Friday, December 31, 2010

Pesanan pemimpin organisasi Islam berkaitan Tarbiah Pemuda

Imam Hasan Al-Banna:
“Wahai pemuda!
Setiap fikrah itu akan hanya berjaya apabila ia diperkuatkan dengan iman, dilengkapkan dengan keikhlasan yang mendalam untuk memperjuangkannya, ditambah dengan semangat yang berkobar-kobar dan persediaan yang rapi untuk beramal dan berkorban dalam perlaksanaannya.


Sh Mustafa Mashyur
`TARBIYAH BUKANLAH SEGALA-GALANYA, NAMUN DENGAN TARBIYAH SEGALA-GALANYA BOLEH TERCAPAI’

Mujahid Fathi Yakan:

”Pada hakikatnya usia muda seorang pemuda ialah usia yang penuh dengan cita-cita yang tinggi, darah yang gemuruh dan idealisma yang luas. Iaitu usia memberi pengorbanan dan menebus semula (maruah umat). Usia menabur jasa, memberi kesan dan kuat emosi”
”Pemuda ialah suatu tenaga yang digunakan oleh Islam untuk membangun dan memakmurkan alam, tetapi pihak lain telah mempergunakan pemuda untuk meruntuhkan umat.”

”Sesungguhnya masyarakat kini penuh sesak dengan para pemuda, tetapi para pemuda ini hanyalah kosong, hanyut dan terbiar”

Prof. Dr. Yusuf Al Qardhawi
”Generasi mendatang (iaitu) generasi yang dimenangkan Allah adalah generasi yang tidak sudi bekerja dalam kegelapan.”
”Mereka yakin bahawa kemuliaan boleh dicapai dengan pengorbanan, bukan dengan berbangga-bangga diri. Mereka juga yakin kemenangan dan kejayaan tidak boleh dicapai dengan banyak bercakap. Mereka yakin cita-cita yang suci akan terwujud dengan kesungguhan dan kerja yang berencana, bukan dengan senda gurau.”

Bagaimana mengelakkan fitnah dalam organisasi? Siri 7

Assalamu'laikum wbth,

Sahabat/akhowat yang dirahmati Allah sekalian,

Begitu cepat masa berlalu, tahun 2010 sudah hampir meninggalkan kita. Setiap detik masa berlalu, sebenarnya semakin dekat kita dengan panggilan kubur. Justeru itu, lipat gandakanlah amalan kita.

Akhir-akhir ini di kaca TV sering dipaparkan mengenai tayangan mengenai tanda-tanda kiamat menurut perspektif agama lain. Ada macam-macam ramalan yang mereka buat sama ada melalui Notradamus, Newton maupun daripada kitab agama Yahudi Nasarani turut dipaparkan. Ada yang mereka perkatakan itu ada yang hampir sama dengan apa yang Islam nyatakan. Namun bagi kita orang Islam semua hal berkaitan dengan tanda-tanda kiamat sama ada tanda kecil ataupun besar semestinya berdasarkan kepada apa yang disampaikan oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW. Kitab yang baik untuk dirujuk ialah kita rujuk ialah kita mengenai kiamat kecil, kiamat besar, syurga dan neraka oleh Dr. Sulaiman Ashqar.


Di dalam kesempatan kali ini izinkan saya untuk menyambung ciri yang seterusnya mengenai penyebab berlakunya fitnah dalam sesebuah organisasi iaitu Menilai seseorang dengan kebenaran bukan menilai kebenaran dengan seseorang. Bagi, kita prinsip ini perlu jelas.


7.Menilai seseorang dengan kebenaran bukan menilai kebenaran dengan seseorang. (Ta’riful rijal bil haq la ta’riful haq bil rijal)

Terimalah sesuatu berdasarkan kebenarannya bukan kerana status yang mengatakannya. Menimbang kedudukan seseorang juga hendaklah atas dasar sejauh mana jaraknya dari prinsip dan ajaran Islam, pandangan dan kefahamannya terhadap da’wah dan deen Allah SWT.

Sayyidina ‘Ali r.a. di dalam kata-katanya yang masyhur telah menyebut:

“Ta’riful rijal bil haq la ta’riful haq bil rijal”

“Nilailah seseorang dengan kebenaran bukan menilai kebenaran dengan seseorang.”


Tidak bermakna bila seseorang memegang jawatan yang tinggi dalam struktur organisasi, apa sahaja yang dikata adalah kebenaran. Kita tidak berfikir secara sedemikian. Apabila seseorang membuat kenyataan, kita menerimanya berdasarkan jauh dan dekatnya dengan ajaran Islam, bukan kerana orang itu berkedudukan tinggi. Sebaliknya, kita nilai seseorang atas lisan dan ‘amalnya. Jika amalannya sesuai dengan tuntutan ajaran Islam dan percakapannya mencerminkan kefahaman Islam, maka ia dikira baik. Akan tetapi jika ‘amal dan lisannya tidak mencerminkan ajaran Islam , maka dia berada di tahap rendah. Ini adalah sangat mustahak dalam kita menilai.

Kesimpulan
Neraca kita di dalam menilai kebenaran itu ialah sejauh mana dekatnya dengan ajaran Islam.

Thursday, December 23, 2010

Bagaimana mengelakkan fitnah dalam organisasi? Siri 6

Assalamu'laikum wbth,

Sahabat/akhowat yang dirahmati Allah sekalian,

Di dalam Islam, terdapat satu panduan di dalam kita membuat penilaian. Kita diajar untuk menilai seseorang Muslim berdasarkan kebaikan dan kesalahan yang dilakukannya secara adil. Oleh sebab itu, taaruf amat penting agar kita dapat mengenai hati budi dan jatidiri seseorang.Di dalam siri kali ini antara aspek penyebab berlakunya fitnah dalam sesebuah organisasi ialah NERACA MENILAI SESEORANG


6. Menilai seseorang berdasarkan seluruh hidupnya

Kita hendaklah menilai seseorang itu berdasarkan kepada keseluruhan, bukan berdasarkan satu peristiwa atau sebahagian kecil dari hidupnya. Selalunya, datang seorang yang sangat ghairah tentang ‘amal Islam, banyak bercakap dan mahu melakukan banyak perkara. Anda mengatakan dia seorang yang sangat berpotensi. Anda meninggikan dan cepat-cepat menaikkan tarafnya. Sebaliknya, ada seorang yang pada satu ketika melakukan kesilapan lalu anda terus merendahkannya.

Itu bukanlah satu tindakan yang wajar dalam menilai seseorang. Jalan yang selamat ialah kita menilai seseorang berdasarkan seluruh hidupnya, bagaimanakah ia secara umum. Kemungkinan terdapat satu dua perkara ganjil padanya, tetapi secara umum dia adalah lebih baik, dan itulah yang anda nilaikan. Pada satu masa seseorang boleh berlagak baik, sering ke masjid, bercakap tentang Islam dan dia menjadi pilihan anda. Anda terlupa bahawa sejarahnya terdapat kisah yang berbeza.

Terhadap seorang yang selama ini dalam keadaan yang baik, kemudian melakukan satu kesilapan, janganlah merendahkannya dan mengatakan dia sudah tidak berguna lagi. Lihatlah pada keseluruhan hidupnya, adakah padanya terdapat lebih kebaikan atau keburukan, itulah cara kita menilai.

Muslim terdahulu, apabila menilai seseorang dalam rijal hadith, mereka meninjau seluruh sejarah hidupnya. Hadithnya diterima atau tidak berdasarkan keseluruhan hidupnya.

Dalam sirah berlaku di mana golongan munafiqin menuduh Sayyidatina ‘Aisyah r.a. melakukan zina. Peristiwa itu bermula setelah tamatnya sebuah peperangan. ‘Aisyah duduk di dalam khemah bersama-sama rombongan. Satu masa ‘Aisyah pergi buang air kecil dan rantainya terjatuh. Sedang beliau cuba untuk mencarinya, rombongan Rasulullah itu tidak menyedari ketiadaan ‘Aisyah lalu berangkat pulang ke Madinah. Rasulullah SAW biasanya menyuruh seorang sahabat tinggal di belakang untuk memastikan tiada lagi yang tercicir. Kali ini sahabat yang bertugas ialah Safwan. Sedang dia mencari-cari apa-apa yang mungkin tertinggal, dia bertemu dengan ‘Aisyah. Lalu dia membenarkan ‘Aisyah naik untanya dan dia sendiri berjalan di hadapan.

Apabila mereka tiba di Madinah, golongan munafiqin menyebarkan fitnah bahawa ‘Aisyah tinggal di belakang bersama Safwan dan melakukan perbuatan sumbang. Beberapa orang Islam sendiri turut mengulang tuduhan orang munafiq itu seperti Mistah dan Hassan bin Tsabit, penyair yang terkenal itu. Hassan biasa menghasilkan syair yang sangat baik dalam mempertahankan Islam atau menentang kufur. Dia telah berperanan dalam masyarakat yang memberi nilai yang tinggi pada syair. Syair sangat berpengaruh hingga dapat mengubah satu-satu keadaan.

Hassan sangat berpengaruh tetapi terjebak dalam satu kesilapan, iaitu mengulang tuduhan yang dibuat oleh munafiqin. Tuduhan yang palsu seperti ini dalam Islam adalah satu dosa yang besar dan dihukum 100 kali sebatan. Setelah sekian waktu berlalu, turun ayat Al Quran mengatakan ‘Aisyah tidak berdosa. Rasulullah SAW menghukum mereka yang telah menuduh ‘Aisyah termasuk Hassan.

Satu ketika anak saudara ‘Aisyah, ‘Urwah bin Zubair Al Awwam, telah berkata mengenai Hassan dan melahirkan rasa marahnya. Tetapi ‘Aisyah sendiri menjawab:

“Anak saudaraku, biarkanlah dia. Dia pernah membela Rasulullah dengan syairnya.”

Begitulah cara ‘Aisyah melihat pada Hassan. Keseluruhan hidupnya adalah mulia, tetapi satu ketika dia melakukan kesilapan, namun itu bukan alasan untuk merendahkannya. ‘Aisyah telah membela Hassan ketika dia dicemuh oleh anak saudaranya.

Sekiranya ada seorang saudara kita yang telah melakukan jihad yang baik pada Islam tetapi kemudian melakukan beberapa kesilapan. Anda tidak terus menolak dan merendahkannya. Maafkanlah dia atas kesilapan itu berdasarkan sejarah hidupnya. Kemudian datang pula seseorang dan anda tahu bahawa seluruh sejarahnya mengandungi keburukan. Tunggulah sehingga dia benar-benar baik sebelum memberi jawatan dan meletakkannya hampir pada anda.

Kesimpulan
Di dalam organisasi, kita ada kayu ukur untuk menilai. Kesilapan kita di dalam menilai akan merosakkan organisasi seluruhnya.

Friday, December 17, 2010

Bagaimana mengelakkan fitnah dalam organisasi? Siri 5

Assalamu'laikum wbth,

Sahabat/akhowat yang dirahmati Allah sekalian,

Semua orang ada sifat marah. Persoalannya sama ada ianya boleh dikawal atau tidak dapat dikawal. Di dalam kitab Imam Ghazali dihuraikan dengan panjang lebar mengenai hal ini. Di dalam siri kali ini aspek yang dapat membantu berlakunya fitnah dalam sesebuah organisasi ialah dapat menjaga taqwa ketika marah.

5.Bertaqwa ketika marah

Apabila tercetus peristiwa yang boleh membangkitkan kemarahan anda, itulah masanya anda ingat untuk bertaqwa kepada Allah. Selalunya kesilapan dalam pertimbangan dan kesalahan-kesalahan berlaku ketika sedang marah. Anda tidak berada dalam kawalan diri sepenuhnya. Katakan telah datang seorang yang mencerca organisasi kita atau kerja-kerja kita lalu ini menimbulkan kemarahan anda. Kemungkinan anda tidak dapat membuat pertimbangan yang baik lalu terus membalas dan melenting. Ini akan meninggalkan kesan ke atas pandangan orang ramai pada Islam dan organisasi kita. Sebaliknya cuba bertenang dan ingatlah bahawa anda perlu mengingati Allah agar tidak jatuh dalam kesalahan.

Bakr ibn ‘Ubaidullah al Muzani, seorang yang salih telah berkata:

“Seorang tidak akan menjadi bertaqwa, kecuali jika ia bertaqwa dalam dua hal, iaitu makanan dan kemarahan.”

Inilah dua ketika di mana kita boleh menguji seseorang sama ada dia memiliki taqwa. Adakah dia ingat pada Allah dalam mencari nafkah dan halal haram makanannya? Adakah semasa marah, dia mengambil panduan Allah atau menolaknya tapi lalu melakukan kesilapan?

Biasa diberitakan tentang Ahmad ibn Hanbal r.a. bahawa beliau marah hanya kerana Allah dan tidak pernah untuk dirinya sendiri. Andainya berlaku sesuatu yang menyentuh agama, kemarahannya sangat besar hingga boleh dirasa yang dia bukan lagi orang yang sama. Marahnya hanya untuk Allah bukan untuk kepentingan peribadi. Pernah satu masa beliau berkata tentang orang yang salih di zamannya yang bernama Badr:

“Siapa yang boleh jadi seperti Badr? Badr dapat mengawal penuh lidahnya.”

Ini bermakna, Badr tidak cepat marah dan naik berang tetapi mengawal dirinya. Iman ahmad menganggap itu satu kelebihan. Beliau adalah salah seorang ‘ulama yang besar dan dia mempunyai caranya sendiri yang baik dalam menilai.

Telah bersabda Rasulullah SAW:

“Seorang muslim itu ialah orang yang, muslim lain selamat dari lidah dan tangannya.”

Maka orang lain tidak akan takut dianiya olehnya ketika dia marah.


Kesimpulan


Sifat menjaga taqwa ketika marah ini adalah satu sifat yang sangat mulia dan tinggi. Marilah sama-sama kita memilikinya, insha Allah.

Faktor-faktor jiddiyah dalam kehidupan pendakwah siri 7

Di dalam siri yang sebelum ini, telah saya terangkan bahawa, memahami tugasan kita sebagai anggota secara jelas akan membantu kita agar lebih sungguh-sungguh di dalam amal daawi dan tarbawi. Jika tidak jelas, kita mungkin akan teraba-raba, kerana tidak jelas hala tuju.

Tugasan kita sebagai anggota di dalam organisasi dan tuntutannya adalah seperti berikut:

1.Memahami sebenar-benarnya erti komitmennya kepada Islam.

2.Mengenal karakter marhalah/tahapan da’wah yang sedang dijalaninya beserta aktiviti-aktiviti sekitarnya.

3.Meyakini bahwa kembali kepada Al-Quran dan as-sunnah rasul SAW secara benar dan serius adalah satu – satunya jalan untuk menyelamatkan ummat Islam dari segala krisis.

4.Yakin akan kewajiban bergerak membangunkan iman di dalam jiwa manusia.

5.Harus mengetahui sejelas – jelasnya bahwa amal usaha menegakkan Daulah Islamiyyah adalah kewajiban setiap Muslim dan Muslimah.

6.Mengetahui bahwa kewajiban ini tidak mungkin terlaksana dan tercapai hanya dengan usaha individu.

7.Amal jama’i dipandang sebagai persoalan yang wajib ditunaikan sebelum melangkah membangun kembali Daulah Islamiyyah.

8.Dalam memilih harus dengan kesedaran sendiri, tidak kerana desakan, paksaan, berpura – pura dan kepentingan lain.

10.Dasar ber-Amal jama’i semata – mata karena ALLAH. ( Q.S Al Fath : 10 )

11.Setiap anggota organisasi harus menyedari akan kebaikan yang tak ternilai dengan bergabungnya di dalam organisasi yang memperjuangkan Islam secara benar.

12.Harus mengetahui bahwa persoalan terpenting di jalan da’wah ialah kesedaran terhadap pengawasan ALLAH SWT.


Penutup

Semoga kita dapat hiasi diri kita dengan sifat-sifat ini. Marilah sama-sama kita menghadzamkannya.


Rujukan:

http://www.scribd.com/doc/9432609/Al-Qiyadah-Wal-Jundiyah

DAKWAH MELALUI TIKTOK DAN KESANNYA KEPADA REMAJA MUSLIM DI MALAYSIA

  DAKWAH MELALUI TIKTOK DAN KESANNYA KEPADA REMAJA MUSLIM DI MALAYSIA   Mohd Amirul Hafiz Ahmad, Solehuddin Shuib, Khairulazhar Samsudin...