Thursday, October 21, 2010

Bagaimana mengelakkan fitnah dalam organisasi? Siri 3

Assalamu'laikum wbth,

Sahabat/akhowat yang dirahmati Allah sekalian,

Di dalam realiti masyarakat kita hari ini, ramai yang mudah melenting apabila diberi teguran. Namun, bagi kita yang melalui proses tarbiah Islamiah, hati kita perlu diproses sentiasa agar dapat menerima teguran yang membina.

Saya ingin menyambung siri lalu berkaitan kaedah untuk mengelakkan fitnah dan ketidakharmonian di dalam organisasi. Penekanan kali ini ialah dalam saling nasihat menasihati.

3.Menerima dan meminta nasihat

Meminta nasihat dan menerimanya bila diberi. Ini adalah sebahagian dari keikhlasan niat di mana kita melakukannya kerana Allah SWT. Kita tidak merasa terhina bila dinasihati dan menerima kebenaran walau bertentangan dengan apa yang ada pada kita. Itu adalah sifat orang-orang beriman. Kerana itulah Rasulullah SAW bersabda:

“Al-hikmah itu adalah barang milik mukmin yang hilang. Di mana sahaja dia menjumpainya, dialah yang paling layak untuk mengambilnya semula.”

Apabila barang kita hilang, maka kitalah yang paling berhak untuk mengambilnya, bukan orang lain. Sama halnya dengan kebenaran, jika kita menjumpainya, kita mahukannya kerana ia milik kita. Meminta nasihat dan menerimanya sangat baik. Paling kurangnya, kita menerima nasihat. Jika kita pada posisi yang lebih baik, maka mintalah nasihat juga. Khalifah ‘Umar ibn ‘Abdul ‘Aziz telah berkata pada khadamnya:

“Orang-orang sebelum saya iaitu wazir-wazir negeri, biasa mengintip orang ramai. Namun saya memilih kamu menjadi pengintip atas diri saya sendiri. Jika kamu menemui saya mengata atau berbuat sesuatu yang tidak sepatutnya saya kata atau buat, maka peringatkan dan halangilah saya.”

Bahkan baginda sendiri meminta nasihat.

Pada hakikatnya, orang yang menasihati kita adalah sama ibaratnya dengan orang yang memberi kita hadiah. Sepertimana kata, Imam Asy-Syafi’e:

Semoga rahmat Allah dilimpahkan ke atas orang yang memberi hadiah kepadaku dengan menunjuki kesilapanku.”

Jika kesilapan kekal bersama kita, 1000 orang akan melihat kesilapan itu. Akan tetapi jika ada orang yang menegur kita, kesilapan itu akan hilang. Adalah satu kebaikan apabila terdapat orang yang memberitahu kita akan kesilapan yang ada. Ia dapat diperbaiki. Malah adalah lebih baik, jika kita sendiri meminta orang lain untuk mengingatkan diri kita.

Di antara perkara yang disebut oleh para rasul tentang kaum mereka yang dibinasakan ialah sikap mereka yang tidak mahu menerima nasihat. Nabi Syu’aib a.s ketika melihat tempat tinggal kaumnya yang telah Allah binasakan berkata:

“Aku telah menasihati kamu semua dan aku telah berusaha sebaik mungkin untuk menyampaikannya pada kamu. Tetapi kamu tidak suka mendengar nasihat.”

Itulah yang dikesali oleh baginda, iaitu sikap kaumnya yang tidak suka mendengar nasihat.

Seorang tabi’in, Bilal ibn Sa’ad telah berkata pada sahabatnya Abdur Rahman ibn Yazid:

“Aku telah mendengar hadith yang mengatakan seorang mukmin itu adalah cermin kepada saudaranya. Adakah kamu mendapati apa-apa kekurangan pada diriku?”

Seperti melihat menerusi cermin, anda dapat melihat diri anda sendiri. Menerusi saudara anda, anda dapat melihat kesilapan sendiri kerana dia akan memberitahunya. Tanpa peringatan dari sahabat kita, kesilapan akan bertambah dan apabila sudah banyak, adalah sungguh tidak baik pada kita sebagai mukmin dan da'i ilallah.


Bersambung insha Allah....

Friday, October 8, 2010

Faktor-faktor jiddiyah dalam kehidupan pendakwah siri 6

Assalamu'alaikum wbth,


Dalam kesempatan ini, saya ingin menyambung topik perbincangan kita yang berkaitan faktor yang boleh meningkatkan jiddiyah. Faktor keenam ialah: 6. Hubungan ahli dengan pemimpin organisasi jelas dan difahami oleh setiap ahli. Tugasan dan hak ahli serta pimpinan mestilah terperinci, jelas dan difahami oleh setiap ahli.

Dalam siri kali ini saya mengemukakan isi-isi penting hubungan ahli dengan kepimpinan organisasi yang dipetik daripada kitab Toriqud da’wah Bainal Qiyadah Wal Jundiyah karangan Al Marhum Sheikh Mustafa Mashyur. Menurut beliau,
1. Pemimpin harus pandai memilih orang yang baik dalam memegang tanggungjawab.
2. Tidak boleh bersikap pesimitis dan buruk sangka.
3. Pemimpin dapat bergaul rapat dengan anggotanya.
4. Memperbaiki pembagian tugas dan menentukan spesialisasi supaya tidak berlaku pertindihan.
5. Menentukan, mengatur dan memudahkan jalur komunikasi di setiap peringkat.
6. Berusaha sungguh – sungguh meningkatkan kualiti kepemimpinan dan latihan anggota
sesuai dengan bidang masing – masing.
7. Penting memberikan kebebasan kepada anggota untuk memilih sarana dan cara yang paling baik yang dapat membantu pelaksanaan tugasnya selagi mana tidak bercanggah dengan syara’.
8. Selalu membangkitkan semangat kerja sama yang penuh kejujuran dengan anggota.
9. Harus membiasakan diri bermusyawarah(SYURA) dengan para anggotanya.
10. Menentukan keputusan dan perintah yang hendak dilaksanakan.
11. Diadakannya pertemuan rutin dengan sesama pengurus untuk menyelaraskan gerakan.
12. Memperhatikan setiap rangkaian dan mata rantai dalam komunikasi, tidak overlapping.
13. Memperhatikan setiap anggota yang diberikan amanah dan cepat menegurnya jika melakukan kesalahan.
14. Perlu mendorong dan meningkatkan semangat anggota yang menjalankan amanahnya.
15. Semua anggota bekerja semata – mata karena ALLAH .
16. Memiliki pengetahuan lengkap tentang perjalanan gerakan, pelaksanaan dan aktivitas
yang dilakukan para pelaksana.
17. Memperhatikan kelurusan, keaslian dan kemantapan jalan da’wah serta menjauhi bentuk penyimpangan.
18. Memadukan antara generasi pertama dan generasi penerus dalam setiap kegiatan.
19. Memelihara tabiat gerakan da’wah dengan seluruh potensi yang ada.

Penutup

Semoga kita dapat hiasi diri kita dengan sifat-sifat ini.

Bersambung.... Tugasan dan hak ahli serta pimpinan akan dibincangkan dalam siri yang akan datang insha Allah

Rujukan:

http://www.scribd.com/doc/9432609/Al-Qiyadah-Wal-Jundiyah

Wednesday, October 6, 2010

Bagaimana mengelakkan fitnah dalam organisasi? Siri 2

Assalamu'laikum wbth,

Sahabat/akhowat yang dirahmati Allah sekalian,

Saya ingin menyambung siri lalu berkaitan kaedah untuk mengelakkan fitnah dan ketidakharmonian di dalam organisasi. Penekanan kali ini ialah dalam aspek membersihkan niat.


2. Mensucikan niat

Kita bersungguh-sungguh memperingatkan sahabat-sahabat kita agar memastikan segala kerja adalah untuk Allah SWT bukan untuk mengambil hati sesiapa sahaja walaupun kepimpinan organisasi. Kita tidak bekerja untuk seseorang tetapi kerana Allah SWT. Kita melapor terus kepada Penguasa Semesta Alam.

Sewaktu peperangan Yarmuk di mana umat Islam menentang Rom, Ketua Panglima Perang Khalid bin Al Walid r.a. telah mengucapkan kata-kata berikut:

“Hari ini adalah hari-hari Allah. Tidak seharusnya kita di sini berbangga-bangga dan berbuat derhaka. Ikhlaskanlah jihadmu dan harapkan redha Allah SWT dengan amalmu. Hari ini akan meninggalkan akibat yang besar kemudiannya.”

Suasana yang sedang kita hadapi tidak berbeza dengan suasana yang dihadapi oleh Khalid bin Al Walid r.a. Kita berdepan dengan semua kuasa-kuasa besar dan musuh-musuh mengatasi kita. Kita berada dalam keadaan yang serupa dengan di hari-hari yang akan meninggalkan akibat yang besar kelak. Sama ada kita menang atau mereka, dari itu kita perlu sentiasa ingat untuk memasang niat yang ikhlas kepada Allah SWT. Kita bekerja hanya sanya kepadaNya bukan kerana yang lain.

Imam Al Banna berkata:

“Ikhlas adalah asas kejayaan dan seluruh urusan adalah di tangan Allah SWT. Orang-orang Islam terdahulu tidak menang kecuali dengan kekuatan Iman, kebersihan roh dan keikhlasan hati mereka. Di atas aqidah dan kesungguhan mereka, segala yang mereka lakukan adalah demi Islam sehingga sebatilah aqidah dan diri mereka. Akhirnya mereka adalah fikrah dan fikrah adalah mereka.”



Satu lagi saranan Al Imam Hasan Al Banna:

“Jika ada di kalangan kamu sesiapa yang sakit jiwanya dan ada hajat-hajat tersembunyi, pisahkanlah dia dari kumpulan kamu kerana dia akan menjadi pendinding di antara kamu dan rahmat Allah, dan di antara kamu dan kemenangan.”

Terdapat seorang ‘ulama bernama Abu Bakr al Aqthali yang telah membentuk satu badan da’wah semasa zaman ‘Abbasiyyah, 500 selepas hijrah. Beliau telah meletakkan syarat pada pengikutnya di mana mereka hanya mendapat hasil dari kerja-kerja mereka sahaja. Yakni tidak boleh menerima apa-apa sedeqah atau hadiah. Telah diberitakan apabila yang mempunyai niat tidak ikhlas tetapi mahu berjuang bersamanya, orang itu akan disuruh pulang. Katanya:

“Jika sebuah tentera meminta pertolongan dari mereka yang tidak bersih, tentera itu tidak akan menang.”

Timbangkanlah hakikat ini bila anda memasukkan seorang yang tidak bersih niatnya ke dalam organisasi . Anda melemahkan organisasi bukan meneguhkannya walaupun bilangan ahli semakin bertambah.

Seorang tabi’in, Ar Rabi’ bin Qasim berkata:

“Apa sahaja yang kamu lakukan bukan untuk mencari keredhaan Allah, tidak akan berkembang.”

Inilah yang perlu sentiasa diingatkan bahawa amal yang bukan untuk Allah tidak akan berkembang malah akhirnya akan pupus.

Semoga kita dapat menjaga keikhlasan kita di atas amalan yang kita lakukan dahulu, sekarang dan akan datang insha Allah.

DAKWAH MELALUI TIKTOK DAN KESANNYA KEPADA REMAJA MUSLIM DI MALAYSIA

  DAKWAH MELALUI TIKTOK DAN KESANNYA KEPADA REMAJA MUSLIM DI MALAYSIA   Mohd Amirul Hafiz Ahmad, Solehuddin Shuib, Khairulazhar Samsudin...