TAFSIR LIBERAL DALAM TAFSIR AL-QURAN

 

PENGENALAN

Di dalam Islam, Al-Quran merupakan sumber rujukan tertinggi yang menjadi mercu kepada keagungan syiar Islam. Segala permasalahan berkaitan Islam, termasuklah pengistinbatan hukum hakam semuanya dirujuk kepada Al-Quran dahulu sebagai sumber utama. Al-Quran bukan sahaja menjadi sumber hukum, malahan ianya menjadi sumber sebagai pedoman kehidupan manusia sejagat.

Sebagai seorang yang beriman, kita hendaklah meyakini bahawa Al-Quran adalah sumber yang tidak ada kekurangan dan relevan sepanjang masa. Cogan kata yang di petik dari para ulama’ terhadap Al-Quran iaitu salih li kulli zaman wa makan ( kitab suci yang merentasi zaman dan keadaan) menunjukan bahawa Al-Quran adalah satu sumber yang sangat relevan sepanjang zaman.

Untuk menjaga kemuliaan dan kesucian ayat-ayat Al-Quran, para ulama’ tafsir telah menyusun kaedah penafsiran yang sangat jitu dan mempunyai disiplin yang ketat, agar penafsiran itu selari dengan apa yang cuba disampaikan oleh Allah dan RasulNya kepada umat manusia keseluruhannya.

Namun begitu, seiring dengan peredaran zaman telah munculnya sebuah gerakan liberal yang berselindung di sebalik nama Islam mewujudkan keraguan di kalangan umat Islam mengenai kaedah penafsiran Al-Quran yang sedia ada dan menyatakan bahawa kaedah tafsiran yang sedia ada adalah kaedah yang salah dan menyempitkan pemodenan manusia.

PERMASALAHAN

Gerakan Islam Liberal telah wujud di akhir zaman ini dan telah menyebabkan perpecahan di kalangan umat Islam. Keraguan demi keraguan telah diwujudkan oleh golongan ini terhadap umat Islam yang semakin rapuh ilmun pengetahuan dan keimanan mereka. Ini sekaligus telah menyebabkan ramai umat Islam terjebak dan terpengaruh dengan gerakan liberalisme ini.

Pemikiran golongan ini adalah berasaskan kepada pegangan falsafah kaum Barat iaitu berkaitan Humaniterisme iaitu satu pegangan yang menekankan mengenai hak kemanusiaan setiap individu. Mereka ini berpegang kepada prinsip barat iaitu hak kebebasan individu dan mereka berpandangan ini adalah pegangan yang paling relevan mengikut peredaran zaman. Namun begitu, mereka tidak melihat bahawa kaum Barat sendiri gagal memakmurkan kehidupan penduduk mereka walaupun berpegang dengan prinsip ini.

Demi untuk merelisasikan pegangan mereka, mereka cuba untuk mengubah tafsuiran sumber utama rujukan umat Islam dahulu, iaitu Al-Quran. Mereka mengatakan bahawa kaedah penafsiran Al-Quran yang telah ditetapkan oleh ulama’ adalah salah dan menyekat perkembangan kemodenan manusia.

Mereka juga dengan lantang menolak sebahagian ayat-ayat Al-Quran yang dirasakan tidak relevan pada zaman ini dan mengatakan bahawa sebahagian ayat Al-Quran hanya relevan pada zaman Nabi Muhammad sahaja. Mereka juga mengatakan bahawa Al-Quran hanya menceritakan sesuatu yang relevan untuk masyarakat arab pada zaman Nabi Muhammad sahaja.

Walaupun secara dasarnya mereka tidak menolak keseluruhan ayat Al-Quran, tetapi mereka hanya berpegang kepada ayat-ayat yang dirasakan relevan pada zaman sekarang sahaja seperti ayat yang berkaitan hak asasi manusia dan yang seumpamanya. Selebihnya, mereka akan mengubah tafsiran mengikut cita rasa mereka dan nafsu mereka agar impian mereka terlaksana. Bagi sebahagian ayat yang mereka tidak dapat mencari tafsiran yang sesuai mengikut akal mereka maka mereka akan menolak ayat tersebut dan menyatakan bahawa ayat tersebut tidak sesuai dengan peredaran zaman.

Golongan ini juga giat menekankan supaya kaedah penafsiran Al-Quran di kaji semula. Mereka berpendapat bahawa semua orang berhak untuk mendatangkan ijtihad sendiri dalam menafsirkan Al-Quran dan tidak hanya ekslusif untuk golongan agamawan semata-mata. Malahan mereka menekankan bahawa Al-Quran yang tidak boleh di canggahi hanyalah Al-Quran yang asal iaitu di Luh Mahfudz, sebaliknya Al-Quran yang telah tertulis adalah hasil dari kecerdasan pemikiran Nabi Muhammad dan boleh di ubah sesuai dengan peredaran zaman.

OBJEKTIF KERTAS KERJA KAJIAN

Di dalam kertas kerja ini akan dijelaskan perbincangan berkaitan TIGA(3)  perkara utama, iaitu:

a.     Memberi takrifan berkaitan tafsir liberal di dalam Al Quran

b.     Menerangkan contoh-contohnya dan kesannya kepada masyarakat Islam

c.     Memberi kaedah untuk mengelakkan dari terpengaruh

OBJEKTIF YANG PERTAMA - TAKRIFAN BERKAITAN TAFSIR LIBERAL DI DALAM AL QURAN

 

DEFINISI TAFSIR AL QURAN

Pengertian tafsir Al Quran secara umum menurut bahasa ialah penerangan ataupun penjelasan. Dari sudut syara’ pula ianya membawa makna suatu cabang ilmu untuk memahami kitab Allah yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad, serta dapat mengetahui makna-maknanya, dapat mengeluarkan hukum hakam dan hikmahnya.

            Seorang penafsir Al-Quran perlu menguasai ilmu bahasa Arab, nahu, sorof, qira’at, bayan, asbab al-nuzul, usul al-fiqh serta al-nasikh wa al-mansukh. Imam Suyuti pula menambah bahawa seorang penafsir itu juga perlu mengetahui mengenai ayat-ayat Makki serta Madani, ayat Muhkam dan mutasyabih, ayat-ayat khas serta ‘am dan juga ayat yang Mutlaq serta muqayyad.

 

DEFINISI LIBERAL

Pengertian liberal secara umum yang ditafsirkan oleh pihak Jakim ialah, suatu kaedah pemikiran bebas, terbuka dan dikawal oleh hawa nafsu dalam pelbagai cabang bidang, dan bukan hanya khusus di dalam bidang agama sahaja. Namun begitu, definisi hawa nafsu itu menjadi pertikaian beberapa cendiakawan dalam menafsirkannya dan kaitannya dengan pemikiran bebas. Kesimpulan yang terdekat kaitan di antara pemikiran bebas dan hawa nafsu tersebut ialah satu kaedah pemikiran bebas serta tidak terikat yang tidak berpandukan kepada garis panduan sepatutnya di dalam sesuatu bidang.

Mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri ada menyatakan definisi Gerakan liberalisme agama ialah satu bentuk Gerakan untuk membebaskan umat Islam dari belenggu kesempitan dan ketinggalan akibat bentuk fahaman konservatisme serta fundamentalisme agama dengan kaedah menghargai kepelbagaian pandangan, membuka pintu ijtihad kepada semua orang, memperjuangkan hak asasi manusia serta mempertahankan kebebasan untuk semua.

Sekiranya di nilai, tidak ada kesalahan di dalam Gerakan tersebut, namun begitu sebenarnya Gerakan tersebut bergerak dengan kaedah meruntuhkan dan melemahkan kaedah tradisi ilmuan Islam serta tidak mengikut garis panduan yang telah ditetapkan agar tidak tergelincir kepada kesalahan. Malahan pula, pintu ijtihad di buka tanpa ada sekatan kepada semua orang, sama ada mereka menguasai keilmuan agama ataupun tidak.

DEFINISI TAFSIR LIBERAL

Sekiranya dilihat kepada kedua-dua tafsiran tersebut, dapatlah kita nilaikan bahawa untuk menafsirakan Al-Quran, seorang penafsir tersebut perlulah menguasai pelbagai cabang ilmu, agar bentuk penafsiran tersebut tidak lari dari landasan sebenar maksud yang ingin disampaikan oleh Allah Taala kepada para hamba-Nya.

Namun begitu, bagi seorang yang berideologi liberal, mereka bebas untuk menafsirkan Al-Quran tanpa melalui landasan keilmuan sepatutnya. Bagi mereka sesiapa sahaja yang berakal boleh menafsirkan Al-Quran mengikut acuan yang dikehendaki oleh diri masing-masing. Teori relativisme digunakan oleh golongan ini untuk menafsirkan nas-nas di dalam Al-Quran dengan menyatakan bahawa tidak ada suatu pun kebenaran yang mutlak.

Golongan liberal menafsirkan Al-Quran secara konseptual dan Scriptularist iaitu memahami Al-Quran secara kesatuan yang menyeluruh dan tidak terikat dengan mana-mana kaedah tradisi di dalam agama. Golongan liberal ini terpengaruh dengan budaya skeptik, iaitu berasa curiga dengan kebenaran di dalam agama. Atas dasar ini, maka para liberalist ini mengkritik kaedah para ulama’ dalam menafsirkan Al-Quran dan beranggapan bahawa kaedah mereka adalah jumud.

OBJEKTIF YANG KEDUA:  MENERANGKAN CONTOH-CONTOHNYA DAN KESANNYA KEPADA MASYARAKAT ISLAM

 

Di dalam Surah Al Baqarah ayat 256, Allah SWT berfirman:

ู„َุงٓ ุฅِูƒْุฑَุงู‡َ ูِู‰ ูฑู„ุฏِّูŠู†ِ ۖ ู‚َุฏ ุชَّุจَูŠَّู†َ ูฑู„ุฑُّุดْุฏُ ู…ِู†َ ูฑู„ْุบَู‰ِّ ۚ ูَู…َู† ูŠَูƒْูُุฑْ ุจِูฑู„ุทَّู€ٰุบُูˆุชِ ูˆَูŠُุคْู…ِู†ۢ ุจِูฑู„ู„َّู‡ِ ูَู‚َุฏِ ูฑุณْุชَู…ْุณَูƒَ ุจِูฑู„ْุนُุฑْูˆَุฉِ ูฑู„ْูˆُุซْู‚َู‰ٰ ู„َุง ูฑู†ูِุตَุงู…َ ู„َู‡َุง ۗ ูˆَูฑู„ู„َّู‡ُ ุณَู…ِูŠุนٌ ุนَู„ِูŠู…ٌ ูขูฅูฆ

Ertinya:

Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Surah Al-Baqarah Ayat 256

Berdasarkan kepada surah al-Baqarah ayat 256, para ulama’ menafsirkan makna sebenar ayat tersebut ialah larangan bagi kaum muslimin untuk memaksa orang bukan Islam untuk memeluk Islam. Sebaliknya keputusan seseorang untuk memeluk Islam mestilah atas dasar redha serta ikhlas tanpa paksaan mana-mana pihak. Namun begitu, umat Islam tetap digalakan untuk menyampaikan dakwah secara hikmah kepada golongan tersebut.

Berbeza dengan tafsiran yang dilakukan oleh golongan liberal, mereka menafsirkan bahawa ayat tersebut menjelaskan bahawa setiap manusia layak untuk menjadi mujtahid dan bebas berfikir secara rasional untuk memenuhi kehendak nafsu dalam mencari sesuatu kebenaran. Malahan tidak ada sesiapa pun boleh menghukum seseorang itu kafir, murtad ataupun ahli bida’ah.

Melihat kepada perbezaan tafsiran tersebut jelas menunjukan bahawa golongan liberal hanya menggunakan akal serta rasional semata-mata untuk menafsirkan ayat Al-Quran demi tujuan untuk menghalalkan ideologi mereka untuk mencapai kebebasan. Mereka secara terang-terangan mengkritik dan menolak autoriti agama kerana bagi pandangan mereka tradisi keilmuan ini menyebabkan manusia terkongkong dari mencapai kebebasan dalam beragama dan sekaligus menafikan kebebasan hak asasi manusia.

ูˆَุฌَุงุۤกَู‡ٗ ู‚َูˆْู…ُู‡ٗ ูŠُู‡ْุฑَุนُูˆْู†َ ุงِู„َูŠْู‡ِۗ ูˆَู…ِู†ْ ู‚َุจْู„ُ ูƒَุงู†ُูˆْุง ูŠَุนْู…َู„ُูˆْู†َ ุงู„ุณَّูŠِّุงٰุชِۗ ู‚َุงู„َ ูŠٰู‚َูˆْู…ِ ู‡ٰุٓคُู„َุงุۤกِ ุจَู†َุงุชِูŠْ ู‡ُู†َّ ุงَุทْู‡َุฑُ ู„َูƒُู…ْ ูَุงุชَّู‚ُูˆุง ุงู„ู„ّٰู‡َ ูˆَู„َุง ุชُุฎْุฒُูˆْู†ِ ูِูŠْ ุถَูŠْูِูŠْۗ ุงَู„َูŠْุณَ ู…ِู†ْูƒُู…ْ ุฑَุฌُู„ٌ ุฑَّุดِูŠْุฏٌ

Ertinya:

Dan kaumnya segera datang kepadanya. Dan sejak dahulu mereka selalu melakukan perbuatan keji. Lut berkata, “Wahai kaumku! Inilah putri-putri (negeri)ku mereka lebih suci bagimu, maka bertakwalah kepada Allah dan janganlah kamu mencemarkan (nama)ku terhadap tamuku ini. Tidak adakah di antaramu orang yang pandai?”

Surah Al-Hud Ayat 78

 

Berdasarkan ayat di atas, ulama’ mufassirin menafsirkan bahawa kaum Nabi Luth datang dalam keadaan yang bersemangat dan penuh dengan nafsu, kerana mereka mendapat perkhabaran bahawa ada tetamu lelaki yang datang menziarahi Nabi Luth dan keadaan rupanya yang sangat kacak. Kaum nabi Luth terkenal mempunyai nafsu sesama jenis dan ingin Nabi Luth menyerahkan tetamu tersebut kepada mereka, padahal mereka tidak mengetahui bahawa tetamu tersebut adalah malaikat yang menyerupai lelaki.

Melihat kepada keadaan nafsu kaum Nabi Luth yang songsang iaitu lelaki menyukai lelaki, manakala wanita menyukai wanita, maka malaikat tersebut datang untuk memberitahu kepada Nabi Luth bahawa kaumnya akan ditimpa bala oleh Allah Taala atas sebab perbuatan mereka. Perkabaran itu disampaikan kepada Nabi Luth agar baginda sempat menyelamatkan diri bersama para pengikut beliau yang taat.

Menurut pandangan akal rasional golongan liberal dalam menafsirkan ayat ini pula, mereka menyatakan bahawa Allah Taala menurunkan bala kepada kaum Nabi Luth di sebabkan perbuatan mereka yang biadap terhadap tetamu yang datang menziarahi Nabi Luth, bukan disebabkan oleh perbuatan mereka yang melayani nafsu songsang mereka.

Hasil daripada tafsiran golongan liberal ini, maka mereka dengan jelas dan terang-terangan menghalalkan aktiviti LGBT iaitu suatu jenis aktiviti hubungan songsang yang berlaku kepada umat Nabi Luth. Mereka mengatakan bahawa Allah Taala tidak akan menimpakan bala kepada mereka yang bernafsu songsang dan tidak ada kesalahan di dalam berhubungan sesama jenis.

OBJEKTIF YANG KETIGA - MEMBERI KAEDAH UNTUK MENGELAKKAN DARI TERPENGARUH

 

MENGHADKAN KEBEBASAN BERSUARA

 

Pada tahun 2018, telah berlaku peralihan kuasa kerajaan kepada satu parti yang telah memberikan kelonggaran serta kebebasan yang berlebihan dalam bersuara. Ini menyebabkan golongan liberal ini telah semakin berani menyuarakan ideologi hak kebebasan dan menuntut agar kerajaan meneliti semula undang-undang sedia ada agar selari dengan hak kebebasan manusia menurut acuan Barat.

Golongan liberal ini juga dilihat semakin berani untuk berjumpa dengan Menteri Hal Ehwal Agama pada ketika itu iaitu Dr Mujahid Rawa untuk membincangkan agar satu kajian dilakukan semula keatas penafsiran ayat-ayat Al-Quran agar selari dengan hak kebebasan manusia termasuklah menghalalkan aktiviti LGBT.

Tindakan pihak kerajaan dalam melonggarkan hak kebebasan bersuara ini telah menyebabkan pelbagai masalah yang timbul, terutamanya penyebaran ideologi liberalisme ini serta tuntutan-tuntutan yang dilakukan oleh mereka kepada pihak kerajaan. Melihat kepada permasalahan ini, adalah wajar agar pihak kerajaan menghadkan kebebesan bersuara untuk perkara-perkara yang tertentu sahaja dan menyekat penularan ideologi liberalisme ini.

MEMPELAJARI ILMU TAFSIR

 

Melihat kepada permasalahan tersebarnya fahaman ideologi liberalisme ini dalam penafsiran Al-Quran, maka seharusnya umat Islam keseluruhannya mengambil inisiatif untuk mempelajari ilmu tafsir Al-Quran mengikut tradisi yang keilmuan yang benar agar tidak terpengaruh dengan dakyah kaum liberal ini. Ini adalah kerana dengan kerapuhan menguasai ilmu tafsir ini, umat Islam tidak mempunyai benteng dalam mempertahankan keimanan berteraskan Al-Quran kerana tidak mengetahui tafsiran sebenar dari ayat-ayat tersebut.

Keengganan umat Islam dalam mempelajari ilmu tafsir juga menyebabkan umat Islam lebih condong memandang kepada barat dan terikut kepada ideologi mereka. Ini menyebabkan akan lahir lebih ramai mujtahid-mujtahid yang menafsirkan ayat Al-Quran berdasarkan kepada rasional akal semata-mata demi memenuhi tuntutan nafsu semata-mata.

KESIMPULAN

Ideologi liberalisme yang terhasil dari pemikiran barat semakin menerjah masuk di kalangan umat Islam masa kini. Iedeologi yang melaungkan kebebasan manusia ini menyebabkan ramai orang tergelincir dari landasan ilmu yang sebenar dalam membuat penafsiran ayat-ayat Al-Quran, sehinggakan Al-Quran yang sepatutnya menjadi pedoman umat Islam dalam kehidupan seharian ditafsirkan menurut akal logik yang bersesuaian dengan nafsu.

Fatwa yang telah dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan juga Majlis Fatwa Negeri Selangor, jelas menunjukan ancaman oleh golongan liberal ini. Ancaman ini menjadi lebih parah apabila umat Islam sekarang semakin kurang mendalami ilmu agama mengikut acuan tradisi serta lebih terikut kepada acuan Barat. Hak kebebasan bersuara juga menyebabkan pengikut ideologi ini semakin lantang dalam menyuarakan ideologi mereka.

Justeru itu, kita sebagai umat Islam seharusnya lebih cakna mengenai isu liberalisme ini dan mempertahankan tradisi keilmuan Islam khususnya dalam ilmu tafsir Al-Quran, kerana ia menjadi rujukan utama umat Islam. Sekiranya Al-Quran ditafsirkan secara logik akal dan berpandukan nafsu, maka akan pincanglah umat Islam itu sendiri dan akhirnya akan terjerumus seperti kaum Kristian yang menafsirkan Bible mengikut logik dan kesesuaian zaman.


 

RUJUKAN

“Tafsir Liar Islam Liberal.” Www.qureta.com, www.qureta.com/post/tafsir-liar-islam-liberal. Accessed 20 Nov. 2022.

Ahmad, Abu Dzar, and Nik Din, Nik Ahmad Mumtaz. "Kritikan Islam Liberal Terhadap Pentafsiran Al-Quran: Tumpuan Isu Terhadap Ayat 256, Surah Al-Baqarah." Jurnal Al-Haady, 2021.

Azmi, Ahmad Sanusi. "Ancaman Pemikiran Liberal Terhadap Pembangunan Peradaban Islam Di Malaysia: Analisis Isu-Isu Berkaitan Penafsiran al-Quran." Jurnal Peradaban Islam, 2020.

CelikTafsir, Author. “Tafsir Surah Hud Ayat 78 – 81 (Kaum Nabi Luth Homoseksual).” Celik Tafsir, 31 Aug. 2016, celiktafsir.net/2016/08/31/hud-ayat-78-81/. Accessed 20 Nov. 2022.

Eni, Zulaini, et al. "Selayang Pandang Tafsir Liberal di Indonesia." Jurnal Iman dan Spiritualitas, 2021, https://doi.org/http://dx.doi.org/10.15575/jis.v1i2.11700.

Maofur, Edward , and Mohd. Yusoff, Mohd Yakub@Zulkifli. "Pengaruh Liberalisme Terhadap Kajian Al-Quran di Indonesia." Jurnal Usuluddin, 2014.

MUHAMAD, FAISAL. “Islam Liberal: Satu Definisi.” Sinar Harian, 19 Sept. 2020, www.google.com/amp/s/www.sinarharian.com.my/ampArticle/101665. Accessed 20 Nov. 2022.

 Tarmizi, Luqman. “AL-KAFI #1226 : Perbezaan Antara Tafsir Dan Tadabbur Al-Qur’an.” Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, 18 Apr. 2019, muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3322-al-kafi-1226-perbezaan-antara-tafsir-dan-tadabbur-al-qur-an.

 

 

Comments

Popular posts from this blog

Respon: Bagaimana bertaaruf berkesan 2?

Pengajaran daripada Surah Al Muzammil

KELEBIHAN DO'A RABITHAH