Solehuddin Shuib, Faisal @ Ahmad
Faisal Abd Hamid1
Departmen Sejarah Islam & Tamaddun
Akademi Pengajian Islam, Universiti
Malaya,
50603 Kuala Lumpur, Malaysia
1Emel: faisal@um.edu.my
ABSTRAK
Akhlak terpuji
menduduki tempat yang penting dan dominan dalam Islam. Di era digital ini,
akhlak berkomunikasi telah dilupai secara sedar ataupun tidak sedar. Isu maki
hamun tidak terkawal, buli siber, menyebar berita tidak benar dan perang aliran
fikrah menjadi amat serius di alam maya. Justeru itu tulisan ini mengupas
cabaran komunikasi digital, pandangan Islam dalam isu ikhtilaf di media
sosial, dan seterusnya diberikan penyelesaian adab berkomunikasi dalam Islam apabila
berlaku berbeda pendapat(ikhtilaf).
Hasilan kajian ini diharapkan dapat
memberikan sedikit panduan bagi mengelakkan berlakunya perpecahan dalam
kalangan umat Islam di negara yang tercinta ini.
Kata kunci:
Akhlak terpuji ; Ikhtilaf; Media sosial
PENGENALAN
Akhlak
menduduki tempat yang sangat penting dan dominan dalam Islam.[1] Maju mundurnya sesebuah
negara itu bergantung kepada maju mundurnya akhlak rakyatnya. Semakin tinggi akhlak pemimpin dan juga
rakyatnya, ini akan membawa negara tersebut ke sat utahap yang tinggi. Penilaian mengenai akhlak ini amat luas. Ianya ada yang bersifat universal dan ada
yang bersifat khusus. Jika dalam konteks
kita, ia merujuk kepada akhlak Islamiyah.
Di dalam tulisan ini akan
dihuraikan berkaitan definisi akhlak, definisi akhlak terpuji, perselisihan
pendapat(ikhtilaf), dan revolusi industri 4.0.
Seterusnya dijelaskan mengenai objektif kajian bagi projek ini.
DEFINISI
AKHLAK DAN AKHLAK TERPUJI
Akhlak dari segi bahasa bererti
tabiat atau tingkah laku. Menurut Al
Ghazali, akhlak merupakan suatu keadaan yang sebati di dalam diri serta
melahirkan tingkah laku secara spontan tanpa perlu merenung dan berfikir[2] Dengan ini kita boleh
takrifkan akhlak sebagai beberapa nilai atau sifat yang sebati di dalam diri
dan menjadi neraca atau kayu ukur bagi manusia melihat baik atau buruk sesuatu
perbuatan seterusnya menentukan sama ada mahu melakukannya atau sebaliknya.[3] Akhlak terpuji bukanlah
sekadar pengetahuan terhadap perbuatan-perbuatan baik dan elok. Ini kerana ilmu pengetahuan banyak membincangkannya,
tetapi tidak ada kemampuan dalam melakukannya.[4] Akhlak terpuji juga juga
bukan sekadar kemampuan untuk melakukan perbuatan-perbuatan baik
dan elok. Ini kerana kadang-kadang kemampuan ada, namun
perbuatan itu tidak dilakukan. [5]
Akan tetapi akhlak terpuji itu
ialah situasi yang mempersiapkan jiwa untuk melahirkan perbuatan-perbuatan yang
baik. Lantaran itulah, ia boleh
diungkapkan sebagai situasi dan gambaran kejiwaan yang elok dan berbentuk
dalaman.[6]
PERSELISIHAN
PENDAPAT(IKHTILAF)
Perbezaan
(ikhtilaf) menurut bahasa ialah tidak ada kesepakatan terhadap sesuatu.[7] Ikhtilaf dari segi istilah menurut
pada fuqaha itu iktilaf dalam pendapat, agama, dan akidah yang
menjadikan manusia bahagia atau celaka di dunia dan di akhirat.[8]
REVOLUSI
INDUSTRI 4.0
Revolusi Industri 4.0 adalah
penemuan pelbagai teknologi baharu yang menggunakan automasi, analisis dan big
data, simulasi, integrasi sistem, penggunaan robotik, cloud, Internet of Things
(IoT), dan yang seumpamanya. [9]
Setelah dijelaskan definisi
berkaitan akhlak, akhlak terpuji, ikhtilaf dan revolusi industri 4.0 berikut dijelaskan
mengenai objektif kerja kerja kajian dari segi cabaran, pandangan Islam dan cara
penyelesaiannya.
OBJEKTIF KERTAS KERJA
1.
Menjelaskan
permasalahan dalam komunikasi digital.
2.
Menjelaskan
pandangan Islam berkaitan isu berkaitan.
3.
Memberi
penyelesaian akhlak Islam dari segi
tatacara berbeza pendapat dalam komunikasi digital.
CABARAN SEMASA DALAM KOMUNIKASI DIGITAL
Realiti
semasa berada dalam keadaan yang membimbangkan semua pihak dalam komunikasi
digital. Ianya amat banyak sekali. Akan tetapi perkara yang ingin dikongsikan di
sini hanya cebisan sahaja dari masalah yang baik. Skop perbincangan ini hanya melihat cabaran
dalam aspek dunia langit terbuka, budaya netizen yang terlebih reaksi dalam sesuatu
isu, buli siber, tidak tabayyun berita, menjadi penyebar berita tidak
pasti, dan perdebatan segelintir agamawan terkenal yang melampau di media
sosial.
DUNIA LANGIT TERBUKA, DUNIA TANPA SEMPADAN
Dunia
tanpa sempadan merujuk kepada dunia siber atau internet. Yang mana ia merentasi seluruh dunia. Maklumat di hujung jari dan tanpa
tapisan. Jumlah pengguna Internet di negara
ini menunjukkan peningkatan kepada 25.08 juta pengguna, mewakili 79 peratus
penduduk Malaysia. Daripada jumlah
berkenaan 75 peratus menggunakan perkhidmatan media sosial dan memperuntukkan
purata tiga jam sehari di laman media sosial.
Kajian terbabit adalah sebahagian daripada hasil Laporan Digital 2018
yang dikeluarkan Hootsuit dan We Are Social. Laporan berkenaan turut mendedahkan
jumlah pengguna Internet meningkat sembilan peratus berbanding tahun lalu,
menjadikan Malaysia sebagai negara ke-9 dunia paling aktif di laman sosial.[11]
BUDAYA NETIZEN YANG OVER RESPON DALAM SESUATU ISU
Budaya
maki hamun di alam maya kini seolah-olah menjadi trend di Malaysia. Mari kita
merenung kembali situasi budaya maki hamun di media sosial ini bermula. Dalam
Oxford Global Disinformation Report 2020 melaporkan bahawa Malaysia antara
negara tertinggi di dunia yang mempunyai akaun palsu di media sosial. Apakah
tujuan akaun palsu ini diaktifkan? Tujuannya adalah untuk menyerang sasaran mereka.
BULI SIBER
Malaysia
berada di tangga ke-6 tertinggi di dunia dan ke-2 di Asia dalam masalah buli
siber. Bagaimanakah Malaysia yang pernah diklasifikasikan oleh Pusat Kajian Pew
di Amerika sebagai salah sebuah negara paling konservatif dari segi moral boleh
terjebak dengan buli siber ini? Apakah
faktor terjadi demikian? Adakah kerana
ketidakpuashatian? Adakah kerana
kurangnya didikan agama? Adakah kerana kurangnya didikan keluarga?[14]
Dalam
sisi yang lain pula, perbuatan buli siber ini merupakan perbuatan berulang
dengan tujuan untuk menakutkan, mendatangkan kemarahan dan memalukan seseorang
menggunakan kemudahan komunikasi manggunakan teknologi
seperti teks,
chatting, emel, laman web sosial, telefon bimbit dan permainan internet. Buli siber ini amat dibimbangi kerana ianya
berterusan, kekal dan sukar dikenalpasti. Kesan buli siber kepda mangsa dapat
dibahagikan kepada kesan emosi, fizikal dan mental. Buli siber ini adalah salah di sisi
undang-undang negara.[15]
TIDAK TABAYYUN DALAM MENERIMA BERITA/MAKLUMAN
Kehidupan
bermasyarakat pada hari ini tidak lekang daripada membincangkan isu-isu semasa
sebagai bahan gosip dan hujah dalam mengadu domba di antara manusia.
DEFINISI TABAYYUN
Tabayyun merupakan perkataan yang berasal
daripada bahasa Arab yang bermaksud mentsabitkan dan menyemak asas
kebenarannya. Berita atau sebarang maklumat yang diterima seharusnya diteliti
dan dipastikan terlebih dahulu kebenarannya dan ketepatan informasi bagi
mengelakkan sebarang agenda atau perkara yang tidak baik berlaku seperti
fitnah, menipu dan memburukkan seseorang yang lain berlandaskan hawa nafsu dan
sifat kebencian.
PENYEBARAN BERITA YANG TIDAK BENAR/PASTI
Ketua
Pegawai Operasi MCMC, Datuk Dr. Mazlan Ismail menegaskan, penerapan budaya
sedemikian adalah perlu memandangkan masih ada dalam kalangan masyarakat ketika
ini yang cenderung untuk berkongsi apa sahaja maklumat yang diterima tanpa
membuat tapisan terlebih dahulu. Menurut beliau, sikap tersebut jika dibiarkan
berterusan adalah berbahaya dan boleh memberi impak yang cukup buruk bukan
sahaja kepada individu, reputasi sesebuah organisasi bahkan juga kepada
kesejahteraan negara, seandainya tidak ditangani secara berhemah.
KELOMPOK
AGAMAWAN DARI ALIRAN BERBEZA BERPERANG DI ALAM MAYA
Isu
berbeza pendapat dair aliran isi semakin panas dan tidak kunjung padam. Saban hari ada sahaja isu-isu yang timbul dan
ini menimbulkan keresahan dalam kalangan netizen. Adalah tidak salah untuk berbahas secara
ilmiah, akan tetapi wujud dari kelompok yang taksub menyebabkan keadaan menjadi
amat parah.
Setelah
dijelaskan objektif yang pertama, seterusnya akan dibincangkan objektif yang
kedua kajian iaitu menjelaskan apakah pandangan Islam dalam menangani
permasalahan tadi.
PANDANGAN ISLAM BERKAITAN ISU BERKAITAN
Skop perbincangan berkaitan pandangan Islam dalam
isu ini akan meliputi aspek akhlak Islam secara umum, asas-asas akhlak Islam, kesyumulan
akhlak Islam, hubungan akhlak dengan iman dan taqwa, contoh huraian akhlak di
dalam al Quran, dan contoh akhlak dalam sunnah Nabi SAW.
Akhlak yang mulia adalah matlamat utama bagi ajaran
Islam. Ini telah dinyatakan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dalam hadisnya
yang bermaksud:[19]
Ertinya:
“Sesungguhnya
aku diutuskan hanyalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia”.
Dalam
Islam, akhlak adalah merupakan intipati bagi segala ibadah. Tanpa akhlak ibadah
hanyalah merupakan adat resam dan gerak laku yang tidak mempunyai nilai dan
faedah.[20]
ASAS-ASAS AKHLAK ISLAM
Pembentukan akhlak Islam mestilah
ditegakkan di atas empat asas utama seperti yang difahamkan dari al Quran al
Karim dan as Sunnah Rasulullah SAW.
Asas-asas berkenaan ialah: Iman, Islam, taqwa dan ihsan. Tanpa wujud
keempat-empat asas ini pada individu Muslim maka belum lagi kita dapat
diakui ianya benar-benar berakhlak
Islam. Keempat-empat asas tersebut mesti
diproses dan ditingkatkan mengikut keutamaan masing-masing.
KESYUMULAN AKHLAK ISLAM
Salah satu
ciri khusus sistem akhlak Islam ialah syumul dan lengkap. Syumul di sini
bermaksud akhlak Islam itu luas bidangnya dan meliputi semua aspek perbuatan
manusia, baik yang mengenai diri individu mahupun mengenai orang lain, baik
mengenai hubungan individu, masyarakat mahupun negara. Tidak ada suatu pun
perbuatan manusia yang terkeluar dari peraturan akhlak Islam. Setiap muslim
diwajibkan memelihara akhlak Islam.
HUBUNGAN AKHLAK DENGAN
IMAN DAN TAQWA
Akhlak
dalam Islam mempunyai hubungan yang erat dengan iman dan takwa kepada Allah
Subhanahu Wata’ala. Allah Subhanahu Wata’ala berfirman:
“Maka terhadap mereka itu penuhilah
janjinya sampai batas waktunya, sesungguhnya Allah Subhanahu Wata’ala menyukai
orang-orang yang bertaqwa.”
(At-Taubah : 4)
Menunaikan
janji adalah tanda iman dan takwa kepada Allah Subhanahu Wata’ala , juga
merupakan perbuatan yang disenangi oleh Allah Subhanahu Wata’ala. Dalam sebuah
hadis diterangkan (yang bermaksud):
“Tidak sempurna iman bagi mereka yang
tidak bersifat amanah dan tidak sempurna agama bagi mereka yang tidak menepati
janji.
(Al
Hadis)
Akhlak
yang mulia merupakan buah iman. Akhlak yang utama ialah bersifat amanah dan
menepati janji. Siapa yang telah hilang sifat amanah dan tidak menepati janji
menandakan lemahnya iman dan jauh dari takwa yang sebenarnya.
Dalam
hadis yang lain diterangkan (yang bermaksud):
“Demi Allah tidak
sempurna keimanan, tidak sempurna keimanan, tidak sempurna keimanan’. Ditanya
orang: ‘Siapa wahai Rasulullah?’ Rasulullah menjawab: ‘Mereka yang tidak
mengamankan jiran tetangganya dari kesusahannya”.
(Al-Hadis)
Hadis
di atas menerangkan bahawa akhlak yang buruk itu bertentangan dengan iman dan
tidak akan dapat bertemu antara iman dengan akhlak yang keji.
Akhlak
dalam Islam mempunyai hubungan yang erat dengan iman dan takwa kepada Allah.
Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman:
CONTOH HURAIAN AKHLAK DI
DALAM AL QURAN KARIM
Antara contoh akhlak di dalam al
Quran antaranya ialah tidak bercakap sesuatu yang tidak diketahui, Tidak
berjalan dengan mendadik dada seperti yang dilakukan oleh orang yang sombong,
Bersikap adil dalam apa jua keadaan dan kepada semua manusia walaupun kepada
orang kafir, bekerjasama dalam apa jua kebaikan dan ketaqwaan, jujur,
berbohong, Takbur, ujub, bakhil riya’ dan sifat-sifat yang keji, dan tidak hasad dengki,
1)
Tidak bercakap sesuatu yang tidak
diketahui
Ertinya:
“Dan
janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya,
sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan
dipertanggungjawabkan (diperiksa).”
Al Israk: 36
2)
Tidak berjalan dengan mendadik dada
seperti yang dilakukan oleh orang yang sombong
Ertinya:
“Dan janganlah kamu
berjalan di muka bumi ini dengan sombong, Karena sesungguhnya kamu sekali-kali
tidak dapat menembus bumi dan sekali-kali kamu tidak akan sampai setinggi
gunung.
Al Israk: 37
3)
Bersikap adil dalam apa jua keadaan dan
kepada semua manusia walaupun kepada orang kafir .
Ertinya:
“Dan
apabila kamu berkata, maka hendaklah kamu berlaku adil, meskipun ia adalah
kerabat(mu), dan penuhilah janji Allah, yang demikian itu diperintahkan Allah
kepadamu agar kamu ingat.”
Al An’am :152
4)
Bekerjasama dalam apa jua kebaikan
dan ketaqwaan.
Ertinya:
“Tolong-menolonglah
kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam
berbuat dosa dan pelanggaran. dan bertakwalah kamu kepada Allah.”
Al Maidah : 2
5)
Jujur
Ertinya:
“Hai orang-orang yang beriman bertakwalah
kepada Allah, dan hendaklah kamu bersama orang-orang yang benar.”
at Taubah 119
6)
Berbohong
Ertinya:
“Sesungguhnya Allah tidak menunjuki orang-orang yang melampaui batas
lagi pendusta.”
Ghaffir 28
7) Takbur,
ujub, bakhil riya’ dan sifat-sifat yang keji
Ertinya:
“Dan janganlah
kamu memalingkan mukamu dari manusia (karena sombong) dan janganlah kamu
berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai
orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri.”
Luqman 18
8)
Tidak hasad dengki
Ertinya:
“Dan
orang-orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Anshar), mereka berdoa:
"Ya Rabb kami, beri ampunlah kami dan saudara-saudara kami yang telah
beriman terlebih duhulu daripada kami, dan janganlah Engkau membiarkan
kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman, ya Rabb kami,
sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang."
al Hasyr 10
Ertinya:
“Dan hamba-hamba Yang Maha Penyayang itu (ialah) orang-orang yang
berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa
mereka, mereka mengucapkan kata-kata (yang mengandung) keselamatan. Dan orang
yang melalui malam hari dengan bersujud dan berdiri untuk Rabb mereka. Dan
orang-orang yang berkata: "Ya Rabb kami, jauhkan azab jahannam dari kami,
sesungguhnya azabnya itu adalah kebinasaan yang kekal". Sesungguhnya jahannam itu seburuk-buruk
tempat menetap dan tempat kediaman.”
(Al-Furqan : 63-66)
CONTOH AKHLAK DALAM
SUNNAH NABI SAW
Antara contoh akhlak dalam
sunnah Nabi Muhammad SAW pula ialah meliputi tidak pemarah, malu, tidak
melanggar hak seorang muslim, tidak munafik, bersifat kasih sayang, tidak
riya’, tidak bertengkar dan berdebat, mengawal lidah, tidak ‘ujub, meninggalkan
kata-kata tidka berfaedah, benar dan tidak dusta, menurut kebaikan, hadzar, dan
kasih sayang dan bantu membantu. Berikut adalah huraian dan dalil-dali
berkaitan.
1) Tidak bersifat pemarah. Seorang lelaki
bertanya kepada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam (yang bermaksud),
“Wahai Rasulullah, berikanlah wasiat kepadaku.” Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam menjawab, “Janganlah kamu marah.”
2) Bersifat malu. Dalam beberapa buah hadis
diterangkan (yang bermaksud):
“Sesungguhnya semua agama itu mempunyai akhlak dan akhlak
Islam itu ialah pemalu.”
3) Tidak melanggar hak seorang muslim.
Rasulullah
Sallallahu’alaihiwasallam bersabda (yang bermaksud):
“Janganlah
kamu berlaku berhasad (dengki), suka mengintip-intip kawan, suka marah
memarahi, berkelahi, berlaku durhaka sebagian kamu atas sebagian yang lain,
jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara. Seorang muslim adalah saudara dengan
seorang muslim yang lain, janganlah dia menzalimi, merendah dan menghina
saudaranya, dan taqwa itu di sini (sambil menunjuk dadanya tiga kali).
Termasuklah dalam kejahatan apabila dia menghina saudaranya yang muslim.
Seorang muslim mempunyai hak atas
saudara Muslim yang lain, diharamkan darahnya, harta dan kehormatannya.”
4) Tidak bersifat munafik.
Rasulullah
Sallallahu’alaihiwasallam bersabda (yang bermaksud):
“Tanda
orang yang munafik itu ada tiga, apabila berbicara maka ia berdusta, apabila
berjanji maka ia tidak menepati janji dan apabila diberi amanat maka ia
berkhianat.”
5) Bersifat malu dan berhati-hati.
Rasulullah
Sallallahu’alaihiwasallam berkata kepada As-Yad bin Abdil Qais (yang
bermaksud):
“Sesungguhnya ada dua sifat yang ada padamu, yang akan
dikasihi (disenangi) oleh Allah, iaitu pemalu dan berhati-hati.”
6) Bersifat kasih sayang.
Rasulullah
Sallallahu’alaihiwasallam bersabda (yang bermaksud):
“Sesungguhnya
Allah bersifat kasih sayang, mengasihi sifat kasih sayang dalam semua perkara.”
7) Tidak bersifat riya’ dan sum’ah.
Rasulullah
Sallallahu’alaihiwasallam ditanya tentang seorang lelaki yang berpegang kerana
berani, berperang kerana membela diri dan berperang kerana riya’ (mengharap
pujian orang), siapakah di antara mereka yang benar-benar berperang di jalan
Allah?. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda (yang bermaksud):
“Barangsiapa
berperang demi untuk meninggikan agama Allah, sesungguhnya dia telah berperang
di jalan Allah.”
8) Tidak bertengkar dan berdebat.
Rasulullah
Sallallahu’alaihiwasallam bersabda (yang bermaksud):
“Barangsiapa
meninggalkan pertengkaran sedang dia berada dalam kebenaran, maka dibangun
baginya sebuah rumah yang tinggi di dalam syurga. Dan barangsiapa meninggalkan
pertengkaran sedang dia berada dalam
kesalahan, dibangun baginya sebuah rumah di lembah syurga.”
9) Mengawal lidah.
Rasulullah
Sallallahu’alaihiwasallam bersabda (yang bermaksud):
“Tidak
termasuk orang yang beriman, orang yang suka
menyalahkan (orang lain), melaknat, mencela dan mencaci.”
10) Tidak bersifat ‘ujub (bangga diri) dan kikir.
Rasulullah
Sallallahu’alaihiwasallam (yang bermaksud):
“Tiga
perkara yang membinasakan - orang kikir yang dita’ati, orang yang mengikuti
hawa nafsu dan orang yang berbangga dengan pendapatnya.”
11) Meninggalkan kata-kata yang tidak berfaedah.
Rasulullah
Sallallahu’alaihiwasallam bersabda (yang bermaksud):
“
(Adalah) dari kebaikan Islam, (seseorang)
meninggalkan apa-apa yang tidak menjadi kepentingannya.”
12) Meninggalkan kata-kata yang berlebih-lebihan.
Rasulullah
Sallallahu’alaihiwasallam bersabda (yang bermaksud):
“Berbahagialah
orang yang dapat menahan kata-kata berlebihan dari lidahnya dan membelanjakan
hartanya yang berlebihan.”
13) Menimbangkan terlebih dahulu sesuatu kata-kata agar bersesuaian dengan
Islam. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda (yang
bermaksud):
“Apabila
seorang lelaki berkata-kata dengan kata-kata yang diredhai Allah, sedang dia
tidak dapat menjangkakan sejauhmana kesan percakapannya, maka Allah menulis
kata-kata itu sebagai yang diredhai-Nya hingga hari kiamat. Apabila seorang
lelaki berkata-kata dengan kata-kata yang menyebabkan kemurkaan Allah, sedang
dia tidak dapat menjangkakan sejauhmana kesan percakapannya, maka Allah
menuliskan kemurkaanNya kerana kata-kata itu hingga hari kiamat.”
14) Berlaku benar dan tidak berdusta.
Rasulullah
Sallallahu’alaihiwasallam bersabda (yang bermaksud):
“Lazimilah
berlaku benar, kerana kebenaran itu membawa kepada kebaikan dan kebaikan
menyebabkan masuk syurga. Seseorang yang benar dan sentiasa dalam kebenaran,
maka Allah menulis di sisi-Nya sebagai seorang yang benar. Jauhilah dusta,
kerana dusta itu membawa kepada kejahatan dan kejahatan menyebabkan masuk neraka. Seseorang yang berdusta dan sentiasa
dalam kedustaan, maka Allah menulis di sisi-Nya sebagai seorang pendusta.”
15) Menurut atau mengikut yang baik, bukan yang jahat.
Rasulullah
Sallallahu’alaihiwasallam bersabda (yang bermaksud):
“Hendaklah
kamu jangan seperti ‘pak turut’ yang mengatakan: Aku mengikuti manusia ramai,
kalau mereka baik maka aku pun baik dan kalau mereka jahat maka aku pun menjadi
jahat. Tetapi kawallah dirimu, jika manusia baik hendaklah kamu juga baik dan
jika manusia jahat, hendaklah kamu menjauhi kejahatan mereka.”
16) Berhati-hati dan berwaspada.
Rasulullah
Sallallahu’alaihiwasallam bersabda (yang bermaksud):
“Tidak akan disengat seorang mukmin dari satu lubang
sebanyak dua kali.”
17) Hidup berkasih sayang dan saling bantu membantu.
Rasulullah
Sallallahu’alaihiwasallam bersabda (yang bermaksud):
“Perumpamaan
orang-orang yang beriman dalam berkasih sayang dan bertolong-tolongan adalah
laksana satu tubuh, apabila menderita satu anggota tubuhnya maka seluruh
tubuhnya turut berjaga dan merasakan sakit panasnya.”
Setelah dijelaskan mengenai
pandangan Islam mengenai isu berkaitan, seterusnya di dalam objektif yang
ketiga kertas kerja ini ialah untuk memberikan penyelesaian secara teori dan
amali bagi menangani berbeza pendapat dalam komunikasi digital.
MEMBERI PENYELESAIAN
MENGGUNAKAN AKHLAK ISLAM DARI SEGI TATACARA BERBEZA PENDAPAT DALAM KOMUNIKASI
DIGITAL
Budi luhur dan akhlak mulia ini
adalah hasil dari iman yang kukuh serta pemeiharaan berunsurkan agama. Seseorang jika daripada kecil dididik atas
dasar keimanan kepada Allah, takut kepada Allah SWT, sentiasa menjaga diri,
menyerah kepada Allah SWT, bergantung kepada Allah SWT, memohon pertolongan
Allah, menyerah kepada Allah, akan secara automatik tumbuh dalam dirinya suatu
bakat semulajadi untuk menerima segala budi luhur yang tinggi serta terbiasa
dengan akhlak terpuji dalam apa jua keadaan.[24]
Apabila netizen Muslim dididik jauh
dari akidah Islamiyah, jauh dari petunjuk agama, tidak ada pun hubungan dengan
Allah Subhanahu Wata’ala, maka akan berlakulah perkara yang tidak berakhlak,
jahat dan menyeleweng di alam nyata maupun di alam digital. Berikut akan dijelaskan penyelesaian bagi
cabaran-cabaran yang dinyatakan dalam objektif (1) di atas, dan penyelesaian
ini akan dirungkai dalam konteks individu, keluarga, dan kumpulan Islam.
PENYELESAIAN DALAM KONTEKS INDIVIDU
1.) Seseorang itu hendaklah tidak
menceburkan diri dalam perkara yang dia tidak ketahui di media sosial
Firman
Allah SWT yang bermaksud:
“Dan
janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya.
Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati nurani, semuanya itu akan
diminta pertanggungjawabannya”.
Surah al-Isra’ ayat 36
2) Seorang itu tidak berkata
atau mengeluarkan pendapat terhadap khabar angin yang akan mendorong kepada
fitnah dan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat. Ucapan, atau tulisan adalah ungkapan isi hati
dalaman. Jika sudah menjadi viral apa
yang disampaikan di alam digital, maka ianya tidak boleh ditarik balik lagi. Orang
yang berakal perlu waspada dan cermat dalam cakapannya dan tulisannya.[26] Nabi SAW bersabda:
“Wahai Muaz, engkau akan selamat
selama mana engkau diam.”
3)
Seseorang itu hendaklah menahan diri dari menyindir dan menghina
orang sama ada dalam bentuk gambar atau komentar bagi menghormati orang
lain. Ini merupakan satu kewajipan di
sini agama dan akhlak. Firman Allah SWT
yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah
sekumpulan lelaki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan
itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan
kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. Dan janganlah
suka mencela antara satu sama lain dan jangan memanggil dengan gelaran yang
mengandungi ejekan. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk
sesudah iman dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah
orang-orang yang zalim”.
al Hujurat: 11
4) Seseorang itu hendaklah mengekang
diri dari menyebarkan sesuatu perkara mengenai orang lain terutama pada perkara
yng dituntut syariat untuk menjaganya dan tidak menyebarkannya kepada orang
lain. Misalnya aurat, aib. ini terkait dengan perihal perkara keji dalam
masyaakat. Bahkan ini merupakan
perbuatan dosa. Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:
‘Orang
yang mengatakan kekejian dan orang yang suka menyebarkannya; dalam dosa yang
sama “.
HR Bukhari
SOLUSI
DALAM KONTEKS KUMPULAN ISLAM DAN IKTILAF AGAMAWAN DI ALAM MAYA
Dalam konteks perselisihan antara
ahli fikah dan ahli tasawuf, pihak pertama menentang golongan tawasuf kerana
mereka hanya memperhatikan dan memusatkan pada penyucian hati sahaja. Manakala golongan tasawuf pula menentang
golongan ahli fikah kerana mereka hanya memperhatikan dan berpegang pada hal
yang zahir sahaja tanpa memperhatikan keadaan batiniah. Sehingga tidak ada
imbangan antara yang zahir dan batin.[27] Ikhtilaf ini sememangnya telah berlaku sejak
lama, dan ianya menjadi semakin parah di alam digital ini. Perselisihan ini
biasanya akan menyebabkan perpecahan, putus silatur rahim, dan saling benci
membenci. Semua ini amat dibenci oleh
agama. Ingatlah akan pesanan Imam Malik
rhm:
قال الامام مالك: من تصوف ولم يتفقه فقد
تزندق، ومن تفقه ولم يتصوف فقد تفسق، ومن جمع بينهما فقد تحقق .
Ertinya:
“Barangsiapa mendalami ilmu tasawuf
tanpa fikah maka dia telah zindik(tak betul dalam agama), dan barangsiapa
mempelajari fikah tanpa tasawuf dia fasiq(culas), dan siapa yang mempelajari
tasawuf dan fikah dia meraih kebenaran”
Keperluan memahami fikh ikhtilaf
sesama kumpulan aliran dalam agama adalah sesuatu yang dharuri. Janganlah kerana kesilapan yang dilakukan
menyebabkan para pengikut yang ekterim tersasar dari adab dan akhlak Islam.
Adalah penting mereka
memahami fiqh al-ikhtilaf, antaranya
ialah[28] :
i. Menganggap perbezaan dalam perkara cabangan fekah
sebagai rahmat dan kelapangan bagi umat ini serta kekayaan dalam proses
pengambilan hukum.
ii. Sentiasa mengikuti manhaj wasatiyyah dan
menjauhi sifat fanatik(ekstrim) dalam agama
iii.Memandang kemungkinan adanya kebenaran dalam
pendapat yang berbeza
iv. Memandang bahawa orang yang berijtihad pasti akan mendapat
pahala walaupun salah dan dimaafkan.
v. Bersikap objektif terhadap pendapat yang berbeza
dan mengemukakan pendapat yang lebih baik serta bersikap adil.
vi. Bekerjasama dalam hal-hal yang disepakati(نتعاون فيما
اتفقنا عليه)
vii. Bertoleransi dalam perkara yang diperselisihkan (ويعذر
بعضنا بعضاً فيما اختلفنا فيه)
Oleh itu, mereka perlu
mempunyai kriteria akhlak seperti [29]:
i. Ikhlas dan menjauhi dari mengikut hawa nafsu
ii. Tidak fanatik terhadap seseorang atau mazhab
tertentu
iii. Sentiasa berprasangka baik
iv. Meninggalkan segala bentuk tuduhan kepada orang
lain
v. Berdialog dan
berdebat dengan baik
Setelah dijelaskan penyelesaian
Islam berkaitan isu yang dibangkit dalam konteks individu, keluarga dan
kumpulan Islam, seterusnya akan dirumuskan kandungan kertas kerja ini.
KESIMPULAN
Pendidikan keimanan itulah yang
dapat meluruskan tabiat yang bengkok dan dapat membetulkan mana yang salah. Perselisihan di dalam kalangan ummah itu
adalah sesuatu yang pasti berlaku. Apa
yang pentingnya di era mana sekalipun, kayukur syari’at sentiasa diberi
perhatian dan diamalkan. Islam telah
memberikan panduan yang jelas daripada sumber al Quran dan al hadis dalam kita
berdepan dengan cabaran ini. Segala cabaran era digital ini penyelesaiannya
berbalik kepada individu itu sendiri, diikuti oleh golongan agamawan dan masyarakat
serta negara. Pemahaman adab-adab berikhtilaf
ini perlu ditanam dan ditarbiah daripada awal lagi, ibarat melentur
buluh hendaklah dari rebungnya, Adalah
diharapkan hasil kajian ini diharapkan dapat
memberikan sedikit panduan bagi mengelakkan berlakunya perpecahan dalam
kalangan umat Islam di negara yang tercinta ini.
[1] Mohd. Nasir Omar, Falsafah Akhlak, Penerbit
UKM, 2015, Edisi kedua, m.s. 107
[2] Abdul Karim Zaidan, Islam dan Dakwah, Pustaka Salam, 2002, m.s. 91.
[3] Ibid
[4] Ali Laban, Asas-asas Islam Modul Pembangunan Insan,
ISMA, 2007, m.s. 48.
[5] Ibid
[6] Ibid
[7] Abdul Karim Zaidan, Sunnatullah dalam pelbagai aspek kehidupan, Pustaka
Azzam, 2004, m.s. 151.
[8] Ibid
[9] Noor Azizah
Noorashid, Revolusi Industri 4.0: Impak Terhadap Perkembangan Pendidikan
Tinggi
Di Malaysia, Journal of Sciences and Management Research, (2019), m.s. 55-67.
[10] “Undang-Undang
Dunia Tanpa Sempadan.” FSTM KUIS,
fstm.kuis.edu.my/blog/undang-undang-dunia-tidak-bersempadan/. Accessed 6 Mar. 2022.
[11] Astroawani.com, 2020,
www.astroawani.com/gaya-hidup/malaysia-negara-ke9-paling-aktif-media-sosial-ke5-paling-ramai-guna-edagang-laporan-166998.
[12] “Jadilah Netizen Yang Bertamadun.”
Official Website: Institute of Islamic Understanding Malaysia (IKIM),
www.ikim.gov.my/new-wp/index.php/2021/09/17/jadilah-netizen-yang-bertamadun/.
Accessed 6 Mar. 2022.
[13] “BULI
SIBER.” Laman Web MKN, 23 Apr. 2021,
www.mkn.gov.my/web/ms/2021/04/23/buli-siber/./
[14] Bangi, Nadi. “Ketahui Punca Berlakunya Buli
Siber.” Nadibangiukm, 17 June 2021,
www.nadibangiukm.com/post/ketahui-punca-berlakunya-buli-siber. Accessed 6 Mar.
2022.
[15]
Ibid
[16] Noordin, Muhammad
Fathi. “BAYAN LINNAS SIRI KE 184: TABAYYUN DALAM PENERIMAAN DAN PENYAMPAIAN
BERITA.” Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, 13 June 2019,
muftiwp.gov.my/artikel/bayan-linnas/3485-bayan-linnas-siri-ke-184-tabayyun-dalam-penerimaan-dan-penyampaian-berita.
[17] Farah Waheeda
Yahya et. al, Konsep al -Tabayun dan faktor mendorong maklumat fasiq di alam
maya, At-Tahkim, Vol 9, no. 16.07.2019, m.s. 8-14
[18] “Membudayakan
Amalan ‘Jika Tidak Pasti, Jangan Kongsi’ | Malaysian Communications and
Multimedia Commission (MCMC).” Malaysian Communications and Multimedia
Commission (MCMC) | Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM),
2018, www.mcmc.gov.my/en/media/press-releases/membudayakan-amalan-jika-tidak-pasti-jangan-kong.
[19] Fathi Yakan, Apa erti saya menganut Islam, Dewan
Pustaka Fajar, 1996, ms. 45.
[20] Ibid
[21] Maududi, Abul
A’la, Ethical viewpoint of Islam, Markazi Maktaba Islami, 1996, m.s. 27.
[22] Abdul Karim Zaidan, Islam dan Dakwah, Pustaka Salam,
2002, m.s. 105.
[23] Ibid
[24] Abdullah Nasih
Ulwan, Pendidikan anak-anak dalam Islam, jilid 1, Pustakan Nasional, 1988, m.s.
201.
[25] “5 ETIKA PENGGUNAAN
MEDIA MEDIA SOSIAL – Pusat Islam.”
Www.ukm.my, www.ukm.my/pusatislam/news/5-etika-penggunaan-media-media-sosial/.
[26] Imam Mawardi,
Adabud Dunya Wad Din, Alifia books,
2020, m.s. 399
[27] Abdul Karim
Zaidan, Sunatullah dalam aspek kehidupan, Pustaka Azzam, 2005, m.s. 169-170
[28] Mohd Rumaizuddin Ghazali, Adab Perbezaan Pendapat
Dalam Islam
Menurut Taha Jabir Al-Alwani
(1935-2016), Journal of Fatwa Management and Research, Vol. 9. 2017, ms. 1-25
[29] Ibid