Sunday, December 25, 2011

Islam Syumul siri 3

Fikrah kita ialah fikrah Islam atau Din Islam. Din Islam ialah Din terawal dan kekal abadi. Din Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW, para sahabat RA dan pengikut-pengikut mereka hinggalah ke Hari Akhirat kelak. Din Islam ialah satu peraturan hidup yang luas, lengkap dan merangkumi semua ruang hidup.

Kita tidak boleh menambah dan mengurangkan pada mana-mana bahagian ajaran Allah SWT. Di dalam apa hal sekali pun, kita tidak boleh mendahului Islam. Kita adalah pengikut ajaran Allah SWT. Pengikut hendaklah berada di belakang.

Kita perlu menyesuaikan diri dengan Islam

Kita mestilah membentuk jiwa supaya serasi dengan ajaran Allah SWT. Jiwa dan hati hendaklah diperoses dengan Iman hingga sanggup patuh dan tunduk kepada semua ajaran Allah SWT. Kita wajib memahami Islam sebagaimana yang dikehendaki Allah SWT. Kita wajib memahami Islam sebagaimana yang difahami oleh para sahabat yang menerima Islam di Madrasah Rasulullah SAW. Kita tidak boleh memahami Islam sebagaimana yang manusia atau sebagaimana yang kita sendiri mahu. Kita perlu memahami Islam sebagaimana tuntutan dan kehendak Allah SWT. Kita tidak menurut hawa nafsu kita dalam memahami Islam. Kita mahukan Islam yang asli. Kita tidak mencampuradukkan ajaran Islam dengan ajaran yang lain. Kita perlu bersungguh-sungguh memahami Tasawwur Islam.

Islam sahaja yang benar

Islam sahajalah yang mampu menolak kekeliruan-kekeliruan yang terdapat pada sesetengah menusia. Kita tidak mudah terpengaruh dengan “nama-nama” yang elok sedangkan isinya kosong. Sesungguhnya orang mu’min itu cerdik, bijak serta pintar dan ia tidak mudah untuk ditipu dengan nama-nama sahaja. Kita perlu ketengahkan fikrah Islam. Kita perlu sebarkan fikrah Islam kepada orang ramai dengan jelas dan terang. Kita tidak boleh menghilangkan walau pun satu huruf daripada fikrah Islam yang sebenar. Untuk mendapatkan dan menyampaikan Islam sebenar, kita perlu mengambil Islam itu dari sumber-sumber yang sah iaitu al-Quran,as-Sunnah Rasulullah SAW dan huraian-huraian ulama’-ulama’ muktabar. Sumber kita adalah sumber syar’i.

Seluruh bidang hidup kita perlu berpandukan Din Allah SWT. Din Islam sahajalah yang diredhai Allah SWT. Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya Din yang diredhai di sisi Allah hanya al-Islam.”
Surah Ali-’Imran: ayat 19

“Sesiapa yang mencari selain daripada Islam sebagai Din, maka sama sekali tidak diterima daripadanya, di akhirat kelak termasuk ke dalam golongan orang yang rugi.” Surah Ali ‘Imran: ayat 85

Apabila Allah SWT tidak menerima orang yang mengambil Din yang lain, maka di akhirat kelak dia termasuk ke dalam golongan orang yang rugi. Amat rugi. Kerugian dari “kaca mata” Allah SWT. Kerugian mengikut nilai Rabb al-Jalil bukan mengikut nilai manusia. Allah SWT juga telah memberikan kata dua kepada manusia samada memilih Islam atau kekufuran. Firman Allah SWT:

“Dan katalah al-Haq itu datangnya dari Tuhanmu, maka barang siapa yang ingin beriman maka hendaklah ia beriman dan barang siapa yang ingin kafir hendaklah ia kafir. Sesungguhnya Kami telah sediakan bagi orang- orang kafir itu neraka yang bergejolak mengepung mereka. Dan jika mereka meminta minum, nescaya mereka akan diberi minum air seperti besi mendidih (cair) yang menghanguskan muka. Itulah minuman yang paling buruk dan tempat istirahat yang paling jelek.” Surah al-Kahfi: ayat 29

Kita perlu iltizam dengan ajaran Islam dan kita persaksikan Islam dalam bentuk kehidupan. Di waktu yang sama kita wajib mempertahankan Islam. Mempertahankan kefahaman Islam sebenar.
Kita perlu sedar bahawa ilmu semata-mata tidak dapat membentuk manusia agar benar-benar bertanggungjawab kepada Islam. Hari ini ramai orang mempunyai ilmu Islam tetapi Islam tidak dapat dilihat dalam praktik hidup mereka. Mereka sebenarnya masih belum beriman kepada Allah SWT dengan sebenar-benar Iman. Apabila seseorang itu tidak patuh kepada Allah SWT dalam semua bidang hidup, maka bermakna imannya masih lemah.

Oleh yang demikian ilmu Islam perlu ditarbiyyah dengan Tarbiyyah Imaniyyah hingga lahir kesedaran dan kefahaman yang mendalam. Kita perlu diproses hingga kita menerima apa sahaja yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Dengan melalui proses ini, hati kita akan merasa betul dan tepat dengan tuntutan ajaran Allah SWT.

Berpuas hati hanya dengan Islam


Kita perlu terus menerus mengikut ajaran Islam tanpa berdolak dalih lagi. Islam perlu kita hayati hingga kita merasa nikmat dengannya. Hingga, apabila tidak mengamalkan Islam, kita merasakan tidak senang dan gelisah. Perasaan tidak puas hati dengan Islam telah disumpah oleh Allah SWT di dalam Firman-Nya:

“Maka demi Tuhanmu, mereka pada hakikatnya tidak beriman sehingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa di dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap keputusan yang kamu berikan dan mereka menerima sepenuhnya.” Surah an-Nisa’: ayat 65

Ayat ini menjelaskan bahawa kita tidak dapat dikatakan benar-benar beriman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya sehinggalah kita kembali kepada ajaran Rasulullah SAW dalam semua urusan, sekaligus kita redha pula kepada segala keputusan yang telah diputuskan oleh Rasulullah SAW.

Kepatuhan yang berterusan

Kepatuhan kita kepada ajaran Rasulullah SAW, bukanlah sekadar di dalam program-program rasmi sahaja. Jika kepatuhan kita sedemikian, bermakna Islam itu belum lagi lahir dalam bentuk malakah (sebati) pada diri dan dalam jiwa kita.
Kita memerlukan pendidikan Islam secara berterusan agar Islam menjadi sebati dengan kita. Kita perlu dididik hingga Iman itu lahir dalam bentuk tindakan. Kita perlu dididik hingga kita berbuat sesuatu kerana Islam. Hidup dan mati untuk Islam. Barulah lahir ‘Ubudiyyah Lillahi Wahdah.

Sekiranya kita tidak dididik kemungkinan kita lakukan sesuatu bukan untuk Islam atau kerana yang lain daripada Allah SWT. Apabila melakukan sesuatu tidak kerana Allah maka Allah tidak akan menerima amalan tersebut.

Hanya untuk Allah

Apabila kita melakukan sesuatu kerja Islam, kita perlu benar-benar mencari keredhaan Allah SWT, tanpa mengambil kira keuntungan duniawi. Kita tidak memerlukan dorongan-dorongan lain untuk melakukan kerja-kerja Islam. Kita hanya mengharap janji-janji Allah SWT. Sesiapa yang lebih melakukan amal Islami dengan ikhlas maka dialah yang lebih mendapat pahala. Bagi mereka yang hidup hanya mencari keredhaan Allah SWT, apa yang ada di sisi mereka seperti harta, tenaga dan jiwa adalah untuk Allah SWT semata-mata .

Dengan aqidah yang bersih dan amal yang ikhlas, kita akan menjadi Jund ‘Aqidah Wa Fikrah. Pahlawan yang benar-benar mempunyai sifat Jundiyyah (perajurit) yang dibina atas dasar Islam. Dengan penyerahan total kepada Allah SWT, barulah kita boleh melahirkan tentera aqidah dan fikrah. Tentera yang menerima arahan daripada kepimpinan dalam rangka melaksanakan apa yang dituntut oleh Allah SWT. Tentera yang bekerja kerana Allah SWT bukan kerana yang lain. Sayyidina Khalid Ibn al-Walid telah memberikan contoh kita. Ketika dia digantikan oleh Sayyidina U’mar dengan ‘Ubaidah al-Jarrah sebagai panglima tinggi tentera Islam, dia tidak sedikit pun menunjukkan rasa kecewa. Katanya, “Aku berperang kerana Allah SWT bukan kerana ‘Umar”. Khalid berjuang kerana Allah SWT bukan kerana pangkat. Sememangnya kita perlu dilatih untuk mencapai tahap sedemikian. Firman Allah SWT:

“Katakanlah: Sesungguhnya solahku, ibadahku, hidupku dan matiku untuk Allah, Tuhan sekelian alam. Tiada sekutu bagiNya dan demikian itu diperintahkan bagiku dan akulah yang pertama-tama menyerah diri kepada Allah.” Surah al-An’am: ayat 162-163.

Melaksanakan Islam keseluruhannya

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Bertaqwalah kamu kepada Allah di mana sahaja kamu berada.”

Hadith ini memberi maksud bahawa kita perlu bertaqwa kepada Allah SWT kerana Islam itu telah sempurna. Kita wajib iltizam kepada Islam secara keseluruhan. Kita tidak boleh mengambil Islam sebahagian dan meninggalkan sebahagian yang lain. Kita perlu mengambil Islam keseluruhan dan melaksanakannya dalam batas kemampuan yang kita miliki. Sememangnya kita ingin melaksanakan keseluruhan Islam, tetapi ketiadaan Daulah pada hari ini menyebabkan kemampuan kita sangat terbatas dan tidak terbela. Kita hanya dapat melaksanakan mengikut kadar kekuatan Ummah ketika ini.

Dari segi tanggungjawab, sememangnya tanggungjawab kita berbeza bentuk dan kadarnya. Orang yang telah berkahwin, kadar tanggungjawabnya lebih daripada orang yang belum berkahwin. Begitu juga dalam hal-hal lain. Kita perlu melaksanakan tanggungjawab kita sedaya yang mungkin. Dengan cara ini, InsyaAllah kita akan berada di dalam golongan orang-orang yang beriman dan beramal saleh.


“Seiapa yang melihat kemungkaran hendaklah ia mengubahkan dengan tangannya, sekiranya ia tidak mampu maka hendaklah ia mengubahkan dengan lisannya, sekiranya ia tidak mampu hendaklah ia mengubahkan dengan hatinya, yang demikian itu adalah selemah-lemah Iman.”

Kebanyakan manusia hari ini telah membeli kehidupan dunia dan menolak akhirat. Mereka menolak ajaran Islam yang syumul. Mereka mengasing dan mengenepikan Islam dalam realiti kehidupan seharian. Islam ‘terkurung’ di dalam masjid. Islam hanya boleh diambil dari segi solah, puasa, zakat dan haji sahaja. Undang-undang Syari’ah tidak boleh diambil kerana tidak bersesuaian dengan tuntutan dan kehendak masyarakat semasa. Firman Allah SWT:

“Wahai orang-orang yang beriman masuklah kamu ke dalam Islam sepenuhnya dan janganlah kamu menuruti langkah-langkah syaitan. Sesunguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.”-Surah al-Baqarah: ayat 208.

Ayat di atas menyeru kita agar menerima Islam keseluruhannya.


Kita hanya berusaha dan bertawakkal

Generasi Al Qur’an pertama, iaitu para sahabat RA, ada antara mereka yang belum sempat melihat natijah Islam tetapi telah sanggup disiksa dan dibunuh. Mereka sanggup berkorban apa sahaja demi menegakkan Islam dan mewujudkan masyarakat yang menepati kehendak Allah SWT. Mereka bersabar dalam melaksanakan tuntutan aqidah. Apabila keluarga Yasir telah disiksa maka Rasulullah SAW yang melalui tempat dia disiksa berkata,

“Bersabarlah wahai keluarga Yasir, sesungguhnya tempat kembali kamu adalah Jannah.”

Yang paling baik bagi kita ialah terus berusaha, bekerja dan berkorban untuk mengajak masyarakat kembali kepada al-Islam. Kita berdoa kepada Allah SWT agar kita digolongkan di dalam Kafilah Da’wah atau Kafilah Mujahidin. Sekiranya kita tidak mahu melakukan kerja-kerja ini maka bermakna kita menolak kurniaan Allah SWT. Balasan yang baik hanyalah ketentuanNya. Kita perlu sentiasa berdo’a agar kita sentiasa berada dalam rahmat dan redha-Nya.

No comments:

`Jika Allah SWT memberi hidayah kepada seorang lelaki lantaran anda, itu lebih baik bagimu daripada apa yang disinari matahari' HR At Tobrani