Saturday, February 26, 2011

Bagaimana mengelakkan fitnah dalam organisasi? Siri 13


Assalamu'alaikum wbth,

Sahabat/akhowat yang dirahmati Allah sekalian,

Di dalam kesempatan kali ini izinkan saya untuk menyambung ciri yang seterusnya cara elakkan dari berlakunya fitnah dalam sesebuah organisasi:memproses hati agar membenci fitnah.

13.Proses hati supaya benci fitnah

Maksudnya, kita mentarbiyyah hati kita supaya membenci pencerobohan ke atas peraturan Islam,organusasi atau sebarang bentuk fitnah yang lain.

Salah seorang dari tabi’in, ‘Abdul Wahid ibn Sa’id telah bertanya Hasan Al Basri: “Ya Abu Sa’id, jika seorang itu tidak menyertai fitnah 'ala Muhallab (al Muhallab ini telah menyebabkan berlaku fitnah) tetapi dia menolongnya dengan lidah atau meredhainya, bagaimana?” Jawab Hasan: “Wahai anak saudaraku (ibnu akhie), berapa orang yang menyembelih unta betina itu (an naaqah) (mu’jizat Nabi Soleh a.s)?” Jawab ‘Abdul Wahid: “Seorang sahaja.”

Melalui perbuatan itu, Allah membinasakan kaum Tsamud. Walaupun, seorang sahaja yang menyembelihnya tetapi yang lain meredhainya, seluruh kaum itu dibinasakan.


Kesimpulan
Segala-galanya bermula daripada dalam hati dan niat kita. Jika jiwa dan hati kita bersih, seluruh tindakan kita akan benar dan betul, insha Allah.

Saturday, February 19, 2011

Bagaimana mengelakkan fitnah dalam organisasi? Siri 12



Assalamu'alaikum wbth,

Sahabat/akhowat yang dirahmati Allah sekalian,
Di dalam kesempatan kali ini izinkan saya untuk menyambung ciri yang seterusnya cara elakkan dari berlakunya fitnah dalam sesebuah organisasi: Meninggalkan perbuatan najwa(poket di dalam poket)

12.Meninggalkan perbuatan najwa (Tarkun najwa)

Yang dimaksudkan dengan najwa ialah perbuatan beberapa orang yang bermesyuarat dan merancang sesuatu tanpa pengetahuan kepimpinan. Perancangan rahsia itu dibuat dalam rangka untuk menentang atau menyaingi perancangan kepimpinan. Perbuatan ini biasanya akan berakhir dengan pecah-belah atau fitnah.

Allah berfirman:

Sesungguhnya pembicaraan rahasia itu adalah dari syaitan, supaya orang-orang yang beriman itu berduka cita, sedang pembicaraan itu tiadalah memberi mudharat sedikitpun kepada mereka, kecuali dengan izin Allah dan kepada Allah-lah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakkal.
(Al-Mujadalah:10)

Melainkanlah kamu telah diberi mandat untuk merancang sesuatu. Umpamanya, sudah termaktub bahawa sesebuah usrah hendaklah merancang untuk lokalitinya. Itu tiada masalah. Tetapi jika kamu tidak diberi mandat, minta izin dari kepimpinan atau pastikan plan itu dipersetujui oleh kepimpinan.


Khalifah ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz pernah menyebut:
“Bilamana orang ramai menjauhi jama’ah dan merancang sesuatu, kebiasaannya perkara ini memutikkan kesesatan (dholalah).”

Kita lihat melalui perbuatan itulah terbentuk kumpulan-kumpulan seperti Syi’ah, Khawarij dsb. Mereka tidak bersetuju dengan kepimpinan lalu menjauhkan diri dan berbincang secara rahsia. Selepas itu, terbentuklah kumpulan yang asing, mempunyai pemimpinnya yang tersendiri, cara berfikir yang berbeza dan akhirnya berpecah dari organisasi induk.

Allah berfirman, yang bermaksud:
“Tiada kebaikan pada kebanyakan najwa mereka, kecuali dari orang yang menyuruh (manusia) memberi sedekah, atau berbuat ma’ruf, atau mengadakan perdamaian di antara manusia…”


Jadi, untuk tujuan ketiga-tiga perkara di atas, perbincangan rahsia itu tidak mengapa

Kesimpulan
Jauhilah suasana yang boleh menimbulkan keresahan anggota-anggota lain di dalam organisasi. Asas iman, ukhuwwah dan mahabbah lebih diutamakan daripada berkeras dengan pandangan sendiri.

Saturday, February 12, 2011

Bagaimana mengelakkan fitnah dalam organisasi? Siri 11




Assalamu'alaikum wbth,

Sahabat/akhowat yang dirahmati Allah sekalian,


Di dalam kesempatan kali ini izinkan saya untuk menyambung ciri yang seterusnya cara elakkan dari berlakunya fitnah dalam sesebuah organisasi:Menjauhi pertengkaran

11. Menjauhi pertengkaran (Al Imsaaku ‘anil jadal)

Kebiasaannya, al jadal bukannya satu petanda yang sihat. Yang dimaksudkan dengan al jadal ialah bertengkar di atas satu perkara berulangkali (back and forth) walaupun kebenaran telah jelas. Rasulullah SAW bersabda, yang bermaksud:

“Apabila Allah ingin menyesatkan seseorang setelah dia diberi petunjuk, Dia akan memberikan orang itu sifat al jadal.”

Orang yang banyak bertengkar, pada haqiqatnya, mengabaikan kerja-kerja yang sebenarnya. Ummah yang sibuk bekerja kerana Allah tidak ada luang masa untuk bertikam lidah. Orang yang tidak bekerjalah yang memperuntukkan masa untuk bertengkar.

Rasulullah SAW telah ditunjukkan dalam sebuah mimpinya, kedatangan (timing) malam Lailatul Qadr. Baginda keluar menemui orang ramai untuk memberitahu tentang malam itu. Dalam pada itu, Baginda terserempak dengan dua muslim yang sedang bertengkar lalu Baginda lupa akan apa yang hendak diumumkannya. Baginda bersabda kepada dua orang itu:

“Aku datang ke sini untuk beritahu kamu kedatangan Lailatul Qadr tetapi dua dari kamu bertengkar, lalu aku lupa. Mungkin itu baik untuk kamu.”

Oleh itu, ummah pada tahun itu kehilangan tanda Lailatul Qadr disebabkan jadal di antara dua orang itu. Kita boleh hilang barakah jika berjadal.

Rasulullah SAW ada bersabda, yang bermaksud:

Aku jamin rumah di pinggiran syurga bagi yang tinggalkan jadal sedangkan dia salah. Manakala sebuah rumah di tengah-tengah syurga bagi yang tinggalkan jadal walaupun dia benar.”

Seorang tabi’in bernama Muslim Yasar berkata:

“Elakkan pertengkaran, inilah saat seorang ‘alim boleh terjebak dengan kesalahan. Pada saat itu, syaitan cuba membuatkan ‘alim itu melakukan kesalahan.”

Kesimpulan
Perkata yang dibicarakan ini senada dengan apa yang pernah diwasiatkan oleh Imam Al Banna di dalam 10 wasiatnya:-
`Jangan memperbanyak perdebatan dalam semua urusan walau bagaimanapun keadaannya, sebab pertengkaran tidak akan mendatangkan kebaikan sedikitpun'

Saturday, February 5, 2011

Bagaimana mengelakkan fitnah dalam organisasi? Siri 10

Assalamu'alaikum wbth,

Sahabat/akhowat yang dirahmati Allah sekalian,

Ingin menyuarakan rasa prihatin dan simpati terhadap apa yang berlaku di Mesir. Semoga Allah SWT membantu mereka semua berjaya menubuhkan negara yang adil dan diberkati-Nya. Saya juga ingin lahirkan rasa simpati kepada para pelajar Malaysia di sana, terpaksa pulang ke Malaysia kerana faktor keselamatan dan pengajian mereka tertangguh.

`Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan'
Al Inyirah: 6


Di dalam kesempatan kali ini izinkan saya untuk menyambung ciri yang seterusnya cara elakkan dari berlakunya fitnah dalam sesebuah organisasi:Berahsia dalam memberi nasihat pada kepimpinan



10.Berahsia dalam memberi nasihat pada kepimpinan

Apabila anda menasihati seorang pemimpin, lakukan secara rahsia. Ia adalah penting demi mengelak tersebarnya rasa tidak puas hati di dalam organisasi. Apabila anda menuduh seorang pemimpin akan sesuatu secara terbuka, ia bukan lagi satu nasihat tetapi skandal. Jika ia dibuat secara rahsia, barulah menjadi sebagai nasihat, dia dapat mematuhinya dan mengurang merebaknya tindakan yang salah.

Sewaktu Rasulullah membahagikan harta rampasan perang, baginda tidak memberinya pada seorang sahabat yang baru bernama Ju’ail bin Suraqah. Mungkin baginda tidak menyedarinya ataupun ada sebab yang lain. Sa’ad ibn Abi Waqqas berkata:

“Aku pergi berjumpa Rasulullah SAW dan memberitahunya perlahan-lahan: Mengapa anda tidak memberi pada si fulan itu. Demi Allah, saya kira dia seorang yang beriman.”

Ibn Hajar, seorang pengulas al Bukhari, telah berkata tentang hadith ini:

“Ini bermakna memberi nasihat secara rahsia lebih baik dari secara terang-terangan. Ia menjadi wajib bila secara terang-terangan itu menimbulkan fitnah.”

Adalah suatu yang haram untuk memberi nasihat secara terbuka kepada seorang pemimpin. Semasa zaman para sahabat terdapat salah seorang amir yang melakukan kesilapan. Lalu orang pun bertanya kepada Usamah bin Zaid, pemimpin tentera menentang Rom, mengapa dia tidak menegur amir tersebut. Lalu dijawab Usamah:

“Anda menyangka saya tidak berbincang dengannya. Saya sering berbincang dengannya secara tertutup. Saya enggan membuka pintu fitnah dengan menegurnya secara terbuka.”

Seorang tabi’in, Abu Miqdad Al Juhani, pernah berkata pada anak-anaknya:

“Demi Allah, aku tidak akan menolong sesiapa lagi untuk membunuh seorang khalifah selepas ‘Uthman.”

Lalu anak-anaknya bertanya: “Adakah itu bermakna anda menolong orang membunuh ‘Uthman?”

Jawabnya: “Bukan begitu. Aku lihat bahawa apabila anda memperkatakan akan kesilapan seorang Amir secara terang-terangan, anda menolong membunuhnya.”

Abu Miqdad pernah memperkatakan akan kesilapan-kesilapan Khalifah ‘Uthman. Lalu mereka yang mempunyai niat jahat menggunakan ruang ini sebagai kesempatan untuk mempengaruhi orang ramai. Mereka menggunakan golongan yang baru memeluk Islam di Mesir dan Iraq untuk membunuh Khalifah. Abu Miqdad beranggapan itu adalah salah satu sebab yang membawa kepada pembunuhan Khalifah ‘Uthman.

Terdapat satu peristiwa yang menunjukkan hikmah oleh ‘Abdurrahman ibn ‘Auf r.a. (salah seorang sepuluh sahabat yang dijanjikan al Jannah). Kita tahu yang pemilihan Abu Bakar r.a berlaku secara spontan apabila kaum Ansar berkumpul untuk melantik khalifah. Masalahnya ialah hanya kaum Ansar yang berada di situ, tanpa kaum Muhajirin. Oleh itu, apabila ‘Umar r.a. mendengar hal ini, beliau risau kerana pemilihan ini tidak diputuskan oleh semua mukminun. Dia bergegas-gegas pergi ke perhimpunan kaum Ansar itu seraya berkata: “Apa yang kamu sedang buat?” Jawab mereka: “Kami tengah memilih seorang Amir al Mukminin.” Sambung ‘Umar: “Kamu adalah kaum yang dihormati, tiada siapa yang meraguinya, kamulah yang menyokong Rasulullah SAW dan memberi kami perlindungan. Tetapi kamu tahu taida siapa akan menjadi khalifah dari bukan kaum Quraisy.” Abu Bakr r.a. pula berkata: “Nah, sekarang kamu ada dua Muhajirin yang boleh kamu pilih (‘Umar dan Abu ‘Ubaidah r.a.)” ‘Umar menjawab: “Tidak. Abu Bakar, hulurkan tangan kamu. Saya mahu kamu menjadi khalifah.”

Abu Bakar dipilih dari kumpulan kecil itu. Selepas itu diumumkan perlantikan itu kepada semua dan beliau dilantik sekali lagi. Walau bagaimanapun, selepas itu, ‘Umar rasa cara itu salah, yakni, merasakan bahawa perlu syura yang lebih meluas lagi. Dia ingin menjelaskan perkara itu kepada mukminin. Maka pada satu musim haji, semasa beliau menjadi khalifah, beliau berhasrat untuk mengumumkan kesilapan itu di khalayak ramai. Tetapi ‘Abdur Rahman bin ‘Auf menasihatinya:

“Wahai Amirul Mukminin, jangan berbuat demikian kerana kumpulan yang datang untuk menunaikan haji mengandungi mereka yang boleh faham dan tidak boleh faham. Saya khuatir mereka yang tidak faham akan menyebarkan berita itu melalui cara yang salah, yang boleh menyebabkan fitnah. Cara yang paling baik ialah kembali ke Madinah, ceritakan pada sahabat yang terpilih. Mereka akan faham dan sebarkan berita itu dengan baik. Melalui cara ini, kamu akan mengelakkan fitnah pada kumpulan yang lebih besar dan majmu’.”

‘Umar bersetuju dengan cara hikmah ‘Abdur Rahman. Dia nasihat pemimpinnya secara senyap dan meminta penjelasan dibuat pada kumpulan yang lebih kecil. Lalu ‘Umar berbuat demikian di Madinah dengan mengumumkan bahawa cara perlantikan Abu Bakar tidak betul, tetapi, alhamdulillah, beliau memang layak, sebagai orang yang terbaik selepas Rasulullah SAW.

Kesimpulan
Nasihat dan islah amat diperlukan demi kematangan sesebuah organisasi. Akan tetapi, kaedah nasihat teguran dan islah lebih kita utamakan demi keharmonian organisasi.

DAKWAH MELALUI TIKTOK DAN KESANNYA KEPADA REMAJA MUSLIM DI MALAYSIA

  DAKWAH MELALUI TIKTOK DAN KESANNYA KEPADA REMAJA MUSLIM DI MALAYSIA   Mohd Amirul Hafiz Ahmad, Solehuddin Shuib, Khairulazhar Samsudin...