memberi jaminan bahawa Allah sentiasa hampir (dekat ) kepada hamba-hambanya. Firman Allah dalam ayat 186, surah Al baqarah:

Ertinya:
Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.

6. Walaupun bulan Ramadan sudah hampir meninggalkan kita, orang-orang yang benar-benar beriman kepada Allah SWT amat sayang dan merasa sedih untuk berpisah dengan bulan Ramadan Al Mubarak ini. Abu Mas’ud al Ghifari ra pernah menyebut hadis Ar Rasul SAW:


Maksudnya: Sekiranya hamba-hamba Allah ini mengetahui apa-apa (kelebihan) di dalam bulan Ramadan, nescaya hamba-hamba Allah ini bercita-cita(mengharapkan) agar bulan Ramadan ini berlaku(berterusan) sepanjang tahun.

7. Realiti yang berlaku dan wujud dalam masyarakat orang-orang sendiri bagaimana? Majoriti masyarakat kini seolah-olah ingin agar segera keluar daripada bulan Ramadan dengan menggembar-gemburkan program hari raya yang sudah tersedia di kaca TV, media massa dan media sosial. Dan lebih gamat lagi apabila dipestakan dengan pembakaran mercun, meriam buluh dan sebagainya sehingga menenggelamkan suasana ibadah(ubudiyah) kepada Allah, lebih-lebih lagi di bahagian akhir Ramadan al mubarak ini. Sedangkan sepatutnya di bahagian akhir Ramadan inilah perlu kita melipatgandakan taqarrub( amalan-amalan bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT).

8. Apa amalan Ar Rasul pada akhir Ramadan ini? Di dalam sunnah Ar Rasul SAW, baginda melipatgandakan ibadah(taqarrub) kepada Allah khusus di bahagian 10 hari yang terakhir dari bulan Ramadan. Tumpuan khusus diberi kepada ihya’ layali (malam-malam Ramadan) dengan:
a. Solat
b. Tilawah
c. Zikrullah
d. Istighfar
e. Berdoa
f. Dan iktikaf
g. Mengejutkan ahli-ahli keluarga untuk sama-sama bangun melaksanakan ihya layali Ramada.

Sabda AR Rasul SAW:

Adalah Rasulullah saw apabila menjelang sepuluh hari yang akhir daripada bulan Ramadan, maka Rasulullah saw menghidupkan malam-malam hari Ramadzan itu (dengan ibadah) dan menggerakkan ahli keluarganya (bangun beribadah) kepada Allah SWT, dan baginda SAW mengikat kukuh minzarnya( ini kata-kata kinayah bahawa Nabi SAW tidak mendekati isteri-isterinya dengan tujuan jimak) di dalam lingkungan masa tersebut.

9. Bagi kita selaku umat Muhammad SAW, sewajarnya kita bercontohnya kepada sunnah Ar Rasul SAW kerana di bahagian akhir Ramadan ini terdapat satu malam yang dikenali sebagai lailatul Qadr, yang sangat besar kelebihan dan fadhilatnya: Satu malam qadr itu fadilatnya melebihi seribu bulan.


Sesiapa yang Allah SWT pertemukannya dengan beribadah pada malam Qadr, itu adalah kurniaan dan nikmat daripada Allah SWT. Allah sahaja yang Maha Mengetahui siapakah dari kalangan hamba-hambanya yang benar-benar ikhlas dan sungguh-sungguh melaksanakan ubudiyah kepada Allah dengan penuh ketaatan. Walau bagaimanapun, Ar Rasul SAW memberi rangsangan dan menggesa orang-orang yang beriman, menuntut dan mencarinya dengan qosad dan niat mentaati Allah dan beribadah kepadaNya semata-mata.

Abu Said al Qudri ra, juga Abu Dzar ra pernah menceritakan bahawa Ar Rasul SAW bersabda:

Maksudnya:
Carilah malam tersebut(malam Qadar) pada bahagian sepuluh yang akhir dari bulan Ramadan pada setiap malam ganjil.
Menurut Fadhilah as sheikh Darwis Mustafa hasan dalam kitabnya haqiqah as saum, menjelaskan bahawa oleh kerana penentuan malam witir(ganjil) kemungkinan tidak tepat kerana bergantung kepada kepastian awal bulan dan akhir bulan, maka sewajarnya sepuluh yang akhir daripada bulan Ramadan itu dilipatgandakan ubidiyyah kepada Allah pada seluruh malam tersebut.
10. Demikianlah Ramadazan yang sewajarnya diberi perhatian dan penekanan ubudiyah oleh umat muhammad SAW. Ramadan yang disifatkan sebagai madrasah (tempat-masa-dan suasana didikan(tarbiah). Bagi mengawal hawa nafsu, membentuk diri, menyucikan ruh serta memperteguhkan keimanan juga menambahkan bekalan (zad) dalam rangka meneruskan kerja-kerja Islam dan khidmat deen semata-mata mencari keredhaan Allah SWT.

11. Profesor Muhammad Qutub dalam kitabnya manjaj tarbiyah Islamiyah pernah membuat perbandingan dan perumpamaan, antaranya: ibadah khusus di dalam islam seperti solat, saum, zakat, haji adalah ibarat mahatthot (stesyen, tempat perhentian)bagi orang-orang musafir mengambil bekalan(zat) untuk meneruskan perjalanan yang jauh. Tiada perjalanan yang lebih jauh lagi melainkan perjalanan untuk kita balik ke alam akhirat, yang tidak diketahui hujungnya. Ingatlah sebaik-baik bekalan ialah al taqwa. Firman Allah di dalam surah Al Baqarah, ayat 197:

Ertinya:
dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah); dan bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).

12. Penutup:

12.1 Marilah sama-sama kita pastikan agar ibadah kita di dalam bulan Ramadan yang datang setahun sekali ini benar-benar menjadi ibadah (ubudiyah) hanya sanya kepada Allah SWT.

12.2 Jangan sekali-kali dibiarkan diri kita dibawa arus keinginan dan kecenderungan sebahagian masyarakat sehingga perkara-perkara ibadah itu bertukar menjadi adat dan tradisi serta budaya tanpa merujuk kepada Al Quran dan As sunnah.

12.3 kita perlu bimbang takut kalau-kalau ibadah yang kita lakukan ini sia-sia seperti yang pernah diingatkan oleh Ar Rasul SAW:

Ertinya:

Berapa ramai orang yang berpuasa, tidak ada apa yang dia dapat melainkan lapar dan dahaga sahaja, berapa ramai orang yang bangun malam (solat) tidak mendapat apa-apa kecuali berjaga malam sahaja.

12.4. Oleh itu, sama-samalah kita kita menginsafi peringatan-peringatan Rasul SAW itu semoga puasa kita, solat kita, terawikh kita, witir kita, tilawah al quran, dikir dan doa kita dimakbulkan(diterima ) oleh Allah SWT dan benar-benar menjadi zat dan menambah kekuatan khasnys keimanan dan ketaqwaan kita.

Wassalam

22.7.2014
12.45 tghr





No comments:

DAKWAH MELALUI TIKTOK DAN KESANNYA KEPADA REMAJA MUSLIM DI MALAYSIA

  DAKWAH MELALUI TIKTOK DAN KESANNYA KEPADA REMAJA MUSLIM DI MALAYSIA   Mohd Amirul Hafiz Ahmad, Solehuddin Shuib, Khairulazhar Samsudin...