KEDUDUKAN ISLAM DAN KEISTIMEWAANNYA DALAM PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

                 

Solehuddin Shuib, Amir Imran Abu Yamin, Khairulazhar Samsudin, Mohd Amirul Hafiz Ahmad, Zalina Zakaria1

Jabatan Fiqh dan Usul, Akademik Pengajian Islam, Universiti Malaya, 50603 Kuala Lumpur, Malaysia

1Emel: zalina_jsu@um.edu.my

 

ABSTRAK

Islam mendapat kedudukan penting dalam sistem perundangan negara kita.  Namun begitu bidang kuasa yang diberikan kepada undang-undang Islam hanya terhad berkaitan kekeluargaan, kehartaan dan jenayah sahaja.  Kertas kerja ini  akan menjelaskan kedudukan Islam dan keistimewaannya, cabaran dan isu berkaitan serta kesan-kesan positif berdasarkan kedudukan Islam dalam Perlembangaan Persekutuan.  Secara kesimpulannya meletakkan posisi Agama Islam dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan adalah amat penting dan mesti dipelihara oleh semua pihak khususnya penganut Islam itu sendiri.

 

Kata kunci: Islam; Perlembagaan Persekutuan; Undang-Undang

 

 

PENGENALAN

Islam mendapat kedudukan penting dalam sistem perundangan di negara kita malah ia sangat penting dalam sejarah dan kebudayaan Melayu.[1]  Islam bukan sahaja dalam bentuk ibadat tetapi dalam bentuk undang-undang negeri.  Kekuasaan Melaka menjadi kuat selepas menerima Islam sehingga menguasai  negeri-negeri Melayu lain.  Pada akhir abad ke 19, British menjajah Tanah Melayu.  Beberapa perjanjian dibuat oleh British dengan pihak berkuasa tempatan untuk mengukuhkan kedudukannya di Tanah Melayu. Walaupun negeri-negeri Melayu diletakkan di bawah kekuasaan British, Undang-undang Islam masih diakui oleh pihak berkuasa penjajah.  Undang-undang Sivil juga dikuatkuasakan pada 1837 dan berikutnya pada tahun 1956. Peruntukan piagam dan undang-undang telah memberi kuasa yang lebih banyak dan lebih luas kepada penjajah mengubah dan menghapuskan undang-undang tempatan dan menggantikannya dengan undang-undang Inggeris keseluruhannya.[2]

 

PERMASALAHAN BERKAITAN KEDUDUKAN ISLAM DALAM PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

Berikut dijelaskan antara isu-isu dan permasalahan berkaitan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.  Benarkah keistimewaan ini akan tercabar apabila salah penafsiran dari segi Perlembagaan Persekutuan? Bolehkah Mahkamah Syariah mengekang sebarang perkara yang berkaitan dengan akidah? Adakah dibolehkan penyebaran dan fahaman ideologi yang bertentangan dengan Islam kepada penganut Islam? Adakah wujudnya pertikaian melibatkan institusi Islam di Malaysia? Adakah kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan mempunyai impak terbaik kepada negara?

 

Kertas ini akan menjawab hal-hal yang berkaitan dan juga dijelaskan cabaran serta cara penyelesaiannya.  Berikut adalah objektif kajian antaranya ialah:

1.     Menjelaskan kedudukan Islam dan keistimewaannya dalam Perlembagaan Persekutuan.

2.     Menerangkan cabaran dan isu berkaitan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.

3.     Kesan positif dari kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.

 

Berikut dijelaskan huraian bagi setiap objektif di atas. Objektif yang pertama menjelaskan kedudukan Islam dan keistimewaannya dalam Perlembagaan Persekutuan. Bahagian ini dijelaskan kepada dua bahagian, iaitu kedudukan Islam dalam perlembagaan dan seterusnya keistimewaannya dalam Perlembagaan Persekutuan.

KEDUDUKAN ISLAM DALAM PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

Di dalam bahagian ini, di sana terdapat ketetapan Islam dalam sebagai Agama Persekutuan dan ianya termaktub dalam perkara 3 (1), 3 (2), 3 (3), 3 (5), 11, 12 (2), dan 160 (6A).  Berikut akan dihuraikan secara lebih terperinci mengenai hal berkaitan.

 

KETETAPAN ISLAM SEBAGAI AGAMA PERSEKUTUAN[3]

 

Berikut diperturunkan sepenuhnya peruntukan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 3 (1): Agama Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan

dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

Perkara 3 (2): Dalam tiap-tiap Negeri melainkan Negeri-negeri yang tidak mempunyai raja, kedudukan Raja sebagai Ketua Agama Islam dalam negerinya dan setakat mana yang diakui dan diisytiharkan oleh Perlembagaan Negeri itu, dan juga, tertakluk kepada Perlembagaan Negeri itu, segala hak, keistimewaan, hak kedaulatan dan kuasa yang dinikmati olehnya sebagai Ketua Agama Islam tidaklah tersentuh dan tercacat, tetapi dalam apa-apa perbuatan, amalan atau upacara yang telah dipersetujui oleh Majlis Raja-raja supaya meliputi seluruh Persekutuan, maka tiap-tiap orang Raja lain hendaklah atas sifatnya sebagai Ketua Agama Islam membenarkan Yang Di Pertuan Agong (YDPA) mewakilinya.

 

Perkara 3 (3): Perlembagaan-perlembagaan bagi negeri-negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak hendaklah masing-masing membuat peruntukan bagi memberi kepada Yang Di Pertuan Agong kedudukan sebagai Ketua Agama dalam negeri itu.

 

Perkara 3 (5): Walau apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, Yang Di Pertuan Agong hendaklah menjadi Ketua Agama Islam dalam Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; dan bagi maksud ini Parlimen boleh dengan undang-undang membuat peruntukan-peruntukan bagi mengadakan peraturan mengenai hal ehwal agama Islam dan bagi menubuhkan suatu Majlis untuk menasihatkan Yang Di Pertuan Agong mengenai perkara-perkara berhubung dengan agama Islam.

 

Selain daripada perkara 3,  ada beberapa lagi peruntukan penting yang lain berkaitan kedudukan Islam iaitu perkara 11[4], 12 (2)[5], dan 150 (6A).  Sekali lalu, peruntukan-peruntukan tersebut ialah[6]:

i.               Hak kebebasan beragama[7]

 

Peruntukan Perkara 11 menjelaskan bahawa pertama, setiap orang berhak menganuti dan  mengamalkan agama masing-masing. Kedua, tiada sesiapa pun boleh dipaksa membayar apa-apa cukai jika diperuntukkan bagi maksud yang lain dari agamanya sendiri. Ketiga, setiap kumpulan berhak menguruskan hal ehwal agamanya sendiri termasuklah menubuh, menyelenggara atau memiliki harta atau institusi. Keempat, undang-undang negeri dan undang-undang wilayah persekutuan boleh  mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa kepercayaan agama dalam kalangan orang Islam.

ii.              Kebenaran menggunakan wang awam untuk tujuan-tujuan Islam[8]

 

Peruntukan Perkara 12 menjelaskan bahawa pertama, setiap kumpulan agama berhak menubuh dan menyelenggara yayasan untuk pelajaran kanak-kanak mengenai agama masing-masing. Kedua, undang-undang persekutuan dan undang-undang negeri boleh mengadakan bantuan kewangan khas bagi menubuh dan menyelenggara Yayasan Islam atau bagi mengajar mengenai agama Islam kepada orang Islam. Ketiga, tiada sesiapa dipaksa mengambil bahagian dalam upacara agama selain agamanya. Keempat, agama bagi seseorang yang berumur kurang dari 18 tahun ditentukan oleh ibu bapa atau penjaganya.

 

iii.            Kedudukan Mahkamah Syariah di dalam sistem perundangan[9]

 

Peruntukan Islam disentuh dalam Perkara 121 (1A). Melalui peruntukan ini menjelaskan bahawa Mahkamah Tinggi Sivil tidak boleh mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah. Ini kerana sebelum pindaan itu dibuat terdapat beberapa kes (seperti wakaf, penjagaan anak, mungkir janji untuk berkahwin dan lain-lain) di mana Mahkamah Sivil telah membuat keputusan mengenai perkara yang termasuk dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah dan adakalanya telah mengubah keputusan yang telah dibuat di Mahkamah Syariah.

iv.             Pengecualian undang-undang Islam daripada undang-undang darurat[10]

 

Peruntukan di bawah Perkara 150 (6A), jelas memelihara hal ehwal Islam walaupun dalam keadaan darurat yang memberi kuasa kepada pihak eksekutif untuk membuat undang-undang yang pada keadaan biasa, undang-undang hanya boleh dilakukan di Parlimen dan kerajaan pusat boleh mengambil alih pemerintahan kerajaan negeri. Ini menunjukkan bahawa walaupun kuasa darurat yang sangat luas tetapi tidak termasuk perkara yang berhubung dengan agama Islam dan adat istiadat Melayu. Ini menunjukkan hal yang berkaitan dengan agama Islam diberi status yang tinggi dalam perlembagaan.

v.              Penetapan hal ehwal Islam sebagai sesuatu yang terletak di dalam bidang kuasa negeri[11]

Hal ehwal mengenai agama Islam adalah terletak di dalam bidang kuasa negeri. Dalam erti kata lain hanya Kerajaan Negeri yang boleh membuat apa-apa undang-undang mengenai hal ehwal Islam seperti Undang-undang Islam, Mahkamah Syariah, zakat dan semua lain yang berkaitan agama lslam.  Hal yang demikian kerana Perlembagaan Persekutuan melalui Jadual Kesembilan Senarai II menyatakan di dalam Butiran 1 bahawa hal ehwal Islam adalah di bawah bidang kuasa negeri. Inilah yang menyebabkan kebanyakan kita mengatakan semua isu mengenai agama Islam adalah di bawah bidangkuasa negeri.[12]

 

Setelah dijelaskan berkaitan kedudukan Islam dalam Perlembangaan Persekutuan, berikut akan dijelaskan pula keistimewaan Islam dalam Perlembangaan Persekutuan.

BAGAIMANA ISLAM DILIHAT MENDAPAT KEISTIMEWAAN BERBANDING AGAMA LAIN?

Tidak dapat dinafikan Islam merupakan agama yang syumul dan merangkumi semua aspek kehidupan manusia serta menjadi pendoman hidup yang berfungsi secara sejagat. Sejarah telah membuktikan negara-negara yang menjadikan Islam sebagai pedoman baik dari segi kehidupan mahupun undang-undang negara, telah berjaya membawa kepada kemakmuran dam kesejahteraan.

 

Setelah mencapai kemerdekaan negara, Malaysia telah menubuhkan Perlembagaan Persekutuan (PP), iaitu satu bentuk panduan kepada pembentukkan negara dan undang-undang. Di sini kita dapat menyaksikan bahawa Islam telah dibawa masuk juga ke dalam Perlembagaan Persekutuan pada Bahagian I Perkara 3(1) yang telah menyatakan bahawa Islam merupakan agama bagi Persekutuan. Namun begitu, Perlembagaan juga tidak menafikan hak-hak bagi agama lain untuk bebas diamalkan di Malaysia dan sekaligus menimbulkan konflik tafsiran yang pelbagai dari skop undang-undang.[13]

BIDANG KUASA SULTAN, YDPA DAN KEDAULATAN PERLEMBAGAAN

 

Umum mengetahui bahawa Sultan mempunyai kuasa mutlak ke atas pengawasan dan pentadbiran agama bagi setiap negeri-negeri di Malaysia, manakala Yang di Pertuan Agong (YDPA) mempunyai kuasa mutlak pentadbiran agama Islam di negeri-negeri tidak beraja. Ini menjadikan seorang Sultan dan YDPA mempunyai kuasa autonomi kepada setiap negeri-negeri dalam menegakkan agama Islam.

 

Perkara 37 (Perlembagaan Persekutuan) mewajibkan YDPA mengangkat sumpah untuk memelihara agama Islam di dalam negara pada setiap masa. Atas dasar ini, maka termaktublah bahawa Ketua Negara Malaysia haruslah memberi sepenuh komitmen dalam memelihara agama Islam di dalam negara. Justeru itu, dengan berdirinya Islam sebagai agama negara, dan komitmen Ketua Negara, maka kita dapat menyaksikan bahawa negara Malaysia dipacu mengikut landasan agama Islam termasuk dari segala segi perundangan. Segala sesuatu undang-undang mestilah dilaksanakan dengan tidak terkeluar dari landasan agama kerana Islam diletakkan sebagai agama yang tinggi dalam negara.[14]

 

Namun begitu, jika dikaji dari sudut Perlembagaan Persekutuan, Perdana Menteri Malaysia masih boleh dilantik di kalangan bukan Islam kerana tidak dinyatakan dengan jelas bahawa Perdana Menteri mesti dilantik di kalangan orang Islam sahaja. Bahagian IV, Bab 3, Perkara 40 PP yang menyaksikan bahawa YDPA haruslah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri yang bertindak mengikut arahan Perdana Menteri mengundang permasalahan pada Islam kelak sekiranya ada perlantikan dari kalangan bukan Islam sebagai Perdana Menteri. Isu perlantikkan ini pernah diketengahkan oleh parti Pakatan Harapan (PH).

 

MELINDUNGI KESUCIAN AGAMA ISLAM

 

Perkara 3(I) Perlembagaan Persekutuan, pada hakikatnya menunjukkan bahawa agama Islam adalah agama yang menjadi tonggak kepada negara dan terpelihara kesuciannya. Walaupun tiada satu peruntukan khusus yang menyatakan bahawa menjadi kewajiban kepada negara untuk mengikuti Al-Quran dan Sunnah dalam segala urusan pentadbiran serta undang-undang, namun kedudukkan Islam di dalam Perkara 3 (I) sudah jelas menyatakan kepentingan agama Islam itu sendiri dalam negara.

 

Perlembagaan Persekutuan jelas menunjukkan bahawa kerajaan mempunyai tanggungjawab dalam memelihara kesucian agama Islam dengan melarang sebarang bentuk dakwah agama lain kepada orang Islam. Ini menunjukkan kanun yang telah ditetapkan di dalam Perlembagaan Persekutuan adalah bertujuan untuk memelihara kesucian Islam itu sendiri, sekalipun agama lain masih bebas di amalkan di dalam negara.

 

Bagi membantu dalam menaikkan lagi martabat Islam dan memelihara kesucian agama Islam, Perkara 12 (2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa kerajaan mempunyai kuasa khusus untuk menubuh, menyelenggara atau membantu penubuhan atau penyelenggaraan sebarang bentuk institusi Islam. Kerajaan juga boleh mengadakan ataupun membantu mengadakan ajaran dalam agama Islam serta boleh mengeluarkan perbelanjaan sesuai dengan apa yang diperlukan untuk perkara-perkara tersebut.

 

Namun begitu, jika dilihat dari sudut Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa rakyat di negara Malaysia mempunyai hak kesamarataan, ini telah menjadi hujah bagi mereka yang inginkan kebebasan daripada takluk hukum agama. Hal ini terbukti dalam isu terkni di mana ada NGO dan badan-badan tertentu yang giat hendak melegalisasikan transgender di dalam negara tanpa dapat dihalang suara mereka oleh badan-badan atau autoriti agama. Ini menunjukkan kelompongan di dalam Perlembagaan Persekutuan dalam melaksanakan hak Islam untuk bersuara di dalam isu ini.

ISLAM SEBAGAI AGAMA PERSEKUTUAN[15]

 

Selari dengan martabat Islam sebagai agama Persekutuan, maka pelbagai terdapat pelbagai keistimewaan yang telah diberikan. Malahan agama-agama lain tidak disebut sebagai asas dalam perlembagaan, cuma hanya diberikan kebebasan untuk beramal. Di antara keistimewaan Islam sebagai agama Persekutuan ialah[16] :

 

a)         Mempunyai mahkamah agama sendiri iaitu Mahkamah Syariah. Agama-agama lain tidak dapat mewujudkan mahkamah sendiri. Perbicaraan di dalam Mahkamah Syariah juga adalah khusus untuk orang beragama Islam sahaja.

b)         Hanya Ketua Agama Islam sahaja yang dilantik. Tiada perlantikan untuk ketua agama bagi lain-lain agama berdasarkan kepada Perlembagaan Persekutuan.

c)         Hanya undang-undang di dalam Islam sahaja boleh dijadikan sebagai undang-undang untuk umat Islam di dalam negara. Undang-undang agama lain tidak boleh diwujudkan di dalam negara

 

Namun begitu, terdapat juga beberapa isu yang harus diteliti walaupun Islam diberikan keistimewaan di dalam negara kita berdasarkan kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Sekiranya dilihat daripada konteks undang-undang:

 

a)         Walaupun Islam boleh mewujudkan Mahkamah Syariah, tetapi bidang kuasanya masih tertakluk kepada bidang kuasa Mahkamah Persekutuan. Terdapat beberapa isu yang diputuskan oleh Mahkamah Syariah tetapi ditolak oleh Mahkamah Persekutuan misalnya isu murtad.

 

b)         Walaupun tiada perlantikkan untuk ketua agama lain, namun agama-agama lain bebas di amalkan dan Perlembagaan Persekutuan menjamin hak kesamarataan untuk semua. Ini menyebabkan telah timbul isu-isu seperti penggunaan kalimah Allah yang diberikan hak juga kepada orang Kristian.[17]

 

c)         Walaupun hanya undang-undang Islam sahaja yang boleh dijadikan undang-undang untuk umat Islam dalam negara, namun bidang kuasanya masih terbatas dan undang-undanng sivil tetap boleh mengatasi bidang kuasa undang-undang Islam. Pelbagai kes dapat dilihat di bawa dari Mahkamah Syariah ke Mahkamah Sivil, dan keputusannya memihak kepada Mahkamah Sivil.

 

Berdasarkan kepada penelitian, dapatlah disimpulkan bahawa agama Islam bukanlah sekadar agama rasmi dan berfungsi hanya untuk majlis-majlis rasmi sahaja, tetapi Islam merupakan agama persekutuan dan mempunyai martabat serta kepentingan di dalam negara. Namun begitu, masih terdapat banyak kelompongan di dalam Perlembagaan Persekutuan, yang tetap menampakkan bahawa Malaysia sebuah negara sekular dan Islam dilihat sebagai sebuah anutan penduduk semata-mata.[18]

 

Berikut dijelaskan huraian bagi objektif kedua kajian iaitu berkaitan cabaran dan isu berkaitan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.


 

CABARAN DAN ISU BERKAITAN ISLAM DALAM PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN.

 

Objektif kedua (2) pula menjelaskann cabaran dan isu berkaitan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.  Huraiannya berkaitan perkara akidah yang meliputi aspek murtad, pertikaian berkaitan institusi Islam, penyebaran ajaran sesat, dakyah agama lain kepada orang Islam, isu kalimah Allah[19] dan penyebaran ajaran sesat.[20]

 

Malaysia terdiri daripada masyarakat berbilang agama, budaya, adat, bangsa atau kaum. Keamanan ini tercapai kerana wujudnya persefahaman dan persepakatan sesama masyarakat termasuk dalam isu agama khususnya melibatkan antara penganut Islam dan bukan Islam. Namun sejak kebelakangan ini, wujud beberapa fenomena berkaitan agama sehingga menimbulkan insiden yang kurang baik. Ini perlu ditangani dengan segera agar keharmonian dapat dikekal. Oleh itu, dikemukakan beberapa isu dan cabaran dalam mendepani konflik dalam hal agama di mana ia boleh berpunca dari bukan Islam dan juga boleh berpunca dari penganut Islam itu sendiri. Ini penting bagi memastikan Islam sejajar dengan statusnya sebagai Agama Persekutuan seperti yang tercatat dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perkara berkaitan akidah merupakan tunjang utama bagi penganut agama Islam. Isu murtad (tukar atau keluar dari agama Islam) telah berlaku sejak sekian lama. Faktor menukar agama antaranya kerana perkahwinan, dasar cinta, suka sama suka dan tidak mengamalkan ajaran Islam dalam suatu tempoh yang panjang menyebabkan seseorang itu memohon untuk murtad. Kes Lina Joy atau nama sebenarnya Azalina Jailani yang bertukar ke agama Kristian menggunakan tiket hak kebebasan beragama seperti yang terkandung dalam Perkara 11, Perlembagaan Persekutuan sehingga membuat permohonan untuk menukar status agama pada kad pengenalannya kepada agama yang baru dianuti. Namun begitu, kuasa menukar agama Islam kepada agama lain hanya diberi kepada Mahkamah Syariah berdasarkan bidang kuasa yang ada malah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berdasarkan syarat permohonan penukaran agama memerlukan beberapa dokumen sokongan dan kelulusan melalui institusi seperti Majlis atau Jabatan Agama Islam dan Perintah Mahkamah Syariah. Ini sekaligus mengekang isu murtad dari terus berlaku.[21]

Isu dan cabaran berkait akidah juga adalah tentang penyebaran serta amalan ajaran sesat. Terkini kes yang melibatkan ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) oleh pengasasnya Sittah Annur atau nama sebenarnya Masitah Ab Jalar. Ajaran ini dikenalpasti bertentangan dengan garisan Islam sebenar, menyeleweng dan menyimpang dari pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ). Pengasasnya mendakwa bahawa beliau boleh berhubung terus dengan Allah, malaikat serta Nabi Muhammad S.A.W. Maka bagi mengekang ajaran ini dari terus menular dalam masyarakat, tindakan telah diambil berdasarkan peruntukan Enakmen Jenayah Syariah dan Jawatankuasa Fatwa di peringkat negeri berkaitan ajaran sesat sehingga pengasasnya menyatakan pengisytiharan taubat (Istitabah) tanggal 27 September 2021 di Dewan Masjid Negeri, Shah Alam, Selangor dan semua ahlinya dihantar ke Pusat Pemurnian Akidah bagi menjalani sesi kaunseling dan bimbingan agama.

Selain itu gerakan dakwah agama lain seperti gerakan Kristianisasi dan Evangelisme Kristian[22] (usaha penyebaran melalui pelbagai cara dan pendekatan) termasuk usaha yang bersifat ofensif mesti dibendung dan ditangani dengan baik. Walaupun termaktub dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan agama-agama lain boleh diamalkan, namun Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan dan Senarai II (Senarai Negeri) Jadual Kesembilan juga menyatakan berkaitan kawalan dan sekatan mengembangkan apa-apa doktrin  atau kepercayaan agama kepada umat Islam. Ini sekaligus membendung isu ini dari terus berleluasa sehingga menimbulkan rasa kurang senang dari sudut penganut agama masing-masing.

Isu dan cabaran seterusnya adalah berkaitan penyebaran dan fahaman ideologi yang bertentangan dengan Islam. Fahaman seperti liberalisme, sekularisme dan pluralisme tidak boleh dibiarkan terus tersebar di kalangan umat Islam di Malaysia. Pemikiran anti agama, anti Tuhan, berpandukan pemikiran logik semata-mata, kebebasan berfikir (free thinker) tanpa mahu terikat kepada agama, hak kesamarataan dan setara termasuk dalam hal berkaitan agama mesti dibendung secara tuntas, hikmah dan berstrategi. Kontroversi ingin menubuhkan Interfaith Commission (IFC)[23] atau Suruhanjaya Antara Agama[24] yang mewakili pelbagai agama secara sama rata serta usaha-usaha menyamakan kedudukan dan hak agama-agama lain selain agama Islam mesti disekat. Ini bagi menjamin kedudukan Islam itu sendiri di Malaysia sebagai tingkatnya yang tertinggi dalam Perlembagaan Persekutuan.[25]

Isu sensitiviti sehingga melibatkan ketegangan hubungan antara penganut agama adalah berkaitan pertikaian penggunaan kalimah Allah. Tuntutan fail semakan penghakiman di mahkamah oleh paderi gereja agar penggunaan Allah dibenarkan dalam urusan agama Kristian termasuk penerbitan buku-buku dalam konteks hak kebebasan agama telah mendapat tentangan dari umat Islam di Malaysia. Kalimah “God” telah diterjemahkan kepada Allah sedangkan kalimah ini hanya eksklusif digunakan bagi orang Islam sahaja dan tidak bagi agama lain. Begitu juga pertikaian berkait penggunaan tulisan jawi dan khat dalam isu pendidikan yang mendapat tentangan dari Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong).

            Seterusnya adalah cabaran dan isu dalam mendepani pertikaian berkaitan institusi Islam melibatkan autoriti fatwa, Jabatan Mufti, bidang kuasa Mahkamah Syariah, Majlis dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri (MAIN dan JAIN), fungsi JAKIM, institusi pengurusan zakat dan haji, hukum berkaitan syariah serta amalan beragama yang berkaitan dengan tempat-tempat ibadah seperti masjid. Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) contohnya telah mengemukakan cadangan kajian kebolehlaksanaan undang-undang khusus di Malaysia bagi mengiktiraf golongan transgender. Asas dan hujahnya mengatakan golongan ini layak menikmati semua hak asasi manusia sedangkan gender ketiga ini telah diputuskan oleh pemerintah sebagai golongan yang tidak diiktiraf di Malaysia. Ini kerana ia memberi kesan kepada perundangan Syariah yang berada di bawah bidang kuasa negeri melibatkan kesalahan jenayah syariah. Oleh itu, polemik ini mesti dihentikan berpandukan kuasa undang-undang  sedia ada.

            Ringkasnya, walaupun Islam diletakkan sebagai agama Persekutuan di Malaysia namun masih wujud cabaran dan isunya. Pihak-pihak tertentu dan yang tidak bertanggungjawab cuba mencari kelompongan yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan dan mengambilnya untuk memenuhi selera mereka sahaja tanpa mengambilkira sensitiviti umat Islam. Kewajaran dengan mengambil langkah-langkah dan tindakan terbaik berdasarkan undang-undang sedia ada telah mampu mengekang dalam menghadapi semua isu dan cabaran yang timbul di Malaysia.

Setelah dijelaskan berkaitan dengan cabaran dan isu berkaitan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan, berikut pula akan dijelaskan kesan-kesan positif kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.


 

KESAN POSITIF KEDUDUKAN ISLAM DALAM PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

 

Objektif tiga (3) ini pula akan menjelaskan kesan-kesan positif kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.  Perinciannya meliputi kesan dari aspek pendidikan, peranan Majlis Agama Islam, peranan institusi seperti JAKIM, Hub Halal, bidang kuasa Mahkamah Syariah, dan sistem kewangan dan ekonomi Islam.[26]

Sistem pendidikan negara adalah antara yang mendapat impak positif apabila Islam diiktiraf di peringkat Persekutuan selaras dengan Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan. Subjek Pengajian atau Pendidikan Islam, Moral dan Akhlak menjadi nadi utama setara dengan subjek lain. Ini selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang digabung-jalinkan dengan Falsafah Pendidikan Islam (FPI) telah meletakkan satu tanda aras dalam melahirkan insan yang mempunyai sahsiah yang baik, seimbang dalam semua aspek, percaya kepada Tuhan dengan bersumberkan Al-Quran dan Al-Sunnah. Selain itu tertubuhnya Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bagi pendidikan peringkat tinggi berpandukan terasnya Islam termasuk wujudnya fakulti-fakulti bercirikan pengajian Islam seperti yang ditawarkan di Universiti Malaya (Akademi Pengajian Islam) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (Fakulti Pengajian Islam).

Berdasarkan kepada Perlembagaan Persekutuan dan Negeri, Majlis Agama Islam adalah merupakan Pihak Berkuasa Agama yang bertanggungjawab secara langsung kepada Yang DiPertuan Agong, Raja atau Sultan dalam semua perkara tentang agama Islam. Ini dijelaskan dalam semua Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam Negeri-negeri seperti Seksyen 4, Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505] yang menyebut ada suatu badan dikenali “Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan” bagi menasihati Yang DiPertuan Agong dalam perkara-perkara berhubungan dengan agama Islam. Kerana itu adanya Jabatan Agama Islam Negeri-negeri (JAIN), penubuhan Pusat Zakat atau Institusi Baitulmal di peringkat negeri termasuk dalam perkara pengurusan harta seperti wakaf dan faraid (harta pusaka).

Kesan lain apabila Islam berada di peringkat Persekutuan adalah berkembangnya struktur dan sistem Kewangan dan Ekonomi Islam. Sebelum ini sistem konvensional mendominasi urusniaga sehinggalah wujudnya sistem Perbankan dan Takaful yang memberi alternatif kepada masyarakat agar terhindar dari amalan riba’. Malah akta khas diwujudkan di bawah bidang kuasa Bank Negara Malaysia (BNM) iaitu Akta Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSA) 2013 yang menggabungkan antaranya Akta Bank Islam 1983 dan Akta Takaful 1984 di bawah satu akta sahaja bagi memudahkan kawal selia sektor kewangan berdasarkan rangka perundangan. Kewujudan secara rasmi Lembaga Tabung Haji pada 1959 atas nama Perbadanan Wang Simpanan Bakal-Bakal Haji (PWSBH) hasil cetusan idea Profesor DiRaja Ungku Abdul Aziz (Allahyarham) telah memberi kesan yang amat signifikan bagi umat Islam di Malaysia menunaikan ibadah haji melalui simpanan yang lebih teratur dan sistematik. Sebagai sebuah entiti badan berkanun, urusan Lembaga Tabung Haji dikawal selia di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).

Produk halal adalah elemen terpenting khususnya berkaitan barangan kegunaan pengguna di Malaysia sehinggakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan agensi yang berkaitan berusaha menjadikan negara ini sebagai platform Hub Halal di peringkat antarabangsa. Melalui kerjasama termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) maka wujudnya satu standard piawaian Sijil Halal dengan polisi khas MS1500:2004 sebagai garis panduan dan memperkemaskan ruang lingkup perundangan dari sudut pelaksanaan serta penguatkuasaan. Kuasa Perundangan peringkat negeri berkaitan halal terkandung dalam Akta Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 di bawah peruntukan Seksyen 42 berkaitan tidak mempamerkan tanda halal. Namun bidang kuasa dan penguatkuasaannya hanya melibatkan orang Islam sahaja. Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal 2011) di bawah Seksyen 29 juga diwujudkan bagi menjamin kualiti persijilan halal yang ada di Malaysia. Ini juga merupakan antara impak positif apabila agama Islam berada di peringkat Persekutuan dengan didokong di peringkat negeri masing-masing.[27]

            Dari sudut perundangan, bidang kuasa Mahkamah Syariah juga telah mendapat sedikit pengiktirafan melalui Pindaan Perkara 121 Fasal (1A) di mana “mahkamah-mahkamah lain tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan apa-apa perkara yang berada dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah”. Ini memberi kesan positif kepada perkembangan undang-undang Islam di Malaysia kerana tiadanya campur tangan dan pertikaian sekiranya bidang kuasa itu berada dalam Mahkamah Syariah. Perkembangan positif juga boleh dilihat berkaitan kedudukan zakat dan pelaksanaannya di Malaysia. Peruntukan undang-undang dan insentif cukai diberi kepada mereka yang menunaikan zakat melalui Seksyen 6A (3) Akta Cukai Pendapatan (1967) dengan memberi rebat cukai bagi semua bayaran melibatkan zakat (termasuk zakat fitrah). Manakala bagi zakat perniagaan diberikan pelepasan cukai di bawah Subseksyen 44 (11A) di bawah bidang kuasa Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Ini menunjukkan peri pentingnya agama Islam diletakkan sebagai tunjang utama dalam Perlembagaan Persekutuan.[28]

Akhir sekali adanya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di peringkat persekutuan dalam menyelaras semua perkara berkaitan Islam dengan dibantu di peringkat negeri masing-masing. Malah sejumlah peruntukan dan bajet khas diberikan dalam mengurus serta mentadbir agama Islam sejajar dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan. Penerapan nilai-nilai Islam melalui penganjuran program seperti Forum Perdana, Sambutan Maal Hijrah, Maulidur Rasul termasuk dalam kalendar Hari Kebesaran Islam dengan diberi cuti khas adalah tanda bahawa Islam di Malaysia berada pada tahap yang terbaik. Justeru itu pentingnya menjaga dan memelihara kesucian agama ini agar ianya terus berada di tempat tertinggi dalam perundangan negara selaras dengan kedudukannya sebagai agama persekutuan di Malaysia.

KESIMPULAN

Secara kesimpulannya meletakkan posisi Agama Islam dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan adalah amat penting dan mesti dipelihara oleh semua pihak khususnya penganut Islam itu sendiri. Kerjasama dan sokongan padu juga diperlukan di peringkat negeri dalam mengangkat agama yang mulia ini. Banyak kelebihan, kebaikan dan keistimewaan yang diperoleh kesan daripada pengiktirafan ini sekali gus meletakkan Malaysia sebagai negara contoh kepada negara-negara Islam yang lain.



[1] Syed Naquib al-Attas, Islam dalam Sejarah Kebudayaan Melayu, Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 1972

[2] Ahmad Ibrahim Sistem Undang-Undang di Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.1986 ms 71-72.

[3] Haji Hairuddin Megat Latif, Chea Asiah Abdullah, Islam dalam Perlembagaan Malaysia: Kewajarannya berdasarkan Faktor , Kesultanan Melayu, REKAYASA – Journal of ethics, legal and governance, Vol. 4, 2008 (1 - 12)

[4] Nazri Muslim, Ahmad Hidayat Buang, Islam Dalam Perlembagaan Persekutuan Dari Perspektif Hubungan Etnik Di Malaysia, Jurnal Kemanusiaan Bil.20, m.s. 115-129

[5] ibid

[6] Abdul Aziz Bari, Islam Dalam Perlembagaan Malaysia, Intel Multimedia and Publication, Petaling Jaya, 2005 Cetakan 1

[7] Undang-Undang Malaysia perlembagaan Persekutuan ... (n.d.). Retrieved December 11, 2021, from https://legal.usm.my/v3/phocadownload/laws/Perlembagaan_Persekutuan.pdf.

 

[8] Undang-Undang Malaysia perlembagaan Persekutuan ... (n.d.). Retrieved December 11, 2021, from https://legal.usm.my/v3/phocadownload/laws/Perlembagaan_Persekutuan.pdf.

[9] Ibid

[10] Ibid

[11] ibid

[12] Bakar, Z. R. A. (2020, July 12). Kuasa Persekutuan Mengenai Islam. Sinarharian. Retrieved December 11, 2021, from https://www.sinarharian.com.my/article/91777/KOLUMNIS/Kuasa-Persekutuan-mengenai-Islam.

[13] Ahmad Khasasi, M.Z., Salleh, A.D., & Samsudin M.A.(2019). Kedudukan Dan Implikasi Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan Ke Arah Memartabatkan Kedaulatan Islam. Journal Of Contemporary Islamic Law 4(2), 34-45.

 

[14] Ibid.

[15] Undang-Undang Malaysia. (n.d.). https://legal.usm.my/v3/phocadownload/laws/Perlembagaan_Persekutuan.pdf

[16] Ibid.

[17] Nasri, M.S., & Shiddeq, M.S. (2016). Isu Penggunaan Kalimah Allah Oleh Pihak Kristian: Analisis Menurut Hukum Islam. Jurnal ‘Ulwan, 1, 1-18.

[18] Ibid.

[19] Meerangani, K. A., & Ramli, R. (2016). Isu Penggunaan Kalimah Allah Oleh Pihak Kristian: Analisis Menurut Hukum Islam. Jurnal Fiqh, 13, 117–138. https://doi.org/10.22452/fiqh.vol13no1.5

[20] Penerbitan Majlis Agama Islam Selangor. (2015). Ajaran sesat - Mais. Buku Terbitan MAIS. Retrieved December 11, 2021, from http://www.mais.gov.my/wp-content/uploads/2019/07/Ajaran-Sesat-Merungkai-Kekusutan-Dan-Kecelaruan.pdf.

 

[21] Ibid

[22] Pendedahan agenda - mais – majlis agama islam selangor. (n.d.). Retrieved December 11, 2021, from http://www.mais.gov.my/wp-content/uploads/2019/07/Buku-Pendedahan-Agenda-Kristian-Completed.pdf.

 

[23] Mohamad, A. R., Mohd Yaakop, M. R., & Mamat, S. A. (2019). Interfaith Commission Malaysia: Analisis Ke Atas Penubuhannya Dalam Merealisasikan Keharmonian Agama Di Malaysia: Interfaith Commission Malaysia: An Analysis of its Establishment in Realizing Religious Harmony in Malaysia. ‘Abqari Journal, 11(1), 77-93. https://doi.org/10.33102/abqari.vol11no1.112

 

[25] Ibid

[26] Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 Dan Akta Perkhidmatan ... (n.d.). Retrieved December 11, 2021, from https://www.bnm.gov.my/documents/20124/761700/ringgit_7.pdf.

 

[27] Md. Sawari, S. S., & Ghazali, M. A. (2015). Standard Piawaian Halal Di Malaysia Menurut Perundangan, Kelebihan Dan Kekurangan(Legislation, Advantages And Disadvantages Of Halal Standards Malaysia). UMRAN - International Journal of Islamic and Civilizational Studies, 2(2). https://doi.org/10.11113/umran2015.2n2.18

[28] Wahab, A.A.(2014).  Faktor Penentu Pembayaran Zakat Oleh Entiti Perniagaan di Malaysia: Satu Tinjauan Teori. Jurnal Syariah, 22(3), 295-322.

 

Comments

Popular posts from this blog

Respon: Bagaimana bertaaruf berkesan 2?

Pengajaran daripada Surah Al Muzammil

KELEBIHAN DO'A RABITHAH