Saturday, February 5, 2011

Bagaimana mengelakkan fitnah dalam organisasi? Siri 10

Assalamu'alaikum wbth,

Sahabat/akhowat yang dirahmati Allah sekalian,

Ingin menyuarakan rasa prihatin dan simpati terhadap apa yang berlaku di Mesir. Semoga Allah SWT membantu mereka semua berjaya menubuhkan negara yang adil dan diberkati-Nya. Saya juga ingin lahirkan rasa simpati kepada para pelajar Malaysia di sana, terpaksa pulang ke Malaysia kerana faktor keselamatan dan pengajian mereka tertangguh.

`Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan'
Al Inyirah: 6


Di dalam kesempatan kali ini izinkan saya untuk menyambung ciri yang seterusnya cara elakkan dari berlakunya fitnah dalam sesebuah organisasi:Berahsia dalam memberi nasihat pada kepimpinan



10.Berahsia dalam memberi nasihat pada kepimpinan

Apabila anda menasihati seorang pemimpin, lakukan secara rahsia. Ia adalah penting demi mengelak tersebarnya rasa tidak puas hati di dalam organisasi. Apabila anda menuduh seorang pemimpin akan sesuatu secara terbuka, ia bukan lagi satu nasihat tetapi skandal. Jika ia dibuat secara rahsia, barulah menjadi sebagai nasihat, dia dapat mematuhinya dan mengurang merebaknya tindakan yang salah.

Sewaktu Rasulullah membahagikan harta rampasan perang, baginda tidak memberinya pada seorang sahabat yang baru bernama Ju’ail bin Suraqah. Mungkin baginda tidak menyedarinya ataupun ada sebab yang lain. Sa’ad ibn Abi Waqqas berkata:

“Aku pergi berjumpa Rasulullah SAW dan memberitahunya perlahan-lahan: Mengapa anda tidak memberi pada si fulan itu. Demi Allah, saya kira dia seorang yang beriman.”

Ibn Hajar, seorang pengulas al Bukhari, telah berkata tentang hadith ini:

“Ini bermakna memberi nasihat secara rahsia lebih baik dari secara terang-terangan. Ia menjadi wajib bila secara terang-terangan itu menimbulkan fitnah.”

Adalah suatu yang haram untuk memberi nasihat secara terbuka kepada seorang pemimpin. Semasa zaman para sahabat terdapat salah seorang amir yang melakukan kesilapan. Lalu orang pun bertanya kepada Usamah bin Zaid, pemimpin tentera menentang Rom, mengapa dia tidak menegur amir tersebut. Lalu dijawab Usamah:

“Anda menyangka saya tidak berbincang dengannya. Saya sering berbincang dengannya secara tertutup. Saya enggan membuka pintu fitnah dengan menegurnya secara terbuka.”

Seorang tabi’in, Abu Miqdad Al Juhani, pernah berkata pada anak-anaknya:

“Demi Allah, aku tidak akan menolong sesiapa lagi untuk membunuh seorang khalifah selepas ‘Uthman.”

Lalu anak-anaknya bertanya: “Adakah itu bermakna anda menolong orang membunuh ‘Uthman?”

Jawabnya: “Bukan begitu. Aku lihat bahawa apabila anda memperkatakan akan kesilapan seorang Amir secara terang-terangan, anda menolong membunuhnya.”

Abu Miqdad pernah memperkatakan akan kesilapan-kesilapan Khalifah ‘Uthman. Lalu mereka yang mempunyai niat jahat menggunakan ruang ini sebagai kesempatan untuk mempengaruhi orang ramai. Mereka menggunakan golongan yang baru memeluk Islam di Mesir dan Iraq untuk membunuh Khalifah. Abu Miqdad beranggapan itu adalah salah satu sebab yang membawa kepada pembunuhan Khalifah ‘Uthman.

Terdapat satu peristiwa yang menunjukkan hikmah oleh ‘Abdurrahman ibn ‘Auf r.a. (salah seorang sepuluh sahabat yang dijanjikan al Jannah). Kita tahu yang pemilihan Abu Bakar r.a berlaku secara spontan apabila kaum Ansar berkumpul untuk melantik khalifah. Masalahnya ialah hanya kaum Ansar yang berada di situ, tanpa kaum Muhajirin. Oleh itu, apabila ‘Umar r.a. mendengar hal ini, beliau risau kerana pemilihan ini tidak diputuskan oleh semua mukminun. Dia bergegas-gegas pergi ke perhimpunan kaum Ansar itu seraya berkata: “Apa yang kamu sedang buat?” Jawab mereka: “Kami tengah memilih seorang Amir al Mukminin.” Sambung ‘Umar: “Kamu adalah kaum yang dihormati, tiada siapa yang meraguinya, kamulah yang menyokong Rasulullah SAW dan memberi kami perlindungan. Tetapi kamu tahu taida siapa akan menjadi khalifah dari bukan kaum Quraisy.” Abu Bakr r.a. pula berkata: “Nah, sekarang kamu ada dua Muhajirin yang boleh kamu pilih (‘Umar dan Abu ‘Ubaidah r.a.)” ‘Umar menjawab: “Tidak. Abu Bakar, hulurkan tangan kamu. Saya mahu kamu menjadi khalifah.”

Abu Bakar dipilih dari kumpulan kecil itu. Selepas itu diumumkan perlantikan itu kepada semua dan beliau dilantik sekali lagi. Walau bagaimanapun, selepas itu, ‘Umar rasa cara itu salah, yakni, merasakan bahawa perlu syura yang lebih meluas lagi. Dia ingin menjelaskan perkara itu kepada mukminin. Maka pada satu musim haji, semasa beliau menjadi khalifah, beliau berhasrat untuk mengumumkan kesilapan itu di khalayak ramai. Tetapi ‘Abdur Rahman bin ‘Auf menasihatinya:

“Wahai Amirul Mukminin, jangan berbuat demikian kerana kumpulan yang datang untuk menunaikan haji mengandungi mereka yang boleh faham dan tidak boleh faham. Saya khuatir mereka yang tidak faham akan menyebarkan berita itu melalui cara yang salah, yang boleh menyebabkan fitnah. Cara yang paling baik ialah kembali ke Madinah, ceritakan pada sahabat yang terpilih. Mereka akan faham dan sebarkan berita itu dengan baik. Melalui cara ini, kamu akan mengelakkan fitnah pada kumpulan yang lebih besar dan majmu’.”

‘Umar bersetuju dengan cara hikmah ‘Abdur Rahman. Dia nasihat pemimpinnya secara senyap dan meminta penjelasan dibuat pada kumpulan yang lebih kecil. Lalu ‘Umar berbuat demikian di Madinah dengan mengumumkan bahawa cara perlantikan Abu Bakar tidak betul, tetapi, alhamdulillah, beliau memang layak, sebagai orang yang terbaik selepas Rasulullah SAW.

Kesimpulan
Nasihat dan islah amat diperlukan demi kematangan sesebuah organisasi. Akan tetapi, kaedah nasihat teguran dan islah lebih kita utamakan demi keharmonian organisasi.

No comments:

DAKWAH MELALUI TIKTOK DAN KESANNYA KEPADA REMAJA MUSLIM DI MALAYSIA

  DAKWAH MELALUI TIKTOK DAN KESANNYA KEPADA REMAJA MUSLIM DI MALAYSIA   Mohd Amirul Hafiz Ahmad, Solehuddin Shuib, Khairulazhar Samsudin...