Salam,
Sahabat/ah sekalian, semoga dalam tahap keimanan dan kesihatan yang tertinggi hendaknya.
Slot kali ini saya ingin berkongsi dan mengulangi kembali fikrah 101 yang kita sama-sama pernah pelajari dalam siri-siri halaqah sebelum ini. Aspek aqidah yang salimah ini amat penting bagi kita semua. Umat Islam perlu kuat dan mempersiapkan kekuatan dalaman kita. Jika dalaman kita lemah, amat mudah bagi musuh-musuh Islam menyuntik jarum2 mereka.
Makna kalimah tauhid
Kalimah tauhid bermakna mengEsakan Allah Subhanahuwata’ala. Dari sudut penghayatan dalam kehidupan, ia membawa erti mengenal, berikrar, mengakui, mempercayai dan meyakini bahawa sesungguhnya sembahan yang benar dan berhak disembah ialah hanya sanya Allah Subhanahuwata’ala semata-mata. Selain daripada-Nya, sama sekali tidak benar dan tidak berhak disembah. Penghayatan kalimah ini meliputi berikrar dengan hati, menyatakan dengan lidah dan membuktikan dengan amalan.
Tauhid ar-Rububiyyah
Tauhid ar-Rububiyyah bermakna beri'tiqad bahawa Allah Subhanahuwata’ala bersifat Esa, Pencipta, Pemelihara dan Tuan sekelian alam.
Pengertian lanjut Tauhid ar-Rububiyyah
Antara pengertian kalimah Rabb ( ربّ ) ialah Tuan, Pemilik, Pencipta, Penguasa, Pendidik, Pengasuh, Penjaga dan Penguatkuasa Yang Mutlak.
Allah bersifat mutlak
Manusia, jika dia bersifat seperti memiliki dan berkuasa, maka sifatnya itu sementara. Segala sesuatu di alam ini kepunyaan Allah Subhanahuwata’ala. Apa yang dimiliki makhluk hanyalah bersifat pinjaman dan majaz (kiasan). Hanya Allah Subhanahuwata’ala sebagai Rabb al-'Alamin (Rabb sekelian alam) dan mempunyai segala sifat kesempurnaan. Dengan sifat-sifat-Nya yang Maha Sempurna mengakibatkan seluruh makhluk bergantung kepada-Nya, memerlukan pertolongan-Nya, mendapat kehidupan daripada-Nya dan berharap kepada-Nya.
Manusia, jika dia cerdik, bijak dan pandai, maka semuanya itu datang daripada Allah Subhanahuwata’ala. Segala kekayaan dan penguasaan manusia bukanlah miliknya yang mutlak tetapi segala-salanya itu datang daripada Allah Subhanahuwata’ala.
Manusia dijadikan hanya sebagai makhluk. Dia tidak memiliki apa-apa melainkan setiap kuasa, tindak-tanduk, gerak nafas dan sebagainya datang daripada Allah Subhanahuwata’ala.
Allah Subhanahuwata’ala, Dialah Maha Berkuasa, Mencipta, Menghidup dan Mematikan. Dia berkuasa memberikan manfaat dan mudarat. Jika Allah Subhanahuwata’ala mahu memberikan manfaat dan kelebihan kepada seseorang, tiada siapa yang mampu menghalang atau menolaknya. Jika Allah Subhanahuwata’ala mahu memberikan mudarat dan keburukan kepada seseorang seperti sakit dan susah, tiada siapa dapat menghalang atau mencegahnya.
Oleh itu hanya Allah Subhanahuwata’ala sahaja yang berkuasa untuk memberikan manfaat atau mudarat.
Firman Allah Subhanahuwata’ala:
Jika Allah menimpakan sesuatu kemudaratan kepadamu, maka tiada yang dapat menghilangkannya melainkan Dia sendiri. Dan jika Dia mendatangkan kebaikan kepadamu, maka Dialah Yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu."
( Surah Al-An'am: 17)
Dengan mengenali Allah Subhanahuwata’ala sepertimana yang dijelaskan di atas, maka timbullah kesan tauhid kepada hati seseorang. Dia hanya takut kepada Allah Subhanahuwata’ala, dan berani untuk bertindak melakukan sesuatu kerana keyakinannya kepada Allah Subhanahuwata’ala.
Manusia fakir
Manusia di dunia ini bersifat fakir (tidak memiliki apa-apa), sebaliknya sentiasa memerlukan pertolongan Allah Subhanahuwata’ala.
Firman Allah Subhanahuwata’ala di dalam sebuah hadith Al-Qudsi:
Hai manusia, kamu semua berada di dalam kesesatan kecuali mereka yang Aku berikan taufiq dan hidayah kepadanya. Oleh itu mintalah hidayah daripada-Ku.
Hai manusia, kamu semua lapar, kecuali mereka yang aku berikan makan, oleh itu mintalah rezeki daripada-Ku.
Hai manusia, kamu semua telanjang kecuali mereka yang Aku berikan pakaian. Oleh itu mohonlah pakaian daripada-Ku.
Sifat fakir dan sifat kaya
Berhajatkan sesuatu adalah sifat semua makhluk. Manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan makhluk lain berhajatkan kepada Allah Subhanahuwata’ala. Oleh itu semua makhluk bersifat fakir.
Allah Subhanahuwata’ala Maha Kaya. Dia tidak berhajat kepada sesuatu. Jika manusia memiliki keyakinan ini maka dia akan sentiasa berbaik sangka terhadap Allah Subhanahuwata’ala.
Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala:
Hai manusia, kamulah (hamba-hamba) yang fakir yang berkehendakkan kepada Allah, dan Allah, Dialah yang Maha Kaya lagi Maha Terpuji.
( Surah Fathir: 15)
Fakir adalah sifat yang zati bagi setiap makhluk ciptaan Allah. Kaya adalah sifat yang zati bagi al-Khaliq (Pencipta).
Manusia juga lemah
Manusia juga sangat lemah di hadapan Allah Subhanahuwata’ala. Sehubungan dengan ini Allah Subhanahuwata’ala berfirman:
“…dan manusia dijadikan bersifat lemah”
(Surah An-Nisa’: 28)
Dalil-Dalil Tauhid ar-Rububiyyah
Banyak dalil menunjukkan bahawa Allah itu Maha Esa dan tiada sesuatu yang menyamai Allah dari sudut Rububiyyah. Antaranya:
1.Lihatlah pada tulisan di papan hitam, sudah pasti ada yang menulisnya. Orang yang berakal waras akan mengatakan bahawa setiap sesuatu pasti ada pembuatnya.
2.Semua benda di alam ini, daripada sekecil-kecilnya hinggalah sebesar-besarnya, menyaksikan bahawa Allah itu adalah Rabb al-'Alamin. Dia berhak ke atas semua kejadian di alam ini.
3.Susunan alam yang mengkagumkan, indah dan tersusun rapi adalah bukti Allah Maha Pencipta. Jika alam boleh berkata-kata, dia akan menyatakan bahawa dirinya makhluk ciptaan Allah Subhanahuwata’ala. Orang yang berakal waras akan berkata bahawa alam ini dijadikan oleh satu Zat Yang Maha Berkuasa, iaitu Allah Subhanahuwata’ala. Tidak ada orang yang berakal waras akan menyatakan bahawa sesuatu itu boleh berlaku dengan sendirinya.
4.Begitu hebatnya Ilmu Allah. Pandanglah saja kepada kejadian manusia dan fikirkanlah betapa rapi dan seni ciptaan-Nya.Terdapat seribu satu macam ciptaan Allah yang memiliki sifat yang berbeza-beza antara satu sama lain. Semuanya menunjukkan bahawa Allah adalah Rabb yang Maha Bijaksana .
Fitrah manusia mengakui Rububiyyah Allah
Berikrar dan mengakui akan Rububiyyah Allah Subhanahuwata’ala adalah suatu perkara yang dapat diterima. Hakikat ini sering terlintas dalam setiap fitrah manusia. Meskipun seseorang itu kafir, namun jauh di lubuk hatinya tetap mengakui Rububiyyah Allah Subhanahuwata’ala.
Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala:
Dan jika kamu bertanyakan mereka tentang: Siapakah pencipta mereka? Nescaya mereka menjawab: Allah. Maka bagaimanakah mereka dapat dipalingkan daripada menyembah Allah?
( Surah Az-Zukhruf: 87)
Dan jika kamu bertanyakan mereka tentang: Siapakah pencipta langit dan bumi? Nescaya mereka menjawab: Semuanya diciptakan oleh Yang Maha Perkasa dan Yang Maha Mengetahui."
(Surah Az-Zukhruf: 9)
Tidaklah susah untuk membuktikan Rububiyyah Allah Subhanahuwata’ala. Fitrah setiap insan itu sendiri adalah buktinya. Manusia yang mensyirik dan mengkufurkan Allah juga mengakui ketuhanan Allah Yang Maha Pencipta pada detik-detik tertentu.
Al-Quran mengakui adanya Tauhid ar-Rububiyyah di dalam jiwa manusia
Al-Quran mengingatkan bahawa fitrah atau jiwa manusia memang telah memiliki rasa mahu mengakui Allah Rabb al-'Alamin.
Firman Allah Subhanahuwata’ala:
Berkata rasul-rasul mereka: Apakah ada keraguan terhadap Allah, Pencipta langit dan bumi ? Dia menyeru kamu untuk memberi ampunan kepadamu dari dosa-dosamu dan menangguhkan (siksaan) mu sampai masa yang ditentukan?
(Surah Ibrahim: 10)
Dan mereka mengingkarinya kerana kezaliman dan kesombongan (mereka) padahal hati mereka meyakini (kebenaran)nya, maka perhatikanlah betapa kesudahan orang-orang yang berbuat kebinasaan.
(Surah An-Naml: 14)
Keengganan dan keingkaran sebahagian manusia untuk mengakui kewujudan Allah Subhanahuwata’ala sebagai al-Khaliq (Yang Maha Pencipta), sebenarnya didorong oleh perasaan sombong, degil dan keras hati. Hakikatnya, fitrah manusia tidak boleh kosong daripada memiliki perasaan (yang di dalam sudut hatinya) yang mengakui kewujudan al-Khaliq.
Jika fitrah manusia bersih daripada sombong, degil, keras hati dan selaput-selaput dosa yang menutupinya, maka secara spontan manusia akan terus menuju kepada Allah Subhanahuwata’ala tanpa bersusah payah untuk melakukan sebarang pilihan. Secara langsung lidahnya akan menyebut Allah Subhanahuwata’ala dan meminta pertolongan daripada-Nya.
Telatah manusia, apabila berada di saat-saat genting, tidak akan terfikir dan terlintas sesuatu di hatinya kecuali Allah sahaja. Ketika itu segenap perasaan dan fikirannya dipusatkan kepada Allah Subhanahuwata’ala semata-mata. Benarlah Firman Allah Subhanahuwata’ala:
Dan apabila mereka dilambung ombak yang besar seperti gunung, mereka menyeru Allah dengan keikhlasan kepada-Nya, maka ketika Allah menyelamatkan mereka lalu sebahagian daripada mereka tetap berada di jalan yang lurus. Dan tiada yang mengingkari ayat-ayat Kami selain golongan yang tidak setia lagi ingkar
(Surah Luqman: 32)
Sesungguhnya permasalahan mengenai kewujudan Allah Subhanahuwata’ala adalah mudah, jelas, terang dan nyata. Kewujudan Allah Subhanahuwata’ala terbukti dengan dalil yang amat banyak dan pelbagai.
Rujukan:
1)Dr. Abdul Karim Zaidan, Usul Ad-Da'wah.
`Jika Allah SWT memberi hidayah kepada seorang lelaki lantaran anda, itu lebih baik bagimu daripada apa yang disinari matahari' HR At Tobrani
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
DAKWAH MELALUI TIKTOK DAN KESANNYA KEPADA REMAJA MUSLIM DI MALAYSIA
DAKWAH MELALUI TIKTOK DAN KESANNYA KEPADA REMAJA MUSLIM DI MALAYSIA Mohd Amirul Hafiz Ahmad, Solehuddin Shuib, Khairulazhar Samsudin...
-
Bismillahir rahmanirrahim, Salam, Dalam sessi kali ini saya ini berkongsi dgn sahabat-sahabat mengenai pengajaran yang boleh dipetik daripad...
-
TAJUK : KUPASAN AHLIYAH AL WUJUB( اهلية الوجوب ) DAN AHLIYAH AL ...
-
poster program Antara peserta yang ahli panel Backdrop program
No comments:
Post a Comment