Thursday, December 23, 2010

Bagaimana mengelakkan fitnah dalam organisasi? Siri 6

Assalamu'laikum wbth,

Sahabat/akhowat yang dirahmati Allah sekalian,

Di dalam Islam, terdapat satu panduan di dalam kita membuat penilaian. Kita diajar untuk menilai seseorang Muslim berdasarkan kebaikan dan kesalahan yang dilakukannya secara adil. Oleh sebab itu, taaruf amat penting agar kita dapat mengenai hati budi dan jatidiri seseorang.Di dalam siri kali ini antara aspek penyebab berlakunya fitnah dalam sesebuah organisasi ialah NERACA MENILAI SESEORANG


6. Menilai seseorang berdasarkan seluruh hidupnya

Kita hendaklah menilai seseorang itu berdasarkan kepada keseluruhan, bukan berdasarkan satu peristiwa atau sebahagian kecil dari hidupnya. Selalunya, datang seorang yang sangat ghairah tentang ‘amal Islam, banyak bercakap dan mahu melakukan banyak perkara. Anda mengatakan dia seorang yang sangat berpotensi. Anda meninggikan dan cepat-cepat menaikkan tarafnya. Sebaliknya, ada seorang yang pada satu ketika melakukan kesilapan lalu anda terus merendahkannya.

Itu bukanlah satu tindakan yang wajar dalam menilai seseorang. Jalan yang selamat ialah kita menilai seseorang berdasarkan seluruh hidupnya, bagaimanakah ia secara umum. Kemungkinan terdapat satu dua perkara ganjil padanya, tetapi secara umum dia adalah lebih baik, dan itulah yang anda nilaikan. Pada satu masa seseorang boleh berlagak baik, sering ke masjid, bercakap tentang Islam dan dia menjadi pilihan anda. Anda terlupa bahawa sejarahnya terdapat kisah yang berbeza.

Terhadap seorang yang selama ini dalam keadaan yang baik, kemudian melakukan satu kesilapan, janganlah merendahkannya dan mengatakan dia sudah tidak berguna lagi. Lihatlah pada keseluruhan hidupnya, adakah padanya terdapat lebih kebaikan atau keburukan, itulah cara kita menilai.

Muslim terdahulu, apabila menilai seseorang dalam rijal hadith, mereka meninjau seluruh sejarah hidupnya. Hadithnya diterima atau tidak berdasarkan keseluruhan hidupnya.

Dalam sirah berlaku di mana golongan munafiqin menuduh Sayyidatina ‘Aisyah r.a. melakukan zina. Peristiwa itu bermula setelah tamatnya sebuah peperangan. ‘Aisyah duduk di dalam khemah bersama-sama rombongan. Satu masa ‘Aisyah pergi buang air kecil dan rantainya terjatuh. Sedang beliau cuba untuk mencarinya, rombongan Rasulullah itu tidak menyedari ketiadaan ‘Aisyah lalu berangkat pulang ke Madinah. Rasulullah SAW biasanya menyuruh seorang sahabat tinggal di belakang untuk memastikan tiada lagi yang tercicir. Kali ini sahabat yang bertugas ialah Safwan. Sedang dia mencari-cari apa-apa yang mungkin tertinggal, dia bertemu dengan ‘Aisyah. Lalu dia membenarkan ‘Aisyah naik untanya dan dia sendiri berjalan di hadapan.

Apabila mereka tiba di Madinah, golongan munafiqin menyebarkan fitnah bahawa ‘Aisyah tinggal di belakang bersama Safwan dan melakukan perbuatan sumbang. Beberapa orang Islam sendiri turut mengulang tuduhan orang munafiq itu seperti Mistah dan Hassan bin Tsabit, penyair yang terkenal itu. Hassan biasa menghasilkan syair yang sangat baik dalam mempertahankan Islam atau menentang kufur. Dia telah berperanan dalam masyarakat yang memberi nilai yang tinggi pada syair. Syair sangat berpengaruh hingga dapat mengubah satu-satu keadaan.

Hassan sangat berpengaruh tetapi terjebak dalam satu kesilapan, iaitu mengulang tuduhan yang dibuat oleh munafiqin. Tuduhan yang palsu seperti ini dalam Islam adalah satu dosa yang besar dan dihukum 100 kali sebatan. Setelah sekian waktu berlalu, turun ayat Al Quran mengatakan ‘Aisyah tidak berdosa. Rasulullah SAW menghukum mereka yang telah menuduh ‘Aisyah termasuk Hassan.

Satu ketika anak saudara ‘Aisyah, ‘Urwah bin Zubair Al Awwam, telah berkata mengenai Hassan dan melahirkan rasa marahnya. Tetapi ‘Aisyah sendiri menjawab:

“Anak saudaraku, biarkanlah dia. Dia pernah membela Rasulullah dengan syairnya.”

Begitulah cara ‘Aisyah melihat pada Hassan. Keseluruhan hidupnya adalah mulia, tetapi satu ketika dia melakukan kesilapan, namun itu bukan alasan untuk merendahkannya. ‘Aisyah telah membela Hassan ketika dia dicemuh oleh anak saudaranya.

Sekiranya ada seorang saudara kita yang telah melakukan jihad yang baik pada Islam tetapi kemudian melakukan beberapa kesilapan. Anda tidak terus menolak dan merendahkannya. Maafkanlah dia atas kesilapan itu berdasarkan sejarah hidupnya. Kemudian datang pula seseorang dan anda tahu bahawa seluruh sejarahnya mengandungi keburukan. Tunggulah sehingga dia benar-benar baik sebelum memberi jawatan dan meletakkannya hampir pada anda.

Kesimpulan
Di dalam organisasi, kita ada kayu ukur untuk menilai. Kesilapan kita di dalam menilai akan merosakkan organisasi seluruhnya.

No comments:

DAKWAH MELALUI TIKTOK DAN KESANNYA KEPADA REMAJA MUSLIM DI MALAYSIA

  DAKWAH MELALUI TIKTOK DAN KESANNYA KEPADA REMAJA MUSLIM DI MALAYSIA   Mohd Amirul Hafiz Ahmad, Solehuddin Shuib, Khairulazhar Samsudin...