Thursday, October 21, 2010

Bagaimana mengelakkan fitnah dalam organisasi? Siri 3

Assalamu'laikum wbth,

Sahabat/akhowat yang dirahmati Allah sekalian,

Di dalam realiti masyarakat kita hari ini, ramai yang mudah melenting apabila diberi teguran. Namun, bagi kita yang melalui proses tarbiah Islamiah, hati kita perlu diproses sentiasa agar dapat menerima teguran yang membina.

Saya ingin menyambung siri lalu berkaitan kaedah untuk mengelakkan fitnah dan ketidakharmonian di dalam organisasi. Penekanan kali ini ialah dalam saling nasihat menasihati.

3.Menerima dan meminta nasihat

Meminta nasihat dan menerimanya bila diberi. Ini adalah sebahagian dari keikhlasan niat di mana kita melakukannya kerana Allah SWT. Kita tidak merasa terhina bila dinasihati dan menerima kebenaran walau bertentangan dengan apa yang ada pada kita. Itu adalah sifat orang-orang beriman. Kerana itulah Rasulullah SAW bersabda:

“Al-hikmah itu adalah barang milik mukmin yang hilang. Di mana sahaja dia menjumpainya, dialah yang paling layak untuk mengambilnya semula.”

Apabila barang kita hilang, maka kitalah yang paling berhak untuk mengambilnya, bukan orang lain. Sama halnya dengan kebenaran, jika kita menjumpainya, kita mahukannya kerana ia milik kita. Meminta nasihat dan menerimanya sangat baik. Paling kurangnya, kita menerima nasihat. Jika kita pada posisi yang lebih baik, maka mintalah nasihat juga. Khalifah ‘Umar ibn ‘Abdul ‘Aziz telah berkata pada khadamnya:

“Orang-orang sebelum saya iaitu wazir-wazir negeri, biasa mengintip orang ramai. Namun saya memilih kamu menjadi pengintip atas diri saya sendiri. Jika kamu menemui saya mengata atau berbuat sesuatu yang tidak sepatutnya saya kata atau buat, maka peringatkan dan halangilah saya.”

Bahkan baginda sendiri meminta nasihat.

Pada hakikatnya, orang yang menasihati kita adalah sama ibaratnya dengan orang yang memberi kita hadiah. Sepertimana kata, Imam Asy-Syafi’e:

Semoga rahmat Allah dilimpahkan ke atas orang yang memberi hadiah kepadaku dengan menunjuki kesilapanku.”

Jika kesilapan kekal bersama kita, 1000 orang akan melihat kesilapan itu. Akan tetapi jika ada orang yang menegur kita, kesilapan itu akan hilang. Adalah satu kebaikan apabila terdapat orang yang memberitahu kita akan kesilapan yang ada. Ia dapat diperbaiki. Malah adalah lebih baik, jika kita sendiri meminta orang lain untuk mengingatkan diri kita.

Di antara perkara yang disebut oleh para rasul tentang kaum mereka yang dibinasakan ialah sikap mereka yang tidak mahu menerima nasihat. Nabi Syu’aib a.s ketika melihat tempat tinggal kaumnya yang telah Allah binasakan berkata:

“Aku telah menasihati kamu semua dan aku telah berusaha sebaik mungkin untuk menyampaikannya pada kamu. Tetapi kamu tidak suka mendengar nasihat.”

Itulah yang dikesali oleh baginda, iaitu sikap kaumnya yang tidak suka mendengar nasihat.

Seorang tabi’in, Bilal ibn Sa’ad telah berkata pada sahabatnya Abdur Rahman ibn Yazid:

“Aku telah mendengar hadith yang mengatakan seorang mukmin itu adalah cermin kepada saudaranya. Adakah kamu mendapati apa-apa kekurangan pada diriku?”

Seperti melihat menerusi cermin, anda dapat melihat diri anda sendiri. Menerusi saudara anda, anda dapat melihat kesilapan sendiri kerana dia akan memberitahunya. Tanpa peringatan dari sahabat kita, kesilapan akan bertambah dan apabila sudah banyak, adalah sungguh tidak baik pada kita sebagai mukmin dan da'i ilallah.


Bersambung insha Allah....

No comments:

DAKWAH MELALUI TIKTOK DAN KESANNYA KEPADA REMAJA MUSLIM DI MALAYSIA

  DAKWAH MELALUI TIKTOK DAN KESANNYA KEPADA REMAJA MUSLIM DI MALAYSIA   Mohd Amirul Hafiz Ahmad, Solehuddin Shuib, Khairulazhar Samsudin...