Thursday, March 31, 2011

Kualiti da'i Siri 4

Assalamu'alaikum wbth,

Sahabat/akhowat yang dirahmati Allah sekalian,

Di dalam siri kali ini izinkan saya untuk berkongsi kualiti yang perlu pada da'i ilallah:Zuhud



4.Zuhud (Memutuskan hubungan dengan habuan dunia)


Baginda SAW telah disoal tentang apakah yang akan membuatkan Allah mencintai seseorang. Maka baginda SAW menjawab:

ازهد في الدنيا يحبك الله وازهد فيما عند الناس يحبك الناس

“Pisahkan dirimu dari (habuan) dunia, nescaya Allah akan mencintaimu, pisahkan dirimu dari apa yang ada pada manusia, nescaya manusia akan mencintaimu pula.”

Oleh itu dengan zuhud, Allah dan juga manusia akan mencintai kita.

Mengambil Sekadar yang Perlu dari yang Halal Untuk Berdakwah

Termasuk dalam pengertian zuhud ialah berpada-pada dengan perkara yang halal (yang diharuskan syara’) iaitu hanya mengambil dari dunia sekadar yang perlu untuk berda’wah.

Para fuqaha' seperti Ibn Qayyim amat tidak menggalakkan kita dari memperbanyakkan yang halal kerana perkara itu hanya akan memberatkan kita untuk berda’wah dan termasuk dari salah satu helah syaitan. Kita dapati kuffar sibuk dengan tugas batilnya sedangkan Muslim tidak sibuk dengan tugas al haq. Beliau telah membahagikan tipu daya syaitan terhadap manusia kepada enam peringkat, mengikut turutannya dari yang paling utama:

a.Mengkufurkan
b.Melakukan bid’ah
c.Melakukan dosa besar
d.Melakukan dosa kecil
e.Menyibukkan dengan yang halal
f.Ber’amal dengan perkara yang kurang prioriti.

Jika syaitan tidak menipu manusia melalui cara yang pertama, ia akan mengambil cara yang seterusnya.

Seribu Dinar dan Satu Dinar Sama Nilainya

Imam Malik pernah ditanya: “Apakah seorang yang ada seribu dinar (kaya raya) boleh menjadi zahid?” Beliau menjawab:

“Ya! Jika seribu dinar dan satu dinar mempunyai nilai yang sama baginya.”

Maksudnya, jika kamu mempunyai satu kelebihan duniawi, kamu tidak bergembira dan jika kekurangan, kamu tidak bersedih. Atau kamu bergembira kerana kelebihan duniawi itu boleh digunakan untuk da’wah bukannya kerana kelebihan duniawi itu semata-mata. Yakni, kamu bergembira kerana kejayaan da’wah.

(Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berduka cita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri, (Al-Hadiid:23)

Cubalah kita perhatikan bagaimana Imam Al-Banna menyebut pekerjaan mencari nafkah sebagai “‘amal maslahi” sedangkan pekerjaan da’wah sebagai “‘amal”. Dia ingin menjelaskan bahawa pekerjaan mencari nafkah hanya untuk membantu pekerjaan sebenarnya iaitu berda’wah.

Kamu hanya meletakkan dunia di tangan kamu, bukannya di hati. Habuan dunia pada hakikatnya tidak bernilai tetapi yang berharga ialah habuan akhirat dan keredhaan Allah.

Setelah penaklukan Empayar Farsi dan ibu kotanya, Madain, jatuh pada zaman S. Omar r.a., berlonggok-longgok harta khazanah telah dikuasai oleh tentera Islam dan dibawa ke khalifah di Madinah. Salah seorang dari Arab Badwi yang melihat harta itu telah mengungkap ayat:

“Katakanlah: Dengan kurnia Allah dan rahmatNya, hendaklah dengan itu mereka bergembira…”

Lantas jawab khalifah:

“Tidak! Pada keredhaan Allah lah kita bergembira.”

Ayat itu bersambung:

Katakanlah: "Dengan kurnia Allah dan rahmat-Nya, hendaklah dengan itu mereka bergembira. kurnia Allah dan rahmat-Nya itu adalah lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan". (Yunus:58)

Kesimpulan
1. Orang yang zahid memutuskan hubungannya daripada menjadi putera-putera dunia.
2. Orang yang zahid mengambil sekadar yang perlu dari yang halal untuk berdakwah.
3. Orang yang zahid, susah senangnya sentiasa jiwanya kuat hubungannya dengan Allah SWT.
4. Orang yang zahid, meletakkan dunia di tangannya dan bukan di hati.

No comments:

DAKWAH MELALUI TIKTOK DAN KESANNYA KEPADA REMAJA MUSLIM DI MALAYSIA

  DAKWAH MELALUI TIKTOK DAN KESANNYA KEPADA REMAJA MUSLIM DI MALAYSIA   Mohd Amirul Hafiz Ahmad, Solehuddin Shuib, Khairulazhar Samsudin...