Monday, March 21, 2022

MEMBENTUK AKHLAK TERPUJI APABILA BERDEPAN DENGAN PERSELISIHAN PENDAPAT DALAM KOMUNIKASI DIGITAL DI ERA REVOLUSI INDUSTRI 4.0

          

Solehuddin Shuib, Faisal @ Ahmad Faisal Abd Hamid1

Departmen Sejarah Islam & Tamaddun

Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya,

50603 Kuala Lumpur, Malaysia

1Emel: faisal@um.edu.my

ABSTRAK

Akhlak terpuji menduduki tempat yang penting dan dominan dalam Islam. Di era digital ini, akhlak berkomunikasi telah dilupai secara sedar ataupun tidak sedar. Isu maki hamun tidak terkawal, buli siber, menyebar berita tidak benar dan perang aliran fikrah menjadi amat serius di alam maya. Justeru itu tulisan ini mengupas cabaran komunikasi digital, pandangan Islam dalam isu ikhtilaf di media sosial, dan seterusnya diberikan penyelesaian adab berkomunikasi dalam Islam apabila berlaku berbeda pendapat(ikhtilaf).  Hasilan kajian ini diharapkan dapat  memberikan sedikit panduan bagi mengelakkan berlakunya perpecahan dalam kalangan umat Islam di negara yang tercinta ini.

 

Kata kunci: Akhlak terpuji ; Ikhtilaf; Media sosial


 

PENGENALAN

Akhlak menduduki tempat yang sangat penting dan dominan dalam Islam.[1] Maju mundurnya sesebuah negara itu bergantung kepada maju mundurnya akhlak rakyatnya.  Semakin tinggi akhlak pemimpin dan juga rakyatnya, ini akan membawa negara tersebut ke sat utahap yang tinggi.  Penilaian mengenai akhlak ini amat luas.  Ianya ada yang bersifat universal dan ada yang bersifat khusus.  Jika dalam konteks kita, ia merujuk kepada akhlak Islamiyah.  Di dalam tulisan ini  akan dihuraikan berkaitan definisi akhlak, definisi akhlak terpuji, perselisihan pendapat(ikhtilaf), dan revolusi industri 4.0.  Seterusnya dijelaskan mengenai objektif kajian bagi projek ini.

DEFINISI AKHLAK DAN AKHLAK TERPUJI

 

Akhlak dari segi bahasa bererti tabiat atau tingkah laku.   Menurut Al Ghazali, akhlak merupakan suatu keadaan yang sebati di dalam diri serta melahirkan tingkah laku secara spontan tanpa perlu merenung dan berfikir[2] Dengan ini kita boleh takrifkan akhlak sebagai beberapa nilai atau sifat yang sebati di dalam diri dan menjadi neraca atau kayu ukur bagi manusia melihat baik atau buruk sesuatu perbuatan seterusnya menentukan sama ada mahu melakukannya atau sebaliknya.[3] Akhlak terpuji bukanlah sekadar pengetahuan terhadap perbuatan-perbuatan baik dan elok.  Ini kerana ilmu pengetahuan banyak membincangkannya, tetapi tidak ada kemampuan dalam melakukannya.[4] Akhlak terpuji juga juga bukan sekadar kemampuan untuk melakukan perbuatan-perbuatan baik dan elok.  Ini kerana kadang-kadang kemampuan ada, namun perbuatan itu tidak dilakukan. [5]

Akan tetapi akhlak terpuji itu ialah situasi yang mempersiapkan jiwa untuk melahirkan perbuatan-perbuatan yang baik.  Lantaran itulah, ia boleh diungkapkan sebagai situasi dan gambaran kejiwaan yang elok dan berbentuk dalaman.[6]

PERSELISIHAN PENDAPAT(IKHTILAF)

Perbezaan (ikhtilaf) menurut bahasa ialah tidak ada kesepakatan terhadap sesuatu.[7]  Ikhtilaf dari segi istilah menurut pada fuqaha itu iktilaf dalam pendapat, agama, dan akidah yang menjadikan manusia bahagia atau celaka di dunia dan di akhirat.[8]

REVOLUSI INDUSTRI 4.0

Revolusi Industri 4.0 adalah penemuan pelbagai teknologi baharu yang menggunakan automasi, analisis dan big data, simulasi, integrasi sistem, penggunaan robotik, cloud, Internet of Things (IoT), dan yang seumpamanya. [9]

Setelah dijelaskan definisi berkaitan akhlak, akhlak terpuji, ikhtilaf dan revolusi industri 4.0 berikut dijelaskan mengenai objektif kerja kerja kajian dari segi cabaran, pandangan Islam dan cara penyelesaiannya.

OBJEKTIF KERTAS KERJA

1.     Menjelaskan permasalahan dalam komunikasi digital.

2.     Menjelaskan pandangan Islam berkaitan isu berkaitan.

3.     Memberi penyelesaian akhlak Islam dari segi  tatacara berbeza pendapat dalam komunikasi digital.

CABARAN SEMASA DALAM KOMUNIKASI DIGITAL

Realiti semasa berada dalam keadaan yang membimbangkan semua pihak dalam komunikasi digital.  Ianya amat banyak sekali.  Akan tetapi perkara yang ingin dikongsikan di sini hanya cebisan sahaja dari masalah yang baik.  Skop perbincangan ini hanya melihat cabaran dalam aspek dunia langit terbuka, budaya netizen yang terlebih reaksi dalam sesuatu isu, buli siber, tidak tabayyun berita, menjadi penyebar berita tidak pasti, dan perdebatan segelintir agamawan terkenal yang melampau di media sosial.

DUNIA LANGIT TERBUKA, DUNIA TANPA SEMPADAN

 

Dunia tanpa sempadan merujuk kepada dunia siber atau internet.  Yang mana ia merentasi seluruh dunia.  Maklumat di hujung jari dan tanpa tapisan.  Jumlah pengguna Internet di negara ini menunjukkan peningkatan kepada 25.08 juta pengguna, mewakili 79 peratus penduduk Malaysia.  Daripada jumlah berkenaan 75 peratus menggunakan perkhidmatan media sosial dan memperuntukkan purata tiga jam sehari di laman media sosial.  Kajian terbabit adalah sebahagian daripada hasil Laporan Digital 2018 yang dikeluarkan Hootsuit dan We Are Social. Laporan berkenaan turut mendedahkan jumlah pengguna Internet meningkat sembilan peratus berbanding tahun lalu, menjadikan Malaysia sebagai negara ke-9 dunia paling aktif di laman sosial.[11]

BUDAYA NETIZEN YANG OVER RESPON DALAM SESUATU ISU

 

Budaya maki hamun di alam maya kini seolah-olah menjadi trend di Malaysia. Mari kita merenung kembali situasi budaya maki hamun di media sosial ini bermula. Dalam Oxford Global Disinformation Report 2020 melaporkan bahawa Malaysia antara negara tertinggi di dunia yang mempunyai akaun palsu di media sosial. Apakah tujuan akaun palsu ini diaktifkan? Tujuannya adalah  untuk menyerang sasaran mereka. 

BULI SIBER

 

Malaysia berada di tangga ke-6 tertinggi di dunia dan ke-2 di Asia dalam masalah buli siber. Bagaimanakah Malaysia yang pernah diklasifikasikan oleh Pusat Kajian Pew di Amerika sebagai salah sebuah negara paling konservatif dari segi moral boleh terjebak dengan buli siber ini?  Apakah faktor terjadi demikian?  Adakah kerana ketidakpuashatian?  Adakah kerana kurangnya didikan agama? Adakah kerana kurangnya didikan keluarga?[14]

Dalam sisi yang lain pula, perbuatan buli siber ini merupakan perbuatan berulang dengan tujuan untuk menakutkan, mendatangkan kemarahan dan memalukan seseorang menggunakan kemudahan komunikasi manggunakan teknologi seperti teks, chatting, emel, laman web sosial, telefon bimbit dan permainan internet.    Buli siber ini amat dibimbangi kerana ianya berterusan, kekal dan sukar dikenalpasti. Kesan buli siber kepda mangsa dapat dibahagikan kepada kesan emosi, fizikal dan mental.  Buli siber ini adalah salah di sisi undang-undang negara.[15]

TIDAK TABAYYUN DALAM MENERIMA BERITA/MAKLUMAN

 

Kehidupan bermasyarakat pada hari ini tidak lekang daripada membincangkan isu-isu semasa sebagai bahan gosip dan hujah dalam mengadu domba di antara manusia.

DEFINISI TABAYYUN

 

Tabayyun merupakan perkataan yang berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud mentsabitkan dan menyemak asas kebenarannya. Berita atau sebarang maklumat yang diterima seharusnya diteliti dan dipastikan terlebih dahulu kebenarannya dan ketepatan informasi bagi mengelakkan sebarang agenda atau perkara yang tidak baik berlaku seperti fitnah, menipu dan memburukkan seseorang yang lain berlandaskan hawa nafsu dan sifat kebencian.

 

 

PENYEBARAN BERITA YANG TIDAK BENAR/PASTI

Ketua Pegawai Operasi MCMC, Datuk Dr. Mazlan Ismail menegaskan, penerapan budaya sedemikian adalah perlu memandangkan masih ada dalam kalangan masyarakat ketika ini yang cenderung untuk berkongsi apa sahaja maklumat yang diterima tanpa membuat tapisan terlebih dahulu. Menurut beliau, sikap tersebut jika dibiarkan berterusan adalah berbahaya dan boleh memberi impak yang cukup buruk bukan sahaja kepada individu, reputasi sesebuah organisasi bahkan juga kepada kesejahteraan negara, seandainya tidak ditangani secara berhemah.

KELOMPOK AGAMAWAN DARI ALIRAN BERBEZA BERPERANG DI ALAM MAYA

Isu berbeza pendapat dair aliran isi semakin panas dan tidak kunjung padam.  Saban hari ada sahaja isu-isu yang timbul dan ini menimbulkan keresahan dalam kalangan netizen.  Adalah tidak salah untuk berbahas secara ilmiah, akan tetapi wujud dari kelompok yang taksub menyebabkan keadaan menjadi amat parah.

Setelah dijelaskan objektif yang pertama, seterusnya akan dibincangkan objektif yang kedua kajian iaitu menjelaskan apakah pandangan Islam dalam menangani permasalahan tadi.

PANDANGAN ISLAM BERKAITAN ISU BERKAITAN

Skop perbincangan berkaitan pandangan Islam dalam isu ini akan meliputi aspek akhlak Islam secara umum, asas-asas akhlak Islam, kesyumulan akhlak Islam, hubungan akhlak dengan iman dan taqwa, contoh huraian akhlak di dalam al Quran, dan contoh akhlak dalam sunnah Nabi SAW.

Akhlak yang mulia adalah matlamat utama bagi ajaran Islam. Ini telah dinyatakan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dalam hadisnya yang bermaksud:[19]

Ertinya:

“Sesungguhnya aku diutuskan hanyalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia”.

Dalam Islam, akhlak adalah merupakan intipati bagi segala ibadah. Tanpa akhlak ibadah hanyalah merupakan adat resam dan gerak laku yang tidak mempunyai nilai dan faedah.[20]

ASAS-ASAS AKHLAK ISLAM

Pembentukan akhlak Islam mestilah ditegakkan di atas empat asas utama seperti yang difahamkan dari al Quran al Karim dan as Sunnah Rasulullah SAW.  Asas-asas berkenaan ialah: Iman, Islam, taqwa dan ihsan. Tanpa wujud keempat-empat asas ini pada individu Muslim maka belum lagi kita dapat diakui  ianya benar-benar berakhlak Islam.  Keempat-empat asas tersebut mesti diproses dan ditingkatkan mengikut keutamaan masing-masing.

KESYUMULAN AKHLAK ISLAM

Salah satu ciri khusus sistem akhlak Islam ialah syumul dan lengkap. Syumul di sini bermaksud akhlak Islam itu luas bidangnya dan meliputi semua aspek perbuatan manusia, baik yang mengenai diri individu mahupun mengenai orang lain, baik mengenai hubungan individu, masyarakat mahupun negara. Tidak ada suatu pun perbuatan manusia yang terkeluar dari peraturan akhlak Islam. Setiap muslim diwajibkan memelihara akhlak Islam.

HUBUNGAN AKHLAK DENGAN IMAN DAN TAQWA 

Akhlak dalam Islam mempunyai hubungan yang erat dengan iman dan takwa kepada Allah Subhanahu Wata’ala. Allah Subhanahu Wata’ala berfirman:

“Maka terhadap mereka itu penuhilah janjinya sampai batas waktunya, sesungguhnya Allah Subhanahu Wata’ala menyukai orang-orang yang bertaqwa.”

(At-Taubah : 4)

Menunaikan janji adalah tanda iman dan takwa kepada Allah Subhanahu Wata’ala , juga merupakan perbuatan yang disenangi oleh Allah Subhanahu Wata’ala. Dalam sebuah hadis diterangkan (yang bermaksud):

“Tidak sempurna iman bagi mereka yang tidak bersifat amanah dan tidak sempurna agama bagi mereka yang tidak menepati janji.

(Al Hadis)

            Akhlak yang mulia merupakan buah iman. Akhlak yang utama ialah bersifat amanah dan menepati janji. Siapa yang telah hilang sifat amanah dan tidak menepati janji menandakan lemahnya iman dan jauh dari takwa yang sebenarnya.

Dalam hadis yang lain diterangkan (yang bermaksud):

“Demi Allah tidak sempurna keimanan, tidak sempurna keimanan, tidak sempurna keimanan’. Ditanya orang: ‘Siapa wahai Rasulullah?’ Rasulullah menjawab: ‘Mereka yang tidak mengamankan jiran tetangganya dari kesusahannya”.

(Al-Hadis)

Hadis di atas menerangkan bahawa akhlak yang buruk itu bertentangan dengan iman dan tidak akan dapat bertemu antara iman dengan akhlak yang keji.

Akhlak dalam Islam mempunyai hubungan yang erat dengan iman dan takwa kepada Allah. Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman:

CONTOH HURAIAN AKHLAK DI DALAM AL QURAN KARIM

Antara contoh akhlak di dalam al Quran antaranya ialah tidak bercakap sesuatu yang tidak diketahui, Tidak berjalan dengan mendadik dada seperti yang dilakukan oleh orang yang sombong, Bersikap adil dalam apa jua keadaan dan kepada semua manusia walaupun kepada orang kafir, bekerjasama dalam apa jua kebaikan dan ketaqwaan, jujur, berbohong, Takbur, ujub, bakhil riya’ dan sifat-sifat yang  keji, dan tidak hasad dengki,

 

 

1)    Tidak bercakap sesuatu yang tidak diketahui

Ertinya:

“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya, sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan dipertanggungjawabkan (diperiksa).”

Al Israk: 36

2)    Tidak berjalan dengan mendadik dada seperti yang dilakukan oleh orang yang sombong

Ertinya:

“Dan janganlah kamu berjalan di muka bumi ini dengan sombong, Karena sesungguhnya kamu sekali-kali tidak dapat menembus bumi dan sekali-kali kamu tidak akan sampai setinggi gunung.

Al Israk: 37

3)    Bersikap adil dalam apa jua keadaan dan kepada semua manusia walaupun kepada orang kafir .

Ertinya:

“Dan apabila kamu berkata, maka hendaklah kamu berlaku adil, meskipun ia adalah kerabat(mu), dan penuhilah janji Allah, yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu agar kamu ingat.”

Al An’am :152

 

4)    Bekerjasama dalam apa jua kebaikan dan ketaqwaan. 

Ertinya:

“Tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. dan bertakwalah kamu kepada Allah.”

Al Maidah : 2

5)    Jujur

Ertinya:

“Hai orang-orang yang beriman bertakwalah kepada Allah, dan hendaklah kamu bersama orang-orang yang benar.”

at Taubah 119

6)    Berbohong

Ertinya:

“Sesungguhnya Allah tidak menunjuki orang-orang yang melampaui batas lagi pendusta.”

Ghaffir 28

7)    Takbur, ujub, bakhil riya’ dan sifat-sifat yang  keji

Ertinya:

“Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (karena sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri.”

Luqman 18

8)    Tidak hasad dengki

Ertinya:

“Dan orang-orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Anshar), mereka berdoa: "Ya Rabb kami, beri ampunlah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman terlebih duhulu daripada kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman, ya Rabb kami, sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang."

al Hasyr 10

 

Ertinya:

“Dan hamba-hamba Yang Maha Penyayang itu (ialah) orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata (yang mengandung) keselamatan. Dan orang yang melalui malam hari dengan bersujud dan berdiri untuk Rabb mereka. Dan orang-orang yang berkata: "Ya Rabb kami, jauhkan azab jahannam dari kami, sesungguhnya azabnya itu adalah kebinasaan yang kekal".  Sesungguhnya jahannam itu seburuk-buruk tempat menetap dan tempat kediaman.”

(Al-Furqan : 63-66)

CONTOH AKHLAK DALAM SUNNAH NABI SAW

Antara contoh akhlak dalam sunnah Nabi Muhammad SAW pula ialah meliputi tidak pemarah, malu, tidak melanggar hak seorang muslim, tidak munafik, bersifat kasih sayang, tidak riya’, tidak bertengkar dan berdebat, mengawal lidah, tidak ‘ujub, meninggalkan kata-kata tidka berfaedah, benar dan tidak dusta, menurut kebaikan, hadzar, dan kasih sayang dan bantu membantu. Berikut adalah huraian dan dalil-dali berkaitan.

1)    Tidak bersifat pemarah. Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam (yang bermaksud),

 

“Wahai Rasulullah, berikanlah wasiat kepadaku.” Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam menjawab, “Janganlah kamu marah.”

 

2)    Bersifat malu. Dalam beberapa buah hadis diterangkan (yang bermaksud):

 

“Sesungguhnya semua agama itu mempunyai akhlak dan akhlak Islam itu ialah pemalu.”

 

3)    Tidak melanggar hak seorang muslim.

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda (yang bermaksud):

 

“Janganlah kamu berlaku berhasad (dengki), suka mengintip-intip kawan, suka marah memarahi, berkelahi, berlaku durhaka sebagian kamu atas sebagian yang lain, jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara. Seorang muslim adalah saudara dengan seorang muslim yang lain, janganlah dia menzalimi, merendah dan menghina saudaranya, dan taqwa itu di sini (sambil menunjuk dadanya tiga kali). Termasuklah dalam kejahatan apabila dia menghina saudaranya yang muslim. Seorang muslim mempunyai hak  atas saudara Muslim yang lain, diharamkan darahnya, harta dan kehormatannya.”

4)     Tidak bersifat munafik.

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda (yang bermaksud):

 

“Tanda orang yang munafik itu ada tiga, apabila berbicara maka ia berdusta, apabila berjanji maka ia tidak menepati janji dan apabila diberi amanat maka ia berkhianat.”

 

5)     Bersifat malu dan berhati-hati.

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam berkata kepada As-Yad bin Abdil Qais (yang bermaksud):

 

“Sesungguhnya ada dua sifat yang ada padamu, yang akan dikasihi (disenangi) oleh Allah, iaitu pemalu dan berhati-hati.”

 

6)     Bersifat kasih sayang.

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda (yang bermaksud):

 

“Sesungguhnya Allah bersifat kasih sayang, mengasihi sifat kasih sayang dalam semua perkara.

7)     Tidak bersifat riya’ dan sum’ah.

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam ditanya tentang seorang lelaki yang berpegang kerana berani, berperang kerana membela diri dan berperang kerana riya’ (mengharap pujian orang), siapakah di antara mereka yang benar-benar berperang di jalan Allah?. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda (yang bermaksud):

“Barangsiapa berperang demi untuk meninggikan agama Allah, sesungguhnya dia telah berperang di jalan Allah.”

 

8)     Tidak bertengkar dan berdebat.

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda (yang bermaksud):

“Barangsiapa meninggalkan pertengkaran sedang dia berada dalam kebenaran, maka dibangun baginya sebuah rumah yang tinggi di dalam syurga. Dan barangsiapa meninggalkan pertengkaran sedang dia  berada dalam kesalahan, dibangun baginya sebuah rumah di lembah syurga.”

9)    Mengawal lidah.

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda (yang bermaksud):

 

“Tidak termasuk  orang yang beriman, orang yang suka menyalahkan (orang lain), melaknat, mencela dan mencaci.

 

10)  Tidak bersifat ‘ujub (bangga diri) dan kikir.

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam (yang bermaksud):

 

“Tiga perkara yang membinasakan - orang kikir yang dita’ati, orang yang mengikuti hawa nafsu dan orang yang berbangga dengan pendapatnya.”

11) Meninggalkan kata-kata yang tidak berfaedah.

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda (yang bermaksud):

 

“ (Adalah) dari kebaikan Islam, (seseorang)  meninggalkan apa-apa yang tidak menjadi kepentingannya.”

 

12)  Meninggalkan kata-kata yang berlebih-lebihan.

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda (yang bermaksud):

 

“Berbahagialah orang yang dapat menahan kata-kata berlebihan dari lidahnya dan membelanjakan hartanya yang  berlebihan.”

 

13)  Menimbangkan terlebih dahulu sesuatu kata-kata agar bersesuaian dengan Islam. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda (yang bermaksud):

 

“Apabila seorang lelaki berkata-kata dengan kata-kata yang diredhai Allah, sedang dia tidak dapat menjangkakan sejauhmana kesan percakapannya, maka Allah menulis kata-kata itu sebagai yang diredhai-Nya hingga hari kiamat. Apabila seorang lelaki berkata-kata dengan kata-kata yang menyebabkan kemurkaan Allah, sedang dia tidak dapat menjangkakan sejauhmana kesan percakapannya, maka Allah menuliskan kemurkaanNya kerana kata-kata itu hingga hari kiamat.”

14)  Berlaku benar dan tidak berdusta.

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda (yang bermaksud):

 

“Lazimilah berlaku benar, kerana kebenaran itu membawa kepada kebaikan dan kebaikan menyebabkan masuk syurga. Seseorang yang benar dan sentiasa dalam kebenaran, maka Allah menulis di sisi-Nya sebagai seorang yang benar. Jauhilah dusta, kerana dusta itu membawa kepada kejahatan dan kejahatan menyebabkan masuk  neraka. Seseorang yang berdusta dan sentiasa dalam kedustaan, maka Allah menulis di sisi-Nya sebagai seorang pendusta.”

15)  Menurut atau mengikut yang baik, bukan yang jahat.

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda (yang bermaksud):

 

“Hendaklah kamu jangan seperti ‘pak turut’ yang mengatakan: Aku mengikuti manusia ramai, kalau mereka baik maka aku pun baik dan kalau mereka jahat maka aku pun menjadi jahat. Tetapi kawallah dirimu, jika manusia baik hendaklah kamu juga baik dan jika manusia jahat, hendaklah kamu menjauhi kejahatan mereka.”

16)  Berhati-hati dan berwaspada.

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda (yang bermaksud):

 

“Tidak akan disengat seorang mukmin dari satu lubang sebanyak dua kali.”

17)  Hidup berkasih sayang dan saling bantu membantu.

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda (yang bermaksud):

 

Perumpamaan orang-orang yang beriman dalam berkasih sayang dan bertolong-tolongan adalah laksana satu tubuh, apabila menderita satu anggota tubuhnya maka seluruh tubuhnya turut berjaga dan merasakan sakit panasnya.”

Setelah dijelaskan mengenai pandangan Islam mengenai isu berkaitan, seterusnya di dalam objektif yang ketiga kertas kerja ini ialah untuk memberikan penyelesaian secara teori dan amali bagi menangani berbeza pendapat dalam komunikasi digital.

MEMBERI PENYELESAIAN MENGGUNAKAN AKHLAK ISLAM DARI SEGI TATACARA BERBEZA PENDAPAT DALAM KOMUNIKASI DIGITAL

Budi luhur dan akhlak mulia ini adalah hasil dari iman yang kukuh serta pemeiharaan berunsurkan agama.   Seseorang jika daripada kecil dididik atas dasar keimanan kepada Allah, takut kepada Allah SWT, sentiasa menjaga diri, menyerah kepada Allah SWT, bergantung kepada Allah SWT, memohon pertolongan Allah, menyerah kepada Allah, akan secara automatik tumbuh dalam dirinya suatu bakat semulajadi untuk menerima segala budi luhur yang tinggi serta terbiasa dengan akhlak terpuji dalam apa jua keadaan.[24]

Apabila netizen Muslim dididik jauh dari akidah Islamiyah, jauh dari petunjuk agama, tidak ada pun hubungan dengan Allah Subhanahu Wata’ala, maka akan berlakulah perkara yang tidak berakhlak, jahat dan menyeleweng di alam nyata maupun di alam digital.  Berikut akan dijelaskan penyelesaian bagi cabaran-cabaran yang dinyatakan dalam objektif (1) di atas, dan penyelesaian ini akan dirungkai dalam konteks individu, keluarga, dan kumpulan Islam.

PENYELESAIAN DALAM KONTEKS INDIVIDU

 

1.)   Seseorang itu hendaklah tidak menceburkan diri dalam perkara yang dia tidak ketahui di media sosial

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati nurani, semuanya itu akan diminta pertanggungjawabannya”.

Surah al-Isra’ ayat 36

2) Seorang itu tidak berkata atau mengeluarkan pendapat terhadap khabar angin yang akan mendorong kepada fitnah dan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.  Ucapan, atau tulisan adalah ungkapan isi hati dalaman.  Jika sudah menjadi viral apa yang disampaikan di alam digital, maka ianya tidak boleh ditarik balik lagi. Orang yang berakal perlu waspada dan cermat dalam cakapannya dan tulisannya.[26] Nabi SAW bersabda:

Wahai Muaz, engkau akan selamat selama mana engkau diam.”

3)  Seseorang itu hendaklah menahan diri dari menyindir dan menghina orang sama ada dalam bentuk gambar atau komentar bagi menghormati orang lain.  Ini merupakan satu kewajipan di sini agama dan akhlak.  Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan lelaki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. Dan janganlah suka mencela antara satu sama lain dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandungi ejekan. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”.

al Hujurat: 11

4) Seseorang itu hendaklah mengekang diri dari menyebarkan sesuatu perkara mengenai orang lain terutama pada perkara yng dituntut syariat untuk menjaganya dan tidak menyebarkannya kepada orang lain.  Misalnya aurat, aib.  ini terkait dengan perihal perkara keji dalam masyaakat.  Bahkan ini merupakan perbuatan dosa. Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:

‘Orang yang mengatakan kekejian dan orang yang suka menyebarkannya; dalam dosa yang sama “.

HR Bukhari

SOLUSI DALAM KONTEKS KUMPULAN ISLAM DAN IKTILAF AGAMAWAN DI ALAM MAYA

Dalam konteks perselisihan antara ahli fikah dan ahli tasawuf, pihak pertama menentang golongan tawasuf kerana mereka hanya memperhatikan dan memusatkan pada penyucian hati sahaja.  Manakala golongan tasawuf pula menentang golongan ahli fikah kerana mereka hanya memperhatikan dan berpegang pada hal yang zahir sahaja tanpa memperhatikan keadaan batiniah. Sehingga tidak ada imbangan antara yang zahir dan batin.[27]  Ikhtilaf ini sememangnya telah berlaku sejak lama, dan ianya menjadi semakin parah di alam digital ini. Perselisihan ini biasanya akan menyebabkan perpecahan, putus silatur rahim, dan saling benci membenci.  Semua ini amat dibenci oleh agama.   Ingatlah akan pesanan Imam Malik rhm:

قال الامام مالك: من تصوف ولم يتفقه فقد تزندق، ومن تفقه ولم يتصوف فقد تفسق، ومن جمع بينهما فقد تحقق .

Ertinya:

“Barangsiapa mendalami ilmu tasawuf tanpa fikah maka dia telah zindik(tak betul dalam agama), dan barangsiapa mempelajari fikah tanpa tasawuf dia fasiq(culas), dan siapa yang mempelajari tasawuf dan fikah dia meraih kebenaran”

Keperluan memahami fikh ikhtilaf sesama kumpulan aliran dalam agama adalah sesuatu yang dharuri.  Janganlah kerana kesilapan yang dilakukan menyebabkan para pengikut yang ekterim tersasar dari adab dan akhlak Islam.

Adalah penting mereka memahami fiqh al-ikhtilaf,  antaranya ialah[28] :

i. Menganggap perbezaan dalam perkara cabangan fekah sebagai rahmat dan kelapangan bagi umat ini serta kekayaan dalam proses pengambilan hukum.

ii. Sentiasa mengikuti manhaj wasatiyyah dan menjauhi sifat fanatik(ekstrim) dalam agama

iii.Memandang kemungkinan adanya kebenaran dalam pendapat yang berbeza

iv. Memandang bahawa orang yang berijtihad pasti akan mendapat pahala walaupun salah dan dimaafkan.

v. Bersikap objektif terhadap pendapat yang berbeza dan mengemukakan pendapat yang lebih baik serta bersikap adil.

vi. Bekerjasama dalam hal-hal yang disepakati(نتعاون فيما اتفقنا عليه)

vii. Bertoleransi dalam perkara yang diperselisihkan (ويعذر بعضنا بعضاً فيما اختلفنا فيه)

Oleh itu, mereka perlu mempunyai kriteria akhlak seperti [29]:

i. Ikhlas dan menjauhi dari mengikut hawa nafsu

ii. Tidak fanatik terhadap seseorang atau mazhab tertentu

iii. Sentiasa berprasangka baik

iv. Meninggalkan segala bentuk tuduhan kepada orang lain

v. Berdialog dan berdebat dengan baik

Setelah dijelaskan penyelesaian Islam berkaitan isu yang dibangkit dalam konteks individu, keluarga dan kumpulan Islam, seterusnya akan dirumuskan kandungan kertas kerja ini.

KESIMPULAN

Pendidikan keimanan itulah yang dapat meluruskan tabiat yang bengkok dan dapat membetulkan mana yang salah.  Perselisihan di dalam kalangan ummah itu adalah sesuatu yang pasti berlaku.  Apa yang pentingnya di era mana sekalipun, kayukur syari’at sentiasa diberi perhatian dan diamalkan.  Islam telah memberikan panduan yang jelas daripada sumber al Quran dan al hadis dalam kita berdepan dengan cabaran ini. Segala cabaran era digital ini penyelesaiannya berbalik kepada individu itu sendiri, diikuti oleh golongan agamawan dan masyarakat serta negara.  Pemahaman adab-adab berikhtilaf ini perlu ditanam dan ditarbiah daripada awal lagi, ibarat melentur buluh hendaklah dari rebungnya,  Adalah diharapkan hasil kajian ini diharapkan dapat  memberikan sedikit panduan bagi mengelakkan berlakunya perpecahan dalam kalangan umat Islam di negara yang tercinta ini.



[1]  Mohd. Nasir Omar, Falsafah Akhlak, Penerbit UKM, 2015, Edisi kedua, m.s. 107

[2] Abdul Karim Zaidan, Islam dan Dakwah, Pustaka Salam, 2002, m.s. 91.

[3] Ibid

[4] Ali Laban, Asas-asas Islam Modul Pembangunan Insan, ISMA, 2007, m.s. 48.

[5] Ibid

[6] Ibid

[7] Abdul Karim Zaidan, Sunnatullah dalam pelbagai aspek kehidupan, Pustaka Azzam, 2004, m.s. 151.

[8] Ibid

[9] Noor Azizah Noorashid, Revolusi Industri 4.0: Impak Terhadap Perkembangan Pendidikan

Tinggi Di Malaysia, Journal of Sciences and Management Research, (2019), m.s. 55-67.

[10] “Undang-Undang Dunia Tanpa Sempadan.” FSTM KUIS, fstm.kuis.edu.my/blog/undang-undang-dunia-tidak-bersempadan/. Accessed 6 Mar. 2022.

[11] Astroawani.com, 2020, www.astroawani.com/gaya-hidup/malaysia-negara-ke9-paling-aktif-media-sosial-ke5-paling-ramai-guna-edagang-laporan-166998.

[12] “Jadilah Netizen Yang Bertamadun.” Official Website: Institute of Islamic Understanding Malaysia (IKIM), www.ikim.gov.my/new-wp/index.php/2021/09/17/jadilah-netizen-yang-bertamadun/. Accessed 6 Mar. 2022.

[13] “BULI SIBER.” Laman Web MKN, 23 Apr. 2021, www.mkn.gov.my/web/ms/2021/04/23/buli-siber/./

[14] Bangi, Nadi. “Ketahui Punca Berlakunya Buli Siber.” Nadibangiukm, 17 June 2021, www.nadibangiukm.com/post/ketahui-punca-berlakunya-buli-siber. Accessed 6 Mar. 2022.

[15] Ibid

[16] Noordin, Muhammad Fathi. “BAYAN LINNAS SIRI KE 184: TABAYYUN DALAM PENERIMAAN DAN PENYAMPAIAN BERITA.” Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, 13 June 2019, muftiwp.gov.my/artikel/bayan-linnas/3485-bayan-linnas-siri-ke-184-tabayyun-dalam-penerimaan-dan-penyampaian-berita.

[17] Farah Waheeda Yahya et. al, Konsep al -Tabayun dan faktor mendorong maklumat fasiq di alam maya, At-Tahkim, Vol 9, no. 16.07.2019, m.s. 8-14

[18] “Membudayakan Amalan ‘Jika Tidak Pasti, Jangan Kongsi’ | Malaysian Communications and Multimedia Commission (MCMC).” Malaysian Communications and Multimedia Commission (MCMC) | Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM), 2018, www.mcmc.gov.my/en/media/press-releases/membudayakan-amalan-jika-tidak-pasti-jangan-kong.

[19] Fathi Yakan, Apa erti saya menganut Islam, Dewan Pustaka Fajar, 1996, ms. 45.

[20] Ibid

[21]  Maududi, Abul A’la, Ethical viewpoint of Islam, Markazi Maktaba Islami, 1996, m.s. 27.

[22] Abdul Karim Zaidan, Islam dan Dakwah, Pustaka Salam, 2002, m.s. 105.

[23] Ibid

[24] Abdullah Nasih Ulwan, Pendidikan anak-anak dalam Islam, jilid 1, Pustakan Nasional, 1988, m.s. 201.

[25] “5 ETIKA PENGGUNAAN MEDIA MEDIA SOSIAL  – Pusat Islam.” Www.ukm.my, www.ukm.my/pusatislam/news/5-etika-penggunaan-media-media-sosial/.

[26] Imam Mawardi, Adabud Dunya Wad Din, Alifia books,  2020, m.s. 399

[27] Abdul Karim Zaidan, Sunatullah dalam aspek kehidupan, Pustaka Azzam, 2005, m.s. 169-170

[28] Mohd Rumaizuddin Ghazali, Adab Perbezaan Pendapat Dalam Islam

Menurut Taha Jabir Al-Alwani (1935-2016), Journal of Fatwa Management and Research, Vol. 9. 2017, ms. 1-25

[29] Ibid

No comments:

DAKWAH MELALUI TIKTOK DAN KESANNYA KEPADA REMAJA MUSLIM DI MALAYSIA

  DAKWAH MELALUI TIKTOK DAN KESANNYA KEPADA REMAJA MUSLIM DI MALAYSIA   Mohd Amirul Hafiz Ahmad, Solehuddin Shuib, Khairulazhar Samsudin...