Kualiti da'i Siri 8 bahagian vi




Assalamu'alaikum wbth,

Sahabat/akhowat yang dirahmati Allah sekalian,

Sama-samalah para mahasiswa yang ada mula membuat persiapan untuk masuk ke dalam tamrin Ramadan yang akan menjelang tidak lama lagi.

Menurut SMMashyur di dalam kitab Zaadu a'la at toriq: apabila disebut Ramadan seolah-olah anda dingingatkan tentang sebuah kebun yang semerbak wangi yang dilalui oleh seorang Muslim. Ia dalam perjalanan di tengah-tengah padang pasir kehidupan yang bahang panasnya tidak terperi dan terpaksa menempuhi pelbagai dugaan. Jika keseluruhan ibadah puasa merupakan bekalan dan kebaikan, maka puasa di bulan Ramadan pasti menambahkan bekalan ini berlipat ganda.


Sahabat/akhowat yang dirahmati Allah sekalian,

Antara kesan-kesan iman yang mendalam dalam diri seorang da'i yang seterusnya ialah: Lahir dalam dirinya kenikmatan dalam melakukan ibadah pada Allah SWT

Apabila lahir dalam dirinya kenikmatan dalam melakukan ibadah pada Allah SWT, maka akan terhasilkan ibadah yang berkualiti.

Seorang yang beriman, apabila melakukan sesuatu ibadah, tidaklah wajar baginya melakukan sekadar ‘melepaskan batuk di tangga’. Namun beliau mementingkan kualiti yang baik di dalam sesuatu ibadah. Hal ini telahpun diperjelaskan dengan panjang lebar oleh Doktor Yusuf al-Qardawi di dalam kitabnya Ibadah Dalam Islam yang boleh dirumuskan seperti berikut:

1)Dilaksanakan segala kerja atau urusan dengan niat yang saleh. Yakni dengan niat yang ikhlas kerana Allah semata-mata.

2)Segala kerja dan urusan dilakukan dengan cara-cara yang diluluskan oleh syara’. Atau dengan kata lain - tidak berlawanan dengan ajaran Allah Subhanahuwata’ala.

3)Dilaksanakan kerja dan urusan dengan itqan, yakni dengan penuh kesungguhan, dedikasi dan tekun.

4)Iltizam dalam meninggalkan larangan-larangan Allah Subhanahuwata’ala. Jangan melakukan kezaliman, penganiayaan, penipuan, pencerobohan hak orang lain dan sebagainya. Janganlah terjadi sambil-sambil melakukan ibadah, lakukan pula larangan-larangan Allah Subhanahuwata’ala.

5)Jangan sampai sewaktu melakukan kerja dan urusan hidup, lalai pula dalam melaksanakan ibadah atau kewajipan yang asasi seperti solah dan zakat.


Rujukan:
1. SMMashyur, Bekalan di atas Jalan Dakwah
2. Khutbah Ust Omar Hj Saleh, 11 Jun 2004

Comments

Popular posts from this blog

Respon: Bagaimana bertaaruf berkesan 2?

Pengajaran daripada Surah Al Muzammil

KELEBIHAN DO'A RABITHAH